08 November 2010

STPM 2007 SIRI 4

AYAT PASIF

01. Buku adik Fauzi belum lagi berbalut.
02. Pemburu itu tertembak oleh rakannya.

SUBJEK AYAT

Ayat
Dua deret kedai di pekan itu terbakar petang semalam

01. Subjek ayat ialah kedai

* Subjek ayat mesti kata nama.

FRASA KERJA DENGAN PELENGKAP

Maknanya : Tidak boleh berdiri sendiri

01. Ibu tua  itu masih berada di hospital.

* Kata kerja ialah berada (tidak boleh berdiri sendiri)

FRASA KERJA TANPA PELENGKAP

Maknanya : Boleh berdiri sendiri

01. Ayah masih belum pulang dari luar negeri.
02. Anak kecilnya sedang tidur di dalam buaian.
03. Pakar motivasi itu baru bertolak ke Langkawi.

AYAT DASAR

01. Terdiri daripada satu klausa
02. Terdiri daripada ayat penyata

AYAT YANG TIDAK BOLEH DIPASIFKAN

01. Motorbot itu meluncur laju ke selatan.

AYAT YANG BOLEH DIPASIFKAN

01. Perahu nelayan menghampiri pulau kecil itu.
02. Encik Majid menghadiahi Salim sebuah basikal.
03. Penari-penari itu mempersembahkan tarian tradisional kepada pelancong.

KATA KERJA TAK TRANSITIF DENGAN PELENGKAP KATA ADJEKTIF

Ayat
Setelah menjalani pembedahan itu, keadaan Sofia bertambah baik.

01. Kata kerja tak transitif = bertambah
02. Kata adjektif = baik

AYAT AKTIF TAK TRANSITIF YANG KETERANGAN TIDAK BOLEH DIGUGURKAN

01. Ibu saudara Hamka tinggal di Pulau Perhentian.
02. Ayah mentua Abdul Jabar berada di luar negeri.

AYAT YANG MENGALAMI PROSES PENGGUGURAN

Ayat 
Lamin akan berjaya sekiranya dibantu.

Keterangan
Ayat 1 : Lamin akan berjaya.
Ayat 2 : Lamin perlu dibantu.
Pengguguran : Subjek dan kata bantu.

Ayat
Mereka yakin akan memperoleh kejayaan yang cemerlang.

Keterangan
Ayat 1 : Mereka yakin akan memperoleh kejayaan.
Ayat 2 : Mereka yakin akan memperoleh kejayaan cemerlang.
Pengguguran : Subjek

AYAT YANG MENGANDUNGI DUA OBJEK

Ayat
Rahim membelikannya kereta terpakai.

Keterangan
Objek Tepat : nya
Objek Sipi : kereta terpakai

BINAAN AYAT

Ayat
Pokok bunga belum bersiram sejak semalam.

Keterangan
01. Subjek : Pokok bunga
02. Predikat : belum bersiram
03. Keterangan : sejak semalam

PERIBAHASA

01. Pepatah = Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.
02. Perbilangan = Bulat air kerana pembentung, bulat kata kerana muafakat.

HOMOGRAF

01. "Tolong semak kertas kerjanya, kemudian hantar kertas kerja itu kepada Puan Rosni.
02. Kawasan sekeliling rumah peninggalan neneknya menjadi semak kerana sudah hampir satu tahun tidak dibersihkannya.

Keterangan
Kata semak ialah homograf

= ejaan sama
= bunyi lain
= makna lain

ISU PENDIDIKAN : PENDIDIKAN HOLISTIK


Pelaksanaan pendidikan secara holistik perlu bermula di peringkat awal membabitkan penyertaan pelbagai pihak termasuk pelajar, guru, ibu bapa dan masyarakat sebagai usaha memastikan generasi muda memperoleh manfaat sepenuhnya. Ini kerana pendidikan holistik atau menyeluruh bukan menekankan kecemerlangan akademik semata-mata tetapi membabitkan perkembangan dan peningkatan potensi lain dalam diri setiap pelajar.


Pendidikan holistik sebenarnya membabitkan pelbagai aspek seperti proses pembelajaran, cara berfikir, kemahiran berkomunikasi, proses pengajaran lebih menarik seperti menerusi permainan dan pengendalian aktiviti luar, disiplin diri, keyakinan diri, tanggungjawab, pemikiran kreatif dan kebolehan menyelesaikan masalah. Setiap kanak-kanak mempunyai keunikan masing-masing dan berpotensi. Mereka perlu diasah serta dibangunkan kerana sebahagian besar kanak-kanak negara ini tiada keyakinan melahirkan pendapat. Justeru, mereka perlu diasuh supaya berani membuat keputusan, mengeluarkan pandangan serta mengesan kekuatan dan kelemahan agar tidak tersilap membuat pilihan terutama membabitkan bidang pengajian pada peringkat institusi pengajian tinggi kelak. Sistem pendidikan di negara ini adalah berasaskan peperiksaan dan banyak yang perlu diperbaiki. Pada situasi sekarang, pelajar diarahkan mendengar penerangan guru dalam kelas, bukan bertanya apabila tidak faham.

Keadaan ini menyebabkan pelajar berasakan bertanya soalan adalah satu kesalahan dan mereka cuma perlu mendengar, mengumpul seberapa banyak pengetahuan termasuk menunggu maklumat. Apabila berada di institusi pengajian tinggi, mereka terpaksa bekerja keras mencari maklumat sendiri, tanpa bantuan guru. Justeru, sebahagian besar pelajar tidak mampu berdikari dan akhirnya menemui kegagalan. Generasi muda bukan sekadar cemerlang dalam akademik sebaliknya disokong kemahiran berkomunikasi, kreatif, kebolehan berfikir, keupayaan menyelesaikan masalah dan cara belajar yang betul adalah penting untuk berjaya. Justeru, hanya pelaksanaan pendidikan holistik pada peringkat awal mampu melahirkan generasi muda serba boleh dan membantu perkembangan keseluruhan pelajar dalam pelbagai aspek dan bukan sekadar kecemerlangan akademik. Untuk mengubah sistem pendidikan sedia ada kepada pendidikan holistik, metodologi pengajaran sangat penting dan guru perlu dilatih melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran membabitkan penyertaan pelajar secara aktif, bukan sekadar pendengar dan menghafal apa yang diajar.

Cara pembelajaran setiap individu adalah berbeza jadi metodologi pengajaran juga perlu sesuai dengan keupayaan setiap individu bagi membantu mereka memperoleh pencapaian tertinggi. Selain itu, sektor pekerjaan juga memerlukan warga mahir yang bukan saja memiliki pengetahuan tetapi individu bersifat holistik yang mampu menyelesaikan permasalahan selain boleh berinteraksi dengan baik dan bekerjasama dalam satu kumpulan. Secara keseluruhannya, pendidikan holistik yang dilaksanakan secara bersepadu membantu negara melahirkan golongan yang bukan terpelajar, tetapi juga mempunyai pakej lengkap sekali gus penyumbang ke arah pembangunan negara

ISU SOSIAL : PELAJAR PERLU BIJAK PILIH RAKAN ELAK TERJEBAK JENAYAH


Pembangunan modal insan yang dihasratkan kerajaan bermula sejak alam persekolahan. Ia termasuk usaha membentuk peribadi mulia dalam kalangan murid yang mana semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing sama ada pada peringkat sekolah, ibu bapa serta pihak lain yang berkepentingan. Negara kita sedang menghadapi pelbagai masalah sosial contohnya seperti ancaman dadah yang serius seperti salah laku juvana, jenayah pembuangan bayi dan keganasan terhadap kanak-kanak. 


Semua ini petanda penurunan nilai murni yang jika tidak diatasi dengan berkesan akan menggugat aspirasi kita dalam menjadikan Malaysia negara maju. Dunia kini dibelenggu fenomena sangat membimbangkan. Di mana juga langkah pemodenan dan pembangunan ekonomi dilakukan yang seterusnya menghasilkan taraf kehidupan lebih baik, di situlah munculnya masalah sosial baru. Kita bukan saja perlu menangani masalah sosial dan cabaran ekonomi, tetapi juga isu lain lebih penting seperti integrasi kaum dan perpaduan. Apa yang membimbangkan ialah hampir tiada hari berlalu tanpa laporan mengenai masalah sosial dan jenayah. Kita perlu menyiasat punca berlaku jenayah ini dan mencari jalan penyelesaian. Sekiranya peningkatan kadar jenayah adalah berkaitan hasil pembangunan negara, maka aspek negatif pembangunan itu harus ditangani. Baru-baru ini, masyarakat di seluruh negara didedahkan dengan pelbagai perbuatan jenayah dan salah laku pelajar.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata sejak Januari hingga Jun tahun ini, 1.27 peratus daripada 5.4 juta pelajar sekolah di seluruh negara terbabit dalam lapan kategori kes disiplin ditakrifkan oleh Kementerian Pelajaran. Lapan kategori ialah salah laku berunsur jenayah, berunsur kelucahan, kurang sopan, laku musnah, kekemasan diri, ponteng sekolah, kenakalan dan tidak pentingkan masa. Salah laku mereka membabitkan berunsur jenayah (0.22 peratus), berunsur kelucahan (0.03 peratus), kurang sopan (0.19 peratus), laku musnah (0.06 peratus), kekemasan diri (0.2 peratus), ponteng sekolah (0.22 peratus), kenakalan (0.12 peratus) dan tidak pentingkan masa (0.23 peratus). Perlakuan jenayah pelajar ini berbentuk perbuatan mencuri, merosakkan harta benda sekolah, bergaduh, membuli, mencederakan murid lain, dan memeras ugut untuk mendapatkan wang.

Pembabitan murid sekolah dalam kegiatan salah laku disiplin adalah perbuatan yang perlu dilihat secara serius semua pihak, khususnya pengurusan sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Gejala itu boleh memberikan impak negatif terhadap pengurusan sekolah sekiranya tidak ditangani segera dan berkesan pada peringkat awal. Sekolah sepatutnya mempunyai persekitaran kondusif dan selamat agar setiap murid dapat menumpukan perhatian terhadap pelajaran mereka. Pendedahan media sejak akhir-akhir ini mengenai kegiatan negatif pelajar telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat umum dan memerlukan penyelesaian. Ada beberapa faktor menyebabkan masalah itu iaitu kemerosotan moral dan akhlak akibat daripada kesan kekurangan pengawasan, proses pemodenan, pembangunan negara dan era teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), keruntuhan institusi kekeluargaan untuk memainkan peranannya sebagai institusi pembentukan insan yang positif dan produktif.

Masalah lain ialah krisis rumah tangga yang dihadapi remaja sekolah dan pengaruh negatif rakan sebaya. Kemajuan sains dan teknologi sekarang begitu canggih, dengan adanya internet, televisyen satelit serta lebuh raya maklumat, kanak-kanak dan remaja mudah terdedah kepada pelbagai maklumat dan perhubungan berunsur positif atau negatif. Maklumat dan perhubungan negatif boleh mempengaruhi serta membawa kepada keruntuhan moral di kalangan remaja. Oleh demikian, remaja perlulah sentiasa berwaspada dan berusaha mempertingkatkan ketahanan diri seterusnya mengetepikan budaya negatif daripada mempengaruhi mereka. Pelajar jangan sekali-kali terbabit dengan apa juga perlakuan jenayah. Pelajar hendaklah sedar bahawa kesan dan implikasi perlakuan jenayah boleh menjejaskan masa depan mereka.

Pada usia remaja, remaja lebih rapat dengan rakan-rakan sebaya. Sikap pembawaan dan penampilan rakan sebaya banyak mempengaruhi tingkah laku seseorang remaja. Sering kali seseorang remaja terpaksa melakukan perbuatan tidak sihat seperti merokok untuk membolehkan ia diterima sebagai ahli kumpulan rakan sebayanya itu. Pelajar harus lebih berhati-hati memilih rakan. Jangan tersalah pilih rakan yang kelak menjerumuskan diri kepada jenayah. Rakan yang baik akan membantu anda menjadi insan baik dan berguna. Janganlah bersahabat dengan rakan yang seperti kata pepatah ‘sokong membawa rebah’. Pelajar juga perlu memainkan peranan berkesan membantu polis mencegah jenayah. Caranya tidak sukar, iaitu tidak terbabit dan tidak melakukan jenayah. Pelajar boleh bertindak mengawasi anasir dari luar dan rakan sekolah yang cuba melakukan perbuatan jenayah, membuli rakan, penyalahgunaan dadah dan salah laku jenayah.

Pelajar adalah aset berharga kepada negara kerana mereka jugalah yang akan menentukan corak kehidupan kepemimpinan pada masa depan. Pelajar harus sedar di samping belajar dan mencapai kecemerlangan dalam pelajaran, mereka juga perlu bertanggungjawab kepada diri sendiri, ibu bapa, sekolah, masyarakat, negara dan seterusnya kepada harta benda awam. Kerajaan dan organisasi bukan kerajaan serta masyarakat secara keseluruhannya perlu mewujudkan suatu program pemupukan nilai murni untuk negara bagi mempromosikan kesedaran terhadap nilai kemanusiaan dan murni dalam masyarakat kita. Demi untuk masa depan generasi akan datang, rakyat Malaysia mesti mendukung nilai murni dengan teguh dan padu serta tidak meneladani budaya barat secara membuta tuli. Institusi kekeluargaan dan nilai murni perlu dipelihara dan dipupuk supaya dapat digunakan sebagai pendekatan berkesan menangani pelbagai masalah sosial yang mengancam masyarakat kini.

Apabila sekolah dibelenggu oleh peningkatan kadar kejadian melanggar disiplin, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memberikan lebih perhatian terhadap pentingnya kita kembali kepada prinsip asal mengenai amalan nilai murni dan kemanusiaan. Kita perlu mendidik anak dan memastikan supaya mereka menghargai nilai murni seperti sifat persefahaman, hormat-menghormati antara satu sama lain, kepatuhan kepada undang-undang, keyakinan diri dan sifat keterbukaan terhadap perbezaan agama, kepercayaan, adat dan budaya. Pelajar perlu membuat pilihan betul dalam hidup untuk menghindari daripada terjerumus ke kancah jenayah seperti dadah, lumba haram, pergaulan bebas dan jenayah. Pilihan hari ini akan menentukan hala tuju kita esok. Jika kita membuat pilihan yang baik, hasilnya baik dan produktif, tetapi apabila kita salah membuat pilihan, kemungkinan yang berlaku mungkin amat buruk sehingga merosakkan diri sendiri dan masa depan kita.

Tidak ada satu manusia di muka bumi ini yang bercita-cita menjadi penjenayah, malah semua bercita-cita ingin menjadi seseorang yang berguna kepada dirinya dan masyarakat. Namun, apabila kita tersalah pilih dalam perjalanan hidup kita, akibatnya amatlah buruk seperti menjadi penjenayah kerana mencari jalan mudah untuk hidup tanpa menghiraukan undang-undang dan peraturan. Pilihan menagih dadah akan merosakkan minda dan kesihatan badan yang akan mendedahkan kita kepada gejala penyakit seperti AIDS. Pilihan salah dalam hidup boleh mengakibatkan masa depan menjadi kelam dan kabur. Kita akan disisih masyarakat dan keluarga akibat salah pilih. Apabila kita salah pilih kita akan dicap sebagai sampah masyarakat dan perosak bangsa dan negara. Kita perlu memilih kecemerlangan dalam semua bidang yang di ceburi seperti bidang sukan, kerjaya dan kemasyarakatan. Kita hendaklah pilih perkara yang membawa kebaikan kepada diri kita, keluarga dan negara.  
 
Oleh Lee lam Thye 
Naib Pengerusi 
Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia.
 
Berita Harian
08 November 2010

STPM 2007 SIRI 3


PENGGUNAAN KATA ADJEKTIF YANG BETUL

01. Perahu itu hanyut dibawa arus yang deras.
02. Suara penyanyi utama kumpulan nasyid itu sungguh merdu.
03. Gol itu dijaringkan melalui tendangan kencang penyerang pasukan itu.

PENGGUNAAN KATA SENDI NAMA YANG BETUL

01. Awak terima surat itu daripada siapa?
02. Kedai itu disewanya sejak dahulu lagi.
03. Kempen itu dijalankan dari rumah ke rumah.
04. Kepada siapakah anak-anak yatim itu akan mengadu nasib?

PENGGUNAAN KATA "DI ANTARA" YANG BETUL

01. Jarak di antara rumahnya dengan sekolah hanya sepelaung.

PENGGUNAAN KATA "ANTARA" YANG BETUL

01. Antara dia dengan adiknya, adiknya lebih berjaya.
02. Ada antara mereka berasa tidak puas hati dengan keputusan itu.
03. Masih banyak antara penduduk kampung itu yang belum celik komputer.

KATA MAJMUK YANG DIEJA BETUL

01. kaji selidik
02. bedah siasat
03. tandatangan

AKRONIM

01. Bernama = Berita Nasional Malaysia
02. Perhilitan = Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara

KATA -nya SEBAGAI KATA PENEKAN

01. Lereng bukit di tepi jalan raya itu nampaknya akan runtuh.
02. Dengan hormatnya kami mempersilakan para jemputan masuk ke dewan. 

KATA -nya SEBAGAI KATA PEMBENDA

01. Sejak seminggu yang lalu keretanya rosak. (merujuk kepada manusia)
02. Lopak-lopak jalan menuju ke Taman Sri Indah itu telah ditimbusnya dengan batu kerikil. (merujuk kepada manusia)

PERKATAAN EMPAT MORFEM

= menyelerakkan

01. Morfem 1 : meny-
02. Morfem 2 : el
03. Morfem 3 : serak
04. Morfem 4 : kan

KATA KERJA TAK TRANSITIF TANPA PERLENGKAP

AYAT
Perbincangan mereka telah melencong daripada agenda asal.

KETERANGAN

01. Kata kerja tak transitif tanpa pelengkap = melencong
02. Pelengkap ayat = daripada agenda asal
03. Tanpa pelengkap pun ayat ini masih boleh berdiri sendiri.

AYAT PASIF

01. Bersama-sama surat ini kukirimkan sekeping gambar tanda ingatan.

STPM 2007 SIRI 2

KONSONAN YANG DIHASILKAN DENGAN GETARAN PITA SUARA

01. [ d ]
02. [ g ]
03. [ b ]

LETUSAN LELANGIT KERAS BERSUARA [ j ]

01. Depan lidah dirapatkan pada lelangit keras-gusi untuk membuat sekatan.
02. Udara dilepaskan secara pelahan-lahan
03. Pita suara bergetar

BUNYI DIFTONG

01. Dihasilkan dalam satu nafas
02. Dalam tulisan, bunyi diftong dilambangkan oleh dua huruf vokal.

PERKATAAN GUGUS KONSONAN

01. Plastik
02. Struktur
03. Kompleks

ISTILAH DENGAN TAKRIF

01. Morfologi = Ilmu yang mengkaji perkataan dan pembentukannya.
02. Semantik = Ilmu yang mengkaji makna
03. Sintaksis = Ilmu yang mengkaji aspek yang berkaitan dengan ayat.
04. Fonologi = Ilmu yang mengkaji bunyi bahasa

AKHIRAN DARIPADA BAHASA SANSKRIT

01. biduanita
02. seniwati
03. sukarelawan
04. seniman

AWALAN DARIPADA BAHASA SANSKRIT

01. mahasiswa
02. tatasusila
03. prakata
04. swasta
05. tunakarya
06. ekabahasa
07. dwifungsi
08. tribulan
09. pancaindera

PERKATAAN YANG MENGALAMI PELEBURAN FONEM

01. mengecil = peleburan fonem /k/
02. mengeras = peleburan fonem /k/

PERKATAAN YANG TIDAK MENGALAMI PELEBURAN FONEM

01. mengecat
02. mengutus
03. mengumpan

STPM 2007 SIRI 1


KELUARGA BAHASA MELANESIA

01. Kepulauan Fiji
02. New Caledonia
03. Irian
04. New Guinea
05. Halmahera

KELUARGA BAHASA MIKRONESIA

01. Kepulauan Marianna
02. Marshall
03. Carolina
04. Gilbert

KELUARGA BAHASA POLINESIA

01. Bahasa-bahasa Hawaii
02. Tonga
03. Maori
04. Kepulauan Easter

BAHASA MELAYU KUNO

01. Vokal e pepet tidak digunakan dalam bahasa Melayu kuno
02. Fonem w dalam bahasa Melayu kuno berubah menjadi b secara tekal dalam bahasa Melayu moden

BATU BERSURAT MINYE TUJUH

01. Menggunakan huruf India
02. Menggunakan bahasa Melayu kuno
03. Batu bersurat pertama yang menunjukkan bahasa Melayu telah menerima pengaruh Islam

PERANCANGAN KORPUS BAHASA

01. Mengadakan usaha untuk memantapkan tatabahasa bahasa Melayu

TOKOH DAN KARYA

01. Za'ba = Ilmu Mengarang Melayu
02. R.J Wilkinson = Kamus Melayu-Inggeris
03. Raja Ali Haji = Bustan al-Katibin
04. Mohammad Said Haji Sulaiman = Buku Katan

VARIASI BAHASA DAN CONTOH AYAT

01. Bahasa Biasa = Dia tengah makan nasi.
02. Bahasa Formal = Isteri saya berkirim salam.
03. Bahasa Istana = Tuan puteri sedang bersiram di kolam

LARAS BAHASA

01. Variasi bahasa yang digunakan mengikut situasi
02. Ciri-ciri khusus penggunaan bahasa mengikut bidangnya

PENANDA WACANA UNTUK MENYATUKAN SEMULA

01. iaitu
02. dengan perkataan lain
03. yakni

HUBUNGAN SEMANTIK DARI SEGI KESIMPULAN DAN LATAR

Ayat : Danial sangat rajin. Dia selalu membantu ibunya semasa di rumah.

01. Dainal sangat rajin. = Kesimpulan
02. Dia selalu membantu ibunya semasa di rumah. = latar

GELARAN HORMAT

01. Yang Berhormat = Setiausaha Parlimen
02. Yang Arif = Hakim Mahkamah Tinggi
03. Yang Berusaha = Pegawai Pelajaran Daerah/Gabungan

GELARAN KURNIAAN

01. Datuk
02. Tun
03. Tan Sri
04. Puan Sri

GELARAN WARISAN

01. Wan
02. Sheikh
03. Syed
04. Nik

GELARAN IKHTISAS

01. Profesor
02. Ustaz
03. Doktor
04. Cikgu

ISU EKONOMI : KESTABILAN POLITIK DIIKTIRAF

 
Pengiktirafan Malaysia sebagai negara ke-20 antara negara terunggul dalam indeks pembangunan kewangan Forum Ekonomi Dunia (WEF) tahun ini berasaskan kestabilan politik yang meyakinkan suasana pelaburan. Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussein, berkata ia tidak mengejutkan kerana Malaysia sebelum ini banyak menerima pengiktirafan dunia, terutama sistem kewangan Islam (Perbankan Islam) antara yang terbesar pada peringkat global. Keadaan dalam negara yang aman dan rakyat bersatu padu dan mesra pelaburan banyak menyumbang ke arah itu.  Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar bahawa Malaysia mencatat peningkatan mengagumkan sebanyak lima anak tangga dan menjadi antara 20 negara terunggul dalam indeks pembangunan kewangan WEF tahun ini, ekoran pertambahan besar pengumpulan matanya, terutama dari segi kestabilan kewangan hingga mengatasi Singapura. Kekuatan negara sebagai pusat perbankan Islam juga jelas berdasarkan indeks itu, kata laporan pembangunan kewangan tahunan ketiga WEF yang dikeluarkan di sini.  Malaysia meningkat daripada kedudukan ke-22 ke tangga ke-17 dalam indeks keseluruhan diterajui Amerika Syarikat dan United Kingdom. Beliau berkata, gagasan 1Malaysia, Model Baru Ekonomi (MBE) dan Program Tranformasi Ekonomi yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dipandang positif oleh dunia sebagai yang terbaik di rantau ini.

07 November 2010

ISU BAHASA : BAHASA KEBANGSAAN PERLUKAN GERAKAN "MENYELAMAT"


Rakyat berasa teruja apabila Jawatankuasa Induk Memperkasa Bahasa Kebangsaan yang dipengerusikan oleh Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberikan perhatian yang luar biasa dalam memperjuangkan martabatkan bahasa Melayu sejak tahun lalu lagi. Kita tentulah bimbang jika lambat-laun masyarakat berbilang kaum negara ini mulai mengabaikan bahasa rasmi negara. Hakikatnya, kita sedang berdepan dengan cabaran yang bukan sahaja menyebabkan kita ragu-ragu, malah kita juga menanyakan kedudukan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Secara jujur, kita berada dalam dilema. 

Kita tidak mahu dalam mengejar zaman teknologi maklumat dan komunikasi, bahasa Melayu dipinggirkan oleh rakyat. Kita harapkan gerakan untuk mendaulatkan bahasa Melayu yang akan diberi suntikan, hala tuju dan nafas baru ini dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Zaman berubah maka pendekatan perjuangan juga harus berubah. Ingat bagaimana bersemangatnya orang Melayu berkobar-kobar ketika bangkit mempertahankan kedaulatan Bahasa Kebangsaan untuk dimasukkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Ketika itu `Keranda 154' diusung sebagai simbolik jika bahasa Melayu cuba ditentang atau diketepikan - itu semangat tidak mahu bahasa Melayu dikuburkan.

Tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, semangat mendaulatkan Bahasa Kebangsaan kian lesu. Semakin banyak pihak yang tidak peduli penggunaan bahasa yang betul. Isu bahasa pertuturan yang bercampur aduk masih didebatkan. Tetapi kesalahan penggunaan bahasa Melayu pada papan tanda atau iklan perlu diberi tanda noktah. Kesilapan bahasa sama ada dari segi penggunaan bahasa yang tidak menepati tatabahasa Melayu yang betul, termasuk sistem ejaan, pemilihan kata, pengolahan ayat ataupun mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris banyak berlaku atau dipamerkan di tempat umum. Jika kesalahan ini tidak dicegah dengan segera, ia akan mencemarkan maruah bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Alasan biasa seperti sasaran iklan atau maklumat ditujukan kepada kaum yang memahami atau boleh membaca catatan tersebut tidak wajar dilayan lagi. 

Berleluasanya papan iklan yang langsung tidak menghormati Bahasa Kebangsaan ini, mungkin ada kaitan dengan sikap pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negara. PBT di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dipimpin oleh menteri bukan Melayu maka kita faham `kekurangannya' dalam memberi keutamaan terhadap soal memartabatkan bahasa Melayu. Tetapi majoriti pengarah dan pemimpin PBT adalah Melayu sepatutnya peka dan sedar tentang kecelaruan penggunaan bahasa Melayu yang menghiasi bangunan dan jalan raya di kawasan pentadbiran masing-masing. Jangan disebabkan lesen sudah dibayar maka pemasangan iklan dengan bahasa yang memalukan dibiarkan. Malah ada yang sudah bertahun-tahun terpampang namun untuk PBT menegur dan mengarah ditukar, belum nampak dilakukan.

Usah biarkan tanggungjawab untuk mendaulatkan Bahasa Kebangsaan ini diserah bulat-bulat kepada DBP. Jika DBP bersuara lantang pun apa maknanya jika mereka tiada gigi dan taring untuk `menggigit' pihak yang enggan mematuhi peraturan bahasa Melayu. Jika pemimpin kerajaan, PBT, DBP, pejuang dan pencinta bahasa serta rakyat sayangkan bahasa Melayu dan benar-benar ingin menyelamatkannya, kita harap ia jangan setakat bercakap sahaja. Satu tindakan benar-benar berani dalam `mengajar' pihak yang ingkar perintah menghormati Bahasa Kebangsaan harus dilakukan. Episod sedih dan memalukan dalam cabaran memartabatkan Bahasa Kebangsaan ini perlu diubah. Kerajaan melalui kenyataan Hishammuddin telah memberi isyarat jelas bahawa sebarang akta atau dasar berkaitan bahasa Melayu tidak akan teragak-agak untuk dipinda.

Dalam hal ini adalah wajar jika Akta DBP dipinda. DBP tidak boleh lagi diletakkan dalam dilema pada mata umum. DBP mempunyai tanggungjawab untuk membina dan mengembangkan bahasa Melayu tetapi tidak dapat mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang mempersenda atau mencemarkan penggunaannya. Akta DBP tidak membenarkan ia bertindak lebih jauh. Jadi tugasnya terhenti separuh jalan. Barangkali undang-undang yang ada pada PBT jika dianggap kurang berkesan untuk menguatkuasakan pematuhan terhadap penggunaan Bahasa Kebangsaan yang betul, maka buatlah pindaan. Usaha atas apa nama sekalipun sama ada memperkasa, mendaulat atau memartabatkan Bahasa Kebangsaan tidak patut berjalan hangat-hangat tahi ayam. Malah kita percaya masyarakat majmuk negara ini bukan tidak boleh dilentur supaya menghormati dan memartabatkan Bahasa Kebangsaan. 

Biasanya cara lisan memang sukar untuk melentur pendirian liat masyarakat negara ini untuk menghormati penggunaan betul bahasa Melayu. Alasannya ialah `sudah biasa.' Justeru pindaan yang hendak dibuat perlu dimasukkan unsur denda sehingga mereka akur. Jika masyarakat Melayu atau bukan Melayu berasa bahasa Melayu tidak ada kelas untuk digunakan dalam segala urusan harian maka kita harus peringatkan mereka. Bahasa Melayu adalah Bahasa Kebangsaan jati diri bagi bangsa Malaysia.   

Oleh: 
AZMAN ANUAR 
Wartawan Utusan

Utusan Malaysia
04 Mac 2006

ISU KESIHATAN : JADIKAN MENDERMA ORGAN SEPERTI MENDERMA DARAH


Benar seperti kata Ketua Penyelaras Pusat Sumber Pemindahan Organ Kebangsaan (NRTC) Hospital Kuala Lumpur, Dr. Lela Yasmin Mansor bahawa orang ramai tidak selesa membincangkan isu yang melibatkan kematian, justeru menimbulkan salah faham mengenai pendermaan organ. Maka kesannya orang ramai takut hendak menderma ginjal hingga menyebabkan banyak pesakit buah pinggang tidak dapat diselamatkan. Tetapi bayangkan senario di sebaliknya. Jika orang ramai selesa untuk membincangkan tentang kematian secara terbuka, maka kefahaman mengenai pendermaan organ akan lebih meluas dan mendalam. Akibatnya pula, orang ramai akan lebih bersedia untuk menderma organ khususnya ginjal mereka. Hasilnya, lebih banyak pesakit buah pinggang akan terselamat dan dapat menyambung hidup lebih lama lagi. Walaupun sememangnya pada akhirnya, manusia akan semuanya mati.

Kemampuan manusia memindahkan ginjal kepada pesakit buah pinggang dan selanjutnya menyelamatkan nyawa merupakan hasil daripada penemuan dan pemahaman dalam bidang sains perubatan dan teknologi. Sebelum munculnya kepandaian ini, pesakit buah pinggang tidak mempunyai pilihan lain untuk selamat dan terpaksa menerima kematian akibat penyakit itu. Tetapi sebelum munculnya sains perubatan dan teknologi, manusia sudah lama mengenal agama. Selamat untuk dinyatakan bahawa sejak wujudnya manusia, maka agama sudah bersama mereka, walaupun dalam apa jua bentuk, primitif ataupun berfalsafah. Begitu juga dengan kematian. Sejak muncul manusia, pastinya mereka sedar tentang kematian. Misteri kematian cuba dijelaskan dalam pelbagai cara, sama ada mitos atau legenda, tetapi akhirnya agama yang menjelaskan mengenai kematian dengan selesa.

Malah kematian dan pemahaman agama adalah sehubungan. Tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa agama wujud untuk menjelaskan kematian. Apa saja ajaran agama mengenai kehidupan adalah akhirnya untuk menempatkan kedudukan manusia semasa kematiannya. Maka Islam juga membincangkan mengenai kematian secara luas dan mendalam. Kematian sudah tidak menjadi misteri dalam Islam. Ia dijelaskan hingga menyebabkan isu kematian selesa untuk dibincangkan dan difahami. Mengenai pemindahan dan pendermaan organ, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) telah banyak membincangkan perkara ini dan menggalakkan umat Islam menderma organ. Langkah menderma organ bukan saja dibolehkan tetapi juga digalakkan sebagai suatu amalan kebajikan yang mendatangkan pahala kepada pendermanya. Dalam perbincangan di kalangan ahli-ahli agama atau golongan terpelajar, pada hemat saya, ia dilakukan dengan selesa dan umumnya orang Islam dapat menerima tentang kebaikan dan keperluan menderma organ.

Ketidakselesaan timbul apabila sampai kepada hendak melakukannya di kalangan orang ramai yang sudah tentu tidak banyak terdedah kepada perbincangan mengenainya. Ada pihak mencadangkan supaya ceramah-ceramah dan khutbah menghebahkan mesej pendermaan organ ke tengah-tengah masyarakat supaya orang ramai akhirnya dapat menerima hakikat ini dan lebih penting lagi bertindak untuk menderma organ. Tetapi saya percaya perbincangan, ceramah dan khutbah tidak mencukupi dan kurang berkesan. Langkah menderma organ memerlukan contoh praktikal dan lebih ketara lagi ialah keperluan satu gerakan menggalakkan pendermaan organ. Cuba lihat bagaimana program derma darah. Di satu segi, gerakan kesedaran bagi menderma darah sudah mencapai kejayaan dengan orang ramai tidak berasa bermasalah untuk menderma darah.

Pada awalnya, galakan bagi menderma darah juga sukar untuk mencapai kejayaan. Tetapi setelah bertahun-tahun gerakan ini berjalan, maka akhirnya ia mencapai keadaan yang ada sekarang. Itu pun pada masa-masa tertentu, di sesetengah kalangan, derma darah ini turut menjadi satu fobia. Apatah lagi dengan menderma organ yang melibatkan soal kematian dan jenazah. Kalau dulu dengan darah ditimbulkan soal darah bercampur. Sama ada haram atau halal. Kalau makanan dianggap jadi darah daging, maka dibimbangi pencampuran darah. Tetapi kini sains menunjukkan bahawa darah hanyalah sel-sel merah dan putih yang boleh dicampur serta tidak berkaitan dengan soal etika. Kebaikan terletak pada menyelamatkan manusia. Soal makanan haram dan halal adalah bersifat agama dan etika, ia tidak berkait dengan percampuran darah. Sebaliknya membiarkan manusia sakit atau mati kerana keengganan menderma darah adalah satu keburukan dan dosa. 

Begitu juga dengan pemindahan dan pendermaan organ. Hujah bahawa memindah organ merupakan menyeksa mayat tidak kena pada tempatnya. Jenazah mesti dihormati kerana ia merupakan maruah manusia. Merosakkan mayat merupakan perbuatan yang tidak beretika dan tentunya dilarang Islam. Tetapi memindahkan organ sebagai derma bukanlah merosakkan mayat. Ia merupakan satu kebaikan kerana ia menyelamatkan manusia yang lain. Kebaikan ini jelas. Sedangkan apabila jenazah itu dikebumikan, pastinya jasad itu akan hancur dimamah oleh ulat, bakteria dan segala makhluk dalam tanah yang mahu mengambil semua bahan-bahan dalam tubuh manusia. Begitu juga dengan organ manusia seperti ginjal. Sedangkan daripada menyerahkan organ itu kepada makhluk-makhluk tanah itu, adalah suatu kebaikan jika ia dapat terus hidup untuk dipindahkan kepada manusia yang memerlukannya. 

Oleh 
ZIN MAHMUD 
WARTAWAN UTUSAN

Utusan Malaysia
14 November 2006

ISU SOSIAL : KURANG FIKIR TERHADAP ORANG KURANG UPAYA


Di mana kedudukan orang kurang upaya (OKU) dalam masyarakat kita? Persoalan ini timbul kalau anda salah seorang pengguna pengangkutan awam khususnya di Kuala Lumpur. Kita yang normal mungkin tidak pernah terfikir tentang kehidupan OKU. Tetapi hakikatnya OKU bukanlah orang sakit yang hanya ditempatkan di rumah saja. OKU hanya kurang upaya dan masyarakat wajib untuk mengambil kira keperluan mereka bersosial seperti orang biasa. Bagaimanapun pengangkutan awam kita misalnya bukanlah untuk OKU. Banyak premis awam di negara ini juga bukan untuk OKU. Jadi di mana kehidupan untuk OKU terutama dalam masyarakat yang dilabelkan sebagai “penyayang’’? Apakah kerana OKU itu minoriti dalam masyarakat kita, maka secara demokrasinya keperluan mereka tidak diendahkan? Prinsip demokrasi ialah memberikan keutamaan yang majoriti dan selebihnya barulah minoriti.

Untuk mewujudkan kesedaran kepada masyarakat terhadap OKU tidak perlulah diadakan satu undang-undang. Kesedaran harus dengan sendirinya tercetus kerana OKU adalah sebahagian anggota masyarakat. Mereka mempunyai hak untuk hidup seperti orang biasa sekalipun ada sedikit kesulitan. Pengangkutan bas di Kuala Lumpur bukan untuk OKU. Kalau di luar negara misalnya Eropah OKU dengan mudah keluar membeli-belah menggunakan pengangkutan awam. Ini kerana bas-bas di sana mempunyai peralatan khusus untuk OKU yang berkerusi roda. Tetapi di Kuala Lumpur pemilik pengangkutan awam tidak ada kesedaran itu. Dengan bas yang tidak ada peralatan untuk OKU, LRT yang semuanya menggunakan tangga dan kerenah pemandu teksi yang keberatan mengambil penumpang OKU dengan jelas memperlihatkan kesedaran sivik kita semua.

Baru-baru ini Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menganjurkan persidangan yang membincangkan keperluan OKU. Inisiatif kementerian ini sebenarnya sangat dialu-alukan kerana tanpa usaha yang seperti ini, kita semua akan dilihat sebagai mendiskriminasikan OKU. Persidangan yang bertemakan Akses Kehidupan Sebenar sempena Hari OKU Kebangsaan 2006 itu memerlukan kesinambungan. Usaha membela kehidupan OKU dari segi prasarana tidak harus terhenti di situ saja. Menteri KPWKM, Datuk Seri Shahrizat Jalil kelihatan memberikan perhatian yang serius dalam usaha membela OKU. Shahrizat mesti mengubah persepsi masyarakat termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) mengenai OKU. Ketika ini kalau meletakkan diri kita sebagai keluarga OKU, perkara utama yang dilakukan ialah meninjau sama ada premis yang hendak dituju mempunyai akses untuk kerusi roda atau tidak. Ini kerana tidak banyak premis yang menyediakan laluan untuk kemudahan berkerusi roda.

Di tempat meletak kereta pula, petak untuk kenderaan yang membawa OKU hanya sekadar syarat. Bayangkan hanya dua atau tiga petak saja dan itu pun akan digunakan oleh orang biasa yang tidak mempunyai kesedaran sivik. Masyarakat jangan salah faham, OKU bukanlah menuntut kemudahan yang bukan-bukan daripada tuan punya premis atau arkitek yang membina premis itu. OKU hanya menuntut sedikit kemudahan untuk mereka hidup seperti orang lain. Golongan ini tentu sekali tidak membawa sepanduk dan menuntut semua pelan pembangunan bandar dibuat mengikut standard yang tercatat dalam Uniform Building By Laws 1984 atau National Code of Practice. Standard ini ialah bagi mewujudkan suasana persekitaran tanpa halangan kepada OKU. Jadi yang ditimbulkan di sini bukanlah peraturan kerana semua itu telah wujud. Tetapi persoalannya peraturan tidak diendahkan hingga banyak premis awam tidak menyediakan kemudahan untuk OKU.

Sistem pengangkutan LRT yang moden juga bukan untuk OKU. Apakah ini kerana mereka yang bukan tergolong sebagai “kurang upaya’’ ini “kurang berfikir’’ tentang keperluan hidup satu kelompok yang memerlukan sedikit perhatian? Kesedaran menjadi begitu genting sehingga Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) terpaksa menggesa supaya kerajaan menggubal satu akta memastikan OKU menikmati kesaksamaan. Akta itu juga secara tidak langsung melindungi OKU daripada sebarang bentuk penganiayaan sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Mengikut statistik Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), semua negara di dunia secara puratanya mempunyai sekurangkurang satu peratus OKU. Satu peratus memang kecil tetapi kalau satu peratus daripada 25 juta rakyat Malaysia besar juga jumlahnya. Sementara statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat pula mencatatkan negara ini mempunyai 132, 655 OKU yang berdaftar. Ini termasuklah 14,154 cacat penglihatan, 22,728 cacat pendengaran, 45,365 cacat fizikal dan 49,340 menghadapi masalah pembelajaran. Kepada yang tidak mempunyai keluarga kalangan OKU barangkali tidak begitu terkesan dengan sumbang dan sumbingnya kita menerima OKU sebagai anggota masyarakat. Tetapi yang mempunyai keluarga OKU lebih memahami bagaimana masyarakat seolah- olah menolak kehadiran OKU. Kalau tidak masakan banyak pihak selalu terlupa menyediakan sedikit kemudahan untuk mereka?

Oleh : Ku Seman
Utusan Malaysia
24 Disember 2006

STPM 2008 SIRI 4

AYAT MENGANDUNGI FRASA KERJA DENGAN DUA OBJEK

01. Ibu memakaikan adik baju Melayu.
02. Syarikat itu menawarkan pemilik tanah sebuah banglo.

AYAT YANG TIDAK BOLEH DIPASIFKAN

01. Mereka bersetuju untuk mengembara ke hutan itu.
02. Ombak yang memutih di pantai itu sungguh menarik.
03. Keindahan semula jadi tasik itu menarik perhatian pelancong asing.

AYAT  KATA KETERANGAN TIDAK BOLEH DIGUGURKAN

01. Pelancong itu bertutur dalam bahasa Melayu.
02. Mereka bertanding di peringkat antarabangsa.

HOMONIM

01. "Buluh itu sudah pun saya raut semalam", kata Sani.
02. "Raut wajah Ani hampir menyerupai ibunya," kata Lina