Pembangunan modal insan yang dihasratkan kerajaan bermula sejak alam persekolahan. Ia termasuk usaha membentuk peribadi mulia dalam kalangan murid yang mana semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing sama ada pada peringkat sekolah, ibu bapa serta pihak lain yang berkepentingan. Negara kita sedang menghadapi pelbagai masalah sosial contohnya seperti ancaman dadah yang serius seperti salah laku juvana, jenayah pembuangan bayi dan keganasan terhadap kanak-kanak.
Semua ini petanda penurunan nilai murni yang jika tidak diatasi dengan berkesan akan menggugat aspirasi kita dalam menjadikan Malaysia negara maju. Dunia kini dibelenggu fenomena sangat membimbangkan. Di mana juga langkah pemodenan dan pembangunan ekonomi dilakukan yang seterusnya menghasilkan taraf kehidupan lebih baik, di situlah munculnya masalah sosial baru. Kita bukan saja perlu menangani masalah sosial dan cabaran ekonomi, tetapi juga isu lain lebih penting seperti integrasi kaum dan perpaduan. Apa yang membimbangkan ialah hampir tiada hari berlalu tanpa laporan mengenai masalah sosial dan jenayah. Kita perlu menyiasat punca berlaku jenayah ini dan mencari jalan penyelesaian. Sekiranya peningkatan kadar jenayah adalah berkaitan hasil pembangunan negara, maka aspek negatif pembangunan itu harus ditangani. Baru-baru ini, masyarakat di seluruh negara didedahkan dengan pelbagai perbuatan jenayah dan salah laku pelajar.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata sejak Januari hingga Jun tahun ini, 1.27 peratus daripada 5.4 juta pelajar sekolah di seluruh negara terbabit dalam lapan kategori kes disiplin ditakrifkan oleh Kementerian Pelajaran. Lapan kategori ialah salah laku berunsur jenayah, berunsur kelucahan, kurang sopan, laku musnah, kekemasan diri, ponteng sekolah, kenakalan dan tidak pentingkan masa. Salah laku mereka membabitkan berunsur jenayah (0.22 peratus), berunsur kelucahan (0.03 peratus), kurang sopan (0.19 peratus), laku musnah (0.06 peratus), kekemasan diri (0.2 peratus), ponteng sekolah (0.22 peratus), kenakalan (0.12 peratus) dan tidak pentingkan masa (0.23 peratus). Perlakuan jenayah pelajar ini berbentuk perbuatan mencuri, merosakkan harta benda sekolah, bergaduh, membuli, mencederakan murid lain, dan memeras ugut untuk mendapatkan wang.
Pembabitan murid sekolah dalam kegiatan salah laku disiplin adalah perbuatan yang perlu dilihat secara serius semua pihak, khususnya pengurusan sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Gejala itu boleh memberikan impak negatif terhadap pengurusan sekolah sekiranya tidak ditangani segera dan berkesan pada peringkat awal. Sekolah sepatutnya mempunyai persekitaran kondusif dan selamat agar setiap murid dapat menumpukan perhatian terhadap pelajaran mereka. Pendedahan media sejak akhir-akhir ini mengenai kegiatan negatif pelajar telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat umum dan memerlukan penyelesaian. Ada beberapa faktor menyebabkan masalah itu iaitu kemerosotan moral dan akhlak akibat daripada kesan kekurangan pengawasan, proses pemodenan, pembangunan negara dan era teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), keruntuhan institusi kekeluargaan untuk memainkan peranannya sebagai institusi pembentukan insan yang positif dan produktif.
Masalah lain ialah krisis rumah tangga yang dihadapi remaja sekolah dan pengaruh negatif rakan sebaya. Kemajuan sains dan teknologi sekarang begitu canggih, dengan adanya internet, televisyen satelit serta lebuh raya maklumat, kanak-kanak dan remaja mudah terdedah kepada pelbagai maklumat dan perhubungan berunsur positif atau negatif. Maklumat dan perhubungan negatif boleh mempengaruhi serta membawa kepada keruntuhan moral di kalangan remaja. Oleh demikian, remaja perlulah sentiasa berwaspada dan berusaha mempertingkatkan ketahanan diri seterusnya mengetepikan budaya negatif daripada mempengaruhi mereka. Pelajar jangan sekali-kali terbabit dengan apa juga perlakuan jenayah. Pelajar hendaklah sedar bahawa kesan dan implikasi perlakuan jenayah boleh menjejaskan masa depan mereka.
Pada usia remaja, remaja lebih rapat dengan rakan-rakan sebaya. Sikap pembawaan dan penampilan rakan sebaya banyak mempengaruhi tingkah laku seseorang remaja. Sering kali seseorang remaja terpaksa melakukan perbuatan tidak sihat seperti merokok untuk membolehkan ia diterima sebagai ahli kumpulan rakan sebayanya itu. Pelajar harus lebih berhati-hati memilih rakan. Jangan tersalah pilih rakan yang kelak menjerumuskan diri kepada jenayah. Rakan yang baik akan membantu anda menjadi insan baik dan berguna. Janganlah bersahabat dengan rakan yang seperti kata pepatah ‘sokong membawa rebah’. Pelajar juga perlu memainkan peranan berkesan membantu polis mencegah jenayah. Caranya tidak sukar, iaitu tidak terbabit dan tidak melakukan jenayah. Pelajar boleh bertindak mengawasi anasir dari luar dan rakan sekolah yang cuba melakukan perbuatan jenayah, membuli rakan, penyalahgunaan dadah dan salah laku jenayah.
Pelajar adalah aset berharga kepada negara kerana mereka jugalah yang akan menentukan corak kehidupan kepemimpinan pada masa depan. Pelajar harus sedar di samping belajar dan mencapai kecemerlangan dalam pelajaran, mereka juga perlu bertanggungjawab kepada diri sendiri, ibu bapa, sekolah, masyarakat, negara dan seterusnya kepada harta benda awam. Kerajaan dan organisasi bukan kerajaan serta masyarakat secara keseluruhannya perlu mewujudkan suatu program pemupukan nilai murni untuk negara bagi mempromosikan kesedaran terhadap nilai kemanusiaan dan murni dalam masyarakat kita. Demi untuk masa depan generasi akan datang, rakyat Malaysia mesti mendukung nilai murni dengan teguh dan padu serta tidak meneladani budaya barat secara membuta tuli. Institusi kekeluargaan dan nilai murni perlu dipelihara dan dipupuk supaya dapat digunakan sebagai pendekatan berkesan menangani pelbagai masalah sosial yang mengancam masyarakat kini.
Apabila sekolah dibelenggu oleh peningkatan kadar kejadian melanggar disiplin, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memberikan lebih perhatian terhadap pentingnya kita kembali kepada prinsip asal mengenai amalan nilai murni dan kemanusiaan. Kita perlu mendidik anak dan memastikan supaya mereka menghargai nilai murni seperti sifat persefahaman, hormat-menghormati antara satu sama lain, kepatuhan kepada undang-undang, keyakinan diri dan sifat keterbukaan terhadap perbezaan agama, kepercayaan, adat dan budaya. Pelajar perlu membuat pilihan betul dalam hidup untuk menghindari daripada terjerumus ke kancah jenayah seperti dadah, lumba haram, pergaulan bebas dan jenayah. Pilihan hari ini akan menentukan hala tuju kita esok. Jika kita membuat pilihan yang baik, hasilnya baik dan produktif, tetapi apabila kita salah membuat pilihan, kemungkinan yang berlaku mungkin amat buruk sehingga merosakkan diri sendiri dan masa depan kita.
Tidak ada satu manusia di muka bumi ini yang bercita-cita menjadi penjenayah, malah semua bercita-cita ingin menjadi seseorang yang berguna kepada dirinya dan masyarakat. Namun, apabila kita tersalah pilih dalam perjalanan hidup kita, akibatnya amatlah buruk seperti menjadi penjenayah kerana mencari jalan mudah untuk hidup tanpa menghiraukan undang-undang dan peraturan. Pilihan menagih dadah akan merosakkan minda dan kesihatan badan yang akan mendedahkan kita kepada gejala penyakit seperti AIDS. Pilihan salah dalam hidup boleh mengakibatkan masa depan menjadi kelam dan kabur. Kita akan disisih masyarakat dan keluarga akibat salah pilih. Apabila kita salah pilih kita akan dicap sebagai sampah masyarakat dan perosak bangsa dan negara. Kita perlu memilih kecemerlangan dalam semua bidang yang di ceburi seperti bidang sukan, kerjaya dan kemasyarakatan. Kita hendaklah pilih perkara yang membawa kebaikan kepada diri kita, keluarga dan negara.
Oleh Lee lam Thye
Naib Pengerusi
Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia.
Berita Harian
08 November 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan