Globalisasi adalah ciri utama yang melatari dan mewarnai abad ke-21 ini. Apakah maksud globalisasi itu? Globalisasi adalah satu proses perubahan yang berlaku dalam pelbagai bidang kehidupan manusia kesan daripada peningkatan pelbagai aktiviti manusia sejagat yang dipacu oleh kemajuan pesat teknologi maklumat (ICT) merentasi sempadan 'geo-politik'. "Maklumat di hujung jari" adalah ungkapan yang tepat bagi menggambarkan segala bentuk idea, kegiatan serta interaksi ekonomi, sosial dan politik berkembang tanpa mengambil kira persempadanan politik sesebuah negara. Justeru, globalisasi menyebabkan batasan geografi dan sosial seolah-olah tidak lagi memiliki sempadan (borderless world). Globalisasi yang paling menonjol adalah 'globalisasi ekonomi'. Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) menakrifkan globalisasi ekonomi sebagai "pergantungan ekonomi yang semakin berkembang antara negara melalui kenaikan jumlah dan kepelbagaian tukaran barangan dan perkhidmatan, pergerakan pelaburan antarabangsa bebas, dan peresapan teknologi yang lebih pesat dan meluas". Istilah lain yang selalu digunakan untuk menggambarkan senario tersebut ialah 'liberalisasi ekonomi'. Kesan globalisasi ekonomi adalah besar sama ada kesan positif atau pun kesan negatifnya. Di antara kesan positif globalisasi ekonomi ialah wujudnya perdagangan bebas, pengaliran modal secara bebas, menggalakkan persaingan, perluasan pasaran, pemindahan teknologi, peningkatan kualiti produk dan berlakunya aliran buruh mahir dan separa mahir.
Kesan negatifnya pula termasuklah penghakisan dasar perlindungan, penguasaan syarikat multinasional (MNC), ancaman terhadap barangan (produk) dan perkhidmatan tempatan, ancaman ke atas industri kecil dan sederhana (IKS), kesukaran untuk mengawal aliran modal asing dan penghakisan kedaulatan ekonomi negara. Cabaran-cabaran tersebut perlu ditangani dengan bijaksana. Di negara kita, kerajaan sentiasa peka terhadap kesan negatif yang dicetuskan oleh globalisasi ekonomi. Justeru, kerajaan sentiasa merangka dasar-dasar perlindungan yang praktikal untuk melindungi industri tempatan, terutamanya Industri Kecil Sederhana (IKS) dan juga dasar membantu usahawan bumiputera. Apa pun globalisasi ekonomi sudah menjadi ciri dominan pada abad ke-21 ini. Corak dan aliran ekonomi dunia hari ini mempamerkan suatu keadaan di mana wujudnya peningkatan terhadap pergantungan pasaran asing bagi pemasaran barangan domestik, pergerakan pesat aliran modal yang merentasi batasan geopolitik dan pergerakan migrasi buruh (modal insan) daripada sebuah negara ke negara yang lain. Bagi negara yang mahu terus maju, maka ia harus bergiat aktif dengan melibatkan diri dalam pentas ekonomi antarabangsa. Ini adalah kerana globalisasi ekonomi menjadikan persaingan, pengeluaran, kawalan pasaran, pengurusan, teknologi dan modal insan turut menjadi global. Proses ini menyebabkan faktor-faktor pengeluaran bergerak dengan mudah merentasi sempadan geopolitik negara lantaran persempadanan pasaran dan ekonomi dunia yang semakin mengecil itu.
Dalam konteks ini, kepentingan saling bergantungan antara kawasan negara atau saling melengkapi menjadi ciri penting globalisasi ekonomi. Aspek saling kebergantungan ini merangkumi pelaburan, pasaran, pengeluaran, teknologi dan bekalan buruh. Dalam keadaan tertentu ia turut membabitkan beberapa aspek perkongsian seperti perkongsian sumber alam dan tenaga, perkongsian pasaran dan perdagangan, perkongsian modal, perkongsian teknologi dan kepakaran dan juga perkongsian buruh dan kerjasama dalam menjaga alam sekitar. Pertumbuhan dan kemajuan ekonomi di era globalisasi ini juga mengutamakan elemen-elemen kreativiti dan inovasi yang tinggi. Semuanya ini mempunyai kesan terhadap pertumbuhan dan pembangunan ekonomi negara. Corak dan aliran ekonomi dunia hari ini mempamerkan suatu keadaan di mana wujudnya peningkatan terhadap pergantungan pasaran asing bagi pemasaran barangan domestik, pergerakan pesat aliran modal yang merentasi batasan geopolitik dan pergerakan migrasi buruh (modal insan) daripada sebuah negara ke negara yang lain. Hakikatnya, globalisasi ekonomi menuntut kita melakukan perubahan dari masa ke semasa. Negara perlu memiliki kelebihan bersaing (competitive edge) dalam pasaran antarabangsa. Daya saing kita mesti dipertingkatkan melalui pembangunan modal insan. Kepemimpinan dan pengurusan, sama ada di sektor awam atau pun swasta mestilah bersifat dinamik. Ini penting bagi memastikan negara mampu berhadapan dengan cabaran persaingan ekonomi sejagat yang semakin meningkat.
Para pengurus dan pemimpin organisasi yang dinamik, bertenaga dan berwawasan pula diperlukan untuk melonjak prestasi organisasi berasaskan standard atau piawai antarabangsa. Pengurus dan pemimpin yang memiliki ciri-ciri tersebut akan berupaya membina dan membangun suasana korporat yang dapat menggalakkan penghasilan yang berkualiti serta prestasi yang cemerlang. Globalisasi dalam perdagangan antarabangsa juga memerlukan kita berinteraksi dengan pelbagai pihak dan pelbagai latar belakang budaya. Oleh itu, penguasaan dan kemahiran dalam bahasa-bahasa asing tertentu akan memberi kelebihan kepada kita untuk berpartisipasi dengan berkesan di arena antara bangsa. Justeru, pelaburan besar dalam bidang pendidikan dan pembangunan pengurusan harus diberi keutamaan dalam setiap tahun belanjawan negara. Modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran tinggi, berinovasi, kreatif, beretika dan kompetitif merupakan aset penting buat negara. Di pihak rakyat pula mesti bersedia dan menyesuaikan diri dengan perubahan pesat dalam senario ekonomi dunia hari ini. Rakyat harus peka dan menyambut baik dasar-dasar kerajaan yang menyediakan pelbagai program bagi meningkat pendidikan dan kemahiran mereka. Rakyat juga patut memahami bahawa tidak ada mana-mana negara pun yang mampu mengasingkan diri daripada globalisasi ekonomi. Jika rakyat memahami perkara ini maka dengan mudahnya mereka akan dapat menerima transformasi ekonomi yang ingin dibawa oleh kerajaan.
Rangka pembangunan ekonomi yang selari dengan tuntutan ekonomi global penting bagi memastikan ekonomi negara dapat bertindak balas terhadap perubahan dan cabaran ekonomi global yang semakin kompetitif sifatnya. Model Ekonomi Baru (MEB) dan Program Transformasi Ekonomi (PTE) merupakan tindak balas kerajaan terhadap senario dan cabaran ekonomi global hari ini. Pelancaran Pelan Hala Tuju ETP yang dilancarkan Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 25 Oktober lalu membuktikan kesungguhan dan komitmen kerajaan untuk membawa perubahan dan kemajuan ekonomi negara setanding dengan ekonomi negara-negara maju. Kesimpulan, kita perlu menyedari bahawa kejayaan atau kegagalan negara adalah bergantung kepada keupayaan dan kemampuan kita merencana agenda transformasi ekonomi. Pengurusan serta perkhidmatan yang dinamik dan peka kepada perkembangan antarabangsa akan dapat menggerakkan negara ke satu tahap kecemerlangan yang dapat menjayakan misi nasional, iaitu ke arah menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.
Oleh Mohd. Ayop Abd Razid
Ketua Unit Penerbitan di Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA),
Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.
Utusan Malaysia
4 Januari 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan