10 Mac 2011

ISU SOSIAL : CEGAH TAGIH DADAH MELALUI PENDIDIKAN


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJK) Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata baru-baru ini, Malaysia dikesan menjadi transit penyeludupan dadah, terutama dari rantau Asia Barat dan Afrika berdasarkan jumlah tangkapan hampir setiap hari membabitkan rakyat negara itu pada tahun lalu. Hasil pemantauan polis juga mendapati penyeludup menggunakan laluan lain, termasuk di sempadan dan melalui pelabuhan bagi membawa masuk dadah dan tidak lagi bergantung kepada pengangkutan udara semata-mata. Apa yang perlu dilakukan ialah meningkatkan pengawalan dan pemantauan laluan yang dikenal pasti di sempadan termasuk pelabuhan yang digunakan penyeludup bagi membawa masuk dadah ke negara kita. Langkah-langkah yang lebih berkesan perlu diambil untuk mencegah penyeludupan dadah ke negara kita. Bilangan warga Asia Barat dan Afrika yang ditahan kerana terbabit dalam penyeludupan dadah amat membimbangkan.

Walaupun kita bangga terhadap kejayaan pihak polis ini, lebih banyak usaha gigih perlu diambil dari aspek pengawalan dan penguatkuasaan undang-undang untuk menangani masalah tersebut. Kita juga harus memikirkan pendekatan pengurangan permintaan dadah oleh rakyat Malaysia sendiri terutamanya penagih dadah. Kalau ia dapat melalui pendidikan dan pencegahan, pengedaran dan penyeludupan akan terjejas. Dalam usaha kita membanteras najis dadah, tumpuan harus diberikan terhadap generasi muda terutamanya pelajar sekolah. Para pelajar haruslah diberitahu mengenai bahaya penggunaan dadah, fakta-fakta penting, kesan serta simptomnya. Mereka hendaklah mengetahui dan memahami pengaruh negatif desakan rakan sebaya dan cara-cara menanganinya. Remaja daripada berbilang bangsa juga mesti menyebarkan mesej 'tanpa dadah' sesama mereka di sekolah dan luar sekolah.

Pendidikan moral hendaklah diperkukuhkan untuk mengelak penyalahgunaan dadah. Semasa negara kita sedang bergelut dengan pelbagai masalah sosial, menjadi keperluan ibu bapa untuk menunjukkan komitmen yang lebih tinggi dalam membesarkan anak-anak supaya menjadi rakyat yang sihat dan produktif. Keupayaan Malaysia menjadi negara maju banyak bergantung kepada kualiti institusi kekeluargaan. Kekuatan dan potensi keluarga dalam memerangi dadah lebih berkesan dan bermakna daripada semua langkah yang diambil oleh pihak penguatkuasaan dalam usaha membendung masalah tersebut. Walaupun penguatkuasaan undang-undang penting, apa yang lebih utama ialah keupayaan kita membanteras kemasukan dadah ke rumah, sekolah dan masyarakat melalui kekuatan institusi keluarga.

TAN SRI LEE LAM THYE
Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF).

UTUSAN MALAYSIA, 10 MAC 2011

ISU PERUMAHAN : KAWAL HARGA RUMAH ELAK MATLAMAT SKIM RUMAH PERTAMAKU GAGAL


Skim Rumah Pertamaku yang dilancarkan Datuk Seri Najib Razak bagi membantu generasi muda membeli rumah, satu lagi bukti dan komitmen kerajaan merealisasikan gagasan 1Malaysia – ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’. Skim pinjaman 100 peratus untuk pekerja swasta berusia 35 tahun ke bawah dan berpendapatan tidak melebihi RM3,000 sebulan itu turut disokong 25 institusi kewangan tempatan. Kita yakin rakyat menyokong penuh langkah ini kerana ia memudahkan mereka memiliki rumah sendiri sebagai aset penting membina kehidupan berkeluarga, termasuk menjamin perkembangan positif emosi serta sahsiah anak. Masyarakat progresif dan dinamik lahir daripada sebuah keluarga bahagia. Justeru, skim diilhamkan kepemimpinan Perdana Menteri ini pastinya memenuhi aspirasi setiap keluarga muda yang mengimpikan sebuah rumah sendiri untuk membina keluarga dengan lebih terancang serta terjamin.

Kita juga tertarik dengan komitmen institusi kewangan yang memberi sokongan padu, walaupun menyedari pembiayaan skim itu tidak memberi keuntungan lumayan, ia sangat bermakna kepada rakyat. Penyertaan institusi terbabit turut membuktikan sektor swasta menyokong pelaksanaan konsep 1Malaysia yang semakin difahami, disokong dan disertai segenap lapisan rakyat. Apa yang lebih penting daripada soal keuntungan wang ringgit ialah memastikan matlamat Skim Rumah Pertamaku tercapai. Antaranya membantu pasangan muda menikmati kehidupan lebih sempurna. Sebagai kerangka paling asas dalam struktur sebuah masyarakat, kerajaan melihat perlunya usaha menyokong proses pembinaan sahsiah individu melalui sebuah rumah yang sempurna. Menerusi skim ini, kerajaan bukan saja menyediakan sebuah rumah kepada pasangan muda, tetapi membantu membina kehidupan keluarga yang lebih berkualiti.

Bagi kemudahan masa depan, kerajaan boleh memperhalusi dan meningkatkan lagi keberkesanan skim ini. Kerajaan disarankan bekerjasama dengan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan UDA Holdings Berhad, selain Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN) yang terbabit secara langsung membina rumah pelbagai kategori.  Pada masa sama, kerajaan boleh menggalakkan pemaju swasta membangunkan taman perumahan atau bandar baru dengan membina lebih banyak rumah mampu milik, terutama bagi golongan yang berpendapatan sederhana. Bagi setiap projek perumahan baru, kuota pembeli muda mungkin ditetapkan sehingga 50 peratus. Pastinya, skim pinjaman 100 peratus ini menggalakkan setiap pasangan muda memiliki rumah sendiri kerana lazimnya mereka mengalami kesulitan untuk menyediakan deposit 10 peratus yang ditetapkan syarikat pemaju perumahan.

Syarat itulah yang sering menjadi penghalang sebahagian besar rakyat membeli rumah. Apa pun setiap pembelian rumah menerusi pinjaman bank tetap berdepan risiko. Memandangkan pinjaman bank mempunyai kadar faedah harus ditanggung, pembeli haruslah mengukur kemampuan masing-masing sebelum membuat pinjaman bank. Kita tidak mahu akibat tidak mampu membayar balik pinjaman, rumah yang dibeli akhirnya terpaksa dilelong seterusnya menyebabkan semakin ramai rakyat muflis pada usia muda. Satu lagi pendekatan yang mungkin boleh dipertimbangkan kerajaan ialah dengan mengawal tindakan pemaju daripada terus menaikkan harga rumah sewenang-wenang, terutama rumah kos sederhana yang mampu dibeli pasangan muda berpendapatan tidak melebihi RM3,000 sebulan, lazimnya graduan lepasan institusi pengajian tinggi.

BERITA HARIAN, 10 MAC 2011

09 Mac 2011

MOTIVASI : CERITA MISMONA MANGGAI SEORANG MURID DARI SK ULU LUBAI, SEKOLAH BERPRESTASI TINGGI

SAAT BERSEJARAH... Mismona Manggai, 13, (kanan)
bekas pelajar Sekolah Kebangsaan Ulu Lubai bersama ibunya, Banun Franchis,
 melihat surat tawaran melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Sains Labuan
ketika majlis pengiktirafan SK Ulu Lubai sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT)
oleh Timbalan Perdana Menteri, merangkap Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini.
Mismona merupakan pelajar tunggal di sekolahnya yang berjaya
 memperolehi keputusan cemerlang dalam
 Ujian Pernilaian Sekolah Rendah (UPSR) 2010. - Foto BERNAMA


Tahun 2011 menjadi titik bersejarah buat Mismona Manggai apabila beliau akan memulakan langkah baru yang bakal merobah kehidupannya selama ini. Kalau dahulu, tanah merah becak, belantara hijau dan sungai yang sempit menjadi lanskap lumrah yang dilalui bekas pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Lubai ini, namun kini pasir-pasir pantai di Pulau Labuan sedang menanti kedatangannya. NAnak buruh kasar dan petani ini telah terpilih untuk meneruskan persekolahan di Sekolah Menengah Sains Labuan selepas berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lepas, satu-satunya pelajar yang berjaya berbuat demikian di sekolah pedalaman itu. "Saya tidak menjangka langsung untuk memperoleh keputusan ini. Sewaktu ujian percubaan dulu, saya hanya memperoleh A- untuk subjek Bahasa Inggeris dan ini telah merunsingkan saya sewaktu menghadapi ujian sebenar," kata Mismona yang berasal dari Kampung Rantau Panjang, Hulu Limbang. Namun kerunsingan itu berakhir tatkala keputusan ujian sebenar dimaklumkan kepada beliau yang kini sudah melakar satu pencapaian yang jarang sekali berlaku khususnya di kawasan pedalaman seperti di Hulu Limbang.

KELUARGA KURANG BERADA

Lahir dalam sebuah keluarga yang kurang berada, Mismona adalah anak bongsu daripada lima adik-beradik. Dua orang kakaknya sudah berumah tangga manakala dua lagi masih bersekolah masing-masingnya di Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Medamit dan Tingkatan Empat SMK Kubong, kedua-duanya di bahagian Limbang. Ayahnya, Manggai Igang, bekerja sebagai buruh kasar di bandar Lawas dan sewaktu masih bersekolah di SK Ulu Lubai, ibunya Banun Franchislah yang bersama-samanya tinggal di kampung. "Selain menjaga saya, ibu juga bertani untuk menyara hidup," katanya. Namun kedaifan hidup tidak mematahkan semangat Mismona untuk mencarta kecemerlangan dalam pelajaran. Selain ibu bapa yang tidak pernah jemu untuk menggalakkannya belajar, Mismona merasakan dirinya beruntung kerana dikelilingi oleh guru yang begitu komited untuk melihat beliau berjaya.

GURU PEMBAKAR SEMANGAT

"Guru-guru di sini telah banyak memberi perangsang kepada saya sehinggalah saya dapat mencapai keputusan cemerlang ini," katanya. Tenaga pengajar di SK Ulu Lubai begitu prihatin dengan keperluan murid biarpun dalam keadaan sekolahnya yang serba kekurangan dan terletak jauh dari kawasan bandar. Hasil daripada perangsang yang diberikan, Mismona berkata beliau dapat menelaah pelajaran dengan sepenuhnya tanpa diganggu keadaan persekitaran. Di luar waktu persekolahan, Mismona telah menetapkan untuk belajar selama tiga jam pada waktu pagi dan tempoh yang sama pada waktu malam. "Keadaan juga telah mengajar saya untuk berusaha sendiri dan tidak bergantung kepada orang lain," katanya. Kini menuntut di Tingkatan Satu, Sekolah Menengah Kubong, Limbang, Mismona yang cuma menunggu waktu sahaja untuk melangkah ke sekolah terpilih sudahpun menyimpan cita-cita untuk menjadi doktor yang sudah tentu bakal merobah keadaan hidupnya. "Memang sejak dari dahulu saya bercita-cita untuk menjadi doktor supaya saya dapat kembali dan berkhidmat untuk masyarakat," katanya.

MERINTIS KEJAYAAN SEKOLAH PEDALAMAN

Kejayaan Mismona telah mengulungi pencapaian SK Ulu Lubai yang baru-baru ini diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) oleh Kementerian Pelajaran dan adalah sekolah dari kawasan pedalaman pertama yang memperoleh pengiktirafanitu. Menterinya sendiri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Perdana Menteri telah menyampaikan watikah pengiktirafan itu kepada guru besar SK Ulu Lubai, Jaul Bunyan. Menjadi guru besar sekolah itu sejak 1998, Jaul yang juga anak tempatan kelahiran Nanga Merit, Limbang menyifatkan kejayaan mendapat pengiktirafan itu sebagai kejayaan masyarakat setempat di sana. Tiada rahsia yang istimewa, katanya apabila ditanya berkenaan formula kejayaan SK Ulu Lubai, melainkan kerjasama erat antara pihak sekolah dengan masyarakat setempat yang menyedari hanya melalui pendidikan generasi baru dapat keluar dari perangkap kedaifan. 

Sekolah yang dahulunya hanya dapat dihubungi melalui jalan sungai pernah ditutup selama setahun, iaitu antara 1976 dan 1977 setelah tiada guru yang sanggup mengajar di sana. Jaul berkata penutupan sekolah waktu itu seolah-olah telah menyalakan inspirasi di kalangan penduduk setempat agar ia beroperasi semula memandangkan sulitnya untuk menghantar anak mereka ke sekolah terdekat, iaitu SK Nanga Merit,yang terletak kira-kira sejam perjalanan perahu dari kampung mereka. Sejak itu SK Ulu Lubai terus melangkah ke hadapan hingga mulai 1998 berjaya mencatat keputusan kelulusan 100 peratus dalam UPSR selain meraih dua anugerah di peringkat antarabangsa, lima anugerah peringkat kebangsaan dan 14 anugerah diperingkat negeri. "Dengan terpilihnya sekolah ini sebagai SBT, diharap ada lagi sekolah pedalaman lain yang sama keadaannya dengan sekolah ini boleh melonjak seperti kami," katanya.



ISU PENYAKIT : SIKAP MASYARAKAT PUNCA DEMAN DENGGI TERUS MENULAR

Oleh Liow Tiong Lai
BERITA HARIAN 
09 MAC 2011


Salah satu masalah kesihatan di Malaysia yang paling menghantui saya ialah denggi. Sungguhpun bilangan yang mati akibat denggi tidaklah setinggi penyakit kanser atau jantung, kadar peningkatan serta kesan buruknya amat membimbangkan. Di negara kita biasanya wabak denggi merebak secara besar-besaran sekali dalam empat tahun. Bagaimanapun trend ini telah bertukar – ia kini berlaku setiap tahun. Kalau hendak dikirakan, denggi sepatutnya jauh lebih mudah dikawal dan dicegah berbanding penyakit kronik yang membunuh. Pun begitu, kita masih belum berjaya mencegahnya. Kenapa? Denggi adalah satu penyakit zaman kita. Selepas Perang Dunia Kedua, penduduk Asia berhijrah beramai-ramai ke pekan dan kota di mana mereka mendirikan tempat tinggal dalam keadaan bersesak-sesak dengan ketiadaan sistem bekalan air bersih. Maka nyamuk Aedes aegypti pun mengekori mereka.

Ia menjumpai tempat cukup baik untuk membiak di mana perparitan tidak sempurna dengan air bertakung di merata-rata – sejak itu, keadaan ini kekal berada bersama kita.  Virus denggi melalui putarannya sendiri dari hutan di mana ia berasal, di mana pada mulanya ia cuma memberi kesan ke atas nyamuk lain, menjadi satu jenis (strain) baru yang menyerang manusia dan primat lain. Ini menunjukkan bahawa virus denggi dan vektornya, nyamuk, memiliki kemampuan luar biasa untuk hidup dan juga mampu menyesuaikan diri dengan baik kepada persekitaran yang membolehkannya membiak dengan subur. Persoalan yang tidak pernah lekang di kepala saya ialah, kenapakah kita masih tidak dapat menghapuskan Aedes, walaupun kita sebagai manusia mempunyai akal yang hebat berbanding serangga kecil tidak berakal yang dipanggil nyamuk itu? Kita tahu tanpa sebarang keraguan di mana nyamuk itu membiak, bagaimana hendak menghapuskannya, dan kita juga mempunyai segala-gala yang diperlukan untuk melakukannya.

Pun begitu, angkanya terus meningkat. Tahun lalu saja, 46,171 kes denggi dengan 134 kematian, lebih tinggi daripada 2009. Angka ini jauh melebihi rebakan terbesar yang pernah berlaku iaitu pada 1996 yang mana terdapat 14,255 kes dengan 32 kematian. Mengikut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Ke-3 (NHMS) pada 2006, kebanyakan orang lebih cenderung mengambil jalan mudah untuk menghapuskan nyamuk seperti menggunakan semburan. Kurang satu per tiga daripada mereka yang ditinjau, secara bersungguh-sungguh, mencari tempat nyamuk membiak di sekitar tempat tinggal mereka dan memusnahkannya. Kita tidak boleh menyalahkan faktor kejahilan. Denggi berkali-kali menjadi tajuk berita pada tahun lalu, manakala kempen kesedaran pula dipertingkatkan untuk mendidik orang ramai mengenai cara mencegahnya dan cara mengenali penyakit itu pada peringkat awal.

Kita juga tidak boleh menyalahkan faktor kebodohan. Kaedah menghapuskan denggi adalah perkara asas, mudah diterima akal dan tidak susah dilakukan. Kita sebenarnya tidak payah berfikir untuk melakukan apa yang betul bagi memerangi denggi. Akan tetapi, kita bukan makhluk yang rasional sepenuhnya. Kita didorong oleh perasaan, tabiat dan pengaruh. Satu sebab kenapa kaedah mencegah denggi begitu sukar untuk dilaksanakan ialah kerana kita tidak dapat melihat hasilnya dengan serta-merta. Sama jugalah dengan sebab kenapa kita terus merokok dan begitu payah mengamalkan pemakanan sihat, walaupun kita semua tahu apa yang baik dan apa yang betul untuk dilakukan. Apa pun, membersihkan kawasan tempat tinggal, membuang air bertakung dan memastikan tempat membiak sentiasa kering, masih senjata terbaik kita bagi memerangi nyamuk itu.

Walaupun meyakinkan orang ramai supaya melakukan semua ini secara berterusan adalah satu kerja yang tidak mudah, kita tidak boleh mengalah. Penubuhan kumpulan sukarela COMBI di kawasan perumahan di seluruh negara satu cara baru bagi mendapatkan lebih ramai penduduk terbabit dalam usaha mengubah tabiat orang ramai dalam menjaga kebersihan tempat tinggal. Saya gembira melihat sukarelawan daripada ratusan kumpulan COMBI di seluruh negara bekerja keras dan menunjukkan dedikasi dan komitmen terhadap apa yang mereka lakukan. Mereka mendorong penduduk serta keluarga di kawasan masing-masing untuk bersama-sama memusnahkan tempat nyamuk membiak seperti di taman permainan, parit dan tanah kosong serta tempat awam lain. Sukarelawan ini juga, tanpa tahu penat mendidik orang di sekeliling supaya jangan mengambil sikap tidak peduli terhadap tanda awal denggi dengan menekankan pentingnya mereka mendapatkan rawatan segera.

Tinjauan NHMS turut mendapati bahawa hanya sebilangan kecil tahu apa sebenarnya yang dikatakan tempat membiak di dalam dan di luar rumah mereka. Dapatan ini mustahak kerana ia membolehkan kita memberi tumpuan secara lebih khusus dalam usaha mendidik orang ramai memerangi denggi. Dalam pada itu, ‘perang’ terhadap serangga kecil itu terus menjadi lebih mencabar. Virus denggi dan nyamuk Aedes organisme licik yang tahu cara melawan usaha kita. Di sinilah perlunya difikirkan cara baru supaya kita sentiasa berada beberapa langkah di hadapan dalam perang kita terhadap nyamuk itu. Pelepasan cubaan nyamuk jantan genetik ke tempat awam adalah satu usaha baru yang mempunyai potensi besar untuk mendatangkan hasil. Saya memberi jaminan kepada pembaca bahawa Institut Penyelidikan Perubatan menjalankan cubaan itu dengan penuh hati-hati bagi memastikan keselamatan orang ramai.

Terdapat banyak lagi kaedah baru yang boleh kita guna pakai bagi memerangi denggi. Modul pendidikan untuk sekolah akan dapat menanam tabiat mengawal denggi di kalangan kanak-kanak pada usia muda lagi manakala teknik yang lebih baik dan lebih cepat bagi mengenali penyakit akan memastikan pesakit dapat diberikan rawatan yang betul. Dalam perang yang mana kita berdepan dengan nyamuk yang membunuh, kita perlu sentiasa berjaga-jaga.

Penulis ialah Menteri Kesihatan Malaysia 
(www.liowtionglai.com/blog atau Twitter (@liowtionglai)

ISU REMAJA : PLKN PERLUAS ILMU REPRODUKTIF

Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my


Isu pendidikan seks di kalangan remaja dan kanak-kanak telah lama hangat diperkatakan ibu bapa dan pihak berwajib dalam usaha mengimbangkan pendedahan ilmu reproduktif dalam mengekang ancaman gejala sosial. Keseimbangan yang rapuh ini perlu diselia dengan baik bagi mengelak terlalu banyak maklumat didedahkan pada usia yang tidak bersesuaian sehingga boleh menyebabkan kejutan budaya di kalangan kanak-kanak dan remaja. Kepelbagaian bangsa, budaya dan cara hidup terutamanya masyarakat bandar dan luar bandar juga perlu diambil kira bagi mengelak penerapan budaya 'hidup bebas' atau songsang sebagai sesuatu yang boleh diterima dalam komuniti di negara ini. Antara isu utama pendidikan seksual adalah usia yang sesuai untuk pendedahan formal memandangkan ada pihak mencadangkan modul serupa dimulakan seawal prasekolah sehingga ke peringkat universiti.

Memahami keperluan pemahaman dan pendedahan ilmu reproduktif di kalangan remaja, modul baru Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) diperkenalkan dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) pada 17 Februari lalu. Bagi Pensyarah di Jabatan Psikologi Pendidikan, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya, Profesor Madya, Dr. Haslee Sharil Lim Abdullah, modul baru itu bersesuaian dengan PLKN bagi mendidik golongan muda menghormati anggota badan mengikut nilai-nilai agama dan sosial di negara ini. "Kandungan dan pendekatan modul ini perlu sesuai dengan tahap pemikiran dan umur pelatih PLKN tetapi peringkat usia mereka biasanya sudah mempunyai pengetahuan sistem reproduktif yang jelas akan fungsinya. "Apa yang perlu kita tegaskan adalah perlunya rasa hormat kepada anggota badan manusia, termasuklah bahagian sulit diri sendiri atau orang lain," katanya. Jelasnya, menghormati itu bermakna anggota badan tidak boleh disalah guna dan tidak boleh menceroboh hak orang lain.

Bagi peringkat usia remaja, tarikan antara jantina berlainan adalah satu perkembangan sihat yang normal tetapi batas-batas jalinan hubungan antara jantina yang sama atau berlainan perlu dijelaskan. Dr. Haslee menyatakan pencerobohan hak anggota badan sendiri atau orang lain berlaku jika jalinan terbentuk atas dasar nafsu semata-mata dengan desakan dalaman yang kuat dan naluri yang membuak-buak. "Remaja perlu faham bahawa kasih sayang yang sebenar bukan dizahirkan dengan 'merosakkan' kekasih mereka. Jika hubungan mereka sudah sah sekalipun, tetap ada adab dalam pergaulan. "Jika mesej tentang rasa hormat terhadap anggota badan terutamanya bahagian sulit sendiri dan orang lain dapat disampaikan dengan jelas, golongan remaja kita mungkin dapat mengawal diri dengan lebih baik kelak," tegasnya. Perkataan seks itu kekal sesuatu yang tabu dalam kebanyakan kelompok masyarakat Malaysia terutamanya di kalangan orang Melayu dan mereka yang beragama Islam.

Walaupun ada pihak menggambarkan persepsi terhadap perkataan itu sebagai satu sifat yang ketinggalan zaman, ia tetap menjadi antara dinding akhir mengekalkan cara 'ketimuran' yang penuh tatasusila dan sopan-santun. Namun, adab ketimuran juga perlu mempunyai pemahaman tentang budaya luar terutamanya di era globalisasi kini yang mendedahkan remaja kepada bermacam budaya songsang dari pelbagai sumber. Pakar Perunding Seksual dan Kesihatan Reproduktif, Prof. Emeritus Dr. Mohd. Ismail Tambi berkongsi pandangan berkata, pelaksanaan modul PKRS di PLKN kena pada tempat dan masanya. "Umur pelatih sekitar 18 tahun sebenarnya sudah dikira sebagai dewasa dan mereka perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap perbuatan mereka sendiri. "Asas modul PKRS ini adalah menyampaikan maklumat dan ia amat sesuai untuk golongan remaja yang datang dari pelbagai bentuk latar belakang, sama ada bandar atau kampung. "Sedikit sebanyak, mereka memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar tentang kehidupan dan ini termasuklah pemahaman tentang isu seksual dan sosial," ujarnya. 

Tambahnya, adalah lebih baik golongan remaja mendapatkan maklumat dan tunjuk ajar dari sumber serta pendidik yang sah berbanding internet yang belum tentu boleh dipercayai. "Mungkin mereka yang kurang pendedahan mengenai isu ini akan berasa gelisah sedikit menghadapi modul sedemikian tetapi dengan bimbingan yang baik, PKRS tidak akan memberi tekanan negatif kepada pelatih PLKN. "Pendidikan dan pemahaman ilmu hidup sebegini baik untuk mengelak bermacam kejadian yang tidak diingini.  Seperti mana perkara tersurat dan tersirat (isu seksual) sudah jelas tetapi masih banyak perkara sebaliknya yang berlaku kini," tegasnya. Selain itu, Dr. Mohd. Ismail turut berpendapat modul tersebut dapat memberi manfaat kepada kumpulan remaja di luar melalui perkongsian ilmu bersama bekas pelatih PLKN. "Jika tahap pendidikan modul ini lebih tinggi, pelatih PLKN mungkin mampu berkongsi ilmu tersebut dengan rakan sebaya di luar. "Tetapi lain pula jika modul ini cuma untuk maklumat individu pelatih. 

Bergantung kepada maklumat yang diberikan, sedikit sebanyak mereka dapat memberi tunjuk ajar kepada kumpulan remaja yang lebih muda kelak," katanya. Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil sebelum ini menyatakan beliau percaya setiap pelatih akan memberi kesan berganda sebanyak lima kali ganda kerana mereka akan berkongsi apa yang dipelajari dengan sekurang-kurangnya lima individu lain.  "Jika 500,000 peserta berjaya dilatih, 2.5 juta rakyat di luar akan turut mendapat tempias program tersebut," ujarnya. Oleh itu, setiap modul yang dilaksanakan perlu mengambil kira kesan berangkai pelatih di dalam masyarakat dengan tumpuan kepada sudut positif yang boleh dimanfaatkan. PKRS tidak boleh sekadar dilihat untuk pelatih PLKN sahaja malahan sebagai titik mula perkongsian ilmu reproduktif di kalangan golongan muda di seluruh negara. Dengan pelaksanaan yang baik, matlamat utama PKRS untuk membimbing tentang kemahiran hidup berkeluarga, menjalinkan hubungan positif antara gender serta menyalurkan maklumat yang tepat mengenai seks dapat dikembangkan bukan sahaja di PLKN malahan kepada remaja di seluruh negara.

UTUSAN MALAYSIA
9 MAC 2011

ISU EKONOMI : TRANSFORMASI EKONOMI BUKTI KOMITMEN KERAJAAN BERTERUSAN


Pengumuman sembilan lagi projek baru di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang diumumkan semalam menunjukkan komitmen yang berterusan kerajaan memacu ekonomi negara ke arah menjadi sebuah negara maju menjelang 2020. Tambahan projek ini merupakan manifestasi usaha berterusan yang dilakukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam memastikan segala rancangan yang dirangka menjadi kenyataan. Perdana Menteri ketika mengumumkannya menyatakan projek-projek itu meliputi meningkatkan kemudahan pelancongan, memantapkan industri pertanian, menggalakkan projek penjagaan kesihatan dan juga merancakkan pelaksanaan tenaga yang diperbaharui. Di bawah usaha berkenaan, ia diramalkan bakal menarik RM2.26 bilion pelaburan termasuk menjimat dan menjana RM11.71 bilion pendapatan negara kasar (PNK) bagi tempoh tersebut.

Pengumuman terbaharu ini ternyata membuktikan program ETP terus dilaksanakan pada tahap tertinggi dan bukan merupakan satu umpan untuk sekadar memenangi pilihan raya kecil atau umum. Sembilan projek itu, sekiranya digabungkan dengan 11 projek yang diumumkan sebelum ini akan menghasilkan RM14.74 bilion pelaburan, RM20 bilion dalam PNK dan 88,354 lagi pekerjaan. Setakat ini, ETP kini dilihat telah mempunyai kesan pemangkin ketara terhadap ekonomi sebagai mana yang dilihat pada komitmen pelaburan daripada projek permulaan dan asas projek serta kenaikan yang dijangka dalam pendapatan sebenar. Ini menunjukkan segala perancangan yang dilakukan kerajaan kini semakin diyakini oleh banyak pihak sama ada dalam dan juga luar serta mampu untuk menempah kejayaan. Sekiranya tidak masakan pihak-pihak swasta tempatan turut memberikan sambutan yang baik terhadapnya.

Malah, ada pendapat mengatakan bahawa Malaysia kini memperlihatkan kesediaan untuk memenuhi hasrat menjadi negara pendapatan tinggi menjelang 2020. Pendapat sedemikian merupakan antara banyak ulasan yang diberikan oleh bukan saja tokoh tempatan, tetapi juga luar negara sekali gus menunjukkan bahawa negara kita menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding dengan negara-negara Asia lain. Masakan tidak, Malaysia sebelum ini telah menunjukkan rekod pencapaian yang membanggakan apabila mengubah sebuah negara yang sebelumnya bergantung kepada komoditi getah dan timah kepada sebuah negara industri di bawah kepimpinan penerajunya sebelum ini. Bersandarkan hakikat ini, di bawah kepimpinan sedia ada dan juga sokongan yang jitu diberikan kepada kerajaan terutamanya Perdana Menteri, negara ini mampu merealisasikan hasrat yang uar-uarkan itu - sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

UTUSAN MALAYSIA
9 MAC 2011

08 Mac 2011

TITAH SERI PADUKA BAGINDA : MELAKAR MALAYSIA MAJU DAN BERKUALITI

Bismillaahir Rahmaanir Rahiim


Alhamdulillahi Rabbil 'Alamin Wabihi Nasta'iin Assalamualaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh dan Salam Sejahtera Yang di-Pertua Dewan Negara, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Ahli-Ahli Dewan Negara dan Ahli-Ahli Dewan Rakyat sekalian. Beta memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan izin serta limpah kurnia-Nya kita dipermudahkan sehingga dapat berkumpul sekali lagi, di Dewan yang mulia ini untuk Istiadat Pembukaan Penggal Keempat, Parlimen Kedua Belas. Beta bersyukur atas nikmat kemakmuran, keselamatan dan keamanan yang dikecap oleh negara selama ini. Beta berharap kesejahteraan negara di bawah Gagasan 1Malaysia akan berterusan, di mana rakyat yang didorong oleh semangat kesatuan akan dapat menggembleng tenaga untuk menghasilkan pencapaian yang lebih baik dalam pelbagai bidang.

Tahun 2010 merupakan tahun terakhir Rancangan Malaysia Kesembilan. Prestasi perbelanjaan ke atas projek-projek pembangunan yang telah dilaksanakan mencapai 96.2 peratus daripada peruntukan berjumlah RM230 bilion. Beta mengucapkan tahniah kepada Kerajaan, pihak swasta dan rakyat yang bersama-sama menjayakannya. Semoga Rancangan Malaysia Kesepuluh yang mula dilaksanakan pada tahun ini dapat terus meningkatkan kesejahteraan rakyat. Alhamdulillah, ekonomi Malaysia kembali kukuh dengan mencatat pertumbuhan pesat pada kadar 7.2 peratus pada tahun 2010, berbanding penguncupan 1.7 peratus pada tahun sebelumnya. Pertumbuhan tinggi ini dicapai berikutan permintaan domestik yang mantap dan disokong oleh prestasi eksport yang menggalakkan. Pemulihan ekonomi yang pantas ini juga hasil daripada dua pakej rangsangan ekonomi yang telah dilaksanakan. Tanda-tanda pengukuhan ekonomi negara juga boleh dilihat melalui peningkatan keyakinan pelabur sehingga Indeks Bursa Malaysia telah mencatatkan paras tertinggi melebihi 1,570 mata pada awal tahun ini. 

Pelaburan langsung asing dalam sektor pembuatan pula telah meningkat kepada RM29.1 bilion pada tahun 2010 berbanding RM22.1 bilion yang dicatat pada tahun 2009, iaitu peningkatan sebanyak 31.7 peratus. Pelaburan asing terbesar adalah daripada negara seperti Amerika Syarikat, Jepun, Hong Kong, Singapura dan Jerman. Pada tahun ini, pertumbuhan ekonomi negara disasarkan antara 5 hingga 6 peratus yang akan dipacu oleh sektor swasta serta eksport yang menggalakkan. Perbelanjaan awam pula dianggarkan meningkat dengan kadar lebih perlahan sejajar dengan matlamat pengurusan fiskal yang berhemat. Sebagai sebuah negara yang mengamalkan ekonomi terbuka, faktor-faktor luaran seperti ekonomi global yang masih tidak menentu akan mempengaruhi pertumbuhan ekonomi Malaysia. Ini merupakan satu cabaran dalam usaha mengukuhkan ekonomi negara dan seterusnya untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi pada tahun 2020.

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

Beta mengalu-alukan keterbukaan Kerajaan yang mengakui bahawa di sebalik kejayaan ekonomi yang dinikmati selama ini, dikhuatiri kita akan terus terperangkap dalam ekonomi berpendapatan sederhana sekiranya tiada tindakan konkrit diambil untuk keluar dari situasi tersebut. Dalam hal ini, Kerajaan Beta di bawah kepimpinan Mamanda Perdana Menteri telah mengambil langkah yang tepat untuk melaksanakan transformasi berlandaskan 4 tonggak utama, iaitu Gagasan 1Malaysia, Program Transformasi Kerajaan yang merangkumi 6 Bidang Keberhasilan Utama Negara, atau NKRA dan Program Transformasi Ekonomi berteraskan Model Baru Ekonomi serta Rancangan Malaysia Kesepuluh dan Kesebelas. Program Transformasi Kerajaan dan Transformasi Ekonomi yang diperkenalkan merupakan langkah yang berpandangan jauh dan berani demi membawa Malaysia menjadi negara maju berpendapatan tinggi.

Sebanyak 12 Bidang Ekonomi Utama Negara, atau NKEA telah dikenal pasti dapat menjana pelaburan bernilai lebih RM1.3 trilion, dengan 92peratus oleh sektor swasta. Pelaksanaan NKEA akan memberi kesan yang menyeluruh kepada rakyat melalui pewujudan lebih kurang 3.3 juta peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang. Ini akan memberi lebih banyak pilihan bagi mereka yang mencari pekerjaan serta membolehkan peralihan kepada pekerjaan berpendapatan lebih tinggi. Justeru, rakyat juga akan berupaya menikmati peningkatan dalam mutu kehidupan antaranya pendidikan, kesihatan, perumahan, pengangkutan dan kemudahan awam. Malaysia komited untuk mencapai hasrat menjadi negara maju berpendapatan tinggi pada tahun 2020 dengan pendapatan per kapita melebihi USD15,000, atau RM50,000. Sehubungan itu, pelbagai program dan inisiatif akan dilaksanakan untuk mencapai pertumbuhan ekonomi dengan purata sekurang-kurangnya 6 peratus setiap tahun, yang akan dipacu oleh pelaburan dan penggunaan swasta serta peningkatan eksport. Usaha-usaha juga akan terus dipertingkatkan bagi menjadikan Malaysia mempunyai ciri-ciri sebagai peneraju pasaran dan amalan tadbir urus cemerlang.

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

Perdagangan luar terus menjadi penyumbang penting kepada ekonomi negara. Pada tahun 2010 jumlahnya telah meningkat sebanyak 18.3 peratus kepada RM1.2 trilion berbanding RM988.2 bilion pada tahun 2009. Malaysia akan terus memperkukuhkan hubungan perdagangan dan pelaburan dengan negara-negara ASEAN, rakan dagang tradisional dan yang sedang berkembang pesat di Asia, Timur Tengah dan Amerika Selatan. Beta mengucapkan tahniah di atas kejayaan Malaysia berada di tangga ke-10 dalam Laporan Daya Saing Dunia 2010. Industri dalam negara terutama industri kecil dan sederhana akan terus dimantapkan. Di samping itu, industri berkaitan teknologi hijau juga akan diberi galakan, mengambil kira potensinya selaras dengan Dasar Teknologi Hijau Negara untuk mewujudkan ekonomi lestari pada masa hadapan. Modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran tinggi, mempunyai minda kelas pertama serta mampu bersaing di peringkat global amat penting untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi.

Transformasi pendidikan di peringkat sekolah khususnya berkaitan dengan kurikulum standard yang diperkenalkan akan dapat meningkatkan lagi kualiti pendidikan. Kemahiran dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi serta vokasional akan terus diperkasakan. Di peringkat pengajian tinggi pula, penekanan akan diberi kepada program kerjasama universiti dan industri untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan. Beta menyeru supaya kualiti dan kemahiran guru dan pensyarah dalam pengajaran dan pembelajaran dipertingkatkan lagi. Dalam membudayakan pembelajaran sepanjang hayat dan mengambil kira keperluan pasaran dan kehendak negara, program-program latihan teknikal dan vokasional kepada golongan lepasan sekolah, belia dan pekerja sedia ada akan dipertingkatkan. Penubuhan Talent Corporation adalah satu usaha untuk menarik dan mengekalkan modal insan yang berkepakaran tinggi.

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

Sains, teknologi dan inovasi amat penting dalam memacu pembangunan negara terutama bagi menjana pengetahuan, mencipta kekayaan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat. Usaha-usaha mengkomersialkan hasil penyelidikan dan pembangunan untuk menjana pendapatan negara akan terus diberi tumpuan. Beta berharap penubuhan Agensi Inovasi Malaysia dan penggubalan Dasar Industri Kreatif akan dapat menyemarakkan lagi penciptaan kekayaan melalui aktiviti-aktiviti inovasi dan industri kreatif multimedia. Malaysia merupakan antara destinasi pelancongan yang terkenal dengan menduduki tangga ke-9 dalam senarai Pertubuhan Pelancongan Dunia Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 2009. Usaha-usaha inovatif akan terus dipertingkatkan untuk menarik lebih ramai pelancong berbelanja tinggi serta memperluaskan pasaran di negara-negara yang mempunyai pertumbuhan ekonomi tinggi. Pelancongan berkaitan alam semula jadi serta keunikan masyarakat majmuk negara ini akan juga diberi penekanan.

Sektor pertanian masih penting dari segi penjanaan pendapatan dan menjamin bekalan makanan. Sehubungan itu, Dasar Agro-Makanan 2011 hingga 2020 telah digubal bertujuan meningkatkan pengeluaran makanan negara serta merapatkan jurang ekonomi antara bandar dan luar bandar. Dalam usaha untuk bergerak ke arah negara maju, penambahbaikan dan peningkatan infrastruktur pengangkutan dan perhubungan akan terus dilaksanakan. Ini termasuk kemudahan pengangkutan darat, laut dan udara serta teknologi maklumat dan komunikasi bagi memberi kemudahan kepada rakyat, pelabur dan komuniti perniagaan. Sistem penyampaian perkhidmatan Kerajaan yang cekap, cepat dan berkesan sangat penting untuk kemajuan negara. Justeru, pembaharuan dan penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan termasuk mempelbagaikan saluran penyampaian akan terus dilaksanakan.

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

Kerajaan Beta prihatin bahawa status negara maju tidak bermakna jika rakyat tidak menikmati kehidupan berkualiti. Sehubungan ini, Kerajaan telah menetapkan dan sedang melaksanakan inisiatif-inisiatif seperti memperluaskan akses pendidikan berkualiti dan berkemampuan, mengurangkan kadar jenayah, memerangi rasuah, memperkasa prasarana luar bandar, meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah dan menambah baik pengangkutan awam bandar bagi memastikan kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat negara ini sentiasa bertambah baik. Sebagai satu kelangsungan untuk menyediakan masyarakat yang mampu menghadapi cabaran pada masa hadapan, generasi baru perlu dipersiapkan dengan ilmu, kemahiran dan sahsiah bermula sejak di awal usia lagi. Akses kepada pendidikan prasekolah bagi kanak-kanak berumur 5 hingga 6 tahun dan Program PERMATA Negara akan diperluaskan. Pada masa yang sama, kecemerlangan murid akan terus dipertingkatkan melalui pengiktirafan lebih banyak sekolah sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi.

Walaupun Indeks Keamanan Dunia 2010 meletakkan Malaysia di kedudukan kedua terbaik di Asia dan ke-22 di dunia, namun Kerajaan Beta tidak akan leka dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara. Beta mengucapkan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia atas usaha dan komitmen tinggi bagi memastikan rakyat berbilang kaum di negara ini dapat menjalani kehidupan seharian dalam suasana harmoni, selamat dan tanpa kacau bilau atau persengketaan. Kesungguhan Polis Diraja Malaysia memerangi kegiatan jenayah termasuk memperkenalkan inisiatif-inisiatif baru harus dipuji. Penurunan indeks jenayah keseluruhan sebanyak 15 peratus dan jenayah jalanan sebanyak 35 peratus pada tahun 2010 merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan melepasi sasaran yang ditetapkan.

Beta juga mengalu-alukan kerjasama strategik antara Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia bagi menangani jenayah seperti menggunakan kem-kem tentera untuk melatih anggota polis, menyerap bekas tentera dalam perkhidmatan polis dan mengadakan rondaan secara bersama. Beta amat tertarik dengan perkembangan tersebut kerana sebelum ini jarang sekali kerjasama strategik seperti ini diadakan. Ia merupakan petanda positif yang akan membawa manfaat besar kepada rakyat dan negara. Peranan Angkatan Tentera Malaysia pada masa ini adalah lebih daripada mempertahankan negara, malah turut membantu mangsa banjir dan membangunkan prasarana luar bandar khususnya melalui Program Jiwa Murni. Pemilihan Angkatan Tentera Malaysia dalam membantu membangunkan keupayaan di Afghanistan, merupakan suatu pengiktirafan ke atas profesionalisme Angkatan Tentera Malaysia. Beta juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan bahawa mempertahankan kedaulatan negara adalah menjadi tanggungjawab bersama semua rakyat.

Justeru, Kerajaan akan terus mempertingkatkan program untuk menarik lebih ramai rakyat pelbagai kaum menyertai Angkatan Tentera Malaysia. Selain itu, Program Latihan Khidmat Negara yang dapat meningkatkan semangat patriotik dan kesatuan dalam kalangan pelatih pelbagai kaum juga akan diperkukuhkan. Kerajaan amat komited dalam memerangi rasuah. Ia dilaksanakan bukan sekadar untuk mempertingkatkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah, tetapi atas kesedaran bahawa rasuah akan merosakkan negara dan bangsanya. Hanya dengan kerjasama semua pihak, jenayah rasuah boleh dihapuskan. Berilah sokongan padu dan keyakinan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam memerangi rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan

Kesejahteraan penduduk luar bandar termasuk masyarakat Orang Asli di Semenanjung serta penduduk luar bandar di Sabah dan Sarawak tidak pernah diabaikan dalam arus pembangunan negara. Kemudahan seperti jalan luar bandar, infrastruktur awam, bekalan air bersih dan elektrik serta telefon kepada penduduk-penduduk luar bandar akan terus dipertingkatkan. Pada tahun 2010, hampir 800 kilometer jalan baru dan naik taraf, 16,900 unit rumah untuk keluarga miskin dan miskin tegar, bekalan air bersih kepada 35,000 buah rumah dan bekalan elektrik kepada 27,000 buah rumah telah dilaksanakan di seluruh negara. Beta bangga jumlah miskin tegar telah berjaya dikurangkan pada tahun 2010. Daripada jumlah lebih 44,000 ketua isi rumah miskin tegar yang dikenal pasti pada awal tahun, ia telah berjaya dikurangkan kepada sekitar 100 pada akhir tahun. 

Bagi memastikan golongan ini tidak kembali menjadi miskin tegar, Kerajaan telah melaksanakan pelbagai program antaranya 1AZAM dan pendekatan pembangunan inklusif. Pelan Induk Pembangunan Luar Bandar pula telah digubal bagi menggembleng sumber dan tenaga semua pihak agar program-program pembangunan dapat dilaksanakan secara sistematik dan menyeluruh. Aspek seperti latihan dan pendidikan modal insan, peningkatan ekonomi, infrastruktur, perancangan fizikal, peningkatan kualiti hidup dan pengurusan sumber alam akan diberi tumpuan. Bagi peneroka FELDA pula, walaupun pendapatan mereka telah meningkat dengan kenaikan harga komoditi, namun usaha-usaha akan terus dilaksanakan bagi meningkatkan lagi kualiti hidup golongan berkenaan. Pada tahun ini FELDA memperuntukkan sebanyak RM1.6 bilion bagi tujuan tersebut.

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

Menyedari potensi kaum wanita dalam pelbagai bidang, golongan ini akan diperkasakan terutama dalam sektor ekonomi melalui latihan keusahawanan dan bantuan modal perniagaan. Setakat ini sasaran melahirkan seramai 1,000 orang usahawan wanita setiap tahun telah berjaya dicapai. Bagi menggalakkan lebih ramai kaum wanita menyertai sektor pekerjaan dan 30 peratus menduduki peringkat pembuat keputusan, penggubalan Peraturan-Peraturan Kerja (Pekerja Separa Masa) 2010 dan penubuhan jawatankuasa khas bagi melaksanakan program gender dalam sektor awam sangat dialu-alukan.

Bagi kemudahan perumahan kepada golongan kurang berkemampuan, penjualan lebih 44,000 unit rumah kos rendah kepada golongan berpendapatan rendah termasuk penyewa sedia ada dan setinggan di Kuala Lumpur, pembinaan lebih 63,000 unit rumah baru di bawah Program Perumahan Rakyat untuk disewa pada kadar yang berpatutan adalah antara bukti komitmen Kerajaan untuk meringankan beban golongan berkenaan. Dalam tempoh RMK-10, lebih 38,000 unit rumah di bawah program yang sama akan dibina untuk disewa dan dijual kepada mereka yang memerlukannya. Kerajaan akan terus meningkatkan kualiti hidup rakyat dengan mempertingkatkan kemudahan awam, memulihara dan mewujudkan lebih banyak kawasan hijau dan tempat riadah serta interaksi sosial termasuk untuk golongan orang kurang upaya. Semua pihak hendaklah turut sama memainkan peranan menjaga kebersihan dan memulihara alam sekitar termasuk mengamalkan kitar semula.

Beta mengalu-alukan rancangan untuk menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar raya metropolis terbaik dan selamat dengan mempunyai kemudahan bermutu tinggi, sungai-sungai yang bersih dan landskap yang menarik menjelang tahun 2020 melalui inisiatif Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang. Bagi meningkatkan kualiti hidup dan alam sekitar, kemudahan pengangkutan awam akan terus ditambah baik. Di Lembah Klang, Kerajaan menyasarkan 25 peratus pengguna pengangkutan awam menjelang tahun 2012. Oleh itu, pelbagai langkah telah dan akan dilaksanakan bagi mencapai sasaran tersebut. Juga akan dilaksanakan ialah pembinaan laluan Sistem Transit Aliran Berkapasiti Tinggi, atau MRT Sungai Buloh - Kajang melalui Kuala Lumpur sepanjang 60 kilometer. Projek ini apabila siap kelak dapat meningkatkan jumlah pengguna pengangkutan awam kepada 50 peratus menjelang tahun 2020. Pada masa yang sama sistem pengangkutan awam antara bandar juga akan ditambah baik.

Sebagai tambahan kepada perkhidmatan Klinik 1Malaysia di kawasan bandar, Beta mengalu-alukan perkhidmatan Klinik Bergerak 1Malaysia ke kawasan-kawasan terpencil, yang memberi perkhidmatan meliputi rawatan pergigian, pemeriksaan mata dan penyediaan cermin mata percuma. Pada masa sama, rakyat hendaklah turut memberi perhatian serius terhadap penjagaan kesihatan. Misalnya, demam denggi boleh dicegah dengan meningkatkan kebersihan persekitaran. Penyakit-penyakit tidak berjangkit dan kronik pula boleh dicegah dengan mengamalkan gaya hidup sihat. Keprihatinan Kerajaan terhadap golongan belia terbukti melalui dasar dan program-program yang mencakupi pendidikan, latihan, keusahawanan, kepimpinan, kemasyarakatan, sukan, sosial, kebudayaan dan sebagainya bagi mempersiapkan belia menghadapi cabaran masa hadapan.

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

Tiada negara terkecuali daripada menerima kesan perubahan iklim dan pemanasan global termasuk Malaysia, sehingga baru-baru ini negara mengalami dua kejadian banjir kesan daripada monsun timur laut dan fenomena La Nina. Walaupun banjir yang melanda negara kita telah menyebabkan kesukaran kepada rakyat, namun ia dapat dikurangkan melalui pelbagai bantuan yang telah disalurkan oleh beberapa agensi serta atas tahap kesiapsiagaan Kerajaan dalam menghadapi bencana alam yang sukar diramal. Demi mengurangkan kesusahan rakyat, sistem amaran awal bencana yang lebih bersepadu merangkumi sistem ramalan cuaca dan iklim serta sistem amaran awal banjir akan diperkukuhkan agar lebih berkesan.

Sejak akhir-akhir ini telah berlaku situasi kenaikan harga bahan-bahan makanan di seluruh dunia yang disebabkan oleh pemanasan global, bencana alam, perubahan polisi negara pengeluar dan peningkatan penduduk dunia sebanyak 4 peratus setahun berbanding pengeluaran makanan dunia sebanyak 1 hingga 2 peratus. Ia adalah krisis makanan global. Sebagai negara pengimpot makanan, Malaysia terdedah kepada kenaikan harga barang dan ini sememangnya di luar kawalan Kerajaan. Dalam keadaan ini, Beta menyeru rakyat supaya lebih bersedia untuk menghadapi fenomena ini, jadilah pengguna yang bijak. Namun, Kerajaan begitu prihatin terhadap keresahan dan kesusahan yang dialami rakyat, di mana Kerajaan telah menyediakan peruntukan berjumlah RM10.3 bilion dalam bentuk subsidi bagi membolehkan rakyat memperolehi barang keperluan asasi seharian pada harga yang berpatutan.

Beta memandang berat kecenderungan pihak-pihak tertentu membangkitkan isu-isu sensitif dan berbaur perkauman serta mempolitikkan perkara-perkara yang tidak sepatutnya. Beta menyeru semua pihak supaya menjunjung kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan. Kedaulatan Raja-Raja Melayu, kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan kedudukan istimewa orang Melayu serta anak negeri Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah kaum-kaum lain meliputi hal kewarganegaraan dan hak asasi sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan hendaklah tidak dipersoalkan bagi mengelak perpecahan. Walaupun Islam adalah agama bagi Persekutuan, agamaagama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai, malah hari-hari perayaan agama yang mempunyai penganut teramai dijadikan sebagai hari cuti umum. Ini menunjukkan amalan kesederhanaan dan keterangkuman seperti dianjurkan oleh Islam telah diamalkan dengan subur di negara ini.

Badan-badan bukan Kerajaan diiktiraf sebagai antara elemen penting dalam pembangunan masyarakat sivil. Di negara ini, badan-badan bukan Kerajaan telah membantu Kerajaan dalam pelbagai bidang. Beta berharap dalam melaksanakan program-program dan aktiviti masing-masing, badan bukan Kerajaan hendaklah mengelak daripada menyentuh sensitiviti dan isu-isu yang boleh menjejaskan keharmonian rakyat dan menggugat imej negara. Di peringkat antarabangsa, Malaysia akan terus memberi sumbangan untuk mencapai keamanan sejagat. Beta sukacita dengan sambutan yang menggalakkan daripada negara-negara utama dunia terhadap pendekatan Gerakan Global Ke Arah Kesederhanaan yang telah diketengahkan oleh Mamanda Perdana Menteri. Ini merupakan antara sumbangan Malaysia untuk mencapai keamanan, ketenteraman, kemakmuran dan pembangunan sejagat. Hubungan erat dan harmoni terutamanya dengan negara-negara ASEAN akan diberi penekanan berdasarkan Piagam ASEAN ke arah merealisasikan Komuniti ASEAN pada tahun 2015.

Berbanding dengan negara-negara tertentu, ketenteraman dan keharmonian di negara ini adalah nikmat yang perlu disyukuri dan dipelihara. Komitmen Kerajaan untuk memberi kesejahteraan kepada rakyat melampaui sempadan negara terserlah melalui usaha membawa pulang pelajar-pelajar yang terhimpit dalam pergolakan politik di Mesir melalui Ops Piramid bulan lalu. Sehubungan ini, Beta merakamkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi tersebut serta kepada negara-negara sahabat terutamanya kepada Kerajaan Arab Saudi yang telah banyak membantu mempermudahkan Ops Piramid. Beta mengucapkan tahniah kepada atlet-atlet negara yang telah mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa pada tahun 2010 seperti di Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Kejohanan Bola Sepak AFF Suzuki. Beta bersama rakyat amat berharap di Sukan Olimpik 2012, London kelak akan ada atlet memenangi emas pertama untuk Malaysia.

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

Beta menyeru semua pihak agar sentiasa mengekalkan keharmonian serta maruah negara. Jadilah warga yang bijak, bertanggungjawab dan tidak mudah terpengaruh dengan fitnah dan tohmahan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Sayugia diingatkan bahawa perbuatan fitnah memfitnah yang boleh menjejaskan perpaduan rakyat adalah perbuatan yang amat tercela dan dilarang oleh semua agama. Ambillah iktibar daripada keruntuhan beberapa empayar terdahulu akibat perpecahan angkara fitnah. Untuk ke sekian kalinya Beta mengingatkan bahawa tingkah laku Ahli-Ahli Yang Berhormat dalam Dewan yang mulia ini sentiasa diperhatikan dan menjadi teladan kepada masyarakat. Justeru, pamerkanlah tingkah laku yang terpuji, berbahaslah dengan tertib, sumbangkanlah pemikiran yang bernas, laksanakanlah tanggungjawab yang diamanahkan dan utamakanlah kepentingan rakyat.

Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamu Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.