23 Disember 2011

ISU PENDIDIKAN : KEPUTUSAN PMR 2011


Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud  

Pencapaian calon Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011 secara keseluruhannya dalam 17 mata pelajaran adalah yang terbaik dalam tempoh empat tahun berdasarkan Gred Purata Nasional (GPN) iaitu 2.71. Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud berkata, keputusan pada tahun ini didapati lebih baik daripada tahun lepas di mana GPN yang dicatatkan adalah 2.74. Beliau menjelaskan, nilai GPN yang lebih rendah menunjukkan keputusan yang lebih baik. Seramai 34,271 daripada 441,137 calon yang menduduki peperiksaan pada tahun ini mendapat gred A dalam semua mata pelajaran berbanding 30,863 pada 2010. Berlaku peningkatan sebanyak 0.75 peratus di sini. Bilangan calon yang mendapat gred E dalam semua mata pelajaran pula menurun daripada 386 orang pada 2010 kepada 346 tahun ini. Abdul Ghafar berkata, calon yang mendapat minimum gred D (tidak termasuk A) pula meningkat sebanyak 1.49 peratus kepada 272,966 berbanding 265,388 tahun lalu.

TAHNIAH KEPADA YANG BERJAYA

Bagi pencapaian calon luar bandar pula, bilangan calon yang mendapat semua A meningkat kepada 6,474 orang berbanding 5,825 tahun lepas. Calon bandar yang mendapat semua A meningkat kepada 26,189 berbanding 24,084 orang tahun lepas. Mengulas lanjut, beliau berkata, nilai GPN bagi calon bandar menurun sebanyak 0.04 mata berbanding calon luar bandar sebanyak 0.03 mata. Namun pada keseluruhannya pencapaian calon bandar adalah lebih baik daripada calon luar bandar. Sementara itu, beliau berkata, seramai 12 daripada 1,370 calon berkeperluan khas berjaya memperoleh A dalam semua mata pelajaran pada tahun ini berbanding lima orang pada tahun lepas. Calon yang melepasi tahap penguasaan minimum (semua D) pada tahun ini juga meningkat dari segi bilangan dan peratusan. Ini dapat digambarkan pada nilai GPN sebanyak 4.10 mata berbanding 4.19 pada 2010.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
23 DISEMBER 2011

ISU SOSIAL : GOLONGAN HOMOSEKSUAL SEMAKIN RAMAI?


Semakin ramai golongan muda lelaki Melayu dikesan menjadi pengamal homoseksual sekalipun mengetahui perkara itu ditegah agama dan mendedahkan mereka kepada jangkitan virus HIV. Presiden Majlis AIDS Malaysia, Tan Sri Mohd. Zaman Khan berkata, penularan seks luar tabii semakin serius dan tidak tertumpu kepada negeri-negeri di pantai Barat sahaja tetapi berlaku di negeri-negeri lain termasuk Kelantan. Beliau menambah, jika dahulu pengamalnya melakukannya secara sembunyi tetapi kini mereka semakin berani menonjolkan diri sehingga menubuhkan kelab-kelab gay. Perkara itu ujarnya, sangat membimbangkan lebih-lebih lagi trend jangkitan HIV dan AIDS dalam negara telah berubah daripada jangkitan akibat perkongsian jarum suntikan kepada transmisi aktiviti seks tidak selamat. Pada tahun 2010, jangkitan melalui hubungan seks secara heteroseksual, homoseksual dan biseksual mencatatkan jumlah 48.7 peratus melebihi jangkitan melalui penggunaan dadah suntikan iaitu 47.7 peratus. Nisbah jangkitan baru HIV di kalangan wanita juga telah naik tiga kali ganda apabila ia meningkat daripada 1.2 peratus pada 1990 menjadi 9.4 peratus pada 2000 dan 18.3 peratus pada 2010.

Namun kita dapati, selain bilangan semakin meningkat di kalangan wanita yang menjadi isteri dan pasangan kepada penghidap HIV, golongan lelaki yang mengadakan hubungan seks sesama lelaki juga semakin ramai terdedah kepada epidemik ini. Mohd. Zaman berkata, pada tahun lalu sahaja, sebanyak 3,652 kes baru jangkitan HIV telah dicatat menjadikan jumlah keseluruhan 91,362 penghidap, sejak virus ini mula dilaporkan di negara ini pada 1986. Jelasnya, daripada jumlah itu, seramai 16,532 orang telah ‘naik’ ke peringkat fasa AIDS di mana 14,298 orang daripada mereka meninggal dunia akibat kurang daya tahan kepada pelbagai jenis penyakit termasuk demam selesema. Beliau berkata, pergaulan dan pengaruh rakan serta sokongan padu dari kelab mereka menjadi punca utama budaya songsang ini merebak dan menyebabkan golongan ini semakin berani mengamalkan cara hidup sedemikian. Beliau tidak menolak penularan gaya hidup songsang itu dipercayai kesan daripada tindakan pihak-pihak tertentu yang giat memperjuangkan amalan berkenaan atas nama hak asasi dan kebebasan.

“Kita lihat kes pemuda Melayu yang berkahwin dengan pasangan gay di Dublin, Ireland baru-baru ini dengan lengkap bertanjak dan berbaju Melayu. Apa maknanya ini? Bagi saya ini sengaja hendak memalukan bangsa Melayu sahaja,”

Sila berikan komen anda. Terima kasih.


SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
23 DISEMBER 2011

ISU SOSIAL : JANGKA HAYAT LELAKI 71.9, WANITA PULA 77 TAHUN


Purata jangka hayat untuk lelaki dan perempuan di Malaysia masing-masing meningkat daripada 70 tahun dan 74.7 tahun pada 2000 kepada 71.9 tahun dan 77 tahun pada 2010. Ketua Perangkawan, Dr. Abdul Rahman Hasan berkata, wanita keturunan Cina mempunyai jangkaan hayat tertua iaitu 79.8 tahun, diikuti perempuan India (76.2 tahun), perempuan bumiputera (75.3 tahun), lelaki Cina (74.4 tahun), lelaki bumiputera (70.5 tahun) dan lelaki India (68 tahun). Indikator demografi menunjukkan bahawa 475,816 bayi dilahirkan pada 2010 berbanding 129,327 yang mati pada tahun sama, ini bermakna pertambahan semula jadi penduduk Malaysia adalah seramai 346,489 orang. Beliau berkata demikian pada majlis pengumuman Laporan Taburan Penduduk Mengikut Kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Mukim 2010 dan Produk Statistik 2011/2012 yang disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop. Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata, kadar kesuburan atau kelahiran anak oleh pasangan di Malaysia telah merosot daripada purata tiga orang anak pada 2000 kepada 2.2 orang anak pada tahun 2010.

Kadar kesuburan bumiputera adalah 2.6 anak, Cina (1.5 anak) dan India (1.7 anak). Antara faktor yang menyumbang kepada trend ini adalah peningkatan jumlah wanita yang bekerja, wanita tersebut juga boleh membuat keputusan untuk menentukan saiz keluarga mereka dengan menggunakan teknologi (mencegah kehamilan) yang ada. Tambahnya, sebanyak 95 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia tinggal dalam kawasan PBT berbanding 89 peratus pada tahun 2000. Daripadanya, 67.5 peratus penduduk terdiri daripada kumpulan umur bekerja iaitu 15 hingga 64 tahun berbanding 63.1 peratus pada tahun 2000. Bagi kumpulan umur melebihi 64 tahun, saiz penduduk ialah lima peratus dan umur kosong hingga 14 tahun sebanyak 27.5 peratus. Mengulas isu berkaitan, Nor Mohamed berkata, Malaysia belum lagi mencapai tahap negara tua kerana hanya kira-kira lima peratus daripada rakyat berumur 65 tahun ke atas berbanding standard antarabangsa untuk negara tua iaitu tujuh peratus. Populasi Malaysia masih muda dan peratusan yang tergolong dalam kumpulan produktif adalah tinggi.


Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
23 DISEMBER 2011

21 Disember 2011

ISU LUAR NEGARA : POLISI SATU ANAK DI NEGARA CHINA UNTUK RANCANG KELUARGA

Datuk Ruhaidini Abd Kadir
Beijing Language and Culture University, China.


Malam minggu lalu, saya berpeluang menghadiri satu majlis di rumah seorang teman warganegara China yang terletak di Xi San Qi, Beijing. Saya teruja apabila menerima undangan itu kerana mahu merasai pengalaman ke rumah orang tempatan, selain untuk berkenalan dengan mereka sambil 'mengasah' pertuturan saya dalam bahasa Cina. Lebih dua jam menjadi tetamu, begitu banyak hal menarik yang dapat saya timba. Rupa-rupanya, sebahagian besar orang Cina meskipun hidup di kota raya Beijing masih mengekalkan tradisi bersila di lantai sambil berbual dan menjamu selera. Kudapan seperti biji kuaci, labu, biji tembikai, kacang, asam dan gula-gula masih menjadi hidangan penting mereka selain buah-buahan seperti limau mandarin dan limau bali, mengingatkan saya kepada tradisi yang masih diamalkan oleh sebahagian besar masyarakat Cina di Malaysia. Banyak topik yang kami bualkan sepanjang pertemuan singkat itu dan yang paling menarik perhatian saya adalah mengenai polisi satu anak yang dilaksanakan di China lebih tiga dekad lalu.

Boleh dikatakan teman-teman yang menghadiri majlis pada malam itu merupakan anak tunggal dalam keluarga dan bertalu soalan diajukan mereka apabila saya menyebut bahawa saya adalah anak keenam daripada lapan orang adik-beradik. "Bagaimana rasanya lahir dalam keluarga yang besar, punya abang, kakak dan adik?" Tanya mereka sambil menjelaskan mengenai polisi satu anak yang diperkenalkan oleh Presiden China, Deng Xiaoping pada 1979 sebagai dasar perancang keluarga. Menurut mereka, Deng Xiao Ping yang melancarkan program pembaharuan ekonomi pada era itu menganggap membendung pertumbuhan penduduk sebagai penting untuk perkembangan ekonomi dan taraf hidup. Lebih-lebih lagi Republik Rakyat China pada masa itu mengalami pertumbuhan penduduk yang mendadak dari 540 juta pada 1950 kepada lebih 850 juta pada 1970. Polisi yang dilaksanakan itu bertujuan mengurangkan populasi penduduk Republik Rakyat China (yang kini berjumlah lebih 1.3 bilion orang). Bagaimanapun, polisi satu anak ini dikecualikan di Hong Kong, Macau dan Tibet selain ke atas pasangan yang hidup di kawasan pedalaman dan pasangan dari kalangan etnik minoriti.

Pasangan yang tinggal di kawasan pedalaman diberi kelonggaran untuk memiliki anak kedua jika anak pertama yang dilahirkan adalah perempuan. Ini kerana anak lelaki amat diperlukan dalam keluarga berbanding anak perempuan lebih-lebih lagi bagi keluarga petani, anak lelaki diperlukan untuk mengerjakan kawasan pertanian. Di bawah polisi itu juga, pasangan yang melahirkan anak yang cacat fizikal atau menghadapi penyakit mental dibenarkan untuk menimang cahayamata kedua tetapi dalam tempoh tiga atau empat tahun selepas kelahiran pertama. Bagi anak-anak yang lahir di luar negara dan tidak mendapat kerakyatan China tidak diambil kira. Justeru, warganegara China yang balik dari luar negara dibenarkan untuk memiliki anak kedua. Menariknya, dasar perancang keluarga ini disusuli kempen meluas di media massa dengan slogan bermaksud; ''Dengan dua orang anak, anda hanya akan mampu membeli televisyen berukuran 14 inci tetapi dengan satu anak, anda akan mampu memiliki televisyen 21 inci." Saya tertarik dengan cerita salah seorang teman yang memberitahu, saudaranya yang merupakan pasangan yang menjadi mangsa gempa bumi di Chengdu, Wilayah Sichuan, barat daya China pada tahun 2008 dikecualikan dari polisi itu.

Menurutnya, Jawatankuasa Kependudukan dan Perancangan Keluarga wilayah itu memberi kelonggaran kepada pasangan yang anak mereka terbunuh, cedera parah atau hilang upaya dalam gempa bumi itu untuk mendapatkan seorang anak lagi. Umumnya, rakyat China melihat polisi satu anak ini telah memberi manfaat dari segi ekonomi dan meningkatkan kesihatan serta kebajikan wanita dan kanak-kanak. Bahkan, sebahagian besarnya bersetuju dengan polisi ini memandangkan bandar-bandar di China semakin hari semakin sesak dengan pertambahan penduduk. Selain itu, masalah kesempitan hidup dan kos sara hidup yang tinggi khususnya untuk membesarkan anak-anak menjadikan sebahagian besar rakyat China beranggapan polisi ini masih relevan. Namun pada masa sama, ada segelintir pihak berpendapat, polisi 'satu anak menjamin kanak-kanak akan lebih dijaga dan dididik' sebenarnya memberi tekanan kepada sistem negara jika ia tidak diubah. Ini kerana sebahagian besar penduduk China yang semakin tua akan memberi tekanan kepada sistem negara yang masih belum sempurna.

Polisi tersebut yang memperuntukkan denda yang tinggi bagi sesiapa sahaja yang mempunyai anak lebih daripada seorang, turut menimbulkan kebimbangan tentang perbezaan nisbah antara golongan lelaki dan perempuan muda. Terdapat kebimbangan mengenai ketidakseimbangan demografi dan jantina dan kesan-kesan psikologi bagi generasi kanak-kanak khususnya kanak-kanak lelaki yang dianggap sebagai 'maharaja kecil' dalam sesebuah keluarga. Ada juga pandangan yang mengatakan bahawa polisi ini bertentangan dengan dasar Presiden Mao Zedong kerana presiden pertama Republik Rakyat China itu pernah menyebut; "Dalam semua benda di dunia, manusia adalah paling utama. Lebih besar penduduk, bermakna lebih banyak tenaga kerja."

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
21 DISEMBER 2011

ISU EKONOMI : TANGANI JENAYAH EKONOMI YANG MERUGIKAN NEGARA KITA

ROHAMI SHAFIE
Pensyarah Kanan
Perakaunan dan Kewangan Kolej Perniagaan (COB)
Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah


Boleh dikatakan setiap hari terpampang berita mengenai jenayah ekonomi melibatkan penipuan, rasuah dan penyelewengan. Kes-kes jenayah ini ada yang merentasi negara. Jenayah ekonomi tidak melibatkan kecederaan fizikal mahupun kematian. Pada era 1970-an, jumlah jenayah ini tidaklah sebegitu banyak berbanding sekarang. Ketika itu, penipuan tidak melibatkan ramai pihak. Jenayah ini semakin berkembang dengan rancaknya pada era 1990-an apabila adanya sindiket penipuan seperti penipuan kad kredit. Dengan penggunaan teknologi maklumat dalam era globalisasi yang serba canggih dan terkini, penjenayah juga semakin sukar dikesan. Mereka ini terlalu licik bagi mengelak diri daripada ditangkap. Dan, penipuan bukan setakat melibatkan ribuan mahupun ratusan ribu ringgit Malaysia, tetapi melepasi angka jutaan ringgit Malaysia. Media sosial seperti Facebook menjadi pangkalan atau hab utama mereka. Mereka ini mengetahui selok-belok penipuan Internet dengan melakukan penyamaran di samping hebat mengungkap kata-kata indah bagi memujuk mangsanya. Mangsanya sudah tentu golongan kaya-raya tetapi amat kesunyian dalam hidup.

Kebanyakan daripada mangsa ialah wanita. Akibat dibuai kata-kata indah, akhirnya mangsa kehilangan berjuta-juta ringgit Malaysia yang mana wang tersebut telah berjaya dikumpul oleh mangsa sejak bertahun-tahun lamanya. Malaysia seolah-olah menjadi lubuk atau "syurga" penjenayah ekonomi. Penjenayah ini hidup mewah dan ada di antaranya mampu membina banglo dan hotel 5 bintang yang berharga RM400 juta di negara asal mereka. Persoalan di sini adakah benar rakyat Malaysia memang mudah ditipu, baik lelaki mahupun wanita? Mudah "cair" dengan kata-kata indah si penjenayah siber? Kalau melihat kes-kes yang berlaku hampir setiap hari, sesiapa sahaja akan mengakuinya. Jangan terkejut jika ada yang mempercayai kenalan Internet dengan memberi pelbagai maklumat peribadi seperti nombor akaun bank kepada kenalan Internet yang baru dikenali tidak sampai seminggu. Apa yang menyebabkan rakyat Malaysia mudah terpedaya dengan kata-kata indah sedangkan mangsa-mangsa ini ada di antaranya golongan profesional yang berpendidikan tinggi?

Adakah kerana masyarakat Malaysia yang semakin longgar dari segi institusi kekeluargaan dek kerana mengejar kekayaan materialistik yang kononnya menjadi kayu pengukur utama kemajuan rakyat Malaysia menyebabkan ramai yang beralih dan mempercayai kenalan Internet dan akhirnya terjebak dengan perangkap penjenayah siber? Perkara ini perlu dikaji sedalam-dalamnya agar kes-kes penipuan jenayah ekonomi dapat dikurangkan. Perlu diingat, jenayah ini bukan sahaja merugikan mangsa tetapi memberi kesan sosial dan ekonomi pada negara. Sebagai contoh, seorang mangsa yang profesional dan pakar dalam bidang-bidang tertentu kehilangan jutaan ringgit Malaysia dek kerana ditipu oleh kenalan Internet. Apakah akan terjadi kepada pakar ini? Beliau sudah tentu tidak dapat bekerja dengan baik akibat tekanan kehilangan wang yang terlalu banyak. Hasil kerjanya pula memberi kesan negatif kepada organisasi beliau bekerja. Impaknya, negara akan rugi dari segi ilmu dan kemahiran beliau yang tidak dapat disumbang sebaik mungkin. Negara juga akan rugi akibat prestasi organisasi tersebut semakin merudum.
Bayangkan, jika ada 100 orang profesional yang hebat ilmu dan kepakarannya tetapi mudah ditipu oleh penjenayah siber. Implikasinya terhadap negara akan lebih besar lagi. Kalau diteliti sejak akhir-akhir ini, jenayah siber banyak dilakukan oleh warganegara Afrika. Maka, sudah sampai masanya, kerajaan mengetatkan syarat kemasukan mereka ke negara kita sama ada sebagai pelancong mahupun sebagai pelajar. Apa yang perlu dibuat adalah memeriksa latar belakang mereka sepenuhnya agar mereka ini merupakan pelancong dan pelajar yang benar-benar berkualiti. Bukan setakat tangkap muat dek kerana mahu meningkatkan statistik, kononnya ini adalah satu kejayaan besar. Jika kita tidak memeriksa secara teliti, tidak mustahil, semakin ramai penjenayah warga asing datang ke Malaysia. Apalah gunanya angka-angka tersebut berjaya ditingkatkan jika sekiranya rakyat Malaysia sendiri sengsara dan menjadi mangsa warga asing sedangkan kita berada di negara kita sendiri. Lainlah, jika kita ditipu di negara mereka. Dengan kata lain, kuasa berada di tangan kita untuk menangani jenayah sebegini. Peluang yang terbuka luas kepada penjenayah menyebabkan mereka bermaharajalela. Peluang-peluang ini wajib ditutup rapi dan ini merupakan langkah terbaik berbanding menghukum mereka setelah ditangkap.

Jangan ditunggu lagi sehingga penjenayah tidak langsung gentar dengan pihak berkuasa. Ketika itu, penjenayah-penjenayah ini semakin sombong dan tidak langsung menghormati undang-undang kita. Bukankah mencegah itu lebih baik daripada merawat? Justeru, ambillah tindakan segera dan tegas tanpa rasa khuatir ia bakal menjejaskan sektor pelancongan kita. Keselamatan warga negara Malaysia lebih penting berbanding "kejayaan" membawa masuk penjenayah ke Malaysia. Mereka ini tidak kisah apa yang berlaku terhadap Malaysia mahupun warga negaranya. Apa yang mereka kisah ialah menjayakan modus operandi bagi memperdayakan rakyat Malaysia. Akhirnya, mereka bersenang-lenang menikmati "kejayaan" tersebut di negara asal mereka sedangkan yang menderita tidak lain tidak bukan rakyat Malaysia itu sendiri.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
21 DISEMBER 2011

ISU IPT : HEBAT SANGATKAH SSM?


Setiap tahun ribuan pelajar berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) gagal memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mahupun swasta (IPTS). Mereka gagal kerana pelbagai alasan termasuklah ada antaranya tidak cukup syarat dan ada pula kerana kuota sudah penuh. Justeru ibu bapa mereka akan berusaha bermati-matian membuat rayuan dan berjumpa dengan pihak itu dan pihak ini, dengan matlamat anak mereka boleh menjadi seorang mahasiswa. Ada antara mereka yang berjaya dan ada pula yang gagal dalam rayuan masing-masing. Yang berjaya ibu bapa akan berusaha sedaya upaya mencari sumber kewangan termasuk memohon biasiswa atau pinjaman kerana yang penting anak mereka mampu menggenggam segulung ijazah. Tetapi bagaimanakah dengan gelagat sekumpulan anak muda yang bergabung dalam Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang secara biadab melakukan demonstrasi dan menurunkan bendera wajah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu lalu. Cuba kaji bagaimana mereka berjaya memasuki universiti, mereka berjaya menjejak kaki kerana dasar kerajaan Barisan Nasional (BN) dan ada antara mereka sudah pasti menerima biasiswa atau pinjaman daripada kerajaan.

Namun keghairahan kononnya untuk menjadi pejuang biar pun usia baru setahun jagung telah menyebabkan mereka terlupa tujuan sebenar mereka memasuki menara gading. Ibu bapa di kampung menaruh harapan anak mereka akan berjaya sebagai mahasiswa di universiti dan bukannya terpekik terlolong di jalanan. Apa yang mengecewakan, SMM bukan sahaja angkuh dengan menolak desakan supaya mereka memohon maaf malah seolah-olah memberi amaran kepada kerajaan supaya mendengar tuntutan mereka atau berhadapan dengan protes secara besar-besaran oleh mahasiswa yang menentang Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Persoalannya hebat sangatkah SMM ini? Siapa mereka? Apakah mereka benar-benar mewakili seluruh mahasiswa di negara ini atau mereka sekadar hanya 'tukang karut' yang didalangi oleh pihak tertentu bagi menentang kerajaan? Tidak apalah buat sementara ini kita menerima penafian SMM bahawa mereka tidak menjadi alat sesiapa, kalau begitu bijak sangatkah mereka untuk mengajar kerajaan bagaimana hendak mentadbir negara? Ia terbukti apabila, mereka mendakwa tindakan menurun bendera tersebut sebagai satu gambaran bahawa mereka sudah hilang kepercayaan kepimpinan negara yang dilihat gagal menangani isu-isu utama negara.

Hebat betul, kelompok yang mendakwa mewakili mahasiswa ini, belum habis belajar sudah pandai untuk menuding kesilapan orang lain, seolah-olah mereka lebih bijak mentadbir negara, biar pun kemungkinan ada antara mereka memasuki universiti atas kelayakan 'cukup makan sahaja'. Apa pun kita percaya, SMM tidak mewakili majoriti mahasiswa di negara ini, mereka hanya kelompok kecil yang terlalu ghairah untuk berpolitik biar pun ilmu mereka ibarat buih di lautan, banyak tetapi tidak mampu mendatangkan manfaat dan kemudaratan kepada sesiapa. Apa pun 'tahniahlah' kepada SMM, sekurang-kurang kita mampu menilai bahawa ada di kalangan mahasiswa yang tidak layak digelar mahasiswa. Kebebasan bersuara yang diberikan telah dicemari dengan perbuatan biadab yang jelas membuktikan mereka tidak tahu menghormati pemimpin negara. Kalau benar mereka mahu melakukan protes atau memberikan pandangan berhubung AUKU lakukan secara beradab, jangan lupa ini Malaysia yang rakyatnya mempunyai tata susila dan adab sopan yang tinggi. Sebenarnya, dari satu segi, protes SMM itu tidak perlu dilayan kerana pindaan AUKU baru peringkat perbincangan, belum lagi ada kata pemutus berhubung pindaan yang hendak dibuat.

Oleh itu, adalah lebih baik jika SMM bertindak matang sebagai kelompok yang kononnya menganggap diri mereka mahasiswa atau pelajar universiti dengan menanti dulu apa pindaan tersebut. Jika kerajaan di bawah kepimpinan Najib tidak mempedulikan suara mahasiswa, sudah pasti beliau tidak akan mengarahkan AUKU dikaji semula dan dipinda. Kerajaan tidak berhasrat membisu suara dan menutup mata para mahasiswa sebab itulah pindaan ke atas AUKU dilakukan dan masyarakat juga amat memahami peranan mahasiswa dalam bersama-sama membangunkan negara. Sebab itulah, SMM perlu matang, janganlah mendesak kerajaan mendengar dan memenuhi tuntutan mereka sahaja, apatah lagi kalau suara itu, bukan suara majoriti. Apa yang perlu diingat SMM hanyalah kelompok kecil di kalangan mahasiswa, mereka tidak pernah dan tidak akan dianggap mewakili seluruh mahasiswa di negara ini. Justeru tidak perlulah SMM terlalu angkuh, seolah-olah desakan mereka harus dipatuhi kalau tidak, kerajaan akan berhadapan dengan bantahan besar-besaran mahasiswa. Hakikatnya, negara ini mengamalkan demokrasi dan kerajaan sentiasa bersikap terbuka untuk berbincang dengan mana-mana pihak dan dalam apa juga isu.

Malahan kalau dikaji, mahasiswa di negara ini paling beruntung kerana mendapat pelbagai faedah dan manfaat daripada kerajaan, termasuklah terbaru sumbangan baucer RM200 untuk mahasiswa membeli buku. Perbezaan pendapat dan pandangan adalah perkara biasa dalam kehidupan, apa yang penting ia pendekatan bagi menyatukan perbezaan tersebut. Sudah pastilah ia perlu dilakukan secara berhemah dan bersopan, bukannya cara dianggap biadab dan tidak bertamadun. Adalah sesuatu yang malang apabila SMM menganggap tindakan menurunkan bendera wajah Perdana Menteri adalah perkara kecil berbanding tuntutan mereka. Kalau itulah pandangan mereka jelaslah, SMM adalah terdiri daripada sekelompok mahasiswa yang tidak matang dalam bertindak. Mereka melakukan sesuatu tindakan berdasarkan emosi dan bukannya akal. Apa yang dibimbangkan, jika beginilah tahap pemikiran yang ada dalam SMM, mereka boleh terpengaruh dengan mainan politik sesetengah pihak.

Kepada SMM, berhentilah bersikap angkuh atau merasa hebat, urusan kalian di universiti masih belum selesai, berusahalah menjadi mahasiswa yang cemerlang dalam pelajaran dan bukannya terpekik terlolong di jalanan. Tidak salah untuk memberi pandangan dan cadangan tetapi lakukanlah secara berhemah. Malaysia berhasrat melahirkan generasi mahasiswa yang berkualiti dan menggunakan pertimbangan akal dalam melakukan tindakan, bukannya kelompok mahasiswa yang cetek fikiran dan mengikut perasaan. Seandainya kelompok SMM ini merasakan diri mereka hebat dan mampu mengubah segala-galanya melalui demonstrasi serta perbuatan biadab yang dianggap kecil maka mereka juga perlu bersedia menanggung akibatnya termasuk disingkirkan dari universiti. Mungkin itu yang mereka mahukan supaya akan dianggap wira tetapi percayalah rakyat sudah mampu menilai siapa yang layak menjadi wira dan siapa pula hanya sekadar 'boneka'.


Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
21 DISEMBER 2011

ISU BAHASA : SIKAP JADI PENENTU KEDUDUKAN BAHASA KEBANGSAAN DI NEGARA KITA

MOHD. AYOP ABD RAZID
Penolong Pengarah di Bahagian Penerbitan Dasar Negara,
Jabatan Penerangan Malaysia.


Di negara kita, bahasa Melayu atau juga dikenali sebagai bahasa Malaysia dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan sejak 1957. Ia termaktub di dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Kedudukannya diperkukuhkan lagi melalui Akta Bahasa Kebangsaan 1967 yang menetapkan bahasa itu sebagai bahasa rasmi tunggal. Pindaan dalam Akta Perlembagaan 1971 pula menetapkan status Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan tidak boleh dipersoalkan. Mereka yang berbuat demikian boleh didakwa di bawah Akta Hasutan 1984. Bahasa rasmi negara ini juga tidak boleh dipinda tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja. Kedudukan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar ilmu pula diwartakan dalam Akta Pendidikan 1996 (Akta 550). Akta Pendidikan menetapkan kedudukan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama sistem pendidikan negara. Seksyen 17(1) akta itu menyebut, "Bahasa kebangsaan hendaklah menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan kecuali sekolah jenis kebangsaan yang ditubuhkan di bawah Seksyen 28 atau institusi pendidikan lain yang dikecualikan oleh Menteri daripada subseksyen ini".

Pengecualian penggunaan bahasa Malaysia di institusi pendidikan yang bahasa pengantar utamanya bukan bahasa kebangsaan pula disebut di bawah Seksyen 17(2). Namun, bahasa Malaysia hendaklah diajar sebagai mata pelajaran wajib. Bahasa kebangsaan juga telah menjadi bahasa rasmi dalam urusan pentadbiran awam serta majlis-majlis rasmi kerajaan. Ia turut digunakan secara rasmi di Dewan Rakyat, Dewan Negara dan Dewan Undangan Negeri. Cuma di peringkat mahkamah ia belum dimartabatkan sepenuhnya. Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan 1967 (Akta 32) menetapkan BM sebagai bahasa yang terpakai dalam segala prosiding dalam Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rendah adalah dengan bersyarat, iaitu Mahkamah boleh memerintah supaya prosiding itu dijalankan sebahagiannya dalam BM dan sebahagiannya dalam bahasa Inggeris (BI). Negara juga mempunyai badan perancangan bahasa, iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Sejak ditubuhkan pada 1956, DBP memainkan peranan penting terhadap kemajuan dan pembangunan bahasa kebangsaan. Demikian juga peranan penulis dan sasterawan Melayu. Sejak sebelum merdeka lagi pelbagai persatuan penulis dan sastera di negara ini gigih memperjuangkan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan.

Malah, kewujudan akhbar-akhbar Melayu sebelum merdeka turut menyemarakkan perjuangan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa penyaluran maklumat yang berkesan. Akhbar Utusan Melayu yang kini dikenali sebagai Utusan Malaysia adalah contoh akhbar Melayu yang terus memperjuangkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sehingga kini. Namun, di mana silapnya setelah lebih 50 tahun merdeka, penggunaan bahasa kebangsaan masih menjadi isu dan polemik yang tidak berkesudahan. Paling menyedihkan apabila ada kajian menunjukkan terdapat generasi muda kaum Cina yang tidak tahu berbahasa Melayu. Tidakkah ini sesuatu yang ganjil dalam masyarakat kita yang mahu memupuk perpaduan kaum melalui penggunaan bahasa kebangsaan? Sikap mengagungkan bahasa Inggeris turut merendahkan martabat penggunaan bahasa kebangsaan. Wujudnya 'trend' penggunaan bahasa yang seolah-olah berasaskan 'stratifikasi sosial' di mana bahasa kebangsaan seolah-olah digunakan oleh kelompok berpendidikan rendah dan rakyat biasa, manakala kelompok atasan, elit, profesional, komuniti korporat dan mereka yang berpendidikan tinggi dari luar negara lebih mesra menggunakan bahasa Inggeris.

Demikian juga kebanyakan ahli politik kita lebih gemar menggunakan bahasa Inggeris atau 'bahasa campuran' termasuk ketika diwawancara media tempatan. Sememangnya, kita wajar menguasai bahasa Inggeris kerana ia diperlukan untuk menghubungi dunia luar. Malah, wajar sekali rakyat digalakkan menguasai bahasa lain seperti bahasa Jepun, Korea, Mandarin dan Arab. Namun, elemen patriotisme terhadap bahasa kebangsaan sebagai 'Bahasa Jiwa Bangsa' perlu ada di setiap sanubari rakyat. Sepatutnya selepas lama kita merdeka, penggunaan bahasa kebangsaan menjadi semakin mantap dan bukan lagi menjadi isu yang memeningkan kita. Hakikatnya, ia bertitik tolak daripada sikap dan persepsi kita terhadap bahasa kebangsaan. Dalam bidang sosiolinguistik, sikap kita terhadap bahasa adalah pendorong kepada keupayaan kita menguasai dan menggunakan sesuatu bahasa itu. Justeru, usaha kerajaan untuk membudaya kembali penggunaan bahasa kebangsaan perlu disokong sepenuhnya oleh seluruh lapisan masyarakat. Ada banyak usaha dilaksanakan kerajaan untuk memartabatkan kembali kedudukan bahasa kebangsaan. Pada 2009, kerajaan memperkenalkan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) dengan matlamat memantapkan, memperkukuh dan mempamerkan jati diri dan citra bangsa Malaysia.

Menurut portal rasmi DBP, BKK adalah lanjutan kepada kempen bahasa terdahulu. Ia bermula dengan panggilan Minggu Bahasa Kebangsaan dan Bulan Bahasa Kebangsaan sepanjang dekad 60-an. Ia kemudiannya dikenali pelbagai nama seperti Gerakan Cintailah Bahasa Kita (GCBK, 1987-1996), Gerakan Bahasa Kebangsaan Sektor Swasta (GBKSS,1996-2005) dan Minggu Sastera (1987-1998). Pada 1999 ia dinamakan Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN) dan kini dikenali sebagai BBK. Satu lagi usaha konkrit kerajaan ialah memansuhkan sepenuhnya Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PSMI) pada 2016 bagi sekolah rendah dan 2021 bagi sekolah menengah. Ia akan diganti dengan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI). Dasar baru ini bukan sahaja akan memartabatkan kembali kedudukan bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu tetapi dapat memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar kita. Usaha Kementerian Pengajian Tinggi untuk memartabatkan bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu di institusi pengajian tinggi juga akan mampu mendaulatkan semula martabat bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu.

Ia akan dilaksanakan melalui empat strategi iaitu mengukuh bahasa Malaysia dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P), mengukuh BM dalam penyelidikan dan penerbitan, meningkatkan pengiktirafan akademia BM dalam pelbagai disiplin ilmu dan meningkatkan pengantarabangsaan bahasa Malaysia. Selain itu, agensi kerajaan turut diarahkan menggunakan sepenuhnya bahasa kebangsaan dalam apa jua urusan dan acara-acara rasmi. Usaha Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan menubuhkan Unit Pembudayaan Bahasa di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) adalah usaha murni untuk membantu kerajaan membudayakan penggunaan bahasa Malaysia melalui aktiviti kesenian dan kebudayaan. Unit itu juga akan bekerjasama dengan DBP serta Kementerian Pelajaran bagi merangka program-program berkaitan aktiviti bahasa supaya ia mencapai matlamat membudayakan penggunaan bahasa kebangsaan secara betul. Kesimpulan, penggunaan bahasa kebangsaan secara meluas adalah bergantung pada sikap kita terhadap bahasa terbabit. Kerajaan akan terus melaksanakan pelbagai usaha memperkukuh bahasa kebangsaan yang bukan sahaja perlu disokong oleh semua lapisan rakyat tetapi juga perlu disokong oleh pihak swasta.


Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
21 DISEMBER 2011

ISU SBPA : MELAYU DALAM SEKTOR AWAM TERPINGGIR


Orang-orang Melayu yang berada dalam sektor awam jelas dipinggirkan oleh Kerajaan BN, malah diperlakukan seperti buruh paksa, sekiranya sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dilaksanakan tahun depan.  Realiti itu terserlah apabila sistem tersebut bukan memberikan keistimewaan kepada kakitangan yang berada di Kumpulan Sokongan yang kebanyakannya terdiri daripada orang Melayu, malah lebih mementingkan mereka yang berada di dalam Kumpulan Premier dan Kumpulan Pengurusan Tertinggi. Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata, Kumpulan Premier terbahagi kepada empat iaitu Premier 1 yang meletakkan Ketua Setiausaha Negara (KSN) di dalamnya , Premier 2, Premier 3 dan Premier 4 yang kesemuanya akan menerima kenaikan gaji amat tinggi menerusi SBPA. Menurutnya, mereka yang berada di dalam Kumpulan Premier hanya berjumlah 36 dan sekiranya SBPA dilaksanakan nanti bagi menggantikan Sistem Saraan Malayasia (SSM) yang digunakan sekarang, KSN akan menerima kenaikan gaji amat tinggi sehingga RM60,000 sebulan.    

Katanya, selain itu, KSN akan turut menerima bayaran-bayaran lain termasuk imbuhan tetap sebanyak RM9,300 sebulan, elaun perumahan RM3,750 sebulan, elaun pembantu rumah sebanyak RM2,000 sebulan, elaun kemudahan untuk perkhidmatan, penanggungan kerja, bayaran untuk isteri mengiringi suami ke majlis-majlis tertentu, elaun pakaian, air, letrik dan gas.  Mereka yang berada di dalam Premier 2 akan menerima gaji RM42,000 sebulan, Premier 3 sebanyak RM40,000 sebulan dan Premier 4 sebanyak RM35,000. Imbuhan tetap bagi mereka yang berada di dalam Premier 2 sebanyak RM8,200, Premier 3 (RM8,100) dan Premier 4 (RM8,000), manakala elaun perumahan masing-masing sebanyak RM2,750 sebulan dan elaun pembantu rumah sebanyak RM1,000 sebulan.  Mereka juga akan turut menerima bayaran-bayaran elaun lain yang agak tinggi termasuk elaun kemudahan untuk perkhidmatan, penanggungan kerja, bayaran untuk isteri mengiringi suami ke majlis-majlis tertentu, elaun pakaian, air, letrik dan gas.

Beliau difahamkan mereka yang berada dalam Kumpulan Pengurusan Tertinggi pula akan menerima kenaikan gaji agak tinggi sehingga sebanyak RM5,000 sebulan. Ini menjadikan gaji minima mereka yang berada dalam Turus (VU4/VK4) sebanyak RM15,850 dan maksima RM25,230, manakala gaji minima bagi Gred Utama Khas A atau Jusa A (VU5/VK5) sebanyak RM14,760 dan maksima RM22,880 sebulan. Gaji minima bagi mereka yang berada dalam Gred Utama Khas B (Jusa B) sebanyak RM13,775 dan maksima RM20,750 sebulan, manakala gaji minima bagi Gred Utama Khas C atau Jusa C sebanyak RM12,000 dan maksima RM17,770 sebulan.  Jurang yang berlaku antara Kumpulan Premier serta Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan Kumpulan Sokongan, tambahnya, amat ketara apabila Kumpulan Sokongan hanya akan menerima kenaikan gaji antara RM80.00 ke RM100.00 sebulan. Penganiayaan terhadap Kumpulan Sokongan lebih ketara apabila mereka dimestikan menurunkan tandatangan bagi persetujuan untuk pelaksanaan SBPA sehingga 31 Disember ini, tanpa dijelaskan kedudukan sebenar tangga gaji mereka serta lain-lain bayaran.

Katanya, keadaan itu amat berbeza berbanding Kumpulan Premier dan Kumpulan Pengurusan Tertinggi yang telah dimaklumkan lebih awal tentang tangga gaji dan bayaran-bayaran lain yang akan diterima oleh mereka sebelum sistem tersebut dilaksanakan, malah sejak beberapa minggu lalu. Ini menjadikan mereka yang berada di dalam Kumpulan Sokongan menjadi serba salah, tertekan dan terhina dengan apa yang dilakukan oleh Kerajaan BN itu terhadap mereka. Mereka itu pula adalah mewakili sejumlah besar daripada 1.4 juta orang kakitangan sektor awam yang kebanyakannya orang Melayu, tegasnya. Lebih jauh dari itu, beliau menyifatkan perlaksanaan skim tersebut bertujuan untuk menjaga kepentingan KSN yang akan tamat tempoh perkhidmatannya pada bulan Mei tahun depan.  Sekiranya skim itu dilaksanakan awal tahun depan, bermakna KSN yang akan bersara nanti akan berpeluang menikmati pencen yang tinggi kerana berkesempatan berkhidmat ketika skim itu dilaksanakan dengan menikmati gaji RM60,000 sebulan.

Beliau amat kesal kerana Kerajaan BN sanggup bertindak sedemikian hanya bagi kepentingan individu tertentu dalam perkhidmatan awam termasuk KSN, sehingga sanggup menekan dan menganiaya pekerja-pekerja lain yang jauh lebih besar jumlahnya.      Sehubungan itu, beliau menyokong penuh usaha Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) untuk mempertahankan pendiriannya bagi mendesak Kerajaan BN menjelaskan mengenai kedududukan tangga gaji Kumpulan Sokongan terlebih dahulu, sebelum meminta kakitangan yang berada di dalam kumpulan itu menurunkan tandatangan masing-masing. Beliau juga berharap agar Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Cuepacs menubuhkan jawatankuasa khas bersama bagi membincangkan perkara itu demi kepentingan kakitangan sektor awam, khususnya mereka yang berada di dalam Kumpulan Sokongan, yang jelas teraniaya sekiranya skim SBPA dilaksanakan.  "Saya berharap agar Kerajaan BN akan menangguhkan terlebih dahulu perlaksanaan SBPA sehingga segala kezaliman yang berlaku bagi Kumpulan Sokongan itu diatasi, atau sehingga Cuepasc memberikan persetujuannya mengenai perkara itu," tegas beliau.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
HARAKAH DIALY
21 DISEMBER 2011

20 Disember 2011

ISU KENEGARAAN : TUANKU ABDUL HALIM MU'ADZAM SHAH - YANG di-PERTUAN AGONG KE-14


Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, 83, dilantik oleh Raja-Raja Melayu sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14, pada mesyuarat khas Majlis Raja-Raja, 14 Oktober lalu. Pemilihan untuk tempoh lima tahun mulai 13 Disember 2011, menjadikan baginda, Raja yang pertama menjadi Yang di-Pertuan Agong untuk kali kedua. Baginda menggantikan Tuanku Mizan Zainal Abidin, Sultan dari Terengganu yang tamat tempoh lima tahun sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13. Diputerakan pada 28 November 1927 di Istana Anak Bukit, Alor Setar, Kedah, Tuanku Abdul Halim adalah anakanda ketiga Almarhum Sultan Badlishah ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah dan Almarhumah Yang Mulia Tunku Sofia Tunku Mahmud. Baginda dilantik menjadi Raja Muda Kedah pada 6 Ogos 1949 pada usia 21 tahun ketika masih berada di United Kingdom untuk melanjutkan pelajaran. Kemudian ditabalkan sebagai Sultan Kedah ke-27 pada 20 Februari 1959. Pada 21 September 1965 Tuanku Abdul Halim dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong ke-4 bagi menggantikan Sultan Terengganu, Sultan Ismail Nasiruddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Zainal Abidin.  

Pada mesyuarat Majlis Raja-Raja, Tuanku Abdul Halim dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-5 untuk tempoh dari 23 Julai 1970 hingga 21 September 1975.  Pada 13 Disember 2006, baginda sekali lagi dilantik Timbalan Yang di-Pertuan Agong. Tuanku Abdul Halim juga menjalankan tugas sebagai Pemangku Yang di-Pertuan Agong selama sebulan iaitu pada 26 Januari hingga 26 Februari 2010 berikutan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin menjalani rawatan fisioterapi di Jerman. Tuanku Abdul Halim memulakan zaman persekolahan rendah di Sekolah Melayu Alor Merah, Sekolah Melayu Titi Gajah dan Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar. Lulusan Wadham College Oxford, United Kingdom dengan ijazah Sains Sosial dan Pentadbiran Awam, baginda pernah menyertai Perkhidmatan Awam Negeri Kedah dalam tahun 1950an. Baginda pernah dilantik menjadi Kolonel Yang Dipertua Kor Peninjau Malaysia pada 23 Mac 1966 sehinggalah tarikh baginda dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-5.

Dengan pelantikan sebagai Yang di-Pertuan Agong, baginda juga menjadi Panglima Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia.  Antara hobi Tuanku Abdul Halim ialah fotografi dan mengumpul burung eksotik di istana baginda, membaca, bersukan dan muzik. Sultanah Kedah Tuanku Haminah Hamidun yang diputerikan pada 15 Julai 1953, di Bagan Serai, Perak Darul Ridzuan adalah anak kelima daripada tujuh beradik. Tuanku Haminah menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Matang Jelutong, Bagan Serai, Perak sebelum ke Sekolah Menengah Bagan Serai dan aktif dalam bidang sukan termasuk skuasy, golf, tenis dan badminton serta meminati muzik. Tuanku Haminah bertemu jodoh dengan Tuanku Abdul Halim pada 25 Disember 1975 dan dianugerah gelaran Sultanah Kedah pada 9 Jan, 2004, dalam satu istiadat di Istana Anak Bukit, Alor Setar selepas kemangkatan Sultanah Bahiyah Tuanku Abdul Rahman.




SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
20 DISEMBER 2011

ISU IPT : MAHASISWA DAN ELEMEN KEMATANGAN

AHMAD MASRIZAL MUHAMMAD
Bekas Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar USM
Pensyarah Kanan Institut Aminuddin Baki


Tindakan sekumpulan pelajar yang menggelarkan diri mereka sebagai Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) menurunkan bendera gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah suatu tindakan yang begitu luar biasa sekali. Dipercayai tindakan ini adalah usaha kedua kumpulan ini selepas kali pertama dilakukan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) baru-baru ini. Jika sebelum ini di UIA, kumpulan pelajar ini menggunakan alasan memperjuangkan kebebasan akademik sebagai temanya, maka kali ini alasan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) pula digunakan. Soal alasan yang digunakan bukanlah soal pokok yang perlu dibincangkan atau diselidiki kerana ia boleh dicipta oleh sesiapa sahaja atas kepentingan tersendiri tetapi yang lebih utama perlu diperhalusi adalah soal motifnya. Apakah tindakan ini bermotifkan kepada solidariti? atau bermotifkan transformasi akademik untuk rakyat?. Jika motifnya sebagaimana yang dinyatakan itu, lantas apa kaitannya dengan menurunkan bendera Perdana Menteri itu? Perdana Menteri adalah ikon politik Malaysia yang tertinggi dalam hierarki pemerintahan negara tidak ada kena mengena dengan agenda yang mereka perjuangkan, maka tidak susah untuk kita nilaikan bahawa kepada motif politik semata-mata. Apakah ini satu bentuk politik baru yang diagungkan dan jika benar maka ia adalah suatu yang agak menggerunkan.

Dalam konteks ini, bukanlah menjadi kesalahan pelajar mempunyai dokma dan idea politik tersendiri tetapi jika ke tahap sanggup menurunkan bendera orang tidak disukai ia memberi pentafsiran dan persepsi amat berbeza sekali kepada masyarakat. Justeru, kita tertanya-tanya, apakah ini satu eksperimen bagi gerakan politik pelajar terhadap AUKU yang dikatakan akan dipinda?. Jika benar, maka apakah wajar Seksyen 15 AUKU tetap dipinda atau kerajaan boleh membuat penilaian semula? Sama ada kita sedar atau tidak, kejadian ini cukup ironis sekali iaitu tatkala kerajaan baharu sehari mengotakan janjinya untuk memberikan peruntukan baucer buku percuma kepada semua pelajar IPTA. Soalnya, apakah pengotaan janji ini bukan satu kebaikan kepada pelajar IPTA?. Jika benar siswa dan siswi tetap mahu membuat perarakan, bukankah lebih elok dan logik jika perarakan dibuat ke pejabat Perdana Menteri untuk menunjukkan tanda terima kasih kepada beliau dan kerajaan di atas bantuan yang yang cukup bermakna pelajar iaitu duit buku? Tetapi kenapa tindakan itu tidak diinisiatifkan sebagai memanifestasikan kepada kematangan pelajar IPTA yang tahu berterima kasih kepada pihak yang memberi?. Jawapannya, tindakan yang baik sebegitu tidak memberikan laba politik kepada pihak yang membayangi pelajar-pelajar ini.

Akhirnya, di sebalik kesibukan pelajar IPTA lain berkira-kira tentang buku apa yang mahu dibeli, kedai buku mana yang mahu dikunjungi, amat menyedihkan terdapat sekumpulan pelajar Melayu begitu gah berdemo serta bertindak dengan gaya ala reformis Asia Barat. Perkara ini harus dilihat dengan serius oleh semua pihak terutamanya Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan pihak pengurusan semua universiti awam. Isu ini tidak harus dikesamping dengan menganggap bahawa ia isu terpencil. Jika diteliti dengan mendalam kita boleh membuat konklusi ini adalah bibit-bibit keadaan yang bakal dihadapi selepas AUKU 1974 dipinda. Karektor politik pelajar IPTA dan lanskap politik kampus akan berubah selaras dengan perkembangan politik yang berlaku di luar kampus. Ini adalah senario perlu difahami oleh Kementerian Pelajaran Tinggi dan pihak universiti. Walaupun kelak kita dapati perubahan pada AUKU hanya meliputi Seksyen 15 dan tertera peraturan mengatakan itu boleh dan ini tidak boleh tetapi realitinya ia tidak akan menjadi begitu oleh pelajar IPTAi. Jika tidak diurus dengan baik oleh pihak Universiti dan KPT akan menghasilkan impak boomerang yang negatif kepada universiti khususnya dan negara amnya.

Kesan segera sudah kita lihat pada minggu ini. Kemungkinan-kemungkinan seperti pintu bilik asrama di IPTA akan dihiasi bendera parti politik juga akan berlaku dan elemen human right akan dijadikan justifikasi membolehkan tindakan sebegitu dibenarkan boleh terjadi. Jadi dalam hal ini, pihak KPT dan universiti harus lebih berani dan tegas dalam melaksanakan peraturan yang ada. KPT dan Universiti juga harus lebih bersedia berhadapan dengan pelajar yang mungkin membawa kes mereka kepada pihak ketiga seperti mahkamah, Suhakam dan seumpamanya. Oleh itu, orientasi pengurusan universiti juga tidak harus dihalakan kepada pembangunan akademik pelajar semata-mata malah harus menjangkau kepada dimensi lain seperti solidariti politik pelajar dan sebagainya. Dalam hal ini, Naib Canselor harus mempunyai panglima (Timbalan Naib Canselor HEP) yang cekap dan fahaman tentang perlunya kebebasan mutlak yang dicanang tangkas. Ini supaya setiap perkara negatif yang berlaku dalam kalangan pemimpin politik kampus dapat dihidu lebih awal demi memastikan iklim universiti sentiasa kondusif untuk pelajar. Namun, ini tidaklah bermakna, idealisme pelajar IPTA disekat. Idealisme pelajar tetap wajar dibiarkan menyubur tetapi ia perlu disarankan dan dipandu untuk diterjemahkan secara matang melalui perbincangan meja bulat dan seumpamanya.

Bagi pelajar IPTA, mereka harus memahami bahawa mereka hanya sekelompok kecil daripada pelbagai kelompok rakyat yang terdapat di negara kita. Negara kita mempunyai kelompok rakyat seperti penjawat awam, petani, nelayan, orang kampung, teknokrat, dan pelbagai lagi. Mereka tidak boleh merasakan bahawa mereka ialah kumpulan yang sentiasa wajib ditatang bagai minyak yang penuh. Disinilah pentingnya elemen kematangan. Rumusannya, pelajar IPTA harus memiliki falsafah kepimpinan politik kampus tersendiri yang tidak terkongkong dengan falsafah kepimpinan politik luaran dengan meletakkan elemen kedewasaan serta kematangan sebagai prasyarat penting dalam setiap tindakan yang diambil. Identiti pelajar IPTA negara tidak harus lagi dicemari dan diconteng dengan elemen-elemen kebobrokan dan picisan seperti demonstrasi tanpa berperaturan dan susila. Pelajar IPTA negara ini harus membentuk karektor tersendiri yang menjadikan kualiti, nilai diri serta nilai ilmu sebagai wadah atau pun nilai pasaran untuk bersaing di pentas antarabangsa mahu pun serantau yang selaras dengan imej negara sebagai negara membangun.


Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
20 DISEMBER 2011


ISU SBPA : JANGAN TANDATANGAN BORANG OPSYEN KOSONG


Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Loke Yim Pheng hari ini menasihatkan penjawat awam supaya tidak menandatangani borang opsyen kosong kerana ia adalah dokumen amat penting yang akan menentukan kenaikan pangkat dan prospek kerjaya mereka di masa depan.  Beliau berkata, penjawat awam perlu memastikan borang berkenaan diisi dengan jadual gaji yang betul sebelum mereka menandatanganinya. Loke yang juga Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), kesatuan perguruan terbesar negara dan ahli gabungan CUEPACS, memberitahu BERNAMA pihaknya menerima aduan bahawa ada guru "dipaksa" menandatangani borang opsyen kosong. CUEPACS amat bimbang dengan perkara ini dan menggesa ketua jabatan untuk tidak memaksa staf mereka menandatangani borang kosong hanya kerana tarikh akhir untuk menandatangani borang itu semakin hampir.  Kira-kira 1.4 juta penjawat awam diberikan opsyen untuk memilih skim gaji baru dan diberi tempoh sehingga 30 Disember 2011 untuk mengembalikan borang mereka. Jika mereka gagal berbuat demikian sehingga tarikh akhir itu, mereka akan kekal dalam skim perkhidmatan sedia ada.  Loke berkata, CUEPACS turut prihatin dan bimbang dengan nasib kira-kira 200,000 penjawat awam di Gred 17 N, W dan F kerana mereka diberikan tawaran kurang memuaskan.  Beliau menggesa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memberikan penjelasan mengenai skim baru itu kerana kebanyakan penjawat awam masih keliru dan tidak tahu berapa banyak manfaatnya kepada mereka.


Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
BERNAMA
20 DISEMBER 2011