Oleh
MOHAMAD
IQBAL AB. WAHAB
Universiti
Islam Antarabangsa Malaysia
Penulis
ialah pemenang pertama Pertandingan Menulis Esei Integriti Politik peringkat
pengajian tinggi yang dianjur oleh Institut Integriti Malaysia (IIM) baru-baru
ini.
Persoalan
integriti bukanlah sekadar persoalan yang bersifat teoritikal, sebaliknya
merupakan persoalan pengaplikasian. Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, integriti
didefinisikan sebagai kejujuran dan keutuhan. Maka dalam konteks pengamalan
sejagat, integriti menjadi suatu prinsip yang tegas dalam pengaplikasian praktikal,
bukan sekadar slogan yang dilaungkan tanpa suatu tindakan yang tepat dan cepat.
Lapangan yang praktikal dalam membahaskan realiti integriti adalah bidang
politik. Politik sebagaimana didefinisikan oleh Kamus Dewan Edisi Keempat
sebagai pengetahuan yang berkaitan dengan pentadbiran dan pengurusan, tidak
dapat dielak daripada membahaskan persoalan integriti kerana sifat politik itu
merangkumi keseluruhan bidang dalam hidup manusia termasuklah yang berkaitan
dengan isu-isu asas iaitu pendidikan, sosial dan ekonomi.
Bahkan
Ibnu Khaldun juga menyebut dalam Mukaddimah, manusia itu politikal secara
semula jadi iaitu mereka tidak boleh hidup tanpa organisasi sosial yang mana
menurut ahli falsafah diistilahkan sebagai 'kota.' Oleh kerana sifat semula
jadi manusia itu adalah berpolitik iaitu mentadbir urus, maka integriti sebagai
nilai akan mencorakkan sifat politik manusia itu sendiri sama ada berpolitik
secara Machiavelli melalui teori real politic yang membenarkan segala-galanya
asalkan matlamat tercapai, atau berpolitik dengan prinsip memelihara kerukunan
masyarakat tanpa meminggirkan nilai-nilai asas sepanjang perangkaan dan
pelaksanaan sesuatu pelan tindakan mahupun dasar.
Di
mana-mana pun, semua orang tahu, integriti itu penting dalam seluruh urusan kehidupan.
Namun, tahu sahaja tidak memadai, sekiranya tidak difahami dan dipraktikkan,
terutamanya dalam lapangan politik. Ada manusia tahu bahawa menerima rasuah itu
salah - bukan sahaja dari sudut moral, tetapi juga dari sudut undang-undang.
Namun, tanpa segan silu rasuah masih berleluasa. Itulah bezanya manusia yang
berfikir menggunakan akal tanpa hati dengan manusia yang berfikir dengan akal
dan dicerahkan melalui hati. Apabila persoalan integriti dikesampingkan dalam
lapangan politik, manakala amalan dan kebiasaan menerusi
kepincangan-kepincangan yang didiamkan berleluasa seperti rasuah dan penipuan
resit pembelian, pada waktu itu, yang menjadi indikator adalah idea utilitarian,
yang bersetuju dengan pandangan umum yang mengikitiraf gejala penyelewengan itu
sebagai sesuatu yang dibenarkan.
Semakin
lama perkara ini berleluasa, semakin kuat dan utuhlah kepercayaan ini sehingga
membentuk budaya. Sewaktu perkara ini telah menjadi suatu kebudayaan, pada
waktu itulah, mentaliti juga telah terjangkit sama sehinggakan yang salah itu
dirasakan benar, manakala yang benar itu dirasakan salah. Kesan yang lebih
parah ialah bagaimana keadaan ini mampu merosakkan perkembangan negara dari
sudut pembangunan infrastruktur dan modal insan. Sebagai contoh, laporan Ketua
Audit Negara telah memperlihatkan betapa persoalan integriti dalam pengurusan
dana kerajaan telah dipandang remeh. Kelemahan dari sudut pengurusan
pengagihan. Begitu juga dengan pendedahan penipuan harga. Penyelewengan dan
kegagalan dalam pengurusan integriti dalam kalangan individu-individu yang
memegang amanah inilah menyebabkan terencatnya pembangunan dari sudut
penyediaan kemudahan kepada masyarakat umum.
Wang
yang sepatutnya boleh dibelanjakan untuk perkembangan dan penyediaan
infrastruktur lain telah dikorupsikan menyebabkan peruntukan menjadi tidak
cukup, dan inilah yang membantutkan kadar pertumbuhan negara. Sekiranya perkara
ini terus-terusan berlaku, kita akan terus terbeban dengan hutang, bagi
menampung kebocoran yang berlaku, malahan pemotongan bajet yang akan dilakukan
termasuklah rasionalisasi subsidi yang akan dilakukan bagi menjamin
kelangsungan pertumbuhan dalam negara tidak akan tercapai sekiranya mentaliti
dan sikap itu tidak diubah. Begitu juga, dalam membicarakan soal integriti
dalam politik, golongan yang secara langsung terlibat adalah ahli politik.
Janji-janji menerusi manifesto harus ditunaikan kerana inilah yang dinamakan
integriti, iaitu kejujuran dalam menunaikan janji.
Watak
yang dimainkan oleh ahli politik termasuk butir bicaranya juga dinilai dari
sudut keintegritiannya. Sekiranya yang diomong dan diceramahkan itu tidak
dilaksanakan, pada waktu itulah integritinya terhilang. Apatah lagi jika bicaranya
itu sering kali mencela dan mencaci, pada waktu itu jugalah, integritinya
semakin pudar dan lenyap. Inilah yang disebut oleh Syed Hussein al-Atas dalam
Intelektual Masyarakat Membangun sebagai 'bebalisme' yang mana cirinya yang
menonjol adalah kehilangan pekerti. Persoalan integriti adalah persoalan
bersama kerana integriti harus wujud dalam diri setiap manusia. Menyebarluaskan
integriti sebagai budaya memerlukan komitmen yang jelas dan kemas dalam
memperkasakan pendidikan.
Pendidikan
sebagai asas untuk menyediakan modal insan yang bukan sahaja bertindak sebagai
pelaburan dari aspek teknikal, malahan juga harus menjadi pelaburan dari aspek
nilai dan prinsip yang benar lagi utuh. Apalah gunanya memiliki pekerja-pekerja
mahir yang profesional sekiranya motif rasuah dan penyelewengan berlegar-legar
dalam pemikiran mereka menyebabkan pertumbuhan negara masih di takat yang sama,
kerana persoalan sikap itu tidak diubah. Maka, di akhir bicara ini, sama-sama
kita hayati suatu firman Allah, dalam surah al-Anfal, ayat 27 yang bermaksud,
"Wahai orang- orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan
Rasul, dan janganlah kamu mengkhianati amanah yang dipertanggungjawabkan kepada
kamu, sedangkan kamu mengetahuinya."
Sila
berikan komen anda. Terima kasih.
Sumber
:
Utusan
Malaysia
24
April 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan