JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



22 Februari 2012

ISU KENEGARAAN : BERSATU TANPA SATU BAHASA

TAN SRI ZAINUDDIN MAIDIN
Karyawan Tamu kepada Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir UUM.


Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong menyatakan bahawa patriotisme pelajar-pelajar sekolah jenis kebangsaan tidak perlu dipersoalkan dan dihubungkaitkan dengan kesetiaan dan kasih sayang pada negara. Tajuk berita mengenainya: Patriotism not in one 's language, those study in vernacular school are loyal to country, says Wee ( Sunday Star 19 February 2012) "Bahasa adalah jambatan perpaduan tetapi menggunakan bahasa yang sama tidak bererti bahawa kita bersatu" katanya. Pandangan ini ada logiknya tetapi menidakkan atau menafikan peranan "Satu bahasa Satu Bangsa" untuk jalinan penghayatan perasaan kenegaraan, persefahaman, saling hormat-menghormati dan bagi pembangunan dan kesepaduan suatu bangsa dalam masyarakat berbilang kaum. Pandangan ini juga menolak kejayaan Singapura membangunkan suatu Bangsa Singapura (Singaporean Singapore) menerusi satu bahasa iaitu bahasa Inggeris walaupun bahasa ibunda masing-masing dibenarkan untuk dipelajari sebagai bahasa kedua (Dasar Dwi Bahasa).

Singapura melaksanakan dasar Bahasa Inggeris sebagai pengantar utama semua sekolah dengan tegas, berani dan tanpa tolak ansur terutama terhadap kaum Cina sendiri (lihat buku Lee Kuan Yew : My Life Long Challenge : Singapore Bilingual Journey). Keberkesanannya yang terbesar adalah menghapuskan cauvinisme Cina berpunca dari sekolah Cina yang berpotensi menjadi ancaman besar kepada ketenteraman dan keharmonian politik Singapura dari awal 60 an hingga 80an. Di Malaysia Sekolah Kebangsaan (Pengantar Melayu) tidak mencapai matlamat seperti sekolah aliran kebangsaan di Singapura (aliran Inggeris) kerana pendekatan dalam pelaksanaan dasar Bahasa Kebangsaan bermula dengan pendekatan jingoism atau fahaman perkauman Melayu yang sempit yang tidak menampakkan pendekatan liberal dan berdiplomasi supaya diterima selesa oleh bukan Melayu sebagai bahasa mereka. Pendekatan ini lebih hendak menonjolkan kebanggaan bahasa Melayu adalah hak kepunyaan orang Melayu sekalipun hasrat utama adalah untuk menjadikannya bahasa nasional atau bahasa bagi semua kaum.

Menyedari hakikat ini, Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra menganjurkan supaya Bahasa Melayu diistilahkan sebagai Bahasa Malaysia tetapi seakan ditolak oleh pejuang bahasa dan fanatik bahasa yang berpusat di Dewan Bahasa dan Pustaka. Sehingga ini kesempitan dalam pendekatan ini dapat dilihat dari papan-papan iklan atau poster promosi penggunaan Bahasa Melayu di lebuh raya dan di lain-lain tempat umum yang menggunakan gambar lelaki dan wanita Melayu berpakaian Melayu. Ini memberikan gambaran penggunaan Bahasa Melayu mestilah juga menggunakan budaya Melayu atau Bahasa Melayu itu hanya terbatas kepada orang Melayu dan Islam sahaja. Kenapa tidak memakai wajah berbilang kaum dalam pakaian harian. Kempen menggalakkan penggunaannya masih memakai slogan lapuk dan beku" Gunakanlah Bahasa Melayu". Pada hakikatnya dalam interaksi seharian antara kaum sekarang ini adalah menggunakan bahasa Melayu kecuali di bidang perdagangan dan ekonomi yang tetap memerlukan penggunaan bahasa Inggeris.

Slogan ini tidak dinamik dan beku yang menunjukkan kejumudan berfikir pejuang bahasa yang bertanggungjawab yang tanpa sedar menyinggung perasaan generasi baru bukan Melayu yang telah pun menguasai dan menggunakan bahasa itu. Ketidakterbukaan sikap ini juga mempengaruhi corak pendekatan pendidikan di sekolah-sekolah kebangsaan sehingga anak anak bukan Melayu merasa terasing dan menjadi antara salah satu fakta menyebabkan orang Cina tidak mahu menghantar anak mereka ke sekolah-sekolah kebangsaan. Sesetengah sekolah ini pula agak keugamaan kerana sikap pengetua atau guru. Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew (LKY) sendiri diawal kemerdekaan negaranya telah melihat ancaman perkauman Cina dari sekolah-sekolah Cina kepada perkembangan keharmonian kaum dan kestabilan Singapura. Oleh kerana jumlah besar penduduk Singapura orang Cina maka cabaran besar yang pertama sekali dihadapi adalah dari generasi muda berpendidikan Cina yang dibudayakan oleh Bahasa Cina.

LKY dengan berani, tegas dan menggunakan tangan besinya memerangi pejuang-pejuang pendidikan Cina dan menutup sekolah-sekolah Cina, Tamil dan Melayu dan menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar utama yang akhirnya menjadi alat paling berkesan bagi kecairan perkauman Cina. Dalam 1987, Bahasa Inggeris menjadi bahasa pengantar tunggal sekolah Singapura. Air mata mengalir di kalangan masyarakat India apabila sekolah Tamil ditutup di Singapura pada 1982 terutama sekali di kalangan penjual-penjual akhbar Tamil yang yang penutupan sekolah itu bererti berakhirnya riwayat akhbar Bahasa Tamil di Singapura. (Men In White - hlm 611) Mengenai penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa bersama rakyat Singapura, LKY berkata " Selepas 1965, kami terpaksa membuat keputusan mengenai bahasa bersama. Jika kami menjadikan Cina sebagai bahasa bersama , maka kebudayaan Cina menjadi dominan dan akan membawa kepada perpecahan masyarakat. (Ibid hlm 613)

Tidak dapat dinafikan bahawa berikutan dengan kebangkitan Republik Rakyat Cina menuju ke arah menjadi kuasa terbesar ekonomi dunia maka dasar Singapura kini tercabar tetapi tidak mungkin Singapura mahu meleburkan asas kekuatannya seperti yang dibenarkan berlaku di Malaysia sehingga mengakibatkan tsunami 2008. LKY berjaya melahirkan rakyat Cina yang berfikiran Singapura atau Singapura yang tidak kecinaan berbanding dengan aliran pemikiran Cina Malaysia yang mengwujudkan suasana yang memaksa kepimpinan politik Cina untuk mencari populariti menerusi isu perkauman Cina. Kesilapan LKY adalah hendak menjual eksperimen kejayaan politik kosmopolitannya di Singapura ke Malaysia (Malaysian Malaysia) tanpa mempedulikan sensitiviti majoriti masyarakat tradisi Melayu. Beliau mahu melakukan apa yang dilakukannya terhadap majoriti rakyat Cina Singapura. Dalam buku Men In White halaman 610 disebutkan bagaimana LKY menghadapi golongan pejuang pejuang bahasa Cina pada 1965. LKY menulis "under the full glare of TV light I met the committees of all four chambers of commerce. I left the Chinese representative in no doubt that I would not allow anyone to exploit the Chinese language as a political issue. That put an end to their attempts to elevate the status of the Chinese"

Hal ini tidak mungkin akan dilakukan oleh LKY jika beliau tidak melihat mereka yang bersekolah Cina akan terbentuk dengan pemikiran perkauman Cina dan keperluan penggunaan satu bahasa untuk pembinaan perasaan kenegaraan atau kesetiaan kepada Singapura. Contoh kecil bahawa golongan berpendidikan Cina bersikap perkauman Cina yang menyebabkan mereka berpandangan sempit dan kecinaan jelas dalam tulisan Joceline Tan di Sunday Star 19 Februari 2012 mengenai debat Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng. Menurut Joceline golongan berpendidikan Cina menganggap orang Cina seperti Soi Lek dan Guan Eng sebagai pisang, kuning di luar tetapi Barat di dalam kerana mereka tidak berpendidikan Sekolah Cina tetapi hanya bersekolah Kebangsaan dan Sekolah Inggeris. Demikian juga dalam bukunya My Life Long Challenge: Singapore Bilingual Journey, LKY menyatakan bahawa orang Cina yang mendapat pendidikan Inggeris memilih bahasa Melayu sebagai bahasa kedua untuk anak-anak mereka kerana menyedari hakikat bahawa Singapura berada di rantau Melayu tetapi orang China yang berpendidikan Cina tetap memilih bahasa Cina sebagai bahasa kedua.

Menafikan sesuatu bahasa membibitkan perasaan kenegaraan adalah menafikan proses pembentukan kejatian diri sesuatu bangsa. Dalam hal ini Singapura mencapai kejayaan dalam masa singkat dan boleh dijadikan contoh. Dalam masa tiga dekad (1960 -1980) , Sekolah Rendah dan Menengah pengantar Bahasa Cina tidak wujud lagi di Singapura. Dalam 1980, Nanyang Universiti dipaksa bergabung dengan Universiti of Singapura untuk menjadi National Universiti of Singapore (Lihat Men in White hlm 612). Bagaimanapun rakyat Malaysia yang mahukan suatu identiti nasional tidak seharusnya bersikap sentimen, marah atau prejudis terhadap bukan Melayu yang tidak mahu menerima Sekolah Kebangsaan atau tidak mahu menghantar anak anak mereka ke Sekolah Kebangsaan. Ini adalah sikap pengasingan diri secara sukarela yang sewajarnya dihormati dalam masyarakat berbilang kaum yang negaranya percaya kepada perpaduan menerusi integrasi. Mereka tidak mahu diserapkan dalam suatu acuan bangsa seperti yang berlaku kepada orang Cina di Indonesia atau di Thailand yang menjalankan dasar asimilasi terhadap pendatang.

Dalam kata-kata lain, kewujudan masyarakat bukan Melayu yang mahukan kebebasan untuk terus kekal dengan identiti bangsa pendatang dan tidak mahu berada dalam aliran perdana sewajarnya dibiarkan. Mereka akan dikenali dengan pertuturan dialek Bahasa Melayu yang tersendiri kerana tidak mahu menerima guru bahasa dari orang Melayu dan menolak sekolah wawasan. Ini berbanding dengan keturunan India yang bersekolah kebangsaan dari peringkat rendah. Mereka bercakap Melayu seperti orang Melayu. Golongan "pemencilan diri sukarela" ini juga akan dikenali dengan identiti pemikiran yang terasing dari aliran perdana. Dalam menangani situasi ini yang perlu adalah kerajaan Malaysia memperkasakan terus kualiti Sekolah Kebangsaan dan Pendidikan Tinggi Nasional terutama sekali dalam memantapkan pengajaran dan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan para pelajar di samping Bahasa Malaysia. Saya percaya ramai orang Cina yang akan kembali menghantar anak mereka ke Sekolah Kebangsaan sekiranya Bahasa Inggeris digunakan bagi pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik. Orang Cina ialah orang yang praktikal, pragmatik dan amat mementingkan nilai. Inilah yang ditakuti oleh sekolah-sekolah jenis kebangsaan.

Tidak ada ruginya kepada negara jika ada mana-mana kaum dalam masyarakat berbilang kaum mahu terpisah dari aliran nasional dengan lebih mengutamakan kemantapan bahasa dan kebudayaan sendiri. Semakin jauh kejayaan Sistem Pelajaran Kebangsaan dengan pengantar Bahasa Melayu dan kemantapan Bahasa Inggeris (Pasti akan berlaku) akan semakin nyata mereka terpisah dari aliran perdana dan akan semakin mudah mereka dikenali sebagai bangsa asing. Ini bukanlah kehendak kita tetapi pengasingan diri mereka secara sukarela. Ini berbanding dengan masyarakat Cina Indonesia yang berbahasa Indonesia sesama mereka dan terlihat sebati dengan bumiputera Indonesia dan dikenali oleh orang asing bahawa mereka adalah bangsa Indonesia. Kita sendiri merasa bangga mendengar Cina Indonesia berbahasa Indonesia. Sebuah hotel di Singapura yang pernah saya menginap, ramai pekerjanya yang terdiri dari orang Cina dan India Singapura berbahasa Indonesia dengan baik kerana sekian lama menjadi tumpuan penginapan keturunan Cina Indonesia.Maka itu kenyataan Ka Siong tidak seharusnya menimbulkan kebimbangan, kemarahan atau kerisauan di kalangan rakyat di aliran perdana negara sekalipun berbeza pendapat dengan menterinya sendiri. Biarkan dan biarkan.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
22 FEBRUARI 2012

Tiada ulasan: