21 Februari 2012

ISU UMUM : ANTARA CINTA DAN AIR MATA


Cinta sememangnya sangat sukar ditafsirkan. Ada ketikanya kerana cinta manusia buta hati dan mata menerima segalanya dengan rela dalam terpaksa. Ada masanya kerana cinta, manusia hilang pertimbangan berbunuhan sesama sendiri. Cinta juga membuatkan kita rindu pada si dia tatkala lama tidak ketemu tetapi ia juga mampu membuatkan pasangan bergaduh siang malam hanya kerana sifat cemburu akibat terlalu menyintai. Bersandarkan hikayat dan legenda, Tun Teja terpaksa melepaskan cintanya untuk berkahwin dengan Sultan Melaka, meninggalkan Hang Tuah yang sanggup berkorban segalanya demi Sultan. Begitu juga kerana cinta, Qais dianggap sebagai majnun (gila) oleh masyarakat keliling kerana kelakuan peliknya yang terlalu merindui kekasihnya Laila. Manakala Laila pula hidup tidak keruan, serba tidak kena merindui si majnunnya yang sering melagukan syair dan puisi cinta mereka. Kerana cinta juga ada yang bertindak di luar pertimbangan apabila sanggup membunuh diri hanya kerana kehilangan kekasih seperti mana Romeo dan Juliet.

Ketentuan

Namun yang pasti, cinta adalah anugerah Tuhan paling indah buat manusia.Sementelah manusia itu dijadikan berpasangan maka cinta sejati tidak mengenal usia, pangkat dan harta dan kerana cinta juga nikmat hidup lebih dirasai. Mingguan Malaysia ingin mengajak pembaca berkongsi kisah cinta yang sering diperkatakan sebagai antara cinta agung. Kisah cinta mereka mampu membuatkan kita terharu dan kagum atau mungkin jua insaf dengan kebesaran-Nya. Cinta sememangnya satu hakikat bagi manusia. Hidup pastinya tidak akan sempurna tanpa cinta. Namun yang pasti, cinta abadi adalah cinta terhadap pencipta-Nya dan itulah ketentuan bagi setiap manusia.

SHAH JAHAN DAN MUMTAZ MAHAL

PADA 1612, pemerintah kerajaan Moghul, Shah Jahan telah dikahwinkan dengan seorang gadis jelita bernama Arjumand Banu. Gadis ini kemudian diberi nama Mumtaz Mahal dan melahirkan 14 orang anak untuk Shah Jahan. Walaupun memiliki beberapa orang isteri namun Mumtaz ialah isteri kesayangan beliau. Setelah kematian Mumtaz pada 1629, hidup Shah Jahan menjadi tidak keruan. Beliau membuat keputusan membina sebuah monumen sebagai lambang cinta kepada isterinya itu yang kini dikenali sebagai Taj Mahal. Bangunan ini mengambil masa 20 tahun untuk disiapkan dengan 20,000 orang dan 1,000 gajah bekerja tanpa henti. Malangnya, Shah Jahan digulingkan oleh anaknya sendiri lalu dipenjarakan di Kubu Merah Agra. Beliau menghabiskan sisa-sisa hidup merenung Taj Mahal yang terletak di seberang sungai dan akhirnya dikebumikan bersebelahan kubur isterinya di Taj Mahal.

POCAHONTAS DAN JOHN SMITH

KISAH cinta unik antara dua pihak yang bermusuhan yang akhirnya tidak kesampaian. Pocahontas ialah anak kepada ketua kaum Indian dari suku Algongquian di Virginia, Amerika Syarikat. Pocahontas pertama kali bertemu dengan lelaki Inggeris, John Smith pada Mei 1607 setelah lelaki tersebut ditangkap dan dijadikan tahanan kaumnya. Pocahontas yang menjadi penyelamat Smith daripada diseksa lebih teruk kemudiannya jatuh hati kepadanya. Pocahontas membantu memulihkan kecederaan Smith yang menjadi anak angkat bapanya. Smith kemudiannya kembali ke pekan Jamestown namun mereka masih kerap berjumpa. Namun dalam satu peperangan, Smith cedera parah dan dihantar pulang ke England. Pocahontas yang menerima perkhabaran bahawa Smith terbunuh, telah pergi ke bandar Jamestown namun ditawan oleh Jeneral Sir Samuel Argall. Dia dijadikan tebusan untuk mendapatkan semula tentera Inggeris yang ditawan puak Indian. Pocahontas akhirnya berkahwin dengan seorang lelaki Inggeris, John Rolfe. Setelah mendapat tahu Smith masih hidup, dia pergi ke England menjejakinya namun pertemuan tersebut dikatakan yang terakhir buat mereka.

CLEOPATRA DAN MARC ANTHONY

KISAH cinta pemimpin dua negara ini menjadi ikon kisah percintaan klasik di seluruh dunia. Mungkin pelbagai telahan dibuat memandangkan kedua-dua mereka berjawatan tinggi maka ada yang melihat hubungan mereka sekadar untuk mengukuh kuasa. Apatah lagi Cleopatra sendiri sebelum itu pernah mempunyai hubungan dengan pemimpin Rom, Julius Caeser. Namun hubungan antara Cleopatra dan Marc Anthony dilihat sebagai cinta sejati kerana kedua mereka akhirnya sanggup mati kerana cinta. Kedua mereka jatuh cinta pandang pertama ketika bertemu di Alexandria dan kedua mereka dikatakan berkahwin tidak lama kemudian. Namun kerana tugas Anthony terpaksa pulang ke Rom. Bagaimanapun akibat terpedaya dengan berita palsu yang mengatakan Cleopatra terbunuh, Anthony kemudiannya bertindak membunuh diri kerana tidak boleh menerima kenyataan. Cleopatra yang mendengar berita ini turut bersedih yang amat sangat dan mengambil tindakan membunuh diri dengan membiarkan seekor ular berbisa menggigitnya. Sasterawan terkenal William Shakespeare turut menulis skrip dan mengarah drama dengan tajuk sama kerana kagum dengan kisah percintaan mereka. Sehingga kini drama mengenai kisah percintaan mereka masih dimainkan dan tetap mendapat sambutan hangat.

MARIE DAN PIERRE CURIE

MEREKA bukan sahaja dipertemukan melalui ikatan perkahwinan tetapi turut sama mencipta nama dalam bidang sains. Pada 1881, Maria Sklodowska Curie yang berasal dari Poland berpindah ke Paris untuk melanjutkan pelajaran. Di Universiti Sorbonne, beliau dikenali sebagai ulat buku dan sering menghabiskan masa di perpustakaan. Kerajinannya menarik perhatian pengarah makmal di situ, Pierre Curie. Marie yang pada mulanya hanya minat belajar menolak untuk berkahwin dengan Curie beberapa kali namun akhirnya akur dengan jodoh mereka lalu disatukan pada 1895. Pada 1898, pasangan ini berjaya menemui polonium dan radium. Kejayaan menemui radioaktif itu telah membolehkan mereka bersama Henri Becquerel dianugerahkan Hadiah Nobel dalam bidang fizik pada 1903. Kegembiraan mereka tidak lama apabila Pierre meninggal dunia pada 1904. Dalam kesedihan, Marie terus berazam melanjutkan kajian mereka berdua dan hasilnya beliau sekali lagi dianugerahkan Hadiah Nobel pada 1911, kali ini dalam bidang kimia.

LIU GUOJIANG DAN XU CHAOQIN

KISAH cinta dari China ini cukup mengharukan. Hebatnya cinta mereka apabila si suami sanggup memahat 6,000 anak tangga dengan tangannya sebagai lambang cinta kepada isterinya. Ia berlaku 56 tahun lalu, apabila Liu Guojiang, pemuda berusia 19 tahun, jatuh cinta dengan seorang janda yang 10 tahun lebih tua daripadanya bernama Xu Chaoqin. Umpama kisah Romeo dan Juliet, teman-teman dan saudara mencela hubungan mereka kerana perbezaan usia. Demi cinta, kedua-duanya memutuskan untuk melarikan diri dan tinggal di sebuah gua di Desa Jiangjin, selatan Chong Qing. Pada mulanya kehidupan mereka sangat menyedihkan kerana hidup serba kekurangan. Setelah dua tahun tinggal di situ, Liu mulai memahat anak-anak tangga agar isterinya dapat turun dan naik ke gunung dengan mudah. Pasangan ini hidup bahagia selama lebih 50 tahun. Suatu hari Liu yang sudah berusia 72 tahun pengsan ketika pulang dari ladangnya. Xu duduk dan berdoa di samping suaminya sehinggalah Liu menghembuskan nafas terakhir dalam dakapannya. Terharu dengan kisah cinta mereka, pemerintah memutuskan untuk melestarikan "anak tangga cinta" itu dan gua yang menjadi kediaman pasangan ini sebagai muzium agar cinta agung mereka terus hidup.

RAJA EDWARD DAN WALLIS SIMPSON

MONARKI Britain sememangnya sentiasa hangat dengan pelbagai skandal cinta terlarang. Sebelum skandal yang menyelubungi Puteri Diana dan Putera Charles terhebah, pakciknya Raja Edward terlebih dahulu mencipta sejarah mengenai kisah cintanya. Lebih menarik lagi, beliau sanggup turun takhta sebagai Raja England pada 1936 hanya kerana mahu mengahwini seorang wanita dari Amerika Syarikat, Wallis Simpson. Beliau terpaksa meletak jawatan kerana berdasarkan sistem beraja England, wanita yang bakal menjadi permaisuri tidak boleh seorang janda. Simpson pernah berkahwin sebanyak dua kali dan ketika jatuh cinta kepada Edward, dia masih lagi isteri orang. Edward hanya memerintah selama 11 bulan dan akhirnya berkahwin pada 3 Jun 1937. Mereka berdua menghabiskan hayat menetap di Perancis. Edward meninggal dunia pada Mei 1972, menyebabkan Wallis hidup menyendiri sebelum akhirnya meninggal dunia pada April 1986.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
12 FEBRUARI 2012

ISU PENDIDIKAN : MENARIK MINAT PELAJAR KE ALIRAN SAINS

Oleh Tan Sri Alimuddin Mohd Dom
PENULIS ialah Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad


Akibat merosotnya bilangan pelajar aliran sains Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan penubuhan jawatankuasa khas bagi mengkaji punca serta penyelesaian kepada isu tersebut. Kementerian Pelajaran dilaporkan memandang serius isu kemerosotan minat pelajar dalam bidang sains dan matematik iaitu hanya 37 peratus dan 29 peratus sahaja bagi sains tulen. Jumlah ini tidak mencapai sasaran yang sepatutnya iaitu 60 peratus dalam bidang sains dan 40 peratus aliran sastera atau kemanusiaan. Kewujudan aliran sains bermula apabila pelajar memasuki Tingkatan Empat di sekolah menengah. Mereka boleh memilih salah satu aliran yang ditawarkan iaitu aliran sains, kemanusiaan atau vokasional. Bagi pelajar aliran sains tulen mereka dikehendaki mengambil mata pelajaran Matematik, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia dan Biologi di samping mata pelajaran teras iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Sejarah dan Pendidikan Agama Islam atau Pendidikan Moral. Kebiasaannya pelajar yang mengikuti aliran sains ini adalah terdiri daripada mereka yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Kemerosotan bilangan pelajar sekolah menengah yang mengikuti aliran sains ini boleh menjejaskan usaha untuk meramaikan siswa mengikuti subjek kritikal di peringkat universiti. Para siswa perlu mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau Matrikulasi untuk membolehkan mereka mengikuti bidang perubatan, farmasi, kejuruteraan, akauntansi dan lain-lain. Sebagai sebuah negara sedang memasuki fasa negara maju bilangan tenaga kerja yang ramai berkelulusan dalam bidang tersebut sangat diperlukan. Mereka akan berperanan menjadi penyelidik, saintis, teknologis, jurutera, perekacipta dan tenaga pengajar di universiti. Itulah sebabnya Kementerian Pelajaran memperkenalkan dasar 60 : 40. Dasar ini mempunyai kaitan rapat dengan usaha menjadikan Malaysia sebagai negara maju melalui slogan Wawasan 2020 yang diperkenalkan lewat 980an.

Tidak dapat dinafikan bukanlah mudah untuk pelajar mendapat kelulusan cemerlang dalam bidang sains kerana ia dikatakan lebih sukar jika dibandingkan dengan mata pelajaran sastera atau kemanusiaan. Ada pelajar yang ingin mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM atau STPM akan memilih bidang kemanusiaan atau vokasional walaupun mereka layak mengikuti bidang sains. Dengan keputusan cemerlang dalam peperiksaan itu membolehkan mereka diterima dengan mudah ke institusi pengajian tinggi dan memilih subjek yang mereka minati. Kemerosotan bilangan pelajar aliran sains ini perlu dilihat secara holistik. Ini bermakna untuk mengatasi isu tersebut perlu dilihat dari semua aspek dan melibatkan semua pihak. Dengan ini tidaklah dibebankan kepada sekolah atau guru semata-mata. Isu kekurangan pelajar mengikut aliran sains khususnya di kalangan pelajar bumiputera disedari sejak negara belum mencapai kemerdekaan lagi. Bagi mengatasinya dalam Laporan Razak 1956 mencadangkan penubuhan sekolah berasrama penuh bagi memberi kemudahan kepada pelajar khususnya daripada luar bandar untuk mendapat pendidikan yang terbaik.

Justeru wujud, Sekolah Tunku Abdul Rahman, Ipoh; Sekolah Dato Abdul Razak, Tanjung Malim (sekolah asal); Sekolah Sultan Abdul Hamid, Jitra; Sekolah Seri Puteri, Kuala Lumpur dan Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru. Cadangan yang sama dinyatakan dalam Laporan Rahman Talib 1961 berikutannya wujud Sekolah-Sekolah Sains di seluruh negara dan bilangannya kini mencecah hampir 60 buah. Namun demikian sekolah berasrama penuh sahaja tidak dapat menampung keperluan yang ramai bilangan pelajar aliran sains tanpa mendapat sokongan daripada sekolah menengah harian dan sekolah swasta. Dari segi kerjaya nampaknya bidang profesional seperti doktor, jurutera, ahli farmasi atau akauntan kurang menarik minat sebahagian pelajar kerana dalam masa yang sama terdapat ratusan jenis pekerjaan lain yang boleh dipilih oleh mereka. Melalui kajian-kajian didapati ramai pelajar yang lebih berminat menjadi ahli perniagaan, usahawan, petani, kontraktor, bidang perkhidmatan, bidang hospitaliti seperti masakan, perhotelan, pengendalian restoran dan lain-lain. Bidang kerjaya ini bukan sahaja memberi cabaran baru menarik tetapi turut menjanjikan pendapatan lumayan yang boleh mengatasi pendapatan mereka di bidang profesional itu.

Dari segi perjawatan pula terutama untuk menjadi ketua atau pegawai kanan dalam sesebuah jabatan atau organisasi sama ada di sektor awam atau swasta termasuk bidang korporat dan badan politik sebahagian besarnya dimonopoli oleh mereka yang berkelulusan sains sosial atau kemanusiaan. Ini disebabkan mereka mempunyai kelebihan kerana telah mendapat pendedahan awal bidang pengurusan, pentadbiran dan kewangan semasa belajar di universiti. Berbeza dengan mereka yang mengikuti bidang kritikal atau sains tulen di mana lebih fokus dengan kandungan subjek pengajian mereka sahaja. Oleh itu ada pelajar memikirkan lebih baik memilih bidang yang mempunyai masa depan lebih baik dalam kerjaya nanti. Walau bagaimanapun untuk memenuhi dasar 60 : 40 yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran maka kerjasama dan sokongan dari ibu bapa, pengetua dan guru-guru sangat diperlukan supaya lebih ramai pelajar berminat untuk memilih aliran sains. Ibu bapa perlu merangsang dan menggalakkan anak meminati mata pelajaran matematik dan sains sejak di sekolah rendah.

Sementara itu pengetua sekolah seharusnya memperbanyakkan aktiviti pendedahan yang boleh menarik minat pelajar dan memberi keyakinan bahawa mata pelajaran aliran sains adalah mudah dipelajari serta mempunyai masa depan yang cerah. Peranan guru tidak kurang pentingnya di mana kaedah pengajaran yang menarik minat pelajar hendaklah sentiasa digunakan dan menjadikan subjek itu tidak membebankan. Untuk menarik minat pelajar mengikuti aliran sains mereka seharusnya diberi beberapa keistimewaan di antaranya adalah mendapat bantuan kewangan dan laluan mudah untuk melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi. Selain kerajaan maka badan-badan korporat boleh memainkan peranan dan turut membantu bagi merealisasikan hasrat tersebut. Dengan dorongan ini diharapkan lebih ramai pelajar akan berusaha keras untuk membolehkan mereka ditempatkan dalam aliran sains. Semoga jawatankuasa khas yang ditubuhkan kelak dapat menyiapkan laporan khusus untuk mengatasi masalah itu.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
21 FEBRUARI 2012

20 Februari 2012

ISU UMUM : PLASTINASI AWET TISU BIOLOGI


Struktur fizikal manusia, haiwan atau tumbuh-tumbuhan menyingkap pelbagai 'rahsia' hukum alam yang sukar diungkapkan dengan pandangan mata kasar. Kelebihan struktur dalaman tersebut ialah ia tidak memerlukan sebarang mekanisme mekanikal untuk berfungsi dengan baik sekali gus menimbulkan minat mendalam terhadap penerokaan keajaiban anatomi. Bahkan, penuntut-penuntut ilmu sains dan perubatan boleh dikatakan antara insan paling istimewa di muka bumi ini apabila berkesempatan merasai pengalaman merungkai fungsi struktur fizikal manusia, haiwan ataupun tumbuh-tumbuhan. Bagaimanapun, kekurangan kadaver menyukarkan proses menguasai selok-belok diseksi bagi memahirkan diri mengenali struktur dan fungsi dalaman manusia terutamanya penuntut-penuntut perubatan yang bakal menjadi doktor. Menyedari kepentingan ini, seorang pakar anatomi, Dr. Gunther von Hagens telah memperkenalkan teknik plastinasi dalam mengawet tubuh manusia semasa bekerja di Institut Anatomi Universiti Heidelberg, Jerman pada lewat tahun 1970-an.

Kebelakangan ini, spesimen plastinasi yang diperkenalkan oleh Dr. Gunther von Hagens melalui syarikat, Gubener Plastinate GmbH mendapat perhatian dunia terutamanya universiti-universiti dan institusi-institusi perubatan. Secara asasnya, Plastinator Gubener Plastinate GmbH, Dr. Vladimir Chereminskiy menjelaskan, plastinasi adalah teknik pengawetan inovatif yang dibangunkan Dr. Gunther von Hagens. Plastinasi merupakan kaedah pengawetan tisu biologi iaitu menggantikan cecair dan lemak di dalam tisu badan dengan menggunakan polimer atau dikenali sebagai cecair plastik. Melalui kaedah ini, ia membolehkan pengawetan dilakukan ke atas tisu dan organ yang telah dikeluarkan daripada badan serta pada keseluruhan badan manusia," katanya kepada Kosmo! ketika ditemui pada Seminar Plastinasi Dalam Pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Selayang, baru-baru ini. Seminar itu dianjurkan Modiezham Sdn. Bhd. Seperti rekaan inovatif lain, beliau memberitahu, plastinasi perlu melalui beberapa proses terlebih dahulu sebelum dapat digunakan dalam bidang saintifik.

Larutan polimer

Langkah pertama yang perlu dilalui adalah proses pengawetan dengan memasukkan formalin ke dalam arteri badan untuk menghapuskan bakteria dan menghentikan pereputan spesimen berkenaan. Dengan menggunakan peralatan diseksi, kulit, lemak dan sambungan tisu akan diubah untuk menyiapkan struktur anatomi.. Dalam langkah pertama itu, beliau menambah, cecair dan lemak boleh larut dikeluarkan dengan diawet menggunakan aseton. Katanya, proses kedua ialah menggantikan aceton dengan larutan polimer. Langkah kritikal memasukkan polimer cecair dalam setiap sel digelar sebagai pengisitepuan paksaan vakum. Spesimen diletakkan ke dalam kebuk vakum dan tekanan diturunkan sehingga suhu didih pelarut. Ini membolehkan keadaan vakum dalam spesimen dimasuki cecair polimer. Selepas proses pengisitepuan paksaan vakum tubuh tersebut akan diolah kepada kedudukan yang dikehendaki pelanggan sebelum melalui proses pengerasan.  Lazimnya, ia akan mengambil masa antara enam hingga 12 bulan bergantung kepada saiz dan kerumitan untuk menyiapkan spesimen berkenaan. Bagaimanapun, beliau memberitahu, setiap spesimen yang dibangunkan akan mengikut kehendak pelanggan.

Dalam pada itu, Pengurus Besar Von Hagens Dalian Plastination Ltd., (Dalian) China, Kentaro Nozaki menjelaskan, berbanding kaedah sebelum ini kaedah plastinasi akan menjadikan spesimen yang dihasilkan lebih mesra alam dan tahan lama. Melalui plastinasi, spesimen tersebut tidak mudah rosak, berbau, struktur tidak berubah dan kering. Malah, ia boleh dibawa ke mana-mana dengan mudah. Selain itu, penuntut-penuntut akan lebih memahami anatomi manusia apabila menggunakan spesimen plastinasi," katanya ketika ditemui.

Kadaver terurai

Sebelum ini, kadaver direndam dalam formalin yang diletakkan dalam botol. Kaedah ini bukan saja menyebabkan kadaver lama-kelamaan terurai bahkan agak sukar untuk memahami anatomi manusia. Kentaro menambah, spesimen yang digunakan dalam kaedah plastinasi ialah manusia ataupun haiwan sebenar. Secara tidak langsung, beliau berkata, spesimen tersebut lebih nyata malah penuntut-penuntut boleh melihat struktur dalaman. Saraf otot, jantung, paru-paru dan organ-organ lain dapat dipegang dan diteliti dengan lebih jelas menggunakan kaedah ini. Ia sudah tentu satu kelebihan berbanding hanya melihat gamba rajah di dalam buku-buku," ujarnya lagi. Kentaro memberitahu, kesemua tubuh manusia yang digunakan diperoleh melalui program derma tubuh untuk plastinasi. Ia sama seperti program menderma organ tetapi melibatkan tubuh manusia.

Kebanyakan daripada penderma tersebut berharap tubuh mereka akan dapat memberi kebaikan dan faedah kepada dunia selepas mereka mati. Selain daripada itu, beliau menambah terdapat juga zoo-zoo yang menderma haiwan yang telah mati untuk dijadikan spesimen untuk tujuan saintifik. Sementara itu, Pengarah Pemasaran Modiezham Sdn. Bhd., Mohammad Izham Ismail, berkata dia mengambil masa kira-kira dua tahun untuk mendapat kepercayaan Dr. Gunther von Hagens sebagai pembekal spesimen-spesimen plastinasi di negara ini. Dia agak berhati-hati dalam pemilihan pembekal spesimen-spesimen ini kerana selepas dua tahun baharu kami mendapat kebenaran secara rasmi menjadi pembekal tunggal pertama mereka. Ia merupakan satu penghargaan dan berharap dapat menjadi pembekal bukan sahaja di negara ini tetapi di Asia Tenggara," katanya.

Mohammad Izham menambah, pembabitannya dalam bidang tersebut adalah untuk membantu melahirkan graduan perubatan cemerlang di negara ini. Kita mendapati semakin banyak fakulti-fakulti perubatan yang memerlukan kadaver untuk memastikan kecemerlangan graduan dan agak sukar mendapati di negara ini. Justeru itu, kita berharap dengan menjadi pembekal spesimen-spesimen plastination ia dapat membantu mengatasi masalah ini kerana ia lebih tahan lama dan mudah dikendalikan mereka," ujarnya. Katanya, ia sejajar dengan seruan kerajaan dalam menjadikan negara ini dikenali sebagai pelancongan perubatan. Sementara itu, pendakwah bebas, Datuk Mohd. Daud Che Ngah menjelaskan dari perspektif Islam, mayat orang Islam tidak boleh digunakan untuk diuji kaji biarpun untuk tujuan perubatan. Beliau memberitahu hukumnya haram kerana perbuatan itu akan menyakiti mayat tersebut. Dalam pada itu, beliau turut memberitahu mayat orang Islam juga tidak boleh diawet kerana hukumnya adalah haram di sisi Islam. Bagaimanapun, pendermaan organ adalah diharuskan dengan syarat si mati mewasiatkannya.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
KOSMO ONLINE
20 FEBRUARI 2012

19 Februari 2012

ISU UMUM : KEBIMBANGAN LELAKI BUJANG INDONESIA

Dari Jakarta


Cinta bukan sesuatu yang mudah untuk dicari. Kasih dan sayang juga bukanlah sesuatu yang boleh dipaksa kerana ia hanya akan berakhir dengan kekecewaan seandainya diperlakukan sedemikian. Andai berhasrat untuk bernikah, lelaki juga harus mempersiapkan diri dengan wang yang banyak kerana untuk berkahwin hari ini kos semakin meningkat. Mengapa harus membebankan diri andai boleh tidur lena tanpa perlu memikirkan hal-hal berat itu. Demikian alasan yang diberikan oleh beberapa lelaki Indonesia yang ditemui ketika ditanya apakah alasan tidak berkahwin. Mereka ini bukan calang-calang lelaki. Berjawatan tinggi, memiliki kedudukan kewangan yang kukuh dan berwajah tampan. Biar sudah mendaki usia, namun masih belum memiliki pasangan mencetuskan banyak persoalan di kalangan masyarakat Indonesia. Tentu sekali isu ini bukan hanya terbatas dalam ruang lingkup rakyat Indonesia kerana sudah menjadi trend baru di kalangan negara-negara membangun, ramai yang memilih untuk berkahwin lewat. Sebetulnya bukan saja kaum lelaki yang memilih untuk tidak memiliki komitmen rumah tangga. Sebaliknya, kaum wanita juga mempunyai alasan yang serupa jika ditanya kenapa selesa hidup sendirian. Bagaimanapun, dari satu perspektif lain, bagi sebuah negara sebesar Indonesia yang dihuni oleh lebih 234 juta penduduk, apabila ramai rakyatnya memilih untuk tidak berkahwin, ia memberikan kesan yang cukup besar kepada negara itu.

Kebimbangan

Berdasarkan satu kajian yang dibuat pada 2010, hasilnya mencetuskan kebimbangan yang bukan kecil. Kebimbangan yang dimaksudkan ialah jumlah lelaki bujang di Indonesia semakin tinggi berbanding populasi kaum wanita. Data yang dikumpul oleh Agensi Statistik Pusat pada tahun 2010 menunjukkan populasi kaum lelaki Indonesia ialah seramai 119,507,580 berbanding jumlah kaum wanita seramai 118,048,783. Jumlah perbezaan penduduk lelaki dengan penduduk wanita ialah lebih 1.4 juta orang dan catatan ini memberikan indikator bahawa kaum lelaki sudah seharusnya lebih serius memikirkan masa untuk mencari calon isteri. Sekalipun, ada pandangan yang mendakwa jumlah ketidaksamaan ini tidak cukup signifikan untuk didebatkan, namun trend perbezaan jumlah populasi wanita dan lelaki di negara keempat di dunia yang memiliki jumlah penduduk ramai semakin meningkat setiap tahun.

Sedekad yang lalu, perbezaan penduduk dua jantina itu mencecah angka setengah juta dan ia meningkat tiga kali ganda dalam tempoh itu. Berteraskan trend yang berlaku hari ini, kegusaran di kalangan rakyat Indonesia ialah lelaki Indonesia berpotensi tidak kahwin sampai tua! Biarpun begitu, masih ada juga sebilangan kaum lelaki tempatan yang cukup risau bila mengetahui perbezaan populasi seperti yang dikeluarkan oleh Agensi Statistik Pusat itu. Kerisauan itu juga bakal tambah berganda kepada kaum lelaki Indonesia apabila sejak kebelakangan ini sudah ada budaya baru yang bercambah di negara ini. Trend ‘penghijrahan cinta’ oleh lelaki-lelaki kaya dari negara-negara asing datang ke Indonesia untuk melamar wanita-wanita tempatan bukan lagi perkara baru. Persaingan terbaru ini tentunya mencabar hak dan ego kaum lelaki Indonesia. Lalu, pilihan apa lagi yang ada pada lelaki-lelaki tempatan?

Kekurangan

Untuk bersaing dengan tauke-tauke kaya dari negara Taiwan dan China yang berebut mahu mencari wanita di Indonesia tentunya tidak mampu sama sekali. Laporan akhbar The Jakarta Post baru-baru ini mendedahkan trend penghijrahan cinta itu dilihat berlaku di Singkawang, Kalimantan Barat. Singkawang kini menjadi pusat kepada lelaki-lelaki bujang dan kaya dari Taiwan dan China untuk mencari calon isteri. Alasan kenapa lelaki China datang mencari cinta sejauh itu ialah kerana jumlah wanita di negara berkenaan tidak mencukupi untuk diseimbangkan dengan populasi kaum lelaki. Percaya atau tidak, statistik di negara China mendapati kekurangan wanita dapat dilihat menerusi nisbah jantina iaitu 1.05 (105 lelaki untuk 100 wanita). Di negara China berdasarkan polisi satu keluarga satu anak itu memperlihatkan kecenderungan sebilangan besar pasangan yang memilih untuk memiliki anak lelaki berbanding anak perempuan.

Akibat ketidakseimbangan populasi itu juga menyebabkan ramai lelaki bujang di negara itu digalakkan berhijrah ke negara luar untuk mencari wanita untuk dijadikan isteri. Justeru, situasi itu dilihat berlaku di Singkawang yang mana rakyatnya kebanyakannya miskin. Kesannya, ramai wanita di wilayah berkenaan yang memilih berkahwin dengan lelaki kaya dari negara China. Bukan sahaja penghijrahan cinta dari China, sebaliknya, lelaki-lelaki bujang dari India juga dilaporkan mencari cinta dari wanita bujang Indonesia. Di negara sebesar India itu pun, jumlah wanita bujang masih belum cukup untuk menampung keperluan lelaki bujang. Semua ini memberikan tamparan yang hebat buat lelaki-lelaki bujang Indonesia. Apabila pintu sudah terbuka luas untuk orang asing menagih cinta wanita tempatan, maka semakin terpinggirlah lelaki-lelaki bujang Indonesia.

Oh ya, lelaki-lelaki bujang (atau yang sudah berkahwin) dari Malaysia juga tidak kurang hebatnya. Berdasarkan temu bual dan cerita daripada teman-teman rapat di sini, lelaki-lelaki Malaysia juga sangat berminat dengan wanita-wanita Indonesia. Lebih-lebih lagi wanita dari keturunan Sunda yang khabarnya memiliki kelebihan yang tiada tolak tandingnya dalam hal ehwal memberi kasih sayang kepada kaum lelaki. Mungkin lelaki-lelaki di Malaysia yang berpengalaman luas dalam perihal kisah cinta dengan wanita Sunda boleh berkongsi kisah berkenaan. Pada masa sama, golongan isteri yang membaca artikel ini juga tentunya akan lebih gelisah dan mula syak wasangka terhadap suami mereka bila membaca artikel ini. “Betulkah suami aku ke Indonesia untuk menghadiri mesyuarat atau bermain golf? Atau mungkinkah kerana...?” Tentunya tanda tanya itu kini bermain di fikiran para isteri. Kepada si suami, pandai-pandailah bagi jawapan ya.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
MINGGUAN MALAYSIA
19 FEBRUARI 2012

JADIKAN MOTIVASI DIRI : SAYA TIDAK PERNAH SUNYI


PROFESOR Diraja Ungku Abdul Aziz UNGKU ABDUL HAMID merupakan tokoh ulung yang telah begitu banyak menyumbang bakti kepada negara. Berdasarkan idea-idea bernasnya ketika lebih 20 tahun menjadi Naib Canselor, Universiti Malaya menjadi antara universiti terunggul di rantau ini sehingga sekarang. Beliau juga bertanggungjawab menubuhkan Tabung Haji dan ANGKASA. Namun kini namanya semakin terpinggir mungkin kerana usianya agak lanjut tetapi tiada sesiapapun boleh menafikan sumbangan dan jasanya pada negara. Walaupun mungkin agak terlewat, beliau sebenarnya baru sahaja menginjak ke usia 90 tahun pada 28 Januari lepas. Namun pada usia sedemikian, beliau yang lebih selesa dipanggil Pak Ungku masih tetap cergas, sihat dan lebih mengagumkan memorinya masih tetap kukuh dalam ingatan. Dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, Hafizahril Hamid dan Khairunnisa Sulaiman, Pak Ungku begitu ceria berkongsi pengalaman hidup dan rahsia beliau panjang umur. Namun bagi beliau tidak ada perkara yang beliau sesalkan dalam hidup kerana bagi Pak Ungku, beliau puas dan bersyukur dengan apa yang telah dilalui dalam hidup. Dan seperti biasa apabila diajukan soalan mengenai nasib orang Melayu, semangatnya begitu membara mempertahan dan menjelaskan, apa sebenarnya yang orang Melayu perlu lakukan.

MINGGUAN: Apa rahsia yang diamalkan Pak Ungku walaupun sudah berusia 90 tahun namun masih tetap sihat dan cergas?

UNGKU AZIZ: Bagi saya nombor satu kita kena jaga pemakanan. Perkara kedua adalah mesti mendapatkan rehat yang cukup serta selalu bersenam untuk kesihatan diri. Ia perlu dilakukan secara berdisiplin tidak bolehlah hari ini kita ingat nak ponteng, minggu depan baru nak buat balik. Kita mesti tetapkan waktu dalam jadual harian. Berapa jam kita nak bersenam dan berapa lama kita perlu tidur pada waktu malam. Aktiviti seharian saya bermula pada awal pagi, pukul enam sudah bangun dan saya akan pastikan tidur paling lewat sebelum pukul 12 malam. Ada ketika saya tidur lewat sedikit kerana menonton filem. Tapi kebiasaannya petang saya akan tidur sekejap untuk berehat. Pada umur saya, tidur selama enam jam dan adakalanya dibahagi dua iaitu pada malam dan petang, itu sudah mencukupi. Kemudian saya juga tetapkan waktu, bila nak buat kerja berfikir dan bila pula untuk menulis dan membaca. Kita juga perlu jaga kesihatan minda. Minda kita mesti ada masa untuk digunakan sebagai latihan untuk pemikiran dan ingatan. Setiap manusia perlu menggunakan kemahiran berfikir mereka kerana itulah anugerah Tuhan paling bermakna.

Bagaimana dengan pemakanan Pak Ungku?

UNGKU AZIZ: Bagi saya paling penting ialah menjaga zat makanan. Kalau nak cerita semua sekali akan mengambil waktu yang panjang tetapi rahsia saya yang sebenar adalah makan bawang besar secara mentah-mentah. Tukang masak saya akan pastikan benda ini setiap hari. Selain itu saya juga menggemari sayur ulam seperti ulam raja, salad dan juga petai. Masalah yang saya lihat sekarang kebanyakan orang tidak boleh mengurus waktu mereka, bila masa makan, tidur, rehat dan sebagainya. Hanya kerana sibuk dengan kerja waktu makan jadi tidak tentu hala. Saya sangat bertuah kerana ketika menjadi Naib Canselor dan pensyarah di Universiti Malaya, petang-petang saya berjoging di kawasan tasik. Semasa saya muda-muda dahulu saya banyak menyertai kejohanan marathon, kalau setakat 10 kilometer saya tidak ada masalah. Namun sekarang tidak boleh lagi. Doktor tak bagi kerana ia boleh mengakibatkan lutut saya lemah. Kalau setakat berjalan laju tidak ada masalah tapi bukan berjoging. Oleh itu saya kini hanya bersenam di gim dengan dibantu oleh pembantu di pusat gim. Satu masalah yang dihadapi bila kita tua ialah ketika kita jalan ke belakang baru dua tiga langkah sudah hilang keseimbangan.

Tidakkah Pak Ungku rasa agak terbeban dengan semua perkara ini kerana bagi kebanyakan orang apabila sudah berusia mereka lebih banyak berehat?

UNGKU AZIZ: Bila orang tengok saya mereka akan kata Pak Ungku ni macam robot. Bagi saya adalah okey untuk mereka kata saya sebagai robot tapi bagi saya, paling penting adalah cara hidup kerana ia benar-benar memberi kepuasan. Kita tidak akan tahu tentang takdir, bila kita akan mati. Esok pagi atau malam ini, saya boleh putus nyawa. Bagi saya jika sudah sampai masanya saya terima dan saya tidak akan rasa banyak lagi benda yang belum dibuat atau ada beberapa buku yang belum dibaca atau banyak perkara yang saya belum tulis lagi. Saya tidak akan minta untuk dipanjangkan nyawa untuk satu, dua hari atau bulan untuk menyiapkan apa yang belum siap. Kalau sudah tiba masanya saya akan terima dengan tenang hati, Alhamdulillah, Tuhan sudah beri saya peluang selama ini dan saya tidak akan minta hendak hidup lama lagi hanya kerana mahu lakukan itu dan ini. Tetapi kalau Tuhan beri saya nyawa panjang lagi satu tahun atau 10 tahun, saya terima dan bersyukur.

Apa perkembangan terbaru Pak Ungku?

UNGKU AZIZ: Saya kini sedang menumpukan usaha untuk menulis tentang satu isu besar, kenapa orang Melayu sering berasa tidak peduli. Saya sedang sibuk tentang beberapa perkara dan ia terpaksa ditangguhkan dahulu, namun semua nota yang berkaitan sudah ada dan bila ada kelapangan saya akan mulakan. Namun suka saya nyatakan di sini bahawa satu amalan yang kita harus lakukan adalah menggunakan sepenuhnya keupayaan minda. Bagi saya minda saya selalu berfungsi hampir sepenuh masa. Perkara ini akan menggalakkan saya untuk berfikir dan juga mencari ketenteraman.

Bagaimana dengan sisi hidup Pak Ungku yang lain?

UNGKU AZIZ: Saya adalah seorang yang gemar membaca. Saya baca lima akhbar sehari. Saya juga gemar menonton filem di rumah. Kebanyakan filem-filem yang saya tonton adalah filem Inggeris dan Perancis. Saya boleh faham bahasa Perancis dan saya juga boleh bercakap dalam bahasa Jepun. Saya juga boleh faham bahasa Arab dan bukan saya nak puji diri sendiri tetapi saya membaca dan mengkaji enam terjemahan al-Quran. Ini termasuklah terjemahan dari bahasa Melayu ke Arab ataupun bahasa Inggeris ke Arab. Selain itu saya juga gemarkan muzik-muzik tertentu antaranya saya meminati kumpulan Scorpion tetapi bunyi muziknya terpaksalah dikurangkan kerana telinga saya memakai alat bantuan mendengar. Saya juga menggemari muzik-muzik tradisional seperti ghazal, angklung, keroncong dan saya mempunyai lebih 200 cakera padat pelbagai genre lagu.

Buku yang paling saya minati dan saya sangat-sangat menggalakkan masyarakat terutama orang Melayu membacanya adalah buku tulisan Pendeta Zaaba, Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri. Buku ini adalah paling penting dalam hidup Zaaba. Malah buku ini hanya diterbitkan setelah beliau meninggal dunia. Saya mempunyai lebih 4,000 koleksi buku setakat ini dan saya mempunyai sebuah rumah di Morib yang kini menjadi tempat simpanan khusus buku-buku saya. Itulah gaya hidup saya yang sebenar dan saya tidak suka bergantung pada orang lain. Orang bertanya pada saya apakah saya pernah berasa kesunyian. Secara jujur saya beritahu saya tidak pernah merasa sunyi. Terus-terang saya katakan hidup saya sentiasa penuh aktiviti terutama dengan buku-buku dan kemudian menulis. Saya sentiasa akan menulis nota kerana jika tidak akan ada saja halangan, ini kerana minda kita selalu melayang ke mana-mana.

Boleh Pak Ungku kongsi antara pengalaman pahit, manis sepanjang kehidupan?

UNGKU AZIZ: Bagi saya sepanjang hidup, saya tidak mahu atau mengelak sama sekali untuk menjadi angkuh. Bagi saya itu adalah satu perkara yang memalukan dan sangat berdosa. Namun saya tidaklah sampai mahu menghambakan diri pada orang lain serta tidak sekali-kali mahu memuji diri atau menunjuk-nunjuk. Saya tidak mahu diberi sebarang gelaran, yang saya terima hanya Profesor Diraja tetapi tidak ada gelaran Datuk atau Tan Sri dan sebagainya. Pada saya itu tidak penting dan paling penting saya puas menjalani hidup berdasarkan apa yang saya mahu dan dalam cara saya tersendiri. Kita banyak mendengar atau terbaca tentang apa yang dimaksudkan dengan kebahagiaan atau kegembiraan. Saya rasakan selama ini saya gembira dengan apa yang telah saya lakukan. Tidak terlintas di pemikiran, saya perlukan beberapa tahun lagi untuk menghabiskan itu dan ini. Saya telah mengembara hampir ke seluruh dunia dan berkhidmat dengan pelbagai pihak sama ada kerajaan ataupun di peringkat antarabangsa. Namun bagi saya walau ke mana saya pernah merantau tapi Malaysia adalah tempat tumpah darah saya, tidak ada negara yang boleh menggantikannya.

Mungkin Pak Ungku pernah ditawarkan untuk menyertai politik?

UNGKU AZIZ: Selepas kita mencapai kemerdekaan, bekas Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman pernah menyatakan negara memerlukan orang seperti saya. Tapi saya kata, Tunku tidak perlu orang seperti saya kerana falsafah beliau dan saya jauh berbeza. Jadi saya beritahu tidak perlulah kerana nanti ia akan hanya menyakitkan hati. Kemudian Tun Abdul Razak juga pernah menawarkan perkara sama meminta saya masuk politik, boleh naik pangkat, jadi menteri dan sebagainya. Namun saya beritahu beliau, saya sangat berpuas hati dengan apa yang saya ada sekarang yang mana saya boleh berfikir dan menulis. Saya bersyukur dengan apa yang saya miliki dan lalui kerana saya sudah membaca pelbagai jenis buku dari Sigmund Freud hinggalah Ernest Hemingway dan sebagainya. Saya juga berpuas hati dengan ilmu ekonomi yang saya pelajari kerana melaluinya saya mampu memberi pandangan yang luas.

Bagaimana Pak Ungku menilai kepuasan dalam hidup?

UNGKU AZIZ: Kepuasan bagi saya sangat mudah kerana saya puas membaca, menulis dan berfikir. Saya suka perkara yang intelektual tapi tidak sepatutnya begitu serius. Kalau saya jumpa permainan sudoku saya boleh bermain dengannya. Saya juga sangat bahagia dengan keluarga saya. Kini isteri saya sakit dan terpaksa dimasukkan ke hospital. Saya akan meluangkan masa setiap hari untuk menjaganya. Begitu juga dengan anak saya Zeti (Tan Sri Dr. Zeti Akhtar, Gabenor Bank Negara Malaysia) yang akan menghubungi saya setiap hari. Saya sering berjumpa dengan cucu saya Alif dan Aziz serta menantu saya Datuk Aiman. Keluarga saya sangat rapat di antara satu sama lain dan itu juga membuatkan saya berasa puas dalam hidup.

Sekarang Pak Ungku tahu adalah zaman sains dan teknologi, bagaimana pula pengetahuan Pak Ungku dalam bidang ini?

UNGKU AZIZ: Dalam komputer saya yang mana saya menggunakan perisian Window7 dan saya mempunyai 16,000 koleksi pantun Melayu yang saya masukkan sendiri. Saya masih belajar malah orang yang membantu dalam perisian untuk koleksi pantun saya juga membantu mengajar saya selama setahun. Dan kini melalui pengajaran yang saya dapati, saya sudah boleh bagi ceramah atau membuat kertas kerja mengenai pantun yang saya kumpulkan.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
MINGGUAN MALAYSIA
19 FEBRUARI 2012

ISU BAHASA : BAHASA MELAYU DIKEMBANGKAN HINGGA BERJAYA

Oleh Mazlan Nordin


Adakala keraguan mengenai bahasa Melayu yang diungkit oleh segelintir memadai dijawab seperti berlaku di masa lampau. Umpamanya, kenyataan seorang pemimpin parti oposisi baru-baru ini. Kerana apa yang dipersoalkan telah pun dijawab dengan jelas oleh Profesor Ismail Hussein yang begitu lama menjadi pemimpin Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA).

Sedutan:

“Apabila saya di Universiti Malaya pada tahun 1956, iaitu setahun sebelum merdeka, mahasiswa Melayu hanya sekitar 7 peratus daripada semua”.

Kota-kota pada ketika itu semuanya menjadi kota imigran dan masyarakat bukan Melayu bukan saja memboloti penghidupan perniagaan, tetapi juga penghidupan profesional dan intelektual. Kisah Malaysia yang paling menarik ialah bagaimana bangsa Melayu di sana dapat keluar daripada kegelapan itu, dapat mempertahan dan melanjutkan keperibadiannya. Dan timbul semula sebagai satu bangsa yang cukup bermaruah. Dan ini tentulah satu kisah sosiologi dan politik yang rumit lagi panjang dan ini di luar daripada kemampuan saya untuk membicarakannya. Bagaimanapun kita di sini lebih berminat kepada masalah-masalah kebudayaan. Sekitar dua tahun dahulu dalam sebuah pidato di Universiti Indonesia saya katakan yang dua unsur yang mempertahankan keperibadian bangsa Melayu daripada kemusnahan dalam zaman kegelapannya, ialah bahasa Melayu dan agama Islam.

Dan memanglah bahasa, kebudayaan dan agama menjadi topik-topik yang amat penting dalam pergolakan politik Malaysia sepanjang 29 tahun yang lalu”. Profesor Ismail Hussain menyatakan ini dalam ceramah khas Seminar Bahasa, Sastera dan Budaya Malaysia - Indonesia dalam rangka memperingati 20 tahun Nasionalisasi Hubungan Malaysia Indonesia di Universiti Gadjah Mada Yogyakarta, pada 18 November 1986. Tegasnya Malaysia dan Indonesia mewarisi satu sejarah dan satu kebudayaan yang sama untuk ribuan tahun pada zaman lampau, nasib kedua-dua wilayah itu, terkandung dan terjalin erat dalam satu acuan yang tak mungkin dipisah-pisahkan. Semenanjung Tanah Melayu merupakan tanah induk bagi Malaysia baru dan sejarah Semenanjung itu terikat erat dengan Selat Melaka.

Apa yang dikatakan Melayu di Tanah Melayu itu sebahagiannya terdiri daripada orang-orang dari pelbagai suku bangsa dari nusantara, selain daripada Melayu tulinnya - mereka terdiri terutamanya dari suku-suku Aceh, Batak, Minangkabau, Jawa, Bugis dan Orang Asli. Dan selain daripada mereka ini ada pula daripada pelbagai bangsa dari luar Nusantara terutama Tamil, Arab, Cina dan Thai. Menurut beliau lagi walaupun bahasa Melayu dirakamkan sebagai bahasa kebangsaan di dalam Perlembagaan Malaysia dalam tahun 1957, tetapi pelaksanaannya yang tegas tidak pernah dilakukan sehingga 13 tahun kemudian, iaitu dalam tahun 1970. Tetapi dekad 70-an itu juga rupa-rupanya pengakhiran dalam melahirkan satu kelas menengah Melayu yang baru dan yang yakin akibat dasar ekonomi yang dimulakan oleh Tun Abdul Razak.

Seluruh sejarahnya memperlihatkan yang bahasa Melayu dan agama Islam adalah ala penuh keperibadiannya yang terpenting dan jikalau hilang salah satu itu, maka lenyaplah kewujudannya. Bahasa itu satu keyakinan dan kemungkinan bagi ratusan ribu anak-anak tani untuk meluncurkan diri ke dunia moden. Demikianlah segala tanda-tanda menunjukkan yang bahasa Melayu di Malaysia itu terpaksa diperkembangkan sehingga ke matlamat akhirnya dan dilema-dilema sekarang adalah sementara sahaja sifatnya. Demikian antara lain pesanan Profesor Ismail Hussain. Terbaca oleh tukang catat baru-baru ini ialah sebuah makalah dalam majalah Beijing Review oleh seorang warga Singapura, bernama Lim Chiow Ang, yang menjadi expatriat di negara China dan melancarkan perniagaan.

Antara lain beliau menulis: “Bertahun-tahun tinggal di negeri China tidak menjadikan diri saya non-Singaporean”. Beliau mempertahan dan memberi penjelasan mengenai dasar Singapura “jangan meludah, jangan buang sampah sarap, jangan merokok dan banyak lagi hal manakala berlaku perbicaraan tentang Singapura dengan warga China tempatan. Demikian satu gambaran daripada aspek diaspora Asia.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
MINGGUAN MALAYSIA
19 FEBRUARI 2012

ISU UMUM : KAJI SEMULA DASAR TERLALU TERBUKA DALAM PEMBERIAN VISA DAN PAS LAWATAN PELAJAR

Oleh Anwar Patho Rohman
wananwar@bharian.com.my


Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), November lalu, mendedahkan kumpulan mafia dadah antarabangsa dari Afrika dan Iran semakin aktif dalam pengedaran methamphetamine di Asia Tenggara hingga ke Asia Timur. Pil rangsangan (ATS) termasuk amphetamine dan methamphetamine atau syabu menjadi dadah pilihan di kebanyakan bahagian di Asia Tenggara dan Asia Timur, khasnya sejak 1990-an, menggantikan dadah berasaskan tumbuhan seperti heroin, candu dan ganja. Ia mudah dihasilkan di mana saja dan memberi keuntungan lumayan menerusi pelaburan kecil. Peningkatan penggunaan dadah itu dilaporkan oleh kebanyakan negara di rantau ini terutama pada 2010 dan tahun lalu. Penjenayah Afrika yang terbabit dalam jual beli kokain dan heroin beralih kepada penyeludupan ATS, manakala kumpulan Iran dikenal pasti sebagai ancaman besar penyeludupan dadah di rantau ini.  Tidak hairanlah Malaysia berjaya menahan seramai 228 penyeludup dadah dari Iran pada 2009 hingga 2010 kerana menyeludup methamphetamine.

Sepanjang tahun lalu saja, Kastam Diraja Malaysia (KDRM) merampas pelbagai jenis dadah seberat 187.45 kilogram (kg) bernilai lebih RM34 juta selepas mematahkan 39 cubaan menyeludup masuk bahan terlarang itu ke Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Sepang. Rampasan paling banyak membabitkan dadah jenis methaphetamine atau syabu iaitu 125.2kg (RM31.78 juta), diikuti ketamin 47.55kg (RM666,585); eramin sebanyak 9.5kg (RM958,000); heroin 3.21 kg (RM640,000) dan ganja 1.8 kg (RM4,320). Sepanjang tahun lalu, KDRM KLIA menahan 30 suspek, sembilan warga Nigeria, enam rakyat Malaysia, lima India, tiga Iran, dua Cyprus dan masing-masing seorang warga Vietnam, Sweden, Pakistan, Sierra Leone serta Azerbaijan kerana disyaki menjadi keldai dadah sindiket penyeludupan dadah antarabangsa.

Dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini saja, ada tiga kes warga asing khasnya dari Iran ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan KDRM kerana kesalahan menyeludup dadah di KLIA atau memproses dadah di banglo mewah di ibu negara.  Ada beberapa faktor yang mendorong kepada perkara ini berlaku antaranya, tahap keselamatan di pintu masuk negara yang lemah di samping sikap ‘tidak apa’ di kalangan pegawai yang menjaga keselamatan pintu masuk negara. Mungkin tidak adil menuduh pegawai jabatan kerajaan bersikap sambil lewa, tetapi penyeludupan dadah boleh dihalang jika semua pihak mempunyai inisiatif untuk mengetatkan pemeriksaan dan pemantauan di setiap pintu masuk negara ini.  Justeru, cadangan KDRM sebelum ini yang mahu menempatkan mesin pengimbas canggih dan berteknologi tinggi amat dialu-alukan bagi mengatasi jenayah penyeludupan dadah berleluasa di lapangan terbang atau pelabuhan di negara ini.

Pada masa sama, pakar kriminologi, Datuk Akhbar Satar, berkata agensi penguatkuasaan mempunyai pelbagai alternatif untuk mengekang jenayah ini seperti menambah pegawai risikan yang cekap dan berpengalaman serta berintegriti tinggi. Katanya, pegawai risikan ini perlu bertanggungjawab, tidak mudah digoda dengan rasuah sehingga bersikap ‘tutup mata’ dengan tidak memeriksa barang atau bagasi suspek yang disyaki penyeludup dadah. “Agensi keselamatan perlu memiliki alat pengesan atau pengimbas dadah untuk mengawal kemasukan dadah atau barang larangan lain. Walaupun begitu, kita tahu penjenayah juga bijak. Mereka akan mencari jalan untuk mengatasi masalah ini. Kita hanya perlu memiliki alat lebih canggih,” katanya. Beliau mengambil contoh, pihak keselamatan lapangan terbang di luar negara seperti di Melbourne, menempatkan pegawai berserta seekor anjing pengesan untuk menghidu dan memeriksa bagasi yang disyaki mengandungi bahan larangan seperti dadah. Satu lagi kelemahan yang perlu diambil perhatian sistem saringan dan keselamatan kemasukan warga asing ke Malaysia, kata Akhbar, ialah dasar terlalu terbuka dalam pemberian visa atau pas lawatan pelajar kepada warga asing khasnya dari Iran dan Afrika.

“Ada yang menyalahgunakan pas pelajar untuk menjalankan kegiatan pengedaran dadah. Kementerian Pengajian Tinggi juga perlu membantu pihak penguatkuasa bagi mengatasi masalah ini," katanya. Beliau juga tidak menolak kebanjiran warga asing ke negara ini seperti Iran di Nilai 3, Negeri Sembilan, mendorong warga negara itu menyeludup dadah ke negara ini bagi memenuhi keperluan rakyat negara itu yang diketahui bebas mengambil dadah di tempat mereka. Mengulas mengenai kecenderungan warga asing ini menjadikan banglo mewah atau kondominium untuk dijadikan makmal memproses dadah, Akhbar berkata, ia menunjukkan penjenayah asing sudah mengkaji kelemahan sistem keselamatan negara ini. Justeru, beliau mencadangkan supaya pihak berkuasa di pintu masuk negara supaya membuat laporan profil terhadap warga asing yang disyaki menjadi kumpulan pengedaran dadah ke negara atau rantau ini. Beliau berpendapat, permintaan dadah methamphetamine yang tinggi di Malaysia dan rantau ini mendorong mafia dadah berlumba-lumba menyeludup dadah menerusi negara ini, yang akhirnya mencemar dan memburukkan nama negara.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
BERITA MINGGU
19 FEBRUARI 2012

18 Februari 2012

ISU UMUM : SIKAP PENENTU KESERONOKAN BEKERJA ?

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).


Benarkah kunci kecemerlangan dalam organisasi itu adalah keseronokan bekerja? Ini mungkin ada kebenarannya apabila gambaran keseronokan bekerja terhasil daripada sikap yang ditunjukkan oleh para pekerjanya dalam bentuk keceriaan, ketenangan, kegembiraan dan keselesaan apabila melaksanakan tugas seharian sehingga memberi kesan kepada kerja yang berkualiti, peningkatan produktiviti dan mutu perkhidmatan yang memuaskan. Sudah tentu keseronokan bekerja yang dicapai inilah akan menjadi nadi serta tonggak kepada kecemerlangan organisasi. Slogan 'pekerja gembira adalah pekerja yang produktif' seringkali dikaitkan dengan situasi di mana pekerja yang menyukai atau berasa seronok dalam kerjayanya. Suasana kerja yang didukung oleh sikap dan nilai keseronokan bekerja mampu mewujudkan amalan positif yang menjadikan kerja yang dibuat itu sebagai ibadat, komitmen yang tinggi di kalangan pekerja, dapat menyuntik semangat seharian bekerja serta sedia bekerjasama antara majikan dan pekerja.

Hubungan baik ini juga mampu menyelesaikan kerja secara bermuafakat dan bekerjasama. Pepatah Melayu menyebut, 'Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat'. Pun begitu, dalam keseronokan bekerja jangan kita lupa nasihat-menasihati rakan sejawat dan budaya tegur-menegur (budaya menyeru ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran) lakukannya secara berhikmah supaya rakan sejawatan dapat menerima teguran dengan baik. Apabila para pekerja berjaya mewujudkan suasana yang seimbang, dalam kehidupan di tempat kerja secara tidak langsung ia akan memberi kesan baik juga kepada kesihatan mental dan fizikal, pekerja tidak akan berasa tertekan apatah lagi dalam memenuhi tuntutan hidup yang semakin mencabar. Walau bagaimanapun, di sebalik keseronokan bekerja ini ada pekerja yang tidak selama-lamanya berada dalam keadaan seronok dalam pekerjaan. Ini kerana sudah menjadi satu trend perilaku manusia tidak lekang mengalami pelbagai perasaan seperti malas, jemu, segan, bosan dan sebagainya terhadap kerja mereka.

Jika ditanya berkaitan dengan diri pekerja terhadap kerja yang dilakukan, tentu sekali ada yang menyatakan bahawa mereka sangat meminati kerja yang dilakukan. Tidak kurang juga ada yang menganggap kerja itu satu bebanan dan membosankan. Malah ada berfikir untuk mendapat pekerjaan yang baharu. Kesemua perkara ini adalah berkaitan dengan sikap terhadap kerja. Barangkali perasaan ini dialami ekoran sikap terhadap pelbagai faktor dalaman dan luaran atau persekitaran organisasi. Bagi sesetengah pekerja yang telah menghabiskan setengah usianya dalam organisasi sering dapat kita lihat tiga situasi yang berbeza. Yang pertama, apabila pekerja itu dapat menunjukkan prestasi yang tinggi dan nilai komitmen yang cemerlang dalam organisasi manakala kategori pekerja yang berikutnya ialah pekerja yang semakin menurun prestasi serta nilai komitmennya, manakala satu lagi kategori, pekerja yang masih berada pada tahap sama sejak awal penglibatan sebagai pekerja.

Persoalannya mengapa keadaan ini berlaku? Barangkali sikap negatif terhadap kerja ini berpunca dari sikap pekerja itu sendiri terhadap majikan atau sikap pekerja sesama rakan sejawatan atau pendirian mereka terhadap gaji dan imbuhan yang diberi tidak setimpal dengan kerja yang diusahakan, kebajikan terabai, penghargaan yang tidak diiktiraf atau kemungkinan skim persaraan yang tidak menarik dan macam-macam lagi. Lazimnya, sikap itu berkaitan dengan komponen penilaian yang boleh menggambarkan sejauh mana perasaan pekerja terhadap kerjayanya. Hasil sikap negatif ini maka akan lahirlah pekerja yang bersikap menentang dan mula berasa tidak lagi seronok untuk bertugas. Dan di sinilah menunjukkan perkaitan yang jelas tentang sikap dan perilaku. Apabila ini berlaku maka kita akan dapat melihat kesan kepada penghasilan kerja yang kadang-kalanya sekadar melepaskan batuk di tangga.

Walau bagaimanapun, ini tidaklah bermaksud bahawa sikap terhadap kerja adalah merupakan satu-satunya punca yang menentukan nilai keseronokan bekerja. Barangkali ada yang tidak seronok bekerja antara lain kerana faktor kesesakan; perjalanan yang terlalu panjang untuk sampai ke tempat kerja, arahan kerja tidak jelas dan di luar kemampuan, masalah kesihatan, masalah dengan rakan sejawat dan majikan, tiada jaminan kerja, dan sebagainya. Begitu juga, kesan persekitaran kerja turut mengundang persepsi terhadap keseronokan di tempat kerja. Apabila persekitaran di tempat kerja tidak kondusif, sesak, gelap, dan kualiti peredaran udara tidak baik ia menjejaskan prestasi dan produktiviti pekerja. Malah menurut satu kajian, terdapat perkaitan antara keseronokan dan kepuasan terhadap persekitaran mampu mempengaruhi perilaku pekerja dalam organisasi dalam mewujudkan kesan terhadap hubungan sosial dan kerjasama. Justeru, bagi mewujudkan keseronokan bekerja kita sebagai pekerja Muslim cubalah mulakan dengan memupuk nilai dan sikap keseronokan bekerja dalam diri kita terlebih dahulu.

Kesimpulannya, memang benar sikap, tindakan dan amalan kita menjadi penentu kepada keseronokan bekerja di samping beberapa faktor persekitaran lain yang turut menyumbang kepada kecemerlangan organisasi serta mampu meletakkan pekerja maju dalam pelbagai bidang diceburinya.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
18 Februari 2012

ISU UMUM : REMAJA CEDERAKAN MUKA RAKAN

Oleh AMIRUDDIN HARUN


Tidak dapat digambarkan apa yang bermain pada fikiran seorang remaja semasa mencederakan muka seorang remaja yang dua tahun lebih tua daripadanya. Luka berukuran kira-kira 20 sentimeter itu bermula dari atas dahi melalui tepi mata dan hidung sehingga ke dagu. Malangnya luka yang dialami oleh Jack Berry dari Plymouth, United Kingdom itu bukannya perbuatan penjenayah yang tidak dikenali, sebaliknya dilakukan oleh rakan karibnya sendiri, Daniel Reader, 18, yang turut dianggap sebagai adiknya. Perbuatan Reader itu menyebabkan seorang hakim yang berpengalaman selama 41 tahun dalam bidang guaman menggambarkan bahawa kecederaan muka Berry itu adalah yang paling dahsyat pernah dilihatnya. Dalam kejadian pada hari 'April Fool' tahun lalu, Reader telah menyerbu lalu menyerang Berry yang terlebih dahulu dikepung di rumahnya berhubung pertelingkahan mengenai wang yang didakwa dicuri oleh mangsa.

Sewaktu perbicaraan kes tersebut pada awal tahun ini, Berry menyatakan, dia masih tidak tahu mengapa dia diperlakukan sedemikian rupa dengan sebilah pisau. ''Dia seperti adik saya. Pada masa itu, saya tidak akan memanggilnya selain daripada sebagai adik saya. Saya berhasrat untuk menemuinya dan bertanya mengapa dia melakukannya,'' kata Berry. Meskipun melakukan perbuatan yang tidak masuk akal itu, Berry memberitahu, Reader masih gagal melihat apa yang dilakukannya itu salah. ''Saya masih fikir bahawa dia mahu berjumpa ibu dan bapa saya. Dia menghantar kad Krismas kepada kami sekeluarga dan dalam kad sambutan ulang tahun kelahiran ibu saya, dia menulis 'with love' (dengan kasih sayang),'' katanya. Hakim Francis Glibert yang mendengar kes itu memberitahu pihak juri bahawa beliau memahami perasaan ngeri mereka apabila melihat gambar yang memaparkan kecederaan sepanjang lebih 20 sentimeter itu.


Semasa perbicaraan, Berry juga menyatakan bahawa keluarganya mengalami kesengsaraan ekoran ugutan bom petrol yang dilemparkan di rumah mereka. Di penghujung perbicaraan selama enam hari, panel juri di Mahkamah Plymouth Crown sebulat suara memutuskan bahawa Reader bersama seorang rakannya, Paul Courtney, 39, bersubahat atas tuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap mangsa. Reader juga disabitkan atas tuduhan dengan niat menyebabkan cedera parah ke atas Berry dan memiliki pisau. Seorang lagi rakan sejenayah mereka, Mark Masher dari Liverpool yang turut dituduh bersubahat melakukan kesalahan itu, berjaya melarikan diri selepas dibebaskan dengan ikat jamin. Jatuh hukum terhadap kedua-dua lelaki itu ditangguhkan sehingga 23 Mac depan sementara menunggu laporan psikiatri terhadap Reader. Kedua-duanya kini diletakkan dalam tahanan.

Namun Hakim Gilbert telah mengingatkan Reader bahawa dia bakal menjalani hukuman penjara dalam tempoh yang panjang. Semasa keputusan tersebut dibacakan, Courtney yang merupakan seorang penagih dadah dilihat terketar-ketar dan mukanya pucat. Mereka meninggalkan kandang tertuduh dengan linangan air mata. Pada tarikh yang sama, hukuman turut dijatuhkan ke atas Kurtis Kirk, 23, dan teman wanita Reader, Astra Widdicombe, 22, setelah kedua-duanya mengaku bersalah atas pertuduhan yang berkaitan kes tersebut. Widdicombe terlibat sama selepas Reader yang ketika itu dalam tahanan telah meminta gadis itu melupuskan pisau tersebut. Widdicombe kemudian menemui Berry untuk menyerahkan pisau itu tanpa menyedari Berry merupakan mangsa dalam kes berkenaan setelah Berry berjaya mereka cerita sebagai helah berhubung kecederaan mukanya itu.


Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
18 Februari 2012

ISU UMUM : BACA MAKLUMAT SEBELUM SETUJU TRANSAKSI


Sebelum menekan butang setuju dalam sesebuah laman maya ketika menjalankan transaksi pembelian dalam talian (online), sebagai pengguna kita seharusnya membaca sepenuhnya maklumat berkenaan urusan jual beli tersebut. Jika menekan butang setuju tanpa membaca syarat-syarat pembelian terlebih dahulu, kita akan menerima pesanan yang salah dan akhirnya akan merugikan diri kita sendiri. Kisah ini berlaku kepada pemuda, Jacky Cheong Shian Bon, 30, yang menyewa sebuah pangsapuri di ibu negara untuk tempoh 15 hari yang berjumlah RM1,520 termasuk deposit RM500. Ketika Jacky datang untuk menginap di pangsapuri tersebut, pemuda itu terkejut apabila mendapati ada penghuni yang menyewa di sebuah bilik di unit pangsapuri itu, padahal dia mendakwa menyewa keseluruhan kediaman berkenaan.

Bagaimanapun, Jacky tetap menginap di dalam sebuah bilik lain di pangsapuri tersebut dalam tempoh tujuh hari, selain menggunakan kemudahan yang terdapat di situ. Tidak lama kemudian, dia meminta ejen yang menguruskan penyewaan pangsapuri itu untuk memulangkan wang tunai RM1,520 kepadanya semula tetapi ejen terbabit enggan berbuat demikian. Tanpa berlengah lagi, Jacky kemudian mengemukakan aduan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di Kuala Lumpur baru-baru ini. Ketika kes itu didengar di hadapan Presiden Maznah Haron, ejen yang menguruskan urusan penyewaan pangsapuri itu tampil mengemukakan pembelaan.

Ejen terbabit memberitahu tribunal tersebut, Jacky tidak membaca sepenuhnya entri maklumat yang dipaparkan pada laman maya tersebut yang menyatakan urusan berkenaan melibatkan sebuah bilik dalam pangsapuri terbabit, bukannya keseluruhan kediaman. Dia selepas itu mengemukakan salinan transaksi urusan yang telah dilakukan Jacky kepada Maznah. Selepas mengambil kira aduan Jacky dan pembelaan yang dikemukakan, Maznah memutuskan agar syarikat yang menguruskan penyewaan itu memulangkan wang sebanyak RM1,204 kepada pemuda tersebut. Jumlah terbabit adalah baki lapan hari yang tidak didiami oleh Jacky termasuk wang deposit bernilai RM500.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
18 Februari 2012