JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



21 Disember 2011

ISU IPT : HEBAT SANGATKAH SSM?


Setiap tahun ribuan pelajar berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) gagal memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mahupun swasta (IPTS). Mereka gagal kerana pelbagai alasan termasuklah ada antaranya tidak cukup syarat dan ada pula kerana kuota sudah penuh. Justeru ibu bapa mereka akan berusaha bermati-matian membuat rayuan dan berjumpa dengan pihak itu dan pihak ini, dengan matlamat anak mereka boleh menjadi seorang mahasiswa. Ada antara mereka yang berjaya dan ada pula yang gagal dalam rayuan masing-masing. Yang berjaya ibu bapa akan berusaha sedaya upaya mencari sumber kewangan termasuk memohon biasiswa atau pinjaman kerana yang penting anak mereka mampu menggenggam segulung ijazah. Tetapi bagaimanakah dengan gelagat sekumpulan anak muda yang bergabung dalam Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang secara biadab melakukan demonstrasi dan menurunkan bendera wajah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu lalu. Cuba kaji bagaimana mereka berjaya memasuki universiti, mereka berjaya menjejak kaki kerana dasar kerajaan Barisan Nasional (BN) dan ada antara mereka sudah pasti menerima biasiswa atau pinjaman daripada kerajaan.

Namun keghairahan kononnya untuk menjadi pejuang biar pun usia baru setahun jagung telah menyebabkan mereka terlupa tujuan sebenar mereka memasuki menara gading. Ibu bapa di kampung menaruh harapan anak mereka akan berjaya sebagai mahasiswa di universiti dan bukannya terpekik terlolong di jalanan. Apa yang mengecewakan, SMM bukan sahaja angkuh dengan menolak desakan supaya mereka memohon maaf malah seolah-olah memberi amaran kepada kerajaan supaya mendengar tuntutan mereka atau berhadapan dengan protes secara besar-besaran oleh mahasiswa yang menentang Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Persoalannya hebat sangatkah SMM ini? Siapa mereka? Apakah mereka benar-benar mewakili seluruh mahasiswa di negara ini atau mereka sekadar hanya 'tukang karut' yang didalangi oleh pihak tertentu bagi menentang kerajaan? Tidak apalah buat sementara ini kita menerima penafian SMM bahawa mereka tidak menjadi alat sesiapa, kalau begitu bijak sangatkah mereka untuk mengajar kerajaan bagaimana hendak mentadbir negara? Ia terbukti apabila, mereka mendakwa tindakan menurun bendera tersebut sebagai satu gambaran bahawa mereka sudah hilang kepercayaan kepimpinan negara yang dilihat gagal menangani isu-isu utama negara.

Hebat betul, kelompok yang mendakwa mewakili mahasiswa ini, belum habis belajar sudah pandai untuk menuding kesilapan orang lain, seolah-olah mereka lebih bijak mentadbir negara, biar pun kemungkinan ada antara mereka memasuki universiti atas kelayakan 'cukup makan sahaja'. Apa pun kita percaya, SMM tidak mewakili majoriti mahasiswa di negara ini, mereka hanya kelompok kecil yang terlalu ghairah untuk berpolitik biar pun ilmu mereka ibarat buih di lautan, banyak tetapi tidak mampu mendatangkan manfaat dan kemudaratan kepada sesiapa. Apa pun 'tahniahlah' kepada SMM, sekurang-kurang kita mampu menilai bahawa ada di kalangan mahasiswa yang tidak layak digelar mahasiswa. Kebebasan bersuara yang diberikan telah dicemari dengan perbuatan biadab yang jelas membuktikan mereka tidak tahu menghormati pemimpin negara. Kalau benar mereka mahu melakukan protes atau memberikan pandangan berhubung AUKU lakukan secara beradab, jangan lupa ini Malaysia yang rakyatnya mempunyai tata susila dan adab sopan yang tinggi. Sebenarnya, dari satu segi, protes SMM itu tidak perlu dilayan kerana pindaan AUKU baru peringkat perbincangan, belum lagi ada kata pemutus berhubung pindaan yang hendak dibuat.

Oleh itu, adalah lebih baik jika SMM bertindak matang sebagai kelompok yang kononnya menganggap diri mereka mahasiswa atau pelajar universiti dengan menanti dulu apa pindaan tersebut. Jika kerajaan di bawah kepimpinan Najib tidak mempedulikan suara mahasiswa, sudah pasti beliau tidak akan mengarahkan AUKU dikaji semula dan dipinda. Kerajaan tidak berhasrat membisu suara dan menutup mata para mahasiswa sebab itulah pindaan ke atas AUKU dilakukan dan masyarakat juga amat memahami peranan mahasiswa dalam bersama-sama membangunkan negara. Sebab itulah, SMM perlu matang, janganlah mendesak kerajaan mendengar dan memenuhi tuntutan mereka sahaja, apatah lagi kalau suara itu, bukan suara majoriti. Apa yang perlu diingat SMM hanyalah kelompok kecil di kalangan mahasiswa, mereka tidak pernah dan tidak akan dianggap mewakili seluruh mahasiswa di negara ini. Justeru tidak perlulah SMM terlalu angkuh, seolah-olah desakan mereka harus dipatuhi kalau tidak, kerajaan akan berhadapan dengan bantahan besar-besaran mahasiswa. Hakikatnya, negara ini mengamalkan demokrasi dan kerajaan sentiasa bersikap terbuka untuk berbincang dengan mana-mana pihak dan dalam apa juga isu.

Malahan kalau dikaji, mahasiswa di negara ini paling beruntung kerana mendapat pelbagai faedah dan manfaat daripada kerajaan, termasuklah terbaru sumbangan baucer RM200 untuk mahasiswa membeli buku. Perbezaan pendapat dan pandangan adalah perkara biasa dalam kehidupan, apa yang penting ia pendekatan bagi menyatukan perbezaan tersebut. Sudah pastilah ia perlu dilakukan secara berhemah dan bersopan, bukannya cara dianggap biadab dan tidak bertamadun. Adalah sesuatu yang malang apabila SMM menganggap tindakan menurunkan bendera wajah Perdana Menteri adalah perkara kecil berbanding tuntutan mereka. Kalau itulah pandangan mereka jelaslah, SMM adalah terdiri daripada sekelompok mahasiswa yang tidak matang dalam bertindak. Mereka melakukan sesuatu tindakan berdasarkan emosi dan bukannya akal. Apa yang dibimbangkan, jika beginilah tahap pemikiran yang ada dalam SMM, mereka boleh terpengaruh dengan mainan politik sesetengah pihak.

Kepada SMM, berhentilah bersikap angkuh atau merasa hebat, urusan kalian di universiti masih belum selesai, berusahalah menjadi mahasiswa yang cemerlang dalam pelajaran dan bukannya terpekik terlolong di jalanan. Tidak salah untuk memberi pandangan dan cadangan tetapi lakukanlah secara berhemah. Malaysia berhasrat melahirkan generasi mahasiswa yang berkualiti dan menggunakan pertimbangan akal dalam melakukan tindakan, bukannya kelompok mahasiswa yang cetek fikiran dan mengikut perasaan. Seandainya kelompok SMM ini merasakan diri mereka hebat dan mampu mengubah segala-galanya melalui demonstrasi serta perbuatan biadab yang dianggap kecil maka mereka juga perlu bersedia menanggung akibatnya termasuk disingkirkan dari universiti. Mungkin itu yang mereka mahukan supaya akan dianggap wira tetapi percayalah rakyat sudah mampu menilai siapa yang layak menjadi wira dan siapa pula hanya sekadar 'boneka'.


Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
21 DISEMBER 2011

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

adeh...nielah darah muda..mudah terikut2..

Kathy berkata...

Heh, UTUSAN. Memanglah.