JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



10 April 2011

ISU SOSIAL : ADA NEGARA TEMBAK PERASUAH


Sepatutnya ruangan Wawancara minggu ini diisi dengan dua temu bual - Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia, DATUK SERI MOHAMED KHALID YUSUF dan Presiden Institut Integriti Malaysia (IIM), DATUK MOHD. TAP SALLEH.Temu bual berkisar soal keutamaan Mohamed Khalid selepas dilantik Ketua Pengarah Oktober lalu. Temu bual bersama Mohamed Khalid sepatutnya berlangsung pukul 10 pagi Khamis lalu. Namun terpaksa ditunda ke pukul 11 pagi kerana Ketua Pengarah dikatakan bertemu Perdana Menteri. Pada pagi Khamis, seorang pegawai memaklumkan temu bual ditunda lagi ke satu tarikh lain kerana Mohamed Khalid ada urusan dengan Peguam Negara. Memahami kesibukan beliau berikutan penahanan 62 kakitangan jabatan itu berhubung rasuah, disusuli pula insiden Pengolong Pengarah Kastam Selangor maut terjatuh dari tingkat tiga bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Wilayah Persekutuan, maka hanya satu temu bual iaitu bersama Mohd. Tap disiarkan. Ditanya desakan supaya Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Abu Kassim Mohamed meletakkan jawatan berikutan insiden maut itu, Mohd. Tap memberi analogi iaitu adalah tidak adil mendesak Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) meletakkan jawatan jika berlaku kemalangan di jalan raya. Mahu supaya jenayah rasuah diperangi habis-habisan, Mohd. Tap memberitahu wartawan Mingguan Malaysia NORAINI ABD. RAZAK bahawa penerima dan pemberi rasuah perlu dilayani seperti parasit masyarakat.

MINGGUAN: Apa pandangan Datuk terhadap perkembangan terkini kes penahanan kakitangan Jabatan Kastam dan Imigresen termasuk yang berpangkat tinggi serta bergelar Datuk kerana disyaki terlibat kes rasuah?

MOHD TAP: Pertama sekali tahniah kepada agensi-agensi penguat kuasa yang diketuai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas kejayaan membongkar kes-kes rasuah di Jabatan Kastam dan Imigresen. Walaupun jumlah tangkapan besar iaitu 62 kesemuanya, tetapi kita mesti melihat daripada perspektif 1.4 juta kakitangan awam. Tangkapan-tangkapan ini menunjukkan seriusnya pihak berkuasa menangani soal rasuah. Oleh itu saya berharap masyarakat dapat terus membantu untuk menangani penyakit rasuah kerana kejayaan membanteras rasuah bergantung besar kepada kerjasama masyarakat. Rasuah tidak kenal pada jerung besar atau ikan kecil. Kedua-duanya Sama-sama sampah masyarakat dan diharap dilaknat Allah.

MINGGUAN : Apakah kaedah terbaik untuk membendung penyalahgunaan kuasa oleh kakitangan di jabatan atau agensi kerajaan yang berurusan dengan orang ramai dan bertanggungjawab dalam meluluskan permohonan seperti lesen serta yang diberi tanggungjawab menguatkuasakan undang-undang?

MOHD TAP: Saya jangka berbagai kaedah telah dan sedang digunakan oleh agensi-agensi kerajaan untuk membanteras rasuah. Kami di Institut Integriti Malaysia (IIM) juga terlibat menanam kesedaran ini bukan sahaja di agensi kerajaan tetapi juga swasta dan di kalangan masyarakat. Banyak agensi awam yang berurusan dengan orang ramai telah menunjukkan prestasi yang baik, telus dan berwibawa seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Kami menyeru agar agensi-agensi lain menjadikan mereka sebagai model. Perlu ditekankan di sini walaupun banyak usaha serta program telah dilaksanakan oleh agensi-agensi untuk membanteras rasuah seperti memperbaiki proses dan prosedur, tetapi jika pemantauan berkala tidak dilakukan secara serius ia mengundang padah. Perkara yang paling kritikal sekali pada pandangan saya adalah apa pun prosedur atau pemantauan yang dibuat, jika kakitangan itu sendiri tidak mempunyai nilai dan etika yang baik, lambat laun mereka ini akan mengetepikan prosedur dan proses mencegah rasuah serta salah guna kuasa yang ada.

MINGGUAN : Bermakna setiap proses ke arah membendung gejala rasuah tidak boleh ada tarikh luput?

MOHD TAP: Penanaman nilai-nilai murni atau prinsip-prinsip integriti perlu dilakukan setiap masa, seperti setiap hari sebelum memulakan kerja. Perkara ini juga mesti ditekankan oleh ketua-ketua setiap kali ada perjumpaan. Tidak berkesan jika kita hanya setahun sekali ada program integriti dan berharap semua perbuatan buruk akan dapat dibanteras. Walau apa pun, saya berpendapat bahawa proses dan kaedah pengambilan kakitangan awam terutama untuk agensi penguatkuasaan dan perlesenan perlu dilihat kembali supaya mereka yang dipilih tidak ‘menyimpang’ kemudian hari kelak, jika ada peluang dan ruang. Warren Buffet pernah berkata: ‘‘When you want to hire people, look for three qualities - Integrity, Intelligence and Energy. And if he does not have the first one, the other two will kill you (the organisation).’’

MINGGUAN : Adakah perkembangan terbaru ini membuktikan tahap kesedaran masyarakat terhadap perlunya amalan rasuah dibanteras hingga ke peringkat akar umbi dengan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa semakin meningkat?

MOHD TAP: Ya, kerana rakyat sudah muak dengan penyelewengan, salahguna kuasa dan rasuah bukan sahaja di kalangan pegawai kastam atau imigresen tetapi semua pegawai awam, sektor korporat dan ahli-ahli politik. Mereka ini telah diamanahkan rakyat untuk melakukan yang terbaik untuk rakyat, tetapi mereka telah mematahkan harapan rakyat. Saya berharap jika sabit kesalahan, hukuman seberat-beratnya akan dikenakan kepada mereka, bukan sahaja kali ini tapi untuk mereka yang terbabit rasuah pada masa akan datang. Kita mesti ingat, ada negara yang menembak mereka yang disabitkan kesalahan makan rasuah. Rakyat telah terlalu muak dengan masalah ini. Terlalu banyak usaha kesedaran yang cuba ditanamkan oleh kerajaan. Sepatutnya tidak ada alasan lagi.

MINGGUAN : Pelbagai langkah termasuk menaikkan imbuhan serta menyediakan pelbagai kemudahan kepada kakitangan awam untuk mengelak mereka terjebak dalam amalan rasuah, namun masih ada kes-kes rasuah dilaporkan, paling menyedihkan ia turut berlaku di kalangan pegawai berpangkat tinggi, pada pandangan Datuk?

MOHD TAP: Perlakuan rasuah bukan disebabkan gaji kecil kerana ramai orang yang ditangkap menerima rasuah bergaji besar. Banyak rasuah dan salah guna kuasa disebabkan oleh sifat tamak haloba, tidak ada maruah, tiada harga diri, dan didikan agama yang nipis. Kalau kita buat bancian, saya jangka semua yang ditangkap kerana kesalahan rasuah memiliki kereta, mungkin lebih daripada satu. Mereka juga menikmati segala kemudahan yang dikecapi oleh orang lain. Jadi bukan sebab gaji kurang, atau mereka tak cukup makan. Pucuk pangkal nilai-nilai dan kesedaran di dalam diri kita. Jangan salahkan agensi, sistem atau kerajaan. Tiada kerajaan di dunia ini atau agensi yang sukakan rasuah. Pelbagai kaedah telah disediakan untuk membanteras amalan ini. Individu, keluarga dan ahli masyarakat sama-sama perlu terlibat. Penerima dan pemberi rasuah perlu dilayani sebagai anjing masyarakat.

MINGGUAN : Apa cabaran utama untuk menerapkan kesedaran di kalangan kakitangan awam tentang bahaya rasuah dan setakat ini apa program yang telah dilaksanakan oleh IIM di agensi kerajaan terutama yang mempunyai kuasa meluluskan permohonan serta terlibat dalam menguatkuasakan undang-undang?

MOHD TAP: IIM sememangnya sentiasa berusaha secara berterusan menanam nilai-nilai integriti di sektor awam. Selain itu kebelakangan ini IIM memberi fokus khusus kepada agensi penguatkuasa yang terdedah kepada rasuah dan salah guna kuasa dengan berbagai program. Program-program ini diberi sokongan oleh peringkat atasan. Agensi terlibat adalah Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat. Semua pihak sedar untuk mengubah dan menanam budaya serta nilai-nilai murni akan memakan masa, tapi kami jangka hasilnya telah mula boleh dilihat. Tangkapan-tangkapan baru ini harus dilihat dari segi kebencian yang ditunjukkan oleh rakan sekerja dan masyarakat. Seperti saya kata daripada awal lagi, yang ditangkap hanya sebilangan kecil daripada 1.4 juta penjawat awam! Walaupun begitu, kalau seorang pun ambil rasuah atau salah guna kuasa, ini menjijikkan dan harus diperangi oleh semua.

MINGGUAN : Pandangan Datuk terhadap gesaan supaya Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Abu Kassim Mohamed meletakkan jawatan berikutan insiden terbaru yang dikatakan menjejaskan integriti badan tersebut?

MOHD TAP: Adalah tidak adil jika kemalangan berlaku di jalan raya kita salahkan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Maksud saya daripada apa maklumat yang kita dapati, faktor berbeza. Kita bersimpati kepada keluarga yang malang, tapi fakta menunjukkan insiden itu tidak melibatkan secara langsung dengan SPRM kerana beliau bukan dipanggil atau sedang disiasat. Siasatan terhadap beliau telah ditangguhkan beberapa hari sebelum itu. SPRM dan Ketua Pesuruhjaya berhadapan situasi untuk memenuhi harapan rakyat, iaitu mengurangkan rasuah di negara ini. Sebab itu kita jangan sewenang-wenangnya menuding jari kepada mereka apabila perkara yang tidak elok berlaku. Tunggu penyiasatan diselesaikan sebelum kita menyalahkan sesiapa. Kes Teoh Beng Hock juga sedang dalam penyiasatan.

MINGGUAN : Sejauh mana Datuk melihat SPRM dinilai oleh rakyat Malaysia sebagai sebuah badan pencegahan rasuah yang berintegriti tinggi?

MOHD TAP: Setakat ini saya (dan saya jangka rakyat juga) melihat SPRM berintegriti tinggi. Mungkin yang ada dipersoalkan rakyat adanya sesetengah pegawai SPRM kurang pengalaman dan kecekapan menjalankan tugas disebabkan ramai yang baru bertugas. Ini akan dapat diselesaikan secara lebih berkesan dengan peningkatan kemahiran pada masa akang datang.

MINGGUAN Bagaimana pula Datuk melihat tahap kesedaran tentang buruknya amalan rasuah di kalangan generasi muda. Ini berikutan kakitangan Imigresen yang didakwa di mahkamah Khamis lalu atas tuduhan rasuah kebanyakannya orang muda?

MOHD TAP: Ini melibatkan secara langsung cara dan kaedah pendidikan serta penerapan nilai-nilai murni yang ditanamkan oleh ibu-bapa. Jika kita memberi penekanan materialistik secara keterlaluan kepada anak-anak kita, maka ini mempunyai impak besar apabila anak masuk alam pekerjaan. Apa yang mustahak adalah untuk mendapat perkara yang dikehendaki. Mereka tidak menghiraukan cara mana mendapatkannya sama ada secara rasuah atau salah guna kuasa. Ketua-ketua jabatan juga bertanggungjawab. Mereka perlu menjadi role model yang baik dan membuat pemantauan yang rapi. Saya juga berpendapat pengambil rasuah tidak kenal usia.

MINGGUAN : Apakah keutamaan IIM sekarang ini?

MOHD TAP: Keutamaan IIM adalah untuk memperkuatkan benteng individu terutama penjawat awam agar dapat mengatasi cabaran-cabaran sekeliling. Selain itu IIM juga berusaha menanamkan prinsip integriti kepada mahasiswa kerana mereka akan memasuki alam pekerjaan dalam masa terdekat. Adalah diharap mereka akan lebih menunjukkan nilai-nilai baik apabila bertugas. IIM setiap tahun memberi ceramah integriti kepada semua mahasiswa baru di semua institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta institut perguruan. IIM juga memberi fokus kepada kanak-kanak sekolah melalui program khas integriti kepada pengetua dan guru-guru. Kami juga sedang menerbit buku-buku khas nilai dan integriti untuk murid-murid sekolah rendah dan menengah dengan kerjasama Kementerian Pelajaran dan Dewan Bahasa dan Pustaka. Kita semua perlu beringat, saya selalu kata bahawa Nabi Muhamad SAW bersabda bahawa barang siapa yang telah diberi amanah dan tidak dilaksanakan amanah ini dengan baik, balasannya adalah di akhirat jua.

MINGGUAN MALAYSIA
10 APRIL 2011

Tiada ulasan: