Pelaksanaan pendidikan secara holistik perlu bermula di peringkat awal membabitkan penyertaan pelbagai pihak termasuk pelajar, guru, ibu bapa dan masyarakat sebagai usaha memastikan generasi muda memperoleh manfaat sepenuhnya. Ini kerana pendidikan holistik atau menyeluruh bukan menekankan kecemerlangan akademik semata-mata tetapi membabitkan perkembangan dan peningkatan potensi lain dalam diri setiap pelajar.
Pendidikan holistik sebenarnya membabitkan pelbagai aspek seperti proses pembelajaran, cara berfikir, kemahiran berkomunikasi, proses pengajaran lebih menarik seperti menerusi permainan dan pengendalian aktiviti luar, disiplin diri, keyakinan diri, tanggungjawab, pemikiran kreatif dan kebolehan menyelesaikan masalah. Setiap kanak-kanak mempunyai keunikan masing-masing dan berpotensi. Mereka perlu diasah serta dibangunkan kerana sebahagian besar kanak-kanak negara ini tiada keyakinan melahirkan pendapat. Justeru, mereka perlu diasuh supaya berani membuat keputusan, mengeluarkan pandangan serta mengesan kekuatan dan kelemahan agar tidak tersilap membuat pilihan terutama membabitkan bidang pengajian pada peringkat institusi pengajian tinggi kelak. Sistem pendidikan di negara ini adalah berasaskan peperiksaan dan banyak yang perlu diperbaiki. Pada situasi sekarang, pelajar diarahkan mendengar penerangan guru dalam kelas, bukan bertanya apabila tidak faham.
Keadaan ini menyebabkan pelajar berasakan bertanya soalan adalah satu kesalahan dan mereka cuma perlu mendengar, mengumpul seberapa banyak pengetahuan termasuk menunggu maklumat. Apabila berada di institusi pengajian tinggi, mereka terpaksa bekerja keras mencari maklumat sendiri, tanpa bantuan guru. Justeru, sebahagian besar pelajar tidak mampu berdikari dan akhirnya menemui kegagalan. Generasi muda bukan sekadar cemerlang dalam akademik sebaliknya disokong kemahiran berkomunikasi, kreatif, kebolehan berfikir, keupayaan menyelesaikan masalah dan cara belajar yang betul adalah penting untuk berjaya. Justeru, hanya pelaksanaan pendidikan holistik pada peringkat awal mampu melahirkan generasi muda serba boleh dan membantu perkembangan keseluruhan pelajar dalam pelbagai aspek dan bukan sekadar kecemerlangan akademik. Untuk mengubah sistem pendidikan sedia ada kepada pendidikan holistik, metodologi pengajaran sangat penting dan guru perlu dilatih melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran membabitkan penyertaan pelajar secara aktif, bukan sekadar pendengar dan menghafal apa yang diajar.
Cara pembelajaran setiap individu adalah berbeza jadi metodologi pengajaran juga perlu sesuai dengan keupayaan setiap individu bagi membantu mereka memperoleh pencapaian tertinggi. Selain itu, sektor pekerjaan juga memerlukan warga mahir yang bukan saja memiliki pengetahuan tetapi individu bersifat holistik yang mampu menyelesaikan permasalahan selain boleh berinteraksi dengan baik dan bekerjasama dalam satu kumpulan. Secara keseluruhannya, pendidikan holistik yang dilaksanakan secara bersepadu membantu negara melahirkan golongan yang bukan terpelajar, tetapi juga mempunyai pakej lengkap sekali gus penyumbang ke arah pembangunan negara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan