04 Januari 2011

ISU BAHASA : KITA TIDAK PATUT MALU NAIKKAN MARTABAT BAHASA MELAYU


Masih ada pihak khususnya mereka yang terbabit dalam dunia perniagaan percaya dongeng bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara tidak mempunyai nilai ekonomi. Justeru, ia tidak digunakan bagi tujuan komersial seperti dalam iklan, urusan perniagaan atau perdagangan, sama ada pada peringkat dalaman mahupun antarabangsa. Benarkah kenyataan ini?  
Sejarah membuktikan bahawa di alam Melayu atau kepulauan Melayu di Nusantara ini, bahasa Melayu digunakan sejak berabad-abad lamanya oleh ramai pedagang yang berurusan di sini, sama ada dari Eropah, China, India, Portugis dan Belanda dalam perdagangan rempah-ratus, pakaian, herba, ubat-ubatan, makanan dan sebagainya. 
Mengimbau sejarah Melaka sebagai empayar perdagangan suatu ketika dulu bukanlah untuk tujuan nostalgia, tetapi mengambil pengajaran mengapa Melaka maju sebagai pusat perdagangan dan bahasa Melayu berkembang dengan penggunaannya sebagai bahasa perdagangan di samping bahasa perhubungan diplomatik.

Bagaimana bahasa mendapat nilai yang tinggi? Tidak lain dan tidak bukan apabila penuturnya sendiri menggunakannya pada waktu dan tempat tertentu. Penuturnyalah yang menentukan sama ada bahasa itu mahu digunakan di pasar, di kaki lima atau digunakan sehingga di gedung ternama, hotel, mesyuarat, persidangan peringkat kebangsaan atau antarabangsa.  
Mengambil contoh mudah, suatu ketika dulu, ulam-ulaman seperti ulam raja dan pegaga hanya tumbuh di bawah tangga rumah di kampung. Tidak ramai yang mencari petai, jering, pucuk paku, air kelapa muda, mengkudu, durian belanda, kacip fatimah, tongkat ali, daun serapat atau daun sirih.  
Kini semua ulaman itu menjadi hidangan hingga ke hotel terkemuka. Kajian membuktikan khasiat tertentu seperti mengkudu dan sirih menyebabkan ramai yang bersedia membeli jus mengkudu sekalipun harganya mencecah puluhan ringgit di samping minuman herba tempatan yang sudah dikomersial dan menjadi industri menguntungkan.  
Tetapi kini keadaan sudah berbeza. Jika kita sendiri yang menetapkan bahawa bahasa Melayu hanya boleh digunakan ketika makan di kafeteria atau di pondok pengawal dan tidak boleh digunakan dalam mesyuarat syarikat, brosur, iklan atau bungkusan produk, maka kitalah yang sebenarnya merendahkan nilai ekonomi bahasa itu. 

Bahasa itu lengkap dengan laras dan istilahnya untuk digunakan. Kitalah sebenarnya yang bersalah kerana ‘memandulkan’ keupayaannya dengan menetapkan secara paksa akan had penggunaan bahasa itu sedangkan keupayaan bahasa itu jauh menjangkau lebih daripada itu, malah sehingga ke peringkat antarabangsa sebagai bahasa ilmu.  
Kitalah yang perlu menetapkan nilai ekonomi yang tinggi terhadap bahasa kebangsaan dengan menunjukkan keutamaan penggunaan jenama produk, iklan, pembungkusan dan pengumuman.  
Dalam satu pertemuan berkaitan pelaksanaan bahasa kebangsaan baru-baru ini, penulis dimaklumkan bahawa sebuah bank perdagangan asing di Malaysia turut menggunakan bahasa Melayu dalam urusannya.  
Tentulah ini sesuatu yang amat membanggakan berbanding cerita yang ironi mengenai sebuah bank tempatan yang dikatakan enggan memberi nilai ekonomi terhadap bahasa kebangsaan sendiri.  
Mungkin kita tidak perlu risau dan dapat menerima jika cuma beberapa kerat saja yang berjenama asing, tetapi malangnya ketara sekali yang berjenama asing itu terlalu berleluasa sehingga menenggelamkan jati diri kebangsaan.


Selain jenama produk yang sememangnya milik rangkaian antarabangsa, sepatutnya yang lain perlu memaparkan citra dan jati diri kebangsaan negara ini dan kita tidak perlu berkompromi lagi selepas usia kemerdekaan negara mencapai 53 tahun.  
Jika dibiarkan, kita percaya status sedia ada akan berterusan buat selama-lamanya. Justeru, usaha secara lembut dan diplomasi perlu digantikan dengan penguatkuasaan undang-undang oleh pihak berkuasa tempatan termasuk Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Bagi sektor awam mungkin tidak banyak masalah kerana mereka terikat peraturan, tetapi tetap ada ruang yang perlu ditambah baik.  
DBP juga perlu memastikan penguatkuasaan semula peraturan mengembalikan surat urusan rasmi pejabat yang tidak ditulis dalam bahasa Melayu, seperti yang pernah dilakukan ketika Allahyarham Tun Syed Nasir Ismail menerajui DBP suatu ketika dulu sebagai pengajaran agar bahasa kebangsaan tetap diutamakan dan dihormati. 


Oleh Kamal Shukri Abdullah Sani

Penulis adalah Timbalan Presiden Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) 

BERITA HARIAN
4 JANUARI 2010

ISU SOSIAl : PEMIMPIN DAN KEPEMIMPINAN



Kepemimpinan yang berkesan sangat diperlukan bukan sahaja kepada organisasi tetapi juga kepada negara. Negara akan lebih maju dan berkembang pesat jika kita mempunyai ramai pemimpin yang hebat, berkarisma dan berkhidmat dengan penuh dedikasi. Syarikat perniagaan pula boleh membawa keuntungan yang besar dan menyebabkan mereka yang memiliki saham tersenyum lebar dengan adanya pemimpin yang berkesan. Bagi organisasi bukan kerajaan, pemimpin yang cekap membolehkan visi dan misi tercapai dengan cepat. Kepimpinan keluarga yang berkesan membolehkan anak-anak dibesarkan dengan sihat, mendapat didikan yang baik dan menjadi warga negara yang berguna. Sebaliknya, kepimpinan yang lemah akan memberi kesan yang tidak baik dan sering mengundang masalah. Organisasi akan bergerak perlahan, lesu dan membawa kerugian kepada semua pihak.

Kajian menunjukkan kepimpinan yang lemah kerap membuat keputusan yang silap, tidak mantap dan tidak tepat. Akibatnya organisasi akan menghadapi masalah pelaksanaan, menyukarkan orang bawahan, membuang masa, kerugian dari segi kewangan dan matlamat organisasi tidak tercapai. Pemimpin yang berkesan biasanya berkait rapat dengan sejauh mana penerimaan orang bawahan terhadap kepimpinannya. Kemampuan beliau membawa perubahan dan menghadapi halangan serta rintangan sering dinilai. Kepimpinan begini biasanya tahan diuji dan sedia mengambil risiko terhadap sebarang keputusan yang telah diambil. Pemimpin dan kepimpinan yang berkesan boleh mencorakkan kehidupan rakyat dan pembangunan negara. Setiap lima tahun kita akan memilih pemimpin melalui pilihan raya umum. Sudah tentulah pilihan kita ialah mereka yang dapat memberi perkhidmatan yang baik, telah terbukti dan berupaya membawa perubahan kepada masyarakat dan negara. Dalam perniagaan pula, para pelabur akan mengalu-alukan pemimpin yang cekap dan mampu membawa keuntungan yang besar kepada pelaburan mereka. Dengan kata lain pemimpin yang bijak dan hebat boleh membawa keuntungan yang banyak kepada syarikat yang kecil tetapi pemimpin yang lemah boleh mendatangkan kerugian walaupun syarikat besar.



APAKAH MAKSUD KEPIMPINAN?

Kepimpinan adalah suatu proses di mana seorang pemimpin berusaha mempengaruhi pemikiran, sikap dan perlakuan orang bawahannya. Pemimpin berperanan menyediakan arah tuju, menjelaskan apa yang ada di hadapan, memberi kefahaman apakah yang ingin dicapai, sentiasa memberi galakan dan motivasi. Kepemimpinan yang baik boleh mengukuhkan perpaduan, mengelakkan konflik dan bergerak ke matlamat yang sama. Mereka juga mampu memastikan setiap orang melakukan yang terbaik seolah-olah memberi suatu suntikan tenaga kepada mereka untuk mencapai matlamat organisasi. Banyak pendapat mengatakan bahawa tanpa pengikut maka tiadalah pemimpin. Sebagai contoh dalam tahun 1930-an di mana Winston Churchill menyeru rakyat Britain supaya membuat persediaan bagi menghadapi dan menyekat ancaman Hitler daripada Jerman. Tetapi mereka tidak mengendahkannya kerana percaya peperangan tidak akan sampai ke negara mereka dan keamanan akan tercapai pada bila-bila masa. Kepimpinan Churchill ditolak oleh rakyat dan beliau mempunyai jumlah pengikut yang kecil bilangannya. Tetapi realitinya adalah berlainan apabila Jerman mula mengumpulkan bala tenteranya dan memulakan peperangan dengan menyerang beberapa negara di Eropah termasuk England.

Ramalan Churchill menjadi kenyataan dan dengan menggunakan kebolehan dan karisma akhirnya beliau mendapat sokongan padu rakyat negaranya dan menjadi antara Perdana Menteri yang paling popular. Pada masa kini pemimpin yang tulen dan berkebolehan kadang-kadang sukar untuk dibezakan dengan pemimpin yang berpura-pura. Ada pemimpin yang sanggup menunjukkan aksi hebat tetapi sebenarnya mereka adalah pemimpin yang lemah. Lebih memburukkan keadaan ada antaranya pula mempunyai kepentingan diri dan kumpulan. Pemimpin sebegini sangat bahaya kerana ia boleh merosakkan organisasi dan masyarakat. Kepimpinan yang bersikap tidak jujur dan tidak bertanggung jawab boleh dihindari sekiranya mereka mempunyai etika dan integriti yang kuat. Etika dan integriti bolehlah dianggap seperti sebuah kompas yang berupaya menunjukkan ke arah yang betul dan tepat. Mereka yang mempunyai etika dan integriti atau kekuatan dalaman boleh menjadikan mereka lebih jujur dan lebih bertanggungjawab. Kesimpulannya sebagai negara sedang membangun kita memerlukan ramai pemimpin yang bijak dan berkesan. Mereka perlu mempunyai visi dan misi yang jelas, mudah didampingi dan sanggup mengambil risiko. Pemimpin yang jujur dan bertanggung jawab biasanya akan dihormati dan disanjung.



Oleh : Tan Mohd Ali Mohd Dom
Bekas Ketua Pengarah Pelajaran
Utusan Malaysia
4 Januari 2010

ISU UMUM : TRANSFORMASI SELARI TUNTUTAN EKONOMI


Globalisasi adalah ciri utama yang melatari dan mewarnai abad ke-21 ini. Apakah maksud globalisasi itu? Globalisasi adalah satu proses perubahan yang berlaku dalam pelbagai bidang kehidupan manusia kesan daripada peningkatan pelbagai aktiviti manusia sejagat yang dipacu oleh kemajuan pesat teknologi maklumat (ICT) merentasi sempadan 'geo-politik'. "Maklumat di hujung jari" adalah ungkapan yang tepat bagi menggambarkan segala bentuk idea, kegiatan serta interaksi ekonomi, sosial dan politik berkembang tanpa mengambil kira persempadanan politik sesebuah negara. Justeru, globalisasi menyebabkan batasan geografi dan sosial seolah-olah tidak lagi memiliki sempadan (borderless world). Globalisasi yang paling menonjol adalah 'globalisasi ekonomi'. Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) menakrifkan globalisasi ekonomi sebagai "pergantungan ekonomi yang semakin berkembang antara negara melalui kenaikan jumlah dan kepelbagaian tukaran barangan dan perkhidmatan, pergerakan pelaburan antarabangsa bebas, dan peresapan teknologi yang lebih pesat dan meluas". Istilah lain yang selalu digunakan untuk menggambarkan senario tersebut ialah 'liberalisasi ekonomi'. Kesan globalisasi ekonomi adalah besar sama ada kesan positif atau pun kesan negatifnya. Di antara kesan positif globalisasi ekonomi ialah wujudnya perdagangan bebas, pengaliran modal secara bebas, menggalakkan persaingan, perluasan pasaran, pemindahan teknologi, peningkatan kualiti produk dan berlakunya aliran buruh mahir dan separa mahir.

Kesan negatifnya pula termasuklah penghakisan dasar perlindungan, penguasaan syarikat multinasional (MNC), ancaman terhadap barangan (produk) dan perkhidmatan tempatan, ancaman ke atas industri kecil dan sederhana (IKS), kesukaran untuk mengawal aliran modal asing dan penghakisan kedaulatan ekonomi negara. Cabaran-cabaran tersebut perlu ditangani dengan bijaksana. Di negara kita, kerajaan sentiasa peka terhadap kesan negatif yang dicetuskan oleh globalisasi ekonomi. Justeru, kerajaan sentiasa merangka dasar-dasar perlindungan yang praktikal untuk melindungi industri tempatan, terutamanya Industri Kecil Sederhana (IKS) dan juga dasar membantu usahawan bumiputera. Apa pun globalisasi ekonomi sudah menjadi ciri dominan pada abad ke-21 ini. Corak dan aliran ekonomi dunia hari ini mempamerkan suatu keadaan di mana wujudnya peningkatan terhadap pergantungan pasaran asing bagi pemasaran barangan domestik, pergerakan pesat aliran modal yang merentasi batasan geopolitik dan pergerakan migrasi buruh (modal insan) daripada sebuah negara ke negara yang lain. Bagi negara yang mahu terus maju, maka ia harus bergiat aktif dengan melibatkan diri dalam pentas ekonomi antarabangsa. Ini adalah kerana globalisasi ekonomi menjadikan persaingan, pengeluaran, kawalan pasaran, pengurusan, teknologi dan modal insan turut menjadi global. Proses ini menyebabkan faktor-faktor pengeluaran bergerak dengan mudah merentasi sempadan geopolitik negara lantaran persempadanan pasaran dan ekonomi dunia yang semakin mengecil itu.


Dalam konteks ini, kepentingan saling bergantungan antara kawasan negara atau saling melengkapi menjadi ciri penting globalisasi ekonomi. Aspek saling kebergantungan ini merangkumi pelaburan, pasaran, pengeluaran, teknologi dan bekalan buruh. Dalam keadaan tertentu ia turut membabitkan beberapa aspek perkongsian seperti perkongsian sumber alam dan tenaga, perkongsian pasaran dan perdagangan, perkongsian modal, perkongsian teknologi dan kepakaran dan juga perkongsian buruh dan kerjasama dalam menjaga alam sekitar. Pertumbuhan dan kemajuan ekonomi di era globalisasi ini juga mengutamakan elemen-elemen kreativiti dan inovasi yang tinggi. Semuanya ini mempunyai kesan terhadap pertumbuhan dan pembangunan ekonomi negara. Corak dan aliran ekonomi dunia hari ini mempamerkan suatu keadaan di mana wujudnya peningkatan terhadap pergantungan pasaran asing bagi pemasaran barangan domestik, pergerakan pesat aliran modal yang merentasi batasan geopolitik dan pergerakan migrasi buruh (modal insan) daripada sebuah negara ke negara yang lain. Hakikatnya, globalisasi ekonomi menuntut kita melakukan perubahan dari masa ke semasa. Negara perlu memiliki kelebihan bersaing (competitive edge) dalam pasaran antarabangsa. Daya saing kita mesti dipertingkatkan melalui pembangunan modal insan. Kepemimpinan dan pengurusan, sama ada di sektor awam atau pun swasta mestilah bersifat dinamik. Ini penting bagi memastikan negara mampu berhadapan dengan cabaran persaingan ekonomi sejagat yang semakin meningkat.

Para pengurus dan pemimpin organisasi yang dinamik, bertenaga dan berwawasan pula diperlukan untuk melonjak prestasi organisasi berasaskan standard atau piawai antarabangsa. Pengurus dan pemimpin yang memiliki ciri-ciri tersebut akan berupaya membina dan membangun suasana korporat yang dapat menggalakkan penghasilan yang berkualiti serta prestasi yang cemerlang. Globalisasi dalam perdagangan antarabangsa juga memerlukan kita berinteraksi dengan pelbagai pihak dan pelbagai latar belakang budaya. Oleh itu, penguasaan dan kemahiran dalam bahasa-bahasa asing tertentu akan memberi kelebihan kepada kita untuk berpartisipasi dengan berkesan di arena antara bangsa. Justeru, pelaburan besar dalam bidang pendidikan dan pembangunan pengurusan harus diberi keutamaan dalam setiap tahun belanjawan negara. Modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran tinggi, berinovasi, kreatif, beretika dan kompetitif merupakan aset penting buat negara. Di pihak rakyat pula mesti bersedia dan menyesuaikan diri dengan perubahan pesat dalam senario ekonomi dunia hari ini. Rakyat harus peka dan menyambut baik dasar-dasar kerajaan yang menyediakan pelbagai program bagi meningkat pendidikan dan kemahiran mereka. Rakyat juga patut memahami bahawa tidak ada mana-mana negara pun yang mampu mengasingkan diri daripada globalisasi ekonomi. Jika rakyat memahami perkara ini maka dengan mudahnya mereka akan dapat menerima transformasi ekonomi yang ingin dibawa oleh kerajaan.


Rangka pembangunan ekonomi yang selari dengan tuntutan ekonomi global penting bagi memastikan ekonomi negara dapat bertindak balas terhadap perubahan dan cabaran ekonomi global yang semakin kompetitif sifatnya. Model Ekonomi Baru (MEB) dan Program Transformasi Ekonomi (PTE) merupakan tindak balas kerajaan terhadap senario dan cabaran ekonomi global hari ini. Pelancaran Pelan Hala Tuju ETP yang dilancarkan Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 25 Oktober lalu membuktikan kesungguhan dan komitmen kerajaan untuk membawa perubahan dan kemajuan ekonomi negara setanding dengan ekonomi negara-negara maju. Kesimpulan, kita perlu menyedari bahawa kejayaan atau kegagalan negara adalah bergantung kepada keupayaan dan kemampuan kita merencana agenda transformasi ekonomi. Pengurusan serta perkhidmatan yang dinamik dan peka kepada perkembangan antarabangsa akan dapat menggerakkan negara ke satu tahap kecemerlangan yang dapat menjayakan misi nasional, iaitu ke arah menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Oleh Mohd. Ayop Abd Razid
Ketua Unit Penerbitan di Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), 
Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

Utusan Malaysia
4 Januari 2011

ISU PENDIDIKAN : MEWAJIBKAN MATA PELAJARAN SEJARAH


Sejarah adalah intipati ketamadunan atau peradaban. Melalui sejarah, kita sedar mengenai kewujudan atau keberadaan identiti sesebuah negara, masyarakat, kebudayaan dan manusia. Dalam bahasa mudah, sejarah memperkatakan hakikat asal-usul. Secara filosofis sejarah cuba menjawab persoalan siapakah kita atau siapakah manusia. Menolak sejarah atau meremehkan sejarah bermakna mempersenda kewujudan manusia, masyarakat dan negara. Melalui sejarah negara mampu melahirkan warganegara berjiwa besar yang yakin dengan asal-usul dan tamadun serta kekal dengan identiti. Cadangan mewajibkan mata pelajaran Sejarah di semua peringkat persekolahan sudah lama dikemukakan. Ia dibangkitkan oleh Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO 2010.

Cadangan itu mengundang pelbagai reaksi positif dan negatif pelbagai pihak termasuk sayap pemuda DAP, DAPSY. Ia dibahaskan dalam perhimpunan tahunan Gerakan. Gapena menyokong cadangan mensyaratkan wajib lulus untuk mata pelajaran sejarah dan mengalu-alukan langkah UiTM mensyaratkan wajib lulus sejarah bagi pengambilan sesi 2011. Rektor Kolej Universiti Islam Melaka, Profesor Emeritus Datuk Dr. Yusuf Hashim mencadangkan supaya pengajaran sejarah lebih inovatif, kreatif dan interaktif. Fokus kepada peristiwa, tarikh dan periodisasi (zaman) serta tokoh-tokoh dikatakan terlalu 'kering' dan membosankan. Justeru kebijaksanaan dan kreativiti guru diperlukan untuk menjadikan mata pelajaran sejarah lebih diminati pelajar. Dokumentari sejarah dan animasi mungkin boleh digunakan untuk menarik minat dan fokus para pelajar kepada subjek ini. Contohnya, bagi topik kemerdekaan dokumentari terbitan RTM dan Filem Negara digunakan untuk membantu imaginasi pelajar supaya lebih memahami kemerdekaan. Guru mata pelajaran sejarah perlu memiliki daya faham dan interprestasi tinggi tentang sejarah. Ini kerana sejarah bukan sekadar butiran fakta, tarikh, sebab dan akibat tetapi menuntut penghuraian makna. Cara ini para pelajar faham makna sebenar sesuatu peristiwa sejarah.

Di sekolah, terdapat pihak yang beranggapan mata pelajaran sejarah tidak memberi apa-apa kelebihan dalam kerjaya dan masa depan pelajar. Soalan 'mahu kerja apa jika mendalami bidang sejarah' sering dibangkitkan. Ini menyebabkan subjek Sains dan Teknologi, Ekonomi, Perakaunan dan Perdagangan lebih menarik minat para pelajar dalam merangka masa depan dan kerjaya masing-masing. Bukan sahaja Sejarah, subjek Kesusasteraan Melayu juga menghadapi nasib yang sama kerana dikatakan tidak memiliki nilai ekonomi. Tanggapan sedemikian menggambarkan jiwa manusia yang kontang. Semuanya diukur dari sudut material. Wacana Melayu lupa sejarah atau orang Malaysia lupa sejarah cuma relevan apabila ada kepentingan tertentu. Ia tidak pernah dilihat secara holistik dalam proses kenegaraan, kewarganegaraan mahupun pemerintahan. Pandangan menolak kepentingan subjek Sejarah adalah pandangan secara halus mahu menghapuskan rantaian ratusan atau ribuan tahun sejarah Melayu atau Malay Nation (negara-bangsa Melayu). Isu pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) juga secara halus menghancurkan bahasa Melayu sebagai paksi peradaban dan ketamadunan Melayu. Menolak mata pelajaran sejarah dan menyokong PPSMI adalah satu penderhakaan kepada Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu.


Subjek sejarah adalah pemahaman mengenai ideologi kenegaraan. Mata pelajaran sejarah bukan sekadar peristiwa yang terjadi dalam kerangka masa dan ruang kehidupan tetapi mengandungi persoalan integrasi (perpaduan), normatif (nilai-nilai), falsafah, pengajaran dan pendidikan. Ini membolehkan setiap warganegara belajar dan faham mengenai wujud dan letak dirinya dalam masa dan ruang tersebut. Contohnya, Qisasul Anbia atau Sirah Nabi Muhammad SAW bukan sekadar menerangkan perjalanan sejarah Rasul-Rasul dan para Nabi tetapi persoalan iman dan takwa. Memahami sejarah Kesultanan Melayu, sejarah perjuangan kebangsaan dan sejarah kolonialisme ada hubungan dengan ketamadunan dan peradaban. Meraikan ulang tahun perkahwinan, hari kelahiran atau upacara menziarahi kubur ada hubungan akrab dengan sejarah. Secara sedar atau tidak manusia adalah makhluk sejarah sejak lahir sehingga mati kerana menempuh proses sejarah. Peradaban dan ketamadunan negara memiliki sejarah yang panjang. Ia bukan sekadar peradaban kontemporari atau terkini tetapi bermula dan bertapak dari zaman pra-sejarah. Galeri dan kompleks pra-sejarah di seluruh negara seperti Kota Tampan di Lenggong, Perak sepatutnya menjadi salah satu lokasi penting dalam lawatan sambil belajar para pelajar.

Muzium dan arkib negara di negeri-negeri perlu digembeling sebagai muzium dan arkib pendidikan sejarah. Sejarah Kebangsaan negara bermula dari zaman pra-sejarah hingga kini. Perjuangan menuntut pemerintahan sendiri dan kemerdekaan, menentang penjajahan, pertumbuhan dan pembinaan semangat kebangsaan oleh anak-anak watan dan pribumi adalah antara tema-tema penting dalam identiti kebangsaan. Seandainya bangsa Malayan ciptaan British melalui Malayan Union dan Republik Malaya oleh Parti Komunis Malaya (PKM) dan sekutu mereka dikaji ia adalah usaha memusnahkan negara-bangsa Melayu. Apabila British menyerah kembali Persekutuan Tanah Melayu kepada Raja-Raja Melayu pada 31 Ogos 1957, bererti British mengembalikan hak pertuanan dan ketuanan negara-bangsa Melayu. Pelajaran sejarah juga berperanan memberi makna kepada perpaduan yang sepatutnya menjadi cara hidup, pandangan hidup dan pandangan dunia setiap rakyat dan waganegara Persekutuan Malaysia. Mempelajari penubuhan Persekutuan Malaysia 1963, bererti mempelajari bagaimana penyatuan dan perpaduan integrasi nasional antara Semenanjung Tanah Melayu (Malaysia Barat) dengan Sabah dan Sarawak (Malaysia Timur). Kemerdekaan adalah antara wadah perpaduan dan penyatuan antara wilayah. Tonggak perpaduan ialah Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan Perlembagaan atau Undang-Undang Tubuh setiap negeri di dalam Persekutuan Malaysia serta Rukunegara.


Rukunegara adalah lambang kepada konsensus atau musyawarah kebangsaan yang telah diterima secara kolektif dan diluluskan oleh Parlimen Persekutuan Malaysia pada 1970. Musyawarah adalah cara hidup kita, justeru apabila direnungi kontrak sosial yang dilambangkan oleh Perlembagaan Persekutuan Malaysia adalah kesan dari musyawarah bersama antara rakyat dan warganegara Malaysia. Penubuhan Perikatan kemudiannya Barisan Nasional (BN) adalah berteraskan musyawarah. Tanpa musyawarah dan kewarasan tidak mungkin UMNO akan memberi MCA lebih kerusi parlimen kepada MCA pada pilihanraya 1955. Dasar Pelajaran Kebangsaan, Sekolah Kebangsaan, bahasa pengantar dalam bahasa kebangsaan di semua peringkat pelajaran atau pendidikan termasuk ke peringkat ijazah tinggi di universiti-universiti adalah instrumen perpaduan. Dasar Kebudayaan Kebangsaan, Dasar Buku Negara, Kempen Budi-Bahasa, Bulan Bahasa Kebangsaan, Bulan Kemerdekaan dan sebagainya adalah di antara instrumen perpaduan dari sudut sosio-budaya. Satu masa dahulu terdapat tanggapan kemerdekaan negara adalah kemerdekaan setengah masak kerana tanpa pertumpuhan darah atau tanpa revolusi. Namun kita merdeka dengan kecekapan dan kebijaksanaan perundingan, mata pena dan mata hati. Tanpa menumpahkan setitis darah.

Anak watan dan pribumi terpaksa menjejak pihak yang anti kemerdekaan di dalam hutan supaya negara aman makmur walau mereka terkorban demi ibu pertiwi. Dasar Pembangunan Negara, Dasar Ekonomi Baru, Dasar Penswastaan, Wawasan 2020, Pelan Transformasi Ekonomi serta lain-lain adalah sebahagian daripada tindakan dan pendekatan perpaduan melalui wadah sosio-ekonomi. Rasa kebersamaan yang berteraskan kesedaran kebangsaan akan mengukuhkan identiti kebangsaan. Maka mewajibkan pendidikan sejarah perlu diperluaskan ke semua peringkat hatta untuk menjadi birokrat, wakil rakyat dan menteri. Ia menggambarkan sejauh mana pengetahuan dan pemahaman kepada sejarah kebangsaan, apatah lagi untuk menjadi warganegara.

Oleh : PROF DATUK ZAINAL ABIDIN BORHAN 
Setiausaha Satu Gapena

Utusan Malaysia
4 Januari 2010

03 Januari 2011

ISU PERTANIAN : 16 EPP BAKAL TRANFORMASIKAN SEKTOR PERTANIAN NEGARA HINGGA TAHUN 2010


Cakap-cakap mengenai krisis makanan dunia bukan perkara baru kerana ketika berlaku krisis kenaikan harga makanan global secara mendadak pada 2007-2008, punca serta kesannya sudah dibangkitkan serta dibincangkan. Persoalannya, apakah tindakan diambil negara seluruh dunia bagi menangani masalah kekurangan makanan yang dijangka berlaku disebabkan pelbagai faktor termasuk pertambahan penduduk dunia dan perubahan iklim mengakibatkan bencana alam tidak terduga. Malaysia sendiri pastinya tidak terkecuali berdepan masalah kekurangan makanan apabila analisis menjangkakan bumi bakal berdepan masalah kekurangan makanan menjelang 2050, malah ada negara sudah berdepan masalah itu hingga menyebabkan berlakunya rusuhan.  
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar, berkata Dasar Pertanian Negara Keempat bagi tempoh 2011-2020 menetapkan transformasi pertanian memberi pengkhususan kepada pengeluaran makanan seperti ditetapkan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Pertanian. 

Katanya, melalui 16 projek permulaan (EPP) yang sudah dikenal pasti, kementerian akan mentransformasikan sektor pertanian untuk lebih responsif ke arah Program Transformasi Ekonomi (ETP) antaranya dengan meningkatkan hasil pengeluaran bagi memastikan keterjaminan makanan.  
“Dijangkakan dunia berhadapan krisis makanan pada 2050 jika negara pengeluar makanan hari ini tidak boleh menambah pengeluaran pertanian mereka sekurang-kurangnya 70 peratus. Bagi tujuan itu, kementerian melalui 16 EPP berusaha meningkatkan sektor pertanian di bawah ETP.  
“Sasaran NKEA Pertanian adalah untuk mempertingkatkan pengeluaran domestik supaya Malaysia mampu menghasilkan makanan yang mencukupi atau memenuhi peratusan sara diri negara untuk memenuhi keperluan rakyat,” katanya pada pertemuan dengan Berita Harian, baru-baru ini.  
Beliau berkata, atas sebab keselamatan pemakanan juga, negara perlu memastikan paras tertentu supaya berkemampuan dalam pembekalan beras dan sektor makanan utama lain seperti ternakan sebagai persediaan menangani krisis makanan pada masa depan. 

Justeru, selain memperkukuh dan menambah baik produktiviti padi di kawasan jelapang, EPP turut merangka perancangan memajukan tanah terbiar bagi meluaskan kawasan tanaman padi sedia ada seterusnya meningkatkan hasil padi negara.  
Selain penanaman padi di kawasan jelapang seperti Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan IADA Barat Laut Selangor, tumpuan bakal diberi kepada penanaman luar kawasan jelapang.  
Noh berkata, kementerian dengan kerjasama kerajaan negeri akan mengenal pasti kawasan yang sudah diwartakan sebagai tanah tanaman padi untuk dibangunkan sebagai sawah padi menggunakan konsep pengurusan ladang.  
Sebagai permulaan, konsep itu bakal diperkenalkan di MADA dan petani akan dipanggil berdialog bagi mendapat penjelasan bagaimana konsep pengurusan ladang dikendalikan yang pastinya menguntungkan mereka yang menerima skim itu.  
“Kita nak uruskan sawah dalam bentuk pengurusan ladang bagi menjana ekonomi berskala besar. Jadi kita boleh gunakan teknologi baru dan dapat pulangan besar. Tuan tanah diberi pilihan kerja dengan syarikat dan kita jamin pendapatan tidak kurang daripada yang diterima sekarang,” katanya. 

Pada masa sama katanya, usaha menambah musim tanaman daripada dua kali setahun kepada lima kali dua tahun akan diperkenalkan menggunakan penemuan varieti padi baru yang tahan serangan serangga serta penggunaan baja baru dengan matlamat meningkatkan hasil padi. 
“Sasarannya ialah menambah hasil tuaian purata 4.5 tan sehektar kini kepada 10 tan. Jika perancangan menambah musim tanaman lima kali dua tahun berjaya, kita yakin hasil padi dapat ditingkatkan dengan meningkatkan juga sistem pengairan dan penggunaan teknologi moden.  
“Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) sedang buat percubaan tanam lima kali dua tahun. Musim ketiga sekarang ini hasilnya nampak lumayan dengan purata enam tan, lebih tinggi daripada purata nasional,” katanya.  
Setakat ini, sara diri padi negara ialah sebanyak 70 peratus dan selebihnya, 30 peratus atau 900,000 tan diimport. Sementara stok padi dan beras masih mencukupi untuk bertahan selama tiga bulan jika berlaku masalah kekurangan makanan.  
Penambahan hasil tanaman, pusingan tanaman padi dan tanaman luar kawasan jelapang yang dirancang di bawah NKEA Pertanian diharap mampu memberi hasil diharapkan dan menjadikan Malaysia mencapai sara diri padi 100 peratus.  
Selain beras, ternakan juga diberi perhatian dan kini negara sudah mencapai 27 peratus daripada keperluan negara, peningkatan sebanyak enam peratus dalam tempoh empat tahun hasil adanya sistem pemeliharaan feedlot. 

Melalui NKEA Pertanian, salah satu matlamat kementerian ialah menambahkan hasil daging yang bukan saja mencukupi malah dapat menjadikan Malaysia sebagai pengeluar daging halal terbesar dunia. Cabarannya ialah untuk memperbanyakkan baka lembu yang kini diimport.  
Noh berkata, Kabinet juga sudah meluluskan dasar pelaburan kebalikan (reverse investment) untuk meningkatkan penyertaan dalam sektor pertanian serantau melalui pemerolehan ladang asing atau menjalankan aktiviti perladangan kontrak di luar negara.  
Katanya, proses penyelidikan dan penerokaan pelaburan luar dilakukan pihak swasta atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang berminat sementara peranan kementerian adalah mengadakan perbincangan antara kerajaan membabitkan dasar serta peraturan ditetapkan negara berkenaan.  
Hingga kini, sudah ada beberapa syarikat menunjukkan minat untuk membuat pelaburan tanaman padi dan sektor ternakan di luar negara, difahamkan sedang dalam proses membuat perancangan terperinci bagi dikemukakan kepada kementerian.  
Menyentuh cabaran untuk menterjemahkan pelan perancangan dalam bentuk tindakan, faktor alam sekitar disebabkan perubahan cuaca dunia yang di luar kawasan menduduki tangga teratas diikuti hakikat pertambahan penduduk dunia dijangka seramai 9 bilion pada 2050. 

Bagi Malaysia, walaupun berlaku penambahan dari segi jumlah hasil makanan negara dijangka sebanyak 30 peratus, perubahan itu sukar dilihat kerana pada masa sama berlaku pertambahan penduduk serta faktor lain.  
Faktor kekurangan tenaga buruh yang turut menjadi isu membimbangkan, penyelesaian alternatif yang perlu diberi penekanan ialah penggunaan teknologi moden serta penemuan varieti benih serta baka lebih tahan lasak.  
Cabaran lain, mengurangkan import terbesar bidang pertanian iaitu makanan ternakan dan baja yang mencecah RM1 bilion dalam tempoh empat bulan serta memberi perhatian kepada makanan import seperti bawang dan ubi kentang.  
Noh berkata, kebimbangan terhadap krisis makanan yang dirasai semua mencetuskan kepada penubuhan tabung perjanjian dipersetujui negara ASEAN termasuk Jepun, China dan Korea untuk menyumbang makanan kepada negara yang mengalami kekurangan makanan akibat bencana alam. 

Berita Haruian
3 Januari 2010

ISU PERTANIAN : MARDI CARI KAEDAH TERBAHARU PASTIKAN HASIL KELUARAN NEGARA MENCUKUPI


Melihat perkembangan berlaku hari ini seperti tanaman musnah akibat bencana alam, masyarakat dunia wajar memberi pertimbangan serius terhadap usaha memastikan dunia sentiasa menghasilkan makanan mencukupi untuk penduduknya. 
Selain semua pihak mengambil tanggungjawab merangka usaha menangani perubahan cuaca disebabkan pencemaran alam sekitar, cara dan pilihan luas yang ada untuk menyelamatkan dunia daripada kekurangan makanan perlu direbut atau dicari. 
Di Malaysia, pandangan pastinya tertumpu kepada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) yang berperanan melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang pertanian.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Abd Shukor Abd Rahman, yang mengakui tanggungjawab berat dipikul institusi itu berkata MARDI sentiasa mencari kaedah terbaru bagi meningkatkan hasil pengeluaran makanan negara. 
Katanya, tumpuan termasuk kajian dan pembangunan teknologi mengurangkan kesan serta mengadaptasi pada perubahan cuaca bagi menghasilkan varieti tanaman yang tahan panas, kemarau atau implikasi perubahan cuaca.  
“Buat masa ini MARDI dengan kerjasama Institut Penyelidikan Beras Antarabangsa di Filipina sudah mengenal pasti varieti padi yang tahan cuaca panas dan kita menjangkakan varieti baru ini akan dibangunkan dalam tempoh dua tahun.  
“Ini satu kaedah untuk memastikan dalam keadaan panas terik dan kekurangan air, kita berupaya menanam padi. Kedua, kita sudah bangunkan sistem pengeluaran aerob iaitu penanaman padi yang kurang menggunakan air.  
“Melalui sistem ini kita tidak perlu tali air sebaliknya menggunakan kaedah siraman. Sistem ini sudah dibangunkan di Seberang Perai, Pulau Pinang dan beberapa kawasan luar jelapang padi di Kelantan,” katanya.  
Katanya, itulah antara pendekatan MARDI meningkatkan pengeluaran hasil makanan di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Pertanian bagi memastikan stok makanan mencukupi serta menyokong usaha kerajaan untuk memulih dan menggunakan tanah terbiar untuk tanaman makanan.  

Abd Shukor berkata, bersedia atau tidak menghadapi krisis makanan pada masa depan bergantung kepada langkah berterusan meningkatkan hasil bidang pertanian kerana ia bukan satu pilihan sebaliknya tindakan yang perlu dilaksanakan semua negara dunia.  
Beliau berkata, sumbangan MARDI sememangnya luas khususnya dalam meneroka teknologi baru yang kini menjadi komponen penting untuk membuat satu transformasi ke arah memberi hasil yang lebih kompetitif.  
Bagaimanapun katanya, memastikan transformasi itu berjaya mencapai matlamat bukan mudah kerana akan sentiasa ada jurang atau kekangan sepanjang perjalanan lebih-lebih lagi ketika berdepan perubahan cuaca.  
“Sebab itu apabila kita berjaya menghasilkan varieti tanaman baru, kita perlu menjangkakan serangan penyakit atau perosak yang baru juga yang ada kalanya belum wujud di negara kita. Oleh itu, seiring dengan pembangunan varieti tanaman baru, MARDI perlu membangunkan perisai bagi menghalang serangan penyakit,” katanya.  
Katanya, MARDI akan membangunkan sistem amaran awal dalam Rancangan Malaysia kesepuluh yang menggunakan komponen teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk mengenalpasti tanda serangan awal kepada tanaman.  
Adanya sistem amaran awal itu, kita boleh menjangkakan bila serangan perosak akan berlaku melalui tanda-tanda kehadiran penyakit yang dikesan pada tanaman atau udara oleh sistem berkenaan dan boleh membuat persediaan awal. 

Abd Shukor berkata, sistem amaran awal yang sudah dimulakan dijangka dibangunkan dalam masa dua tahun supaya kesan perubahan cuaca tidak begitu ketara selain dapat dikawal dan mampu diguna pakai untuk program pertanian berskala besar.  
Sementara bagi sektor makanan lain seperti buah-buahan dan sayuran, MARDI mencari kaedah menghasilkan varieti tahan perubahan cuaca selain mengawal pelepasan gas karbon dioksida yang terlalu banyak di udara.  
“Kita cuba ambil kaedah pendekatan adaptasi supaya tanaman makanan ini tahan kandungan karbon dioksida lebih tinggi dan tahan perubahan cuaca penting kerana itu adalah cabaran utama sektor pertanian,” katanya.  
Mengenai segmen lain yang memerlukan kajian, beliau berpendapat, sesetengah komoditi yang dikategorikan tidak begitu utama juga memerlukan R&D kerana ada antaranya mempunyai potensi sebagai tanaman masa depan seperti herba.  
Abd Shukor berkata, melihat aliran yang menunjukkan peningkatan komponen semua sektor pertanian iaitu tanaman, ternakan dan perikanan sepanjang lima tahun ini, sasaran untuk berdiri sebagai pengeluar makanan pada 2020 bukan satu yang mustahil.  
Namun katanya, masyarakat tidak boleh berasa selesa kerana pelbagai kemungkinan boleh berlaku dan oleh itu negara perlu sentiasa mempunyai stok makanan yang mencukupi.  
“Beras memang kita ada stok dan perlu pastikan makanan lain juga sentiasa ada. Ini mampu dilakukan kerana kita ada lokasi berbeza utara, selatan, timur dan barat. Jadi, zon dikenal pasti sesuai untuk sesuatu tanaman hendaklah ditanam dengan tanaman berkenaan,” katanya. 

Berita Harian
3 Januari 2011