Sekolah merupakan institusi yang
khusus untuk kita menimba ilmu secara formal. Seawal usia 5 tahun kita telah
dihantar ke tadika oleh ibu bapa kita. Tujuannya hanya satu iaitu, mereka mahu
kita menjadi insan yang berilmu kerana anak merupakan pelaburan yang paling
bermakna bagi insan yang bergelar suami isteri. Semua ibu bapa di dunia ini
menginginkan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Mereka mahu anak mereka
belajar di sekolah yang terbaik. Mereka mahu anak mereka diajar oleh guru-guru
yang terbaik. Mereka mahu anak-anak mereka mempelajari sesuatu yang terbaik.
Itu impian mereka sebagai ibu bapa. Namun demikian, harapan tidak semestinya
menjadi realiti. Kadang-kadang kita bermimpi untuk mengenggam seketul emas
berharga, apabila terjaga kita sedar yang digenggam itu bukan emas tetapi
telefon pintar yang tidak pernah terlepas dari tangan kita. Begitulah dengan impian
jutaan ibu bapa di dunia ini, anak yang diharapkan menjadi doktor, jurutera,
saintis, pilot, peguam, profesor, dan sebagainya tidak semuanya menjadi nyata.
Ramai yang tersadung kaki setelah diuji di peringkat SPM, STPM, dan Universiti.
IMEJ SEKOLAH
Apabila anak berjaya mendapat banyak A
dalam peperiksaan maka imej sekolah pun akan meniti dari bibir ke bibir
masyarakat. Semua yang diperkatakan adalah yang baik-baik belaka. Cikgu di
sekolah itu rajin. Pengetua sekolah itu tegas. Pelajar-pelajar di sekolah itu
semuanya baik-baik. Walaupun dia tidak pernah menjejakkan kaki ke sekolah itu,
dia mampu bercerita dari pagi hingga ke senja tentang kehebatan sekolah itu.
Oleh itu, dia akan membantu sekolah itu menjadi popular dalam kalangan
masyarakat setempat. Implikasinya, imej sekolah itu akan meningkat di mata
masyarakat setempat. Pada tahun berikutnya, orang akan berduyun-duyun
menghantar permohonan masuk ke sekolah itu. Inilah realiti yang memang terjadi
dalam masyarakat kita. Penyakit ini bukan sahaja melibatkan sekelompok
surirumah yang kerjanya hari-hari bercerita dengan jiran sebelah malah menular
ke pejabat termasuklah dalam kalangan guru sendiri. Sindrom menghukum ini
merupakan penyakit yang tiada penawarnya.
Apabila prestasi sesebuah sekolah itu
jatuh atau tercorot dalam rangking yang dikeluarkan oleh pihak berwajib maka
hal-hal negatif tentang sekolah tersebut akan menjadi tajuk utama para wartawan
yang menghabiskan masa bersembang di kedai kopi. Mereka akan minum
berpuluh-puluh cawan kopi untuk melayan cerita tentang guru malas, pelajar
malas, pentadbir teruk, dan pelbagai lagi keburukan yang berjaya ditelanjangi
oleh mereka. Pendek kata, semua yang buruk-buruk pada pandangan mata akan
diungkit sehingga pintu pagar sekolah yang rosak pun dijadikan alasan prestasi
teruk itu. Inilah dunia ciptaan masyarakat setempat. Secara tidak langsung,
sembang kedai kopi ini akan merebak ibarat penyakit berjangkit sehingga
beribu-ribu kilometer. Orang yang tidak pernah pergi ke sekolah pun percaya dan
menyambung cerita kepada kelompok senasibnya. Cerita-cerita ini akan menutup
segala yang baik tentang sekolah tersebut. Cerita-cerita ini pula akan diingat
sehingga tujuh keturunan anak cucu mereka. Walaupun sekolah itu naik, namun
kerana CPU yang ditanam di kepala mereka sudah ‘save’ yang buruk-buruk, maka
buruklah yang terluah dari mulut mereka.
PERANAN IBU BAPA
Yang pelik dan yang ganjilnya, yang
rancak mengutuk itulah yang menghantar anak-anaknya bersekolah disitu.
Alasannya, tiada sekolah lain untuk saya menempatkan anak saya. Saya terpaksa
hantar dia ke sini. Secara tidak langsung, dia termakan dengan fitnah dan
cacian yang telah dia sebarkan selama ini. Tugasnya cuma satu sahaja, hantar
anak ke sekolah dan apabila anak balik ke rumah dia buat tidak kisah. Dia tidak
kisah sama ada anaknya hadir kelas tambahan atau tidak? Apabila anak minta
supaya dihantar menghadiri kelas tambahan di sekolah, mereka tidak mahu. Alasannya,
harga minyak naik. Yang lebih teruk lagi, cikgu pun turut terkena tempias
kemarahan mereka wahal kelas tambahan itu diadakan untuk membantu anak mereka.
Mereka juga tidak pernah memantau pergerakan anak-anak di luar waktu
persekolahan. Anak-anak dibiarkan melepak sepanjang petang hingga ke malam.
Mereka tidak pernah bertanyakan kepada anak tentang tugas-tugas yang diberikan
oleh guru untuk disiapkan di rumah, sudah siap ke belum? Mereka tidak pernah
menemani anak mengulang kaji pelajaran. Yang mereka tahu, apabila anak tidak
duduk bersama-sama mereka menonton slot akasia di TV3, mereka akan memanggilnya
supaya menonton bersama-sama.
Apabila dijemput menghadiri mesyuarat
PIBG, ramai ibu bapa yang tidak pernah datang tetapi apabila anaknya melaporkan
dia dihukum guru menyapu parit, langkahnya laju ke sekolah untuk mencari guru
itu. Tujuannya untuk memarahi guru yang menghukum itu. Mereka tidak pernah
terfikir hendak ke sekolah untuk bersembang tentang prestasi anak-anak mereka
dalam bidang akademik dengan guru. Jemputan untuk hadir ke Hari Permuafakatan
pun tidak dilayan. Sokongan kepada sekolah amatlah hambar dan tawar. Mereka
hanya aktif apabila sesuatu yang buruk atau tidak dipersetujui berlaku. Itulah
sikap ibu bapa pada zaman ini. Walaupun bukan semuanya bersikap begitu, tetapi
realiti ini tidak boleh kita singkirkan dalam membicarakan imej sesebuah
sekolah.
BEKAS PELAJAR
Peribahasa Melayu mengatakan tempat
jauh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain. Bekas pelajar terutamanya yang
sudah berjaya seharusnya datanglah melawat ke sekolah lama untuk bertanya
khabar. Semua sekolah amat memerlukan sumbangan dan sokongan daripada bekas
pelajar sekolah tersebut untuk menaikkan imej sekolah. Bekas pelajar yang sudah
bekerja bolehlah menghulurkan ‘seringgit dua’ untuk membantu menceriakan
kawasan sekolah. Kecerian kawasan sekolah amatlah penting untuk membina sebuah
sekolah yang kondusif dan ceria bagi membangkitkan semangat belajar dalam
kalangan anak-anak didik kita. Sekurang-kurangnya dengan sumbangan kita yang
sedikit itu kita berjaya membangkitkan semangat kepada adik-adik kita yang
masih tercari-cari arah tuju hidup mereka. Bagi bekas pelajar yang masih di
universiti pula, tidak salah datang ke sekolah untuk memberikan ceramah
motivasi kepada sekumpulan pelajar agar mereka lebih berdaya saing dan berkeyakinan
untuk menjadi seperti diri kita yang telah berjaya.
Sebagai bekas pelajar kita harus
menghindarkan diri daripada membicarakan sesuatu yang negatif tentang sekolah
tempat kita belajar walaupun kita sudah tidak berada di situ lagi. Hal ini
dikatakan demikian kerana kita lebih tahu tentang sekolah tempat kita belajar
selama bertahun-tahun. Kita menjadi seperti hari ini kerana bertapa
bertahun-tahun menuntut ilmu di sekolah itu. Walaupun kita bekerja sebagai
kerani atau tukang cuci, kita harus ingat asal usul kita dan sejarah hidup kita
bermula dari sekolah itu. Oleh itu, jika imej sekolah kita jatuh, kita jangan
menghentaknya dengan kaki hingga tenggelam di dalam lumpur. Kita harus berusaha
memapahnya dan merawat lukanya sehingga sembuh dan pulih kembali. Kita harus
percaya kepada azimat yang selalu diperkata, hidup ini umpama roda, terkadang
kita di atas, terkadang kita di bawah. Baik di atas mahupun di bawah, kita
tetap memerlukan sokongan dan dukungan daripada orang terdekat untuk terus
membantu kita terus gah dan gagah merentasi cabaran dan rintangan yang
mendatang.
PERANAN PELAJAR
Pelajar merupakan tulang belakang
kepada imej sesebuah sekolah, apatah lagi bagi sekolah yang mempunyai bilangan
pelajar yang ramai, yakni melebihi 1500 orang ke atas. Bukannya senang untuk
menjaga sekumpulan pelajar yang mempunyai pelbagai ragam dan darjah kenakalan
yang berbeza. Semua pelajar harus tahu tujuan mereka datang ke sekolah. Mereka
datang ke sekolah untuk belajar bagi menjadi insan yang berilmu serta
berjawatan tinggi pada suatu masa nanti. Jika pelajar hanya sekadar datang ke
sekolah tetapi tidak tahu tujuan serta tidak ada cita-cita maka golongan inilah
yang akan mencipta pelbagai masalah di sekolah. Golongan ini tidak tahu menjaga
imej sekolah. Golongan ini tidak ramai tetapi kesannya amat besar terutama
kepada sekelompok masyarakat yang menjadi hakim tak berkelulusan.
Pelajar-pelajar yang tidak tahu tujuan dia datang ke sekolah ini akan
menghabiskan waktu selepas waktu persekolahan dengan merokok, melepak, lumba
haram, bergaduh, dan sebagainya. Masyarakat yang menyaksikan drama hidup mereka
yang sedih ini pula akan mudah menuduh dan menghukum. Yang buruknya nanti nama sekolah.
Yang salahnya nanti ialah guru. Yang turut disalahkan ialah pihak polis. Ibu
bapa tidak pernah salah.
Pelajar-pelajar harus ingat imej
sekolah amat penting untuk dijaga. Apabila tamat alam persekolahan segala sijil
yang ditayangkan akan tercatat nama sekolah tempat kita belajar. Majikan pula
lebih cenderung untuk memilik produk yang dikeluarkan dari kilang yang baik dan
cemerlang. Pelajar harus tahu akan hakikat ini. Ibu bapa mereka juga perlu
sedar akan perkara ini. Apa yang kita buat semuanya akan diadili oleh penilai-penilai
yang berada di sekitar kita tanpa kita sedari. Semasa berada di alam
persekolahan, kadang-kadang kita terlupa pada tanggungjawab untuk menjaga imej
sekolah kita. Kita biarkan diri kita melakarkan dan mencalarkan imej sekolah
kita dengan pelbagai perkara negatif yang menjengkelkan. Suatu ketika baru kita
sedar bahawa itu salah tetapi sukar untuk kita berpatah lagi kerana masa
terlalu cepat berlaku untuk orang-orang yang dangkal seperti kita.
SEMUA PIHAK PERLU BERSATU
Imej sekolah tanggungjawab semua
pihak. Guru, ibu bapa, PIBG, bekas pelajar, pelajar, dan masyarakat setempat
harus bersatu demi menaikkan dan menjaga imej sesebuah sekolah. Apabila kita
bersatu, segala yang susah akan menjadi mudah. Segala yang mudah akan berjaya
dipermudahkan lagi agar mendatangkan manfaat kepada semua pihak. Kita tidak
boleh menunding jari kepada satu pihak sahaja. Orang yang menghukum memanglah
akan terus menghukum tetapi kita yang dihukum harus berusaha membuktikan yang
terbaik agar golongan ini tidak akan terus menerus menghukum kita. Tuhan akan
selalu merahmati perjalanan orang yang bersatu dan berpadu dalam menghadapi
apa-apa jua situasi baik dalam duka atau suka, bahagia atau sengsara. Hakikatnya,
semua sekolah di dunia ini adalah sama visi, matlamat dan wawasannya. Guru-guru
yang ditempatkan di sekolah juga sama kelulusan dan ilmunya. Yang menentukan
prestasi sesebuah sekolah dalam peperiksaan awam ialah pencapaian pelajar yang
cemerlang. Akan tetapi, kecemerlangan itu masih menjadi persoalan? Cemerlang
dalam bidang akademik tidak semestinya cemerlang dalam aspek sahsiah dan
tingkah laku. Orang yang tidak cemerlang
dalam akademik pun boleh berjaya jika segalanya lengkap dan sempurna. Yang
paling penting ialah sokongan daripada semua pihak. Kek lapis Sarawak tidak
akan sedap jika ramuannya tidak lengkap. Begitulah dengan imej sesebuah sekolah,
tanpa sokongan semua pihak, sukar untuk satu pihak sahaja menggerakkan usaha ke
arah itu.
Catatan Pendidik Bangsa
Cikgu Zulkarnain Farihin
SMK Sibu Jaya
Sibu Sarawak
Tiada ulasan:
Catat Ulasan