16 April 2011

ISU UMUM : KEYAKINAN PERLU KEKUATAN UNTUK BERUBAH

Oleh Dr Kamal Jit Singh


Andaian, peraturan berakar umbi dalam sistem kepercayaan hingga dianggap sebagai kebenaran. Pernahkah anda terfikir bagaimana saiz landasan kereta api moden dihasilkan? Jika anda bertanyakan mengenai perkara itu, anda perlu melihatnya jauh ke belakang. Anda akan mendapati jurutera British pada zaman itu mengikut saiz sedia ada kerana cuma ada satu-satunya alat yang digunakan bagi mengeluarkan landasan pada saiz berkenaan yang mudah diperoleh ketika itu. Bahan yang digunakan bagi menghasilkan landasan itu sememangnya sudah sedia ada dan bersesuaian pula dengan keadaan jalan di Britain pada waktu itu dan ia seterusnya menjadi standard yang digunakan pakai hingga kini. Landasan kereta api itu dibina mengikut jajaran jalan di Britain yang juga berasaskan kepada laluan tayar kereta kuda zaman Rom yang dibina hampir 2,000 tahun lalu.

Agak memalukan apabila kita menyedari bahawa bentuk landasan kereta api moden yang dibuat ketika ini tidak pernah berubah sejak 2,000 tahun lampau. Sama seperti papan kekunci ‘Qwerty’ yang kita gunakan pada setiap komputer hari ini. Pereka cipta asal sistem papan kekunci itu yang digunakan pada mesin taip itu dilihat mungkin sengaja mengguna pakai sistem itu bagi melambatkan tindakan menaip abjad. Apakah penyelesaian terbaik kepada perkara itu adalah untuk mencampuradukkan abjad sehingga orang berasa lebih sukar untuk menaip dengan cepat? Namun, hampir 140 tahun kemudian, kita masih menggunakan papan kekunci Qwerty yang sama. Selepas belajar menggunakannya kita dapat menaip dengan lebih pantas. Kenapa kita masih mereka cipta pesawat dengan mempunyai sayap, walaupun kita tahu sesebuah pesawat itu tidak memerlukan sayap untuk terbang?

Kenapa kita mereka bentuk kereta dengan tayarnya yang mampu ke depan dan ke belakang saja? Di kebanyakan negara membangun pula, motosikal adalah satu-satunya kenderaan yang mampu dimiliki. Tetapi kenapa kita masih mereka bentuk kenderaan itu untuk kegunaan dua orang, sedangkan kita tahu seluruh keluarga patut menaikinya? Kita nampaknya masih melakukan sesuatu berasaskan kepada andaian tertentu dan yakin bahawa kita sudah mengambilnya sebagai satu peraturan atau kebenaran yang tidak seharusnya disanggah. Andaian dan peraturan berakar umbi dalam sistem kepercayaan kita dan terus menyamar sebagai kebenaran. Kita seharusnya dapat memisahkan faktor andaian dan peraturan daripada fakta, dengan mempersoalkan setiap daripadanya yang selama ini kita mengambilnya secara membuta tuli bahawa ia satu kebenaran.

Setiap pereka cipta pesawat pada masa lalu bergantung kepada jadual serta data yang dikumpul oleh ahli kaji terbang sebelumnya. Bagaimanapun, pencipta kapal terbang pertama, Wright Bersaudara tidak mahu menerima semua data yang dikumpul sebelum ini, malah mempersoalkannya. Mereka mendapati data sedia ada dibuat berdasarkan kepada andaian dan tidak bersandarkan kepada fakta sebenar. Ada banyak alasan mengapa kita harus mencabar peraturan dan andaian. Pertama, mereka mungkin benar pada saat mereka membuat kajian terhadap sesuatu maklumat yang mereka kumpul, tetapi maklumat itu tidak lagi dapat digunakan pakai pada hari ini. Bangsa Rom purba percaya bahawa manusia tidak boleh berlari dalam jarak sebatu dalam masa kurang dari empat minit. Bagaimanapun, pada 1954 seorang penuntut jurusan perubatan Roger Bannister, yang tidak menyedari hal ini, berjaya memecah tembok itu dengan larian kurang empat minit pada satu acara olahraga di Oxford, England.

Anehnya selepas Bannister memecahkan ‘andaian’ itu, beberapa pelari lain dapat melakukan perkara sama beberapa minggu kemudian. Faktor andaian sebenarnya menyebabkan manusia keliru sehingga ia menjadi peraturan yang menghalang kemajuan. Kedua, iaitu andaian atau peraturan yang didasarkan kepada kepercayaan tradisi dan budaya. Walaupun ada antaranya adalah amalan yang mengarut tetapi tetap diterima sebagai satu peraturan dan dianggap kebenaran. Contohnya, ada suku kaum tertentu di Afrika melihat parut di muka dan kepala botak sebagai sangat menarik. Jika seorang gadis itu tidak sengaja membuat wajahnya mempunyai parut atau mencukur kepalanya botak, dia akan sukar mencari seorang teman hidup. Budaya masyarakat lain pula mendapati seorang gadis yang kurus tidak menarik, berbanding yang berbadan besar – lebih besar tubuh seseorang gadis itu, maka lebih menarik dan menjadi idaman ramai lelaki. Andaian itu mungkin bersifat setempat atau wilayah, tetapi tidak bersifat sejagat.

Ketiga, mentaliti mudah percaya dengan sesuatu idea walaupun banyak menimbulkan kekeliruan, tetapi pada masa sama orang masih percaya. Walaupun selepas beberapa generasi andaian itu masih diterima, seperti suatu ketika dulu ramai orang percaya dengan andaian bahawa bumi adalah mendatar dan bukan bulat. Dalam contoh lain, ahli astronomi sebelum ini menerima andaian bahawa matahari dan planet di cakerawala berputar mengelilingi bumi. Namun, seorang ahli sains berbangsa Poland, Nicolas Copernicus menidakkan andaian itu dan menyatakan bahawa matahari sebenarnya yang berada di pusat cakerawala dan bumi yang mengelilinginya. Malangnya, Copernicus meninggal dunia sebelum penemuannya diterima di seluruh dunia. Apakah andaian yang anda buat mengenai pelanggan anda, pasaran, pesaing dan sesuatu produk? Sejauh mana benar andaian itu. Adakah anda sudah mengujinya baru-baru ini? Seorang pereka cipta harus berani membebaskan dirinya daripada belenggu yang menahan mereka daripada melahirkan idea kreatif. Peraturan dan andaian adalah penjara yang membuat kita terkunci pada keyakinan yang salah. Namun, ia memerlukan keberanian untuk mempersoalkan keyakinan kita.

Penulis ialah Ketua Pegawai Eksekutif Unit Inovasi Khas Pejabat Perdana Menteri

BERITA HARIAN
16 APRIL 2011

ISU ALAM SEKITAR : HARI BUMI, DIMANAKAH KITA?

Oleh MOHD. HAZLI HASSAN


Pada 22 April ini, seluruh dunia akan menyambut Hari Bumi. Tema sambutan tahun ini adalah 'Berbilion Tindakan Hijau'. Meneliti tema itu, apa yang dimahukan sambutan kali ini ialah kempen-kempen memulihara alam sekitar dijana oleh orang ramai yang boleh dilakukan dalam berbilion cara. Di Malaysia, ada tiga program pemuliharaan alam sekitar untuk Hari Bumi 2011 iaitu Selamatkan Air Terjun, sementara Kumpulan Pertubuhan Bukan Kerajaan Alam Sekitar Malaysia (MeNGO) turut mengadakan Mengo Green Hunt 2011. Selain itu, Four Starwood Hotels & Resorts di Langkawi akan mengadakan program menanam 1,000 pokok di Sungai Bukit Hantu. Bagi saya, kebanyakan program yang diadakan itu hanyalah promosi perhubungan awam untuk selari dengan program yang dijayakan di seluruh dunia.

Ia hanya program berkala dan tiada kelestarian dalam pemuliharaan alam sekitar secara berterusan. Apabila program selesai dijalankan, tidak banyak pihak mahu berusaha untuk meneruskannya supaya dapat berkekalan dan betul-betul 'menjadi'. Apa pun, saya tidak mahu komen banyak mengenai program yang dilakukan oleh pihak korporat kerana pada saya walaupun tidak berterusan tetapi mereka tetap melakukan sesuatu yang baik dan boleh dicontohi. Apa yang ingin saya katakan ialah usaha pemuliharaan yang dijalankan oleh individu yang tidak pernah diberikan promosi oleh media. Mereka secara senyap melakukan pemuliharaan alam sekitar dengan usaha sendiri termasuk mengeluarkan kos sendiri. Bagi saya, mereka ini yang sepatutnya dibantu kerana tidak ramai mahu melakukan usaha murni ini dengan perbelanjaan sendiri.

Usaha yang dilakukan tanpa mahu mempopularkan diri ini perlu diberi perhatian khusus supaya ia dapat diteruskan. Yang peliknya, walaupun terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri, usaha murni ini dilakukan secara berterusan sehingga ada yang berjaya sampai kepada matlamatnya. Jika mereka boleh berjaya, kenapa mereka yang mempunyai bajet tinggi dan pelbagai tajaan daripada pihak korporat tidak boleh berjaya. Kenapa perlu dilakukan dalam masa singkat sahaja. Adakah hanya disebabkan mahu popular dalam masa singkat atau hanya mahu mendapatkan pelepasan cukai? Jadi, sempena Hari Bumi 2011 ini, saya amat berharap bukan hanya korporat, individu juga boleh memulakan kempen pemuliharaan secara berterusan. Lebih mudah, ia boleh dimulakan di rumah dengan menjalankan aktiviti kitar semula dengan mengasingkan bahan buangan secara teratur. Mampukah kita?

UTUSAN MALAYSIA
16 APRIL 2011

13 April 2011

ISU PENDIDIKAN : PENDIDIKAN DI SARAWAK JADI KEUTAMAAN

Oleh Khaled Nordin
BERITA HARIAN, 13 APRIL 2011


Karnival Pengajian Tinggi Negara Jom Masuk U edisi ketujuh sudah berakhir awal bulan lalu. Karnival dianjurkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan kerjasama Kementerian Pelajaran ini satu manifestasi dan komitmen kerajaan melalui kaedah 'outreach' untuk memberi maklumat peluang pendidikan tinggi kepada semua lapisan masyarakat. Dijayakan 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA), lebih 100 institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) terpilih, agensi di bawah KPT serta Kementerian Pelajaran, yayasan negeri dan agensi pembiayaan pendidikan. Malah, karnival ini kesinambungan kepada kejayaan program dianjurkan sejak 2005, dahulunya dikenali Program Pendidikan KPT Bersama Rakyat. Pada tahun ini KPT mengekalkan tagline iaitu ‘Jom Masuk U’ bertemakan ‘1Malaysia: Pendidikan Untuk Semua.’ Sambutan karnival ini amat memberangsangkan dan difahamkan, jumlah pengunjung ketara meningkat berbanding tahun sebelumnya.

Jika tahun lalu, jumlah pengunjung dicatatkan 220,000 orang, tetapi tahun ini mencecah ke angka 300,000 pengunjung. Tidak dinafikan, sambutan amat menggalakkan ini disebabkan kelainan dan perubahan dibawa oleh karnival pada tahun ini. Buat julung kalinya, Karnival Jom Masuk U berperanan sebagai ‘One Stop Centre’ atau Pusat Sehenti Bermaklumat menguruskan permohonan dan pemilihan ke Institusi Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TEVT) dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA).  Langkah ini bertepatan dengan usaha menggalakkan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memasuki pasaran kerja memiliki kemahiran tinggi seterusnya meningkatkan pekerja mahir daripada 28 peratus kepada 40 peratus menjelang 2020.  Sebanyak 3.3 juta peluang pekerjaan baru akan diwujudkan di bawah Aktiviti Ekonomi Utama Nasional atau NKEA menjelang 2020 dan 60 peratus daripadanya pekerjaan berkemahiran tinggi.

Daripada jumlah itu, negara memerlukan 679,977 pekerja mahir pada peringkat diploma.  Sehubungan itu, KPT sudah mengambil langkah mengarusperdanakan pengajian diploma sama ada pada peringkat IPTA mahupun politeknik. Beberapa pendekatan strategik sudah dikenal pasti untuk menarik pelajar lepasan SPM mengikuti pengajian diploma. Ini dilakukan melalui meningkatkan jumlah pengambilan pelajar dan memperkenalkan program diploma yang baru selaras dengan keperluan Program Transformasi Ekonomi (ETP). Dalam soal pengambilan pelajar di IPTA, jumlah pengambilan pengajian diploma pada tahun ini sudah ditambah 5.44 peratus menjadi 22,927 tempat berbanding 21,744 pada tahun lalu, manakala politeknik pula, jumlah pengambilan turut bertambah kepada 51,000 tempat, iaitu meningkat 23 peratus berbanding 41,382 tempat saja pada tahun lalu. Jika digabungkan jumlah pengambilan diploma pada peringkat IPTA dan politeknik, jumlah pengambilan diploma secara keseluruhan pada tahun ini membabitkan 74,000 tempat.

Sebagai usaha tambahan bagi menggalakkan penyertaan dalam pengajian diploma khususnya peringkat politeknik, tempoh pengajian akan dipendekkan untuk pelajar cemerlang iaitu hanya dua tahun setengah berbanding tempoh asal tiga tahun.  Pelajar lepasan SPM juga berpeluang memohon pengajian peringkat asasi pada tahun ini yang menyediakan 16,640 tempat berbanding 14,090 tempat pada tahun lalu, iaitu penambahan 2,550 tempat. Hari ini terdapat universiti yang memperluaskan inisiatif CSR ini dengan menyediakan program pradiploma bagi tujuan mengimbangi ketiadaan pelajar dalam sesuatu bidang, mengatasi masalah keciciran sesuatu kaum dan memberi peluang kedua. Sebagai contoh, UiTM sudah memperkenalkan Pra Diploma-Program Mengubah Destini Anak Bangsa, Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan program Pra Diploma Pertanian dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui program Pra-Diploma Kejuruteraan.

Seperti kita sedia maklum, Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-10 akan berlangsung pada 16 April ini. Seperti negeri lain, Sarawak tetap diberikan keutamaan dalam soal pendidikan khususnya pengajian tinggi. Malah, Sarawak harus berbangga kerana memiliki beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) yang dapat menjana modal insan tempatan untuk pembangunan dan kemajuan negara. Selain memiliki IPTA seperti Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Sarawak, Negeri Bumi Kenyalang ini juga mempunyai 36 IPTS sama ada pada peringkat universiti mahupun kolej swasta. Dengan wujudnya rangkaian IPT ini di seluruh Sarawak, ia dapat membuka akses kepada pengajian tinggi khususnya masyarakat tempatan di sana. Kini, 22,319 anak Sarawak sedang mengikuti pengajian di 20 IPTA seluruh negara sehingga 31 Disember 2010. Selain di universiti, ramai yang mengikuti pengajian peringkat Kolej Komuniti mahupun Politeknik.

Dalam konteks Kolej Komuniti, terdapat 465 pelajar sedang mengikuti pengajian di Kolej Komuniti Kuching, Kolej Komuniti Mas Gading, Kolej Komuniti Cawangan Betong dan Kolej Komuniti Cawangan Santubong. Pada peringkat politeknik pula, seramai 6,309 orang pelajar dari Sarawak sedang mengikuti pengajian di seluruh Malaysia. Daripada jumlah ini, 2,901 orang pelajar berada di Politeknik Kuching dan 2,374 di Politeknik Mukah. Insya-Allah, Politeknik Metro di Betong akan dibina pada tahun hadapan melalui Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10). Politeknik ini akan memberi fokus kepada kursus yang berkaitan dengan hospitaliti, perakaunan dan teknologi maklumat (IT). Kita percaya perkembangan ini membuktikan masyarakat tempatan Sarawak sememangnya tidak ketinggalan dalam arus perdana pengajian tinggi di negara. Walau bagaimanapun, diharapkan penyertaan masyarakat di Sarawak dalam pengajian tinggi akan dapat dipertingkatkan dari masa ke semasa ke arah melahirkan modal insan tempatan (indigenous human capital) yang berkualiti untuk keperluan negara.

Penulis ialah Menteri Pengajian Tinggi

ISU SUKAN : KEJAYAAN MALAYSIA BAWA F1 JADI IKUTAN NEGARA ASIA LAIN

Oleh Zairee Zahir
azairee@nstp.com.my
BERITA HARIAN, 13 APRIL 2011


Ketika kali pertama Malaysia berkira-kira mahu membawa perlumbaan sukan permotoran berprestij Formula Satu (F1) ke Malaysia pada 1997, idea itu dilihat agak janggal dan keterlaluan kerana negara ini tidak mempunyai sejarah dalam perlumbaan sehebat itu.  Kunjungan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke Estoril, Portugal untuk melihat sendiri perlumbaan paling mahal itu menjadi landasan pertama usaha ke arah membawa F1 ke Malaysia dan selepas itu, kawasan di Sepang dikenal pasti akan dibangunkan untuk membina litar canggih bertaraf antarabangsa menepati spesifikasi Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA). Gergasi petroleum negara, PETRONAS juga sudah mengambil langkah awal ketika itu dengan menceburi sukan permotoran nombor satu dunia ini menerusi penajaan pasukan Sauber-Ford pada 1995 diikuti tajaan Tourism Malaysia bersama pasukan Stewart-Ford pada 1997.

Hanya dalam tempoh tidak sampai tiga tahun, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) ilham reka bentuk Hermann Tilke menelan belanja kira-kira RM298 juta siap sepenuhnya dengan Kejuaraan Motosikal Dunia 1998 menjadi acara sukan antarabangsa pertama dianjurkan, manakala edisi F1 GP Malaysia dipentaskan kepada peminat tempatan pada tahun berikutnya. Ia catat satu sejarah tersendiri kerana hanya Jepun ketika itu, menjadi tuan rumah kepada F1 dan Malaysia menjadi hos kedua di Asia menganjurkan perlumbaan F1 dan tidak dapat dinafikan, Malaysia turut menjadi hab sukan permotoran baru di Asia sehingga kini.  Pada tahun pertama penganjuran, dianggarkan pendapatan tidak langsung daripada aktiviti berkaitan F1 itu seperti pelancongan, pendapatan hasil kemasukan penonton luar negara, industri perhotelan dan promosi mencecah hampir RM500 juta, sekali gus membuktikan F1 satu pelaburan yang berjaya.

Terbukti banyak negara Asia lain terbuka mata dan hati untuk belajar daripada kebijaksanaan kerajaan Malaysia membantu membawa F1 ke negara ini dan hasilnya, beberapa negara lain mengikut jejak langkah negara ini dan Jepun untuk melobi FIA membawa F1 ke negara Malaysia.  Kini, China, Singapura, Bahrain, Korea, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan terbaru India, mengikut jejak langkah Jepun dan Malaysia untuk menjadi tuan rumah dalam kalendar perlumbaan F1 kerana dapat melihat pulangan langsung dan tidak langsung daripada limpahan nikmat dibawa sukan berkenaan. GP Malaysia-PETRONAS 2011 kelmarin dikunjungi 105,008 peminat, hampir separuh daripadanya pengunjung dari luar negara di sepanjang tiga hari perlumbaan ini dan ia boleh dianggap satu lagi kejayaan negara sebagai penganjur sukan bertaraf antarabangsa. Penganjuran tahun ini juga dianggarkan mencecah ratusan juta ringgit.

Seperti disebut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang turut hadir menyaksikan perlumbaan Ahad lalu, perlumbaan edisi ke-13 kali ini dianggap istimewa kerana pembabitan secara langsung tiga pasukan yang ada kaitan dengan syarikat konglomerat Malaysia dalam tiga daripada 12 pasukan. GP Mercedes–PETRONAS, Lotus–Renault dan Lotus Racing turut mengibar Jalur Gemilang dalam perlumbaan itu walaupun Lotus-Renault harus berasa perlumbaan kali ini lebih bermakna kerana pemandunya, Nick Heidfeld berjaya berdiri di podium ketiga pada akhir perlumbaan.  Perlumbaan dimenangi pemandu Jerman mewakili pasukan Red Bull Racing, Sebastian Vettel, dan GP Malaysia–PETRONAS 2011 sekali lagi membuktikan kelangsungan kerajaan menjayakan perlumbaan disiarkan secara langsung kepada dunia itu.  Kehadiran Najib dan Mahathir juga dilihat sebagai komitmen kerajaan memastikan F1 terus dipertontonkan di Malaysia, sehingga kontrak penganjuran dijangka berakhir 2015 nanti.

Sekalipun Perdana Menteri berkata Kabinet hanya akan membincangkan sama ada akan memohon lanjutan kontrak penganjuran apabila tiba masa nanti, tempoh yang masih ada harus digunakan sebaiknya untuk terus menjual Malaysia sebagai destinasi F1 terbaik di luar Eropah, apatah lagi dengan kemunculan beberapa permohonan baru sejak kebelakangan ini. Yang nyata, keputusan kepimpinan negara untuk menceburi F1 suatu masa dulu walaupun mengundang pelbagai tanggapan sinis dan dianggap membazir, adalah satu keputusan tepat hingga mampu menjadikan Malaysia sebagai hab sukan pemotoran terkemuka Asia dan meletakkan negara ini sebagai antara destinasi pelancongan sukan terkemuka dunia.

ISU BAHASA : MEMUPUK RASA BANGGA JULANG BAHASA MELAYU

Oleh Teo Kok Seong
BERITA HARIAN, 13 APRIL 2011


Program Pembudayaan Bahasa yang dilancarkan baru-baru ini oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, antaranya bertujuan memastikan tahap penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa negara berlaku dalam kuantiti yang banyak dan kualiti yang baik, sama ada dalam sektor awam mahupun swasta. Sesungguhnya ia boleh juga dimanfaatkan untuk pelbagai tujuan kenegaraan yang lain. Bahasa adalah satu-satunya entiti yang boleh digunakan untuk mencapai pelbagai tujuan. Antaranya bahasa boleh dijadikan wahana untuk mengungkapkan sesuatu kebudayaan, penanda identiti sesebuah kelompok etnik dan kuasa untuk penyatuan politik sesebuah negara. Untuk tujuan kenegaraan, bahasa boleh digunakan menjadi lambang kepada jati diri nasional serta nasionaliti sesebuah negara, selain menjadi wahana menyatupadukan rakyat, khususnya yang berbilang kaum dalam sesebuah negara itu. Ia boleh juga digunakan untuk mengungkapkan etos kebangsaan dan membangkitkan semangat kebangsaan.

Sehubungan ini, bahasa yang digunakan untuk mendukung fungsi kenegaraan adalah bahasa yang dimiliki dan dikongsi bersama. Lazimnya hanya satu bahasa yang dikongsi bersama digunakan untuk tujuan kenegaraan. Ini adalah kerana gagasan pemilikan dan perkongsian hanya satu bahasa didapati amat berkesan, khususnya ketika melaksanakan fungsi penyatuan dan kemajuan nasional yang dilakukan secara sekali gus. Dua fungsi ini yang didapati saling melengkapi didukung oleh bahasa yang sama.  Sebagai bahasa negara, bahasa Melayu mendukung dua fungsi. Pertama sebagai bahasa kebangsaan dan kedua sebagai bahasa rasmi. Sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu adalah lambang jati diri nasional dan nasionaliti Malaysia, selain penanda kesatuan rakyat. Selaku bahasa rasmi pula, bahasa Melayu adalah alat untuk memajukan rakyat dan negara.  Walaupun Malaysia memilih dan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa negara, penggunaan bahasa etnik, misalnya Mandarin dan Tamil dibenarkan dalam sistem pendidikan nasional.

Di mana-mana negara di seluruh dunia, pendidikan dijadikan dan memang pun menjadi alat penting untuk menyatupadukan rakyat, khususnya dalam membentuk jati diri nasional dan nasionaliti dalam kalangan rakyat, selain memajukan rakyat dan negara. Malaysia tidak terkecuali dalam hal ini.  Di Malaysia, kita mempercayai dan meyakini bahawa penggunaan bahasa Melayu dalam kapasitinya sebagai bahasa negara sebagai satu-satunya bahasa pengantar utama, adalah kaedah terbaik untuk menyatupadukan rakyat yang berbilang kaum dan seterusnya memajukan rakyat dan negara. Sehubungan ini, penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama bersama-sama dengan bahasa etnik seperti Mandarin dan Tamil sebagai bahasa pengantar sampingan dipercayai dan diyakini dapat membentuk 1Semangat Kebangsaan dan 1Jati Diri Nasional, yang lebih menyeluruh sifatnya dalam kalangan rakyat Malaysia.

Ini bermakna dalam keseluruhan itu, semangat dan jati diri etnik Cina dan India itu yang dipupuk menerusi pendidikan vernakular dan pengamalan budaya dan warisan etnik, hendaklah diletakkan di bawah tempat bertakhtanya semangat kebangsaan dan jati diri nasional. Dengan perkataan lain, semangat kebangsaan dan jati diri nasional hendaklah dipastikan selalu berada dan diletakkan di atas semangat dan jati diri etnik. Semangat kebangsaan dan jati diri nasional itu perlu berlandas simbol dan proses sosiobudaya Melayu. Ini adalah kerana ia dipersetujui dalam Perjanjian Etnik/Kontrak Sosial yang dimeterai ketika kita mencapai kemerdekaan pada 1957. Antara simbol dan proses sosiobudaya Melayu itu ialah bahasa Melayu yang dipilih untuk menjadi bahasa negara ini. Dalam konteks kenegaraan, bahasa Melayu selaku bahasa negara ini dalam kapasitinya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi adalah maruah negara, antaranya jati diri nasional dan nasionaliti Malaysia.

Sehubungan ini, memalukan sekali sekiranya masih ada, walaupun seorang rakyat Malaysia tidak boleh atau tidak mahu berbahasa Melayu, lebih-lebih lagi dalam kalangan golongan pasca merdeka. Perkara sebegini pernah dilaporkan. Antaranya membabitkan seorang wanita Cina yang berusia 51 tahun tidak boleh atau tidak mahu berbahasa Melayu, iaitu bahasa negara ini dan terus berbahasa Inggeris apabila memberi keterangan ketika membuat laporan mengenai tas tangannya diragut, di Balai Polis Sentul, Kuala Lumpur. Tindakan wanita ini ditegur oleh pegawai polis Melayu yang mengambil keterangan dan tegurannya itu yang dianggap perkauman sehingga beberapa pihak mendesak agar tindakan tegas diambil terhadapnya. Desakan untuk menghukum ini menunjukkan ramai yang gagal melihat isu sebenarnya di sebalik teguran itu. Teguran itu sebetulnya adalah manifestasi kekecewaan yang kemudian menjadi kemarahan orang Melayu selaku kaum dominan, terhadap sesetengah rakyat Malaysia yang masih tidak nasional pada diri mereka.

Antaranya termasuk keengganan menggunakan bahasa Melayu, iaitu bahasa negara ini, khususnya dalam urusan rasmi. Sehubungan itu, jati diri nasional dan nasionaliti atau kerakyatan Malaysia bergantung sepenuhnya kepada bahasa Melayu selaku bahasa negara ini. Bahasa negara sebetulnya adalah sebahagian yang amat penting dalam mana-mana nasionaliti di dunia ini.  Dalam kes kerakyatan negara Malaysia, bahasa Melayu adalah juga bahagian yang penting. Malah, pengetahuan dan penguasaan bahasa Melayu diuji kepada mana-mana pihak yang memohon kerakyatan Malaysia pada masa dulu ketika kemerdekaan dan juga pada masa kini.  Komen balas daripada sesetengah rakyat Malaysia mengenai peristiwa ini, dalam bentuk surat pembaca di akhbar dan juga dalam media baharu, memperlihat bahawa jahilnya sebilangan rakyat Malaysia mengenai jati diri nasional dan nasionaliti Malaysia. Ia mempunyai kaitan rapat dengan bahasa Melayu selaku bahasa negara ini dalam kes ini. Masanya sudah tiba untuk diperbetul kejahilan ini dalam kalangan rakyat Malaysia. Ia boleh dan mesti dilakukan melalui Program Pembudayaan Bahasa ini untuk memupuk perasaan bangga, sayang dan setia kepada bahasa Melayu selaku bahasa negara ini.

Penulis ialah Timbalan Pengarah Institut Alam dan Ketamadunan Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

ISU PENDIDIKAN : PELAJAR PATUT AMBIL IKTIBAR KESAN SALAH LAKU PADA MASA DEPAN


Kes salah laku termasuk pergaduhan hingga kepada pembabitan dalam kejadian jenayah membabitkan pelajar bukan perkara baru. Sudah banyak kes seumpama ini dilaporkan menerusi media. Tidak kurang juga pelajar yang didapati bersalah dan menerima hukuman sebagai pesalah juvana. Khamis lalu media memaparkan satu lagi kes salah laku membabitkan pelajar berusia 14 tahun. Dalam kejadian itu, seorang guru wanita retak tulang hidung akibat ditumbuk pelajar Tingkatan Dua, di Sekolah Menengah Dato Jaafar Hassan, Bukit Keteri, Kangar. Kejadian itu berlaku selepas guru itu menegur pelajar berkenaan yang bergaduh di pekarangan sekolah. Apabila berlaku kes sebegini, kita tertanya-tanya apakah punca sebenar sehingga menyebabkan seorang pelajar tergamak mencederakan gurunya sendiri di kawasan sekolah. Walaupun isu pelajar bertindak kasar terhadap guru di negara ini tidak seteruk seperti kejadian di sesetengah negara lain, namun kita tidak boleh membiarkannya terus berlaku sehingga keadaan menjadi tidak terkawal. Justeru, adalah wajar semua pihak memberi perhatian serius perkembangan tidak sihat ini dan mencari jalan menanganinya secara berkesan.

Agak sukar mencari jawapan berhubung tindakan pelajar berkenaan yang berani mencederakan gurunya di depan kelas dengan disaksikan pelajar lain. Apa silapnya dengan pelajar terbabit sehingga tidak takut dan hilang hormat kepada guru berkenaan? Apakah ibu bapa patut dipersalahkan kerana sikap biadap dan keterlaluan anak mereka itu atau apakah mungkin ia disebabkan pengaruh anasir luar. Kita tidak boleh menafikan tempat terbaik membentuk disiplin anak ialah di rumah, apatah lagi ia sememangnya menjadi tanggungjawab ibu bapa serta keluarga. Alam persekolahan serta guru hanyalah sebagai pelengkap untuk membimbing pelajar supaya menjadi manusia berguna, khususnya dalam menjadikan mereka sebagai insan berakhlak mulia dan berilmu. Adalah tidak wajar guru dipersalahkan berhubung salah laku pelajar kerana mereka sudah berusaha sedaya upaya mendisiplinkan pelajar. Pelajar sepatutnya mengambil iktibar kes salah laku kerana jika kesalahan dilakukan itu serius dan didapati bersalah, ia pastinya membantut pembelajaran dan masa depan mereka. Itulah yang bakal dihadapi pelajar Sekolah Menengah Dato Jaafar Hassan, apabila mengaku salah di Mahkamah Majistret kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan guru disiplinnya.

Pelajar itu dikesan melakukan dua kesalahan besar di sekolah berkenaan. Selain menumbuk guru, pelajar berkenaan sebelum itu terbabit dalam pergaduhan. Akibat tidak dapat menerima teguran guru terbabit, pelajar terbabit menumbuknya. Dari segi peruntukan peraturan sekolah, guru disiplin dibenarkan mengambil tindakan ke atas mana-mana pelajar yang didapati bersalah melanggar peraturan dan disiplin sekolah. Sebagai sebuah institusi pendidikan, sekolah mempunyai peraturan yang mesti dipatuhi setiap pelajar. Apapun masalah yang timbul membabitkan pelajar dan guru tidak boleh dibiarkan berlarutan sehingga boleh menjejaskan pembelajaran. Dalam menghadapi isu ini, ibu bapa harus bersikap rasional dan tidak membuta-tuli menyebelahi anak. Mereka mesti selidik dulu siapa yang benar dan salah serta mengutamakan perundingan bagi menyelesaikan setiap masalah. Oleh kerana kes ini sudah dibawa ke mahkamah dan hukumannya akan diputuskan 4 Mei ini, adalah wajar mana-mana pihak melihat keputusan mahkamah itu sebagai peringatan kepada pelajar supaya tahu menghormati dan menghargai guru.

BERITA HARIAN
13 APRIL 2011

10 April 2011

ISU SOSIAL : ADA NEGARA TEMBAK PERASUAH


Sepatutnya ruangan Wawancara minggu ini diisi dengan dua temu bual - Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia, DATUK SERI MOHAMED KHALID YUSUF dan Presiden Institut Integriti Malaysia (IIM), DATUK MOHD. TAP SALLEH.Temu bual berkisar soal keutamaan Mohamed Khalid selepas dilantik Ketua Pengarah Oktober lalu. Temu bual bersama Mohamed Khalid sepatutnya berlangsung pukul 10 pagi Khamis lalu. Namun terpaksa ditunda ke pukul 11 pagi kerana Ketua Pengarah dikatakan bertemu Perdana Menteri. Pada pagi Khamis, seorang pegawai memaklumkan temu bual ditunda lagi ke satu tarikh lain kerana Mohamed Khalid ada urusan dengan Peguam Negara. Memahami kesibukan beliau berikutan penahanan 62 kakitangan jabatan itu berhubung rasuah, disusuli pula insiden Pengolong Pengarah Kastam Selangor maut terjatuh dari tingkat tiga bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Wilayah Persekutuan, maka hanya satu temu bual iaitu bersama Mohd. Tap disiarkan. Ditanya desakan supaya Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Abu Kassim Mohamed meletakkan jawatan berikutan insiden maut itu, Mohd. Tap memberi analogi iaitu adalah tidak adil mendesak Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) meletakkan jawatan jika berlaku kemalangan di jalan raya. Mahu supaya jenayah rasuah diperangi habis-habisan, Mohd. Tap memberitahu wartawan Mingguan Malaysia NORAINI ABD. RAZAK bahawa penerima dan pemberi rasuah perlu dilayani seperti parasit masyarakat.

MINGGUAN: Apa pandangan Datuk terhadap perkembangan terkini kes penahanan kakitangan Jabatan Kastam dan Imigresen termasuk yang berpangkat tinggi serta bergelar Datuk kerana disyaki terlibat kes rasuah?

MOHD TAP: Pertama sekali tahniah kepada agensi-agensi penguat kuasa yang diketuai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas kejayaan membongkar kes-kes rasuah di Jabatan Kastam dan Imigresen. Walaupun jumlah tangkapan besar iaitu 62 kesemuanya, tetapi kita mesti melihat daripada perspektif 1.4 juta kakitangan awam. Tangkapan-tangkapan ini menunjukkan seriusnya pihak berkuasa menangani soal rasuah. Oleh itu saya berharap masyarakat dapat terus membantu untuk menangani penyakit rasuah kerana kejayaan membanteras rasuah bergantung besar kepada kerjasama masyarakat. Rasuah tidak kenal pada jerung besar atau ikan kecil. Kedua-duanya Sama-sama sampah masyarakat dan diharap dilaknat Allah.

MINGGUAN : Apakah kaedah terbaik untuk membendung penyalahgunaan kuasa oleh kakitangan di jabatan atau agensi kerajaan yang berurusan dengan orang ramai dan bertanggungjawab dalam meluluskan permohonan seperti lesen serta yang diberi tanggungjawab menguatkuasakan undang-undang?

MOHD TAP: Saya jangka berbagai kaedah telah dan sedang digunakan oleh agensi-agensi kerajaan untuk membanteras rasuah. Kami di Institut Integriti Malaysia (IIM) juga terlibat menanam kesedaran ini bukan sahaja di agensi kerajaan tetapi juga swasta dan di kalangan masyarakat. Banyak agensi awam yang berurusan dengan orang ramai telah menunjukkan prestasi yang baik, telus dan berwibawa seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Kami menyeru agar agensi-agensi lain menjadikan mereka sebagai model. Perlu ditekankan di sini walaupun banyak usaha serta program telah dilaksanakan oleh agensi-agensi untuk membanteras rasuah seperti memperbaiki proses dan prosedur, tetapi jika pemantauan berkala tidak dilakukan secara serius ia mengundang padah. Perkara yang paling kritikal sekali pada pandangan saya adalah apa pun prosedur atau pemantauan yang dibuat, jika kakitangan itu sendiri tidak mempunyai nilai dan etika yang baik, lambat laun mereka ini akan mengetepikan prosedur dan proses mencegah rasuah serta salah guna kuasa yang ada.

MINGGUAN : Bermakna setiap proses ke arah membendung gejala rasuah tidak boleh ada tarikh luput?

MOHD TAP: Penanaman nilai-nilai murni atau prinsip-prinsip integriti perlu dilakukan setiap masa, seperti setiap hari sebelum memulakan kerja. Perkara ini juga mesti ditekankan oleh ketua-ketua setiap kali ada perjumpaan. Tidak berkesan jika kita hanya setahun sekali ada program integriti dan berharap semua perbuatan buruk akan dapat dibanteras. Walau apa pun, saya berpendapat bahawa proses dan kaedah pengambilan kakitangan awam terutama untuk agensi penguatkuasaan dan perlesenan perlu dilihat kembali supaya mereka yang dipilih tidak ‘menyimpang’ kemudian hari kelak, jika ada peluang dan ruang. Warren Buffet pernah berkata: ‘‘When you want to hire people, look for three qualities - Integrity, Intelligence and Energy. And if he does not have the first one, the other two will kill you (the organisation).’’

MINGGUAN : Adakah perkembangan terbaru ini membuktikan tahap kesedaran masyarakat terhadap perlunya amalan rasuah dibanteras hingga ke peringkat akar umbi dengan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa semakin meningkat?

MOHD TAP: Ya, kerana rakyat sudah muak dengan penyelewengan, salahguna kuasa dan rasuah bukan sahaja di kalangan pegawai kastam atau imigresen tetapi semua pegawai awam, sektor korporat dan ahli-ahli politik. Mereka ini telah diamanahkan rakyat untuk melakukan yang terbaik untuk rakyat, tetapi mereka telah mematahkan harapan rakyat. Saya berharap jika sabit kesalahan, hukuman seberat-beratnya akan dikenakan kepada mereka, bukan sahaja kali ini tapi untuk mereka yang terbabit rasuah pada masa akan datang. Kita mesti ingat, ada negara yang menembak mereka yang disabitkan kesalahan makan rasuah. Rakyat telah terlalu muak dengan masalah ini. Terlalu banyak usaha kesedaran yang cuba ditanamkan oleh kerajaan. Sepatutnya tidak ada alasan lagi.

MINGGUAN : Pelbagai langkah termasuk menaikkan imbuhan serta menyediakan pelbagai kemudahan kepada kakitangan awam untuk mengelak mereka terjebak dalam amalan rasuah, namun masih ada kes-kes rasuah dilaporkan, paling menyedihkan ia turut berlaku di kalangan pegawai berpangkat tinggi, pada pandangan Datuk?

MOHD TAP: Perlakuan rasuah bukan disebabkan gaji kecil kerana ramai orang yang ditangkap menerima rasuah bergaji besar. Banyak rasuah dan salah guna kuasa disebabkan oleh sifat tamak haloba, tidak ada maruah, tiada harga diri, dan didikan agama yang nipis. Kalau kita buat bancian, saya jangka semua yang ditangkap kerana kesalahan rasuah memiliki kereta, mungkin lebih daripada satu. Mereka juga menikmati segala kemudahan yang dikecapi oleh orang lain. Jadi bukan sebab gaji kurang, atau mereka tak cukup makan. Pucuk pangkal nilai-nilai dan kesedaran di dalam diri kita. Jangan salahkan agensi, sistem atau kerajaan. Tiada kerajaan di dunia ini atau agensi yang sukakan rasuah. Pelbagai kaedah telah disediakan untuk membanteras amalan ini. Individu, keluarga dan ahli masyarakat sama-sama perlu terlibat. Penerima dan pemberi rasuah perlu dilayani sebagai anjing masyarakat.

MINGGUAN : Apa cabaran utama untuk menerapkan kesedaran di kalangan kakitangan awam tentang bahaya rasuah dan setakat ini apa program yang telah dilaksanakan oleh IIM di agensi kerajaan terutama yang mempunyai kuasa meluluskan permohonan serta terlibat dalam menguatkuasakan undang-undang?

MOHD TAP: IIM sememangnya sentiasa berusaha secara berterusan menanam nilai-nilai integriti di sektor awam. Selain itu kebelakangan ini IIM memberi fokus khusus kepada agensi penguatkuasa yang terdedah kepada rasuah dan salah guna kuasa dengan berbagai program. Program-program ini diberi sokongan oleh peringkat atasan. Agensi terlibat adalah Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat. Semua pihak sedar untuk mengubah dan menanam budaya serta nilai-nilai murni akan memakan masa, tapi kami jangka hasilnya telah mula boleh dilihat. Tangkapan-tangkapan baru ini harus dilihat dari segi kebencian yang ditunjukkan oleh rakan sekerja dan masyarakat. Seperti saya kata daripada awal lagi, yang ditangkap hanya sebilangan kecil daripada 1.4 juta penjawat awam! Walaupun begitu, kalau seorang pun ambil rasuah atau salah guna kuasa, ini menjijikkan dan harus diperangi oleh semua.

MINGGUAN : Pandangan Datuk terhadap gesaan supaya Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Abu Kassim Mohamed meletakkan jawatan berikutan insiden terbaru yang dikatakan menjejaskan integriti badan tersebut?

MOHD TAP: Adalah tidak adil jika kemalangan berlaku di jalan raya kita salahkan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Maksud saya daripada apa maklumat yang kita dapati, faktor berbeza. Kita bersimpati kepada keluarga yang malang, tapi fakta menunjukkan insiden itu tidak melibatkan secara langsung dengan SPRM kerana beliau bukan dipanggil atau sedang disiasat. Siasatan terhadap beliau telah ditangguhkan beberapa hari sebelum itu. SPRM dan Ketua Pesuruhjaya berhadapan situasi untuk memenuhi harapan rakyat, iaitu mengurangkan rasuah di negara ini. Sebab itu kita jangan sewenang-wenangnya menuding jari kepada mereka apabila perkara yang tidak elok berlaku. Tunggu penyiasatan diselesaikan sebelum kita menyalahkan sesiapa. Kes Teoh Beng Hock juga sedang dalam penyiasatan.

MINGGUAN : Sejauh mana Datuk melihat SPRM dinilai oleh rakyat Malaysia sebagai sebuah badan pencegahan rasuah yang berintegriti tinggi?

MOHD TAP: Setakat ini saya (dan saya jangka rakyat juga) melihat SPRM berintegriti tinggi. Mungkin yang ada dipersoalkan rakyat adanya sesetengah pegawai SPRM kurang pengalaman dan kecekapan menjalankan tugas disebabkan ramai yang baru bertugas. Ini akan dapat diselesaikan secara lebih berkesan dengan peningkatan kemahiran pada masa akang datang.

MINGGUAN Bagaimana pula Datuk melihat tahap kesedaran tentang buruknya amalan rasuah di kalangan generasi muda. Ini berikutan kakitangan Imigresen yang didakwa di mahkamah Khamis lalu atas tuduhan rasuah kebanyakannya orang muda?

MOHD TAP: Ini melibatkan secara langsung cara dan kaedah pendidikan serta penerapan nilai-nilai murni yang ditanamkan oleh ibu-bapa. Jika kita memberi penekanan materialistik secara keterlaluan kepada anak-anak kita, maka ini mempunyai impak besar apabila anak masuk alam pekerjaan. Apa yang mustahak adalah untuk mendapat perkara yang dikehendaki. Mereka tidak menghiraukan cara mana mendapatkannya sama ada secara rasuah atau salah guna kuasa. Ketua-ketua jabatan juga bertanggungjawab. Mereka perlu menjadi role model yang baik dan membuat pemantauan yang rapi. Saya juga berpendapat pengambil rasuah tidak kenal usia.

MINGGUAN : Apakah keutamaan IIM sekarang ini?

MOHD TAP: Keutamaan IIM adalah untuk memperkuatkan benteng individu terutama penjawat awam agar dapat mengatasi cabaran-cabaran sekeliling. Selain itu IIM juga berusaha menanamkan prinsip integriti kepada mahasiswa kerana mereka akan memasuki alam pekerjaan dalam masa terdekat. Adalah diharap mereka akan lebih menunjukkan nilai-nilai baik apabila bertugas. IIM setiap tahun memberi ceramah integriti kepada semua mahasiswa baru di semua institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta institut perguruan. IIM juga memberi fokus kepada kanak-kanak sekolah melalui program khas integriti kepada pengetua dan guru-guru. Kami juga sedang menerbit buku-buku khas nilai dan integriti untuk murid-murid sekolah rendah dan menengah dengan kerjasama Kementerian Pelajaran dan Dewan Bahasa dan Pustaka. Kita semua perlu beringat, saya selalu kata bahawa Nabi Muhamad SAW bersabda bahawa barang siapa yang telah diberi amanah dan tidak dilaksanakan amanah ini dengan baik, balasannya adalah di akhirat jua.

MINGGUAN MALAYSIA
10 APRIL 2011

MOTIVASI BERSAMA CIKGU ZUL : APABILA SUDAH TIADA KESERASIAN



Assalamualaikum dan salam bahagia,


Apabila sudah tiada keserasian antara guru dan pelajar, sudah pasti setiap perancangan, pelan tindakan, dan pelbagai lagi impian yang mahu digapai pasti akan hanya menjadi mimpi di siang hari. Keserasian amat penting untuk mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang ceria dan berkesan. Setiap orang akan merasa bahagia dan sejahtera menikmati setiap minit yang berlalu dari setiap pertemuan yang ada. Tiada pihak yang berasa dirinya terabai atau tidak diperdulikan kerana setiap orang sentiasa aktif  dan menyumbang secara beradab dan profesional. Tiada pihak yang berasa dirinya serba kekurangan atau tidak berkemampuan kerana peluang terbentang dan terbuka luas tanpa diskriminasi. Suasana sebegini akan merangsang kebolehan untuk memahami dan mengingat setiap isi pelajaran yang disampaikan. 

Apabila sudah tiada keserasian antara guru dan pelajar, suasana pengajaran dan pembelajaran pasti menjadi hambar dan tawar. Elemen-eleman kebencian pasti akan tumbuh menjalar ke jiwa setiap orang yang akhirnya akan membarah menjadi fitnah dan hasutan. Segala perancangan yang baik dianggap penghadang dan setiap perancangan yang indah dianggap penghalang untuk setiap orang. Guru tidak akan mendapat sokongan sementara pelajar pula kemiskinan dorongan dan pujian. Suasana sentiasa panas membahang lantaran setiap orang berada dalam keadaan yang tertekan. Tekanan ini mencengkam dan memberontak sehingga ada yang bertindak diluar kawalan.

Pelajar-pelajar yang tersayang,

Kenapa berlakunya situasi "Apabila sudah tiada keserasian" ini? Pada pandangan saya, semua pihak menyumbang kepada permasalahan ini. Rasa ego dalam diri kita menyebabkan kita menjadi seorang makhluk Allah yang degil untuk menerima teguran, kritikan, dan cadangan daripada orang lain. Kita mudah melenting dan sukar untuk mengaku salah. Kita sukar memberikan kemaafan kepada orang yang bersalah sementara orang yang bersalah pula tidak mengaku dan terlalu payah untuk menghulur tangan untuk membina jambatan damai antara dua pihak. Akhirnya wujudlah situasi tiada keserasian yang mencambahkan benih-benih permusuhan sehingga meledakkan peperangan. Jika kebencian pelajar terhadap guru tidak mampu dikawal, sudah pasti ramai pelajar tidak berjaya untuk mendapat kecemerlangan dalam subjek yang diajar oleh guru tersebut. Guru pun tidak untung, pelajar juga tidak beruntung. Kedua-dua pihak terpaksa menanggung akibat yang mendatang disebabkan situasi apabila sudah tiada keserasian.

Oleh hal yang demikian, bersama-samalah kita untuk cuba sedaya upaya mengelakkan situasi apabila sudah tiada keserasian ini kerana tiada kemaslahatannya. Kita susun langkah dengan bersatu, kita bina tekad dengan berpadu. Bina usaha bersama-sama tanpa mengira bangsa, agama, dan kepercayaan. Hidup ini sebenarnya amat singkat. Kita diberikan peluang untuk mengecapi nikmat dunia ini dengan ruang masa yang amat padat. Jadi, biarkanlah hari-hari yang kita lalui terisi dan diisi dengan pelbagai perkara yang terindah untuk diri kita, untuk orang lain, dan untuk maha pencipta!

Sekian, wasalam.
Cikgu Zulkarnain Farihin.
SMK Sacred Heart, Sibu.

09 April 2011

ISU PENDIDIKAN : KEMENTERIAN PELAJARAN HARUS TANGANI LEBIHAN GURU ELAK LEBIHAN TENAGA PENGAJAR BERULANG


Aduan mengenai kekurangan guru di sekolah bukan suatu yang asing. Apabila masalah itu timbul, ia bukan saja menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah, malah turut membebankan guru lain. Suatu ketika dulu, kekurangan guru sering ditimbulkan terutama membabitkan subjek kritikal, khususnya Sains dan Matematik. Bagi mengatasi masalah itu, pelbagai langkah dan pendekatan diambil Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi. Antara usaha dilakukan ialah menambah pengambilan guru pelatih membabitkan dua bidang berkenaan. Akhirnya, kekurangan guru dua subjek berkenaan dapat diatasi sepenuhnya. Bagaimanapun, agak mengejutkan apabila akhbar ini kelmarin melaporkan terdapat pula lebihan kira-kira 26,000 guru di seluruh negara, terutama yang mengajar dua subjek berkenaan. 


Bilangan yang ramai itu masing-masing membabitkan 14,000 guru Sains dan 12,000 lagi guru Matematik. Keadaan itu jika tidak ditangani segera boleh menyebabkan pembaziran tenaga kerana kepakaran guru terbabit tidak dimanfaatkan secara optimum. Selepas guru berkenaan mendapat latihan khusus bagi mengajar subjek berkenaan, malangnya kemahiran mereka tidak digunakan sepenuhnya bagi mengajar dua mata pelajaran yang dianggap penting itu. Disebabkan guru subjek berkenaan berlebihan, ada antara mereka terpaksa mengajar subjek lain yang tiada kena-mengena dengan opsyen mereka ketika menjalani latihan. Guru yang memiliki kepakaran mengajar subjek Fizik, Kimia dan Biologi diarah mengajar subjek lain seperti Pendidikan Islam, Pendidikan Jasmani dan Bahasa Inggeris, sudah tentu menimbulkan masalah dari segi keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. 


Keadaan itu juga pastinya mengecewakan ibu bapa yang mengharapkan anak mereka diajar oleh guru yang mahir dan pakar dalam subjek tertentu. Kita percaya, tentunya ada guru yang kecewa dan hilang semangat kerana terpaksa mengajar subjek yang bukan menjadi kepakaran mereka. Jika dipaksa mengajar bidang yang tidak diminati, ia bukan saja boleh menghilangkan semangat guru terbabit, malah prestasi pelajar juga akan turut terjejas.Penjelasan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi bahawa lebihan guru terbabit bukan membabitkan guru yang sedang berkhidmat, sedikit sebanyak memberi gambaran sebenar kedudukan masalah itu. Lebihan guru itu berlaku sebenarnya disebabkan penempatan untuk mengajar belum dibuat. Graduan bagi opsyen Sains dan Matematik itu belum ditawarkan penempatan berikutan lebihan penawaran guru subjek terbabit di seluruh negara. 


Justeru, kita harap Jawatankuasa Bersama Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi yang diwujudkan dapat mencari penyelesaian bagi menangani masalah itu.  Kedua-dua kementerian perlu membuat unjuran yang lebih tepat bagi memenuhi permintaan guru opsyen berkenaan di semua sekolah. Jika unjuran semasa bagi memenuhi kuota pengambilan guru opsyen berkenaan hanya 50 orang, adalah tidak wajar pengambilan guru pelatih dibuat melebihi daripada unjuran berkenaan. Sewajarnya guru pelatih itu ditawarkan opsyen lain yang dikenal pasti berlaku kekurangan, sebelum mereka diterima masuk menjalani latihan. Kita berharap jawatankuasa bersama antara dua kementerian terbabit dapat mencari kaedah dan penyelesaian terbaik agar masalah lebihan guru tidak berulang pada masa depan.

BERITA HARIAN
9 APRIL 2011