23 Februari 2012

ISU UMUM : KUALA LUMPUR TERBAIK? ... BOLEHKAH?

Oleh Fauziah Arof


Bolehkah Kuala Lumpur (KL) menjadi antara 20 bandar raya terbaik dunia pada tahun 2020? Sebagai anak kelahiran ibu kota dan dibesarkan di sini, saya begitu tertarik dengan apa yang disasarkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar dalam tempoh kira-kira lapan tahun lagi. KL sememangnya telah melalui pembangunan yang bukan sedikit. Itu perlu diakui. Saya masih ingat ketika berada di sekolah rendah dulu, bangunan Bank Negara yang berdepan dengan sekolah saya, Sekolah Rendah Kebangsaan Hishamuddin ketika itu, saya lihat sudah cukup gah dan tinggi. Dan tanpa menggunakan pengangkutan awam, saya berjalan kaki dari kuarters kerajaan di Jalan Dato Onn ke sekolah dengan rasa selamat, walaupun jalan berkenaan ketika itu agak sunyi pada awal pagi dan lewat petang, iaitu ketika pulang tamat latihan rumah sukan. Waktu itu juga Bangunan United Malayan Banking Corporation Berhad (UMBC) yang terletak di Jalan Sultan Sulaiman, berdekatan dengan Bangunan Koperasi Polis sudah dikira paling tinggi dan menjadi mercu tanda KL. Apabila bersekolah menengah pula, saya bersekolah di Sekolah Menengah Methodist Girls berdekatan dengan bangunan Kompleks Daya Bumi. Bangunan yang bercirikan rekabentuk Islam moden ini cukup dibanggakan ketika itu tetapi kini nampak suram.

Ketika itu juga, tempat menyaksikan persembahan hiburan percuma tidak banyak. Tetapi boleh dikatakan setiap minggu ada saja acara hiburan di Panggung Anniversary, yang terletak di Taman Tasik Perdana dan paling tidak di Padang Merbuk berhampiran dengan Tugu Negara. Semasa itu pun, kita boleh saksikan penggiat seni membaca puisi di perkarangan Daya Bumi atau Central Market (Pasar Seni). Sekarang ada lagikah? Semasa berada di sekolah menengah, saya mula menggunakan pengangkutan awam, bas berwarna biru (Bas Sri Jaya) setelah berpindah ke kuarters kerajaan di Brickfields. Saya melintas landasan keretapi ke perhentian bas di Jalan Bangsar untuk ke sekolah bersebelahan dengan Masjid Negara itu, yang mana basnya pergi atau balik memang sentiasa penuh macam ‘tin sardin’. Kalau boleh semua penumpang mahu dimuatkan dan kadang-kalanya ada yang tercicir ketika menurunkan penumpang lain dek kerana pemandu tidak sedar ada yang belum sempat naik. Pusat membeli-belah juga tidak banyak, yang menjadi tumpuan adalah di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman, Kompleks Pertama, Kompleks Campbell, Globe Silk Store dan Emporium Selangor.

Kini bandar raya KL sudah ada begitu banyak bangunan pencakar langit - Menara berkembar Petronas ketinggiannya diiktiraf rekod dunia. Pusat membeli-belah ada di mana-mana saja untuk kemudahan warga kota. Pengangkutan awamnya pun sudah melalui banyak penambahbaikan. Tidak ada lagi pemandangan bas termasuk bas mini yang hampir senget di jalan raya kerana terlebih muatan. Bas-bas pun sudah banyak dan keadaannya selesa. Dan pengangkutan utama warga kota kini adalah LRT. Berbalik kepada soal bolehkah Kuala Lumpur menjadi antara bandar raya terbaik dunia pada 2020? Perkembangan dan pembangunan yang pesat tidak bererti KL boleh mencapai status itu dalam masa yang singkat. Melihat kepada ciri-ciri bandar raya terbaik dunia, KL masih jauh untuk menepatinya. Tetapi ia tidak boleh dikatakan mustahil jika giat berusaha memperbaiki apa yang kurang, bermula sekarang.

Antara ciri-ciri itu adalah mewujudkan sistem politik stabil, kadar jenayah rendah, pengangkutan awam efisien perbankan efisien, tiada tapisan yang melampau terhadap aktiviti sosiobudaya, sistem kesihatan terbaik, tiada penyakit berjangkit, bebas pencemaran udara, sistem pendidikan terbaik termasuk banyak sekolah antarabangsa, bekalan air dan elektrik sempurna, banyak kemudahan restoran, panggung wayang, sukan dan bebas bencana alam. Perkhidmatan pengangkutan awam masih menjadi rungutan warga kota. Terutamanya teksi. Banyak lagi aduan mengenai pemandu teksi tidak mahu menghantar penumpang, memilih lokasi tertentu, meminta bayaran yang tinggi dan tidak kurang juga bersikap kasar. Sikap segelintir pemandu teksi yang sebegini bukan sahaja tidak memberi keselesaan dan kesenangan kepada warga kota, malah mengagalkan usaha-usaha lain pihak kementerian terbabit dalam mengangkat taraf KL sebagai bandar raya serba baik. Mana tidaknya, bila lain-lain kemudahan dan perkhidmatan sudah okey, teksi pula tidak okey. Kes ragut juga terus berlaku. Golongan wanita terutamanya perlu sentiasa berhati-hati bukan sahaja berjalan di tempat yang lengang tetapi di lokasi yang penuh dengan orang awam. Jenayah ragut turut membabitkan pelancong asing.

Pernah dalam satu kejadian tahun lalu, semasa kereta saya memasuki perkarangan sebuah hotel di Jalan Ampang, saya menyaksikan sendiri seorang pelancong asing wanita yang sedang berjalan di situ direntap begnya oleh pembonceng motosikal. Sudah tentu kedatangan pelancong itu ke bandar raya ini memberi satu igauan buruk kepadanya. Selain itu, beberapa kawasan di KL akan mengalami banjir kilat yang teruk walaupun hujan tak sampai 20 minit dan ini membuatkan jalan raya di bandar raya ini sesak. Dan kita akan terperangkap berjam-jam lamanya di situ. Sampai hendak berasap kepala dibuatnya. Maka untuk mencapai impian bandar raya terbaik, semua perkhidmatan dan perkara-perkara asas ini, termasuk keselamatan sewajarnya dijadikan cabaran untuk diperbaiki dan pengukur dalam mengejar status antara bandar raya terbaik dunia. Positif lah, tidak mustahil untuk mencapainya. Selain itu, sikap warga kota - dalam mengharapkan semua kemudahan dan perkhidmatan yang baik-baik semuanya, tiada maknanya jika kita sendiri yang menjadi ‘tukang’ rosaknya.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
23 Februari 2012

ISU ANTARABANGSA : RETORIK KEBANGKITAN CHINA MEMUDARATKAN ASIA PASIFIK

Oleh Azmi Hassan
PENULIS ialah GeoStrategis Institut GeoSpatial UTM 
dan ahli bersekutu Majlis Profesor Negara.


Gesaan Menteri Luar Singapura, K. Shanmugam supaya Amerika Syarikat (AS) kurangkan retorik mengenai kegusaran terhadap kebangkitan China sebagai kuasa ekonomi dan tentera begitu menarik sekali bukan kerana teguran yang kena pada masanya tetapi kerana Singapura dianggap sebagai antara sekutu kuat AS di rantau Asia Pasifik. Lebih menarik lagi adalah kerana teguran tersebut dilakukan ketika beliau melakukan lawatan rasmi pertama ke Washington setelah menjawat jawatan tersebut tahun lepas. ‘‘Sebarang kenyataan mengenai strategi untuk membendung China, sebuah negara yang mempunyai 1.3 bilion penduduk, sukar untuk dipertahankan dan tidak masuk akal,” kata Shanmugam dengan begitu terus terang sekali. Nasihat sedemikian rupa tidak akan terfikir akan timbul dari Menteri Luar Filipina, Jepun atau Korea Selatan kerana keakraban ketiga-tiga negara tersebut dengan AS adalah begitu intim sekali sama juga seperti Singapura. Tetapi nampak gayanya Menteri Luar Singapura itu amat berterus terang.

Tetapi ada juga yang mengandaikan teguran Shanmugam itu lebih menjerumus kepada kepentingan ekonomi kerana China dan Singapura mempunyai hubungan dagang yang begitu sihat di antara satu sama lain. Singapura sudah pasti tidak mahu memberi isyarat kepada Beijing bahawa republik itu menyimpan syak wasangka yang tidak baik sehingga boleh menjejaskan jumlah dagangan antara dua negara. Sebenarnya kerjasama ketenteraan di antara Singapura dan AS terjalin seperti biasa malah terdapat beberapa petunjuk bahawa kehadiran tentera AS di rantau Asia Pasifik akan menjadi lebih terserlah kerana perkembangan terbaru yang berlaku bukan sahaja di Singapura tetapi Filipina. Isu tuntutan bertindih Kepulauan Spratly dan Paracel di antara Filipina dan China adalah sebab utama mengapa Manila pada ketika ini menjalin kerjasama erat dengan Washington. Terdapat desas-desus yang mengandaikan keakraban seperti ini bakal menyaksikan kewujudan semula pangkalan tentera AS setelah perjanjian Pengkalan Laut Teluk Subic dan Pengkalan Udara Clark dibatalkan dua dekad lepas.

Begitu juga dengan Singapura kerjasama tentera dengan AS tidak pernah pudar seperti yang berlaku terhadap Manila yang ada turun naiknya. Jika Manila ditakrifkan oleh Washington sebagai sekutu bukan NATO yang mempunyai beberapa keistimewaan tersendiri seperti pembelian senjata tidak perlu mendapat kelulusan Kongres AS, tetapi Singapura mempunyai persefahaman ketenteraan dengan AS yang dianggap unik sekali. Perjanjian Rangka Kerja Strategik (SFA) umpamanya yang dimeterai pada 2005 adalah landasan kukuh kerjasama tentera di antara kedua-dua negara. SFA adalah lebih efektif dan hebat jika hendak dibandingkan dengan keistimewaan yang terdapat dalam kerjasama sekutu bukan NATO yang dimiliki oleh Manila. SFA di antara Singapura dan AS menggabungkan dua perjanjian sedia ada iaitu Perjanjian Kerjasama Pertahanan (DCA) dan Memorandum Persefahaman (MOU) 1990 yang antara lain membenarkan AS mengguna kemudahan tentera yang terdapat di Singapura seperti Pangkalan Udara Paya Lebar dan Pangkalan Laut Changi yang serba moden. Malah Pangkalan Laut Changi yang menjadi nadi logistik Armada Ketujuh Tentera Laut AS direka khas mengikut spesifikasi USS Kitty Hawk.

Sebab itu ramai penganalisis agak berbelah bahagi dengan teguran Shanmugam yang pada asasnya keras dan telus tetapi sebenarnya agak berlapik-lapik dan mempunyai maksud tersirat yang berbagai-bagai. Pangkalan Laut Changi dikatakan bakal menerima kehadiran kapal tempur pesisir (LCS) AS sebagai salah satu usaha AS mengekang pengaruh China di Laut China Selatan dan Lautan India. Memang benar kewujudan SFA telah memudahkan kehadiran LCS tetapi tidak dapat dinafikan pemangkinnya adalah retorik kebangkitan China. Tetapi perlu diungkitkan kembali kehadiran LCS AS tidak kira sama ada di Laut China Selatan, Lautan India atau Selat Melaka adalah satu isu yang agak sensitif. Pada 2004 umpamanya AS mahu memperkenalkan Inisiatif Serantau Keselamatan Maritim (RMSI) yang antara lain membenarkan penggunaan LCS tentera Marin AS sebagai usaha untuk menghapuskan kegiatan lanun di Selat Melaka. RMSI gagal dilaksanakan ekoran bantahan dari negara pesisir iaitu Malaysia dan Indonesia walaupun disokong kuat oleh Singapura.

Tetapi nampak gayanya dengan menggunakan retorik kebangkitan China dan usaha AS untuk memberi tumpuan kepada rantau Asia Pasifik, kehadiran tentera AS bermula dari Filipina dan seterusnya merentasi Singapura sehingga ke Jepun dan Korea Selatan bakal menjadi lebih rancak. Ditambah pula dengan berita bahawa bajet pertahanan China dijangka akan meningkat dengan mendadak dan jauh melampaui gabungkan bajet pertahanan semua negara Asia Pasifik, maka sudah pasti retorik kebangkitan China tidak akan terhenti dengan begitu sahaja. Kadar pertambahan bajet pertahanan China dianggarkan akan meningkat sehingga 19 peratus setiap tahun sehingga 2015 adalah satu jumlah pertambahan yang agak besar. Berita mengenai bajet pertahanan China sememangnya agak menggerunkan dan ditokok tambah pula dengan retorik AS, maka saranan Shanmugam sebenarnya tidak selari dengan apa yang sedang berlaku. Memang ada kebenaran apabila beliau akur keperluan retorik AS ada kaitannya dengan keadaan politik tempatan AS yang sedang melalui proses pemilihan calon Presiden. Tetapi hakikatnya adalah yang akan merasa bahang dan merana akibat retorik tersebut adalah rantau Asia Pasifik dan bukannya pengundi di AS.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
23 Februari 2012

ISU PERKHIDMATAN AWAM : CUEPACS TUNTUT KENAIKAN GAJI ANTARA RM700 HINGGA RM2,500

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menuntut kerajaan memberi kenaikan gaji 1.3 juta penjawat awam dari gred 1 hingga gred 54 antara RM700 hingga RM2,500. Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, kenaikan itu perlu dilaksanakan menerusi skim sedia ada iaitu Skim Saraan Malaysia (SSM) sebelum sebarang pembaharuan gaji dibuat melalui skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA). Tuntutan tersebut membabitkan kenaikan gaji untuk gred 1 hingga gred 16 sebanyak RM700; gred 17 hingga gred 26 (RM1,000); gred 27 hingga gred 40 (RM1,500); gred 21 hingga gred gred 48 (RM1,800) dan gred 52 hingga gred 54 (RM2,500). Omar berkata, kakitangan awam yang sudah mencapai gaji maksimum atau sudah mati gaji pula perlu dibayar selama mana mereka tidak menikmati sebarang kenaikan dan perlu dinaikkan gred.

Sebagai contoh bagi mereka yang sudah lima tahun tidak naik gaji, jika gaji mereka dinaikkan RM100, kerajaan perlu bayar tunggakan RM500 selain kenaikan gred. Menurutnya lagi, CUEPACS turut menuntut agar kerajaan menaikkan gaji kakitangan awam yang sudah lulus peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) aras 4. ''Ramai yang lulus PTK aras 4 sebelum SBPA diperkenalkan tetapi apabila SSM ditukarkan ke SBPA ramai yang lulus itu tidak mendapat kenaikan gaji, apabila kami berbincang dalam pasukan khas ini dari segi perundangan kerajaan perlu bayar. Mereka mana tahu SBPA akan diperkenalkan, tidak adil untuk mereka yang sudah berkorban masa dan tenaga untuk lulus, tapi bila dah lulus tak nak bayar pula," katanya. Sehubungan itu, CUEPACS meminta mereka yang lulus sehingga 31 Disember 2011 dibayar tunggakan gaji sebelum kajian semakan SBPA diumumkan dan mahu JPA mengeluarkan surat pekeliling mengenainya.

Omar berkata, beliau yakin kerajaan akan bersetuju dengan lima tuntutan yang telah dikemukakan iaitu mengkaji semula pindaan gaji gred 54 ke bawah; mengkaji gaji penjawat awam mencapai gaji maksimum; mengkaji kekananan dalam Skim Saraan Malaysia (SSM) sebelum bertukar kepada SBPA; mengkaji kenaikan gaji tujuh hingga 13 peratus dan menyemak penstrukturan semula semua gred penjawat awam. Kalau kerajaan merasakan ia melibatkan tuntutan yang tinggi, CUEPACS cadangkan mereka yang telah menikmati kenaikan tinggi dalam SBPA iaitu Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) dan Premier, gaji mereka dipotong untuk diberikan kepada mereka di gred 54 ke bawah. Kalau betullah kerajaan mahu rapatkan jurang maka tuntutan itu dirasakan wajar, apa yang kami lakukan ialah menuntut kesaksamaan dan terpulanglah kepada pasukan petugas khas ini untuk menilainya," katanya.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
23 Februari 2012

KOMEN CIKGU ZUL

Bunyi permintaan ini memang sedap didengar. Akan tetapi, mungkinkah mimpi-mimpi ini akan menjadi realiti atau hanya sekadar mimpi di siang hari? Jika hendak dicongak, hati yang terluka kerana tersisih selama ini, jumlahnya mungkin tindak terhitung dengan mengangkat dan melipat jari kaki selama 50 kali. Jumlahnya terlalu banyak dan untuk membiarkan mereka terus-terusan bermakan hati memang agak kejam dan tidak berperikemanusiaan. Namun begitu, itulah dasar yang telah ditetapkan. Biar kita lihat, dalam dunia pendidikan. Pemberian jawatan Guru Akademik Tingkatan Enam yang memang bercelaru. Awalnya, mereka yang berkhidmat 5 tahun ke atas secara automatik dilantik dengan syarat mengajar Tingkatan Enam selama 3 tahun. Pada tahun 2011, syarat yang dikenakan lagi pelik, sesiapa sahaja yang sudah dilantik pada tahun 2004, jika memohon boleh diterima menjadi Guru Akademik walaupun tidak pernah mengajar Tingkatan Enam. Bagaimanakah dengan guru-guru yang belum layak tetapi sudah mengajar tingkatan enam sehingga 10 tahun? Bukankah hak mereka ini sudah dinafikan oleh KPM dengan syarat yang ditetapkan itu? Pernahkah kita terfikir bahawa mangsa kepada semua ini ialah pelajar-pelajar kita? Kenapa kita menafikan pengalaman dan kebolehan guru dalam memberikan kenaikan pangkat? Ini merupakan senario yang melukakan bagi yang mengalami dan merasai. 

22 Februari 2012

ISU KESIHATAN : RAWATAN KECANTIKAN BOLEH MEMUDARATKAN SESEORANG

Oleh Liow Tiong Lai
bhnews@bharian.com.my


Baru-baru ini Puan C pergi ke sebuah pusat rawatan kecantikan kulit di Johor untuk membuat rawatan muka. Bagaimanapun, dia terpedaya dengan pujukan pusat kecantikan itu supaya membelanjakan wang beribu-ribu ringgit bagi menjalani rawatan laser yang tersilap, menyebabkan kulit wajahnya terbakar dan meninggalkan parut. Encik L juga mengalami pengalaman sama. Dia menjalani program menguruskan badan dengan ‘suntikan tanpa jarum’ yang mengakibatkan kulit di sekeliling pinggangnya ‘ditumbuhi’ 30 kesan melecet yang akhirnya melarat menjadi luka. Malangnya, kedua-dua kisah ini sering kita dengar. Puan C dan Encik L bukan mangsa pertama pembedahan silap yang dilakukan oleh pakar terapi tidak berkelayakan supaya mereka kelihatan cantik.  Setiap tahun, Kementerian Kesihatan, Tribunal Tuntutan Pengguna dan Biro Perkhidmatan Awam MCA serta Jabatan Aduan terus menerima pelbagai aduan daripada segenap lapisan pengguna.

Kebanyakan kes ini sering dilaporkan dalam akhbar untuk meningkatkan kesedaran masyarakat, manakala pihak berkuasa dan agensi penguatkuasaan akan mengambil tindakan sewajarnya ke atas salun kecantikan atau pakar terapi itu.  Saya memandang berat terhadap hakikat bahawa kita terus mendengar kisah seperti disebut itu. Saya yakin lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk mendidik masyarakat mengenai bahaya prosedur pembedahan kosmetik tidak bertauliah yang ditawarkan oleh doktor tidak berlesen atau tidak terlatih.  Semua prosedur kosmetik sama ada rawatan laser, suntikan, program menguruskan badan atau pembedahan plastik, hendaklah dilakukan oleh pakar profesional terlatih dan berkelayakan kerana ia memerlukan kemahiran teknikal dan membabitkan risiko ke atas pesakit. Anda tentu sekali tidak mahu mekanik kereta membedah otak anda, dan prinsip yang sama juga digunakan dalam rawatan kecantikan. Hanya doktor yang terlatih khusus seperti pakar kulit atau pakar bedah kecantikan layak menjalankan pembedahan berkenaan.

Jikalau anda berasa was-was mengenai kelayakan seseorang doktor, anda boleh menyiasat melalui bahagian ‘Daftar Perubatan’ di laman sesawang Majlis Perubatan Malaysia (mmc.gov.my).  Awas! Jangan sesekali mempercayai pakar berkelayakan sekiranya dia menjalankan operasi di pusat kecantikan atau klinik swasta! Pusat kecantikan dan klinik swasta diharamkan menjalankan pembedahan kosmetik atau kecantikan. Semua prosedur ini hanya boleh dilakukan di hospital, termasuk hospital kerajaan yang mempunyai pakar bedah plastik yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan, hospital swasta berlesen atau pusat rawatan ambulatori swasta yang berlesen. Beberapa salun kecantikan mungkin langsung tidak mempunyai doktor, sebaliknya hanya ada ahli terapi kecantikan. Ini adalah petanda yang jelas bahawa salun itu bukanlah tempat untuk menjalani sebarang bentuk prosedur yang membabitkan suntikan, laser atau pembedahan.

Pengguna hendaklah berhati-hati dengan dakwaan yang hebat atau ‘indah khabar dari rupa’ yang dibuat oleh beberapa pusat kecantikan. Dakwaan seperti ‘Turunkan berat badan 10 kilogram dalam tempoh 10 hari’ atau ‘Kulit menjadi putih serta-merta’ mudah membuat sebilangan orang terpengaruh. Isu yang membabitkan imej, seperti masalah berat badan, kulit, rambut gugur atau ukuran beberapa bahagian tertentu badan menjadikan mereka berasa rendah diri berbanding dengan ‘insan yang sempurna’ yang muncul dalam kebanyakan iklan, sekali gus membuat mereka mudah terpengaruh dengan dakwaan palsu sebagai jalan penyelesaian mudah terhadap masalah mereka.  Anda juga perlu berwaspada terhadap pakej rawatan yang terlalu murah, terutama jika pusat kecantikan itu terus mendesak anda supaya menyertai ‘promosi’ itu. Paling baik ia mungkin membazirkan wang, atau paling buruk, rawatan itu mungkin meninggalkan parut buat selama-lamanya atau memudaratkan kesihatan anda.

Pada waktu sama Kementerian Kesihatan mengambil tindakan dengan memperkenalkan garis panduan untuk mengawal industri kecantikan. Peraturan ini akan meliputi semua prosedur dan rawatan pembedahan kecantikan yang mewajibkan kehadiran doktor perubatan dan doktor gigih yang berdaftar. Apabila garis panduan ini siap sedia, ia akan menggariskan dengan jelas perkara yang boleh atau tidak boleh dilakukan, khususnya mengharamkan pakar perubatan atau doktor gigi yang tidak berdaftar daripada menjalankan sebarang prosedur yang membabitkan suntikan atau pembedahan laser.  Seperti biasa kami akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan serta polis untuk mengawasi salun kecantikan tidak berlesen dan mengambil tindakan bila perlu.

Kami perlukan masyarakat umum menjadi mata dan telinga dalam soal ini. Mereka yang pernah menjadi mangsa, atau mengetahui mengenai khidmat prosedur kecantikan haram ini hendaklah melaporkan kepada Kementerian Kesihatan supaya kami boleh mengambil tindakan keras bagi melindungi pengguna.  Perlindungan terbaik datang daripada anda sendiri, iaitu caveat emptor atau ‘berwaspada pembeli.’ Sekiranya anda bercadang untuk melakukan sebarang bentuk rawatan atau pembedahan untuk memperbaiki penampilan diri, anda perlu timbang keputusan dengan teliti, sama seperti jika anda menjalani rawatan perubatan.  Anda perlu bertanya banyak soalan, pertimbangkan risiko dengan kebaikan, jangan mudah terpengaruh dengan pujuk rayu wakil jualan. Satu keputusan silap mungkin meninggalkan parut yang berkekalan sepanjang hayat.

Penulis ialah Menteri Kesihatan www.liowtionglai.com/blog atau twitter@liowtionglai

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Berita Harian
22 Februari 2012

ISU KENEGARAAN : BERSATU TANPA SATU BAHASA

TAN SRI ZAINUDDIN MAIDIN
Karyawan Tamu kepada Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir UUM.


Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong menyatakan bahawa patriotisme pelajar-pelajar sekolah jenis kebangsaan tidak perlu dipersoalkan dan dihubungkaitkan dengan kesetiaan dan kasih sayang pada negara. Tajuk berita mengenainya: Patriotism not in one 's language, those study in vernacular school are loyal to country, says Wee ( Sunday Star 19 February 2012) "Bahasa adalah jambatan perpaduan tetapi menggunakan bahasa yang sama tidak bererti bahawa kita bersatu" katanya. Pandangan ini ada logiknya tetapi menidakkan atau menafikan peranan "Satu bahasa Satu Bangsa" untuk jalinan penghayatan perasaan kenegaraan, persefahaman, saling hormat-menghormati dan bagi pembangunan dan kesepaduan suatu bangsa dalam masyarakat berbilang kaum. Pandangan ini juga menolak kejayaan Singapura membangunkan suatu Bangsa Singapura (Singaporean Singapore) menerusi satu bahasa iaitu bahasa Inggeris walaupun bahasa ibunda masing-masing dibenarkan untuk dipelajari sebagai bahasa kedua (Dasar Dwi Bahasa).

Singapura melaksanakan dasar Bahasa Inggeris sebagai pengantar utama semua sekolah dengan tegas, berani dan tanpa tolak ansur terutama terhadap kaum Cina sendiri (lihat buku Lee Kuan Yew : My Life Long Challenge : Singapore Bilingual Journey). Keberkesanannya yang terbesar adalah menghapuskan cauvinisme Cina berpunca dari sekolah Cina yang berpotensi menjadi ancaman besar kepada ketenteraman dan keharmonian politik Singapura dari awal 60 an hingga 80an. Di Malaysia Sekolah Kebangsaan (Pengantar Melayu) tidak mencapai matlamat seperti sekolah aliran kebangsaan di Singapura (aliran Inggeris) kerana pendekatan dalam pelaksanaan dasar Bahasa Kebangsaan bermula dengan pendekatan jingoism atau fahaman perkauman Melayu yang sempit yang tidak menampakkan pendekatan liberal dan berdiplomasi supaya diterima selesa oleh bukan Melayu sebagai bahasa mereka. Pendekatan ini lebih hendak menonjolkan kebanggaan bahasa Melayu adalah hak kepunyaan orang Melayu sekalipun hasrat utama adalah untuk menjadikannya bahasa nasional atau bahasa bagi semua kaum.

Menyedari hakikat ini, Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra menganjurkan supaya Bahasa Melayu diistilahkan sebagai Bahasa Malaysia tetapi seakan ditolak oleh pejuang bahasa dan fanatik bahasa yang berpusat di Dewan Bahasa dan Pustaka. Sehingga ini kesempitan dalam pendekatan ini dapat dilihat dari papan-papan iklan atau poster promosi penggunaan Bahasa Melayu di lebuh raya dan di lain-lain tempat umum yang menggunakan gambar lelaki dan wanita Melayu berpakaian Melayu. Ini memberikan gambaran penggunaan Bahasa Melayu mestilah juga menggunakan budaya Melayu atau Bahasa Melayu itu hanya terbatas kepada orang Melayu dan Islam sahaja. Kenapa tidak memakai wajah berbilang kaum dalam pakaian harian. Kempen menggalakkan penggunaannya masih memakai slogan lapuk dan beku" Gunakanlah Bahasa Melayu". Pada hakikatnya dalam interaksi seharian antara kaum sekarang ini adalah menggunakan bahasa Melayu kecuali di bidang perdagangan dan ekonomi yang tetap memerlukan penggunaan bahasa Inggeris.

Slogan ini tidak dinamik dan beku yang menunjukkan kejumudan berfikir pejuang bahasa yang bertanggungjawab yang tanpa sedar menyinggung perasaan generasi baru bukan Melayu yang telah pun menguasai dan menggunakan bahasa itu. Ketidakterbukaan sikap ini juga mempengaruhi corak pendekatan pendidikan di sekolah-sekolah kebangsaan sehingga anak anak bukan Melayu merasa terasing dan menjadi antara salah satu fakta menyebabkan orang Cina tidak mahu menghantar anak mereka ke sekolah-sekolah kebangsaan. Sesetengah sekolah ini pula agak keugamaan kerana sikap pengetua atau guru. Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew (LKY) sendiri diawal kemerdekaan negaranya telah melihat ancaman perkauman Cina dari sekolah-sekolah Cina kepada perkembangan keharmonian kaum dan kestabilan Singapura. Oleh kerana jumlah besar penduduk Singapura orang Cina maka cabaran besar yang pertama sekali dihadapi adalah dari generasi muda berpendidikan Cina yang dibudayakan oleh Bahasa Cina.

LKY dengan berani, tegas dan menggunakan tangan besinya memerangi pejuang-pejuang pendidikan Cina dan menutup sekolah-sekolah Cina, Tamil dan Melayu dan menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar utama yang akhirnya menjadi alat paling berkesan bagi kecairan perkauman Cina. Dalam 1987, Bahasa Inggeris menjadi bahasa pengantar tunggal sekolah Singapura. Air mata mengalir di kalangan masyarakat India apabila sekolah Tamil ditutup di Singapura pada 1982 terutama sekali di kalangan penjual-penjual akhbar Tamil yang yang penutupan sekolah itu bererti berakhirnya riwayat akhbar Bahasa Tamil di Singapura. (Men In White - hlm 611) Mengenai penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa bersama rakyat Singapura, LKY berkata " Selepas 1965, kami terpaksa membuat keputusan mengenai bahasa bersama. Jika kami menjadikan Cina sebagai bahasa bersama , maka kebudayaan Cina menjadi dominan dan akan membawa kepada perpecahan masyarakat. (Ibid hlm 613)

Tidak dapat dinafikan bahawa berikutan dengan kebangkitan Republik Rakyat Cina menuju ke arah menjadi kuasa terbesar ekonomi dunia maka dasar Singapura kini tercabar tetapi tidak mungkin Singapura mahu meleburkan asas kekuatannya seperti yang dibenarkan berlaku di Malaysia sehingga mengakibatkan tsunami 2008. LKY berjaya melahirkan rakyat Cina yang berfikiran Singapura atau Singapura yang tidak kecinaan berbanding dengan aliran pemikiran Cina Malaysia yang mengwujudkan suasana yang memaksa kepimpinan politik Cina untuk mencari populariti menerusi isu perkauman Cina. Kesilapan LKY adalah hendak menjual eksperimen kejayaan politik kosmopolitannya di Singapura ke Malaysia (Malaysian Malaysia) tanpa mempedulikan sensitiviti majoriti masyarakat tradisi Melayu. Beliau mahu melakukan apa yang dilakukannya terhadap majoriti rakyat Cina Singapura. Dalam buku Men In White halaman 610 disebutkan bagaimana LKY menghadapi golongan pejuang pejuang bahasa Cina pada 1965. LKY menulis "under the full glare of TV light I met the committees of all four chambers of commerce. I left the Chinese representative in no doubt that I would not allow anyone to exploit the Chinese language as a political issue. That put an end to their attempts to elevate the status of the Chinese"

Hal ini tidak mungkin akan dilakukan oleh LKY jika beliau tidak melihat mereka yang bersekolah Cina akan terbentuk dengan pemikiran perkauman Cina dan keperluan penggunaan satu bahasa untuk pembinaan perasaan kenegaraan atau kesetiaan kepada Singapura. Contoh kecil bahawa golongan berpendidikan Cina bersikap perkauman Cina yang menyebabkan mereka berpandangan sempit dan kecinaan jelas dalam tulisan Joceline Tan di Sunday Star 19 Februari 2012 mengenai debat Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng. Menurut Joceline golongan berpendidikan Cina menganggap orang Cina seperti Soi Lek dan Guan Eng sebagai pisang, kuning di luar tetapi Barat di dalam kerana mereka tidak berpendidikan Sekolah Cina tetapi hanya bersekolah Kebangsaan dan Sekolah Inggeris. Demikian juga dalam bukunya My Life Long Challenge: Singapore Bilingual Journey, LKY menyatakan bahawa orang Cina yang mendapat pendidikan Inggeris memilih bahasa Melayu sebagai bahasa kedua untuk anak-anak mereka kerana menyedari hakikat bahawa Singapura berada di rantau Melayu tetapi orang China yang berpendidikan Cina tetap memilih bahasa Cina sebagai bahasa kedua.

Menafikan sesuatu bahasa membibitkan perasaan kenegaraan adalah menafikan proses pembentukan kejatian diri sesuatu bangsa. Dalam hal ini Singapura mencapai kejayaan dalam masa singkat dan boleh dijadikan contoh. Dalam masa tiga dekad (1960 -1980) , Sekolah Rendah dan Menengah pengantar Bahasa Cina tidak wujud lagi di Singapura. Dalam 1980, Nanyang Universiti dipaksa bergabung dengan Universiti of Singapura untuk menjadi National Universiti of Singapore (Lihat Men in White hlm 612). Bagaimanapun rakyat Malaysia yang mahukan suatu identiti nasional tidak seharusnya bersikap sentimen, marah atau prejudis terhadap bukan Melayu yang tidak mahu menerima Sekolah Kebangsaan atau tidak mahu menghantar anak anak mereka ke Sekolah Kebangsaan. Ini adalah sikap pengasingan diri secara sukarela yang sewajarnya dihormati dalam masyarakat berbilang kaum yang negaranya percaya kepada perpaduan menerusi integrasi. Mereka tidak mahu diserapkan dalam suatu acuan bangsa seperti yang berlaku kepada orang Cina di Indonesia atau di Thailand yang menjalankan dasar asimilasi terhadap pendatang.

Dalam kata-kata lain, kewujudan masyarakat bukan Melayu yang mahukan kebebasan untuk terus kekal dengan identiti bangsa pendatang dan tidak mahu berada dalam aliran perdana sewajarnya dibiarkan. Mereka akan dikenali dengan pertuturan dialek Bahasa Melayu yang tersendiri kerana tidak mahu menerima guru bahasa dari orang Melayu dan menolak sekolah wawasan. Ini berbanding dengan keturunan India yang bersekolah kebangsaan dari peringkat rendah. Mereka bercakap Melayu seperti orang Melayu. Golongan "pemencilan diri sukarela" ini juga akan dikenali dengan identiti pemikiran yang terasing dari aliran perdana. Dalam menangani situasi ini yang perlu adalah kerajaan Malaysia memperkasakan terus kualiti Sekolah Kebangsaan dan Pendidikan Tinggi Nasional terutama sekali dalam memantapkan pengajaran dan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan para pelajar di samping Bahasa Malaysia. Saya percaya ramai orang Cina yang akan kembali menghantar anak mereka ke Sekolah Kebangsaan sekiranya Bahasa Inggeris digunakan bagi pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik. Orang Cina ialah orang yang praktikal, pragmatik dan amat mementingkan nilai. Inilah yang ditakuti oleh sekolah-sekolah jenis kebangsaan.

Tidak ada ruginya kepada negara jika ada mana-mana kaum dalam masyarakat berbilang kaum mahu terpisah dari aliran nasional dengan lebih mengutamakan kemantapan bahasa dan kebudayaan sendiri. Semakin jauh kejayaan Sistem Pelajaran Kebangsaan dengan pengantar Bahasa Melayu dan kemantapan Bahasa Inggeris (Pasti akan berlaku) akan semakin nyata mereka terpisah dari aliran perdana dan akan semakin mudah mereka dikenali sebagai bangsa asing. Ini bukanlah kehendak kita tetapi pengasingan diri mereka secara sukarela. Ini berbanding dengan masyarakat Cina Indonesia yang berbahasa Indonesia sesama mereka dan terlihat sebati dengan bumiputera Indonesia dan dikenali oleh orang asing bahawa mereka adalah bangsa Indonesia. Kita sendiri merasa bangga mendengar Cina Indonesia berbahasa Indonesia. Sebuah hotel di Singapura yang pernah saya menginap, ramai pekerjanya yang terdiri dari orang Cina dan India Singapura berbahasa Indonesia dengan baik kerana sekian lama menjadi tumpuan penginapan keturunan Cina Indonesia.Maka itu kenyataan Ka Siong tidak seharusnya menimbulkan kebimbangan, kemarahan atau kerisauan di kalangan rakyat di aliran perdana negara sekalipun berbeza pendapat dengan menterinya sendiri. Biarkan dan biarkan.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
22 FEBRUARI 2012

ISU UMUM : NGO BUKAN KUASA KETIGA


Dalam kalangan cendekiawan bersetuju bahawa badan bukan kerajaan (NGO) yang cenderung memainkan isu-isu politik perlu mendaftar sebagai parti politik dan tidak berselindung di sebalik topeng mana-mana NGO. Mereka sependapat bahawa rakyat juga tidak boleh dengan mudah menganggap NGO yang cuba memainkan peranan dan isu politik sebagai Kuasa Ketiga yang dilaung-laungkan banyak pihak sekarang. Apatah lagi untuk NGO itu sendiri mengakui ia memainkan peranan sebagai Kuasa Ketiga, sedangkan hakikatnya NGO itu mungkin hanya dianggotai oleh empat atau lima orang jawatankuasanya, dan tidak sekali-kali mewakili suara rakyat terbanyak. Para cendekiawan itu menyokong kenyataan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang menasihati rakyat jangan mudah melabel NGO sebagai Kuasa Ketiga kerana NGO itu sendiri tidak mempunyai apa-apa kuasa, kerana kuasa yang sebenarnya berada di tangan rakyat.

Rais berkata demikian dalam temu bual khas dalam program popular "Kerusi Panas" Bernama Radio24, sempena pelancaran peluasan siaran stesen radio itu ke selatan tanah air di Johor Bahru, semalam. Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Lepasan Ijazah) Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Prof. Madya Dr. Sivamurugan Pandian berkata, apa yang diungkapkan Rais memang tepat. "Sememangnya apa yang dikatakan menteri itu betul kerana ada sesetengah NGO kini berperanan seperti parti politik, menyebelahi parti politik tertentu dan mempunyai kepentingan politik. Mereka bukanlah Kuasa Ketiga yang seharusnya menjadi kuasa pengimbang yang tidak berpihak," katanya. Menurutnya, NGO seharusnya tahu membezakan antara dirinya dengan pertubuhan politik dan juga perbezaan dasar penubuhan organisasi masing-masing. Katanya, kalau hal semudah itu pun tidak dapat difahami dengan betul, bagaimana mereka hendak berperanan dengan baik dan akan hanya menimbulkan persoalan di kalangan rakyat mengapa NGO itu berperanan seperti parti politik sedangkan di negara ini sudah banyak parti politik.

Sivamurugan berkata, banyak NGO sekarang ini boleh dilihat jelas mempunyai kecenderungan sama ada kepada kerajaan atau pun pembangkang. "Kalau nak main peranan sebagai badan politik, sesebuah NGO itu perlu menjadi parti politik atau menyertainya dan tidak menjadikan NGO itu sebagai topeng untuk kepentingan politik kelompok mereka," katanya. Katanya, NGO yang berperanan sebagai "sekatan dan imbangan" tidak semestinya memilih untuk menentang kerajaan pada setiap masa, ataupun menyebelahi pembangkang dalam apa juga keadaan kerana rakyat kini bijak menilai dan tidak mudah terpengaruh dengan label. Dalam hal ini, Rais menegaskan bahawa NGO mempunyai peranan masing-masing tetapi ia bukan mutlak dan NGO juga berhak mengeluarkan pandangan mereka, namun sama ada mereka Kuasa Ketiga atau tidak, itu rakyat biasa yang menentukannya.

Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah) Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Dr Jayum Anak Jawan pula berkata NGO perlu ada hala tujunya yang jelas dan bukan boleh bertindak seolah-olah ia juga sebuah parti politik, jika ingin dihormati rakyat. Beliau memberi contoh, kalau ia sebuah NGO alam sekitar, ia perlu fokus kepada isu alam sekitar dan jika ia NGO guaman maka ia perlu fokus kepada tujuan itu dan bukannya cuba mempolitikkan isu alam sekitar atau isu guaman untuk menunjukkan sokongan kepada mana-mana parti politik. "Sebenarnya di Malaysia ini banyak NGO. NGO yang nak menjadi seperti parti politik adalah daripada serpihan atau orang yang tidak mendapat kedudukan dalam parti. Dia kecewa lalu menubuhkan sebuah NGO yang bertindak seperti parti politik," katanya. Jayum berkata, kalau mahu dikatakan NGO itu Kuasa Ketiga, juga bukanlah mudah kerana seperti yang disebutkan oleh Rais dalam wawancara khas dengan Bernama Radio24 itu, ia mungkin tidak pun menepati syarat.

"Katakanlah NGO itu adalah institut kajian dasar yang diwakili empat atau lima orang sahaja, macam mana boleh NGO itu menjadi Kuasa Ketiga sedangkan ia tidak ada sokongan pun daripada rakyat? "Kalau ia bercakap pun, impaknya tak sampai ke mana," katanya, yang memberikan contoh sebuah NGO yang mendapat sokongan ramai dan apa yang diperkatakannya juga diberi perhatian oleh banyak pihak. Bagaimanapun, untuk menganggap NGO seperti itu sebagai Kuasa Ketiga juga tidak mudah kerana selain sokongan luas dan diberi perhatian, banyak lagi syarat lain yang perlu dipenuhi, tambahnya. "NGO yang nak jadi Kuasa Ketiga mestilah juga diterima meluas, dengan mempunyai cabang atau cawangan yang banyak, termasuk di Sabah dan Sarawak. Tapi kalau sebuah NGO alam sekitar, mana ada sokongan atau cawangan yang banyak". Pemerhati sosial dan pensyarah komunikasi massa Prof Datuk Mohd. Hamdan Adnan pula berkata Rais mengeluarkan kenyataan peringatan itu tepat pada masanya berikutan perkembangan semasa politik tanah air supaya rakyat tidak keliru dalam menyatakan sokongan khasnya pada pilihan raya umum kelak.

"Rakyat jangan terpengaruh memberi undi hanya kerana mendengar istilah Kuasa Ketiga. Harus diteliti juga sama ada pilihan yang ditawarkan itu lebih baik daripada apa yang sudah dilaksanakan selama ini oleh kerajaan yang ada," katanya. Beliau berkata, sesebuah NGO tidak akan menjadi Kuasa Ketiga atau diiktiraf sebegitu hanya kerana mempunyai pemimpin yang lantang bersuara dan mendapat publisiti, apatah lagi NGO yang membawa isu-isu sempit, yang lebih berupa isu peribadi atau yang melibatkan hanya segelintir rakyat. "Peringatan Rais bertujuan mengelak rakyat daripada keliru, apatah lagi NGO berselubung politik pun ada dan parti politik memperalatkan NGO pun banyak, semata-mata untuk meraih undi. "Jadi rakyat jangan mudah terpedaya dengan label Kuasa Ketiga...boleh jadi ia hanya gendang kosong," katanya. - BERNAMA.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
22 FEBRUARI 2012

ISU UMUM : JIKA ISU INI TIDAK SELESAI, JANGAN HARAP PRU-13 BOLEH DIADAKAN

Oleh Zaini Hassan


Isu ini amat sensitif. Ia lebih sensitif daripada isu ladang lembu dan lain-lain. Jika isu ini tidak selesai, jangan diharap pilihan raya boleh diadakan. Ia membabitkan isu gaji kira-kira 1.3 juta kakitangan awam, yang kesemuanya, termasuk keluarga mereka layak mengundi. Ingat lagi kisah ‘penyapu’ di Selangor? Negeri itu jatuh antara sebabnya kerana penjawat-penjawat awam termasuk DO, ADO sehinggalah ke peringkat peon, begitu marah kerana dihina. Jangan cari pasal dengan golongan ini. Mereka ialah kumpulan pelaksana dan tulang belakang kepada dasar-dasar kerajaan. Jika mereka marah mereka boleh bertukar warna menjadi Mr. Blue atau Mr. Green seperti dalam watak filem Incredible Hulk. Dan itu amat bahaya. Dalam hal ini Perdana Menteri sememangnya cukup sedar. Satu tindakan cepat sedang diambilnya. Memang PM sendiri tahu jika isu ini tidak selesai maka Pilihan Raya Umum Ke-13 ini tidak boleh dilaksanakan. Maka itu, YAB PM telah mengarahkan sebuah jawatankuasa petugas khas (task force) semakan semula gaji duduk berbincang dengan Cuepacs mengenai hal ini, setelah Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman sendiri mengamuk.

Setakat ini sudah tiga kali task force ini berbincang. Hari ini sekali lagi rundingan akan dilangsungkan. Kali ini ia akan membabitkan cadangan lima perkara daripada Cuepacs sendiri. Omar akan mengetuai perbincangan itu bagi pihak kesatuan tersebut dengan wakil-wakil dari JPA, Pejabat Peguam Negara, Perbendaharaan dan agensi-agensi lain. ‘‘Kita mahu rundingan ini diselesaikan sebelum 30 Mac ini,” kata Omar kepada saya semalam. Omar seperti biasa cukup bertenaga. Cakapnya juga cukup tegas. Dalam rundingan itu, beliau diberi tanggungjawab dan kepercayaan oleh kumpulan 54 (pengurusan dan profesional) ke bawah untuk membawa suara dan nasib mereka ke atas. Kumpulan-kumpulan itu termasuklah: Jawatankuasa khas Gred 54 ke bawah PTD dan Pegawai Tadbir; Persatuan Pensyarah Universiti Profesor Madya Ke Bawah; Persatuan Jurutera Kebangsaan; Kumpulan Doktor-doktor Pakar Gred 54; Kumpulan Anggota Keselamatan Polis; Kumpulan Gred 54 Teknikal selain gabungan Cuepacs sendiri terdiri daripada Kumpulan Pelaksana 1 dan 2.

Hari ini saya mahu menyiarkan sepucuk surat yang dihantar kepada saya oleh seorang penjawat awam. Bunyinya agak keras. Tapi ditulis secara profesional, bernas, ada logik mengenai gaji baru mereka di bawah skim baru SBPA (Skim Baru Perkhidmatan Awam). Begini bunyi surat itu. Semoga ia menjadi iktibar kepada kita semua.

Struktur perkhidmatan di bawah SBPA terbahagi kepada empat:

* Kumpulan Premier (Strategic and key positions (Turus): KSN, KSU)

* Kumpulan Pengurusan Tertinggi (Jawatan Utama dan Gred Khas: JUSA C, B dan A)

* Kumpulan Pengurusan dan Profesional (Pegawai Gred 41 hingga Gred 54)

* Kumpulan Pelaksana (Pegawai dengan kelayakan masuk PMR hingga Diploma)

Kumpulan pegawai yang mendapat kenaikan gaji paling banyak ialah kumpulan Premier dan JUSA. Difahamkan semua KSU diberikan opsyen bersara dan seterusnya berkhidmat secara kontrak. Persaraan pula dikira sehingga umur 60 tahun. Ini bermakna semua KSU akan mendapat pencen dan gaji selain daripada faedah persaraan lain seperti gratuiti. Pencen sahaja, mengikut jadual gaji SBPA untuk kumpulan ini akan menjangkau puluhan ribu ringgit. Apakah rasionalnya keputusan ini memandangkan kebanyakan KSU telah pun berada di akhir tempoh perkhidmatan? Gaji kumpulan Premier ini difahamkan sama besar atau lebih besar daripada CEO di GLC atau di perbadanan-perbadanan swasta. Isu penting SBPA ialah ketidakadilan yang amat ketara dari segi kenaikan gaji. Contohnya kumpulan JUSA C sahaja mendapat kenaikan gaji melebihi RM5,000 dengan peratus kenaikan di antara 57 peratus dan 81 peratus! Sementara kumpulan pelaksana N22 hanya mendapat kenaikan gaji di antara RM100 dan RM200 (ada yang lebih rendah) dengan peratus kenaikan di antara 3.7 peratus dan 7.5 peratus sahaja.

Difahamkan di bawah skim baru ini, Premier 1 akan menerima gaji sebanyak RM60,000 sebulan tanpa elaun; Premier 2 RM40,000 tanpa elaun dan Premier 3 RM40,000 tanpa elaun dan Premier 4 RM35,000 tanpa elaun. Tunggakan pampasan adalah antara RM800,000 dan RM1 juta. Secara logiknya peratus kenaikan di antara kumpulan tidak boleh terlalu berbeza kerana ia akan meningkatkan jurang perbezaan pendapatan serta mengundang rasa tidak puas hati penjawat awam yang 80 peratus terdiri daripada kumpulan pelaksana. Ketidakpuasan hati kumpulan pelaksana ini, ditambah dengan keluarga masing-masing, mampu menumbangkan kerajaan. Sebagai rumusan SBPA telah menidakkan semua usaha kerajaan untuk menonjolkan kerajaan sedia ada sebagai a caring government. SBPA dibuat secara tergesa-gesa, tidak telus dan merupakan the biggest blunder Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam sejarah Malaysia.

Pihak JPA tidak perlu lagi memberi taklimat di sana sini mengenai SBPA tetapi mengakui bahawa SBPA sebenarnya tidak adil, tidak telus dan JPA perlu mengambil langkah positif untuk memperbaikinya. Adalah menjadi satu tindakan yang bodoh, sia-sia dan akan menjadi bahan ketawa umum dan dunia untuk masih lagi mempertahankan bahawa SBPA merupakan satu sistem saraan yang baik dan mampu membawa negara kepada negara berpendapatan tinggi menjelang 2020. Kerajaan juga perlu mengambil tindakan tegas kepada mereka yang bertanggungjawab (merangka dan meluluskan tangga gaji itu) bagi menunjukkan kerajaan bertegas serta prihatin kepada kesejahteraan semua kumpulan penjawat awam dan rakyat. Dengan kepincangan SBPA yang tidak masuk akal dan tidak terfikir oleh kebanyakan penjawat awam ini patutkah Kumpulan Premier, di antaranya terlibat secara langsung dalam penggubalan SBPA, dibayar pencen beserta gaji yang sebegitu tinggi? Sekiranya dikatakan bahawa SBPA disediakan oleh pihak konsultan, maka apakah peranan kumpulan JUSA dan Premier yang merupakan pemegang strategic dan key positions dalam perkhidmatan awam? Begitu bunyi surat itu. Benar juga apa yang dijelaskan itu.

Ia umpama langit dengan bumi atau antara atap rumbia dan atap genting. Ia juga umpama strata rakyat di India, yang terlalu daif dan yang terlalu kaya. Yang mendapat imbuhan maha-besar itu hanyalah kira-kira 4,000 kakitangan berbanding 1.3 juta lain yang sedang marah. Dan difahamkan peruntukan untuk membayar kos kepada 4,000 itu merupakan 2/3 daripada keseluruhan peruntukan untuk kesemua kakitangan kerajaan. Kita berharap rundingan itu akan mencapai satu kata-putus yang menang-menang. Jika tidak, menurut Omar: ‘‘Ia akan menjadi satu isu yang amat kritikal. Dalam road show kami, kakitangan telah memberi kata dua…'' Kita berharap kata dua itu tidak seperti kata-kata Dr. David Banner sebelum dia bertukar warna menjadi Incredible Hulk: ‘‘...don‘t make me angry. You wouldn‘t like me when I’m angry. (Jangan buat saya marah. Saya tidak akan sukakan saya jika saya marah.) Saya berharap satu formula yang lebih bertamadun dapat dirangka demi kesejahteraan semua pihak, terutamanya kepada kerajaan semasa. Ingatlah YAB PM telah bekerja amat keras, janganlah kerana skim yang tidak masuk akal ini akan menyebabkan apa yang beliau usahakan rosak sebelanga.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
22 FEBRUARI 2012

21 Februari 2012

ISU SOSIAL : NILAI HIDUP KIAN MEROSOT


Ramai yang merasakan generasi muda hari ini, tanpa mengira bangsa dan kepercayaan agama, semakin tidak mempercayai nilai kehidupan ideal yang dijalani nenek moyang mereka. Apabila memikirkan mereka, perkara pertama yang terlintas ialah kemerosotan akhlak dan nilai keperibadian anak muda masa kini. Golongan muda hari ini ialah pemimpin masa depan dan di bahu mereka terletak tanggungjawab untuk mengekalkan serta memulihara legasi sosial dan budaya masyarakat. Bagaimanapun ramai merasakan bahawa jika pelbagai masalah sosial yang dihadapi golongan muda hari ini mahu dijadikan ukuran, maka mereka menuju jalan yang salah. Apa pun, adakah hanya mereka yang harus dipersalahkan terhadap masalah sosial yang dihadapi masyarakat sekarang? Sebelum menuding jari terhadap golongan muda ini, kita patut meneliti pelbagai aspek kehidupan yang ligat berputar dan persekitaran yang pesat membangun kini, kerana ada yang semakin menjadi tidak relevan, yang tidak lagi menjadi keutamaan, dan aspek kehidupan yang baru muncul yang tidak begitu dapat diterima kalangan generasi dewasa.

Kehidupan hari ini dipenuhi dengan banyak cubaan dan cabaran, maka pilihan yang tepat akan memastikan arah tujuan yang betul. Golongan muda, termasuk pelajar dan siswazah, dilihat sebagai golongan yang mudah dipengaruhi dalam membuat pilihan dan keputusan yang betul. Pilihan mereka dalam menjalani kehidupan berkait rapat dengan peraturan dan larangan yang perlu mereka patuhi pada setiap peringkat usia muda. Waktu "curfew" atau had waktu bebas sebelum berkurung di rumah adalah contoh terbaik. "Kebanyakan universiti awam mempunyai waktu kurungan bagi mereka yang menginap di asrama kampus. Pukul 11 atau 12 tengah malam merupakan waktu paling lewat untuk seseorang itu memasuki perkarangan universiti. Ini ditetapkan di UiTM dan UUM antaranya," jelas seorang gadis baru-baru ini. Besar pengaruhnya jika lokasi kolej atau institut pengajian tinggi seseorang pelajar itu terletak di bandar-bandar besar. "Ada kawan sekuliah saya yang tidak balik ke kolej sehingga pukul 6 pagi keesokannya. Entahlah dia ke mana dan buat apa, tapi dia kata dia bermalam di restoran makanan segera yang buka 24 jam," jelas seorang siswazah tahun satu di Selangor yang hanya ingin dikenali sebagai J. Liyana, 19.

Kelas bermula pukul 8 atau 9 pagi jadi pelajar-pelajar yang bermalam di luar kolej masih sempat menghadiri kuliah pada keesokan harinya, katanya. Tempat-tempat hiburan sebelum ini diarah mematuhi waktu operasi yang ketat; mereka perlu tutup pukul 1 pagi selewat-lewatnya. Bagaimanapun ada pusat hiburan yang kini dibuka hingga lewat 3 pagi, terutama yang beroperasi di kawasan tumpuan pelancong, menurut seorang petugas sebuah firma keselamatan di Selangor. Dan inilah yang membuatkan anak muda tempatan turut berada di luar kampus hingga lewat malam. Apakah tujuan anak-anak muda ini berbuat demikian? Adakah tindakan mereka bermalam di luar kolej semata-mata mahu belajar berkumpulan atau mahu berseronok di luar kerana menganggap diri mereka sudah cukup dewasa untuk bebas? Penulis pernah berdepan dengan situasi ibu bapa diajukan soalan tentang cara memastikan anak mereka yang semakin meningkat dewasa untuk mendengar kata. Seorang daripada mereka memberikan respons bahawa cara membesarkan anak-anak hari ini berbeza dengan dahulu, pendekatan yang perlu digunakan juga harus berlainan.

Mungkin disebabkan terlalu banyak dugaan daripada kemudahan yang tersedia di luar sana, yang mudah mempengaruhi golongan muda ini, untuk tidak menumpukan perhatian kepada pelajaran dan kerjaya mereka. Apa pula kata orang muda hari ini tentang istilah akhlak dan pentingnya agama di dalam kehidupan mereka? Adakah mereka merasakan nilai-nilai murni dan agama masih relevan dalam kehidupan seharian mereka? "Akhlak sangat relevan dan akan sentiasa relevan kepada saya, baik dari aspek persendirian mahupun di tempat kerja, lebih-lebih lagi pekerjaan saya sebagai seorang juruaudit di Lembah Klang ini. Saya dianggap sebagai contoh atau role model. "Saya perlu memastikan saya ada prinsip yang kukuh - berintegriti, jujur, berdisiplin, boleh dipercayai - dan saya tegas dan bertanggungjawab. Orang yang berakhlak baik boleh disamakan dengan permata berharga yang sukar ditemui," jelas juruaudit Zinnirah Abbas, 35, yang menetap di Bandar Utama. Gadis ini berkata agama bersama pendidikan dan latar belakang keluarga yang baik memainkan peranan besar dalam membentuk keperibadian akhlak dan etika profesional seseorang itu. Suhana Lina Sarkawi dari Sarawak percaya seorang insan yang mengamalkan nilai agama yang kuat akan mempertahankan akhlak diri yang mulia. "Agama ialah cara hidup. Akhlak itu mencerminkan sikap atau tingkah laku seseorang yang mempengaruhi tahap penyesuaian dirinya terhadap keadaan sekeliling. Asalkan ia seiringan dengan ajaran agama, pasti akhlak tidak mudah rosak," katanya.

Harta dan akhlak

Pemerhatian sesetengah pihak terhadap mereka yang tinggal di rumah mewah dan berharta, lebih mudah terdedah kepada pengaruh yang meruntuhkan akhlak, sebaliknya mereka yang tidak mempunyai kemewahan itu lebih kukuh memelihara akhlak dalam keadaan yang penuh dugaan ini. Kebenarannya tidaklah mutlak kerana persekitaran bukanlah semata-mata faktor yang mempengaruhi akhlak seseorang, kerana ia juga bergantung kepada pilihan individu. "Perkara yang bersangkutan dengan akhlak ini agak kompleks tetapi mereka yang sentiasa akur perintah agama, pasti terpelihara akhlaknya. Pendidikan dan cara seseorang itu dibesarkan turut memberikan impak. Sebagai manusia, kita harus membuat pilihan yang seimbang untuk terus hidup dengan aman dan bertatasusila tinggi. Sekali lagi ia satu persoalan pilihan," sambung Suhana, sambil berkata adalah penting bagi orang Islam mendalami kefahaman tentang agama. Akhlak yang baik dan budi pekerti yang tinggi pasti akan menjadikan seseorang itu contoh atau model terbaik untuk masyarakat. Berakhlak baik tidak bererti seseorang itu menolak pemodenan. Kesimpulannya, keperibadian akhlak membentuk golongan muda yang berjaya dalam menentukan masa depan mereka.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
17 FEBRUARI 2012

ISU KESIHATAN : DIET TANPA SENAM?

Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN


Hati-hati dengan diet yang dilakukan kerana jika tidak berhati-hati, memang berat badan akan turun mendadak tetapi masalah lain pula mungkin timbul. Jangan tiru pelakon 'Ally Mc Beal', Callista Flockshart, yang melakukan diet melampau sehingga akhirnya menderita penyakit anoreksia. Bagaimanapun beberapa artis tempatan dilihat dapat mengurangkan berat badan dengan mengamalkan gaya hidup sihat sambil mengambil diet sihat selain melakukan aktiviti fizikal. Antaranya Bob AF, Aizat AF, Imran Ajmain dan penyanyi baru Syah. Tapi mungkinkah anda akan dapat mengurangkan berat badan dengan hanya mengurangkan pengambilan makanan, mengambil ubatan tertentu tanpa melakukan apa-apa aktiviti fizikal? Anda mungkin dapat mengurangkan berat badan dengan hanya 'berlapar' tetapi tidak mungkin mendapat bentuk badan yang diidamkan. Risikonya pula, berat badan anda akan naik mendadak apabila anda kembali makan seperti biasa.

Jangan terperanjat jika anda mengalami pelbagai masalah yang berkaitan dengan organ badan dalam tempoh masa beberapa tahun. Pakar Pemakanan Hospital Pantai Ampang, Norsyamimi Ahmad berkata, program mengurangkan berat badan tanpa senaman amat tidak logik. "Senaman amat perlu untuk mengeluarkan tenaga daripada makanan jika tidak, ia akan ditukar menjadi lemak," katanya semasa ditemui baru-baru ini. Bagaimanapun senaman perlu dilengkapi dengan penjagaan makanan bagi memberikan berat badan yang ideal. Sebenarnya bukan semua orang boleh melakukan senaman terutama bagi mereka yang dikategorikan sebagai morbit obes - jika bacaan Indeks Jisim Berat Badan (BMI) melebihi bacaan 40 (berbanding 19 hingga 25 yang biasa) serta mempunyai masalah kesihatan. "Kaki pesakit morbit obes tidak mampu menampung berat badan. Jadi mereka boleh memulakan dengan diet kalori sangat rendah iaitu hanya mengambil 800 kalori sehari," katanya.

Mereka yang menjalankan diet berkenaan perlu mendapatkan pemantauan berterusan daripada doktor atau pakar pemakanan di wad. Cara mengurangkan berat badan paling baik adalah dengan menjaga makanan dan melakukan senaman. "Kita perlu seimbangkan makanan yang kita makan dengan senaman yang dilakukan bagi mendapatkan berat badan ideal," katanya. Nursyamimi berkata, senaman yang biasa dilakukan seperti berjoging, berjalan kaki semasa membeli-belah yang menyebabkan kadar degupan jantung tinggi selain pengeluaran peluh meningkat. Selain berjalan, berkebun selama setengah jam boleh membakar sebanyak 100 kalori. "Bagaimanapun semua aktiviti senaman dan makanan bergantung kepada usia dan berat badan seseorang," katanya. Apa yang perlu dilakukan adalah memastikan apa yang kita makan. Bagi diet yang betul, pesakit perlu makan ikut waktu, memilih makanan yang betul dan pastikan kalori yang perlu diambil setiap hari. Nursyamimi berkata, sarapan pagi tidak boleh ditinggalkan dan pesakit perlu mengambil lebih protein dan fiber seperti telur, ikan dan ayam.

Menu sarapan bagi wanita adalah sebiji telur separuh masak, dua keping roti berserat, buah-buahan, milo atau susu dengan oat. Manakala bagi lelaki pula adalah sebiji telur separuh masak, tiga hingga empat keping roti berserat, buah-buahan, milo atau susu dengan oat. Bagi makan tengahari pula, ambil 1/3 nasi, 1/3 ikan, ayam atau daging dan 1/3 sayur-sayuran serta sebiji atau sehiris buah-buahan. Sementara makan malam lebih kurang sama dengan makan tengahari. Bagaimanapun diet ini perlu diubah mengikut tahap kesihatan seseorang seperti diabetes, pesakit jantung dan penyakit kronik lain. "Perlu diingat, pastikan waktu makan setiap hari adalah lebih kurang sama. Bermula dengan sarapan pukul 7 hingga 9 pagi, makan tengahari pada pukul 12.30 hingga 2.30 petang dan makan malam seelok-eloknya empat jam sebelum tidur atau sebelum pukul 8 malam," katanya. Dr. Nursyamimi berkata, diet tanpa senaman atau dikatakan sebagai 'yo-yo diet' biasanya akan menyebabkan berat badan turun naik mendadak kerana kehilangan otot.

Diet ini menggunakan otot untuk ditukar kepada tenaga kerana otot dua kali lebih berat berbanding lemak. "Diet sebegini amat tidak digalakkan," katanya. Mereka yang mengamalkan diet berkenaan mempunyai risiko bertambah berat badan dua kali ganda, kerosakan buah pinggang, haid tidak teratur, mood tidak betul, tekanan darah tidak stabil dan paras gula dalam darah menurun sehingga kadang-kala boleh pengsan. Biasanya penurunan berat badan yang ideal adalah 10 peratus dalam tempoh enam bulan. Diet paling popular sekarang adalah pengambilan protein tinggi dan rendah karbohidrat tetapi diet ini tidak boleh diambil berterusan kerana akan memberikan kesan kepada buah pinggang. "Biasanya ia hanya dilakukan selama 60 hari dan diikuti dengan senaman seperti berenang, berbasikal atau joging mengikut kesesuaian," katanya. Dalam tujuh seminggu, pastikan lima hari dengan masakan bakar, kukus atau sup sementara hari lain dengan goreng atau bersantan. Mengenai pusat pelangsingan badan, pil penyerap dan membakar lemak serta teh herba, Nursyamimi berkata, ia hanya akan berkesan jika menjaga pemakanan selain senaman.

Sebenarnya apa yang berlaku hanyalah pembuangan air atau menyerap semua lemak yang ada dalam badan. "Kadang-kala kita rasa lapar tetapi sebenarnya kita hanya dahaga. Jadi pastikan sama ada kita benar-benar lapar dengan meminum air," katanya. Beliau menasihatkan mereka yang ingin mengawal berat badan agar menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum bertemu dengan pakar pemakanan bagi mendapatkan diet yang betul. "Ini kerana diet berlainan bagi individu mengikut tahap kesihatan masing-masing," katanya.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
12 FEBRUARI 2012

ISU UMUM : ANTARA CINTA DAN AIR MATA


Cinta sememangnya sangat sukar ditafsirkan. Ada ketikanya kerana cinta manusia buta hati dan mata menerima segalanya dengan rela dalam terpaksa. Ada masanya kerana cinta, manusia hilang pertimbangan berbunuhan sesama sendiri. Cinta juga membuatkan kita rindu pada si dia tatkala lama tidak ketemu tetapi ia juga mampu membuatkan pasangan bergaduh siang malam hanya kerana sifat cemburu akibat terlalu menyintai. Bersandarkan hikayat dan legenda, Tun Teja terpaksa melepaskan cintanya untuk berkahwin dengan Sultan Melaka, meninggalkan Hang Tuah yang sanggup berkorban segalanya demi Sultan. Begitu juga kerana cinta, Qais dianggap sebagai majnun (gila) oleh masyarakat keliling kerana kelakuan peliknya yang terlalu merindui kekasihnya Laila. Manakala Laila pula hidup tidak keruan, serba tidak kena merindui si majnunnya yang sering melagukan syair dan puisi cinta mereka. Kerana cinta juga ada yang bertindak di luar pertimbangan apabila sanggup membunuh diri hanya kerana kehilangan kekasih seperti mana Romeo dan Juliet.

Ketentuan

Namun yang pasti, cinta adalah anugerah Tuhan paling indah buat manusia.Sementelah manusia itu dijadikan berpasangan maka cinta sejati tidak mengenal usia, pangkat dan harta dan kerana cinta juga nikmat hidup lebih dirasai. Mingguan Malaysia ingin mengajak pembaca berkongsi kisah cinta yang sering diperkatakan sebagai antara cinta agung. Kisah cinta mereka mampu membuatkan kita terharu dan kagum atau mungkin jua insaf dengan kebesaran-Nya. Cinta sememangnya satu hakikat bagi manusia. Hidup pastinya tidak akan sempurna tanpa cinta. Namun yang pasti, cinta abadi adalah cinta terhadap pencipta-Nya dan itulah ketentuan bagi setiap manusia.

SHAH JAHAN DAN MUMTAZ MAHAL

PADA 1612, pemerintah kerajaan Moghul, Shah Jahan telah dikahwinkan dengan seorang gadis jelita bernama Arjumand Banu. Gadis ini kemudian diberi nama Mumtaz Mahal dan melahirkan 14 orang anak untuk Shah Jahan. Walaupun memiliki beberapa orang isteri namun Mumtaz ialah isteri kesayangan beliau. Setelah kematian Mumtaz pada 1629, hidup Shah Jahan menjadi tidak keruan. Beliau membuat keputusan membina sebuah monumen sebagai lambang cinta kepada isterinya itu yang kini dikenali sebagai Taj Mahal. Bangunan ini mengambil masa 20 tahun untuk disiapkan dengan 20,000 orang dan 1,000 gajah bekerja tanpa henti. Malangnya, Shah Jahan digulingkan oleh anaknya sendiri lalu dipenjarakan di Kubu Merah Agra. Beliau menghabiskan sisa-sisa hidup merenung Taj Mahal yang terletak di seberang sungai dan akhirnya dikebumikan bersebelahan kubur isterinya di Taj Mahal.

POCAHONTAS DAN JOHN SMITH

KISAH cinta unik antara dua pihak yang bermusuhan yang akhirnya tidak kesampaian. Pocahontas ialah anak kepada ketua kaum Indian dari suku Algongquian di Virginia, Amerika Syarikat. Pocahontas pertama kali bertemu dengan lelaki Inggeris, John Smith pada Mei 1607 setelah lelaki tersebut ditangkap dan dijadikan tahanan kaumnya. Pocahontas yang menjadi penyelamat Smith daripada diseksa lebih teruk kemudiannya jatuh hati kepadanya. Pocahontas membantu memulihkan kecederaan Smith yang menjadi anak angkat bapanya. Smith kemudiannya kembali ke pekan Jamestown namun mereka masih kerap berjumpa. Namun dalam satu peperangan, Smith cedera parah dan dihantar pulang ke England. Pocahontas yang menerima perkhabaran bahawa Smith terbunuh, telah pergi ke bandar Jamestown namun ditawan oleh Jeneral Sir Samuel Argall. Dia dijadikan tebusan untuk mendapatkan semula tentera Inggeris yang ditawan puak Indian. Pocahontas akhirnya berkahwin dengan seorang lelaki Inggeris, John Rolfe. Setelah mendapat tahu Smith masih hidup, dia pergi ke England menjejakinya namun pertemuan tersebut dikatakan yang terakhir buat mereka.

CLEOPATRA DAN MARC ANTHONY

KISAH cinta pemimpin dua negara ini menjadi ikon kisah percintaan klasik di seluruh dunia. Mungkin pelbagai telahan dibuat memandangkan kedua-dua mereka berjawatan tinggi maka ada yang melihat hubungan mereka sekadar untuk mengukuh kuasa. Apatah lagi Cleopatra sendiri sebelum itu pernah mempunyai hubungan dengan pemimpin Rom, Julius Caeser. Namun hubungan antara Cleopatra dan Marc Anthony dilihat sebagai cinta sejati kerana kedua mereka akhirnya sanggup mati kerana cinta. Kedua mereka jatuh cinta pandang pertama ketika bertemu di Alexandria dan kedua mereka dikatakan berkahwin tidak lama kemudian. Namun kerana tugas Anthony terpaksa pulang ke Rom. Bagaimanapun akibat terpedaya dengan berita palsu yang mengatakan Cleopatra terbunuh, Anthony kemudiannya bertindak membunuh diri kerana tidak boleh menerima kenyataan. Cleopatra yang mendengar berita ini turut bersedih yang amat sangat dan mengambil tindakan membunuh diri dengan membiarkan seekor ular berbisa menggigitnya. Sasterawan terkenal William Shakespeare turut menulis skrip dan mengarah drama dengan tajuk sama kerana kagum dengan kisah percintaan mereka. Sehingga kini drama mengenai kisah percintaan mereka masih dimainkan dan tetap mendapat sambutan hangat.

MARIE DAN PIERRE CURIE

MEREKA bukan sahaja dipertemukan melalui ikatan perkahwinan tetapi turut sama mencipta nama dalam bidang sains. Pada 1881, Maria Sklodowska Curie yang berasal dari Poland berpindah ke Paris untuk melanjutkan pelajaran. Di Universiti Sorbonne, beliau dikenali sebagai ulat buku dan sering menghabiskan masa di perpustakaan. Kerajinannya menarik perhatian pengarah makmal di situ, Pierre Curie. Marie yang pada mulanya hanya minat belajar menolak untuk berkahwin dengan Curie beberapa kali namun akhirnya akur dengan jodoh mereka lalu disatukan pada 1895. Pada 1898, pasangan ini berjaya menemui polonium dan radium. Kejayaan menemui radioaktif itu telah membolehkan mereka bersama Henri Becquerel dianugerahkan Hadiah Nobel dalam bidang fizik pada 1903. Kegembiraan mereka tidak lama apabila Pierre meninggal dunia pada 1904. Dalam kesedihan, Marie terus berazam melanjutkan kajian mereka berdua dan hasilnya beliau sekali lagi dianugerahkan Hadiah Nobel pada 1911, kali ini dalam bidang kimia.

LIU GUOJIANG DAN XU CHAOQIN

KISAH cinta dari China ini cukup mengharukan. Hebatnya cinta mereka apabila si suami sanggup memahat 6,000 anak tangga dengan tangannya sebagai lambang cinta kepada isterinya. Ia berlaku 56 tahun lalu, apabila Liu Guojiang, pemuda berusia 19 tahun, jatuh cinta dengan seorang janda yang 10 tahun lebih tua daripadanya bernama Xu Chaoqin. Umpama kisah Romeo dan Juliet, teman-teman dan saudara mencela hubungan mereka kerana perbezaan usia. Demi cinta, kedua-duanya memutuskan untuk melarikan diri dan tinggal di sebuah gua di Desa Jiangjin, selatan Chong Qing. Pada mulanya kehidupan mereka sangat menyedihkan kerana hidup serba kekurangan. Setelah dua tahun tinggal di situ, Liu mulai memahat anak-anak tangga agar isterinya dapat turun dan naik ke gunung dengan mudah. Pasangan ini hidup bahagia selama lebih 50 tahun. Suatu hari Liu yang sudah berusia 72 tahun pengsan ketika pulang dari ladangnya. Xu duduk dan berdoa di samping suaminya sehinggalah Liu menghembuskan nafas terakhir dalam dakapannya. Terharu dengan kisah cinta mereka, pemerintah memutuskan untuk melestarikan "anak tangga cinta" itu dan gua yang menjadi kediaman pasangan ini sebagai muzium agar cinta agung mereka terus hidup.

RAJA EDWARD DAN WALLIS SIMPSON

MONARKI Britain sememangnya sentiasa hangat dengan pelbagai skandal cinta terlarang. Sebelum skandal yang menyelubungi Puteri Diana dan Putera Charles terhebah, pakciknya Raja Edward terlebih dahulu mencipta sejarah mengenai kisah cintanya. Lebih menarik lagi, beliau sanggup turun takhta sebagai Raja England pada 1936 hanya kerana mahu mengahwini seorang wanita dari Amerika Syarikat, Wallis Simpson. Beliau terpaksa meletak jawatan kerana berdasarkan sistem beraja England, wanita yang bakal menjadi permaisuri tidak boleh seorang janda. Simpson pernah berkahwin sebanyak dua kali dan ketika jatuh cinta kepada Edward, dia masih lagi isteri orang. Edward hanya memerintah selama 11 bulan dan akhirnya berkahwin pada 3 Jun 1937. Mereka berdua menghabiskan hayat menetap di Perancis. Edward meninggal dunia pada Mei 1972, menyebabkan Wallis hidup menyendiri sebelum akhirnya meninggal dunia pada April 1986.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
12 FEBRUARI 2012