Oleh Azman Anuar
Bagaikan satu fenomena di negara kita ini. Hari ini kita boleh lihat pendatang asing dari Pakistan bebas mengayuh basikal untuk berniaga kain, tikar, permaidani dan pelbagai keperluan hiasan dari satu taman perumahan ke perumahan lain dan dari kampung ke kampung. Selang tidak sampai setahun, dia akan datang dengan motosikal dan kemudian bertukar kepada kereta baru atau van terpakai untuk mengutip hutang atau menghantar barangan yang dipesan pelanggan. Hairan tak, begitu pantas dia dapat mengumpul wang untuk membeli kenderaan. Hairan juga bagaimana mudah dia dapat lesen memandu? Bukan sahaja kita termangu-mangu memikirkan begitu ramai rakyat Pakistan berniaga di negara ini, begitu juga bagaimana pantas pendatang asing waima pendatang asing tanpa izin (PATI) dari negara lain sudah mampu hidup setaraf dengan kemewahan rakyat tempatan. Oleh itu bukan satu perkara memeranjatkan apabila Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendapati antara PATI yang mendaftar dalam Program 6P baru-baru ini bekerja sendiri malah sesetengahnya menjadi majikan di negara ini. Apa kita nak hairankan, ia sudah berlaku lama, KDN juga mengakuinya.
Ada beribu-ribu warga asing dari Thailand berniaga restoran tomyam, kaum Rohingya berniaga sayur di pasar, warga India bekerja di kedai gunting rambut dan restoran mamak, warga Indonesia berniaga runcit, pasar malam dan menjadi kontraktor binaan. Fenomena warga asing berniaga di negara kita mungkin bukan menjadi isu kepada sesetengah pihak berkuasa tetapi tidak kepada rakyat. Namun ramai warga tempatan tanpa sedar turut menyokong dari segi menggunakan khidmat atau membeli barangan jualan peniaga asing tersebut. Bumi Malaysia memang subur dan bertuah kepada sesiapa yang rajin berusaha termasuk pendatang asing. Kalau tak kaya pun tapi boleh hidup senang. Adakah wujud undang-undang atau peraturan yang mengatakan rakyat asing dibenarkan menjalankan perniagaan di negara ini sebagaimana layaknya pelabur atau pedagang yang berdaftar. Pekerja asing sepatutnya bekerja dan bukannya menjalankan perniagaan. Mereka hanya layak bekerja dalam lima sektor yang dibenarkan kerajaan Malaysia iaitu perkilangan, perladangan, pertanian, pembinaan dan 15 jenis pekerjaan dalam sektor perkhidmatan.
Tak ada pun disebutkan mereka dibenarkan berniaga. Rakyat kita sudah rimas menunggu pihak berkuasa untuk mengambil tindakan ke atas pendatang asing yang berniaga.Saya lihat semakin hari semakin banyak warga asing berniaga di negara kita hingga menjejaskan perniagaan anak tempatan. Empayar perniagaan mereka pula berkembang daripada kecil kian membesar dan menambah cawangan baru di kawasan lain. Perkara warga asing berniaga di kawasan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ini bukan tidak nampak di mata pegawai penguat kuasa. Tapi apa yang mereka buat hingga bertambah ramai warga berniaga? Untuk mendapat ruang niaga yang kecil di pasar, dan pasar malam bukan kerja mudah bagi rakyat tempatan tetapi pendatang asing ini dengan mudah sahaja dapat berniaga dengan bebas. Lantaran itu, kini sama ada kita sedar atau tidak, pendatang-pendatang asing telah mula menguasai aktiviti ekonomi yang sepatutnya dimiliki kaum bumiputera. Kita tidak boleh biarkan perkara ini berleluasa, kalau tidak peluang perniagaan orang Melayu dan bumiputera akan terhakis. Kita kena ambil peduli fenomena pendatang asing berniaga ini.
Hingga hari ini penjaja ubat tradisional dari Indonesia dan peniaga kain dan tudung dari Pakistan di sekitar Jalan Masjid India dan Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur tidak diambil tindakan. Alasannya kerana mereka menyewa premis daripada warga tempatan. Memang kita tidak boleh salahkan mereka atau menahan mereka daripada berniaga. Ini kerana mereka menjalankan perniagaan dengan lesen yang sah daripada peniaga rakyat Malaysia sendiri yang ingin mengaut keuntungan cepat. Jadi, tiada kesalahan dari segi undang-undang. Dan perkara ini akan berlangsung selagi tiada usaha untuk mengambil tindakan tegas ke atas petualang di kalangan peniaga Melayu sendiri. Kita hanya menyandarkan harapan tinggi kepada rakyat Malaysia yang mempunyai kuasa undang-undang dan menjalankan penguatkuasaan demi keselamatan ekonomi bumiputera. Kalau dilihat di sekeliling kita, peniaga di kalangan rakyat asing ada di mana-mana. Fenomena ini patut diperbetulkan segera dengan tindakan tegas lagi berani daripada kerajaan melalui KDN dan PBT. Tidak patut ada lagi alasan itu dan ini daripada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap warga asing yang berniaga di negara ini. Sudah banyak amaran dikeluarkan, bila masa untuk bertindak pula?
SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
22 SEPTEMBER 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan