03 Mac 2017

PERTANDINGAN DEBAT GURU DAN DEBAT KOMUNITI TAHUN 2008


Debat Guru 2008
Cikgu Giyong dan Cikgu Zambri Zainal
Wakil Bahagian Sibu

Pada tahun bulan Mac 2008, saya terpilih mewakili Bahagian Sibu untuk mewakili Jabatan Pendidikan Sibu dalam Debat Guru. Pasukan saya terdiri daripada Cikgu Zambri Bin Zainal (SMK Sacred Heart) dan Cikgu Giyong (SMK Bawang Asan). Kemi berjaya melepasi pusingan ketiga dalam pertandingan yang menghimpunkan semua guru yang mahir bebahas di Sarawak. Pertandingan itu berlangsung selama 4 hari di Eastwood Valley Golf & Country Club, Miri. 


Debat Komuniti 2008
Saya pendebat ketiga pasukan pencadang

Pada bulan Ogos pula, saya terpilih sekali lagi mewakili Bahagian Sibu dalam Debat Komuniti anjuran Jabatan Penerangan Malaysia. Saya terpilih mewakili Negeri Sarawak di peringkat kebangsaan yang berlangsung di Kuala Pilah Negeri Sembilan. 




Debat Komuniti Kebangsaan 2008


Saya mewakili Sarawak bersama dua peserta dari Limbang

CATATAN CIKGU ZUL : SESAYUP MATA MEMANDANG, LUAHAN RINDU BUAT PANITIA BAHASA MELAYU DI SMK SACRED HEART


Bersama Chia Wee Lung, Pemidato SMK Sacred Heart yang saya latih.
Pelajar yang pendiam dan amat berdisiplin. Kini, menjadi seorang guru. 
Gambar ini semasa saya masih mengalami masalah obesiti


Selepas 7 bulan  berhijrah ke stesen baharu, ingatan saya terhadap rakan-rakan guru Bahasa Melayu di SMK Sacred Heart masih segar seperti dahulu. Hati dan jiwa saya masih mengingati setiap detik-detik indah sewaktu kami masih bersama sebagai sebuah keluarga besar yang sentiasa mesra dan tidak pernah jemu bekerjasama. Walaupun kami berlainan bangsa, kepercayaan dan agama tetapi jalinan ikatan silaturrahim antara kami amat kukuh tanpa dibayangi oleh rasa curiga yang boleh membunuh impian dan cita-cita kami untuk menaikkan imej Panitia Bahasa Melayu. Jambatan kerjasama yang menghubungkan hati suci kami tidak pernah rapuh biarpun beban yang ditanggung amat berat tetapi kami sama-sama memikulnya tanpa keluhan dan rintihan kesakitan. Saat duka kami menangis bersama. Saat gembira kami ketawa bersama. Seorang hilang semua merindu. Seorang pergi semua menunggu. Rapatnya kami bagai isi dengan kuku. Hari-hari yang kami lalui merupakan hari-hari yang indah kerana kerjasama berpasukan yang kami amalkan sudah sebati di nurani kami.

Bahasa Melayu merupakan subjek yang sentiasa mendapat perhatian di sekolah kami jika dibandingkan dengan subjek-subjek yang lain. Jika di sekolah lain, orang sibuk meningkatkan prestasi dalam subjek Matematik, Sains, Perakaunan, dan sebagainya, di sekolah kami subjek Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris menjadi keutamaan. Pelajar-pelajar sekolah kami lemah dalam subjek ini. Di sekolah kami, pelajar paling lemah pun akan mendapat A+ dalam subjek Matematik tetapi tidak dalam subjek Bahasa Melayu. Mereka inilah yang perlu kami jaga bagai menatang minyak yang penuh. Kami tidak mahu guru subjek lain akan bersedih kerana mereka gagal subjek Bahasa Melayu. Pelajar-pelajar ini kami kumpulkan kepada 4 kelompok utama.

Kelompok 1 : Pelajar cemerlang (70 - 100 markah)
Kelompok 2 : Pelajar Sederhana (50 - 69 markah)
Kelompok 3 : Pelajar lemah (25 - 49 markah)
Kelompok 4 : Pelajar potensi gagal (0 - 24 markah)

Pelajar yang berada dalam kelompok 4 ini kami akan pastikan bilangan mereka tidak akan melebihi 15 orang untuk memastikan peratusan sekolah tidak jatuh daripada 90% dalam peperiksaan awam. Pelajar dalam kelompok 1 pula akan kami bantu untuk mendapatkan Gred A dan A+. Kelompok 2 dan 3 tidak pernah kami anaktirikan, mereka sentiasa diberikan galakkan untuk melonjak masuk ke kelompok 1. Semakin banyak pelajar dalam kelompok 1 semakin lebarlah senyuman kami. Senyuman yang tidak kami tontonkan kepada umum. Kami hanya akan tersenyum sebaik sahaja keputusan peperiksaan diumumkan. 

TUHAN TIDAK AKAN BIARKAN KAMI MENANGIS

Akan tetapi, apabila keputusan peperiksaan awam diumumkan Panitia Bahasa Melayu SMK Sacred Heart tidak pernah menghampakan. Hasil usaha yang padu dan jitu yang kami jalinkan tanpa mengira pangkat dan kedudukan sentiasa membuahkan hasil yang membanggakan. Akan tetapi, segala yang indah hanyalah sementara. Kini, seorang demi seorang kami pergi meninggalkan sekolah itu untuk memulakan hidup baru di sekolah lain. Sesekali teringat, ingin rasanya kaki melangkah masuk semula tetapi apakan daya segala percaturan ini sudah ditentukan oleh-Nya. Hanya doa-doa sahaja yang mampu dikirimkan kepada rakan-rakan yang masih tinggal untuk teruskan perjuangan. Saya percaya, asas fundamental yang terbina sudah terlalu kukuh. Siapa-siapa pun yang tinggal dan siapa-siapa pun yang melangkah pergi Panita Bahasa Melayu SMK Sacred Heart tetap unggul di persada jaya. Jika jatuh, jatuhnya tidaklah di bawah sekali. Jika luka, lukanya tidaklah sampai bernanah. Jika tersadung kaki, tidaklah sampai mencederakan diri sendiri. Mereka sudah lali dengan pelbagai ujian demi ujian yang didepani.

KETUA PANITIA BAHASA MELAYU

Sepanjang berkhidmat di SMK Sacred Heart saya pernah memegang jawatan ini selama beberapa tahun. Saya mengambil alih jawatan ini daripada seorang guru yang amat rajin dan komited iaitu Cikgu Nurul Huda Binti Abdul Wahid. Sekarang beliau mengajar Bahasa Melayu Tingkatan Enam di Negeri Sembilan. Beliau banyak memainkan peranan menyatukan kami. Senyuman manis beliau sentiasa menceriakan hari-hari kami yang indah. Terima kasih Cikgu Nurul Huda!

Walaupun saya merupakan ketua panitia, rakan-rakan guru Bahasa Melayu sentiasa memberikan sokongan dan tunjuk ajar tentang banyak perkara. Saya masih ingat bagaimana kami bersusah payah melatih pelajar dalam pelbagai aktiviti sokongan kokurikulum untuk menaikkan imej Panita Bahasa Melayu. Saya sendiri memegang tanggungjawab sebagai guru yang melatih pelajar dalam Pertandingan Pidato Piala Diraja. Saya latih seorang pelajar pintar bernama Chia Wei Lung, yang merupakan kacukan Cina dan Iban untuk berpidato. Setiap hari saya luangkan masa 1 hingga 2 jam untuk mengajar dia cara-cara menyampaikan pidato dengan betul dan berkesan. Saya habiskan masa berhari-hari untuk membina teks pidato menggunakan bahasa yang indah-indah dan bombastik. Hasilnya, Chia Wei Lung berjaya menjuarai pertandingan Pidato Piala Diraja sepanjang dua tahun berturut-turut di Bahagian Sibu dan negeri Sarawak. Saya sendiri pula diberikan penghargaan dalam Hari Ucapan untuk menerima anugerah Guru Paling Aktif Kokurikulum. Kini, Chia Wei Lung telah menjadi seorang guru dan saya berdoa agar dia jadi seorang guru yang baik dan berwawasan tinggi.


SMK Sacred Heart pernah menggegarkan Daerah Sibu sebagai sebuah sekolah lelaki yang sentiasa beraksi di pentas akhir Pesta Pantun Sekolah Menengah di Bahagian Sibu. Kejayaan ini disebabkan komitmen tinggi Cikgu Zamri bin Zainal yang berasal dari negeri Sembilan. Sikap rajin beliau amat saya kagumi. Beliau tidak pernah jemu melatih pelajar-pelajar beliau dalam berpantun. Sokongan padu daripada pihak sekolah menjadikan kami bertambah bersemangat untuk sama-sama melatih pelajar dalam pertandingan Pesta Pantun. Walau bagaimanapun, pada tahun 2014, Cikgu Zamri telah meninggalkan kami untuk menjawat jawatan baharu sebagai SISC + di Miri sehingga kini. Pemergian beliau ke Miri kami iringi dengan tangisan.

Sebelum saya, Bidang Bahasa diterajui oleh, Cikgu Freddie Anak Benang. Beliau banyak membantu kami dalam mendisiplinkan pelajar-pelajar agar berminat belajar subjek Bahasa Melayu. Cikgu Freddie merupakan seorang guru disiplin yang amat komited dan dihormati oleh semua pelajar. Jadi, kami meletakkan beliau mengajar subjek Bahasa Melayu di kelas-kelas yang agak mencabar kerana pelajar-pelajar amat takut dengan beliau. Kebanyakan pelajar-pelajar nakal amat menghormati beliau dan sebab itulah peratusan lulus subjek Bahasa Melayu sekolah kami dalam SPM amat baik disebabkan beliau. Saya masih ingat, semasa mesyuarat Panitia Bahasa Melayu, apabila kami umumkan hanya 5 orang sahaja pelajar boleh gagal di kelas beliau, jarang sangat kedengaran runggutan tetapi suara keyakinan yang beliau lontarkan menjadikan kami semakin bersemangat untuk bekerja. Pada tahun 2014, Cikgu Freddie pun pergi meninggalkan kami untuk menjawat jawatan SISC+ di Bintulu. Kami bagaikan patah sayap perjuangan. Panitia Bahasa Melayu bagaikan berkabung seketika. Kini, Cikgu Freddie menjadi Penyelia Petang di SMK Bintulu. Sekolah besar yang ramai pelajar seperti SMK Sibu Jaya. Sesekali kami berjumpa semasa cuti sekolah, ingatan terhadap rakan-rakan yang masih di SMK Sacred Heart sentiasa meniti di bibir kami.

"Sebelum pemergian saya, kami telah kehilangan seorang guru Bahasa Melayu yang saya gelar sebagai "Perempuan Iban Terakhir", Puan Susan Anak Bala yang berpindah ke SMK Bandar Sibu. Beliau merupakan guru yang amat kami sayangi kerana sifat keibuan dan kelembutannya yang menawan hati. Pelajar-pelajar amat menyayangi beliau"

Kami juga cemerlang dalam Pertandingan Bahasa Ala Parlimen. Kumpulan ini diterajui oleh Guru Cemerlang Bahasa Melayu, Puan Norleza Hossen dan Puan Lai Ai Ngiik bersama-sama Cikgu Kong Mee Ling dan Puan Susan Anak Bala. Kami beraksi di pentas akhir selama beberapa kali dalam Pertandingan Bahasa Ala Parlimen. Kerjasama kami amat baik. Kesibukan yang kami lalui tidak pernah merenggangkan hubungan kami malah kami menjadi semakin rapat seperti adik beradik. Kami tidak pernah cemburu dengan kejayaan sesama sendiri. Yang lama sentiasa membimbing yang baharu. Yang baharu pula tidak pernah jemu belajar dan belajar untuk menjadi guru Bahasa Melayu yang baik. Dalam panitia kami terdapat beberapa orang guru cemerlang Bahasa Melayu iaitu, Cikgu Freddie Anak Benang, Puan Norleza Hossen, Puan Lai Ai Ngiik, dan saya sendiri. Semua ini terhasil disebabkan komitmen jitu dan sokongan padu daripada semua ahli panitia dan pihak sekolah. Saya masih ingat, permohonan pertama saya menjadi guru cemerlang pada tahun 2010, semua guru Panitia Bahasa Melayu menghulurkan bantuan bagi memastikan saya berjaya. Kemudian, pada tahun 2012, saya sekali lagi memohon Guru Cemerlang Gred DG48, sokongan mereka tidak pernah menghampakan. Saya amat terharu mempunyai rakan-rakan sekerja seperti mereka.


“Semasa SMK Sacred Heart diumumkan sebagai sekolah terbaik dalam STPM 2016 kategori sekolah Bandar, saya amat gembira walaupun saya sudah tidak berada bersama-sama mereka kerana aura perjuangan bersama mereka masih kukuh di sanubari saya sehingga ke hari ini”

KETUA BIDANG BAHASA

Orang selalu keliru antara saya, Cikgu Freddie dan Cikgu Frankie. Kami bertiga merupakan kawan baik dan sentiasa bersama-sama di mana-mana sahaja. Orang selalu tersilap memanggil nama kami. Apabila mengenangkan hal ini, saya tersenyum sendirian. Kini, mereka tidak akan silap lagi. Yang tinggal di situ hanya Cikgu Frankie. Saya dan Cikgu Freddie sudah mengucapkan "hai-hai, bey-bey uolss"

Selepas Cikgu Freddie meletakkan jawatan daripada Ketua Bidang Bahasa pada tahun 2009 kerana menjawat jawatan Guru Cemerlang tanggungjawab itu diberikan kepada saya. Peranan saya sebagai Ketua Panitia Bahasa Melayu pula diambil alih oleh Puan Norleza, Puan Susan Anak Bala dan Cik Wong Leh Ping. Kami tetap bekerja dalam suasana yang amat harmoni. Saya masih ingat pada tahun 2012, keputusan PMR Bahasa Melayu sekolah kami mencatat keputusan 98% sehingga menjadi perbualan di seluruh negeri. Kami juga mencatat peratusan yang tidak pernah kurang daripada 90% dalam SPM. Dalam peperiksaan STPM, tidak perlu saya ceritakan kerana STPM merupakan kebitaraan sekolah kami, dan keputusan subjek Bahasa Melayu memang yang terbaik. Tahun-tahun berikutnya kami sentiasa fokus kepada prestasi akademik pelajar. Kami tidak pernah jemu mengadakan kelas tambahan dan Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) untuk guru-guru bahasa Melayu. Saya sendiri sentiasa berkongsi strategi pengajaran bahasa Melayu yang terbaik dengan rakan-rakan pada setiap hari Sabtu.Kami saling membimbing antara satu sama lain. Sedikitpun kami tiada perasaan iri terhadap salah seorang antara kami yang berjaya. Bagi kami, sebuah keluarga yang bahagia memerlukan insan yang berfikiran terbuka. Terbuka kepada kritikan dan teguran membina daripada rakan sejawat.

"Saya akui bahawa saya bukan merupakan seorang Ketua Panitia dan Ketua Bidang yang baik buat anda semua tetapi saya dengan jujur mengakui bahawa saya amat bertuah kerana dapat bekerjasama dengan anda semua. Anda semua mungkin boleh mencari sejuta manusia yang hina seperti saya tetapi saya akui untuk menjumpai guru yang komited dan berwawasan seperti anda semua, amat mustahil bagi saya kerana guru seperti guru-guru Bahasa Melayu SMK Sacred Heart hanya satu dalam sejuta"

INOVASI, PENYELIDIKAN DAN KAJIAN TINDAKAN

Semangat kerja berpasukan yang kami bina dalam Panitia Bahasa Melayu menjadi lebih kuat apabila kami sentiasa menghantar penyertaan dalam Pertandingan Anugerah Guru Inovatif semasa perayaan hari guru. Kami memenangi pertandingan tersebut selama beberapa kali. Yang uniknya, kami jarang menghantar penyertaan secara individu. Kami hantar secara berkumpulan kerana kami mahu naikkan imej Panitia Bahasa Melayu sekolah kami. Begitu juga dalam kajian tindakan dan penyelidikan, kami lakukannya secara berkumpulan dengan berfokuskan kepada teknik-teknik mengajar subjek Bahasa Melayu yang kami implementasikan sendiri di sekolah kami. Apabila membuat pembentangan kami naik pentas dan melakukannya bersama-sama. Semasa mengambil hadiah memenangi pertandingan inovasi kami naik ke pentas bersama-sama. Waktu itu amat indah dan manis bagi kami. Setiap waktu yang berlalu kami nikmati bersama-sama tanpa rasa jemu. Duduk di kantin bersama-sama, sambil menikmati hidangan sarapan pagi kami berbincang tentang TOV, ETR, CGPA dan sebagainya yang berkaitan dengan tugas-tugas kami. Tugas yang berat menjadi ringan apabila kami bahagikan secara sama rata. Anda percaya atau tidak, guru Bahasa Melayu di sekolah kami harus tahu mengajar semua tingkatan, dari tingkatan peralihan hingga ke tingkatan enam! Kenapa? Tepuk dada tanya selera. Semakin banyak yang kita tahu, semakin banyak yang boleh kita sumbangkan, semakin banyak yang boleh kita bantu. Itulah kerjasama tulen dalam sesebuah panitia.

SESAYUP MATA MEMANDANG

Khidmat terakhir saya di SMK Sacred Heart sebagai Guru Bahasa Melayu Tingkatan Enam sentiasa terpahat kukuh di takhta ingatan. Buat tiga orang rakan yang masih tinggal di sana, Cikgu Franky Anak Dana, Cikgu Ting Tiu Sing, dan Cikgu Tiong Tuang Ching, yang terbaik itu akan terus mengiringi perjuangan anda bertiga. Tiada yang mustahil. Hilang satu kaki bukan bermaknanya akan cacat seumur hidup. Kita masih boleh melangkah dengan lebih laju daripada mereka yang memiliki dua kaki. Ingatlah cerita kura-kura dengan arnab.  Apabila duduk bersendirian, saya selalu teringatkan masa-masa indah sewaktu kita bersama. Sesekali terlintas sesal di minda kerana tergamak memutuskan ikatan silaturrahim di dunia nyata dengan anda semua yang masih setia kekal di sana, tetapi saya sedar tiada yang akan kekal dalam hidup ini. Hidup harus saya teruskan dengan harapan baharu, tugas baharu, jawatan baharu, dan cabaran baharu di sekolah baharu.


Saya yakin, Tuhan sentiasa merahmati perjalanan hidup saya dan anda semua. Jauh di mata, bukan bermakna kita tidak boleh bekerjasama. Jika diperlu, saya masih sudi membantu kerana terciptanya diri saya merupakan hasil daripada pengalaman yang dikutip semasa 19 tahun lima bulan berada di SMK Sacred Heart. Suatu jangka masa yang bukan singkat bagi seorang guru yang serba kekurangan dan sentiasa belajar dan akan terus belajar seperti saya. Terima kasih atas sokongan. Terima kasih atas kepercayaan. Terima kasih atas segala-galanya. Semuanya tidak mampu saya balas. Sesayup mata memandang, hati saya masih lagi sayang. Saya tidak pernah menyesal menjadi sebahagian daripada ahli keluarga Panitia Bahasa Melayu SMK Sacred Heart. Semoga Allah terus merahmati usaha murni kalian yang masih setia menabur bakti di alma meter tersohor itu. Teruskan “Berdoa dan Berusaha”. Tahniah, tahniah, tahniah!


Di mana pun badan tersadai, nama SMK Sacred Heart tetap melekat di selaput halus minda bestari. Saya bina kerjaya sebagai guru bahasa Melayu di sekolah itu sehingga diberikan kepercayaan oleh pelbagai pihak untuk terlibat dalam beberapa perkara penting di peringkat kebangsaan. Sejarah saya bermula dari sekolah itu. Saya bina impian dengan bertatih sampai luka akibat tersungkur, belum sempat membasahi pipi, air mata kering sendiri, semuanya berlaku di sekolah itu. Tempoh 19 tahun 5 bulan di situ mengajar saya tentang banyak perkara yang akan terpahat di ingatan untuk selama-lamanya. SMK Sacred Heart, 
Syurga yang kurindukan!






Catatan Pendidik Bangsa
Cikgu Zulkarnain Farihin
SMK Sibu Jaya
Sibu Sarawak

01 Mac 2017

CATATAN CIKGU ZUL : NAKAL MASA DI SEKOLAH, TUA MENYESAL TAK SUDAH


Ceramah Bahasa Melayu STPM Penggal 3
SMK Bintulu - Semua sekola di Daerah Bintulu, September 2016

Sifat nakal wujud pada setiap manusia ciptaan Tuhan Yang Maha Esa. Saya mengkategorikan sifat nakal ini kepada dua, iaitu nakal positif dan nakal negatif. Nakal positif merupakan satu sifat yang digalakkan kerana boleh membawa kemaslahatan kepada seseorang individu. Nakal negatif pula sifatnya amat berlawanan dengan kelaziman yang diinginkan. Orang yang mempunyai sifat nakal negatif biasanya boleh membawa keburukan kepada dirinya atau orang lain. Sifat nakal negatif ini akan membawa pelbagai impak yang menyusahkan diri dan keluarga. Orang yang mempunyai sifat yang sebegini akan melakukan pelbagai perkara yang boleh mendatangkan pelbagai keburukan baik kepada dirinya mahupun orang lain. Sebagai contohnya, pelajar yang mempunyai sifat nakal negatif ini suka berbuat bising semasa guru mengajar. Dia akan menyampuk dengan menyebut perkara yang bukan-bukan  sewaktu guru mengajar atau menyoal. Bagi dia itu kepuasan namun sebenarnya sifatnya itu melambangkan betapa rendahnya akhlak dirinya sendiri. Pelajar yang bersifat sebegini langsung tidak membawa kemasalahatan kepada dirinya sendiri. Yang dia tahu ialah menganggu orang sehingga mengakibatkan dirinya dimarahi atau dihukum oleh guru.

“Ketika orang lain hidup senang di hari tua, awak masih terkurung di sangkar derita. Bergelut dengan kemiskinan dan kemelaratan. Serba ketiadaan dan kekurangan. Semuanya sebab awak nakal semasa zaman sekolah”

KURANG AKAL ATAU KURANG AJAR

Saya tidak pernah mengatakan golongan pelajar nakal ini sebagai orang yang kurang ajar kerana saya berpendapat tidak ada ibu bapa di dunia ini yang merelai anak-anak kesayangan mereka berkelakuan sebegitu. Semua ibu bapa mengimpikan anak-anak yang mereka lahirkan membesar sebagai manusia yang sempurna dan bijaksana, bukannya menjadi sampah masyarakat. Saya juga berpendapat semua ibu bapa memang menasihati anak-anak mereka supaya jangan nakal, jangan lakukan keganasan di sekolah atau jangan berkawan dengan budak-budak nakal di sekolah. Walau bagaimanapun, anak bertuah ini akan bertukar watak apabila mereka berada di sekolah. Mereka akan bergaduh, ponteng kelas, ponteng aktiviti kokurikulum, mencuri barang orang lain, membuli, dan sebagainya perbuatan yang menyalahi undang-undang. Kadang-kadang pelajar nakal ini sengaja mencari kesalahan orang lain untuk dia melepaskan geramnya. Misalnya, sewaktu berjalan, tiba-tiba ada seorang pelajar terpijak kasutnya menyebabkan dia hampir-hampir terjatuh. Perkara yang sepatutnya boleh diselesaikan dengan cara bermaaf-maafan boleh menyebabkan semua warga sekolah berkerumun untuk melihat aksi pergaduhan antara dia dengan pelajar yang terpijak kakinya tadi. Perbuatan ini bukanlah perbuatan yang dilakukan oleh orang yang kurang ajar?


Saya sifatkan golongan pelajar nakal sebegini sebagai kurang akal. Oleh itu, apabila saya berhadapan dengan golongan ini saya banyak mengunakan andaian-andaian yang mungkin berlaku akibat daripada sifat mereka yang kurang akal itu. Andaian-andaian itu hanyalah untuk menimbulkan kesedaran dalam diri mereka. Pelajar nakal yang kurang akal ini tidak pernah berfikir panjang. Mereka tidak memikirkan kesan tindakan mereka kepada orang lain. Mereka tidak kasih kepada ibu, ayah, adik beradik, guru dan semua orang yang mereka kenali. Yang mereka tahu ialah melakukan perkara-perkara salah demi kepuasan diri mereka sendiri. Apabila masalah timbul mereka pun akan menyelesaikannya tanpa menggunakan akal yang rasional. Terdapat beberapa kes yang melibatkan pelajar kurang akal ini, misalnya jika ada krisis dengan pelajar lain di dalam kelas, dia akan selesaikan di luar kelas dengan membawa geng-geng dia membelasah pelajar tersebut. Geng-geng dia yang kurang akal seperti dia pun ikut perbuatan jahatnya itu. Mereka melakukan semua ini hanya untuk kepuasan atau menunjukkan kuasa kumpulan mereka ke atas pelajar tersebut.

Minda mereka tidak pernah memikirkan nasib diri sendiri. Bayangkan jika pelajar yang dibelasah itu menghadapi kecederaan yang serius atau tindakan mereka boleh menyebabkan kehilangan nyawa atau kecacatan seumur hidup. Siapakah yang akan menanggung akibatnya? Bayangkan jika ibu bapa pelajar yang dibelasah itu mengambil tindakan untuk menyaman? Siapakah akan dikenakan saman? Siapakah pula yang akan dimasukkan ke dalam penjara jika gagal membayar saman? Bayangkan jika kes itu tersebar dengan meluas di media massa? Siapakah yang terpaksa menanggung malu? Siapakah yang kehilangan maruah dan harga diri? Akibat daripada mereka yang kurang akal, semua pihak terkena tempiasnya. Ibu bapa, guru-guru, pihak sekolah, pihak polis, dan pelbagai lagi pihak terpaksa meluangkan masa bagi menyelesaikan kes pelajar kurang akal ini. Mereka mungkin berjaya melepaskan kemarahan kepada si mangsa tetapi mereka tidak akan berjaya untuk melepaskan diri daripada tindakan disiplin ataupun tindakan undang-undang. Situasi sebegini amat mudah untuk difahami, hari ini awak musnahkan orang lain, esok hari awak pula yang akan kena. Tuhan bayar cash setiap kesalahan kita itu.

‘BUNUH’ MASA DEPAN SENDIRI

Pintu rezeki, pintu kejayaan, dan pintu masa depan pelajar nakal yang kurang akal ini pasti akan tertutup. Sifat nakal akan menjadikan mereka lupa akan tanggungjawab sebagai seorang pelajar. Mereka tidak memberikan tumpuan terhadap proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Mereka tidak menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru. Kerja rumah terbengkalai. Datang ke sekolah Cuma berlenggang membawa tubuh dan otak kosong mereka sahaja. Bagi mereka, dengan berkelakuan sebegitu, merekalah hero atau heroin. Mereka tidak tahu yang mereka itulah pelajar yang paling malang di dunia. Semua manusia dikurniakan akal dan berikan peluang untuk mendapatkan ilmu di sekolah demi masa depan yang cerah. Akan tetapi, pelajar nakal ini sanggup membunuh ruang dan peluang diri mereka sendiri. Hal ini dikatakan demikian kerana golongan ini merupakan golongan yang sudah menempah sijil kegagalan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ataupun Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Mereka bukan sahaja gagal malahan tidak layak mendapat sijil. Kejayaan mereka memusnahkan masa depan diri mereka sendiri ini secara tidak langsung menjadi tiket untuk mereka menjadi warganegara yang tidak berguna. Mereka tidak akan berubah sampai bila-bila kerana sikap tidak berdisiplin itu sudah sebati dengan meresap ke seluruh jiwa raga mereka.


Pelajar nakal yang kurang akal ini kebanyakannya tidak ada impian dan cita-cita. Mereka hanya akan hidup dalam penyesalan yang tidak berkesudahan. Segelintir daripada golongan ini akan menyusahkan ibu bapa hingga ke tua kerana tiada pekerjaan atau menjadi bangkai bernyawa (akibat dadah). Sedih sungguh sedih, jika kita mempunyai anak sebegini. Kelahiran mereka ke dunia bukannya membawa kesenangan tetapi membawa kemudaratan kepada kita. Kawan-kawan yang seusia dengan kita hidup dilimpahi kemewahan dan kesenangan kerana berjaya dalam persekolahan. Mereka mempunyai kereta besar, rumah besar, gaji tinggi dan berpangkat. Kita apa yang ada? Nak beli beras untuk bagi makan anak isteri pun kena mengemis daripada ibu bapa. Hidup dalam kemiskinan. Kemiskinan yang diinginkan oleh kita sendiri Kita tiada pekerjaan tetap. Segalanya amat sukar bagi kita. Siapakah yang perlu dipersalahkan? Jika kita salahkan hujan kemiskinan yang turun pada pukul 6:00 pagi membanjiri tempat tidur kita yang bocor, kita robohkan rumah pun, hujan itu tetap akan turun juga. Jika kita salahkan ribut yang bertiup sehingga menumbangkan pokok di hadapan rumah kita, ribut itu tetap akan bertiup juga kerana ribut tidak mengenali siapa kawan, siapa lawan. Yang perlu disalahkan ialah diri kita sendiri. Namun begitu, waktu yang berlalu tetap akan berlalu, kita yang tertinggal akan terus tertinggal. Tertinggal sampai bila-bila.

ADA MASA UNTUK BERUBAH

Tuhan itu Maha Kaya. Pintu untuk berubah sentiasa terbuka luas untuk kita. Walau bagaimanapun, kita tidak dapat mengulang kembali alam persekolahan yang telah kita lalui dahulu. Alam persekolahan hanya sekali. Setiap peringkat alam persekolahan itu cuma setahun sahaja. Kita sendiri pun tidak tergamak untuk mendaftar masuk darjah satu dengan anak kita sendiri. Oleh sebab itu, saya merayu semua pelajar yang masih di bangku sekolah. Jangan nakal. Jika nakal, jadilah orang yang nakal tetapi berakal dan pintar. Jangan jadi nakal tetapi kurang akal dan kurang pintar. Ingatlah, masa depan kita hanya kita sahaja yang boleh menentukan haluannya. Sebelum melakukan sesuatu berfikirlah dengan bijaksana. Ambil cermin, berdiri tegak di hadapan cermin, tengok diri kita sendiri. Tanya diri kita, apakah yang kita mahu dalam hidup ini? Orang yang sedar pada dirinya sendiri tidak akan tergamak melakukan kenakalan yang boleh mengundang kegagalan kepada dirinya sewaktu berada di sekolah. Mereka akan menggunakan kenakalan itu untuk mewakili sekolah menaikkan imej sekolah dan imej diri mereka. Mereka akan aktif dalam bidang kokurikulum. Mereka akan menjadi juara dalam pelbagai kejohanan yang disertai. Mereka akan menjadi pemidato dan pembahas yang disegani. Mereka tidak ada masa untuk melepak, ponteng sekolah, dan berfoya-foya. Mereka sedar perbuatan itu hanya akan merugikan diri mereka sendiri. Gunakan kenakalan itu untuk memahat nama di puncak kejayaan sebagai Pelajar Terbaik Malaysia dalam PT3, SPM, dan STPM. Gunakan kenakalan itu untuk memahat nama sebagai Pelajar Tebaik Malaysia yang menjadi olahragawan atau olahragawati dalam sukan SUKMA dan seterusnya mewakili Malaysia dalam Sukan Olimpik seperti Pandela Rinong! Kenapa dia boleh, kenapa awak tak boleh? Awak tak boleh sebab awak yang membuat awak tak boleh!

Catatan Pendidik Bangsa
Cikgu Zulkarnain Farihin
SMK Sibu Jaya
Sibu Sarawak

27 Februari 2017

CATATAN CIKGU ZUL : FOTOKOPI, BUAT MEMANG MUDAH,TANGGUNG DOSA ITU PAYAH


Jurulatih Utama Bahasa Melayu BM STPM Malaysia

Fotokopi merupakan proses membuat salinan foto, bahan-bahan bertulis atau kerja-kerja grafik dengan menggunakan mesin zeroks. Sejarah fotokopi ini bermula sejak sekian lama di dunia ini. Senario fotokopi ini memang meluas terutama di sekolah, kolej, dan universiti. Buku-buku rujukan ilmiah telah difotokopi dalam puluhan naskah untuk kegunaan para pelajar. Alasannya, fotokopi ini lebih mudah, murah, dan menjimatkan masa. Bayangkan buku yang setebal 200 halaman, yang dijual dengan harga RM30.00, setelah difotokopi kosnya tidak sampai RM10.00. Ini amat menguntungkan. Bagi mereka yang berniaga, mereka hanya memerlukan sebuah buku yang orginal dan membuat salinan fotokopi sehingga 100 salinan. Jika setiap salinan fotokopi itu dia untuk RM3.00 maka bagi sebuah buku dia boleh mengaut untung sebanyak RM300.00. Fotokopi menguntungkan pelanggan dan peniaga. Alangkah bertuahnya hidup mereka. Mereka meraih untung atas susah payah dan pengorbanan orang lain. Orang lain berhuma, berpanas, dan berhujan manakala mereka cuma datang mengambil beras untuk dimasak dan dimakan tanpa mengucapkan "Terima Kasih". Mudah hai mudah. 

PENGALAMAN YANG MEMILUKAN

Saya pernah berhadapan dengan manusia yang suka melakukan fotokopi ini. Saya sendiri menjadi saksi kepada Modul Bahasa Melayu STPM yang saya tulis dan difotokopi oleh seorang guru untuk kegunaan pelajar-pelajarnya. Modul itu mengandungi 100 buah karangan yang saya tulis dengan memerah otak siang dan malam semata-mata untuk membantu para guru dan pelajar yang masih tercari-cari teknik menulis karangan STPM yang betul. Dengan segala pengalaman dan kepakaran yang dimiliki, saya berusaha membuat modul yang khusus untuk membantu mereka. Saya sebarkan modul itu untuk semua secara percuma tanpa mengenakan bayaran walau satu sen pun. Pada suatu hari, mungkin Tuhan hendak tunjukkan sesuatu yang salah berlaku di depan mata saya. Semasa singgah di sebuah kedai fotostat, saya melihat modul saya  itu sedang difotokopi oleh seorang pekerja manakala seorang lagi pekerja sedang membuat binding kepada beberapa modul yang telah siap di fotokopi. Saya yang pura-pura tidak mengetahui minta untuk membeli sebuah. Tauke kedai itu menyatakan bahawa harga modul itu ialah sebanyak RM15.00. Saya tanya, siapakah penulisnya? Tauke itu sebut penulisnya merupakan seorang guru yang tekenal dan pandai bahasa Melayu. Nasib baik bukan nama saya yang disebut tetapi nama guru lain yang saya kenal. Saya bukanlah guru pandai bahasa Melayu seperti guru itu. Betapa hancurnya hati kita apabila berhadapan dengan situasi seperti ini. Niat kita ikhlas untuk membantu tetapi orang yang dibantu pula sewenang-wenangnya mencari duit dengan bahan yang kita bagi. Dia tidak perlu bersusah payah menulis. Dia hanya perlu padamkan nama kita dan gantikan nama kita dengan nama dia tanpa rasa bersalah.


Jurulatih Utama Bahasa Melayu Malaysia - Wanita

Pada tahun 2013, saya dijemput untuk menyampaikan ceramah Bahasa Melayu STPM di sebuah sekolah. (Nama sekolah dan lokasi sekolah biarlah rahsia) Semasa saya menyampaikan ceramah saya amat terkejut apabila pelajar-pelajar yang berada di hadapan saya semua mengeluarkan buku yang difotokopi. Buku itu pula merupakan buku yang ditulis oleh saya dan rakan-rakan saya. Pelajar-pelajar ini, tanpa rasa bersalah merujuk buku-buku fotokopi itu apabila saya mengaitkan isi ceramah dengan perkara yang ada dalam buku itu. Saya mahu berhenti daripada memberikan ceramah tetapi disebabkan rasa minat untuk membantu dan menolong saya teruskan juga sehingga ke penghujung. Saya cuba bertenang dan memohon diri supaya tidak memarahi sesiapa pada masa itu. Mereka tidak pernah memikirkan tentang susah payah kami menulis buku. Kami membuat pelbagai rujukan dan mengeluarkan perbelanjaan yang banyak untuk mengadakan sesi panel dan membayar kos cetakan buku yang kami hasilkan. Niat kami menulis cuma untuk membantu para guru dan pelajar di seluruh Negara demi meningkatkan pencapaian mereka dalam peperiksaan STPM Penggal 1, 2, dan 3. Kami tidak mengimpikan keuntungan berjuta-juta. Cukuplah hanya keuntungan yang sedikit untuk membolehkan kami menerbitkan buku lain pula suatu masa nanti.

Terlalu banyak kisah sedih yang tersembunyi di sebalik keghairahan orang yang suka melakukan fotokopi. Saya gelarkan golongan ini sebagai perompak hak intelek orang lain tanpa sekelumit pun rasa bersalah dalam diri mereka. Mereka mencari kesenangan dan menjana keuntungan melalui hasil karya dan susah payah orang lain. Mereka tidak menghargai perasaan orang lain. Mereka hanya mementingkan diri sendiri. Yang penting bagi mereka ialah dapat duit untuk menyara hidup tanpa memperdulikan rezeki itu halal atau tidak. Sememangnya bagi golongan ini hidup amat mudah. Semudah memfotokopi! Beli sebuah buku, mereka mampu memfotokopi berpuluh-puluh buku, mereka pun boleh menjana keuntungan beribu-ribu.

DOSA TANGGUNG SENDIRI

Semua agama di dunia ini menekankan konsep halal dan haram bagi setiap rezeki yang kita peroleh saban hari. Orang yang melakukan fotokopi tanpa kebenaran daripada penulis buku atau modul yang sebenar, perbuatan itu adalah haram. Apatah lagi kalau orang tersebut tidak menghalalkan perbuatan yang tidak bertanggungjawab itu. Kita harus ingat hati mana yang tidak terluka, jiwa mana yang mampu bersabar, naluri mana yang sudi merelakan apabila melihat hasil titik peluh sendiri difotokopi tanpa memohon keizinan. Mereka mungkin tersenyum di hadapan kita kerana mereka merupakan golongan professional dan berakal. Akan tetapi, jauh di sudut hati mereka mungkin mendoakan agar perbuatan kita itu diberikan pembalasan yang sewajarnya. Walau bagaimanapun, saya tidaklah beranggapan semua penulis buku akan berlaku kejam sebegitu. Mereka tidak akan mendoakan yang buruk-buruk kepada pesalah fotokopi ini. Saya sendiri selalu memanjatkan doa kepada Allah Yang Maha Esa agar golongan yang suka melakukan fotokopi ini diberikan sinar keinsafan dan keampunan agar mereka tidak mengulangi perbuatan itu lagi. Saya tidak menyimpan dendam namun di sudut hati yang terluka saya amat berharap agar mereka sedar akan kesalahan diri kerana perbuatan fotokopi ini boleh menutup pintu hati untuk seseorang menulis lagi. Kenapakah kita perlu melakukan fotokopi jika kita tahu perbuatan itu merupakan satu dosa besar? Jika ditangkap mungkin kita boleh dikenakan tindakan mahkamah. Perbuatan yang salah memang salah dan hukuman akan dikenakan terhadap kita. Itu hukuman yang kita terima di dunia. Bagaimanakah dengan hukuman di akhirat pula? Adakah kita akan terlepas? Tepuk dada tanyalah selera. Perbuatan kita melakukan fotokopi tanpa kebenaran memang salah di sisi agama. Dalam agama kita tidak dibenarkan mengambil hak cipta orang lain tanpa kebenaran. Perkara yang salah, jika kita lakukan juga maka di akhirat nanti kita akan diadili atas setiap perbuatan yang kita lakukan itu.

"Kenapa apabila kita membaca sebuah buku yang kita fotokopi kita gagal mengingat segala fakta yang dibaca? Ada ketikanya kita telah hadam ilmu itu tetapi apabila berhadapan dengan soalan dalam peperiksaan kita tidak ingat jawapannya? Mungkin inilah bahana yang diterima apabila kita melakukan fotokopi"

TIDAK MAMPU MEMBELI BUKU?

Apabila melihat penampilan kita yang mewah dan bergaya, ada rumah besar, kereta besar, telefon pintar jenama terkenal sentiasa di tangan, tetapi sebuah buku yang berharga RM10 hingga RM30 pun kita tidak mampu beli, itu ‘pelik bin ajaib’. Bagi golongan pelajar juga, pendapatan ibu bapa melebihi RM3000.00 dan semua kelengkapan di bawa ke sekolah mahal-mahal belaka, tetapi apabila disuruh membeli buku, alasannya “Saya tiada duit, Cikgu”. Ini merupakan suatu pembohongan yang tidak boleh dimaafkan. Sebenarnya, fotokopi ini sudah menjadi suatu budaya yang dilakukan oleh semua pihak yang terlibat. Soal mampu atau tidak mampu itu bukan persoalan tetapi apabila perkara yang salah itu telah sebati dalam diri kita, maka kita akan melakukannya tanpa rasa bersalah. Perkara ini merupakan suatu bencana yang direlakan apatah lagi apabila guru-guru pula mencadangkan dan menguruskan urusan fotokopi ini. Sukar untuk menjawab sama ada perbuatan fotokopi ini lebih mudah atau membeli buku itu lebih mudah? Yang saya tahu, orang yang tergamak melakukan fotokopi ini merupakan golongan yang ketagih untuk melakukan fotokopi. Soal mampu atau tidak mampu itu bukan perkara utama yang difikirkan.


Jurulatih Utama Bahasa Melayu dari Perlis hingga ke Sabah

Bagi golongan pelajar pula, apabila yang tua meminta supaya melakukan fotokopi mereka memang suka kerana boleh menjimatkan wang belanja untuk membeli kad prabayar Internet. Mereka meminta duit sebanyak RM30.00 daripada ibu bapa untuk membeli buku tetapi apabila datang di sekolah, mereka cuma membayar RM10.00 sahaja manakala RM20.00 lagi boleh dibelanjakan untuk tujuan lain. Kebanyakan ibu bapa mudah untuk memberikan wang jika alasannya untuk membeli buku tetapi mereka akan marah jika anak minta wang untuk membeli barang-barang yang tidak bersangkutan dengan pelajaran. Pelajar-pelajar yang fotokopi ini tidak sedar mereka telah melakukan dua dosa besar iaitu, membohongi ibu bapa mereka dan merompak hak cipta orang lain. Saya tidak menafikan memang ada pelajar yang tidak mampu membeli buku tetapi bukan semua. Yang tidak mampu ini bolehlah memikirkan cara lain untuk mendapatkan buku tersebut. Namun begitu, para guru diingatkan supaya jangan mengarahkan semua pelajar untuk tidak membeli buku dan membuat salinan fotokopi.

“JOM CEGAH, JOM UBAH”

Perkara yang tidak elok apabila dibudayakan akan membawa pelbagai malapetaka pada masa hadapan. Isu fotokopi ini tidak akan habis sekiranya semua pihak tidak menanamkan kesedaran dalam diri masing-masing untuk mencegah dan mengelakkan diri daripada melakukannya. Ibu bapa harus menyediakan wang yang mencukupi untuk membeli segala keperluan persekolahan anak-anak di sekolah. Guru-guru pula harus menyampaikan maklumat yang betul kepada pelajar. Fotokopi merupakan suatu perubatan yang salah. Jadi, tidak molek sekiranya kita mengajar perkara yang salah itu berulang-ulang kali kepada pelajar-pelajar kita. Bagi golongan pelajar pula, perbuatan fotokopi ini boleh menjadi suatu budaya yang tidak elok. Jika kita lakukannya terhadap orang lain pada hari ini, tidak mustahil kita sendiri akan menghadapi situasi tersebut, kalau bukan kita, perkara itu akan berlaku terhadap anak cucu kita pula. Itulah namanya kehidupan!


Ceramah Bahasa Melayu STPM Penggal 3 di Mini Putrajaya Kota Kinabalu
Yang cantik itu namanya Cikgu Lily

Catatan Pendidik Bangsa
Cikgu Zulkarnain Farihin
SMK Sibu Jaya
Sibu Sarawak

26 Februari 2017

CATATAN CIKGU ZUL : IMEJ SESEBUAH SEKOLAH, HITAM PUTIH WARNANYA KITA YANG MENCORAKKAN. SIAPA KITA?


Sekolah merupakan institusi yang khusus untuk kita menimba ilmu secara formal. Seawal usia 5 tahun kita telah dihantar ke tadika oleh ibu bapa kita. Tujuannya hanya satu iaitu, mereka mahu kita menjadi insan yang berilmu kerana anak merupakan pelaburan yang paling bermakna bagi insan yang bergelar suami isteri. Semua ibu bapa di dunia ini menginginkan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Mereka mahu anak mereka belajar di sekolah yang terbaik. Mereka mahu anak mereka diajar oleh guru-guru yang terbaik. Mereka mahu anak-anak mereka mempelajari sesuatu yang terbaik. Itu impian mereka sebagai ibu bapa. Namun demikian, harapan tidak semestinya menjadi realiti. Kadang-kadang kita bermimpi untuk mengenggam seketul emas berharga, apabila terjaga kita sedar yang digenggam itu bukan emas tetapi telefon pintar yang tidak pernah terlepas dari tangan kita. Begitulah dengan impian jutaan ibu bapa di dunia ini, anak yang diharapkan menjadi doktor, jurutera, saintis, pilot, peguam, profesor, dan sebagainya tidak semuanya menjadi nyata. Ramai yang tersadung kaki setelah diuji di peringkat SPM, STPM, dan Universiti.

IMEJ SEKOLAH

Apabila anak berjaya mendapat banyak A dalam peperiksaan maka imej sekolah pun akan meniti dari bibir ke bibir masyarakat. Semua yang diperkatakan adalah yang baik-baik belaka. Cikgu di sekolah itu rajin. Pengetua sekolah itu tegas. Pelajar-pelajar di sekolah itu semuanya baik-baik. Walaupun dia tidak pernah menjejakkan kaki ke sekolah itu, dia mampu bercerita dari pagi hingga ke senja tentang kehebatan sekolah itu. Oleh itu, dia akan membantu sekolah itu menjadi popular dalam kalangan masyarakat setempat. Implikasinya, imej sekolah itu akan meningkat di mata masyarakat setempat. Pada tahun berikutnya, orang akan berduyun-duyun menghantar permohonan masuk ke sekolah itu. Inilah realiti yang memang terjadi dalam masyarakat kita. Penyakit ini bukan sahaja melibatkan sekelompok surirumah yang kerjanya hari-hari bercerita dengan jiran sebelah malah menular ke pejabat termasuklah dalam kalangan guru sendiri. Sindrom menghukum ini merupakan penyakit yang tiada penawarnya.

Apabila prestasi sesebuah sekolah itu jatuh atau tercorot dalam rangking yang dikeluarkan oleh pihak berwajib maka hal-hal negatif tentang sekolah tersebut akan menjadi tajuk utama para wartawan yang menghabiskan masa bersembang di kedai kopi. Mereka akan minum berpuluh-puluh cawan kopi untuk melayan cerita tentang guru malas, pelajar malas, pentadbir teruk, dan pelbagai lagi keburukan yang berjaya ditelanjangi oleh mereka. Pendek kata, semua yang buruk-buruk pada pandangan mata akan diungkit sehingga pintu pagar sekolah yang rosak pun dijadikan alasan prestasi teruk itu. Inilah dunia ciptaan masyarakat setempat. Secara tidak langsung, sembang kedai kopi ini akan merebak ibarat penyakit berjangkit sehingga beribu-ribu kilometer. Orang yang tidak pernah pergi ke sekolah pun percaya dan menyambung cerita kepada kelompok senasibnya. Cerita-cerita ini akan menutup segala yang baik tentang sekolah tersebut. Cerita-cerita ini pula akan diingat sehingga tujuh keturunan anak cucu mereka. Walaupun sekolah itu naik, namun kerana CPU yang ditanam di kepala mereka sudah ‘save’ yang buruk-buruk, maka buruklah yang terluah dari mulut mereka.

PERANAN IBU BAPA

Yang pelik dan yang ganjilnya, yang rancak mengutuk itulah yang menghantar anak-anaknya bersekolah disitu. Alasannya, tiada sekolah lain untuk saya menempatkan anak saya. Saya terpaksa hantar dia ke sini. Secara tidak langsung, dia termakan dengan fitnah dan cacian yang telah dia sebarkan selama ini. Tugasnya cuma satu sahaja, hantar anak ke sekolah dan apabila anak balik ke rumah dia buat tidak kisah. Dia tidak kisah sama ada anaknya hadir kelas tambahan atau tidak? Apabila anak minta supaya dihantar menghadiri kelas tambahan di sekolah, mereka tidak mahu. Alasannya, harga minyak naik. Yang lebih teruk lagi, cikgu pun turut terkena tempias kemarahan mereka wahal kelas tambahan itu diadakan untuk membantu anak mereka. Mereka juga tidak pernah memantau pergerakan anak-anak di luar waktu persekolahan. Anak-anak dibiarkan melepak sepanjang petang hingga ke malam. Mereka tidak pernah bertanyakan kepada anak tentang tugas-tugas yang diberikan oleh guru untuk disiapkan di rumah, sudah siap ke belum? Mereka tidak pernah menemani anak mengulang kaji pelajaran. Yang mereka tahu, apabila anak tidak duduk bersama-sama mereka menonton slot akasia di TV3, mereka akan memanggilnya supaya menonton bersama-sama.


Apabila dijemput menghadiri mesyuarat PIBG, ramai ibu bapa yang tidak pernah datang tetapi apabila anaknya melaporkan dia dihukum guru menyapu parit, langkahnya laju ke sekolah untuk mencari guru itu. Tujuannya untuk memarahi guru yang menghukum itu. Mereka tidak pernah terfikir hendak ke sekolah untuk bersembang tentang prestasi anak-anak mereka dalam bidang akademik dengan guru. Jemputan untuk hadir ke Hari Permuafakatan pun tidak dilayan. Sokongan kepada sekolah amatlah hambar dan tawar. Mereka hanya aktif apabila sesuatu yang buruk atau tidak dipersetujui berlaku. Itulah sikap ibu bapa pada zaman ini. Walaupun bukan semuanya bersikap begitu, tetapi realiti ini tidak boleh kita singkirkan dalam membicarakan imej sesebuah sekolah.

BEKAS PELAJAR

Peribahasa Melayu mengatakan tempat jauh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain. Bekas pelajar terutamanya yang sudah berjaya seharusnya datanglah melawat ke sekolah lama untuk bertanya khabar. Semua sekolah amat memerlukan sumbangan dan sokongan daripada bekas pelajar sekolah tersebut untuk menaikkan imej sekolah. Bekas pelajar yang sudah bekerja bolehlah menghulurkan ‘seringgit dua’ untuk membantu menceriakan kawasan sekolah. Kecerian kawasan sekolah amatlah penting untuk membina sebuah sekolah yang kondusif dan ceria bagi membangkitkan semangat belajar dalam kalangan anak-anak didik kita. Sekurang-kurangnya dengan sumbangan kita yang sedikit itu kita berjaya membangkitkan semangat kepada adik-adik kita yang masih tercari-cari arah tuju hidup mereka. Bagi bekas pelajar yang masih di universiti pula, tidak salah datang ke sekolah untuk memberikan ceramah motivasi kepada sekumpulan pelajar agar mereka lebih berdaya saing dan berkeyakinan untuk menjadi seperti diri kita yang telah berjaya.

Sebagai bekas pelajar kita harus menghindarkan diri daripada membicarakan sesuatu yang negatif tentang sekolah tempat kita belajar walaupun kita sudah tidak berada di situ lagi. Hal ini dikatakan demikian kerana kita lebih tahu tentang sekolah tempat kita belajar selama bertahun-tahun. Kita menjadi seperti hari ini kerana bertapa bertahun-tahun menuntut ilmu di sekolah itu. Walaupun kita bekerja sebagai kerani atau tukang cuci, kita harus ingat asal usul kita dan sejarah hidup kita bermula dari sekolah itu. Oleh itu, jika imej sekolah kita jatuh, kita jangan menghentaknya dengan kaki hingga tenggelam di dalam lumpur. Kita harus berusaha memapahnya dan merawat lukanya sehingga sembuh dan pulih kembali. Kita harus percaya kepada azimat yang selalu diperkata, hidup ini umpama roda, terkadang kita di atas, terkadang kita di bawah. Baik di atas mahupun di bawah, kita tetap memerlukan sokongan dan dukungan daripada orang terdekat untuk terus membantu kita terus gah dan gagah merentasi cabaran dan rintangan yang mendatang.

PERANAN PELAJAR

Pelajar merupakan tulang belakang kepada imej sesebuah sekolah, apatah lagi bagi sekolah yang mempunyai bilangan pelajar yang ramai, yakni melebihi 1500 orang ke atas. Bukannya senang untuk menjaga sekumpulan pelajar yang mempunyai pelbagai ragam dan darjah kenakalan yang berbeza. Semua pelajar harus tahu tujuan mereka datang ke sekolah. Mereka datang ke sekolah untuk belajar bagi menjadi insan yang berilmu serta berjawatan tinggi pada suatu masa nanti. Jika pelajar hanya sekadar datang ke sekolah tetapi tidak tahu tujuan serta tidak ada cita-cita maka golongan inilah yang akan mencipta pelbagai masalah di sekolah. Golongan ini tidak tahu menjaga imej sekolah. Golongan ini tidak ramai tetapi kesannya amat besar terutama kepada sekelompok masyarakat yang menjadi hakim tak berkelulusan. Pelajar-pelajar yang tidak tahu tujuan dia datang ke sekolah ini akan menghabiskan waktu selepas waktu persekolahan dengan merokok, melepak, lumba haram, bergaduh, dan sebagainya. Masyarakat yang menyaksikan drama hidup mereka yang sedih ini pula akan mudah menuduh dan menghukum. Yang buruknya nanti nama sekolah. Yang salahnya nanti ialah guru. Yang turut disalahkan ialah pihak polis. Ibu bapa tidak pernah salah.

Pelajar-pelajar harus ingat imej sekolah amat penting untuk dijaga. Apabila tamat alam persekolahan segala sijil yang ditayangkan akan tercatat nama sekolah tempat kita belajar. Majikan pula lebih cenderung untuk memilik produk yang dikeluarkan dari kilang yang baik dan cemerlang. Pelajar harus tahu akan hakikat ini. Ibu bapa mereka juga perlu sedar akan perkara ini. Apa yang kita buat semuanya akan diadili oleh penilai-penilai yang berada di sekitar kita tanpa kita sedari. Semasa berada di alam persekolahan, kadang-kadang kita terlupa pada tanggungjawab untuk menjaga imej sekolah kita. Kita biarkan diri kita melakarkan dan mencalarkan imej sekolah kita dengan pelbagai perkara negatif yang menjengkelkan. Suatu ketika baru kita sedar bahawa itu salah tetapi sukar untuk kita berpatah lagi kerana masa terlalu cepat berlaku untuk orang-orang yang dangkal seperti kita.

SEMUA PIHAK PERLU BERSATU


Imej sekolah tanggungjawab semua pihak. Guru, ibu bapa, PIBG, bekas pelajar, pelajar, dan masyarakat setempat harus bersatu demi menaikkan dan menjaga imej sesebuah sekolah. Apabila kita bersatu, segala yang susah akan menjadi mudah. Segala yang mudah akan berjaya dipermudahkan lagi agar mendatangkan manfaat kepada semua pihak. Kita tidak boleh menunding jari kepada satu pihak sahaja. Orang yang menghukum memanglah akan terus menghukum tetapi kita yang dihukum harus berusaha membuktikan yang terbaik agar golongan ini tidak akan terus menerus menghukum kita. Tuhan akan selalu merahmati perjalanan orang yang bersatu dan berpadu dalam menghadapi apa-apa jua situasi baik dalam duka atau suka, bahagia atau sengsara. Hakikatnya, semua sekolah di dunia ini adalah sama visi, matlamat dan wawasannya. Guru-guru yang ditempatkan di sekolah juga sama kelulusan dan ilmunya. Yang menentukan prestasi sesebuah sekolah dalam peperiksaan awam ialah pencapaian pelajar yang cemerlang. Akan tetapi, kecemerlangan itu masih menjadi persoalan? Cemerlang dalam bidang akademik tidak semestinya cemerlang dalam aspek sahsiah dan tingkah laku.  Orang yang tidak cemerlang dalam akademik pun boleh berjaya jika segalanya lengkap dan sempurna. Yang paling penting ialah sokongan daripada semua pihak. Kek lapis Sarawak tidak akan sedap jika ramuannya tidak lengkap. Begitulah dengan imej sesebuah sekolah, tanpa sokongan semua pihak, sukar untuk satu pihak sahaja menggerakkan usaha ke arah itu.






Catatan Pendidik Bangsa
Cikgu Zulkarnain Farihin
SMK Sibu Jaya
Sibu Sarawak