23 September 2011

ISU EKONOMI : USAHAWAN DESA PATUT SAHUT CABARAN TRANSFORMASI


Steve  Jobs, usahawan dan pencipta yang menerajui Apple Inc – syarikat pengeluar iPod, iPhone dan iPad selain komputer Macintosh – sebelum bersara Ogos lalu, mempunyai falsafah keusahawan yang unik. Menggunakan analogi hoki ais, Jobs berkata, beliau akan hanya meluncur ke mana bola akan menuju dan tidak ke mana bola sudah berada. Tidak ramai yang boleh menyangkal falsafah ini, lebih-lebih lagi melihat kejayaan Jobs, seorang yang tidak tamat pengajian di universiti, tetapi membangunkan perniagaan yang bermula di garaj kereta pada awal 1980-an untuk muncul sebagai antara 35 syarikat terbesar dunia. Falsafah sama kini dituntut Perdana Menteri untuk diamalkan oleh usahawan desa. Datuk Seri Najib Razak ketika menggariskan empat pendekatan untuk menggilap bidang keusahawanan desa, menegur sesetengah usahawan yang gemar membabitkan diri dalam perniagaan yang sudah diceburi ramai peniaga lain, sehingga memperlihatkan berpuluh-puluh kedai menjual barang hampir sama. Keadaan ini, kata Perdana Menteri ketika Karnival Usahawan Desa 2011 kelmarin, menyebabkan perniagaan tidak membawa kepada keuntungan sehingga membantutkan perkembangan perniagaan terbabit. Lebih memburukkan sikap suka meniru ini juga merugikan dari segi pembaziran modal.

Berikutan itu, Perdana Menteri ingin melihat usahawan desa melakukan transformasi sehingga dapat diwujudkan kelompok usahawan mapan yang berdaya maju pada peringkat serantau dan global. Sejajar dengan ini, Najib menggariskan empat pendekatan yang perlu diguna pakai usahawan ini, iaitu memperkenalkan idea baru yang lebih kreatif, menyuntik inovasi dalam perniagaan, penjenamaan yang lebih kuat serta terkenal dan penggunaan laman maya dalam mengembangkan pasaran produk, khususnya internet dan laman sosial. Bukan hanya sekadar membuat syor, Najib juga mengumumkan peruntukan permulaan RM50 juta menerusi MARA untuk digunakan bagi melaksanakan Program Usahawan Kecil Dinamik (UKDinamik) yang memanfaatkan kira-kira 10,000 usahawan desa. Sebenarnya sudah banyak bantuan disediakan kerajaan bagi membangunkan golongan usahawan ini baik di desa mahupun di bandar. Bantuan tambahan diumumkan ini dialu-alukan, lebih-lebih lagi jika ia dilaksanakan dengan kaedah yang dapat menjejak dengan rapi prestasi penerima bantuan. Kita yakin bermula dengan bantuan kerajaan ini, falsafah yang mantap serta daya inovatif, setiap usahawan penerima boleh muncul sebagai usahawan disegani pada peringkat antarabangsa.

SUMBER
RUANGAN MINDA PENGARANG
BERITA HARIAN
23 SEPTEMBER 2011


ISU PENDIDIKAN : MURID LEMAH PERLUKAN PERHATIAN BUKANNYA DISISIH

Oleh Misiah Taib
misiah@bharian.com.my


Kecuali rakyat di Bumi Kenyalang, rata-rata rakyat di negara ini rasanya tidak pernah mendengar nama Pekan Bintangor yang terletak dalam Bahagian Sarikei di kawasan tengah Sarawak. Malah ramai tidak tahu pekan yang dibuka penempatannya pada 1896 itu sebelum ini dikenali sebagai Pekan Binatang, namun pada 1984, Kerajaan Sarawak mengarahkan namanya ditukar kepada Pekan Bintangor, bagi menangani sensitiviti nama tempat di Sarawak. Di sebalik nama Binatang itu pun ada sejarahnya, kerana satu ketika dulu berlaku peristiwa aneh di situ setiap kali tiba musim buah ‘engkabang’ dengan pelbagai jenis binatang aneh dan tidak pernah dijumpai tiba-tiba muncul untuk memakan buah berkenaan. Begitu juga nama Bintangor yang menggantikannya, berasal daripada nama pokok Bintangor yang dipercayai boleh menjadi penawar dan menjadi ubat kepada penyakit AIDS, yang ditemui di pekan yang terletak enam jam perjalanan menggunakan jalan darat dari Bandaraya Kuching itu.  Di kalangan penduduk tempatan, Bintangor juga amat terkenal dengan buah limaunya yang manis selain nanas dan pelbagai buah-buahan lain, malah limau turut dijadikan maskot bagi Pekan Bintangor.  

Namun, agak malang kerana nama Pekan Bintangor tiba-tiba menjadi popular susulan kes tiga murid di kurung guru, bagi menghalang mereka menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Bintangor, baru-baru ini. Apa yang pasti guru terbabit mahu menjaga prestasi sekolah itu secara keseluruhan hingga sanggup mengorbankan masa depan tiga anak muridnya yang mereka kategorikan sebagai lemah dalam pelajaran dengan mengurung mereka dalam bilik pemulihan dua hari berturut-turut.  Seperti ditekankan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, ada sekolah yang terlalu taksub untuk mencatat prestasi dengan keputusan semua A dalam peperiksaan awam, sehingga sanggup bertindak di luar batasan.  Ia tidak sepatutnya berlaku, kerana masyarakat juga akan mula mempersoalkan keikhlasan guru dalam mendidik anak bangsa. Kita tidak mahu kerana nila setitik rosak susu sebelanga, sedang di luar sana lebih ramai guru ikhlas dan sanggup berkorban masa dan tenaga untuk melahirkan insan cemerlang. Mungkin guru di sekolah itu perlu mengambil iktibar daripada pendekatan guru di SK Ulu Lubai di Limbang, utara Sarawak, yang diumumkan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) kedua 2010, iaitu sekolah pedalaman paling cemerlang di negara ini.

Biarpun SK Ulu Lubai antara yang paling jauh dan terletak terpencil serta di luar bandar Sarawak, namun ia bukan halangan untuk guru-guru di sekolah itu memberi komitmen padu untuk memastikan semua anak muridnya cemerlang.  Guru besar sekolah itu, Jaul anak Bunyau, 48, bersama 11 guru sekolah itu menjadikan kelemahan murid sekolah itu sebagai cabaran untuk meningkatkan prestasi murid sehingga tahap kelulusan setakat 36.4 peratus yang dicatatkan pada 1999, berjaya ditingkatkan kepada 55.6 peratus pada 2001, 77.8 peratus pada 2002, 100 peratus pada 2003, 80 peratus pada 2004 dan 2005; 100 peratus pada 2006, 2007, 2008, 2009 dan 2010.  Bagi memastikan semua murid sekolah itu, termasuk yang lemah dalam pelajaran, dapat meningkatkan prestasi akademik, sistem tuisyen diadakan bukan saja di bilik darjah, malah di rumah panjang, dengan pengawasan di lakukan secara bersama oleh guru dan ibu bapa, di samping guru turut memberi tumpuan membantu murid yang lemah.  Mungkin pendekatan sama boleh digunakan untuk murid lemah di SK Bintangor termasuk tiga murid malang yang dikurung itu, Idie Ganyol, Edward Ujoh Augustine dan Richmend Mangi.

Mereka seharusnya dibantu, bukannya dikurung.  Pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, membenarkan tiga murid terbabit menduduki semula peperiksaan UPSR, kurang 24 jam selepas peristiwa itu didedahkan, dengan menggunakan kuasanya sebagai Menteri Pelajaran dan mengikut Akta Pendidikan, membawa kembali sinar kepada tiga murid malang itu.  Ketiga-tiga mereka akan menduduki semula UPSR pada 4 hingga 6 Oktober ini di sekolah sama dengan pegawai Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) sendiri akan bertindak sebagai guru pengawas.

SUMBER
BERITA HARIAN
23 SEPTEMBER 2011



SALAH SATU FILEM 
YANG BOLEH DITONTON 
OLEH SEMUA GURU

ISU KENEGARAAN : PASCA ISA, ANCAMAN BARU

Oleh
DATUK REEZAL MERICAN NAINA MERICAN
Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia


Sememangnya maklum balas yang saya perolehi daripada kalangan orang muda, amat menyanjungi tindakan dan usaha Perdana Menteri untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam masa yang terdekat ini. Kalangan rakan saya yang masih muda, profesional dan berpendidikan tinggi menganggap ini sebagai langkah dan keputusan tepat bagi membawa Malaysia ke suatu tahap demokrasi yang lebih positif dan dihormati. Pandangan positif di kalangan orang muda ini tidak terlalu dikongsi oleh mereka yang lebih berusia. Perbualan dengan beberapa orang pesara polis di kawasan saya di Kepala Batas, memberikan maklumat dan informasi yang lain. Mereka risau dengan suasana baru ini. Apakah kerajaan mampu menangani segala macam isu panas yang berlaku di sekeliling kita? Apakah langkah dan undang-undang yang bersifat pencegahan akan dimansuhkan sama sekali? Ini semua persoalan yang bermain di minda rakyat. Sebagai kalangan anggota yang bertugas sewaktu kemuncak pelaksanaan ISA, mereka masih dapat melihat sisi baik kepada undang-undang ini. Apa pun pandangan dan perspektif kita mengenai ISA - ia mestilah diasaskan kepada pandangan yang objektif dan adil.

Soalnya, atas nama kebebasan dan demokrasi total, ISA mungkin sudah mengalami proses 'demonisasi' yang berlebihan oleh kumpulan tertentu. Yang ternampak jelas, hanyalah dosa dan petaka 'politik' yang kononnya dibawa oleh ISA. Yang sering diketepikan adalah bagaimana ISA sudah menyelamat banyak nyawa dan mengisi matlamat 'pencegahannya' yang paling asas. Hakikat ini, kadang kala gagal dihayati dengan minda yang terbuka dan objektif. Sesuai dengan matlamat politik kumpulan tertentu, ISA sudah digambarkan secara halus sebagai 'Akta Politik', digunakan sebagai kaedah menangani kritikan yang melampau kepada kerajaan dan sebagainya. Ini hanya satu perspektif yang terlalu 'politikal'. Bagaimana dengan peranan ISA yang digunakan terhadap mereka yang cuba mencetuskan keganasan dan kekacauan? Apakah ini masih lagi sebuah akta yang draconian; saat nyawa manusia menjadi taruhan? Tidak ramai orang yang memberikan pujian yang objektif kepada ISA yang berperanan langsung dalam menjaga keselamatan negara. Ini termasuklah penahanan mereka yang terlibat dengan Jemaah Islamiah, Darul Islam Sabah/Daulah Islamiyyah dan Gerakan Militan Selatan Thailand.

Apakah semua langkah penahanan yang bersifat pencegahan seperti ini tidak mendatangkan sebarang kebaikan kepada rakyat? Sudah pasti, di atas semangat dan matlamat penubuhan ISA - ia mencapai maksud apa yang dihasratkan. Jika tidak, kita akan berdepan dengan dugaan dan ancaman yang bukannya kecil. Ada nyawa yang boleh terkorban, sekiranya unsur-unsur subversif dibenarkan berlegar bebas di kalangan rakyat tanpa sebarang langkah pencegahan awal. Saya kira, rakyat patut berasa lega dengan komitmen Perdana Menteri bahawa dua undang-undang khusus bagi menangani masalah dan ancaman baru akan diwujudkan bagi menggantikan ISA. Kalangan pembangkang mengambil pengumuman ini sebagai modal politik. Mansuh satu, namun tambahkan dengan dua akta baru. Kritikan ini dibuat tanpa menilai dahulu apakah yang bakal dikemukakan ke dalam Dewan Rakyat nanti. Mereka seharusnya belajar untuk bersabar dan mendengar dahulu cadangan yang bakal dinyatakan. Paling asas, Malaysia tidak boleh menolak sama sekali keperluan akta khusus dalam menangani isu-isu keselamatan dan anti-militan. Majoriti rakyat masih mahukan undang-undang yang keras dalam memastikan benih ancaman keganasan ini sama sekali tidak mampu berputik di bumi Malaysia.

Semua ini tidak boleh dikompromi. Kita jangan mengambil mudah, walaupun pada hakikatnya kita berada dalam suasana yang sangat aman dan tenteram. Setakat ini, kebanyakan negara di dunia juga mengambil tindakan sama dalam memastikan isu keselamatan dan ancaman keganasan tidak dikompromi dalam apa keadaan sekalipun. Kita tidak boleh mengambil mudah bahawa semuanya akan kekal aman di Malaysia, tanpa sebarang gangguan rangkaian kumpulan pengganas antarabangsa. Sikap sedemikian akan hanya menyebabkan kita leka dan sekali gus meletakkan rakyat dalam keadaan yang kurang selamat. Dalam masa yang sama, kita seharusnya juga mengambil perhatian kepada kumpulan-kumpulan tertentu yang cuba membawa citra songsang dalam menegakkan idealisme yang mengganggu-gugat keselamatan. Ini berlaku di mana-mana. Malahan, dalam banyak laporan keselamatan di peringkat antarabangsa, kewujudan homegrown radicalism (kumpulan radikal setempat) ini adalah ancaman yang nyata. Semua ini hanya mampu ditangani oleh undang-undang pencegahan yang tegas. Negara kita tidak boleh sama sekali mengambil mudah dengan benih 'radikalisme setempat' ini. Ia mesti ditangani dengan bertanggungjawab.

Ia mesti ditangani dan diperhalusi secara menyeluruh dalam dua undang-undang baru yang bakal dicadangkan nanti. Kita tidak mahu, pemansuhan ISA dijadikan alasan untuk benih-benih kegiatan subversif menjadi mekar - sedang mereka selama ini kuncup dan gentar dengan ketegasan undang-undang pencegahan yang ada. Lembaran dan penterjemahan baru kepada undang-undang pencegahan ini adalah sesuatu yang wajar dan perlu. Tidak ada mana-mana pihak yang perlu mempolitikkan perkara ini. Keselamatan dan maruah persempadanan negara tidak boleh menjadi isu dan permainan politik. Ini suatu isu yang mesti ditangani secara tuntas oleh wakil rakyat, tanpa mengira kiblat politik dan naungan kepartian. Dewan Rakyat akan menjadi saksi kepada suatu pertanggungjawaban besar yang akan diletakkan di atas bahu semua mereka yang bergelar wakil rakyat. Majoriti rakyat yang waras pastinya mengharapkan penggubalan dua undang-undang baru yang bakal dibentangkan di Dewan Rakyat nanti akan memberi 'ketenangan minda' bahawa keselamatan negara akan terus diangkat sebagai prioriti dan keutamaan kerajaan. ISA sebagai 'alat politik' inilah yang menjadi momokan pihak tertentu bagi menggambarkan kerajaan sebagai pengamal dasar dan undang-undang draconian selama ini.

Kali ini, mereka akan kehilangan modal yang sama. Draconian atau tidaknya ISA; kejam atau tidaknya ISA - ia telah memberikan jaminan keselamatan kepada rakyat seluruhnya. Ianya memberi jaminan keselamatan kepada keluarga di kampung, mahukan kepada seorang hartawan yang tinggal di perumahan mewah. Dalam soal ini, ISA sudah pun mencapai maksud dan matlamat asalnya. Jika ditakdirkan ISA menemui ajalnya nanti, ia akan kekal dalam lipatan sejarah sebagai undang-undang preventif yang berkesan dan mampu menjaga kepentingan rakyat. Ancaman dan gugatan keselamatan boleh datang dalam pelbagai bentuk, radikalisme agama, ideologi ekstrem, ketaksuban kepada individu - dan semuanya sudah dan pernah ditangani oleh ISA. Namun masanya sudah tiba, untuk ISA dimansuhkan dan digantikan dengan undang-undang yang lebih selari dengan citra demokrasi zaman ini. Mereka yang bersorak gembira, sekali gus menekan bahawa kerajaan meninggalkan sama sekali perundangan yang bersifat 'pencegahan' perlu mencari semula kewarasan pemikiran mereka. Mereka yang bersuara atas landasan 'demokrasi total' dan hak asasi manusia - perlu menilai semula tekanan dan pandangan yang sedemikian sifatnya. Perubahan yang dianjurkan oleh Perdana Menteri dan kerajaan ini memerlukan sokongan dan dokongan semua rakyat biasa. Jangan kita bersandarkan semua pandangan kepada 'akar politik'; tetapi gagal melihat kepada dedaun keamanan dan buah kesejahteraan yang lebih mampu mengisi kehendak majoriti rakyat.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
23 SEPTEMBER 2011


22 September 2011

ISU PENDIDIKAN : SEKOLAH WAJAR DINILAI JIKA BERJAYA BANTU MURID LEMAH


Isu tiga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Bintangor, dalam Bahagian Sarikei, Sarawak yang tidak dibenarkan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), walaupun masih belum selesai, sudah mendapat pembelaan Kementerian Pelajaran. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran kelmarin mengarahkan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) membenarkan calon berkenaan menduduki UPSR dalam tempoh empat minggu lagi. Murid berkenaan yang dianggap lemah oleh guru masing-masing, minggu lalu tidak dapat mengambil UPSR kerana didakwa dikurung pentadbir sekolah terbabit. Pentadbir sekolah dikatakan bertindak demikian kerana tidak mahu prestasi keseluruhan sekolah itu terjejas berikutan mereka dijangka gagal dalam ujian berkenaan. Kita bersimpati dengan ketiga-tiga calon berkenaan dan memahami perasaan ibu bapa mereka. Ibu bapa mana yang tidak kecewa dan marah jika anak diperlakukan sedemikian. Peristiwa ini tidak sepatutnya berlaku dan pastinya masyarakat mempersoal keikhlasan guru serta sekolah berkenaan dalam menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pendidik tulen.


Sebagai guru, mereka sepatutnya lebih mengetahui mengenai pentingnya setiap pelajar diberi peluang dan hak membuktikan potensi masing-masing, lebih-lebih lagi dalam ujian penting seperti UPSR. Jika peluang ini disekat, ia menutup terus potensi yang kemungkinan dimiliki pelajar ini, sekali gus menggelapkan masa depan mereka. Kejadian ini tidak boleh dibiarkan berulang dan Kementerian Pelajaran harus menjalankan siasatan menyeluruh bagi memastikan tidak ada sekolah yang bertindak sama. Apakah ia berpunca daripada tekanan untuk memastikan prestasi UPSR meningkat setiap tahun sehingga ada sesetengah pentadbir sekolah sanggup melihat pelajar dicatatkan sebagai TH (tidak hadir) dalam keputusan ujian Tahun Enam ini? Catatan TH itu difahamkan tidak diambil kira dalam prestasi keseluruhan sekolah, memungkinkan sekolah terbabit mengekalkan laporan prestasi baik. Selain tindakan berkenaan, difahamkan ada juga segelintir guru sengaja menasihatkan pelajar yang tidak ada harapan langsung untuk lulus, memangkah saja jawapan tertentu dalam ujian format objektif, seperti jawapan B atau C yang dianggap kerap muncul sebagai jawapan betul.


Isu murid SK Bandar Bintangor ini sekali lagi menyerlahkan kepincangan pengukuran prestasi sekolah sekarang yang mana pencapaian 5A dalam UPSR menjadi ukuran utama. Bukan hanya guru, tetapi ibu bapa juga menjadi terlalu taksub dalam pencapaian ini sehingga memberi tekanan kepada calon. Kita berpendapat peningkatan dalam pencapaian UPSR ini penting, tetapi janganlah sampai menidakkan hak pelajar lemah. Mereka sepatutnya dibantu dan mendapat perhatian guru melebihi pelajar cemerlang. Kejayaan sekolah tidak sepatutnya dinilai dari segi keupayaan melahirkan pelajar cemerlang, tetapi keupayaan memulihkan pelajar lemah juga patut diambil kira.

SUMBER
RUANGAN MINDA PENGARANG
BERITA HARIAN
22 SEPTEMBER 2011

ISU UMUM : LANGKAH PERTAMA KEBEBASAN MEDIA

DATUK CHAMIL WARIYA
Ketua Pegawai Eksekutif
Institut Akhbar Malaysia (MPI).


Pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak yang menjanjikan transformasi politik dan ekonomi nampaknya belum lagi bersedia untuk memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984, sama seperti yang ingin dilakukan terhadap Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 dan beberapa akta lain yang dianggap mengongkong. Buat waktu ini kesediaan kerajaan pimpinan Perdana Menteri ke-6 itu hanyalah untuk memanjangkan hayat permit penerbitan, yang diberi di bawah akta tersebut. Di bawah peraturan yang ada sekarang, seperti yang ditetapkan oleh Seksyen 12 (1) AMCP kesahan lesen/permit penerbitan adalah untuk tempoh 12 bulan dari tarikh diberi atau dikeluarkan. Selepas tempoh itu berakhir, permit penerbitan itu – baik untuk akhbar atau majalah atau penerbitan berkala yang lain, perlu diperbaharui dengan sedikit bayaran yang kuantumnya ditentukan oleh kekerapan ia diterbitkan. Yuran tahunan yang dikenakan bagi akhbar harian ialah RM3,000 manakala majalah bulanan pula RM400. Pembaharuan tahunan permit penerbitan itu juga bukanlah sesuatu yang automatik. Pemegang permit perlu mengemukakan permohonan. Permohonannya boleh ditolak oleh menteri yang bertanggungjawab.

Dalam kes-kes tertentu, kesahan permit penerbitan itu juga boleh jadi lebih singkat, tertakluk kepada syarat-syarat yang dinyatakan sewaktu permit dikeluarkan. Dalam kes yang ekstrem pula, ada permit penerbitan, atas sebab-sebab tertentu seperti yang telah digariskan oleh AMCP, digantung atau dibatalkan. Dalam sejarah persuratkhabaran negara, akhbar-akhbar The Star, Sin Chew, Watan, Suara Rakyat, Sarawak Tribune, Makkal Osai pernah digantung permit penerbitan mereka kerana menyiarkan tulisan-tulisan yang dianggap memudaratkan ketenteraman awam, keselamatan dan kemoralan. Di bawah pindaan yang dijanjikan oleh Najib dalam ucapan sempena menyambut Hari Malaysia ke-48 pada 15 September 2011, permit penerbitan – sebaik-baik sahaja dikeluarkan adalah untuk selama-lamanya kecuali ia dibatalkan oleh pihak berkuasa. Pembaharuan tahunan, seperti yang diamalkan sekarang, tidak lagi diperlukan. Seperti yang dijangka, pengumuman Najib itu disambut dengan reaksi yang bercampur baur. Para pengarang akhbar dan majalah ada yang melompat kegembiraan apabila diberi jaminan yang permit penerbitan untuk mereka tidak lagi perlu diperharui secara tahunan.

Tetapi pada waktu yang sama ada juga kalangan yang berpandangan apa yang dijanjikan oleh Najib itu adalah langkah kecil yang superficial dan tidak menggambarkan transformasi politik dan ekonomi yang mahu dilaksanakan. Mereka berpendapat seiring dengan pindaan yang mahu dibuat terhadap AMCP, mereka juga mahu melihat bahawa kuasa pembatalan permit yang berstatus kekal itu dibuat dengan cara yang lebih telus. Kuasa menteri di bawah peraturan sekarang adalah mutlak. Keputusan yang telah dibuat, termasuk menolak pemberian permit penerbitan tidak boleh dicabar di mahkamah. Lalu ada yang mencadangkan supaya kuasa mutlak menteri itu hendaklah turut dimansuhkan dan digantikan dengan suatu sistem yang lebih terbuka dan bertamadun. Mana-mana penerbitan yang permitnya digantung atau dibatalkan hendaklah diberi ruang untuk mengemukakan rayuan kepada pihak ketiga yang tiada kaitan dengan cabang eksekutif – dalam kes ini tentulah mahkamah. Dengan itu kaedah check and balance, yang memang dituntut oleh sebuah demokrasi yang matang, boleh beroperasi sepenuhnya. Lagi pun seperti yang berulang kali dinyatakan oleh Perdana Menteri, sendiri era kerajaan tahu segala-galanya sudah berakhir.

Maka itu, pertimbangan daripada pihak kehakiman berkait dengan pembatalan permit penerbitan itu, jika ia mahu dilakukan juga, dirasakan wajar. Ada juga pandangan, jika kerajaan benar-benar serius untuk melakukan pembaharuan politik khususnya dalam kerangka untuk mewujudkan sebuah masyarakat demokratik yang matang seperti yang dihasratkan oleh Wawasan 2020, ia patut memikirkan untuk berhijrah kepada sistem penerbitan akhbar dan majalah tanpa permit penerbitan. Siapa juga yang ingin menerbitkan akhbar dan majalah bebas berbuat demikian asalkan ia diusahakan oleh sebuah syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Serahkan kelangsungan hidup sesebuah penerbitan itu kepada pasaran, bukannya kerajaan. Serahkan hala tuju dasar editorial sesebuah penerbitan itu kepada pemiliknya dan para pengarangnya yang profesional dan berpegang kepada kewartawanan yang bertanggungjawab bukannya AMCP atau garis panduan khusus yang digubal oleh KDN untuk membantu mengawal selia media cetak. Organisasi persuratkhabaran dan majalah adalah entiti perniagaan yang masa depannya ditentukan untung rugi syarikat.

Jika benar ada antara mereka melakukan kesalahan, mereka boleh didakwa menggunakan pelbagai undang-undang lain, baik yang mengawal media secara langsung atau tidak langsung. Ini termasuklah Akta Hasutan, 1948, Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Hakcipta 1987, Akta Fitnah 1957, Akta Iklan Lucah, 1953, Akta Percetakan Teks Al-Quran, 1986, Akta Perubatan (Iklan dan Jualan), 1956, Akta Paten 1983, Akta Penapisan Filem 1952, Akta Polis 1967, Kanun Keseksaan dan dua undang-undang baru yang bakal menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960. Bergantung pada kesalahan yang dilakukan, media dan penerbitan juga boleh didakwa antara lain di bawah Akta Syarikat 1965, Akta Perpustakaan Negara, 1972, Akta Dewan Bahasa dan Pustaka, 1959, Akta Arkib Negara 1966. Memandangkan terdapat begitu banyak undang-undang yang boleh digunakan untuk mendisiplinkan media, maka kalangan pengamal media cetak ada yang berpendapat bahawa apa yang patut dilakukan oleh kerajaan selepas ini bukan sekadar meminda AMCP secara adhoc, tetapi secara komprehensif. Ini termasuk mempertimbangkan kemungkinan memansuhkan AMCP sama sekali.

Bagi mereka pengekalan AMCP hanya melambangkan sikap double standard kerajaan terhadap kebebasan media. Media cetak – akhbar dan majalah khususnya masih dikawal menerusi akta itu dan satu garis panduan khusus yang telah digubal di bawah AMCP, manakala portal berita dan media sosial yang lain bebas untuk melaporkan apa sahaja, termasuk pembohongan dan tiada sebarang tindakan dikenakan ke atas mereka. Malah kekangan AMCP itu kini didakwa menjejaskan kewibawaan akhbar-akhbar itu sendiri di kaca mata audiennya, menyebabkan berlakunya penghijrahan pembaca ke portal berita. Persepsinya di sini adalah selagi ada AMCP, media khususnya akhbar dan majalah sebenarnya berada di bawah telunjuk kerajaan, walaupun kita tahu persepsi itu tidak tepat seratus peratus. Ini kerana dasar editorial sesebuah penerbitan itu sebenarnya ditentukan dan dicorakkan bukan oleh AMCP tetapi oleh tuan empunyanya. Tetapi selagi persepsi ini wujud, selagi itulah kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia kekal terperosok di tangga terendah. Atas sebab-sebab itu ada yang mencadangkan selain memansuhkan AMCP, beberapa akta lain yang turut mengongkong pengaliran maklumat turut dijadikan sejarah. Secara lebih spesifik yang disebut adalah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Tiga orang wartawan pernah didakwa mengikut akta itu pada 1985 kerana menggunakan bahan-bahan yang dianggap rahsia rasmi dalam penulisan berita dan rencana. Seorang wartawan telah didenda RM7,000 manakala dua yang lain masing-masing didenda RM10,000. Agaknya sudah tiba masanya Akta Rahsia Rasmi 1972 itu digantikan dengan Akta Pengaliran Bebas Maklumat yang dianggap penting untuk membolehkan para wartawan memainkan peranannya dalam mengukuhkan demokrasi yang dianggap matang. Selain itu, cadangan juga dibuat oleh sebilangan pengamal media supaya kerajaan memperkenalkan undang-undang khusus yang melindungi para wartawan daripada mendedahkan sumber atau pemberi maklumat yang digunakan untuk menghasilkan berita atau rencana khususnya dalam kes-kes yang membabitkan kepentingan umum. Beberapa buah negeri di Amerika Syarikat sudah pun mewujudkan undang-undang serupa itu yang dikenali sebagai shield law. Kongres negara itu juga sedang menimbang untuk mewujudkan akta yang sama pada peringkat Persekutuan. Sudah tentu impian terakhir yang didambakan oleh pengamal media dalam perjuangannya, di mana juga termasuk di Malaysia adalah untuk melihat status kebebasan media itu dimaktubkan dalam undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan sama seperti wujudnya apa yang dipanggil sebagai First Amendment dalam Perlembagaan Amerika Syarikat. Dalam mengejar impian ini, kita henalah realistik. Perjuangan ini memerlukan ketabahan dan sudah tentu penuh dengan onak dan duri. 

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
22 SEPTEMBER 2011

ISU EKONOMI : SIAPA PEDULI PENDATANG ASING BERNIAGA?

Oleh Azman Anuar


Bagaikan  satu fenomena di negara kita ini. Hari ini kita boleh lihat pendatang asing dari Pakistan bebas mengayuh basikal untuk berniaga kain, tikar, permaidani dan pelbagai keperluan hiasan dari satu taman perumahan ke perumahan lain dan dari kampung ke kampung. Selang tidak sampai setahun, dia akan datang dengan motosikal dan kemudian bertukar kepada kereta baru atau van terpakai untuk mengutip hutang atau menghantar barangan yang dipesan pelanggan. Hairan tak, begitu pantas dia dapat mengumpul wang untuk membeli kenderaan. Hairan juga bagaimana mudah dia dapat lesen memandu? Bukan sahaja kita termangu-mangu memikirkan begitu ramai rakyat Pakistan berniaga di negara ini, begitu juga bagaimana pantas pendatang asing waima pendatang asing tanpa izin (PATI) dari negara lain sudah mampu hidup setaraf dengan kemewahan rakyat tempatan. Oleh itu bukan satu perkara memeranjatkan apabila Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendapati antara PATI yang mendaftar dalam Program 6P baru-baru ini bekerja sendiri malah sesetengahnya menjadi majikan di negara ini. Apa kita nak hairankan, ia sudah berlaku lama, KDN juga mengakuinya.

Ada beribu-ribu warga asing dari Thailand berniaga restoran tomyam, kaum Rohingya berniaga sayur di pasar, warga India bekerja di kedai gunting rambut dan restoran mamak, warga Indonesia berniaga runcit, pasar malam dan menjadi kontraktor binaan. Fenomena warga asing berniaga di negara kita mungkin bukan menjadi isu kepada sesetengah pihak berkuasa tetapi tidak kepada rakyat. Namun ramai warga tempatan tanpa sedar turut menyokong dari segi menggunakan khidmat atau membeli barangan jualan peniaga asing tersebut. Bumi Malaysia memang subur dan bertuah kepada sesiapa yang rajin berusaha termasuk pendatang asing. Kalau tak kaya pun tapi boleh hidup senang. Adakah wujud undang-undang atau peraturan yang mengatakan rakyat asing dibenarkan menjalankan perniagaan di negara ini sebagaimana layaknya pelabur atau pedagang yang berdaftar. Pekerja asing sepatutnya bekerja dan bukannya menjalankan perniagaan. Mereka hanya layak bekerja dalam lima sektor yang dibenarkan kerajaan Malaysia iaitu perkilangan, perladangan, pertanian, pembinaan dan 15 jenis pekerjaan dalam sektor perkhidmatan.

Tak ada pun disebutkan mereka dibenarkan berniaga. Rakyat kita sudah rimas menunggu pihak berkuasa untuk mengambil tindakan ke atas pendatang asing yang berniaga.Saya lihat semakin hari semakin banyak warga asing berniaga di negara kita hingga menjejaskan perniagaan anak tempatan. Empayar perniagaan mereka pula berkembang daripada kecil kian membesar dan menambah cawangan baru di kawasan lain. Perkara warga asing berniaga di kawasan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ini bukan tidak nampak di mata pegawai penguat kuasa. Tapi apa yang mereka buat hingga bertambah ramai warga berniaga? Untuk mendapat ruang niaga yang kecil di pasar, dan pasar malam bukan kerja mudah bagi rakyat tempatan tetapi pendatang asing ini dengan mudah sahaja dapat berniaga dengan bebas. Lantaran itu, kini sama ada kita sedar atau tidak, pendatang-pendatang asing telah mula menguasai aktiviti ekonomi yang sepatutnya dimiliki kaum bumiputera. Kita tidak boleh biarkan perkara ini berleluasa, kalau tidak peluang perniagaan orang Melayu dan bumiputera akan terhakis. Kita kena ambil peduli fenomena pendatang asing berniaga ini.

Hingga hari ini penjaja ubat tradisional dari Indonesia dan peniaga kain dan tudung dari Pakistan di sekitar Jalan Masjid India dan Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur tidak diambil tindakan. Alasannya kerana mereka menyewa premis daripada warga tempatan. Memang kita tidak boleh salahkan mereka atau menahan mereka daripada berniaga. Ini kerana mereka menjalankan perniagaan dengan lesen yang sah daripada peniaga rakyat Malaysia sendiri yang ingin mengaut keuntungan cepat. Jadi, tiada kesalahan dari segi undang-undang. Dan perkara ini akan berlangsung selagi tiada usaha untuk mengambil tindakan tegas ke atas petualang di kalangan peniaga Melayu sendiri. Kita hanya menyandarkan harapan tinggi kepada rakyat Malaysia yang mempunyai kuasa undang-undang dan menjalankan penguatkuasaan demi keselamatan ekonomi bumiputera. Kalau dilihat di sekeliling kita, peniaga di kalangan rakyat asing ada di mana-mana. Fenomena ini patut diperbetulkan segera dengan tindakan tegas lagi berani daripada kerajaan melalui KDN dan PBT. Tidak patut ada lagi alasan itu dan ini daripada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap warga asing yang berniaga di negara ini. Sudah banyak amaran dikeluarkan, bila masa untuk bertindak pula?

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
22 SEPTEMBER 2011

ISU SOSIAL : GANGGUAN EMOSI PERLU DITANGANI

TAN SRI LEE LAM THYE
Ahli Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental.


Kebelakangan ini, terdapat beberapa kejadian bunuh diri berlaku termasuk dalam kalangan murid sekolah. Walau apa pun puncanya, ia berkaitan dengan masalah emosi atau gangguan terhadap kesihatan mental individu terbabit. Ini menunjukkan terdapat keperluan mendesak kerajaan dan lain-lain pihak berkaitan untuk meningkatkan usaha mempromosi kesihatan mental yang baik kepada rakyat termasuk murid-murid dan warga sekolah. Apa yang menyedihkan, ramai yang tidak mengambil serius perkara ini atau kurang prihatin bagaimana untuk bertindak apabila berhadapan dengan mereka yang menunjukkan kecenderungan membunuh diri atau pun yang mengalami kemurungan. Masalah kesihatan mental terutamanya berkait dengan stress yang tidak dapat ditangani adalah serius dan perlu diberi perhatian supaya gangguan seperti kemurungan atau depression dan cubaan bunuh diri dapat dielakkan. Kajian Kesihatan Morbiditi Kebangsaan Malaysia pada 2006 menunjukkan masalah kesihatan mental di kalangan kanak-kanak dan remaja adalah 20.3 peratus (%) dan ini menunjukkan peningkatan berbanding 13% pada 1996. Dengan bilangan remaja yang mengalami masalah ini meningkat, pada Januari 2011, Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental, Kementerian Kesihatan yang dipengerusikan oleh Menteri Kesihatan memutuskan supaya satu projek perintis Program Minda Sihat Menangani Stres dilaksanakan di enam buah sekolah menengah di seluruh Malaysia.

Program dengan kerjasama Kementerian Pelajaran ini akan mengenalpasti status kesihatan mental murid-murid sekolah melalui saringan tahap stress, keresahan dan kemurungan. Mereka yang dikenalpasti mempunyai masalah ini, akan diberi intervensi sewajarnya termasuk kaunseling dan kemahiran daya tindak kesihatan mental (mental health coping skills). Antara aktiviti promosi kesihatan mental yang boleh dilaksanakan di sekolah termasuk mengenali lebih dekat tentang kesihatan mental di dalam komuniti sekolah melalui ceramah, pameran dan kuiz yang boleh dijadikan aktiviti kokurikulum serta melibatkan PIBG dan kelab sekolah. Sekolah perlu mempunyai lebih ramai kaunselor yang terlatih dengan kemahiran untuk membimbing dan membantu pelajar untuk menguruskan stres. Kita tidak boleh menafikan bahawa sistem pendidikan berorientasikan peperiksaan telah menambah tekanan kepada ibu bapa dalam mengharapkan anak-anak menunjukkan prestasi yang baik di sekolah. Walaupun ibu bapa mengatakan bahawa mereka tidak memberi tekanan tersebut, namun anak-anak tahu harapan tinggi itu terhadap mereka. Apabila gagal memenuhinya, kesannya akan memudaratkan mereka. Kita perlu memupuk keyakinan diri anak-anak agar sebarang kegagalan atau kekecewaan dilihat sebagai suatu peluang untuk mencuba semula daripada menjadikannya suatu kekurangan dan akhirnya menyebabkan mereka memilih jalan mudah untuk keluar dari masalah tersebut.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
22 SEPTEMBER 2011

21 September 2011

ISU KASIHAN GURUKU : PROGRAM SAPS YANG DIKATAKAN CANGGIH RUPA-RUPANYA LEBIH SUKAR DARIPADA KAEDAH MANUAL SAMPAI GURU TIDAK TIDUR MALAM UNTUK MEMASUKKAN DATA

Oleh Azrul Affandi Sobri
azr@bharian.com.my


Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS) diperkenalkan baru-baru ini bagi membolehkan tugas pengumpulan data dilakukan dengan secara lebih sistematik dan praktikal berkaitan data mata pelajaran, enrolmen murid, data guru mata pelajaran dan profil sekolah. Semua guru sekolah rendah dan menengah termasuk sekolah berasrama penuh perlu mengisi markah ujian Mac, peperiksaan pertengahan tahun, peperiksaan percubaan atau ujian Ogos dan peperiksaan akhir tahun di SAPS ini. Untuk menjadikan sistem ini lebih sistematik, tempoh masa ditetapkan dan guru perlu mematuhinya. Kebaikan sistem ini ialah selepas guru memasukkan data dan markah pelajar, ia akan secara automatik membuat analisis dalam pelbagai aspek, sekali gus menjimatkan banyak masa guru yang mungkin pada sedekad dulu terpaksa membuat pengiraan analisis secara manual.  Tekan mesin pengira setiap kali mahu mencari peratusan dan purata. Berpinar mata mencari berapa jumlah A yang murid peroleh dan pelbagai lagi. Malah, dulu guru kelas terpaksa meminta markah setiap mata pelajaran daripada guru yang mengajar dan mengisinya secara manual dalam borang khas.

Semua perkiraan dilakukan secara manual dan diisi pula dalam buku laporan kemajuan murid. Sistem dalam talian diakui lebih memudahkan dan lebih sistematik serta menjimatkan banyak masa. Namun, sistem yang sebenarnya dicipta untuk memudahkan mereka akhirnya menyebabkan lebih ramai yang terseksa. Ada guru terpaksa bersengkang mata sehingga jam 3 pagi semata-mata untuk mengisi markah pelajar dan ada pula yang menghadapi masalah kerana tidak mempunyai komputer atau talian internet di rumah. Namun selepas menggunakan SAPS buat seketika, ramai guru merungut dan melepaskan kemarahan mereka dalam blog dan menulis surat kepada akhbar.  Antaranya, yang dipetik daripada blog adalah seperti berikut:  “Idea mewujudkan sistem ini memang baik tetapi program berkenaan susah untuk dicapai dan selalu terkeluar daripada talian dan ada banyak masalah lain.  “Sebagai guru yang terbabit dengan SAPS, saya sudah beberapa kali membuka sistem ini untuk memasukkan markah tetapi setiap kali markah mahu disimpan, sistem ini akan terkeluar daripada talian. Saya terpaksa mengisi semula markah dan ini ia berlaku beberapa kali.

“Kami terpaksa menunggu sehingga pagi semata-mata untuk mengisi markah ujian satu, peperiksaan pertengahan tahun, menentukan nilai letak kerja (TOV) dan jangkaan hasil sasaran akhiran (ETR) setiap pelajar. Bayangkan, jika ada enam kelas yang markah pelajarnya perlu diisi dan setiap satu kelas pula ada 40 pelajar. “Yang peliknya dalam taklimat kami diberitahu ketika menggunakan SAPS, kami tidak boleh menekan butang ‘enter’ pada papan kekunci kerana akan mengganggu sistem. Ini adalah kali pertama saya mendengar satu sistem yang direka akan rosak jika tertekan butang ‘enter’.  “Masalah lain yang dihadapi ialah ada pelajar yang tiada dalam senarai kelas tetapi apabila didaftar, jawapan yang diterima ialah ‘pelajar telah didaftarkan’ tetapi jika telah didaftarkan kenapa nama pelajar tiada dalam senarai?” Di mana silapnya? Apakah sengaja kementerian mencipta satu sistem untuk menyusahkan guru sedangkan perlu diakui guru sudah terlalu banyak dibebankan. Rasanya bukan itu alasannya kerana yang paling tepat ialah sistem itu masih terlalu mentah dan perancangan untuknya tidak mengambil kira banyak perkara. Dekan Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Abdul Razak Hamdan, berkata kebanyakan sistem dalam talian (online) di negara ini tidak stabil pada peringkat permulaan dan menyebabkan masalah kepada pengguna, namun ia akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

“Kebanyakan sistem dibangunkan menggunakan teknologi sedia ada dan dirasakan memadai untuk kegunaan pada masa itu tetapi selepas digunakan secara meluas, ia tidak mampu menampung keperluan semasa dan perlu peningkatan. Masalahnya, untuk mempertingkatkannya memerlukan kos tinggi dan itu yang menjadi halangan banyak pihak. “Kita rujuk kepada sejarah Unit Pusat Universiti (UPU) pun pada mulanya ada masalah. Selalu tidak stabil tetapi selepas dipertingkatkan, ia sudah semakin baik dan stabil. Ia membabitkan sistem itu sendiri dan talian komunikasi. Jika salah satu tidak stabil atau lembab, ia akan menyusahkan pengguna. “Kebanyakan sistem menggunakan talian terbuka (public). Jika ia sudah ditentukan untuk menerima sebanyak dua megabait (MB), tetapi yang menggunakannya melebihi jumlah itu, ia pasti akan menyebabkan sistem itu perlahan. “Setiap sistem juga ada had penggunaan pada satu masa. Jika dihadkan sebanyak 1,000 pengguna tetapi pada satu masa pengguna melebihi jumlah itu, ia juga akan menyebabkan sistem menjadi lembab. “Selalunya, pembangun sistem akan membuat anggaran berapa ramai pengguna akan gunakan sistem itu terutama pada waktu puncak dan menetapkan jumlah tertentu.

Penetapan ini perlu kerana semakin besar ruang penggunaannya, semakin mahal sistem itu untuk dibangunkan. Malangnya, ada ketika berlaku, ramalan mereka tidak tepat dan pengguna melebihi anggaran,” katanya. Beliau berkata, ada sistem yang menggunakan kaedah ‘server balancing’ iaitu membolehkan ia dipindahkan ke pelayan lain jika kuota dalam satu pelayan sudah penuh. Ia membolehkan sistem tidak perlahan jika melebihi kuota yang sudah ditetapkan tetapi membabitkan kos yang tinggi. Masalahnya, katanya, kebanyakan pengguna akan menggunakan sistem itu secara maksimum pada waktu puncak terutama ketika tarikh tamat tempoh semakin dekat. Ia pasti menyebabkan sistem itu tidak mampu menampung penggunaannya yang banyak. Justeru, pemantauan pada waktu itu perlu dipertingkatkan. “Selalunya, masalah utama bermula daripada sistem komunikasi. Jika talian internet yang digunakan perlahan, ia juga akan memberi kesan. Masalah lain ialah kebanyakan pembangun sistem salah membuat perkiraan jumlah pengguna. Mereka boleh tinggikan had pengguna asalkan mampu memperuntukkan kos yang tinggi. “Dalam kes ini, sewajarnya mereka buat percubaan tekanan (stress test) sebelum dilancarkan.

Pastikan ia mampu menangani seramai mungkin pengguna termasuk guru terutama ketika waktu puncak. Perlu buat perkiraan secara tepat berapa banyak had diperlukan untuk menangani seberapa ramai guru dan sekolah. “Selain itu, tidak semua sistem sesuai digunakan bagi semua negeri dengan kapasiti yang sama. Sudah pasti tidak sama jumlah pengguna di Perlis dan Selangor. Pelayan yang digunakan perlu stabil. “Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah adalah untuk memasukkan data. Ia sewajarnya gunakan sistem simpanan secara automatik (autosave). Maksudnya, setiap kali data dimasukkan, ia disimpan secara automatik dan tidak hilang jika tiba-tiba berlaku masalah talian. Kosnya tinggi tetapi perlu dalam kes pengendalian data,” katanya lagi. “Kelemahan utama kebanyakan sistem di negara ini ialah ambil mudah dan jadikan pengguna sebagai bahan ujian. Asalkan ia nampak berkesan di sesetengah kementerian, ia secara mudah digunakan pula di kementerian yang lain. Cara ini salah kerana tidak semuanya sama,” katanya. Justeru, adalah wajar kementerian lebih peka dalam hal ini dan memastikan apa saja sistem yang mahu dibangunkan tidak menjadi beban kepada pengguna, sekali gus menambahkan tekanan mereka.

SUMBER
BERITA HARIAN
21 SEPTEMBER 2011


APA KOMEN GURU?

ISU KESIHATAN : ORANG YANG MENGIDAP PENYAKIT NYANYUK PERLUKAN BELAIAN KASIH SAYANG YANG SECUKUPNYA

Oleh Liow Tiong Lai
www.liowtionglai.com/blog


Mereka  tidak faham kenapa bapa yang tua itu sudah tidak ingat nama mereka. Kenapa dia masih bertanyakan di mana isterinya yang meninggal dunia 10 tahun lalu? Kenapa dia berdegil mahu pergi ke pasar raya berseorangan sedangkan dia tidak ingat bagaimana mahu pulang ke rumah? Kesabaran mereka semakin tipis dengan bapa, manakala keadaan orang tua itu semakin teruk. Ketika ingatan bapanya kembali seperti sedia kala semakin jarang berlaku dan lama-kelamaan dia perlukan bantuan untuk melakukan tugas biasa seperti memakai baju, mandi dan makan. Apabila pakar geriatrik menjelaskan mengenai penyakit Alzheimer atau nyanyuk kepada mereka, barulah mereka faham keadaan yang menyebabkan mereka kehilangan bapa yang dikenali.  Seandainya mereka dapat mengenal pasti tanda penyakit Alzheimer sejak awal, mereka pasti dapat melihat bagaimana ia meresap dalam kehidupan bapa mereka sejak lima atau enam tahun lalu.  Ini ialah kisah dialami beribu-ribu rakyat Malaysia, yang terpaksa melihat orang tua mereka mengalami penyakit Alzheimer yang menurut anggaran semasa, berjumlah kira-kira 63,000 orang di negara ini.  

Penyakit Alzheimer ialah satu bentuk dementia yang paling kerap berlaku, keadaan degeneratif atau kemerosotan mengakibatkan perubahan kimia dan struktur sel dalam otak. Keadaan ini biasanya dialami mereka berumur 65 tahun ke atas, dan sering disalah anggap sebagai nyanyuk atau penyakit ‘orang tua’. Keadaan bertambah buruk apabila keluarga dan anak hilang kesabaran ketika mereka hilang ingatan dan tingkah laku mereka berubah kerana menyangka orang tua mereka sengaja mahukan perhatian atau melalui semula fasa kanak-kanak. Bagaimanapun penyakit ini menguasai minda dan merampas erti hidup sebagai insan. Ia juga merampas maruah diri sebagai orang tua sehingga individu itu hilang segala-galanya.  Alzheimer amat mengerikan bagi waris pesakit kerana mereka tidak faham bagaimana penyakit itu boleh mengubah keadaan seseorang dari segi asasnya, hingga personalitinya berubah secara drastik (sel penting dalam otak membentuk fikiran, tindakan dan personaliti seseorang sudah mati).  Jika ibu bapa anda disahkan menghidap Alzheimer, diagnosis itu hanya sebahagian daripada jawapan. Yang paling penting anda perlukan ialah bimbingan pakar untuk membantu memahami kenapa ibu bapa anda melalui proses ini dan bagaimana anda boleh menguruskan keadaannya dan memberikan sokongan terbaik.

Peranan ini paling baik dilakukan pakar geriatrik yang mengetuai sepasukan pakar yang boleh menyelia rawatan holistik untuk pesakit. Sebagai pakar dalam penjagaan dan rawatan untuk pesakit sedemikian, tugas pakar geriatrik bukan sekadar mengagihkan pil tidur atau mendengar rungutan pesakit yang nyanyuk saja.  Peranan penting mereka ialah membantu keluarga pesakit melalui proses sokongan. Saya amat sedar bahawa negara kita sangat memerlukan lebih ramai pakar geriatrik, kerana kita mengalami kekurangan dari segi nisbah ideal 1:50,000 pakar geriatrik berbanding jumlah penduduk, seperti disarankan Kesatuan Geriatrik Britain. Untuk jumlah penduduk 28 juta di Malaysia, kita perlukan kira-kira 560 pakar geriatrik. Dengan hanya 13 pakar geriatrik di negara ini, empat daripadanya dalam perkhidmatan kesihatan awam, kita masih jauh ketinggalan.  Bagaimanapun, melalui program latihan dijalankan Kementerian Kesihatan dan Pusat Perubatan Universiti Malaya serta Singapura dan Australia, kita dapat melahirkan lebih ramai pakar terlatih dan menyediakan khidmat mereka di seluruh negara.  Saya juga amat prihatin bagaimana keluarga pesakit Alzheimer menangani keadaan dialami.

Sebilangan mereka mungkin lebih bernasib baik dan mampu menggaji jururawat sepenuh atau separuh masa untuk menjaga ibu bapa atau ahli keluarga mereka. Ini belum lagi disentuh mengenai tekanan emosi yang terpaksa mereka lalui.  Namun, bagaimana pula nasib beribu-ribu yang lain, yang tidak mampu menyediakan kemewahan seperti itu? Berhenti kerja untuk menjaga pesakit itu bermakna mereka kehilangan sumber pendapatan.  Ada di antaranya tidak mempunyai pilihan kecuali menghantar orang tua mereka ke rumah orang tua atau pusat jagaan walaupun mereka berasa malu kerana dianggap tiada perasaan kekeluargaan. Walaupun begitu, saya berpendapat masih ada harapan lagi. Apa yang kita perlukan ialah kesedaran mengenai penyakit ini. Dengan lebih banyak maklumat disediakan, kita dapat menarik lebih banyak perhatian dan pembiayaan untuk menjalankan penyelidikan bagi rawatan penyakit ini dan penerimaan lebih meluas di kalangan pesakit Alzheimer ini dan keluarga mereka. Buat masa ini, banyak kemajuan sains perlu dilakukan untuk mengkaji penyakit ini, sementara itu kita hendaklah melayani pesakit dengan rasa hormat dan kasih sayang – ceritakan kepada mereka mengenai pencapaian cucu mereka, bawa mereka bersiar-siar di taman, mainkan muzik kegemaran mereka. Mungkin mereka tidak faham kata-kata atau tindakan anda, tetapi mungkin di satu sudut fikiran mereka masih wujud hubungan sesama insan yang dapat membangkitkan ingatan dan membawakan ketenangan.

Penulis ialah Menteri Kesihatan Malaysia.
www.liowtionglai.com/blog
atau Twitter (@liowtionglai)

SUMBER
BERITA HARIAN
21 SEPTEMBER 2011