Dalam kalangan cendekiawan bersetuju bahawa badan bukan kerajaan (NGO) yang cenderung memainkan isu-isu politik perlu mendaftar sebagai parti politik dan tidak berselindung di sebalik topeng mana-mana NGO. Mereka sependapat bahawa rakyat juga tidak boleh dengan mudah menganggap NGO yang cuba memainkan peranan dan isu politik sebagai Kuasa Ketiga yang dilaung-laungkan banyak pihak sekarang. Apatah lagi untuk NGO itu sendiri mengakui ia memainkan peranan sebagai Kuasa Ketiga, sedangkan hakikatnya NGO itu mungkin hanya dianggotai oleh empat atau lima orang jawatankuasanya, dan tidak sekali-kali mewakili suara rakyat terbanyak. Para cendekiawan itu menyokong kenyataan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang menasihati rakyat jangan mudah melabel NGO sebagai Kuasa Ketiga kerana NGO itu sendiri tidak mempunyai apa-apa kuasa, kerana kuasa yang sebenarnya berada di tangan rakyat.
Rais berkata demikian dalam temu bual khas dalam program popular "Kerusi Panas" Bernama Radio24, sempena pelancaran peluasan siaran stesen radio itu ke selatan tanah air di Johor Bahru, semalam. Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Lepasan Ijazah) Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Prof. Madya Dr. Sivamurugan Pandian berkata, apa yang diungkapkan Rais memang tepat. "Sememangnya apa yang dikatakan menteri itu betul kerana ada sesetengah NGO kini berperanan seperti parti politik, menyebelahi parti politik tertentu dan mempunyai kepentingan politik. Mereka bukanlah Kuasa Ketiga yang seharusnya menjadi kuasa pengimbang yang tidak berpihak," katanya. Menurutnya, NGO seharusnya tahu membezakan antara dirinya dengan pertubuhan politik dan juga perbezaan dasar penubuhan organisasi masing-masing. Katanya, kalau hal semudah itu pun tidak dapat difahami dengan betul, bagaimana mereka hendak berperanan dengan baik dan akan hanya menimbulkan persoalan di kalangan rakyat mengapa NGO itu berperanan seperti parti politik sedangkan di negara ini sudah banyak parti politik.
Sivamurugan berkata, banyak NGO sekarang ini boleh dilihat jelas mempunyai kecenderungan sama ada kepada kerajaan atau pun pembangkang. "Kalau nak main peranan sebagai badan politik, sesebuah NGO itu perlu menjadi parti politik atau menyertainya dan tidak menjadikan NGO itu sebagai topeng untuk kepentingan politik kelompok mereka," katanya. Katanya, NGO yang berperanan sebagai "sekatan dan imbangan" tidak semestinya memilih untuk menentang kerajaan pada setiap masa, ataupun menyebelahi pembangkang dalam apa juga keadaan kerana rakyat kini bijak menilai dan tidak mudah terpengaruh dengan label. Dalam hal ini, Rais menegaskan bahawa NGO mempunyai peranan masing-masing tetapi ia bukan mutlak dan NGO juga berhak mengeluarkan pandangan mereka, namun sama ada mereka Kuasa Ketiga atau tidak, itu rakyat biasa yang menentukannya.
Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah) Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Dr Jayum Anak Jawan pula berkata NGO perlu ada hala tujunya yang jelas dan bukan boleh bertindak seolah-olah ia juga sebuah parti politik, jika ingin dihormati rakyat. Beliau memberi contoh, kalau ia sebuah NGO alam sekitar, ia perlu fokus kepada isu alam sekitar dan jika ia NGO guaman maka ia perlu fokus kepada tujuan itu dan bukannya cuba mempolitikkan isu alam sekitar atau isu guaman untuk menunjukkan sokongan kepada mana-mana parti politik. "Sebenarnya di Malaysia ini banyak NGO. NGO yang nak menjadi seperti parti politik adalah daripada serpihan atau orang yang tidak mendapat kedudukan dalam parti. Dia kecewa lalu menubuhkan sebuah NGO yang bertindak seperti parti politik," katanya. Jayum berkata, kalau mahu dikatakan NGO itu Kuasa Ketiga, juga bukanlah mudah kerana seperti yang disebutkan oleh Rais dalam wawancara khas dengan Bernama Radio24 itu, ia mungkin tidak pun menepati syarat.
"Katakanlah NGO itu adalah institut kajian dasar yang diwakili empat atau lima orang sahaja, macam mana boleh NGO itu menjadi Kuasa Ketiga sedangkan ia tidak ada sokongan pun daripada rakyat? "Kalau ia bercakap pun, impaknya tak sampai ke mana," katanya, yang memberikan contoh sebuah NGO yang mendapat sokongan ramai dan apa yang diperkatakannya juga diberi perhatian oleh banyak pihak. Bagaimanapun, untuk menganggap NGO seperti itu sebagai Kuasa Ketiga juga tidak mudah kerana selain sokongan luas dan diberi perhatian, banyak lagi syarat lain yang perlu dipenuhi, tambahnya. "NGO yang nak jadi Kuasa Ketiga mestilah juga diterima meluas, dengan mempunyai cabang atau cawangan yang banyak, termasuk di Sabah dan Sarawak. Tapi kalau sebuah NGO alam sekitar, mana ada sokongan atau cawangan yang banyak". Pemerhati sosial dan pensyarah komunikasi massa Prof Datuk Mohd. Hamdan Adnan pula berkata Rais mengeluarkan kenyataan peringatan itu tepat pada masanya berikutan perkembangan semasa politik tanah air supaya rakyat tidak keliru dalam menyatakan sokongan khasnya pada pilihan raya umum kelak.
"Rakyat jangan terpengaruh memberi undi hanya kerana mendengar istilah Kuasa Ketiga. Harus diteliti juga sama ada pilihan yang ditawarkan itu lebih baik daripada apa yang sudah dilaksanakan selama ini oleh kerajaan yang ada," katanya. Beliau berkata, sesebuah NGO tidak akan menjadi Kuasa Ketiga atau diiktiraf sebegitu hanya kerana mempunyai pemimpin yang lantang bersuara dan mendapat publisiti, apatah lagi NGO yang membawa isu-isu sempit, yang lebih berupa isu peribadi atau yang melibatkan hanya segelintir rakyat. "Peringatan Rais bertujuan mengelak rakyat daripada keliru, apatah lagi NGO berselubung politik pun ada dan parti politik memperalatkan NGO pun banyak, semata-mata untuk meraih undi. "Jadi rakyat jangan mudah terpedaya dengan label Kuasa Ketiga...boleh jadi ia hanya gendang kosong," katanya. - BERNAMA.
Sila berikan komen anda. Terima kasih.
SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
22 FEBRUARI 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan