Oleh Misiah Taib
misiah@bharian.com.my
Kecuali rakyat di Bumi Kenyalang, rata-rata rakyat di negara ini rasanya tidak pernah mendengar nama Pekan Bintangor yang terletak dalam Bahagian Sarikei di kawasan tengah Sarawak. Malah ramai tidak tahu pekan yang dibuka penempatannya pada 1896 itu sebelum ini dikenali sebagai Pekan Binatang, namun pada 1984, Kerajaan Sarawak mengarahkan namanya ditukar kepada Pekan Bintangor, bagi menangani sensitiviti nama tempat di Sarawak. Di sebalik nama Binatang itu pun ada sejarahnya, kerana satu ketika dulu berlaku peristiwa aneh di situ setiap kali tiba musim buah ‘engkabang’ dengan pelbagai jenis binatang aneh dan tidak pernah dijumpai tiba-tiba muncul untuk memakan buah berkenaan. Begitu juga nama Bintangor yang menggantikannya, berasal daripada nama pokok Bintangor yang dipercayai boleh menjadi penawar dan menjadi ubat kepada penyakit AIDS, yang ditemui di pekan yang terletak enam jam perjalanan menggunakan jalan darat dari Bandaraya Kuching itu. Di kalangan penduduk tempatan, Bintangor juga amat terkenal dengan buah limaunya yang manis selain nanas dan pelbagai buah-buahan lain, malah limau turut dijadikan maskot bagi Pekan Bintangor.
Namun, agak malang kerana nama Pekan Bintangor tiba-tiba menjadi popular susulan kes tiga murid di kurung guru, bagi menghalang mereka menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Bintangor, baru-baru ini. Apa yang pasti guru terbabit mahu menjaga prestasi sekolah itu secara keseluruhan hingga sanggup mengorbankan masa depan tiga anak muridnya yang mereka kategorikan sebagai lemah dalam pelajaran dengan mengurung mereka dalam bilik pemulihan dua hari berturut-turut. Seperti ditekankan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, ada sekolah yang terlalu taksub untuk mencatat prestasi dengan keputusan semua A dalam peperiksaan awam, sehingga sanggup bertindak di luar batasan. Ia tidak sepatutnya berlaku, kerana masyarakat juga akan mula mempersoalkan keikhlasan guru dalam mendidik anak bangsa. Kita tidak mahu kerana nila setitik rosak susu sebelanga, sedang di luar sana lebih ramai guru ikhlas dan sanggup berkorban masa dan tenaga untuk melahirkan insan cemerlang. Mungkin guru di sekolah itu perlu mengambil iktibar daripada pendekatan guru di SK Ulu Lubai di Limbang, utara Sarawak, yang diumumkan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) kedua 2010, iaitu sekolah pedalaman paling cemerlang di negara ini.
Biarpun SK Ulu Lubai antara yang paling jauh dan terletak terpencil serta di luar bandar Sarawak, namun ia bukan halangan untuk guru-guru di sekolah itu memberi komitmen padu untuk memastikan semua anak muridnya cemerlang. Guru besar sekolah itu, Jaul anak Bunyau, 48, bersama 11 guru sekolah itu menjadikan kelemahan murid sekolah itu sebagai cabaran untuk meningkatkan prestasi murid sehingga tahap kelulusan setakat 36.4 peratus yang dicatatkan pada 1999, berjaya ditingkatkan kepada 55.6 peratus pada 2001, 77.8 peratus pada 2002, 100 peratus pada 2003, 80 peratus pada 2004 dan 2005; 100 peratus pada 2006, 2007, 2008, 2009 dan 2010. Bagi memastikan semua murid sekolah itu, termasuk yang lemah dalam pelajaran, dapat meningkatkan prestasi akademik, sistem tuisyen diadakan bukan saja di bilik darjah, malah di rumah panjang, dengan pengawasan di lakukan secara bersama oleh guru dan ibu bapa, di samping guru turut memberi tumpuan membantu murid yang lemah. Mungkin pendekatan sama boleh digunakan untuk murid lemah di SK Bintangor termasuk tiga murid malang yang dikurung itu, Idie Ganyol, Edward Ujoh Augustine dan Richmend Mangi.
Mereka seharusnya dibantu, bukannya dikurung. Pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, membenarkan tiga murid terbabit menduduki semula peperiksaan UPSR, kurang 24 jam selepas peristiwa itu didedahkan, dengan menggunakan kuasanya sebagai Menteri Pelajaran dan mengikut Akta Pendidikan, membawa kembali sinar kepada tiga murid malang itu. Ketiga-tiga mereka akan menduduki semula UPSR pada 4 hingga 6 Oktober ini di sekolah sama dengan pegawai Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) sendiri akan bertindak sebagai guru pengawas.
SUMBER
BERITA HARIAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan