Melihat perkembangan berlaku hari ini seperti tanaman musnah akibat bencana alam, masyarakat dunia wajar memberi pertimbangan serius terhadap usaha memastikan dunia sentiasa menghasilkan makanan mencukupi untuk penduduknya.
Selain semua pihak mengambil tanggungjawab merangka usaha menangani perubahan cuaca disebabkan pencemaran alam sekitar, cara dan pilihan luas yang ada untuk menyelamatkan dunia daripada kekurangan makanan perlu direbut atau dicari.
Di Malaysia, pandangan pastinya tertumpu kepada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) yang berperanan melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang pertanian.Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Abd Shukor Abd Rahman, yang mengakui tanggungjawab berat dipikul institusi itu berkata MARDI sentiasa mencari kaedah terbaru bagi meningkatkan hasil pengeluaran makanan negara.
Katanya, tumpuan termasuk kajian dan pembangunan teknologi mengurangkan kesan serta mengadaptasi pada perubahan cuaca bagi menghasilkan varieti tanaman yang tahan panas, kemarau atau implikasi perubahan cuaca.
“Buat masa ini MARDI dengan kerjasama Institut Penyelidikan Beras Antarabangsa di Filipina sudah mengenal pasti varieti padi yang tahan cuaca panas dan kita menjangkakan varieti baru ini akan dibangunkan dalam tempoh dua tahun.
“Ini satu kaedah untuk memastikan dalam keadaan panas terik dan kekurangan air, kita berupaya menanam padi. Kedua, kita sudah bangunkan sistem pengeluaran aerob iaitu penanaman padi yang kurang menggunakan air.
“Melalui sistem ini kita tidak perlu tali air sebaliknya menggunakan kaedah siraman. Sistem ini sudah dibangunkan di Seberang Perai, Pulau Pinang dan beberapa kawasan luar jelapang padi di Kelantan,” katanya.
Katanya, itulah antara pendekatan MARDI meningkatkan pengeluaran hasil makanan di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Pertanian bagi memastikan stok makanan mencukupi serta menyokong usaha kerajaan untuk memulih dan menggunakan tanah terbiar untuk tanaman makanan.
Abd Shukor berkata, bersedia atau tidak menghadapi krisis makanan pada masa depan bergantung kepada langkah berterusan meningkatkan hasil bidang pertanian kerana ia bukan satu pilihan sebaliknya tindakan yang perlu dilaksanakan semua negara dunia.
Beliau berkata, sumbangan MARDI sememangnya luas khususnya dalam meneroka teknologi baru yang kini menjadi komponen penting untuk membuat satu transformasi ke arah memberi hasil yang lebih kompetitif.
Bagaimanapun katanya, memastikan transformasi itu berjaya mencapai matlamat bukan mudah kerana akan sentiasa ada jurang atau kekangan sepanjang perjalanan lebih-lebih lagi ketika berdepan perubahan cuaca.
“Sebab itu apabila kita berjaya menghasilkan varieti tanaman baru, kita perlu menjangkakan serangan penyakit atau perosak yang baru juga yang ada kalanya belum wujud di negara kita. Oleh itu, seiring dengan pembangunan varieti tanaman baru, MARDI perlu membangunkan perisai bagi menghalang serangan penyakit,” katanya.
Katanya, MARDI akan membangunkan sistem amaran awal dalam Rancangan Malaysia kesepuluh yang menggunakan komponen teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk mengenalpasti tanda serangan awal kepada tanaman.
Adanya sistem amaran awal itu, kita boleh menjangkakan bila serangan perosak akan berlaku melalui tanda-tanda kehadiran penyakit yang dikesan pada tanaman atau udara oleh sistem berkenaan dan boleh membuat persediaan awal.
Abd Shukor berkata, sistem amaran awal yang sudah dimulakan dijangka dibangunkan dalam masa dua tahun supaya kesan perubahan cuaca tidak begitu ketara selain dapat dikawal dan mampu diguna pakai untuk program pertanian berskala besar.
Sementara bagi sektor makanan lain seperti buah-buahan dan sayuran, MARDI mencari kaedah menghasilkan varieti tahan perubahan cuaca selain mengawal pelepasan gas karbon dioksida yang terlalu banyak di udara.
“Kita cuba ambil kaedah pendekatan adaptasi supaya tanaman makanan ini tahan kandungan karbon dioksida lebih tinggi dan tahan perubahan cuaca penting kerana itu adalah cabaran utama sektor pertanian,” katanya.
Mengenai segmen lain yang memerlukan kajian, beliau berpendapat, sesetengah komoditi yang dikategorikan tidak begitu utama juga memerlukan R&D kerana ada antaranya mempunyai potensi sebagai tanaman masa depan seperti herba.
Abd Shukor berkata, melihat aliran yang menunjukkan peningkatan komponen semua sektor pertanian iaitu tanaman, ternakan dan perikanan sepanjang lima tahun ini, sasaran untuk berdiri sebagai pengeluar makanan pada 2020 bukan satu yang mustahil.
Namun katanya, masyarakat tidak boleh berasa selesa kerana pelbagai kemungkinan boleh berlaku dan oleh itu negara perlu sentiasa mempunyai stok makanan yang mencukupi.
“Beras memang kita ada stok dan perlu pastikan makanan lain juga sentiasa ada. Ini mampu dilakukan kerana kita ada lokasi berbeza utara, selatan, timur dan barat. Jadi, zon dikenal pasti sesuai untuk sesuatu tanaman hendaklah ditanam dengan tanaman berkenaan,” katanya.
Berita Harian
3 Januari 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan