JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



24 September 2011

ISU KENEGARAAN : UNDANG-UNDANG MAMPU IMBANGI HAK INDIVIDU DAN KETENTERAMAN AWAM

Oleh Shamrahayu A Aziz
bhnews@bharian.com.my

Undang-undang tidak boleh 
terlalu longgar atau terlalu ketat


Masih  belum terlambat agaknya untuk saya mengucapkan selamat menyambut Hari Malaysia kepada semua pembaca. Perutusan Perdana Menteri mengenai aspirasi kerajaan berkaitan sistem demokrasi menjadikan sambutan Hari Malaysia pada tahun ini amat berbeza sekali daripada sambutan lalu. Saya lihat perutusan Perdana Menteri ini bukan semata-mata transformasi politik, tetapi ia adalah transformasi undang-undang dan sistem perundangan negara. Oleh itu, perutusan itu tidak harus dilihat menerusi perspektif politik semata-mata. Suka saya sebutkan bahawa walaupun Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA) tidak secara automatik termansuh dengan ucapan itu, pengumuman itu menggembirakan banyak pihak kerana ia menunjukkan kesediaan kerajaan menguruskan perkara sensitif seperti ISA secara terbuka. Apapun, saya tidak mahu mengulas mengenai strategi atau keuntungan politik yang mungkin diperoleh kerajaan. Saya melihat perutusan itu daripada kaca mata rakyat yang sentiasa mahukan kesejahteraan dan kemakmuran negara serta pandangan ahli akademik undang-undang. Perutusan berkenaan memberi kesan mendasar kepada undang-undang yang sedia ada atau undang-undang yang akan digubal. Ia juga boleh dianggap sebagai membina falsafah dan perspektif mengenai kuasa atau bidang kuasa badan kehakiman serta sistem dan amalan kepolisan di negara ini.

Undang-undang, seperti yang kita maklum, berperanan mengawal tingkah laku manusia bagi membina kehidupan sejahtera. Oleh itu, dalam menggubal undang-undang, kita harus mengambil kira keberkesanannya dalam memberi perlindungan bukan saja kepada individu tertentu, tetapi juga masyarakat dan negara keseluruhannya. Saya tertarik dengan perutusan Perdana Menteri yang menyebut: “Dalam menyusun atur peradaban bernegara bagi menghadapi keadaan luar biasa yang mengancam keselamatan tanah air dan kesejahteraan rakyat, tidak dapat tidak, menuntut kepada langkah khas yang kadang kala bersifat di luar norma demokratik. Umpamanya, tindakan tahanan pencegahan.” Amat benar, undang-undang harus membina keseimbangan antara hak atau kebebasan individu dan ketenteraman awam. Sekiranya undang-undang membenarkan kebebasan individu tanpa kawalan yang mengorbankan nilai, budaya dan ketenteraman, sudah tentunya kita tidak akan dapat hidup aman dan sejahtera. Namun, sekiranya sekatan terlalu lebar, ia juga akan menafikan hak rakyat dan akan melahirkan rasa tidak puas hati yang mendorong kepada kerosakan. Dalam keadaan ini, titik pertemuan antara kedua-dua ini, ketenteraman awam dan kebebasan perlu dicari.

Di samping memerlukan undang-undang yang baik, kita memerlukan kematangan rakyat. Rakyat harus memainkan peranan dan menjalankan tanggungjawab untuk memastikan ketenteraman negara sentiasa terjaga. Dalam hal berkaitan, undang-undang untuk mengekang kegiatan subversif dan perbuatan yang boleh memudaratkan ketenteraman awam sentiasa diperlukan oleh setiap negara. Banyak negara di dunia yang mahukan undang-undang berkaitan diperkenalkan atau diperketatkan. Kita belum pasti mengenai bentuk dan perincian undang-undang yang bakal digubal, tetapi apa yang disuarakan Perdana Menteri ialah undang-undang itu kelak akan berada di bawah prinsip yang termaktub dalam Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan, iaitu mengekang aktiviti subversif dan tindakan yang memudaratkan ketenteraman awam. Mungkin elok untuk setiap kita meneroka dan memahami Perkara 149 secara menyeluruh. Sekiranya berkesempatan, saya akan cuba berkongsi dengan pembaca pada minggu akan datang. Berbalik kepada hal ini, selain daripada undang-undang yang baik, kita juga memerlukan mahkamah yang mempunyai kuasa perundangan luas dan bebas. Perdana Menteri melahirkan komitmen untuk menyerahkan kuasa menentukan tempoh tahanan bagi tahanan tanpa bicara yang ketika ini berada dalam badan eksekutif, kepada badan kehakiman.

Selain daripada apa yang disebut Perdana Menteri itu, badan kehakiman juga perlu diiktiraf kuasa yang luas untuk membuat semakan semula ke atas semua kuasa budi bicara pihak eksekutif. Selain itu, dalam aspek undang-undang berkaitan subversif, kuasa lembaga penasihat di bawah Perkara 151 Perlembagaan Persekutuan juga perlu dikaji semula. Ia akan menjadikan proses semak dan imbang dijalankan lembaga penasihat menjadi lebih berkesan. Berkenaan sistem dan amalan kepolisan, perutusan Perdana Menteri memberi kesan yang agak mendasar kepada kuasa polis. Janji kerajaan untuk menilai semula seksyen 27 Akta Polis dan juga kesan kepada penarikan balik keadaan darurat adalah dua perkara yang memberi implikasi besar ke atas kuasa polis. Sebagai sebuah badan penguat kuasa undang-undang utama negara, saya percaya polis mengutamakan keamanan negara dan menjalankan kuasa berdasarkan undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen. Namun dengan keadaan undang-undang yang semakin longgar, mungkin agak sukar untuk pihak polis menjalankan keutamaan dalam tugasan mereka. Sehubungan itu, kerajaan harus memandang serius perkara berkaitan keanggotaan, pentadbiran, kebajikan dan profesionalisme pasukan berkenaan supaya polis juga akan melalui proses transformasi seiring dengan transformasi undang-undang yang akan kita alami.

Penulis ialah Profesor Madya Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

SUMBER
BERITA HARIAN
24 SEPTEMBER 2011

Tiada ulasan: