JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



24 September 2011

ISU ANTARABANGSA : DERITA AKANKAH BERAKHIR? DUNIA TENTUKAN NASIB PALESTIN

Oleh Syed Azwan Syed Ali
syedazwan@bharian.com.my


Tanggal 23 September ini bakal menjadi tarikh keramat bagi 193 negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menentukan kedudukan Palestin yang bergolak sejak lebih 60 tahun lalu selepas Britain yang memerintahnya sejak 1920, menyerahkan mandat di wilayah itu kepada PBB pada 1947. Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, dijangka membentangkan permohonan rasmi Palestin untuk menjadi anggota penuh di PBB selepas rundingan damai yang ditaja sekutu kuat Israel, Amerika Syarikat (AS) bagi menyelesaikan konflik Israel-Palestin gagal mencapai kata putus. Palestin tidak lagi yakin dengan rundingan damai untuk menubuhkan ‘dua negara’ ketika penempatan haram terus dibina rejim Tel Aviv di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur selain Gaza kekal sebagai ‘penjara kemanusiaan terbesar di dunia’ dek kepungan darat dan laut rejim zionis Israel. Tindakan memohon keanggotaan penuh di PBB itu adalah cubaan nekad Palestin selepas Abbas yang mengetuai Pihak Berkuasa Palestin (PA) di Ramallah bersedia berdamai dengan Hamas yang menguasai Gaza sejak 2007 bagi penubuhan Kerajaan Perpaduan untuk membolehkan Palestin diiktiraf sebagai negara berdaulat dan merdeka berdasarkan kepada sempadan 1967.  

PA bercadang meminta Perhimpunan Agung PBB (UNGA) mengiktiraf negara Palestin berdasarkan sempadan sebelum perang pada 1967 apabila Israel menawan Tebing Barat, Gaza dan Baitulmaqdis Timur. AS sejak awal lagi memberi amaran menggunakan kuasa vetonya untuk menolak permohonan Palestin pada Majlis Keselamatan PBB selain Washington turut mengancam akan menarik balik dana tahunan AS$600 juta (RM1.8 bilion) kepada PA jika Abbas meneruskan hasratnya itu.  Tel Aviv pula menyifatkan tindakan Palestin sebagai langkah ‘memencilkan’ negara Yahudi itu dan mengeluarkan amaran untuk membatalkan semua perjanjian termasuk Perjanjian Damai Oslo 1993 yang menyaksikan kelahiran PA selaku pentadbir wilayah di Palestin dengan kuasa terhad. Penganalisis politik antarabangsa menyifatkan tindakan Palestin untuk mengemukakan permohonan menjadi negara anggota PBB, perlu dilihat sebagai pelengkap kepada usaha menamatkan konflik Israel-Palestin dan bukan alternatif kepada rundingan damai tajaan AS yang sehingga hari gagal membuahkan impak positif.  Melalui permohonan itu, dua kemungkinan bakal berlaku iaitu PBB menerima Palestin sebagai negara anggota penuh atau sekurang-kurangnya mengangkat status Palestin daripada ‘entiti bukan negara’ yang menjadi pemerhati di badan dunia itu kepada ‘negara bukan anggota’.  “

Kedua-dua keputusan ini akan memberi impak besar kepada Palestin,” kata Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Prof Dr Mohamed Mustafa Ishak merujuk status baru Palestin di PBB pasca UNGA ke-66 yang bermula 13 September lalu. Sejak 22 November 1974, Palestin menerusi Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) mempunyai kedudukan pemerhati dengan status entiti bukan negara di PBB serta mempunyai wakil tetap di badan dunia itu yang membolehkannya bersuara tetapi tidak boleh mengundi di PBB. Untuk menjadi anggota penuh dengan kuasa mengundi di PBB, negara memerlukan kelulusan Majlis Keselamatan PBB dianggotai lima kuasa besar selaku anggota tetap majlis keselamatan iaitu AS, Britain, China, Perancis dan Russia.  Sebaliknya, Palestin memerlukan sokongan dua pertiga daripada 193 negara anggota PBB dalam UNGA bagi membolehkannya mendapat status negara bukan anggota, antara lain membolehkannya mengakses kepada badan dunia seperti Mahkamah Jenayah Antara Antarabangsa (ICJ) bagi menyaman Israel kerana menjajah wilayahnya berdasarkan garis sempadan sebelum perang enam hari antara Israel dan negara Arab pada Jun 1967.

PBB sebelum ini meluluskan Resolusi 242 pada November 1967 yang memutuskan Israel berundur semula ke sempadan sebelum 1967 dan mengembalikan sebahagian daripada wilayah ditawannya, namun Tel Aviv dilihat menggunakan wilayah didudukinya sebagai bahan tawar menawar untuk mencipta rundingan damai palsu menerusi apa disebut sebagai pertukaran wilayah.  Mustafa meramalkan Palestin tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan sokongan 128 negara anggota PBB, terutama dari sebahagian besar negara Asia, negara anggota Pergerakan Negara Berkecuali (NAM), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Liga Arab, Afrika dan Amerika Selatan termasuk Brazil dan Argentina menyatakan sokongan kepada Palestin bagi menyelesaikan konflik di Asia Barat.  “UNGA akan mendedahkan sentimen dunia kepada Palestin. Jika Palestin berjaya mendapatkan sokongan di UNGA, AS akan berdepan dilema. Memang benar AS boleh menggunakan vetonya di Majlis Keselamatan tetapi ini bermakna AS akan mengundi menentang suara dunia. Ini mendedahkan tembelang negara kuasa besar itu.  “Amerika dilihat tidak jujur dalam menyelesaikan konflik di Palestin dan Asia Barat.

Amerika akan dilihat tidak lebih dari sekadar boneka dan proksi Israel,” kata profesor sains politik itu meramalkan China dan Russia berkemungkinan mengambil pendirian berkecuali atau menyokong hasrat Palestin di PBB. Ketika ini, sentimen masyarakat dunia dilihat memihak kepada Palestin selepas tinjauan mendapati ramai penduduk Eropah iaitu Britain, Perancis dan Jerman mahu kerajaan mereka menyokong pembentukan negara Palestin dalam undian di PBB, demikian menurut akhbar Britain, The Guardian, minggu lalu. Berdasarkan tinjauan pertubuhan bukan kerajaan itu, 59 peratus responden di Britain menyokong pembentukan negara Palestin, 69 peratus di Perancis dan 71 peratus di Jerman, berbeza dengan pendirian AS, Israel dan Kesatuan Eropah (EU) yang melihat hasrat Palestin itu menjejaskan rundingan damai. Palestin dijangka tidak berdepan masalah mendapatkan sokongan negara Arab selepas Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan mengeluarkan kenyataan tegas di ibu pejabat Liga Arab di Mesir minggu lalu bahawa pengiktirafan negara merdeka Palestin adalah kewajipan negara Arab dan bukan pilihan.

Erdogan berkata, sudah tiba masanya bendera Palestin berkibar di PBB selain menyifatkan perjuangan Palestin adalah perjuangan menjaga maruah negara Arab – sentimen bertitik tolak daripada serangan ke atas kapal flotila ke Gaza, Mavi Marmara, Mei tahun lalu yang menyaksikan sembilan aktivis Turki ditembak mati komando Israel. Namun, pensyarah sains politik dan hubungan antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohd Kamarulnizam Abdullah, berkata Palestin berdepan laluan sukar jika gagal mendapat pengiktirafan AS kerana dalam sistem antarabangsa, sesebuah negara memerlukan pengiktirafan negara kuasa besar.  “Persoalan utama sekarang adakah Palestin diiktiraf sebagai sebuah negara oleh kuasa besar. Palestin memenuhi semua kriteria sebagai negara iaitu mempunyai wilayah, kedaulatan, rakyat dan kerajaan, tetapi ia tiada elemen yang terpenting iaitu pengiktirafan. Dalam konteks sistem antarabangsa, perkara itu (pengiktirafan) adalah daripada Majlis Keselamatan.  “Palestin akan mengalami nasib seperti Taiwan yang tidak menerima pengiktirafan China. Taiwan ada hubungan diplomatik dengan negara lain tetapi ia terus menghadapi masalah kerana tidak diiktiraf kuasa besar, namun dari satu sudut hasrat Palestin di PBB, adalah langkah positif,” kata Kamarulnizam. Apa yang pasti, rundingan Israel-Palestin perlu diteruskan jika dunia mahu keamanan mutlak bertapak di wilayah yang terletak di antara Laut Mediterranean dan Sungai Jordan itu dengan 23 September ini menjadi titik mula baru untuk menyelesaikan isu yang dianggap ‘duri dalam daging’ konflik di Asia Barat.

SUMBER
BERITA HARIAN
20 SEPTEMBER 2011


Tiada ulasan: