JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



13 April 2011

ISU BAHASA : MEMUPUK RASA BANGGA JULANG BAHASA MELAYU

Oleh Teo Kok Seong
BERITA HARIAN, 13 APRIL 2011


Program Pembudayaan Bahasa yang dilancarkan baru-baru ini oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, antaranya bertujuan memastikan tahap penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa negara berlaku dalam kuantiti yang banyak dan kualiti yang baik, sama ada dalam sektor awam mahupun swasta. Sesungguhnya ia boleh juga dimanfaatkan untuk pelbagai tujuan kenegaraan yang lain. Bahasa adalah satu-satunya entiti yang boleh digunakan untuk mencapai pelbagai tujuan. Antaranya bahasa boleh dijadikan wahana untuk mengungkapkan sesuatu kebudayaan, penanda identiti sesebuah kelompok etnik dan kuasa untuk penyatuan politik sesebuah negara. Untuk tujuan kenegaraan, bahasa boleh digunakan menjadi lambang kepada jati diri nasional serta nasionaliti sesebuah negara, selain menjadi wahana menyatupadukan rakyat, khususnya yang berbilang kaum dalam sesebuah negara itu. Ia boleh juga digunakan untuk mengungkapkan etos kebangsaan dan membangkitkan semangat kebangsaan.

Sehubungan ini, bahasa yang digunakan untuk mendukung fungsi kenegaraan adalah bahasa yang dimiliki dan dikongsi bersama. Lazimnya hanya satu bahasa yang dikongsi bersama digunakan untuk tujuan kenegaraan. Ini adalah kerana gagasan pemilikan dan perkongsian hanya satu bahasa didapati amat berkesan, khususnya ketika melaksanakan fungsi penyatuan dan kemajuan nasional yang dilakukan secara sekali gus. Dua fungsi ini yang didapati saling melengkapi didukung oleh bahasa yang sama.  Sebagai bahasa negara, bahasa Melayu mendukung dua fungsi. Pertama sebagai bahasa kebangsaan dan kedua sebagai bahasa rasmi. Sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu adalah lambang jati diri nasional dan nasionaliti Malaysia, selain penanda kesatuan rakyat. Selaku bahasa rasmi pula, bahasa Melayu adalah alat untuk memajukan rakyat dan negara.  Walaupun Malaysia memilih dan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa negara, penggunaan bahasa etnik, misalnya Mandarin dan Tamil dibenarkan dalam sistem pendidikan nasional.

Di mana-mana negara di seluruh dunia, pendidikan dijadikan dan memang pun menjadi alat penting untuk menyatupadukan rakyat, khususnya dalam membentuk jati diri nasional dan nasionaliti dalam kalangan rakyat, selain memajukan rakyat dan negara. Malaysia tidak terkecuali dalam hal ini.  Di Malaysia, kita mempercayai dan meyakini bahawa penggunaan bahasa Melayu dalam kapasitinya sebagai bahasa negara sebagai satu-satunya bahasa pengantar utama, adalah kaedah terbaik untuk menyatupadukan rakyat yang berbilang kaum dan seterusnya memajukan rakyat dan negara. Sehubungan ini, penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama bersama-sama dengan bahasa etnik seperti Mandarin dan Tamil sebagai bahasa pengantar sampingan dipercayai dan diyakini dapat membentuk 1Semangat Kebangsaan dan 1Jati Diri Nasional, yang lebih menyeluruh sifatnya dalam kalangan rakyat Malaysia.

Ini bermakna dalam keseluruhan itu, semangat dan jati diri etnik Cina dan India itu yang dipupuk menerusi pendidikan vernakular dan pengamalan budaya dan warisan etnik, hendaklah diletakkan di bawah tempat bertakhtanya semangat kebangsaan dan jati diri nasional. Dengan perkataan lain, semangat kebangsaan dan jati diri nasional hendaklah dipastikan selalu berada dan diletakkan di atas semangat dan jati diri etnik. Semangat kebangsaan dan jati diri nasional itu perlu berlandas simbol dan proses sosiobudaya Melayu. Ini adalah kerana ia dipersetujui dalam Perjanjian Etnik/Kontrak Sosial yang dimeterai ketika kita mencapai kemerdekaan pada 1957. Antara simbol dan proses sosiobudaya Melayu itu ialah bahasa Melayu yang dipilih untuk menjadi bahasa negara ini. Dalam konteks kenegaraan, bahasa Melayu selaku bahasa negara ini dalam kapasitinya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi adalah maruah negara, antaranya jati diri nasional dan nasionaliti Malaysia.

Sehubungan ini, memalukan sekali sekiranya masih ada, walaupun seorang rakyat Malaysia tidak boleh atau tidak mahu berbahasa Melayu, lebih-lebih lagi dalam kalangan golongan pasca merdeka. Perkara sebegini pernah dilaporkan. Antaranya membabitkan seorang wanita Cina yang berusia 51 tahun tidak boleh atau tidak mahu berbahasa Melayu, iaitu bahasa negara ini dan terus berbahasa Inggeris apabila memberi keterangan ketika membuat laporan mengenai tas tangannya diragut, di Balai Polis Sentul, Kuala Lumpur. Tindakan wanita ini ditegur oleh pegawai polis Melayu yang mengambil keterangan dan tegurannya itu yang dianggap perkauman sehingga beberapa pihak mendesak agar tindakan tegas diambil terhadapnya. Desakan untuk menghukum ini menunjukkan ramai yang gagal melihat isu sebenarnya di sebalik teguran itu. Teguran itu sebetulnya adalah manifestasi kekecewaan yang kemudian menjadi kemarahan orang Melayu selaku kaum dominan, terhadap sesetengah rakyat Malaysia yang masih tidak nasional pada diri mereka.

Antaranya termasuk keengganan menggunakan bahasa Melayu, iaitu bahasa negara ini, khususnya dalam urusan rasmi. Sehubungan itu, jati diri nasional dan nasionaliti atau kerakyatan Malaysia bergantung sepenuhnya kepada bahasa Melayu selaku bahasa negara ini. Bahasa negara sebetulnya adalah sebahagian yang amat penting dalam mana-mana nasionaliti di dunia ini.  Dalam kes kerakyatan negara Malaysia, bahasa Melayu adalah juga bahagian yang penting. Malah, pengetahuan dan penguasaan bahasa Melayu diuji kepada mana-mana pihak yang memohon kerakyatan Malaysia pada masa dulu ketika kemerdekaan dan juga pada masa kini.  Komen balas daripada sesetengah rakyat Malaysia mengenai peristiwa ini, dalam bentuk surat pembaca di akhbar dan juga dalam media baharu, memperlihat bahawa jahilnya sebilangan rakyat Malaysia mengenai jati diri nasional dan nasionaliti Malaysia. Ia mempunyai kaitan rapat dengan bahasa Melayu selaku bahasa negara ini dalam kes ini. Masanya sudah tiba untuk diperbetul kejahilan ini dalam kalangan rakyat Malaysia. Ia boleh dan mesti dilakukan melalui Program Pembudayaan Bahasa ini untuk memupuk perasaan bangga, sayang dan setia kepada bahasa Melayu selaku bahasa negara ini.

Penulis ialah Timbalan Pengarah Institut Alam dan Ketamadunan Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Tiada ulasan: