26 April 2012

ISU EKONOMI : PENGGUNA DILINDUNG AKTA


Oleh
MOHD. AYOP ABD. RAZID
Penganalisis Media
Bahagian Penerbitan Dasar Negara
Jabatan Penerangan.


Rakyat di negara ini mestilah memahami bahawa kedudukan mereka sebagai pengguna dilindungi oleh pelbagai akta awam dan akta berkaitan 'perlindungan pengguna'. Konsep 'perlindungan pengguna' itu sendiri adalah berkaitan dengan kuasa perundangan bagi memelihara dan melindungi hak pengguna daripada dieksploitasi, ditipu, ditindas dan diperdaya oleh pengeluar (industri), syarikat perdagangan, pembekal dan peniaga. Antara tujuan undang-undang berkaitan perlindungan pengguna diwujudkan untuk menjamin keselamatan pengguna, kesihatan pengguna, kepentingan ekonomi pengguna, maklumat peribadi pengguna serta ganti rugi pengguna.

Semua tujuan tersebut selari dengan Fasal 1 berkaitan perlindungan pengguna di bawah Garis Panduan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang merangkumi tujuh perkara utama, iaitu: keselamatan fizikal (Fasal 9-12), kepentingan ekonomi pengguna (Fasal 13-23), keselamatan dan kualiti barang pengguna (Fasal 24-26), kemudahan untuk perkhidmatan dan barang perlu (Fasal 27), hak pengguna mendapat tebus rugi (Fasal 28-30), penyelidikan dan maklumat (Fasal 31-37) dan perkara berkaitan bidang tertentu seperti makanan, air dan farmaseutikal (Fasal 38-42). Antara beberapa contoh akta berkaitan perlindungan pengguna di negara ini adalah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 dan Akta Lembaga Padi dan Beras Negara 1994 yang bertujuan memastikan harga padi berpatutan dan stabil bagi petani dan pengguna. Akta Makanan 1983 bertujuan mengawal penjualan makanan supaya tidak mengancam pengguna.

Akta Kawalan Bekalan 1961 (pindaan 1990) pula bertujuan mengawal bekalan barang-barang kawalan bagi memastikan bekalan mencukupi serta mengambil tindakan terhadap perbuatan menyorok atau enggan menjual barang kawalan kepada pengguna. Untuk mengawal penipuan dalam timbangan maka diwujudkan Akta Timbang dan Sukat 1972 yang bertujuan memastikan alat timbang adalah tepat serta menggunakan unit sukatan berdasarkan kepada sistem unit antarabangsa. Para pendeposit wang di bank-bank di negara ini dilindungi oleh Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan 1989 serta Akta Perbankan Islam. Akta-akta terbabit bertujuan mengawal selia institusi yang menjalankan perniagaan bank dan syarikat-syarikat kewangan serta memberi perlindungan kepada pendeposit serta pengguna perkhidmatan perbankan dan kewangan lain.

Akta Insurans 1996 dan Akta Takaful 1984 pula bertujuan mengawal selia industri insurans untuk memberi perlindungan 'pemunya' dasar insurans. Sementara itu, Akta Sewa Beli 1967 bertujuan mengawal perniagaan sewa beli dengan menggariskan hak pengguna yang dilindungi akta. Dalam soal berkaitan pembelian rumah, pengguna dilindungi oleh Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 yang bertujuan mengawal industri perumahan di negara ini. Akta ini memberi kuasa kepada Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (TTPR) yang mengadakan prosiding bagi tuntutan pembeli rumah ke atas pemaju yang melanggar kontrak. Selain aspek perundangan, kerajaan turut menggubal beberapa dasar dan institusi perlindungan pengguna. Antaranya Dasar Pengguna Negara (DPN) yang diluluskan Kabinet pada Mei 2002 bertujuan mewujudkan keseimbangan hak dan tanggungjawab tiga pihak iaitu pengguna, peniaga termasuk pembekal dan pengilang dan kerajaan. Sejak diwujudkan, DPN berjaya memperkukuh perlindungan pengguna di negara ini.

Selain itu, Rukuniaga Malaysia (RM) dan Kod Etika Amalan Perniagaan (KEAP) turut diperkenalkan oleh Majlis Penasihat Perlindungan Pengguna Kebangsaan (MPPPK) untuk membina tanggungjawab moral dan sosial peniaga terhadap pengguna di negara ini. KEAP dirangka pada 1982, manakala RM pula pada 2002. Untuk menyelesaikan sebarang pertikaian antara pengguna dan pengeluar atau peniaga maka Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) ditubuhkan Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan mula dikuatkuasakan pada November 1999. TTPM merupakan sebuah badan bebas bertujuan mendengar dan mengadili tuntutan pengguna dan had pampasan ganti rugi yang dibenarkan oleh tribunal berkenaan adalah tidak melebihi RM25,000. Selain tribunal pengguna, kerajaan juga mewujudkan Biro Perantaraan Kewangan (BPK), Biro Pengantaraan Perbankan (BPP) dan Biro Pengantaraan Insurans (BPI). BPK ditubuhkan pada Januari 2005 bertujuan menyelaraskan BPP dan BPI serta memastikan pertikaian yang dihadapi oleh pengguna dan institusi insurans/takaful dan kewangan (perbankan) diselesaikan secara berkesan dan cepat.

Apa pun, perlindungan pengguna di negara ini akan menjadi berkesan sekiranya gerakan kepenggunaannya memainkan peranan aktif menyedarkan rakyat tentang hak dan tanggungjawab mereka selaku pengguna. Kewujudan Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) pada Jun 1973 menjadikan gerakan kepenggunaan di negara ini lebih dinamik dan terarah. FOMCA berperanan memayungi kebanyakan persatuan pengguna serta mengatur pelbagai perancangan dan aktiviti kepenggunaan di negara ini. Antaranya, menyedarkan pengguna terhadap kuasa dan tanggungjawab mereka, membantu menegakkan hak pengguna, mengesan pelbagai penyelewengan pengeluar dan peniaga serta menjadi pendorong kepada penggubalan akta-akta berkaitan perlindungan pengguna. Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) juga adalah di antara persatuan pengguna yang memainkan peranan cukup berkesan dalam melindungi dan memberi pendidikan kepenggunaan kepada pengguna di negara ini.

Kesimpulan, perlindungan pengguna di negara ini membabitkan kerangka perundangan, institusi perlindungan pengguna dan peranan NGO. Aspek yang perlu dipertingkatkan adalah memperkukuh pendidikan kepenggunaan. Malah, peniaga dan pengeluar juga perlu dididik secara berterusan supaya mereka benar-benar mengikuti Garis Panduan Rukunniaga Malaysia serta mengamalkan Kod Etika Amalan Perniagaan. FOMCA, CAP dan PPIM boleh mengadakan siri-siri dialog, seminar atau penerangan dengan pihak pengeluar, peniaga dan pembekal mengenai tanggungjawab mereka melindungi pengguna.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber :
Utusan Malaysia
26 April 2012

ISU EKONOMI : SEMAKIN TUA SEMAKIN MISKIN


Oleh Fauziah Arof


Boros punca ramai rakyat di negara ini jatuh miskin? Ada orang yang tak boros pun miskin juga, itu kata seorang teman kepada saya. Memanglah agak sukar untuk mengaitkan orang miskin dengan amalan boros, golongan ini tidak ada banyak wang atau tiada wang langsung untuk dibelanjakan. Apatah lagi untuk menjadi seorang yang pemboros. Namun sikap boros ini yang terutamanya melibatkan golongan berpendapatan rendah dan sederhana, amat berbahaya dan boleh menjerat diri sendiri dan keluarga di hari tua. Ini kerana dalam usia yang kian meningkat, tanpa kita sedari hari persaraan bekerja pun semakin hampir, tetapi dalam masa sama tiada tabungan dibuat kerana memikirkan ada wang simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang boleh dikeluarkan apabila pencen nanti.

Sudah tentu, mengharapkan wang simpanan dalam KWSP untuk menampung kehidupan di masa tua adalah tidak mencukupi. Kena pula dalam usia persaraan tersebut, kita tetap meneruskan perangai boros. Maka sekejapan sahaja wang tersebut yang disimpan bertahun-tahun lamanya, boleh habis dalam masa beberapa hari. Dan untuk mengharapkan bantuan anak-anak, tidak semuanya berpendapatan lumayan yang boleh membantu ibu bapa kerana pada masa sama mempunyai tanggungan keluarga masing-masing, dan kesusahan akan lebih terasa apabila anak-anak masih belajar atau belum bekerja. Sebab itu, pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu perlu ada, kerana ibu bapa yang sudah tua tidak perlu melangsaikan hutang itu, yang membayar ialah anak-anak apabila mereka pula bekerja.

Maka dengan macam-macam masalah kewangan, hari tua yang sepatutnya dinikmati dengan tenang bersama anak cucu, akan menjadi amat ‘memeritkan’ dan huru-hara kerana dalam usia yang lanjut itu ada yang terpaksa mencari kerja atau berniaga kecil-kecilan untuk meneruskan sisa-sisa hidup. Sedangkan hari tua adalah satu fasa kehidupan untuk berehat. Memang amalan menabung, adalah penyelamat pada usia tua. Tetapi ramai yang memberi alasan, gaji yang diterima sekarang pun tidak cukup untuk keperluan sebulan, inikan pula mahu menyimpan. Begitulah peritnya kehidupan, bukan semua daripada kita bernasib baik dapat menyandang jawatan tinggi dan bergaji tinggi, tetapi bersusah-payah dahulu sekarang, bersenang-lenang kemudian adalah jauh lebih baik daripada bersusah-payah dahulu, sekarang dan selama-lamanya.

Hakikatnya, amalan menabung, walaupun sedikit jumlahnya adalah jauh lebih baik juga daripada tiada langsung. Menurut Pengurus Besar Tune Ins Holding Sdn. Bhd., K. Sasitharan yang bercakap mengenai keborosan yang menyebabkan kebanyakan rakyat negara ini jatuh miskin selepas bersara baru-baru ini, wang simpanan RM1 juta atau RM2 juta bukan satu nilai yang selamat seandainya amalan boros diteruskan semasa usia persaraan. Bagaimanapun, beliau berpendapat, sekiranya anda memiliki simpanan kurang daripada RM 1 juta tetapi hidup dengan cukup sederhana dan berhemah, wang yang dimiliki mampu bertahan. Memang di negara ini, dalam kita bising harga barangan naik, gaji tak naik, tapi masih ramai yang boleh menjalani gaya hidup mewah dengan gaji yang tak seberapa.

Golongan ini berbelanja bukan mengikut keperluan, jauh sekali mengikut kemampuan, tetapi terpengaruh dengan gaya kehidupan sekeliling. Justeru, ramai yang menanggung hutang kad kredit yang seperti tak habis-habis walaupun sudah tidak bersara. Memang bukan mudah untuk beralih pada gaya hidup yang lebih sederhana sekiranya sudah lama menikmati gaya hidup ala-ala orang kaya, tetapi kita juga kena berfikiran jauh dan membuat persediaan secukupnya untuk menjalani kehidupan selepas bersara. Apabila sudah bersara, kita masih memerlukan wang untuk makan atau membeli barangan keperluan lain dan dalam usia tua nanti pelbagai penyakit pula yang akan datang dan kita perlu menyediakan wang secukupnya untuk menanggung kos perubatan.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber :
Utusan Malaysia
26 April 2012

25 April 2012

ISU POLITIK : MEMBINA INTEGRITI DALAM POLITIK


Oleh
MOHAMAD IQBAL AB. WAHAB
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Penulis ialah pemenang pertama Pertandingan Menulis Esei Integriti Politik peringkat pengajian tinggi yang dianjur oleh Institut Integriti Malaysia (IIM) baru-baru ini.


Persoalan integriti bukanlah sekadar persoalan yang bersifat teoritikal, sebaliknya merupakan persoalan pengaplikasian. Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, integriti didefinisikan sebagai kejujuran dan keutuhan. Maka dalam konteks pengamalan sejagat, integriti menjadi suatu prinsip yang tegas dalam pengaplikasian praktikal, bukan sekadar slogan yang dilaungkan tanpa suatu tindakan yang tepat dan cepat. Lapangan yang praktikal dalam membahaskan realiti integriti adalah bidang politik. Politik sebagaimana didefinisikan oleh Kamus Dewan Edisi Keempat sebagai pengetahuan yang berkaitan dengan pentadbiran dan pengurusan, tidak dapat dielak daripada membahaskan persoalan integriti kerana sifat politik itu merangkumi keseluruhan bidang dalam hidup manusia termasuklah yang berkaitan dengan isu-isu asas iaitu pendidikan, sosial dan ekonomi.

Bahkan Ibnu Khaldun juga menyebut dalam Mukaddimah, manusia itu politikal secara semula jadi iaitu mereka tidak boleh hidup tanpa organisasi sosial yang mana menurut ahli falsafah diistilahkan sebagai 'kota.' Oleh kerana sifat semula jadi manusia itu adalah berpolitik iaitu mentadbir urus, maka integriti sebagai nilai akan mencorakkan sifat politik manusia itu sendiri sama ada berpolitik secara Machiavelli melalui teori real politic yang membenarkan segala-galanya asalkan matlamat tercapai, atau berpolitik dengan prinsip memelihara kerukunan masyarakat tanpa meminggirkan nilai-nilai asas sepanjang perangkaan dan pelaksanaan sesuatu pelan tindakan mahupun dasar.

Di mana-mana pun, semua orang tahu, integriti itu penting dalam seluruh urusan kehidupan. Namun, tahu sahaja tidak memadai, sekiranya tidak difahami dan dipraktikkan, terutamanya dalam lapangan politik. Ada manusia tahu bahawa menerima rasuah itu salah - bukan sahaja dari sudut moral, tetapi juga dari sudut undang-undang. Namun, tanpa segan silu rasuah masih berleluasa. Itulah bezanya manusia yang berfikir menggunakan akal tanpa hati dengan manusia yang berfikir dengan akal dan dicerahkan melalui hati. Apabila persoalan integriti dikesampingkan dalam lapangan politik, manakala amalan dan kebiasaan menerusi kepincangan-kepincangan yang didiamkan berleluasa seperti rasuah dan penipuan resit pembelian, pada waktu itu, yang menjadi indikator adalah idea utilitarian, yang bersetuju dengan pandangan umum yang mengikitiraf gejala penyelewengan itu sebagai sesuatu yang dibenarkan.

Semakin lama perkara ini berleluasa, semakin kuat dan utuhlah kepercayaan ini sehingga membentuk budaya. Sewaktu perkara ini telah menjadi suatu kebudayaan, pada waktu itulah, mentaliti juga telah terjangkit sama sehinggakan yang salah itu dirasakan benar, manakala yang benar itu dirasakan salah. Kesan yang lebih parah ialah bagaimana keadaan ini mampu merosakkan perkembangan negara dari sudut pembangunan infrastruktur dan modal insan. Sebagai contoh, laporan Ketua Audit Negara telah memperlihatkan betapa persoalan integriti dalam pengurusan dana kerajaan telah dipandang remeh. Kelemahan dari sudut pengurusan pengagihan. Begitu juga dengan pendedahan penipuan harga. Penyelewengan dan kegagalan dalam pengurusan integriti dalam kalangan individu-individu yang memegang amanah inilah menyebabkan terencatnya pembangunan dari sudut penyediaan kemudahan kepada masyarakat umum.

Wang yang sepatutnya boleh dibelanjakan untuk perkembangan dan penyediaan infrastruktur lain telah dikorupsikan menyebabkan peruntukan menjadi tidak cukup, dan inilah yang membantutkan kadar pertumbuhan negara. Sekiranya perkara ini terus-terusan berlaku, kita akan terus terbeban dengan hutang, bagi menampung kebocoran yang berlaku, malahan pemotongan bajet yang akan dilakukan termasuklah rasionalisasi subsidi yang akan dilakukan bagi menjamin kelangsungan pertumbuhan dalam negara tidak akan tercapai sekiranya mentaliti dan sikap itu tidak diubah. Begitu juga, dalam membicarakan soal integriti dalam politik, golongan yang secara langsung terlibat adalah ahli politik. Janji-janji menerusi manifesto harus ditunaikan kerana inilah yang dinamakan integriti, iaitu kejujuran dalam menunaikan janji.

Watak yang dimainkan oleh ahli politik termasuk butir bicaranya juga dinilai dari sudut keintegritiannya. Sekiranya yang diomong dan diceramahkan itu tidak dilaksanakan, pada waktu itulah integritinya terhilang. Apatah lagi jika bicaranya itu sering kali mencela dan mencaci, pada waktu itu jugalah, integritinya semakin pudar dan lenyap. Inilah yang disebut oleh Syed Hussein al-Atas dalam Intelektual Masyarakat Membangun sebagai 'bebalisme' yang mana cirinya yang menonjol adalah kehilangan pekerti. Persoalan integriti adalah persoalan bersama kerana integriti harus wujud dalam diri setiap manusia. Menyebarluaskan integriti sebagai budaya memerlukan komitmen yang jelas dan kemas dalam memperkasakan pendidikan.

Pendidikan sebagai asas untuk menyediakan modal insan yang bukan sahaja bertindak sebagai pelaburan dari aspek teknikal, malahan juga harus menjadi pelaburan dari aspek nilai dan prinsip yang benar lagi utuh. Apalah gunanya memiliki pekerja-pekerja mahir yang profesional sekiranya motif rasuah dan penyelewengan berlegar-legar dalam pemikiran mereka menyebabkan pertumbuhan negara masih di takat yang sama, kerana persoalan sikap itu tidak diubah. Maka, di akhir bicara ini, sama-sama kita hayati suatu firman Allah, dalam surah al-Anfal, ayat 27 yang bermaksud, "Wahai orang- orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul, dan janganlah kamu mengkhianati amanah yang dipertanggungjawabkan kepada kamu, sedangkan kamu mengetahuinya."

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber :
Utusan Malaysia
24 April 2012

ISU SOSIAL : CABARAN PENUHI NKRA RASUAH


Oleh HAMDEN RAMLI


Berdasarkan kajian persepsi awam ke atas Program Transformasi Kerajaan (GTP) oleh firma perunding Frost & Sullivan menunjukkan ramai rakyat berpendapat usaha membanteras rasuah yang ditetapkan di bawah program tiga tahun kerajaan itu tidak berjalan seperti diharapkan. Usaha tersebut dikatakan tidak berkesan walaupun angka-angka rasmi menunjukkan sebaliknya. Bagaimanapun, itu adalah hakikat dan cabaran mengurangkan rasuah. Ia tidak semudah untuk membina ratusan kilometer jalan mahupun rumah-rumah mampu milik. Sifatnya yang abstrak menyebabkan hasilnya bukan sahaja sukar untuk dinilai tetapi terdedah kepada pelbagai persepsi. Angka yang positif adakalanya dinilai sebagai negatif, manakala angka negatif yang sepatutnya menggambarkan kejayaan dilihat sebagai kegagalan.

Seperti ditegaskan Pengarah Bahagian Pemantauan dan Penyelarasan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Rasuah, Datuk Hisham Nordin, rasuah tidak boleh dinilai dengan statistik. ''Jika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak tangkap orang, kita dikatakan tidak buat kerja sedangkan keadaan itu mungkin berlaku kerana gejala rasuah tidak ada atau sudah menurun. Manakala, jika tangkapan tinggi pula dilihat sebagai gejala rasuah semakin serius sedangkan pada masa sama ia boleh dinilai sebagai keberkesanan dan kecekapan anggota SPRM memerangi rasuah," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini. Hakikatnya rasuah tidak mudah dibanteras. Konflik dan cabaran bukan hanya pada persepsi tetapi ia merentasi semua perkara bermula daripada usaha mendapatkan tips-tips berlakunya rasuah, risikan, siasatan, proses mendapatkan bukti dan pendakwaan.

Malah dalam aspek teknikal perundangan, kes rasuah sangat rumit. Sebagai contoh kes jenayah membabitkan dadah, dadah tersebut boleh menjadi bukti kukuh bagi mensabitkan kesalahan jika berada dalam tangan tertuduh tetapi bagi kes rasuah, wang rasuah yang ada pada tertuduh tidak boleh dijadikan bukti kukuh mensabitkan berlaku kesalahan rasuah kerana banyak lagi aspek lain perlu diambil kira. Itu belum diambil kira cara rasuah hari ini berlaku, bukan macam dahulu. Hari ini dengan menekan butang, wang sudah berpindah milik tanpa disedari. Menjejak perjalanan wang pula memerlukan kemahiran forensik tinggi. Semua kesukaran itu bagaimanapun bukan alasan untuk mengalah, jauh sekali berdiam diri. Sebaliknya cara dan strategi baru dicari, kelemahan yang ada diperbaiki manakala peluang-peluang bagi membolehkan rasuah berlaku perlu sentiasa ditutup.

Menurut Hisham, persepsi negatif tidak seharusnya mempengaruhi semangat membanteras rasuah kerana apa yang lebih penting adalah untuk memastikan segala inisiatif dirancang dilaksanakan. Dalam hal itu, selaku individu bertanggungjawab memastikan pelaksanaan NKRA Rasuah, beliau boleh berbangga kerana pada tahun pertama pelaksanaannya, NKRA Rasuah telah mencapai kadar pencapaian sebanyak 121 peratus dan meningkat kepada 131 peratus pada tahun kedua. ''Maknanya kita bukan sahaja berjaya melaksanakan semua pelan dirancang tetapi melebihi sasaran. Sebagai contoh, kita rancang buat 10 perkara, tetapi kita telah berjaya menyiapkan 13 perkara," katanya. Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk memastikan perbicaraan kes rasuah boleh diselesaikan dalam tempoh setahun, mewujudkan parameter surat sokongan dan pangkalan data pesalah rasuah.

Selain itu pengenalan portal MyProcurement dan MyPartnership berjaya meningkatkan keberkesanan penyampaian kerajaan manakala pengenalan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 membuktikan keseriusan kerajaan memerangi rasuah. Turut berjaya dilaksanakan penubuhan dan pengukuhan unit pematuhan, sistem pusingan kerja, ganjaran dan pengiktirafan serta mengurangkan budi bicara melalui automosi. Hisham berkata, penubuhan mahkamah khas rasuah juga disusuli dengan langkah melantik hakim yang berpengalaman 15 tahun ke atas bagi mengendalikan perbicaraan. Katanya, inisiatif yang dijalankan telah menyediakan satu kerangka pencegahan rasuah yang berkesan. Inisiatif tersebut bukan sahaja mencetuskan kesan ketara tetapi sedikit sebanyak mengubah keyakinan masyarakat terhadap usaha kerajaan memerangi rasuah.

Berdasarkan tinjuan Transparency International (TI) mengenai Barometer Rasuah Malaysia menunjukkan peningkatan daripada 48 peratus pada 2010 kepada 49 peratus tahun lalu. Selain itu tahap keyakinan juga meningkat dan sentimen umum berubah menjadi bertambah baik.

Malah, berdasarkan Indeks Pemberi Rasuah TI menunjukkan Malaysia berada pada kedudukan ke-15, sebaris dengan Hong Kong yang dikenali sebagai antara negara paling tegas memerangi rasuah serta memiliki undang-undang rasuah paling komprehensif. Kejayaan juga boleh diukur dengan perubahan yang berlaku di jabatan lain seperti Jabatan Kastam dan Eksais Diraja yang pertama kali berjaya mengutip hasil melebihi RM30 bilion tahun lalu. Selain usaha gigih pegawai dan anggota jabatan itu, langkah- langkah memerangi rasuah yang dijalankan sejak tiga tahun lalu bagi menutup ruang bagi berlakunya rasuah turut menyumbang kepada kejayaan tersebut. Hisham berkata, tindakan ke atas syarikat dan membanteras rasuah besar termasuk membabitkan pembiayaan politik merupakan antara inisiatif utama yang bakal dilaksanakan di bawah fasa kedua pelaksanaan NKRA rasuah.

Turut diberikan keutamaan ialah pemurnian dan penambahbaikan ke atas Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA). Katanya, semua inisiatif tersebut dirancang dilaksanakan di bawah Program Transformasi Kerajaan Kedua (GTP2) tahun depan dan untuk itu sesi perbincangan di bawah satu makmal khas membabitkan pegawai daripada pelbagai jabatan telah diadakan baru-baru ini. ''Sebelum ini, jika berlaku rasuah, hanya individu dikenakan tindakan manakala syarikat terlepas kerana di bawah Akta SPRM tidak menyatakan dengan jelas perkara ini. Sedangkan, kesalahan (rasuah) dilakukan untuk syarikat dan yang untung syarikat tetapi apabila kena, syarikat tidak mengaku dan mudah terlepas. Ini yang akan kita perbetulkan supaya syarikat atau sektor korporat juga mempunyai tanggungjawab," katanya.

Hisham menambah, bagi memerangi rasuah syarikat, pihaknya merancang menjadikan Akta Rasuah United Kingdom sebagai rujukan dan penanda aras. Mengenai rasuah politik pula beliau berkata, perkara tersebut telah dimasukkan di bawah GTP1, namun pelaksanaannya kurang berkesan. ''Oleh itu kita berharap makmal kali ini akan membincangkan lebih mendalam mengenai hal itu dan mengenal pasti langkah- langkah yang boleh diambil bagi menjayakan inisiatif berkenaan," ujarnya. Hisham berkata, penglibatan elemen rasuah dan pecah amanah dalam aktiviti penggubahan wang haram pula salah satu sebab mengapa AMLATFA perlu dilihat semula. Katanya, bagi menambah baik akta tersebut pihaknya akan menjadikan Akta Amalan Rasuah Luar Negara (FCPA) Amerika Syarikat sebagai rujukan dan penanda aras. Sementara itu selari dengan pindaan ke atas Akta Penerbitan dan Percetakan, pihaknya juga akan meneliti tahap ketelusan yang boleh diberikan dalam kebebasan maklumat berkaitan penyenaraian aset individu-individu penting. ''Kita akan membandingkannya dengan undang-undang yang sama di seluruh dunia," katanya sambil menambah usaha memerangi rasuah tidak pernah berhenti walaupun persepsi terhadapnya kerap tidak memberansangkan.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber :
Utusan Malaysia
24 April 2012

ISU SOSIAL : KEKOSONGAN JIWA FAKTOR PENULARAN LGBT


Oleh
PROF. DR. SAODAH ABD. RAHMAN
Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.


Permasalahan sosial dalam kalangan umat Islam di negara ini menjadi semakin runcing apabila kegiatan mungkar menjadi lumrah kehidupan masyarakat. Penularan gejala lesbian, gay, biseksual dan transgender serta seks bebas (LGBT) di kalangan umat Islam merupakan perkara serius yang perlu diatasi oleh umat Islam. Faktor yang mendorong dan menggalakkan percambahan LGBT perlu dikaji supaya kegiatan itu dapat dibendung. Perkara berkaitan identiti atau sifat manusia berubah daripada fitrah kepada personaliti bertentangan dengan fitrah adalah mempunyai kaitan dengan bisikan hati yang mendorong jiwa melakukan perkara bertentangan fitrah. Jiwa ini dianggap sebagai nafs al-ammarah (nafsu yang mendorong kepada kejahatan) seperti mana dijelaskan oleh Allah dalam surah 12 (Yusuf): 53 yang bermaksud, " Sesungguhnya nafsu itu (nafsu al-ammarah) selalu menyuruh kepada kejahatan kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhan ku. Sesungguhnya Tuhan ku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang".

Di antara perkara yang diajukan oleh beberapa orang gay kepada penulis adalah bagaimana caranya untuk menghapuskan syahwat yang mendorong mereka begitu bernafsu apabila melihat lelaki yang comel dan menarik. Mereka menjelaskan bahawa mereka cuba untuk mengelakkan perasaan demikian tetapi gagal. Begitu juga dengan lelaki yang bertingkah laku dan berperwatakan wanita gagal untuk mengubah jiwa dan hati mereka menjadi lelaki sejati. Berdasarkan kepada pengakuan dan keluhan golongan ini umat Islam tidak boleh membiarkan golongan tersebut terumbang-ambing dalam alam fantasi yang bertentangan dengan fitrah kejadian manusia. Persekitaran dan corak pendidikan dan pembesaran lelaki dan wanita kadang-kala mendorong remaja Islam bersikap dan bertindak di luar fitrah jantina. Ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam proses pembesaran anak-anak. Ibu bapa perlu prihatin terhadap jenis pakaian, barang permainan anak-anak dan cara mereka bertingkah laku.

Rasulullah SAW amat prihatin dalam soal ini. Baginda menyeru ibu bapa memilih pakaian dan alat permainan berdasarkan kepada jantina . Anak-anak lelaki dilatih dengan kegiatan sukan dan permainan lasak supaya pembentukan tubuh badan menjadi gagah, jiwa dan pemikiran mereka bertepatan dengan jantina mereka. Anak-anak perempuan diberi permainan yang boleh membentuk jiwa keperempuanan seperti anak patung, peralatan rumah atau dapur supaya mereka menggemari kegiatan berkaitan dengan kewanitaan dan keibuan. Perkara seperti ini kurang ditekankan oleh ibu bapa dalam pembesaran anak-anak masa kini. Mereka lebih menumpukan perhatian kepada pendidikan akademik tanpa menghiraukan aspek pendidikan personaliti atau kerohanian. Kadang-kala terdapat ibu bapa terlalu memanjakan anak sehingga tidak berani menegur anak apabila berpakaian dan menunjukkan watak yang berbeza dengan jantina mereka.

Guru-guru di sekolah perlu berperanan bagi mengubah jiwa dan pemikiran kanak-kanak yang mempunyai kecenderungan bertentangan dengan fitrah jantina. Guru-guru kaunseling dan agama sepatutnya membuat pelbagai kegiatan yang boleh mendorong kanak-kanak dan pelajar berminat memakai pakaian dan bersikap berdasarkan jantina mereka. Pengaruh rakan-rakan dan media juga merupakan faktor kepada penularan kegiatan LGBT. Kumpulan gay dan lesbian di Barat begitu aktif menyiarkan aktiviti mereka dalam laman web dengan pelbagai cara untuk menghasut manusia mengikuti kumpulan mereka. Umat Islam terutamanya remaja yang menghadapi kekosongan jiwa atau kehausan hawa nafsu memilih corak kehidupan gay atau lesbian bagi menutup kegiatan mungkar mereka. Perkara berkaitan hawa nafsu dan bisikan syaitan perlu diatasi secara pengisian dan latihan kerohanian. Manusia yang berada dalam tahap nafsu al-ammarah tidak akan mengubah sikap dan tingkah laku mereka melainkan jiwa atau kerohanian mereka sudah berubah ke tahap nafsu al-lawwamah (jiwa yang boleh mendorong manusia merasai bersalah dan menyesal dengan perbuatan mungkar).

Proses untuk menukarkan nafsu al-ammarah kepada nafsu al-lawwamah memerlukan masa lama dan kesabaran tinggi kerana mengubah jiwa dan pemikiran manusia bukan merupakan perkara mudah kerana jiwa itu sudah sebati dalam diri mereka. Oleh itu, kebanyakan golongan LGBT beranggapan mereka dilahirkan dengan jiwa yang bertentangan dengan jantina mereka. Perkara ini diperakui oleh kebanyakan Gereja Protestant di barat terutamanya Gereja Luthren dan Anglican. Gereja Anglican di England melantik gay dan lesbian menjadi bishop. Banyak gereja di negara Barat mengiktiraf perkahwinan gay dan lesbian. Agama Islam tidak memperakui gay dan lesbian sebagai fitrah kejadian manusia tetapi ia adalah aktiviti syaitan untuk menyesat manusia secara membisikkan hasutan jahatnya ke dalam jiwa manusia.

Perkara ini disebut oleh Allah dalam surah 7 (al-A'raf): 27 yang bermaksud, " Hai anak Adam janganlah sekali-kali kamu dapat ditipu oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa mu dari syurga, ia menanggalkan dari keduanya pakaiannya untuk memperlihatkan kepada keduanya auratnya. Sesungguhnya ia [syaitan] dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dari suatu tempat yang kamu tidak boleh melihat mereka". Berdasarkan kepada ayat-ayat al-Quran itu maka umat Islam perlu berwaspada dengan penyebaran kegiatan LGBT di negara ini kerana ia merupakan salah satu agenda syaitan yang terbesar bagi memusnahkan fitrah kejadian manusia. Umat Islam sepatutnya berusaha memulihkan saudara Islam yang dipesongkan oleh syaitan supaya kembali ke pangkal jalan melalui proses tazkiyyah nafs (menyucikan jiwa) dan berusaha secara bersepadu menentang segala agenda pelopor LGBT menghasut umat Islam dan manusia menyahut seruan syaitan.

Perjuangan membanteras kegiatan ini dianggap sebagai jihad al-akhbar (jihad besar) iaitu jihad menentang syaitan yang merupakan musuh yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar. Di antara kegiatan jihad al-akhbar untuk menghapuskan agenda syaitan ini adalah memperbanyakan ceramah agama secara terbuka dan menjelaskan kepada masyarakat hukum hakam berkaitan LGBT mengikut pandangan Islam, mempergiatkan latihan kerohanian di sekolah dan institusi pengajian tinggi supaya jiwa kanak-kanak dan remaja Islam diasuh dengan ilmu kerohanian Islam dan mengadakan pelbagai kegiatan yang disertai oleh kanak-kanak dan remaja. Ini boleh mendorong mereka gemar menceburkan diri dalam kegiatan amar ma'ruf (seperti melibatkan diri dalam kegiatan kebajikan dan kemasyarakatan dan seumpamanya) dan nahy 'an al-mungkar (mencegah kemungkaran). Oleh itu jadikanlah kegiatan tersebut sebagai salah satu aktiviti harian bagi membentuk umat Islam yang berwibawa dan berjaya.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber :
Utusan Malaysia
23 April 2012

ISU UMUM : KERJASAMA TANGANI SAINGAN SERANTAU


Oleh AZMAN ANUAR
rencana@utusan.com.my


Sejak MAS dan AirAsia menandatangani perjanjian pemindahan saham, begitu banyak kritikan kontroversi timbul sehinggakan sebahagian daripada aspek-aspek perjanjian yang begitu bermanfaat terlepas pandang. Hal ini adalah lumrah apabila suara-suara sumbang mampu menenggelamkan sesuatu yang baik daripada perjanjian tersebut. Pada Ogos 2011, pemegang saham terbesar MAS, Khazanah Nasional Bhd. bersetuju untuk menukar saham dengan Tune Air Sdn. Bhd, pemegang saham terbesar Air Asia. Hal ini menyaksikan Khazanah mendapat 10 peratus (%) kepentingan di Air Asia manakala Tune Air mendapat 20.5% kepentingan dalam MAS. Khazanah juga bersetuju untuk memperoleh 10% kepentingan di Air Asia X, anak syarikat Air Asia yang menguruskan penerbangan jarak jauh dengan bajet rendah.

Satu Rangka Kerja Kerjasama yang Komprehensif (CCF) turut ditandatangani yang menyasarkan untuk merealisasikan penjimatan dan meningkatkan hasil dalam pembelian kapal terbang, kejuruteraan, perkhidmatan sokongan bawahan, perkhidmatan kargo, katering dan latihan dalam kalangan tiga syarikat penerbangan tersebut. CCF telah ditandatangani secara serentak oleh MAS, Air Asia dan Air Asia X sepatutnya menyaksikan MAS menumpukan aspek sebagai pengangkutan utama yang menyediakan perkhidmatan yang lengkap, Air Asia menjadi pengangkutan serantau kos rendah dan Air Asia X menjadi pengangkutan kos rendah yang menyediakan penerbangan jarak sederhana hingga jarak jauh. Pertukaran saham yang termasuk di dalam CCF ini telah memberi pandangan negatif dalam pelbagai sektor termasuklah kepada kesatuan kakitangan MAS.

Terlalu banyak fokus diberikan kepada sesuatu yang remeh seperti pertukaran saham sehingga mereka lupa kepada sesuatu yang lebih penting seperti kerjasama yang saling menguntungkan. Kerjasama untuk mendapatkan manfaat bersama adalah agak normal dan tidak mustahil untuk mana-mana organisasi perniagaan, sama ada dengan membuat pertukaran pegangan saham atau sebaliknya menerusi dua atau lebih syarikat. Kerjasama antara dua syarikat sudah tentu memberikan kelebihan kepada mereka namun mereka tidak boleh mencampuri urusan perbelanjaan antara satu sama lain dan mencerobohi identiti antara satu sama lain. Apa yang sedang berlaku sekarang adalah kedua-dua entiti ini menghadapi satu persaingan yang sihat dan memastikan mereka berada di landasan yang sama untuk mengekalkan status mereka sebagai entiti penerbangan yang relevan.

Bekas juruterbang MAS, Kapten Zakaria Salleh berpandangan, jika sebelum ini kakitangan MAS dan AirAsia saling bersaing, sepatutnya kini mereka boleh bekerjasama rapat untuk terus memperbaiki mutu perkhidmatan masing-masing. Katanya, kakitangan kabin MAS yang banyak meraih anugerah antarabangsa sudah tentu mampu berkongsi kepakaran dengan rakan pakatannya itu, manakala kakitangan AirAsia pula boleh berkongsi pengalamannya mengenai penjimatan kos. "Kakitangan kejuruteraan MAS yang mempunyai rekod penyelenggaraan pesawat yang cemerlang boleh dimanfaatkan AirAsia. Mereka kena bertindak sebagai satu pasukan dan bukan lagi sebagai pesaing, membolehkan MAS dan AirAsia memaksimumkan kelebihan masing-masing agar dapat bersaing dalam persekitaran yang lebih mencabar ini," kata Zakaria.

Dalam banyak perkara, persaingan akan membawa keuntungan kepada pengguna, tetapi ia juga boleh membawa kepada pembaziran, lebih-lebih lagi bagi negara kecil seperti Malaysia yang hanya mempunyai sumber manusia yang terhad. Dalam konteks ini, adalah penting bagi MAS dan AirAsia untuk bekerjasama agar pembaziran ini tidak berterusan yang akhirnya akan merugikan negara dan menguntungkan pesaing serantau. Kerjasama dalam bidang minyak dan gas antara Petronas dan Exxon seperti yang berlaku di kawasan telaga minyak Tapis, Shell dan Petronas di kawasan Gumusut-Kakap, Murphy dan Petronas di kawasan Kikeh dan kerjasama menang-menang yang lebih dramatik berlaku antara Shell dan Exxon di kawasan telaga minyak Brent di Laut Utara di Utara United Kingdom yang menunjukkan kerjasama antara entiti yang saling bersaing boleh dicapai tanpa mengorbankan identiti dan objektif perniagaan mereka.

Shell dan Exxon bersaing untuk meluaskan kawasan di negara luar seantero dunia. Apa yang diperlukan ialah keikhlasan dalam bekerjasama untuk mendapatkan manfaat bersama. Satu lagi contoh, Air France + KLM yang telah melakukan kerjasama walaupun kedua-dua syarikat datang dari berlainan negara dan sentiasa bersaing. Siapa yang menentukan mereka patut "berkongsi" sumber masing-masing melalui kerjasama? Secara kesimpulannya, kemungkinan satu kerjasama yang hebat tidak memerlukan pertukaran saham. Pertukaran secara dinamik dalam industri penerbangan barangkali tidak membenarkan MAS bergerak secara sendiri kerana ia akan menjejaskan MAS yang merupakan sebahagian daripada faktor yang membawa kerugian besar kepadanya.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber :
Berita Harian
23 APRIL 2012

18 April 2012

ISU UMUM : PROTON PREVE, MODEL TERBAIK PERNAH DIHASILKAN DI MALAYSIA

Oleh JOHARDY IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my


Kira-kira dua tahun lalu, sekumpulan kecil wartawan dibawa ke bilik rahsia di Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Proton di Shah Alam. ‘Rahsia’ kerana bukan sahaja wartawan dikehendaki membuat aku janji untuk tidak melaporkan atau menyebarkan perihal acara itu tetapi juga kerana tingkap bilik tersebut ditutup dan hanya jurutera serta juruteknik bahagian itu dibenarkan memasuki bangunan. Di dalamnya, sebuah model kereta yang diperbuat daripada tanah liat tetapi ‘lengkap’ sifat luarannya, dipertontonkan. Kumpulan wartawan tersebut diberi masa membelek dan meneliti reka bentuk kereta. Kemudian, seorang demi seorang bangun memberi pendapat, yang butirannya dicatat oleh jurutera-jurutera Proton. Berdasarkan pendapat yang dikeluarkan oleh rakan-rakan wartawan yang juga terdiri daripada beberapa penganalisis industri automotif veteran, reka bentuk model Proton baru ini menerima ulasan positif.

Model tanah liat tersebut menggambarkan ciri-ciri yang ke hadapan dan paling penting, memiliki semua aksesori badan seperti lampu isyarat pada cermin sisi, ruang but yang besar dan lampu LED siang hari. Ketika itu, kereta jenama Korea belum memasuki pasaran atau dilahirkan pun di kilangnya. Reka bentuk Preve lahir daripada kreativiti tulen jurutera Proton yang merupakan anak Malaysia. Ketika itu, Proton sedang sibuk memperkenalkan model yang ditukar jenama iaitu Proton Inspira dari Mitsubishi Lancer dan masih hangat dengan pengenalan model kenderaan pelbagai guna Proton Exora. ‘‘Pembangunan model diberi nama kod P3-21A memerlukan masa. Kita memutuskan untuk melancarkan Proton Inspira bagi mengisi jurang yang ada dan bila P3-21A ini dilancarkan kelak, kita akan susun semula model-model Proton supaya tidak bertindih,” jelas Pengarah Urusan Proton Berhad, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohd. Tahir kepada Utusan Malaysia ketika itu.

Pada 4 April lalu, Syed Zainal Abidin mengumumkan secara rasmi nama model P3-21A ini iaitu Proton Preve (disebut prey-vey) dan kemudian, satu sesi pandu-uji dilakukan dari Putrajaya menuju ke Mantin menggunakan Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas). Ia juga menandakan bermulanya penyiaran gambar Preve di dalam internet, hasil rakaman gambar orang ramai di sepanjang jalan tersebut. Dengan enjin berkapasiti 1.6 liter, Preve bersaing secara langsung dalam Segmen C dengan model-model Toyota Vios, Ford Focus, Honda City dan Kia Forte. Perbandingan tidak akan dapat dielakkan antara Preve dengan jenama-jenama kereta ini. Bagi penyusunan semula model-model Proton, kehadiran Preve menyaksikan Proton Gen.2 dikhususkan untuk pasaran eksport manakala Proton Persona hanya ditawarkan B- Line (transmisi manual) RM46,713 dan (automatik) RM49,713 seunit. Dua lagi varian Persona iaitu M-Line dan H-Line ditamatkan. Ini bermakna Persona B-Line akan diletakkan di bawah Preve, sementara Proton Inspira (enjin 1.8 liter dan 2.0 liter) berharga antara RM78,565 dan RM91,565 seunit sebagai model teratas.

Preve didatangkan dalam tiga varian iaitu model Executive mengguna transmisi manual lima kelajuan berharga RM59,990 seunit, model Executive CVT atau Continuous Variable Transmission dengan enam kelajuan (RM62,990 seunit). Kedua-duanya menggunakan enjin Campro IAFM+ manakala model tertingginya iaitu Premium CVT menggunakan enjin Campro CFE dengan transmisi tujuh kelajuan ProTronic ialah RM72,990 seunit. Bagi enjin Campro IAFM+, ia memiliki kuasa maksimum 80 kW pada 5750 revolusi per minit (rpm) dan kuasa kilas 150 Newton meter (Nm) pada 4000 rpm. Kelajuan maksimumnya ialah antara 170-180 km sejam (km/j). Model Premium CVT pula menawarkan kuasa enjin maksimum 103 kW pada 5000 rpm dan kuasa kilas 205 pada 2000-4000 rpm. Ia boleh dipacu sehingga 190 kmj walaupun semasa sesi pandu uji tempoh hari, kami mencatat kelajuan 210 kmj. Daripada segi keselamatan, varian Premium CVT adalah lengkap. Beg udara bagi pemandu dan penumpang beserta beg udara sisi, selain dengan ABS dan EBD, BA dan Traction Control adalah dipasang standard.

Satu ciri keselamatan penting pada Preve ialah ESP (Kawalan Kestabilan Elektronik). Difahamkan, ia adalah sebagai persediaan Proton untuk memperkenalkan Preve ke pasaran Australia, yang mewajibkan setiap kenderaan dipasang ESP. Teknologi ini tidak dipasang pada banyak kereta Jepun atau Korea pada harga bawah RM100,000. Ciri mewah pada Premium CVT ialah butang menghidupkan enjin, sistem pengesan hujan dan cuaca iaitu dengan menyalakan lampu apabila gelap; pengelap cermin automatik, auto cruise, lampu LED dan bagi yang mahu ‘bermain’ dengan kereta, ia memiliki penukar gear pada kemudi stering (paddle shifters). Mengekalkan ciri-ciri mesra-keluarga, ruang kabinnya memiliki banyak tempat meletak barang termasuk empat cangkuk untuk menggantung plastik makanan iaitu dua cangkuk hanger baju, satu cangkuk di tepi kotak glove dan satu pada tengkuk kerusi penumpang depan.

Preve tidak menggunakan sistem gantungan (suspension) torsion beam seperti Exora sebaliknya sistem gantungan multilink ciptaan Proton sendiri yang lengkap dengan trailing arm dan coilovers. Pemanduan di lebuh raya berombak tidak menjadi gangguan kepada keselesaan dan fokus pemandu. Menggunakan mod S pada transmisi CVT ProTonic dan beralih pada paddle shifters, tidak mengurangkan kejituan pengendalian dan dibantu oleh kemudi stereng yang lebih bertindak balas, kita jadi terlupa sebentar bahawa Preve hanyalah berkapasiti 1.6 liter kerana ia berfungsi seperti model 2.0 liter. Rumusannya? Tanpa rasa berat sebelah atau patriotik melulu, Proton Preve adalah hasil teknologi terbaik pernah dikeluarkan oleh Proton sehingga kini. Bermula dari reka bentuknya yang kontemporari, ciri-ciri aksesori dan keselamatan pada badan sehinggalah kepada keupayaan enjin dan prestasi pemanduan, Proton Preve pasti jadi pilihan ramai dan boleh dieksport ke luar negara dalam erti kata sebenar. Pakej pada Preve adalah lengkap dan memenuhi cita rasa serta kehendak pembeli hari ini.


Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber :
Utusan Malaysia
18 APRIL 2012

ISU UMUM : "SATU NEGARA, SATU MATLAMAT"

Profesor Madya Dr. Sivamurugan Pandian
Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan
Universiti Sains Malaysia


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin secara berterusan menyampaikan mesej bahawa 'keamanan, kestabilan dan pembangunan yang dinikmati membolehkan kerajaan melindungi setiap kaum tidak kira majoriti atau minoriti'. Dalam persekitaran demografi masyarakat majmuk, sudah pasti perlindungan yang dicerminkan oleh Najib dan Muhyiddin merujuk kepada keperluan dan kemahuan masyarakat merentasi Semenanjung, Sabah dan Sarawak mencakupi kesemua warga tanpa mengira batasan keturunan, kepercayaan, agama dan gender. Fahaman politik juga tidak tidak terkecuali. Ia perlu dilihat pasca 2008 bagaimanakah kedua-dua pemimpin ini sedang berusaha gigih memulihkan semula keyakinan dan kepercayaan ke atas parti dan kerajaan; sedangkan ada pihak yang secara berterusan menggambarkan keadaan sebelum 2008 untuk meruntuhkan kadar sokongan sehingga mahu menghakis kekuatan yang cuba dibina oleh Najib dan Muhyiddin.

Teras kepimpinan Najib berpaksikan kepada konsep 1Malaysia yang telah dan sedang melalui fasa berbeza untuk memaparkan sifat 'kepunyaan' dalam mengadun keserasian dalam konteks masyarakat yang rencam dan perbezaan yang jelas ketara. Ketika ia mula diperkenalkan sebagai satu konsep, gagasan, agenda atau dasar sekalipun, ramai menyuarakan ketidakyakinan sehingga ada juga yang menyoal dan mempersendakan konsep tersebut. Namun, hari ini ia sudah mewarnai setiap pelosok negara dengan kepelbagaian dalam penjenamaan dan pasaran sehingga masyarakat dari berbagai kumpulan umur tahu kewujudannya. Konsep 1Malaysia mempunyai tiga fasa yang berbeza yakni tahap kesedaran, kefahaman dan penerapan. Di peringkat pertama, apa yang dilakukan adalah untuk membolehkan masyarakat sedar adanya konsep 1Malaysia di bawah kepimpinan Najib dan mahu memahami tuntutan keperluannya dalam persekitaran politik, ekonomi dan sosial yang sudah jauh berubah disebabkan oleh faktor penolak dan penarik menyumbang kepada keadaan seperti itu.

Ia dilambangkan melalui simbol 1Malaysia yang digunapakai dalam hampir kesemua urusan pentadbiran, perniagaan dan komunikasi yang turut membawa kepad penubuhan kelab dan pasukan penyokong simbol ini. Selepas setahun melepasi fasa ini untuk melahirkan kesedaran, di tahun kedua, kerajaan memulakan projek pemahaman agar lambang tidak dilihat sebagai simbol semata-mata, tetapi tahu fungsi, peranan dan maksud di sebalik simbol 1Malaysia. Ia berkisahkan kepada soal hak dan tanggungjawab dengan penekanan ke atas nilai penerimaan, kenegaraan dan keadilan sosial. Masyarakat Malaysia sememangnya kompleks tetapi itu tidak membenarkan kehadiran syak wasangka, prejudis dan etnosentrik yang tebal dalam kalangan anggotanya.

Yang mahu diutamakan adalah fitrah manusia dilahirkan untuk saling kenal mengenali antara satu sama lain, menerima perbezaan sebagai satu kekuatan dan kepelbagaian adalah aset dan bukan liabiliti yang boleh memudaratkan negara. Nilai kemanusiaan dijadikan perkongsian bersama. Perlembagaan masih utuh di persada tertinggi 1Malaysia supaya warganya tidak bersifat memilih peraturan dan undang-undang semata-mata untuk keselesaan sahaja. Begitu juga dengan semangat patriotisme dan nasionalisme yang disulam dengan nilai hormat, faham dan bertimbangrasa dalam semua keadaan agar tidak menganggu kemuafakatan, keakraban, keharmonian dan perpaduan negara ini. Kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi dan kebebasan amalan agama lain; kedaulatan institusi raja-raja Melayu; Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi dan praktis bahasa lain; serta hak istimewa bumiputera dan hak sah etnik lain serta kewarganegaraan merupakan intipati yang dipertahankan. Maka sesiapa yang hina dan mengejek kedudukan raja-raja Melayu tahu musibahnya kerana ia adalah salah satu teras utama dinding pembinaan negara-bangsa ini.

Sudah pasti dengan kekayaan sumber yang ada, tidak ada masyarakat yang harus terkebelakang. Masing-masing harus mencari titik keseimbangan supaya jurang antara etnik, perbezaan dalam etnik, kedudukan antara kelas tidak membesar sehingga melahirkan golongan yang kaya terus menjadi kaya dan yang miskin kekal papa. Keadilan sosial merangkumi kesemua kelompok komuniti terutama yang berada dalam anggaran 35-40% di bawah garis kemiskinan. Kualiti kehidupan juga menjadi asas utama dalam konsep 1Malaysia. 1Malaysia berprinsipkan 'satu negara, satu matlamat'; masing-masing bersama membuktikan ada kesepaduan menggembleng dan memobilisasi sokongan agar tidak meroboh apa yang sudah dibina selama ini. Konsep 1Malaysia adalah pelengkap kepada Wawasan 2020 yang mahu melihat bangsa Malaysia bertamadun, menjunjung ketertinggian Perlembagaan, fasih berbahasa Malaysia dan bangga menjadi warga Malaysia.

Sepanjang tiga tahun berdasarkan kepada perjuangan ini, maka Najib berjaya melontar pencapaian di bawah perancangan konsep 1Malaysia. Orang kebanyakan tidak faham segala pelan transformasi beliau kerana ia mungkin mudah untuk segelintir sahaja dan pastinya kita tidak mahu mendalami formula pencapaian bersama konsep mikro dan makro dalam pemahaman transformasi yang dijana. Yang mahu dilihat dan mudah difahami adalah kejayaan seperti BR1M, Klinik Rakyat 1Malaysia, Skim Penyelarasan Harga, Bantuan Pelajar RM100, Baucar Buku 1Malaysia RM200, Karisma (Program Kebajikan Rakyat 1Malaysia), SARA 1Malaysia, PRIMA (Perumahan 1Malaysia), TUKAR (Transformasi Kedai Runcit), Menu Rakyat 1Malaysia; semuanya adalah bentuk pelan transformasi berpusatkan kepada konsep 1Malaysia.

Itulah yang akan difahami oleh rakyat dari diberitahu untuk menyelami pelan strategik dan hala tuju kerana yang akan dinilai adalah pelaksanaan dan sistem penyampaian yang memberi kesan kepada kumpulan sasar dan bukan sebagaimana yang dibukukan mengikut perancangan yang sukar difahami oleh akar umbi kerana bersifat akademik. Barangkali, sebagai Pemangku Menteri Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; praktis 1Malaysia boleh diperhebatkan sebagaimana dilakukan ke atas SARA 1Malaysia dan Karisma. Najib boleh melakukan penambahbaikan ke atas isu berkaitan wanita, keluarga, orang kurang upaya, warga emas dan masyarakat terutama ketika umum sedang berhadapan dengan krisis sosial yang berpanjangan. Malahan, ini masanya untuk melakukan perubahan drastik ke atas isu kebajikan kerana masih ramai yang dipinggirkan walaupun ada yang mendapat bantuannya.

Yang penting adalah selepas melalui kesemua fasa, Najib harus memastikan tidak ada sabotaj dalam pelaksanaan yang dilakukan agensi berkaitan kerana pelaksana juga harus diperingatkan bahawa walaupun mereka mungkin mempunyai fahaman politik yang songsang dan tidak sealiran, tetapi tanggungjawab sebagai penjawat pelaksanaan tidak boleh dikompromi. Begitu juga dengan kumpulan yang 'belakang cakap satu, di depan cakap satu'. Personaliti seperti ini harus dihukum oleh pihak berwajib dan masyarakat. Sama ada Malaysia akan mengukir sejarah baru kini atau menjadi nota kaki dalam lipatan sejarah terletak di tangan rakyat. Malaysia harus boleh merentasi tahun-tahun mendatang dengan membina keazaman, keyakinan dengan mengambil iktibar dan iltizam dengan apa yang berlaku disini dan ditempat lain. Nilai ekstremisme fahaman politik mesti ditolak dengan majoriti kumpulan yang senyap tidak membiarkan kehilangan apa yang kita ada.

Kesederhanaan atau wasatiyah mendasari prinsip perjuangan kepimpinan hari ini dan ia wajar dijadikan rujukan berterusan sebagaimana yang dilakukan oleh negara luar. Hanya masa yang akan menentukan apakah Malaysia akan kekal sebagai contoh kepada negara lain yang mengiktiraf dan memberikan penghormatan kepada bumi ini jika rakyatnya sendiri tidak mahu melihat kepentingan keserasian kepelbagaian tanah air ini.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber :
Utusan Malaysia
18 APRIL 2012

ISU BAHASA : FAKTA POLITIK DALAM PERIBAHASA

Oleh ARIF ATAN
Tutor di Jabatan Sosio-Budaya Melayu,
Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.


Masyarakat hari ini semakin selektif kesan daripada globalisasi yang membawa pelbagai bentuk saluran maklumat dengan kadar yang cepat. Menyedari hakikat itulah, pentingnya para pemimpin hari ini menggunakan fakta semasa berdepan dengan khalayak masyarakat. Penekanan kepada budaya politik matang adalah antara intipati wawancara bersama Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang dimuatkan dalam Mingguan Malaysia pada 15 April 2012. Beliau juga memberikan beberapa contoh pendekatan yang digunakannya sendiri dalam usaha menangani dan menguruskan persepsi. Apa yang ditekankan oleh Menteri Pertahanan itu sebenarnya juga dapat kita telusuri dalam khazanah manuskrip dan peribahasa Melayu kita.

Pemimpin yang konsisten berhujah menggunakan fakta tidak mustahil akan mempengaruhi tanggapan rakyatnya walaupun sebelum itu mungkin mereka begitu tegar untuk tidak berpihak dengannya ibarat "batu yang keras air pelekuknya, hati yang keras lidah pelembutnya". Sebaliknya, keadaan "umpama kita membawa jarum, dia menyambut dengan gunting" akan timbul kerana kegagalan pemimpin berhujah dengan fakta walaupun mungkin pemimpin itu ikhlas mahu membantu kepada pencerahan masa depan rakyatnya. Pemimpin yang berhujah tanpa fakta juga "umpama hendak menepung tiada berberas". Akibatnya, mesej yang mahu disampaikan kepada rakyat gagal difahami kerana mudah benar dimanipulasi. Tidak dapat disangkal lagi, fakta yang jelas adalah syarat utama dalam proses menangani persepsi rakyat.

Usahlah seseorang pemimpin itu bersikap "tak tahu menganyam, pandan disalahkan" atau "tidak tahu menari dikatakan lantai jongkang-jongket". Menganggap rakyat sebagai lupa diri atau tidak kenang budi atas jasa bakti yang sebelum ini diberi pasti tidak akan timbul jika pemimpin bijak mengatur fakta dalam berhujah. Namun, dalam masa fakta dalam hujah diberi keutamaan ada ketikanya sesuatu perkara itu menjadi lebih baik untuk tidak dihebahkan. Biarlah hal itu "ditelan menjadi manikam" kerana jika "dimuntahkan menjadi sekam". Hujah yang mengandungi fakta juga dapat mengelak daripada berlakunya persengketaan kerana "setajam-tajam pedang tumpul dijilat lidah" manakala pelaksanaan sebarang tindakan eloklah menurut resmi sirih.

Orang tua-tua dahulu telah berpesan "umpama sirih, menjulur dahulu kemudian melilit, sudah melilit barulah memanjat ke pucuk junjung". Jelas, para pemimpin pun tidak terkecuali daripada mematuhi ketertiban dan peraturan apabila tampil berkomunikasi dengan rakyat. Pemimpin yang bercakap tanpa fakta sebaliknya hanya cakap besar tetapi kosong akan dilihat oleh rakyat "bagai gelegar buluh" serta tidak dipercayai lagi seperti "gaharu dibakar kemenyam berbau". Demikianlah beberapa ungkapan daripada lebih 2,000 peribahasa asli Melayu yang terkandung dalam Tikaman Bahasa yang telah disusun oleh Muhammad Adnan Muhammad Ariffin pada 79 tahun lalu. Banyak lagi ungkapan peribahasa Melayu yang wajar diambil iktibar oleh para pemimpin kita supaya pemikiran mereka tampil lebih bijaksana dan boleh dipercayai di mata rakyat.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber :
Utusan Malaysia
18 APRIL 2012

12 April 2012

ISU KENEGARAAN : KE ARAH MENEMPA DEMOKRASI KEEMASAN

Bismillahirahmanirrahim.
 Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam 1Malaysia.

Pertama-tama, sebesar-besar pujian dan rasa syukur diucapkan ke hadrat Allah S.W.T yang telah melimpah taufik dan kurnia-Nya kepada kita semua agar hidup dalam aman dan kerukunan.

Ampun Tuanku,

Menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah. Menghadap Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah. Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik mohon diampun.

Sebagai bunga mukadimah, patik bagi pihak Kerajaan, anggota keselamatan, penjawat awam dan rakyat Malaysia sekaliannya mempersembahkan setinggi-tinggi junjungan kasih kepada Tuanku berdua sempena pertabalan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong keempat belas, pada pagi yang penuh beristiadat ini. Sesungguhnya, lembaran-lembaran kehidupan sejak zaman berzaman menyaksikan setiap satu perkara akan tiba jua pada waktunya. Setiap satu peristiwa pula akan berlaku pada tempoh dan saatnya. Maka, setelah lebih 40 tahun berlalu pada pagi yang nyaman dan syahdu ini, Malaysia sekali lagi mengukir dan memahat pada titik-titik garisan sejarah negara yang bitara lagi tersendiri, apabila bertakhta buat kali keduanya, Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Sayugia majlis pertabalan ini menjadi perlambangan betapa utuhnya institusi kebangsaan yang telah terzahir sejak lebih lima dekad lalu. Inilah cerminan kebijaksanaan pentadbiran bapa-bapa pengasas pertiwi tercinta yang bertali arus lagi sambung menyambung semenjak Almarhum Tunku Abdul Rahman sampailah kini dalam mengadun dan menenun fabrik warisan lampau serta keperluan masa depan demi mencipta kestabilan nasional. Hasilnya, lahirlah sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen yang berteraskan falsafah Persekutuan serta prinsip ketertinggian perlembagaan itu sendiri. Lalu wujudlah sebuah ekosistem sebagai pemangkin kepada transformasi Malaysia daripada sebuah negara pertanian berpendapatan rendah kepada sebuah negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi.

Ampun Tuanku,

Membuka lipatan-lipatan waktu, negara kita telah diuji dan dihadapkan dengan pelbagai episod genting seperti darurat, pemberontakan Parti Komunis Malaya, era konfrantasi dan insurgensi. Kemudiannya, ketidakstabilan ini ditambah buruk oleh pergeseran kaum akibat dieksploitasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Era luar biasa tersebut memerlukan langkah yang juga luar biasa untuk menanganinya. Kini, masa telah berkisar, musim juga beralih. Maka, sebagai Kerajaan yang menjunjung kepentingan rakyat, langkah luar biasa wajar diambil berpaksikan keberanian moral demi perubahan dan pembaharuan.

Ampun Tuanku,

Sempena sambutan Hari Malaysia ke-48, patik bagi pihak Kerajaan telah mengumumkan sebuah road map dalam memeta perubahan dan pembaharuan landskap siasah negara melalui Program Transformasi Politik atau PTP. PTP adalah sebahagian daripada Dasar Transformasi Nasional yang melibatkan komponen Program Transformasi Kerajaan, Program Transformasi Ekonomi, Model Baru Ekonomi dan Program Transformasi Luar Bandar. Bagi menjelaskan lagi, sebenarnya, usaha-usaha untuk merencana segala bentuk transformasi tersebut, bermula tiga tahun lalu, adalah sebagai tapak, kerangka serta landasan yang mencakupi semua aspek dan bidang. Apa yang penting, matlamat akhirnya adalah untuk memacu Malaysia menjadi sebuah negara maju dengan rakyat berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Sebetulnya lagi, PTP digembleng atas sebab Kerajaan Tuanku menginsafi bahawa keinginan muncul sebagai negara maju menuntut kepada kemajuan kedua-dua elemen, iaitu hardware atau perkakasan, serta software yakni perisian.

Hakikatnya, kehebatan infrastruktur fizikal semata-mata tanpa terbangunnya kesetaraan dari segi roh, semangat serta kesegaran intelek, sesebuah kemajuan itu mana mungkin bersifat mapan. Menjengah sudut pandang yang lain, Kerajaan Tuanku percaya bahawa setelah lebih separuh kurun merdeka dan mengamalkan demokrasi, masyarakat berbilang kaum di Malaysia telah mencapai tahap kematangan yang tinggi. Berpegang kepada hal itu, kita kini bersedia memasuki era baru di mana fungsi kerajaan tidak lagi dilihat sebagai mengehadkan kebebasan individu, sebaliknya, untuk memastikan bahawa hak-hak asasi yang dilindungi perlembagaan bagi setiap individu itu terjamin. Selanjutnya, satu perimbangan adil, dapat pula ditemui antara kebebasan seseorang dan keselamatan kebangsaan.

Ampun Tuanku,

Bersesuaian dengan iltizam, Kerajaan Tuanku melalui Parlimen telah pun membatalkan tiga proklamasi darurat yang masih berkuatkuasa dan akan membiarkan kesemua ordinan di bawah perisytiharan tersebut mansuh pada bulan Jun ini kecuali tiga ordinan yang akan dibentangkan sebagai rang undang-undang baru di Parlimen. Rang undang-undang berkenaan adalah yang berkaitan dengan RELA, Rukun Tetangga dan Undang-Undang Laut Wilayah. Kerajaan Tuanku juga telah mengambil langkah-langkah memansuhkan Akta Kediaman Terhad, Akta Buang Negeri dan menggubal Akta Perhimpunan Aman serta meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti atau AUKU. Pada hari Isnin depan, bersamaan 16 April ini, di Parlimen, patik akan membentangkan rang undang-undang bagi memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA. Pada hemah kerajaan, meskipun ISA telah banyak berjasa kepada negara, ia telahpun melampaui jangka hayat kegunaannya.

Ringkasnya, kita memerlukan kerangka baru perundangan keselamatan nasional dalam era kontemporari yang semakin kompleks. Di bawah undang-undang baru, Kerajaan Tuanku mengambil keputusan untuk menghapuskan kuasa tahanan tanpa perbicaraan dimiliki Menteri Dalam Negeri manakala tahanan oleh pihak berkuasa bagi tujuan siasatan kini dipendekkan. Kuasa semakan kehakiman pula akan dikembalikan sepenuhnya kepada Mahkamah. Rang Undang-Undang ini juga menjamin bahawa tidak ada seorang pun rakyat Malaysia boleh ditahan kerana kepercayaan atau aktiviti politiknya.

Ampun Tuanku,

Pendek kata, Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan yakni Langkah-Langkah Khas bukan sahaja akan memastikan pihak berkuasa mempunyai senjata perundangan yang cukup bagi memerangi keganasan global dan mempertahankan demokrasi berparlimen di Malaysia, tetapi juga untuk memelihara hak kebebasan warganegara. Kesimpulannya, semua prakarsa, inisiatif dan program ini adalah tidak lain dan tidak bukan untuk memastikan tempoh pemerintahan Tuanku, Insya-Allah, akan menempa sebuah kala demokrasi keemasan di Malaysia.

Ampun Tuanku,

Sememangnya peranan Raja-Raja Melayu sejak dari zaman Kesultanan Melaka, tempoh sebelum merdeka, membawa kepada mencapai kemerdekaan telah tersulam kemas sehinggalah kini dalam perjalanan Malaysia pada era moden. Kendatipun pertautan raja dan rakyat sedang menyelusuri jejak-jejak waktu, namun ia kekal relevan mendakap realiti semasa. Benarlah bagai dikata hubungan raja dan rakyat terpisah tiada. Bagai aur dengan tebing, saling melengkapi. Ikatan kedua-duanya begitu simbiotik, berputik melalui wa'ad dan bai'ah yang telah terpateri kukuh di Bukit Siguntang Mahameru antara Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun serta kisah-kisah dalam Hikayat Merong Mahawangsa. Selanjutnya lagi, tawarikh telah turut membuktikan apabila perhubungan antara keduanya disuburi keharmonian serta dibajai emosi dan kerohanian yang mendalam, maka sebarang apa pun kemelut yang dihadapi negara dapat ditangani dengan jayanya.

Ampun Tuanku,

Sehubungan itu, patik sekali lagi mewakili kerajaan dan rakyat seluruhnya merakamkan rasa bangga kerana tonggak institusi Yang di-Pertuan Agong sebagai kepala utama negara kembali dipegang oleh Tuanku yang sangat berpengalaman dan terkenal mengasihi rakyat jelata. Laginya, serasa pula tidak lengkap, seandainya patik dan pihak keluarga tidak mengambil kesempatan ini secara khusus bagi melahirkan rasa bertuah kerana setelah Allahyarham ayahanda patik berpeluang berkhidmat dengan Tuanku, kini ditakdirkan pula giliran patik untuk menumpah khidmat. Segalanya dalam perhitungan Allah, dan mudah-mudahan Tuhan yang Maha Esa memberi pertolongan dan inayah-Nya kepada kita semua.

Ampun Tuanku,

Akhir kalam, patik bagi pihak kerajaan, hamba rakyat, putera puteri watan ini serta segenap jajah takluknya dengan penuh rasa kasih mesra yang marak lagi menyala, memohon semoga Allah S.W.T melanjutkan usia Tuanku dan Tuanku Permaisuri serta sentiasa terpelihara dalam keadaan sihat walafiat. Moga-moga Tuanku berdua kekal bersemayam di atas takhta Persekutuan dan dipermudahkan segala urusan bagi menjalankan tugas-tugas rasmi negara, demi Malaysia yang tercinta.

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Ampun Tuanku.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
12 APRIL 2011