26 Januari 2012

ISU UMUM : JPA HARUS PRIHATIN RUNGGUTAN PEJAWAT AWAM

Oleh Rejal Arbee
Penulis adalah Felo Kanan di UKM


Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang cuba hendak dipaksa ke atas keseluruhan 1.3 juta warga perkhidmatan awam akhir tahun lalu, kini sedang menjalani kajian menyeluruh hasil arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berikutan banyaknya bantahan terhadap cara Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) cuba hendak memaksa penerimaannya. Mereka juga dikatakan tidak diberikan masa cukup untuk menelitinya bahkan butiran lengkap cadangan itu juga tidak diberikan. Ini telah menimbulkan banyak persoalan kenapa JPA begitu terdesak mahu melaksanakannya. Dikatakan warga awam hanya diberikan masa tidak sampai dua minggu untuk membuat pilihan kalau tidak, mereka akan menghadapi risiko yang boleh menjejaskan kedudukan mereka dalam perkhidmatan. Persoalan yang timbul kenapa segala implikasi dan akibatnya tidak diterangkan kepada semua kakitangan awam? Kenapa Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Perkhidmatan Awam (CUEPACS) sendiri tidak pula dibawa berunding dari awal lagi supaya segalanya kelihatan telus?  Bukankah orang ramai sentiasa diberi nasihat meneliti sebarang apa yang mereka mahu tandatangani dan mengetahui ‘the small print’ sebelum bersetuju? 

Tetapi bagi SBPA ini nampaknya JPA sendiri tidak mahu warga perkhidmatan awam bersikap demikian. Apakah akibatnya daripada perlakuan demikian? Bukankah ia telah menimbulkan amarah di kalangan majoriti kakitangan awam hingga ada yang mengugut mahu berpaling tadah pada Pilihan Raya Umum Ke-13 yang akan diadakan dalam masa terdekat.  Apakah ini muslihat beberapa kerat pegawai kanan kerajaan yang bertanggungjawab terhadap SBPA ini? Hanya mereka yang boleh menjawab. Keluhan beberapa warga awam dalam beberapa blog membuka mata terhadap apa sebenarnya berlaku. Kata seorang: “Beberapa bulan lalu kakitangan awam berasa sangat gembira apabila skim gaji baru diumumkan Perdana Menteri membabitkan kenaikan antara tujuh hingga 13 peratus, berkuat kuasa 1 Januari lalu.  “Andaian kami sudah pasti kakitangan kerajaan pada gred paling rendah akan menikmati kenaikan 13 peratus sementara gred paling tinggi iaitu Kumpulan Pengurusan dan Profesional akan mendapat kenaikan tujuh peratus. “Namun sangkaan ini meleset apabila melihat kepada tawaran opsyen dikemukakan JPA. 

Kami diarahkan untuk membuat opsyen dalam keadaan sangat tergesa-gesa tanpa mendapat penjelasan mengenai skim gaji baru itu daripada ketua jabatan. Apabila mendapat surat opsyen berkenaan, kami diarahkan untuk menurunkan tandatangan pada borang opsyen pada masa itu juga”. Kata seorang lagi: “Ketua pengarah JPA sudah buat kesilapan, akibatnya kerajaan dimarah oleh kakitangan sendiri. Perkara ini menjadi modal pembangkang untuk hentam kerajaan.  “Sebagai contoh ketika taklimat, soalan diajukan tidak dapat dijawab dengan tepat, sebaliknya jawapannya ialah akan berlaku kenaikan gaji daripada SSM kepada SBPA. Tentunya ada tetapi berapakah kenaikan? RM1 pun kenaikan juga”. Kata seorang lagi: “Yang aku pelik, kenapa masih nak berahsia sangat pasal lampiran ‘C’ tu? Bila tanya pada ketua pejabat, jawapannya ‘rahsia’. Macam mana hendak sign kalau rahsia?  Seorang lagi berkata demikian: “Sebagai contoh tawaran yang diberi kepada pegawai bawahan saya yang berada pada gred paling rendah dalam kerajaan iaitu untuk jawatan Pekerja Awam Gred R1 yang dulunya dipanggil ‘buruh’ yang berkhidmat selama 15 tahun, bergaji pokok RM1,242.09 hanya mendapat kenaikan RM88. 

“Jika dihitung naik 13 peratus, beliau sepatutnya mendapat RM161.47. Sebaliknya jumlah kenaikan diperoleh itu hanya lebih kurang tujuh peratus. “Begitu juga dengan kerani yang berjawatan Pembantu Tadbir Gred N17 yang sudah berkhidmat selama lebih kurang sembilan tahun bergaji pokok RM1,369.39. Beliau hanya mendapat kenaikan RM61 iaitu tidak sampai pun lima peratus”. Semua ini adalah rungutan sebenar yang sepatutnya sudah diteliti supaya tidak wujud rasa tidak puas hati sedemikian. Dalam pada itu dikatakan pula kenaikan yang diberikan kepada pegawai atasan termasuk yang ditakrif sebagai ‘Premier’ dan ‘JUSA’ langsung tidak setimpal. Apakah ini tidak menunjukkan bagaimana songsangnya pertimbangan yang diberikan kepada warga bawahan berbanding pegawai atasan? Anehnya skim itu kononnya adalah dalam rangka perjalanan kerajaan mahu mencapai status negara maju berpendapatan tinggi. Bagaimana mahu mencapai matlamat itu kiranya kakitangan bawahan hanya diberikan kenaikan serendah RM10 sebulan berbanding kenaikan mencecah RM8,000 bagi pegawai JUSA? 

Ini bermakna jurang pendapatan bukan lagi dapat dirapatkan tetapi akan bertambah renggang dengan yang sudah pun menerima ganjaran besar menerima kenaikan yang sungguh tinggi, walhal mereka yang sepatutnya diberikan imbuhan lebih tinggi tidak mendapat pertimbangan demikian, malah diberikan serdaknya saja. Inikah caranya pimpinan perkhidmatan awam mahu merapatkan jurang perbezaan pendapatan antara yang tertinggi dengan yang terendah?  Maka tidak menghairankan kenapa hampir keseluruhan 1.3 juta warga membantah melalui CUEPACS yang juga lambat memberikan reaksi hanya kerana tidak mengetahui apa sebenarnya yang disarankan.  Jadi persoalannya apa agaknya ada dalam pemikiran mereka yang membuat cadangan itu dan cuba memaksa warga awam menelan apa yang cuba disogok?  Baik jugalah kini Perdana Menteri menyedari betapa buruknya akibat usaha itu dengan kesedaran bagaimana kiranya ia dibiarkan saja kemungkinan besar ramai daripada 1.3 juta warga awam tidak akan lagi memihak kerajaan kiranya pilihan raya diadakan dalam masa terdekat.  Hanya beberapa kerat pegawai yang mencipta dan memikirkan skim itu saja boleh jawab apa sebenarnya muslihat mereka mengadakan skim yang begitu songsang.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
BERITA  HARIAN
26 Januari 2011

ISU UMUM : MEMBINA GOLONGAN MODERAT HADAPI ARUS EKSTREM

Oleh Muhamad Razak Idris
Penulis ialah pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, UKM


Persidangan Gerakan Kesederhanaan Global atau Global Movement of Moderates yang berlangsung di ibu negara baru-baru ini memberi perspektif jelas mengenai siapakah golongan moderat? ‘Moderat’ ialah kata nama yang diambil dari bahasa Inggeris merujuk kepada perkumpulan masyarakat yang menghayati falsafah ‘moderation’ atau kesederhanaan dan menghayatinya di dalam bertindak balas dengan persekitaran hidup yang rencam di sekeliling. Golongan moderat memiliki daya pertimbangan tinggi. Daya ini ialah satu pemilikan sifat dan nilai paling benar dan adil. Di dalam al-Quran, kelompok ini dikenal sebagai ‘ummatan wasata’ seperti dalam surah al-Baqarah ayat 143. Oleh itu, istilah ‘wasat’ merujuk terus kepada satu darjah keseimbangan dalam kehidupan.  Golongan moderat dalam konteks istilah ini ialah kelompok yang berada pada darjah pertengahan dan mereka berkeupayaan berada pada darjah itu kerana mereka dipandu oleh falsafah hidup yang benar dan adil serta dibimbing oleh nilai keseimbangan serta sifat kesederhanaan.  Dalam banyak perbahasan pada persidangan itu, antara ciri yang disepakati mengenai golongan moderat ialah wataknya yang realistik. Golongan moderat tidak terlampau dihimbau oleh keagungan nostalgia sejarah sehingga menutup ruang harapan pada masa depan. Mereka juga tidak terlalu asyik menuju masa depan sehingga menafi dan mengabaikan sejarah dan warisan silam. Sebagai golongan yang realitik, moderat melihat realiti sebagai dinamik dan bersifat organik.

Sebuah realiti yang tumbuh dalam kehidupan ini tidak berlaku di dalam kekosongan melainkan ia dibentuk dan dipengaruhi oleh pelbagai unsur dan elemen dari aspek sejarah, budaya dan nilai yang saling berinteraksi secara dinamik dan organik secara rencam dan berterusan dalam perjalanan sejarah yang panjang.  Proses interaksi ini membawa kepada kelahiran kepelbagaian dan kerencaman dalam kehidupan alam dan kemanusiaan.  Kerangka kefahaman ini adalah asas yang menjadikan golongan moderat realistik dalam erti sentiasa menilai setiap peristiwa dan kejadian yang wujud dalam konteksnya yang tersendiri. Dalam kata lain, suatu realiti dibentuk oleh persekitarannya yang dinamik dan tumbuh secara organik menyebabkan ia tumbuh dan muncul secara unik dan tersendiri. Seseorang yang berkemampuan memahami realiti sejajar dengan konteks dan persekitarannya yang unik dan tersendiri ini bererti dia sedang mencapai satu daya dan tahap pertimbangan paling adil dan benar dalam pemahaman serta tindakannya. Pencapaian ini membawa seseorang itu tergolong dalam kelompok moderat.  Oleh kerana itu, golongan moderat juga sering dicirikan sebagai kelompok yang bersifat ilmiah dan objektif. Dalam dunia keilmuan, pemikiran dua ciri ini adalah antara asas utama yang akan membawa seseorang kepada pencapaian kebenaran atau hakikat.  

Sebuah kebenaran hanya mampu tergambar dalam alam fikiran kita dan terhayat di dalam benak sanubari kalbu setelah ia dibangunkan secara ilmiah dan objektif berasaskan hujah yang benar dan pasti. Golongan moderat dalam konteks ini tidak akan mudah tertawan dengan dakwaan yang tidak berasas apatah lagi jika sesuatu hujah mengandungi dakwaan palsu.  Memandangkan golongan moderat ialah kelompok yang berwatak ilmiah dan objektif dalam membuat sebarang pertimbangan di dalam kehidupan, mereka juga memiliki satu daya pemikiran yang bersifat menyuruh atau syumul. Dalam kata lain, golongan moderat bukan kelompok yang berfikiran sempit di dalam memahami sesuatu persoalan. Seseorang yang memiliki daya pemikiran menyeluruh tidak akan menilai sesuatu dari hanya satu sumber saja. Golongan moderat sentiasa terbuka menerima pelbagai pendapat dan pandangan dari apa juga sumber yang boleh membawanya memahami sesuatu persoalan secara menyeluruh. Pemikiran menyeluruh ialah asas yang akan menghindarkan seseorang bersifat prejudis atau buruk sangka terhadap sesuatu persoalan dan kejadian. Membina dan menghimpunkan golongan moderat ialah satu tuntutan utama pada masa kini kerana masyarakat dunia sedang dihimpit oleh pelbagai arus yang bercorak ekstrem atau melampau.  

Fenomena melampau tergambar di dalam pelbagai fenomena kehidupan hari ini sama ada dalam dimensi sosial, politik dan ekonomi.  Fenomena melampau sering dan mudah kita fahami dalam konteks perhubungan politik dan agama kerana gejalanya sering terjadi. Gejala Islamphobia yang sering kita huraian ialah satu contoh bagaimana fenomena melampau tergambar di dalam dimensi perhubungan antara dua kelompok agama dan tamadun di dunia hari ini. Namun, ia bukan satu-satunya gejala yang harus kita sedari.  Dalam perbahasan yang rancak dan segar pada persidangan itu, pembentang menyepakati iaitu golongan moderat juga harus menyumbang kepada proses penyeimbangan dalam aspek ekonomi, ketenteraan dan hubungan antarabangsa. Krisis ekonomi dunia yang berlaku sejak beberapa dekad lalu ialah antara fenomena gejala melampau yang disumbangkan oleh golongan yang tamak dari kalangan kapitalis. Kesan dan akibat yang disumbangkan mereka adalah seumpama gejala peperangan yang digerakkan imperialis moden hari ini sebagai terjadi di Afghanistan, Iraq dan Palestin.  Bahaya golongan pelampau ekonomi dan ketenteraan adalah sama dengan pelampau yang mengibarkan bendera permusuhan dan kebencian sesama manusia atas nama agama.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
BERITA  HARIAN
26 Januari 2011

ISU ICT : SKMM PANTAU AKTIVITI REMAJA SALAH GUNA LAMAN WEB SOSIAL

Oleh Ratinawati Rasidi
ratinawati@bharian.com.my


Laman sosial seperti Facebook sememangnya memudahkan untuk kita berinteraksi apatah lagi untuk mencari kenalan lama mahupun rakan sekolah yang telah terputus hubungan sekian lama. Pada asalnya ia dicipta untuk tujuan komunikasi, tetapi selalunya manusia gemar ‘menyalahgunakan’ sesuatu kemudahan apatah lagi laman sosial seperti Facebook. Kewujudan laman sosial itu berjaya menarik perhatian semua golongan mahupun lapisan masyarakat dan tidak terkecuali golongan remaja terutama pelajar sekolah dan universiti. Laman sosial juga tidak seharusnya dijadikan medan peperangan untuk melampiaskan rasa tidak puas hati terhadap sesiapa saja apatah lagi menuduh, memalukan, melabel ataupun memfitnah kerana pesalah yang berjaya ditangkap pasti akan dikenakan tindakan undang-undang. Remaja kini menjadikan laman sosial sebagai medan untuk meluahkan perasaan, sama ada perasaan yang positif mahupun negatif.  Ada dalam kalangan remaja yang secara terang-terangan menggunakan perkataan kurang sopan, malah keterlaluan untuk melahirkan rasa tidak puas hati terhadap rakan, keluarga mahupun guru di sekolah. Adakah mereka berasakan kebebasan yang diberikan untuk melayari dan menggunakan kemudahan internet bermaksud ia juga kebebasan untuk mereka meluahkan apa saja di alam maya.

Mereka seharusnya berhati-hati kerana apakah mereka mengira setiap pergerakan mahupun apa juga yang diluahkan di dalam internet tidak ‘diperhatikan’ Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).  Lihat saja apa yang berlaku kepada seorang pelajar sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang baru-baru ini ditahan selepas mengeluarkan kenyataan di laman sosial Facebook yang ‘berbaur’ ancaman. Kenyataan berbaur ancaman kepada mana-mana individu tidak sepatutnya dibuat sewenang-wenangnya menerusi apa juga media, apatah lagi ia merujuk kepada pemimpin negara. Mungkin pada awalnya ia dianggap satu gurauan antara rakan-rakan, tetapi tidak kepada pasukan keselamatan.  Kenyataan sebegitu boleh dianggap sebagai ancaman keselamatan kepada pemimpin tertinggi negara. Oleh itu, golongan remaja mahupun pelajar seharusnya lebih berhati-hati terutama di dalam mengeluarkan apa juga bentuk kenyataan agar tidak memudaratkan diri sendiri. Jangan jadikan alasan kebebasan bersuara untuk mereka mengatakan apa saja kerana berasakan ia berlaku di alam maya. SKMM ketika ditanya berhubung perkara ini mengakui sebarang kenyataan berbaur ancaman atau ugutan untuk memudaratkan seseorang adalah salah di sisi undang-undang, tidak kira apa cara sekalipun sama ada melalui percakapan, perbincangan, perbualan telefon ataupun melalui aplikasi laman sosial seperti Facebook.

Oleh itu, tidak ada apa-apa yang memisahkan Facebook daripada ‘medium’ yang lain sekiranya niat seseorang itu bertujuan mengancam ataupun mengugut pihak lain dan isu menyekat laman sosial seperti Facebook tidak sepatutnya ditimbulkan di dalam konteks ini,” kata kenyataan yang dikeluarkan SKMM ketika diminta mengulas berhubung isu terbabit. Pihak SKMM turut mengingatkan apa saja perlakuan menyalahi undang-undang di alam nyata, maka pada masa sama ia turut menyalahi undang-udang di alam maya. Cuma apa membezakan ia dilakukan di dalam internet. Oleh demikian, adalah menjadi tanggungjawab semua pengguna terutama pelajar mahupun remaja menggunakan laman sosial bagi tujuan positif dan penggunaannya hendaklah dengan cara beretika. Penekanan turut ditekankan SKMM agar pelajar mahupun remaja tidak mendedahkan maklumat peribadi ketika berinteraksi di laman sosial kerana ditakuti ‘penghendap’ siber mencuri maklumat itu untuk tujuan tidak baik. Laman sosial juga tidak seharusnya dijadikan medan peperangan untuk melampiaskan rasa tidak puas hati terhadap sesiapa saja apatah lagi menuduh, memalukan, melabel ataupun memfitnah kerana pesalah yang berjaya ditangkap pasti akan dikenakan tindakan undang-undang. Sebagai agensi yang bertanggungjawab memantau aktiviti alam siber, SKMM menyeru agar pengguna menggunakan laman sosial facebook secara berhemah dan bertanggungjawab bagi mengelakkan insiden yang tidak disengajakan atau diingini berlaku.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
BERITA  HARIAN
26 Januari 2011

ISU KESIHATAN : ADA ALAT MAINAN BOLEH SEBABKAN KANSER


Kebanyakan alat mainan memang nampak menarik, tetapi awas! ada yang mungkin boleh mengundang bahaya kepada anak anda. Ia mungkin bahaya mudah tertelan dan juga boleh menjadi penyebab kanser. Kesedaran masyarakat negara ini terhadap keselamatan alat mainan kanak-kanak, masih di tahap rendah. Ini dapat dilihat apabila masih ramai pengguna membeli alat mainan berdasarkan rupanya yang cantik dan bentuk yang canggih, warna dan juga mengikut trend semasa. Bagi mereka, alat mainan kanak-kanak adalah medium hiburan serta penjanaan kepada daya imaginasi anak kecil dan tidak mungkin ia boleh mendatangkan bahaya. Walhal sudah pelbagai kemalangan dan bahaya kesihatan yang berpunca daripada alat mainan kanak-kanak dilaporkan dalam media, khususnya antarabangsa, namun masih ramai yang memandang ringan. Mereka masih tidak peduli walaupun berita berhubung rampasan dan penarikan balik alat mainan kanak-kanak yang tidak selamat turut tersebar luas di media seperti apa yang berlaku di Victoria, Australia, sebelum sambutan Hari Natal yang lalu. Dilaporkan, lebih 10,000 alat mainan kanak-kanak yang tidak selamat dirampas dan dimusnahkan di Victoria.
   
Dimensi baru
   
Senario kurangnya kesedaran masyarakat mengenai kepentingan isu keselamatan alat mainan kanak-kanak, berkemungkinan disebabkan negara baru sahaja menguatkuasakan Peraturan Standard Keselamatan Bagi Mainan Kanak-Kanak, berbanding negara maju. Dengan adanya peraturan ini, yang dikuatkuasakan bermula 1 Ogos 2010, sedikit sebanyak akan menyedarkan masyarakat mengenai kepentingan keselamatan alat mainan. Melalui penguatkuasaan ini, semua alat mainan yang dikeluarkan syarikat tempatan atau luar negara diwajibkan menjalani proses penilaian dan pengujian sebelum diletakkan tanda Malaysian Conformity (MC). Menerusi peraturan berkaitan, pengilang, pengimport dan pembungkus semula alat mainan perlu mematuhi garis panduan yang ditetapkan bagi memastikan ia selamat dibekalkan dan dijual di Malaysia. Dalam erti kata lain, semua syarikat yang terlibat dalam aktiviti pembekalan dan penjualan alat mainan kanak-kanak di Malaysia mempunyai tanggungjawab masing-masing bagi mematuhi peraturan ini. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah menggerakkan usaha bersepadu dengan melancarkan pelbagai kempen kesedaran menerusi pelbagai media. Boleh dikatakan keberkesanan kempen yang ditujukan khusus kepada pengguna itu berjaya berdasarkan tinjauan Bernama baru-baru ini. Pekerja Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Nur Izza Osman berkata tidak terlintas pada pemikirannya alat mainan yang rendah kualiti boleh mengundang bahaya kepada kanak-kanak. "Saya mengetahui tanda MC selepas menonton iklan berkenaan di TV (televisyen) baru-baru ini. Sebelum ini, saya membeli alat mainan berdasarkan kepada tarikan fizikal berbanding melihatnya (alat mainan) mempunyai tanda MC," katanya.
   
Memudaratkan kesihatan
   
Pelbagai bahan yang digunakan untuk membuat alat mainan kanak-kanak termasuk bahan kimia, yang didapati berupaya memudaratkan kesihatan kanak-kanak. Ini ditambah pula dengan sifat semula jadi kanak-kanak yang suka menghisap. Menjadi masalah, apabila mereka menghisap sesuatu alat mainan yang mengandungi bahan kimia lebih daripada sepatutnya. Ini secara tidak langsung, mendedahkan kanak-kanak kepada risiko pertumbuhan sel kanser, kata Ketua Farmasi, Jabatan Farmasi, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Amrahi Buang. Sebagai contoh plumbum (fungsi plumbum dalam cat untuk menjadikan warna terang dan tidak pudar) boleh meresap masuk ke dalam badan, apabila kanak-kanak bermain dengan alat mainan atau menghisapnya, dan ia menjadi terkumpul. Dicampur pula dengan apa yang dimakan semasa proses pembesaran anak-anak itu, ada risiko bagi mereka terdedah kepada kanser." Kimia seumpama itu juga boleh mendedahkan kanak-kanak kepada penyakit paru-paru, gangguan sistem saraf, alergik dan pelbagai lagi.
   
Bahaya lain
   
Keselamatan alat mainan juga meliputi pemilihan bahan, rupa bentuk, saiz dan bunyi alat itu. Mengulas lanjut, Ketua Pegawai Eksekutif/Setiausaha Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia (Standard Users) Ratna Devi Nadarajan berkata adalah penting bagi ibu bapa mengetahui label peringkat umur pada sesuatu alat mainan sebelum membelinya. Ini kerana, membeli alat mainan yang tidak sesuai dengan peringkat umur secara tidak langsung boleh mendedahkan kanak-kanak kepada kecederaan termasuk bahaya tercekik. Berdasarkan laporan kajian tahunan 'The 2011 Trouble in Toyland' oleh U.S. Federation of State Public Interest Research Groups (PIRGs), tercekik akibat tertelan bahagian mainan kecil, contohnya guli, terus menjadi punca utama kematian dan kecederaan dalam kalangan kanak-kanak. Kajian itu melaporkan seramai 200 kanak-kanak mati akibat tercekik antara tahun 1990 sehingga 2010. Alat mainan yang kurang mutu (tidak mempunyai tanda MC) seperti teddy bear akan terdedah kepada bulu, butang senang tertanggal dan ini berbahaya apabila kanak-kanak ini memasukkannya ke dalam mulut. Lebih berbahaya apabila membeli alat mainan elektrik yang berkemungkinan boleh meletup.

Elakkan diri ditipu
   
Biarpun Peraturan Standard Keselamatan Bagi Mainan Kanak-Kanak  dikuatkuasakan sejak 1 Ogos 2010, ia dibuat secara berperingkat berikutan masih terdapat penggiat industri berkenaan kurang maklum akan keperluan peraturan yang dilaksanakan. Bagaimanapun, semua alat mainan yang tidak mempunyai tanda MC akan diambil tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Pelindungan Pengguna 1999 bermula tahun ini, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Dasar dan Standard Kepenggunaan, KPDNKK, Rashinah Abdul Hamid memberitahu Bernama. Kementerian sudah lama berunding dengan industri, sejak tahun 2008 mengenai keperluan mempunyai tanda MC. Ini kerana, bukan semua (penggiat) membaca akhbar dan menonton berita, jadi apabila ditanya sama ada mereka tahu atau tidak mengenai MC, segolongan mereka mengatakan 'tidak'. Disebabkan itulah kami buat secara berfasa, tempoh masa peralihan diberikan dan ketika ini KPDNKK melakukan penguatkuasaan berhemah, di mana sebanyak 59,964 premis seluruh negara diperiksa.

Mengulas mengenai kemungkinan terdapatnya label 'MC' tiruan, Rashinah memberi dua tips berguna. Pertama, pastikan warna abjad MC itu adalah sama ada hitam atau putih. Berikutnya, pastikan terdapat nombor pendaftaran di bawah logo MC dan alamat pengilang, pengimport ataupun pembungkus semula ada tertera di bungkusan alat mainan kanak-kanak berkenaan. Sebagai pengguna, mereka tidak sewajarnya mengandaikan semua barang yang terdapat di rak adalah selamat. Mentaliti sedemikian seharusnya diubah apatah lagi apabila membabitkan perkara yang berkaitan dengan kanak-kanak. Kanak-kanak belum dapat mengenal dan membezakan mana yang selamat dan sebaliknya. Di sinilah ibu bapa perlu memainkan peranan bagi memastikan anak-anak mereka dilindungi daripada ancaman yang tidak dijangka!

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
SINAR HARIAN
24 Januari 2011

ISU ALAM SEKITAR : BENCANA AKIBAT HANCURKAN ALAM

Oleh MELATI MOHD. ARIFF


Suhu panas yang mencecah 37 darjah Celcius kini mungkin tidak terasa bahangnya bagi sesetengah warga kota. Bagi mereka terik matahari itu lebih baik daripada hujan yang mencurah-curah kerana cemas dan bimbang kemungkinan berlaku banjir kilat. Jalan sesak dan banjir kilat. Dua senario ini sudah cukup menghantui pemikiran setiap warga kota setiap kali langit bertukar gelap sekali gus menurunkan air hujan tanpa henti. Meskipun banjir kilat boleh dikatakan sudah menjadi sebahagian daripada lumrah hidup bagi warga kota seperti di Kuala Lumpur, namun fenomena alam ini masih meninggalkan igauan buruk yang berpanjangan. Sebahagian besar mereka yang menggunakan laluan Jalan Tun Razak terutama berhampiran Perpustakaan Negara mungkin tidak akan dapat melupakan peristiwa pada 13 Disember 2011.

Kes berulang

Hujan lebat pada hari itu berterusan selama kira-kira dua jam. Ia mengakibatkan banjir kilat dan mencetuskan keadaan kelam-kabut lalu lintas, memerangkap ribuan pengguna jalan raya yang dalam perjalanan pulang dari tempat kerja. Banjir kilat berlaku apabila paras air di Sungai Bunus, sungai yang mungkin tidak berapa ternama seperti Sungai Klang atau Sungai Gombak, naik melebihi paras biasa. Peristiwa tersebut berulang pada 14 Disember tahun yang sama apabila hujan lebat dalam tempoh kurang dua jam menyebabkan berlaku banjir kilat paling teruk menjejaskan Jalan Chan Sow Lin dan Jalan Brunei di kawasan Pudu. Justeru, tidak hairanlah warga kota menarik nafas lega buat sementara waktu meskipun tubuh diratah dan disengat bahang panas matahari. Banjir kilat boleh berlaku dalam sekelip mata dan paras air juga boleh menurun dalam waktu yang singkat, tetapi apakah yang menyebabkan banjir kilat? Berapa ramaikah pengguna jalan raya yang memikirkan hal ini ketika melayan perasaan marah yang meluap-luap tatkala kenderaan yang dipandu terkandas atau terpaksa pulang lewat daripada biasa?

Mungkin ada yang menuding jari kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan membuat pelbagai andaian seperti PBT tidak membuat kerja, sungai sempit, longkang tersumbat dan sebagainya. Ada juga yang mungkin menyalahkan perubahan iklim. Bagi aktivis alam sekitar, S. Piarapakaran, adalah tidak adil menuduh perubahan iklim semata-mata sebagai penyebab banjir kilat. Katanya, fenomena tersebut juga berlaku disebabkan keghairahan manusia menghancurkan alam sekitar. Perubahan iklim ini sama seperti apabila tubuh kita mengalami jangkitan kuman, kita akan mengalami demam. Perubahan iklim juga tidak boleh dihentikan, ia akan berterusan hingga satu keseimbangan dicapai. Tetapi melalui teknologi kita boleh lebih bersedia untuk mitigasi perubahan iklim. Mengulas lanjut masalah banjir kilat, Piarapakaran berkata, ia mempunyai kaitan rapat dengan penebangan kawasan hutan yang dibuat atas nama keperluan pembangunan. “Sejak awal tahun 1960-an, negara kita melalui proses pembangunan yang pesat. Banyak kawasan hutan ditebang untuk tujuan perindustrian, pertanian dan perumahan. Keadaan tersebut secara langsung menyebabkan peningkatan jumlah aliran air permukaan (air hujan yang mengalir pada permukaan tanah) sewaktu hujan.

Sungai tong sampah

Beliau yang juga Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (Awer) berkata, jika berlaku hujan di kawasan yang mempunyai hutan tebal, ia akan menyerap air hujan dan melepaskannya perlahan-lahan ke dalam sungai. Ketiadaan hutan, menyebabkan proses melambatkan aliran air ini hilang. Apabila proses ini tiada, pengaliran air secara tiba-tiba akan menyebabkan fenomena banjir kilat menjadi lebih ketara. Untuk menampung aliran air permukaan ini, banyak saluran dan longkang konkrit dibina. Bagaimanapun, ia tidak membantu menyalurkan air, sebaliknya menimbulkan lebih banyak masalah terutama banjir besar atau banjir kilat, jelas Piarapakaran. Bahkan, sungai yang ada menjadi tong sampah. Nampaknya, longkang juga turut menjadi pilihan atau kegemaran orang ramai membuang sampah. Perhatikan sahaja sampah-sarap yang memenuhi sungai, parit dan longkang. Tangan kita juga mungkin pernah melontar tin kosong, botol air minuman atau plastik pembungkus makanan. Namun, hari ini bukan setakat sampah, sisa pepejal atau bangkai haiwan saja yang dihumban ke dalam sungai, bahkan mayat manusia dan janin bayi turut ditemui di dalam sungai. Walau apapun, Piarapakaran berkata, sampah-sarap tidak boleh terus menerus dipersalahkan apabila berlaku banjir kilat. Seringkali kita dengar sampah yang tersumbat boleh menyebabkan banjir kilat. Tapi perkara ini mempunyai hadnya.

Banjir di Kuala Lumpur dan Kajang baru-baru ini tidak boleh dipersalahkan kepada sampah-sarap sahaja. Alasan ini adalah satu penghinaan kepada ilmu kejuruteraan, kata Piarapakaran yang juga seorang jurutera alam sekitar. Meskipun saluran tersumbat menjadi salah satu punca banjir kilat, sungai atau longkang monsun atau longkang konkrit besar yang melimpah tiada kaitan dengan sampah. Menurut Piarapakaran, ia berpunca daripada reka bentuk dan penyelenggaraan yang tidak memuaskan. Jelasnya, proses reka bentuk saliran bukan sesuatu yang statik kerana ia perlu diperbaiki dengan peredaran masa. Didapati banyak reka bentuk saliran yang lama masih wujud, tidak ditambah baik. Dengan peningkatan permukaan yang tidak telap air (tidak menyerap air) disebabkan pembangunan taman-taman perumahan, kawasan perniagaan dan jalan berturap, air hujan akan mengalir dengan banyak di atas permukaan ini. Jika sistem saliran tidak dapat menampung aliran air hujan ini, maka banjir kilat akan menjadi perkara lazim. Adakah langkah mendalamkan sungai boleh menangani masalah banjir kilat? Piarapakaran berkata, langkah itu perlu seragam. Beliau menjelaskan apabila sesebuah sungai didalamkan, isipadu air yang dibawa sungai itu juga akan meningkat. Jika hanya bahagian sungai didalamkan di kawasan yang terjejas, sambungan keluar dari kawasan tersebut akan mempunyai kedalaman yang lebih cetek.

Limpahan

Keadaan itu, mungkin memburukkan lagi keadaan dengan pemendakan kelodak yang mungkin menyebabkan banjir yang lebih teruk. “Saya pernah meninjau kawasan saliran airnya berliku-liku dan lurus. Kawasan yang mempunyai rintangan sama ada liku atau bahagian asas saliran yang tidak rata dengan batu atau struktur penghalang akan mengalami fenomena hydraulic jump atau ketinggian aliran air meningkat secara mendadak. Apabila hydraulic jump berlaku, air yang memasuki saliran akan terhalang. Ada ketika berlaku juga limpahan keluar dari saliran,” tambahnya. Piarapakaran berpandangan kaedah pengiraan untuk reka bentuk saliran seharusnya lebih fleksibel. Dalam bidang kejuruteraan, setiap reka bentuk disediakan untuk berfungsi pada senario paling teruk dan digandakan mengambil kira faktor keselamatan. Ertinya kata Piarapakaran, apa yang perlu ialah pelan tebatan banjir yang boleh berfungsi bagi menampung lebih daripada senario paling teruk. Bagaimanapun, jika keadaan kritikal meningkat dengan pantas, ia boleh menyebabkan kegagalan reka bentuk dan banjir kilat lebih kerap berlaku. Dalam proses reka bentuk, kadar kenaikan keadaan kritikal perlu dipertimbangkan. Bagaimana hendak kita ukur kegagalan sesuatu reka bentuk tebatan banjir? Apabila banjir kilat kerap berlaku dalam tempoh jangka masa yang singkat selepas pelaksanaan projek tersebut.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
HARIAN KOSMO
26 Januari 2011

ISU ICT : FACEBOOK KINI JADI LUBUK "JERUNG"


Para pengguna laman sosial Facebook seharusnya lebih berhati-hati dan jangan mudah terpedaya mengenai segala bentuk kemewahan yang dicanangkan oleh rakan 'maya' yang dikenali menerusi laman berkenaan. Profesor Ekonomi di Fakulti Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Datuk Amir Baharuddin menyifatkan Facebook sebagai lubuk 'jerung' yang hanya menanti mangsa untuk disambar. Katanya, masyarakat harus sedar tiada jalan pintas untuk mendapatkan keuntungan besar melalui pelaburan seperti yang digambarkan dan helah itu adalah sama dengan skim-skim lain yang diperkenalkan sebelum ini. Penipuan menerusi pelaburan Internet sudah lama berleluasa dan tidak sepatutnya masih ada mangsa yang terpedaya dengan omongan pihak-pihak berkenaan yang menjanjikan keuntungan sehingga 10 peratus sebulan daripada nilai pelaburan. 

Itu semua adalah sandiwara semata-mata bagi menarik minat mereka yang mahukan keuntungan segera. Masyarakat harus sedar bukan semudah itu untuk mengumpul kekayaan. Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan khas akhbar ini mengenai modus operandi skim pelaburan Internet yang kini beralih menggunakan medium laman sosial Facebook untuk menjerat mangsa. Tambahnya, adalah lebih baik sekiranya wang yang ada itu dilaburkan ke dalam pelaburan yang disahkan dan dijamin kerajaan. Kerajaan telah menyediakan banyak saluran untuk kita membuat pelaburan seperti Amanah Saham Nasional (ASN) dan Amanah Saham Bumiputra (ASB), jadi mengapa harus memilih pelaburan yang tidak menentu. Sepatutnya sebelum mengeluarkan duit yang ada, kita seharusnya berfikir dengan masak kerana kerugian adalah risiko yang perlu ditanggung sendiri.

Sementara itu, Pensyarah Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Dr. Syed Azizi Wafa Syed Khalid Wafa menasihatkan orang ramai menyelidik dahulu latar belakang sesuatu skim sebelum membuat sebarang pelaburan. Harus dipastikan sama ada skim yang ingin disertai itu sah dan berdaftar dengan Bank Negara dan jangan mudah 'gelap mata' dek kemewahan dan pulangan yang digambarkan. Penipu ini licik dan pandai. Banyak cara yang mereka ada untuk memperdaya kita semua dan terkini mereka mengunakan laman sosial pula. Katanya, masyarakat perlu berfikir secara logik dan rasional, sedangkan Petronas dan syarikat terbaik dunia yang lain pun hanya sekadar mencatat keuntungan sebanyak 30-50 peratus setahun. Jadi mana mungkin hanya dengan pelaburan 'maya' kita mampu untuk memperoleh pulangan sebanyak 10 peratus sebulan ataupun 120 peratus setahun.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
26 Januari 2011

25 Januari 2012

ISU WANITA : MARUAH WANITA DI MANA NILAINYA?

SYAHIDATUL AKMAL DUNYA


“SAYA terkedu apabila dengan tidak sengaja melayari sebuah laman sesawang, mutaah.com yang berfungsi sebagai perantara mengiklankan lelaki yang ingin keseronokan semata-mata tanpa mahu bertanggungjawab menjadi seorang suami yang sewajarnya,” demikian luahan insan prihatin terhadap situasi melanda umat Islam kini. Berdasarkan dialog di atas jelas menerangkan runcingnya keadaan masyarakat Islam yang seakan tidak dapat membezakan antara halal dan haram. Jika ditanya apa itu nikah mutaah pasti ramai menggeleng kepala, tanda tidak mengerti maksudnya. Rehal mengungkap sejauh mana kesannya terhadap institusi kekeluargaan dan di mana letaknya nilai wanita apabila perkara itu menjadi duri dalam daging kepada masyarakat yang seolah-olah kembali kepada zaman jahiliah. Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Nabilah Yusof menjelaskan dengan mendalam mengenai perkahwinan itu yang jika dilihat hanya untuk keseronokan dan ia dimonopoli pengamal fahaman Syiah.

HARAM DALAM ISLAM

“Mutaah berasal daripada perkataan mata’a dalam bahasa Arab membawa maksud berseronok. Kahwin mutaah ialah perkahwinan sementara yang dalam akadnya dinyatakan tempoh sama ada seminggu, sebulan, setahun dan mempunyai mahar. Ternyata berbeza dengan perkahwinan dituntut dalam Islam. Kriteria akad nikah mengikut Ahli Sunnah wal Jamaah menggariskan dalam akad tidak boleh sama sekali menyatakan tempoh. “Perkahwinan mutaah asalnya daripada tradisi masyarakat Arab semasa zaman jahiliah. Kahwin mutaah biasanya dipraktikkan apabila seorang lelaki memerlukan perempuan sebagai teman dalam tempoh tertentu. “Ketika Islam mula disebarkan Nabi Muhammad SAW, nikah mutaah ini masih diteruskan kerana ia kuat diamalkan oleh kaum jahiliah, namun pada pembukaan Kota Makkah tahun ke-10 Hijrah (sesetengah riwayat menyatakan pada peperangan Khaibar) ia telah diharamkan untuk selamanya. Walaupun mutaah pernah dibenarkan suatu ketika dahulu, namun keizinannya terhad ketika berperang atau berdagang,” katanya.

Menurut Nabilah, Islam mengharamkan pernikahan seperti itu sama seperti dua pernikahan lain, iaitu kahwin muhalil (kahwin cina buta) dan kahwin sighar kerana tidak selari dengan tujuan disyariatkan nikah, di samping meninggalkan kesan negatif ke atas institusi kekeluargaan. Terdapat hadis diriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib bahawa dia mendengar Rasulullah melarang amalan nikah mutaah (berseronok dengan wanita) dan Baginda bersabda lagi ia haram sehingga hari kiamat. “Segelintir puak Syiah masih berpegang dengan kata-kata Ibn Abbas mengenai penghalalan mutaah, sedangkan beliau sendiri dalam satu riwayat telah menarik balik hukum tersebut setelah mendengar sabda Rasulullah berkenaan pengharaman mutaah untuk selamanya. “Jelas bukan? Memang sebelum ini ada hadis yang menghalalkan kahwin mutaah, tetapi diharamkan secara berperingkat dan bukannya sekali gus, memandangkan ia adalah adat yang sukar untuk dipisahkan dengan masyarakat pada zaman itu,” katanya. Nabilah berkata, banyak sebab kenapa Islam mengharamkan nikah mutaah antaranya tidak menepati pensyariatan perkahwinan, tidak mengikut rukun dan syarat nikah yang sah (wali, saksi dan sebagainya). Juga tidak menjadikan pasangan itu berada dalam ketenangan serta anak yang lahir tidak mendapat pembelaan nasab, pusaka, nafkah dan kasih sayang sewajarnya. Tambahan pula, talak menurut syarak mestilah dilafazkan suami secara terang atau sindiran, namun mengikut sistem mutaah talak berlaku apabila tempohnya berakhir.

WANITA JADI BARANG SEWAAN

“Keadaan ini juga seolah-olah merendahkan martabat wanita dengan menganggap golongan Hawa hanyalah tempat untuk memuaskan nafsu semata, sedangkan Islam mengangkat ciptaan ALLAH ini di tempat yang tinggi. “Nikah mutaah bertentangan dengan fitrah wanita di mana mereka dijadikan barang sewaan, malah hakikatnya boleh disamakan dengan pelacuran, malangnya pendapat sebegitu tidak dapat diterima fahaman Syiah yang menjadikan ia sebagai amalan tidak bertentangan syarak,” katanya. Menurutnya , jika berkenan dengan mana-mana perempuan hanya perlu membayar mengikut kemampuan, situasi yang sinonim dengan 'pelacuran'. Kenapa kita perlu kembali kepada zaman jahiliah dengan menjadikan wanita bahan berseronok sedangkan wanita telah diangkat martabatnya ketika Islam disebarkan. Ia serentak dengan penghapusan sistem perhambaan suatu ketika dahulu diamalkan. Berdasarkan prinsip Islam, setiap individu, sama ada lelaki atau wanita adalah setaraf tanpa sebarang perbezaan. Firman ALLAH yang bermaksud: "Sesiapa yang beramal soleh, daripada lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya KAMI akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya KAMI akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih daripada apa yang mereka telah kerjakan." (surah al-Nahl ayat 14:97) “Betapa sedihnya saya melihat situasi ini masih diamalkan, dan tidak salah jika saya katakan ia adalah 'pelacuran yang terancang' dan bersistematik walaupun mempunyai mahar dan akad.

RUNTUHNYA INSTITUSI KELUARGA

"Apakah agaknya kesahtarafan keturunan terhasil daripada kahwin kontrak ini?," soalnya. Nabilah berkata, sistem mutaah anak bukanlah tanggungjawab suami, tidak timbul lagi persoalan nafkah kerana awal-awal lagi tujuan nikah ini hanya untuk mendapat keseronokan secara ‘halal’. Apabila tamat tempoh perjanjian dalam akad itu terbatallah perkahwinan dan ini bermakna, nafkah anak hasil mutaah tidak mendapat jaminan dan pembelaan sepertimana nikah hakiki. “Besar implikasinya terhadap keturunan, cuba bayangkan seorang wanita mampu dimiliki ramai lelaki dan anak-anak yang dilahirkan wanita itu mempunyai bapa yang berbeza, malah anak-anak tidak mengenal siapa ayahnya," katanya.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
SINAR HARIAN
20 Januari 2011

ISU SOSIAL : APAKAH TERLARANG BERCINTA SEBELUM BERKAHWIN?

DR MOHD ASRI


Berciuman dan berpelukan cinta berahi antara pasangan di tepi jalan ataupun di khalayak ramai adalah perkara biasa di dunia Barat. Hidup bagaikan suami isteri tanpa kahwin adalah fenomena yang tidak asing. Sehingga dalam banyak jemputan, dijemput bersama spouses and partners. Memiliki anak tanpa perkahwinan bukanlah sesuatu yang ganjil. Sekalipun ini semua bukanlah budaya asal masyarakat Barat, tetapi trend hidup moden yang disuburkan oleh pelbagai faktor telah meruntuhkan banyak nilai-nilai tradisi yang pernah ada dalam masyarakat mereka dahulu. Ini termasuklah faktor eksploitasi naluri cinta dan seks oleh para pemodal; penerbit majalah, filem, ubat dan pelbagai lagi. Apakah cinta itu seks? Apakah seks itu cinta? Perkataan cinta agak abstract. Ia boleh dipadankan kepada banyak perkara; cinta ALLAH, cinta keluarga, cinta negara, cinta seni dan selainnya. Cinta ertinya kasih, sayang dan ingin bersama. Dalam konteks lelaki dan wanita tentulah antara manifestasi cinta itu hubungan seks. Walaupun bukan semua yang melakukan seks itu bercinta, tapi seks itu utama dalam cinta pasangan.

Maka ahli fekah pun mentakrifkan nikah itu sebagai akad yang menghalalkan persetubuhan. Suami yang tidak mampu melakukan seks boleh dipisahkan perkahwinan. Seks tidak keji, bahkan ia mendapat pahala jika mengikut peraturannya. Cinta pasangan mendambakan seks; itu benar. Persoalannya; keinginan untuk melakukan seks semasa bila? Jika mengidamnya sebelum kahwin, itu salah. Jika mengidamnya selepas kahwin, itu pahala. Cinta atau kasih, bercinta atau berkasih sayang antara lelaki dan wanita yang ingin hidup bersama, itu normal. Cuma yang rumit, bagaimana mengawal dan menguruskan cinta. Cinta dalam sejarahnya telah memeriahkan banyak kehidupan. Melahirkan banyak ungkapan indah puisi dan lagu. Ungkapan cinta dipetik dari zaman ke zaman. Ia dikongsi oleh hampir kesemua insan melainkan yang kontang fitrahnya. Dari Qais sehingga ke Celine Dion; ungkapan indah cinta antara lelaki dan wanita diulang-ulang oleh manusia. Ia sejagat. Ramai yang dah tua yang mengharamkan cinta untuk generasi muda hari, mereka pun pernah bercinta zaman mudanya.

Anti-cinta

Melihat kerosakan masyarakat, maka ada yang ‘kuat agamanya’ menyalahkan cinta. Lantas, jatuh cinta kepada seseorang yang boleh dikahwini dianggap bagaikan satu dosa. Pasti jika seseorang yang kuat agamanya jatuh cinta, atau berbicara tentang cintanya itu dianggap sebagai sesuatu yang pelik dan telah hilang kekuatan iman. Maka tidak pelik jika ada yang bertanya: apa hukum bercinta? Jika ada ustaz yang kata ‘haram, punca syaitan dan budaya Barat maka sempitlah perasaan golongan hangat bercinta khusus yang masih muda. Mungkin ada yang akan kata dalam dirinya: ‘nanti tua sikit baru boleh aku kuat agama’. Ini kerana susah dia hendak meninggalkan cinta kepada kekasih yang diidami sebagai isteri. Mungkin ada yang kuat agama terlajak akan berkata: “Kahwin teruslah. Cinta hanya lepas kahwin”. Tapi, si anak muda ini belum bekerja, belum mampu menyediakan belanja sebagai suami. Jika meminang pun, tentu bapa pasangan membantah. Hanya yang ada setakat ini ‘cinta’. Sama Juga yang sedang bertunang belum nikah sebab hendak selesaikan urusan belajar ataupun selain. Dalam tempoh itu mereka bercinta pastinya. Berutus surat, email dan sms. Isinya menggambarkan cinta. Jika bercinta haram melainkan setelah kahwin, maka tentu mereka semua hambar.

Jatuh cinta

Jika kita teliti nas-nas Islam, tiada dalil yang ALLAH dan Rasul-NYA mengharamkan mencintai seseorang yang ingin kita jadikan pasangan hidup. Bahkan al-Quran mengiktiraf cinta tersebut. Ini kerana jatuh cinta antara jantina yang berbeza adalah fitnah manusia. Ia bukan diada-adakan. Ia arus yang mengalir dalam jiwa tanpa boleh dihalang. Lihat firman ALLAH mengenai lelaki yang jatuh cinta kepada janda yang masih dalam edah kematian suami: (maksudnya) “dan tidak ada salahnya bagi kamu tentang apa yang kamu bayangkan (secara sindiran) untuk meminang perempuan (yang dalam edah kematian suami), atau tentang kamu menyimpan dalam diri (keinginan berkahwin dengan mereka). ALLAH mengetahui bahawa kamu akan mengingati mereka, (yang demikian itu tidaklah salah), akan tetapi janganlah kamu membuat janji dengan mereka dalam sulit, selain dari menyebutkan kata-kata (secara sindiran) yang sopan. dan janganlah kamu menetapkan dengan bersungguh-sungguh (hendak melakukan) akad nikah sebelum habis edah yang ditetapkan itu. dan ketahuilah sesungguhnya ALLAH mengetahui apa yang ada dalam dada kamu, maka beringat-ingatlah, sesungguhnya ALLAH Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar”. (Surah al-Baqarah: 235)

Ayat di atas membicara larangan meminang wanita dalam edah kematian suami sebelum tamat edahnya. Ini kerana hukum edah mempunyai banyak maslahah termasuk membabitkan perasaan keluarga bekas suami. Namun Allah tetap tidak melarang sindiran yang mempunyai maksud ingin meminang, juga tidak salah keinginan yang tersimpan dan perasaan yang selalu teringatkannya. Itu semua tanda ‘jatuh cinta’. Cumanya, ALLAH memerintahkan agar mengikut peraturan yang ditetapkan.

Rayuan cinta

Bahkan Nabi SAW pernah bersimpati dengan Mughith bekas suami Barirah yang masih mencintai isterinya itu. Tangisan dan rayuan cintanya mendapat simpati Nabi SAW. Dalam riwayat al-Bukhari daripada ‘Abdullah bin ‘Abbas, katanya: “Bahawa suami Barirah adalah seorang hamba bernama Mughith. Aku seakan masih terbayang dia mengikuti Barirah dari belakang serta menangis sehingga air matanya mengalir atas janggutnya. Nabi SAW berkata kepada ‘Abbas: “Wahai ‘Abbas, tidakkah kau hairan melihat cintanya Mughith kepada Barirah dan bencinya Barirah kepada Mughith?”. Lalu Nabi SAW berkata (kepada Barirah): “Tidak mahu kah jika engkau kembali kepadanya”. Barirah berkata: “Apakah engkau memerintahkanku?”. Nabi s.a.w bersabda: “Aku hanya mencadangkan”. Kata Barirah: “Aku tidak memerlukan dia”. Nabi SAW tidak melarang Mughith membuat rayuan cinta, bahkan bersimpati dan cuba memujuk Barirah. Namun Barirah enggan, maka tiada paksaan dalam cinta. Apakah kita pula menghalang puisi dan lagu cinta yang beradab yang ditujukan kepada seseorang kerana ingin memperisterikannya?

Dua kekasih

Nabi SAW tidak pernah membantah orang bercinta, sebaliknya cuba memastikan pasangan yang bercinta berakhir dengan perkahwinan. Seorang gadis yatim dipinang oleh dua orang lelaki. Seorang miskin dan seorang lagi kaya. Si gadis memilih yang miskin sedangkan penjaganya memilih yang kaya. Apabila hal ini diberitahu kepada Nabi SAW, baginda bersabda: “Aku tidak melihat (penawar) untuk dua orang yang bercinta seperti nikah” (riwayat al-Baihaqi dan Ibn Majah, sahih). Kata al-Imam al-Munawi (meninggal) mengulas hadis ini: “Maksudnya ubat paling berkesan yang dapat merawati kerinduan ialah nikah. Ia adalah penawar yang tiada gantiannya jika ada jalan untuk mendapatkannya” (al-Taisir bi Syarh al-Jami’ al-Saghir, 2/584, Riyadh: Maktab al-Imam al-Syaifii’).  Justeru itu, Nabi SAW memberikan pilihan untuk isteri memutuskan perkahwinan yang berlaku atas perasaan benci. “Seorang gadis dara datang kepada Nabi SAW memberitahu bahawa bapanya mengahwinkannya sedangkan dia tidak suka. Maka, Nabi SAW memberikan pilihan kepadanya (sama ada untuk meneruskan atau menolaknya) (Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah , dinilai sahih oleh al-Albani).

Haram

Menyimpan rasa cinta antara lelaki dan perempuan tidaklah dilarang dalam agama ini. Di samping ia boleh berlaku di luar kawalan insan, ia adalah fitnah antara lelaki dan perempuan. Ia tidak songsang. Melafazkan rasa cinta seperti Mughith ungkapan kepada Barirah juga tidak dilarang. Bercinta seperti gadis yatim itu juga tidak dilarang. Puisi dan lagu cinta yang sopan juga tidak dilarang. Jadi apa yang dilarang? Hanya yang dilarang adalah perbuatan zina. Kedua, -walaupun dosanya tidak seperti zina- perbuatan yang mendekati zina. Adapun bercinta yang masih mempunyai jarak antara antara lelaki dan wanita adalah fitrah insaniah. Menghalang fitrah itu boleh memberikan kesan yang buruk dalam jiwa manusia. Inilah juga yang boleh membawa kecenderungan seks sejenis kerana fitnah asal telah disekat. Jika itu berkembang dalam diri seseorang ia menjadi penyakit yang memusnahkan fitrah asalnya. Islam tidak sempit. Ia tidak menghalang fitrah. Cinta yang membawa kepada perkahwinan adalah satu kebaikan. Jadi, jangan kata Islam mengharamkan perasaan cinta antara lelaki dan wanita. Katakanlah Islam mengharamkan zina dan mendekati zina!

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
SINAR HARIAN
6 Januari 2011

ISU SOSIAL : HAKIKAT POLIGAMI DI SISI UNDANG-UNDANG

OLEH
TUAN BUQHAIRAH MUHAMAD ADNAN



Hidup secara berpasangan adalah fitrah kejadian manusia. Bagi memenuhi dorongan biologi ini, umat Islam terikat dengan peraturan perkahwinan yang berteraskan syariat. Perkahwinan bahagia berteraskan kasih sayang dan kemesraan. Justeru ia menjadi motivasi dan penggerak ke arah kesempurnaan hidup di dunia dan akhirat. Sebaliknya, perkahwinan yang retak akan menghasilkan simptom ketidakteguhan peribadi yang membawa kesan negatif bukan sahaja kepada diri sendiri bahkan juga masyarakat. Pegawai Penyelidik Hakim Rayuan, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Muhamad Zakian Dio berkata, perkahwinan diklasifikasikan kepada dua bentuk utama iaitu monogami dan poligami. Monogami adalah perkahwinan antara lelaki dengan seorang perempuan manakala poligami pula perkahwinan antara lelaki dengan lebih daripada seorang perempuan tapi tidak melebihi empat. Menurutnya, poligami yang diharuskan dalam Islam mempunyai seribu satu hikmah. Namun begitu, ia juga ,mempunyai hukum dan syarat yang wajib diketahui serta dipatuhi orang yang berhasrat berpoligami agar hikmahnya terlaksana. Hukum asal berpoligami adalah harus berdasarkan firman ALLAH SWT dalam surah An-Nisa’ ayat 3. Namun kadangkala amalan poligami pada waktu dan keadaan tertentu menukarkan hukumnya daripada harus kepada sunat, makruh atau haram. Orang yang berhasrat melakukan poligami disarankan meneliti dengan serius hukum tersebut supaya ia menepati hukum sunat atau harus dan bukannya makruh serta haram.

Galas tanggungjawab

Muhamad Zakian berkata, di negara ini, sistem perundangan berkaitan poligami khususnya di Selangor, telah diwujudkan diselaraskan mengikut negeri masing-masing. Di Selangor, peruntukan Seksyen 23 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Selangor) 2003 berkenaan poligami, lelaki yang ingin berkahwin lebih seorang perlu mendapatkan kebenaran secara bertulis daripada mahkamah terlebih dahulu. Beliau berkata, setiap permohonan untuk kebenaran hendaklah dikemukakan kepada mahkamah mengikut cara yang ditetapkan. Pemohon juga perlu menyatakan alasan cadangan dikatakan patut atau perlu, jumlah pendapatan ketika itu, komitmen, tanggungan kewangan, bilangan tanggungannya termasuk orang yang akan menjadi tanggungannya berikutan perkahwinan yang dicadangkan. Menurutnya, berdasarkan peruntukan undang-undang di Selangor, apabila menerima suatu permohonan, mahkamah akan memanggil pemohon, isteri, bakal isteri, wali kepada bakal isteri atau mana-mana pihak yang difikirkan perlu supaya hadir mendengar permohonan itu. Antara syaratnya adalah membuktikan bahawa cadangan berpoligami tersebut perlu atau patut dengan memandang hal-hal keadaan antara lain seperti kemandulan, keuzuran jasmani dan isteri tidak siuman. Muhamad Zakian menambah, pemohon juga perlu mempunyai kemampuan untuk menanggung isteri dan isteri-isteri sedia ada dan orang tanggungannya serta berupaya untuk memberikan layanan adil kepada mereka. Seterusnya, perkahwinan yang dicadangkan itu tidak akan menimbulkan darar syari’e kepada isteri sedia ada,” katanya.

Tunjang kebahagiaan

Beliau menjelaskan bahawa mana-mana pihak yang terkilan atau tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah, boleh merayu ke mahkamah yang lebih tinggi mengikut peruntukan undang-undang keluarga tersebut. Menurutnya, suami atau isteri yang tidak berpuas hati dengan keputusan hakim, boleh merayu di Mahkamah Rayuan Syariah Selangor. Bahagian akhir ayat 3 surah Al Nisa tersebut menjelaskan, jika bimbang tidak mampu berlaku adil antara isteri-isteri, maka berkahwinlah satu sahaja. Ini menunjukkan keharusan berpoligami perlu dipertimbangkan dengan keadilan kepada isteri-isteri. Mudarat kepada isteri-isteri wajib dielakkan. Tanggungjawab menilai kemampuan suami berlaku adil, pada masa kini terletak kepada Mahkamah, bukan para suami sendiri yang menilainya. Jika masih timbul persoalan dan masalah bahawa poligami yang berlaku sekarang banyak menimbulkan kemudaratan terhadap isteri, ia sebenarnya bukan persoalan hukum keharusannya atau kawalan pihak pemerintah, tetapi berkaitan dengan sikap suami-suami yang mengamalkannya. Beliau berkata, usaha harus dipertingkatkan semua pihak untuk memperkasakan pasangan suami isteri supaya mereka memahami dan memiliki sepenuhnya ilmu serta kemahiran sebagai seorang suami atau isteri. Hal ini demikian kerana sama ada perkahwinan itu berbentuk poligami atau monogami, tunjang kebahagiaannya adalah bergantung kepada pengemudi bahtera keluarga itu sendiri.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
SINAR HARIAN
16 DISEMBER 2011

ISU IPT : TINDAKAN PELAJAR IPT JUAL BAUCAR BUKU MEMANG MEMALUKAN


Pendedahan akhbar ini dua hari lalu mengenai tindakan sebilangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) menjual dan melelong Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) yang disumbangkan kerajaan bukan saja tidak bertanggungjawab, malah memalukan golongan pelajar dan mencemarkan nama baik institusi pendidikan tinggi negara. Tindakan mereka langsung tidak menggambarkan sikap menghargai pemberian kerajaan bertujuan membantu mereka membeli bahan bacaan untuk menambah ilmu pengetahuan mereka. Pemberian baucar buku bernilai RM200 itu sepatutnya dihargai semua pelajar kerana niat kerajaan meringankan beban mereka membeli buku akademik dan bukan akademik, tetapi sudah disalahgunakan. Selain menjualnya secara terus, mereka juga melelong baucar buku itu menerusi internet dengan potongan harga istimewa. Mereka menggunakan beberapa laman blog dan forum internet termasuk Facebook untuk mengiklankan tawaran berkenaan dengan pengurangan antara RM10 hingga RM60.

Mereka memberi pelbagai alasan untuk menjual baucar itu termasuk sudah mempunyai buku mencukupi serta berada pada tahun akhir pengajian dan tidak perlu membeli buku lagi. Sebelum ini ada juga aduan menyatakan pelajar yang memperoleh baucar itu membeli buku lain selepas berpakat dengan pemilik kedai buku. Baucar itu diberikan kerajaan kepada 1.3 juta penuntut IPT awam dan swasta, pelajar tingkatan enam, matrikulasi, asasi dan politeknik. Ia sah digunakan mulai bulan ini sehingga 31 Mac depan. Selain buku akademik, baucar itu juga boleh digunakan membeli jurnal, majalah ilmiah dan peralatan pembelajaran di kedai yang dilantik khas. Pemberian BB1M diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Bajet 2012 dan dikeluarkan buat pertama kali oleh kerajaan bagi mengurangkan bebanan ibu bapa dan pelajar membeli buku kegunaan mereka.

Perbuatan menjual baucar buku itu jelas bukan saja menyalahi etika sebagai pelajar, tetapi juga tidak mencerminkan tahap kematangan tinggi yang sepatutnya dimiliki penuntut IPT. Sikap mereka masih kebudak-budakan yang hanya mementingkan wang ringgit untuk dibelanjakan bagi keperluan lain. Justeru, memang wajar kerajaan khususnya melalui Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengambil tindakan tegas bagi membendung gejala itu agar tidak berulang. Kita tidak mahu mereka yang terbabit menyangka bahawa ketiadaan tindakan pihak berkuasa bermakna mereka boleh terus melakukan kesalahan sewenang-wenangnya. Walaupun sukar bagi KPT mengenal pasti pelajar yang melakukan kesalahan itu, namun semua pihak patut menyokong tindakan kementerian, termasuk merampas semula baucar yang dijual itu. Pelajar sepatutnya menjadi generasi yang pandai berterima kasih dengan pemberian kerajaan, bukannya menjual baucar itu untuk mendapatkan wang tunai bagi kegunaan lain.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
Ruangan Minda Pengarang
BERITA HARIAN
25 Januari 2012

ISU IPT : MENJANA PEKERJAAN MENERUSI PENDIDIKAN TINGGI

Oleh Dr Sharifah Hapsah
Penulis ialah Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia


Pada masa lampau semua lulusan universiti terjamin memperoleh pekerjaan yang baik, khususnya dalam perkhidmatan awam yang sedang pesat berkembang. Apabila negara mencebur diri dalam perindustrian, ramai pula diterima bekerja dengan pihak swasta. Malah ada mahasiswa yang terus mendapat tawaran pekerjaan ketika masih berada di tahun akhir pengajian mereka. Namun keadaan ini sudah berlalu. Graduan termasuk yang memperoleh biasiswa pun tidak lagi terjamin akan diberi pekerjaan. Keadaan ekonomi ialah antara faktor penyebab seperti juga faktor kebolehupayaan graduan itu sendiri mendapat pekerjaan. Kita perlu berusaha menangani kedua-dua faktor ini supaya pengangguran tidak akan menjadi satu masalah rumit dalam kalangan graduan.  Nampaknya masalah yang amat meresahkan kita dewasa ini bukannya peningkatan kos rawatan pesakit, puak pelampau dan keganasan global atau pun pencemaran alam sekitar tetapi ketandusan pekerjaan yang baik untuk semua.

Dalam buku The Coming Jobs War yang berdasarkan satu bancian pendapat orang ramai, penulisnya Jim Clifton, yang juga Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Gallup, menyatakan dalam tempoh 30 tahun kebelakangan ini, masyarakat telah berubah daripada menginginkan kasih sayang, wang, makanan, perlindungan, keselamatan, kedamaian dan kebebasan kepada desakan untuk mendapat pekerjaan yang baik untuk diri dan anak-anak mereka. Bancian ini juga mendapati bahawa tiga bilion daripada sejumlah lima bilion manusia berumur 15 tahun ke atas memaklumkan kepada Gallup bahawa mereka sedang bekerja atau mahukan pekerjaan. Masalahnya, kini ada 1.2 bilion pekerjaan formal sekurang-kurangnya 30 jam, dengan pendapatan tetap.  Keadaan ini boleh mewujudkan tekanan yang boleh menggugat kestabilan masyarakat akibat 1.8 bilion orang, merangkumi hingga seperempat daripada keseluruhan jumlah manusia di dunia, tidak mempunyai pekerjaan tetap. Pengangguran ialah masalah besar yang boleh mendatangkan kekecewaan dan kehampaan rakyat sesebuah negara. Ini dengan sendirinya boleh menyebabkan kemerosotan nisbah kesejahteraan negara. Penganggur ialah rakyat yang amat murung sehingga ada yang memerlukan lebih banyak rawatan kesihatan.

Pekerjaan dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mempunyai perhubungan rapat. Tanpa pertumbuhan KDNK penambahan pekerjaan tidak akan berlaku. Apabila tidak ada penambahan pekerjaan, pertumbuhan KDNK juga tidak akan berlaku. Justeru, penjanaan pekerjaan baru dan pertumbuhan baik KDNK ialah antara unsur perubahan utama yang boleh membawa kepada kesejahteraan dunia.  Maka, Program Transformasi Negara (GTP) yang diharap membuahkan hasil dalam jangka masa Rancangan Malaysia Kesepuluh dan ke-11 seiring dengan Model Baru Ekonomi adalah langkah tepat untuk menjana peluang pekerjaan. Wawasan mencapai taraf negara berpendapatan tinggi adalah sejajar dengan rangsangan pertumbuhan ekonomi, penjanaan pekerjaan dan penarikan pelaburan. Matlamat akhirnya ialah jaminan peningkatan kualiti hidup rakyat yang mana tidak seorang pun akan terpinggir, manakala masa hadapan generasi akan datang tidak pula terabai.  Pelajaran ialah asas dan landasan kepada GTP. Ia adalah juga satu daripada tujuh Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dalam Program Transformasi Kerajaan dan menjadi satu daripada 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) dalam Program Transformasi Ekonomi, selain keperluannya Program Transformasi Luar Bandar dan Program Transformasi Politik.

Dengan itu, pengetua sekolah dan naib canselor universiti harus berpandangan jauh dan tidak hanya tertumpu kepada kadar kelulusan graduan tetapi turut memberi tumpuan kepada pendidikan yang dapat menjamin peluang pekerjaan yang lebih cerah.  Kebanyakan pekerjaan kini dijana oleh syarikat kecil dan sederhana (SKS). Di Amerika Syarikat misalnya 99 peratus daripada sejumlah enam juta syarikatnya mempunyai kurang daripada 500 pekerja. Penubuhan SKS pula memerlukan pencipta inovasi dan usahawan. Bagaimanapun, pencipta inovasi saja tidak memadai.  Inovasi belum tentu dapat dimajukan tanpa pengusaha berbakat yang boleh menilai dan menterjemahkan inovasi itu untuk dibangunkan sebagai satu usaha perniagaan. Pengusaha itu harus pula sudah mempunyai corak dan strategi perniagaan hingga dapat mengeluarkan barangan dan perkhidmatan yang boleh memenuhi kehendak pengguna untuk jualan dan mendatangkan keuntungan. Pertumbuhan KDNK dan penjanaan pekerjaan akan terlaksana dengan hasil perniagaan, bukannya daripada inovasi semata-mata. Universiti perlu menyumbang kepada transformasi kebangsaan bukan saja dengan penghasilan graduan yang memenuhi keperluan ekonomi baru serta menjana ilmu untuk menyokong sistem inovasi kebangsaan, tetapi juga berperanan menjana pekerjaan.

Oleh itu sebuah universiti penyelidikan seperti UKM perlu memupuk budaya inovasi dan keusahawanan sebagai suatu nilai teras akademiknya. Inovasi, khususnya inovasi berteknologi memupuk dinamisme keusahawanan bagi merangsang pertumbuhan perniagaan dan menghasilkan pekerjaan berpendapatan tinggi. Menerusi inovasi dan keusahawanan universiti bukan saja menghasilkan jurutera, saintis dan pereka ciptaan, tetapi juga pengusaha dan kelompok berbakat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif yang boleh memberi nilai tambah kepada syarikat terbitan universiti yang memberi manfaat kepada institusi, fakulti dan pelajar. Lebih penting lagi budaya inovasi dan keusahawanan akan dapat menanam keyakinan dan meningkat semangat para graduan untuk membenih idea sehingga tumbuh subur sebagai perniagaan melalui inovasi dan keusahawanan.  Misalnya di UKM pelajar semua bidang pengajian sejak tahun pertama lagi sehingga tahun akhir didedahkan kepada usaha dan pengalaman membawa hasil penyelidikan kepada pasaran. Mereka juga diberi ruang bekerja dengan SKS untuk menyelesaikan masalah sebenar dengan memenuhi kehendak pasaran.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
BERITA HARIAN
25 Januari 2012