JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



01 Mac 2017

CATATAN CIKGU ZUL : NAKAL MASA DI SEKOLAH, TUA MENYESAL TAK SUDAH


Ceramah Bahasa Melayu STPM Penggal 3
SMK Bintulu - Semua sekola di Daerah Bintulu, September 2016

Sifat nakal wujud pada setiap manusia ciptaan Tuhan Yang Maha Esa. Saya mengkategorikan sifat nakal ini kepada dua, iaitu nakal positif dan nakal negatif. Nakal positif merupakan satu sifat yang digalakkan kerana boleh membawa kemaslahatan kepada seseorang individu. Nakal negatif pula sifatnya amat berlawanan dengan kelaziman yang diinginkan. Orang yang mempunyai sifat nakal negatif biasanya boleh membawa keburukan kepada dirinya atau orang lain. Sifat nakal negatif ini akan membawa pelbagai impak yang menyusahkan diri dan keluarga. Orang yang mempunyai sifat yang sebegini akan melakukan pelbagai perkara yang boleh mendatangkan pelbagai keburukan baik kepada dirinya mahupun orang lain. Sebagai contohnya, pelajar yang mempunyai sifat nakal negatif ini suka berbuat bising semasa guru mengajar. Dia akan menyampuk dengan menyebut perkara yang bukan-bukan  sewaktu guru mengajar atau menyoal. Bagi dia itu kepuasan namun sebenarnya sifatnya itu melambangkan betapa rendahnya akhlak dirinya sendiri. Pelajar yang bersifat sebegini langsung tidak membawa kemasalahatan kepada dirinya sendiri. Yang dia tahu ialah menganggu orang sehingga mengakibatkan dirinya dimarahi atau dihukum oleh guru.

“Ketika orang lain hidup senang di hari tua, awak masih terkurung di sangkar derita. Bergelut dengan kemiskinan dan kemelaratan. Serba ketiadaan dan kekurangan. Semuanya sebab awak nakal semasa zaman sekolah”

KURANG AKAL ATAU KURANG AJAR

Saya tidak pernah mengatakan golongan pelajar nakal ini sebagai orang yang kurang ajar kerana saya berpendapat tidak ada ibu bapa di dunia ini yang merelai anak-anak kesayangan mereka berkelakuan sebegitu. Semua ibu bapa mengimpikan anak-anak yang mereka lahirkan membesar sebagai manusia yang sempurna dan bijaksana, bukannya menjadi sampah masyarakat. Saya juga berpendapat semua ibu bapa memang menasihati anak-anak mereka supaya jangan nakal, jangan lakukan keganasan di sekolah atau jangan berkawan dengan budak-budak nakal di sekolah. Walau bagaimanapun, anak bertuah ini akan bertukar watak apabila mereka berada di sekolah. Mereka akan bergaduh, ponteng kelas, ponteng aktiviti kokurikulum, mencuri barang orang lain, membuli, dan sebagainya perbuatan yang menyalahi undang-undang. Kadang-kadang pelajar nakal ini sengaja mencari kesalahan orang lain untuk dia melepaskan geramnya. Misalnya, sewaktu berjalan, tiba-tiba ada seorang pelajar terpijak kasutnya menyebabkan dia hampir-hampir terjatuh. Perkara yang sepatutnya boleh diselesaikan dengan cara bermaaf-maafan boleh menyebabkan semua warga sekolah berkerumun untuk melihat aksi pergaduhan antara dia dengan pelajar yang terpijak kakinya tadi. Perbuatan ini bukanlah perbuatan yang dilakukan oleh orang yang kurang ajar?


Saya sifatkan golongan pelajar nakal sebegini sebagai kurang akal. Oleh itu, apabila saya berhadapan dengan golongan ini saya banyak mengunakan andaian-andaian yang mungkin berlaku akibat daripada sifat mereka yang kurang akal itu. Andaian-andaian itu hanyalah untuk menimbulkan kesedaran dalam diri mereka. Pelajar nakal yang kurang akal ini tidak pernah berfikir panjang. Mereka tidak memikirkan kesan tindakan mereka kepada orang lain. Mereka tidak kasih kepada ibu, ayah, adik beradik, guru dan semua orang yang mereka kenali. Yang mereka tahu ialah melakukan perkara-perkara salah demi kepuasan diri mereka sendiri. Apabila masalah timbul mereka pun akan menyelesaikannya tanpa menggunakan akal yang rasional. Terdapat beberapa kes yang melibatkan pelajar kurang akal ini, misalnya jika ada krisis dengan pelajar lain di dalam kelas, dia akan selesaikan di luar kelas dengan membawa geng-geng dia membelasah pelajar tersebut. Geng-geng dia yang kurang akal seperti dia pun ikut perbuatan jahatnya itu. Mereka melakukan semua ini hanya untuk kepuasan atau menunjukkan kuasa kumpulan mereka ke atas pelajar tersebut.

Minda mereka tidak pernah memikirkan nasib diri sendiri. Bayangkan jika pelajar yang dibelasah itu menghadapi kecederaan yang serius atau tindakan mereka boleh menyebabkan kehilangan nyawa atau kecacatan seumur hidup. Siapakah yang akan menanggung akibatnya? Bayangkan jika ibu bapa pelajar yang dibelasah itu mengambil tindakan untuk menyaman? Siapakah akan dikenakan saman? Siapakah pula yang akan dimasukkan ke dalam penjara jika gagal membayar saman? Bayangkan jika kes itu tersebar dengan meluas di media massa? Siapakah yang terpaksa menanggung malu? Siapakah yang kehilangan maruah dan harga diri? Akibat daripada mereka yang kurang akal, semua pihak terkena tempiasnya. Ibu bapa, guru-guru, pihak sekolah, pihak polis, dan pelbagai lagi pihak terpaksa meluangkan masa bagi menyelesaikan kes pelajar kurang akal ini. Mereka mungkin berjaya melepaskan kemarahan kepada si mangsa tetapi mereka tidak akan berjaya untuk melepaskan diri daripada tindakan disiplin ataupun tindakan undang-undang. Situasi sebegini amat mudah untuk difahami, hari ini awak musnahkan orang lain, esok hari awak pula yang akan kena. Tuhan bayar cash setiap kesalahan kita itu.

‘BUNUH’ MASA DEPAN SENDIRI

Pintu rezeki, pintu kejayaan, dan pintu masa depan pelajar nakal yang kurang akal ini pasti akan tertutup. Sifat nakal akan menjadikan mereka lupa akan tanggungjawab sebagai seorang pelajar. Mereka tidak memberikan tumpuan terhadap proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Mereka tidak menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru. Kerja rumah terbengkalai. Datang ke sekolah Cuma berlenggang membawa tubuh dan otak kosong mereka sahaja. Bagi mereka, dengan berkelakuan sebegitu, merekalah hero atau heroin. Mereka tidak tahu yang mereka itulah pelajar yang paling malang di dunia. Semua manusia dikurniakan akal dan berikan peluang untuk mendapatkan ilmu di sekolah demi masa depan yang cerah. Akan tetapi, pelajar nakal ini sanggup membunuh ruang dan peluang diri mereka sendiri. Hal ini dikatakan demikian kerana golongan ini merupakan golongan yang sudah menempah sijil kegagalan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ataupun Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Mereka bukan sahaja gagal malahan tidak layak mendapat sijil. Kejayaan mereka memusnahkan masa depan diri mereka sendiri ini secara tidak langsung menjadi tiket untuk mereka menjadi warganegara yang tidak berguna. Mereka tidak akan berubah sampai bila-bila kerana sikap tidak berdisiplin itu sudah sebati dengan meresap ke seluruh jiwa raga mereka.


Pelajar nakal yang kurang akal ini kebanyakannya tidak ada impian dan cita-cita. Mereka hanya akan hidup dalam penyesalan yang tidak berkesudahan. Segelintir daripada golongan ini akan menyusahkan ibu bapa hingga ke tua kerana tiada pekerjaan atau menjadi bangkai bernyawa (akibat dadah). Sedih sungguh sedih, jika kita mempunyai anak sebegini. Kelahiran mereka ke dunia bukannya membawa kesenangan tetapi membawa kemudaratan kepada kita. Kawan-kawan yang seusia dengan kita hidup dilimpahi kemewahan dan kesenangan kerana berjaya dalam persekolahan. Mereka mempunyai kereta besar, rumah besar, gaji tinggi dan berpangkat. Kita apa yang ada? Nak beli beras untuk bagi makan anak isteri pun kena mengemis daripada ibu bapa. Hidup dalam kemiskinan. Kemiskinan yang diinginkan oleh kita sendiri Kita tiada pekerjaan tetap. Segalanya amat sukar bagi kita. Siapakah yang perlu dipersalahkan? Jika kita salahkan hujan kemiskinan yang turun pada pukul 6:00 pagi membanjiri tempat tidur kita yang bocor, kita robohkan rumah pun, hujan itu tetap akan turun juga. Jika kita salahkan ribut yang bertiup sehingga menumbangkan pokok di hadapan rumah kita, ribut itu tetap akan bertiup juga kerana ribut tidak mengenali siapa kawan, siapa lawan. Yang perlu disalahkan ialah diri kita sendiri. Namun begitu, waktu yang berlalu tetap akan berlalu, kita yang tertinggal akan terus tertinggal. Tertinggal sampai bila-bila.

ADA MASA UNTUK BERUBAH

Tuhan itu Maha Kaya. Pintu untuk berubah sentiasa terbuka luas untuk kita. Walau bagaimanapun, kita tidak dapat mengulang kembali alam persekolahan yang telah kita lalui dahulu. Alam persekolahan hanya sekali. Setiap peringkat alam persekolahan itu cuma setahun sahaja. Kita sendiri pun tidak tergamak untuk mendaftar masuk darjah satu dengan anak kita sendiri. Oleh sebab itu, saya merayu semua pelajar yang masih di bangku sekolah. Jangan nakal. Jika nakal, jadilah orang yang nakal tetapi berakal dan pintar. Jangan jadi nakal tetapi kurang akal dan kurang pintar. Ingatlah, masa depan kita hanya kita sahaja yang boleh menentukan haluannya. Sebelum melakukan sesuatu berfikirlah dengan bijaksana. Ambil cermin, berdiri tegak di hadapan cermin, tengok diri kita sendiri. Tanya diri kita, apakah yang kita mahu dalam hidup ini? Orang yang sedar pada dirinya sendiri tidak akan tergamak melakukan kenakalan yang boleh mengundang kegagalan kepada dirinya sewaktu berada di sekolah. Mereka akan menggunakan kenakalan itu untuk mewakili sekolah menaikkan imej sekolah dan imej diri mereka. Mereka akan aktif dalam bidang kokurikulum. Mereka akan menjadi juara dalam pelbagai kejohanan yang disertai. Mereka akan menjadi pemidato dan pembahas yang disegani. Mereka tidak ada masa untuk melepak, ponteng sekolah, dan berfoya-foya. Mereka sedar perbuatan itu hanya akan merugikan diri mereka sendiri. Gunakan kenakalan itu untuk memahat nama di puncak kejayaan sebagai Pelajar Terbaik Malaysia dalam PT3, SPM, dan STPM. Gunakan kenakalan itu untuk memahat nama sebagai Pelajar Tebaik Malaysia yang menjadi olahragawan atau olahragawati dalam sukan SUKMA dan seterusnya mewakili Malaysia dalam Sukan Olimpik seperti Pandela Rinong! Kenapa dia boleh, kenapa awak tak boleh? Awak tak boleh sebab awak yang membuat awak tak boleh!

Catatan Pendidik Bangsa
Cikgu Zulkarnain Farihin
SMK Sibu Jaya
Sibu Sarawak

Tiada ulasan: