JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



04 Januari 2011

ISU SOSIAl : PEMIMPIN DAN KEPEMIMPINAN



Kepemimpinan yang berkesan sangat diperlukan bukan sahaja kepada organisasi tetapi juga kepada negara. Negara akan lebih maju dan berkembang pesat jika kita mempunyai ramai pemimpin yang hebat, berkarisma dan berkhidmat dengan penuh dedikasi. Syarikat perniagaan pula boleh membawa keuntungan yang besar dan menyebabkan mereka yang memiliki saham tersenyum lebar dengan adanya pemimpin yang berkesan. Bagi organisasi bukan kerajaan, pemimpin yang cekap membolehkan visi dan misi tercapai dengan cepat. Kepimpinan keluarga yang berkesan membolehkan anak-anak dibesarkan dengan sihat, mendapat didikan yang baik dan menjadi warga negara yang berguna. Sebaliknya, kepimpinan yang lemah akan memberi kesan yang tidak baik dan sering mengundang masalah. Organisasi akan bergerak perlahan, lesu dan membawa kerugian kepada semua pihak.

Kajian menunjukkan kepimpinan yang lemah kerap membuat keputusan yang silap, tidak mantap dan tidak tepat. Akibatnya organisasi akan menghadapi masalah pelaksanaan, menyukarkan orang bawahan, membuang masa, kerugian dari segi kewangan dan matlamat organisasi tidak tercapai. Pemimpin yang berkesan biasanya berkait rapat dengan sejauh mana penerimaan orang bawahan terhadap kepimpinannya. Kemampuan beliau membawa perubahan dan menghadapi halangan serta rintangan sering dinilai. Kepimpinan begini biasanya tahan diuji dan sedia mengambil risiko terhadap sebarang keputusan yang telah diambil. Pemimpin dan kepimpinan yang berkesan boleh mencorakkan kehidupan rakyat dan pembangunan negara. Setiap lima tahun kita akan memilih pemimpin melalui pilihan raya umum. Sudah tentulah pilihan kita ialah mereka yang dapat memberi perkhidmatan yang baik, telah terbukti dan berupaya membawa perubahan kepada masyarakat dan negara. Dalam perniagaan pula, para pelabur akan mengalu-alukan pemimpin yang cekap dan mampu membawa keuntungan yang besar kepada pelaburan mereka. Dengan kata lain pemimpin yang bijak dan hebat boleh membawa keuntungan yang banyak kepada syarikat yang kecil tetapi pemimpin yang lemah boleh mendatangkan kerugian walaupun syarikat besar.



APAKAH MAKSUD KEPIMPINAN?

Kepimpinan adalah suatu proses di mana seorang pemimpin berusaha mempengaruhi pemikiran, sikap dan perlakuan orang bawahannya. Pemimpin berperanan menyediakan arah tuju, menjelaskan apa yang ada di hadapan, memberi kefahaman apakah yang ingin dicapai, sentiasa memberi galakan dan motivasi. Kepemimpinan yang baik boleh mengukuhkan perpaduan, mengelakkan konflik dan bergerak ke matlamat yang sama. Mereka juga mampu memastikan setiap orang melakukan yang terbaik seolah-olah memberi suatu suntikan tenaga kepada mereka untuk mencapai matlamat organisasi. Banyak pendapat mengatakan bahawa tanpa pengikut maka tiadalah pemimpin. Sebagai contoh dalam tahun 1930-an di mana Winston Churchill menyeru rakyat Britain supaya membuat persediaan bagi menghadapi dan menyekat ancaman Hitler daripada Jerman. Tetapi mereka tidak mengendahkannya kerana percaya peperangan tidak akan sampai ke negara mereka dan keamanan akan tercapai pada bila-bila masa. Kepimpinan Churchill ditolak oleh rakyat dan beliau mempunyai jumlah pengikut yang kecil bilangannya. Tetapi realitinya adalah berlainan apabila Jerman mula mengumpulkan bala tenteranya dan memulakan peperangan dengan menyerang beberapa negara di Eropah termasuk England.

Ramalan Churchill menjadi kenyataan dan dengan menggunakan kebolehan dan karisma akhirnya beliau mendapat sokongan padu rakyat negaranya dan menjadi antara Perdana Menteri yang paling popular. Pada masa kini pemimpin yang tulen dan berkebolehan kadang-kadang sukar untuk dibezakan dengan pemimpin yang berpura-pura. Ada pemimpin yang sanggup menunjukkan aksi hebat tetapi sebenarnya mereka adalah pemimpin yang lemah. Lebih memburukkan keadaan ada antaranya pula mempunyai kepentingan diri dan kumpulan. Pemimpin sebegini sangat bahaya kerana ia boleh merosakkan organisasi dan masyarakat. Kepimpinan yang bersikap tidak jujur dan tidak bertanggung jawab boleh dihindari sekiranya mereka mempunyai etika dan integriti yang kuat. Etika dan integriti bolehlah dianggap seperti sebuah kompas yang berupaya menunjukkan ke arah yang betul dan tepat. Mereka yang mempunyai etika dan integriti atau kekuatan dalaman boleh menjadikan mereka lebih jujur dan lebih bertanggungjawab. Kesimpulannya sebagai negara sedang membangun kita memerlukan ramai pemimpin yang bijak dan berkesan. Mereka perlu mempunyai visi dan misi yang jelas, mudah didampingi dan sanggup mengambil risiko. Pemimpin yang jujur dan bertanggung jawab biasanya akan dihormati dan disanjung.



Oleh : Tan Mohd Ali Mohd Dom
Bekas Ketua Pengarah Pelajaran
Utusan Malaysia
4 Januari 2010

Tiada ulasan: