Datuk Ruhaidini Abd Kadir
Beijing Language and Culture University, China.
Malam minggu lalu, saya berpeluang menghadiri satu majlis di rumah seorang teman warganegara China yang terletak di Xi San Qi, Beijing. Saya teruja apabila menerima undangan itu kerana mahu merasai pengalaman ke rumah orang tempatan, selain untuk berkenalan dengan mereka sambil 'mengasah' pertuturan saya dalam bahasa Cina. Lebih dua jam menjadi tetamu, begitu banyak hal menarik yang dapat saya timba. Rupa-rupanya, sebahagian besar orang Cina meskipun hidup di kota raya Beijing masih mengekalkan tradisi bersila di lantai sambil berbual dan menjamu selera. Kudapan seperti biji kuaci, labu, biji tembikai, kacang, asam dan gula-gula masih menjadi hidangan penting mereka selain buah-buahan seperti limau mandarin dan limau bali, mengingatkan saya kepada tradisi yang masih diamalkan oleh sebahagian besar masyarakat Cina di Malaysia. Banyak topik yang kami bualkan sepanjang pertemuan singkat itu dan yang paling menarik perhatian saya adalah mengenai polisi satu anak yang dilaksanakan di China lebih tiga dekad lalu.
Boleh dikatakan teman-teman yang menghadiri majlis pada malam itu merupakan anak tunggal dalam keluarga dan bertalu soalan diajukan mereka apabila saya menyebut bahawa saya adalah anak keenam daripada lapan orang adik-beradik. "Bagaimana rasanya lahir dalam keluarga yang besar, punya abang, kakak dan adik?" Tanya mereka sambil menjelaskan mengenai polisi satu anak yang diperkenalkan oleh Presiden China, Deng Xiaoping pada 1979 sebagai dasar perancang keluarga. Menurut mereka, Deng Xiao Ping yang melancarkan program pembaharuan ekonomi pada era itu menganggap membendung pertumbuhan penduduk sebagai penting untuk perkembangan ekonomi dan taraf hidup. Lebih-lebih lagi Republik Rakyat China pada masa itu mengalami pertumbuhan penduduk yang mendadak dari 540 juta pada 1950 kepada lebih 850 juta pada 1970. Polisi yang dilaksanakan itu bertujuan mengurangkan populasi penduduk Republik Rakyat China (yang kini berjumlah lebih 1.3 bilion orang). Bagaimanapun, polisi satu anak ini dikecualikan di Hong Kong, Macau dan Tibet selain ke atas pasangan yang hidup di kawasan pedalaman dan pasangan dari kalangan etnik minoriti.
Pasangan yang tinggal di kawasan pedalaman diberi kelonggaran untuk memiliki anak kedua jika anak pertama yang dilahirkan adalah perempuan. Ini kerana anak lelaki amat diperlukan dalam keluarga berbanding anak perempuan lebih-lebih lagi bagi keluarga petani, anak lelaki diperlukan untuk mengerjakan kawasan pertanian. Di bawah polisi itu juga, pasangan yang melahirkan anak yang cacat fizikal atau menghadapi penyakit mental dibenarkan untuk menimang cahayamata kedua tetapi dalam tempoh tiga atau empat tahun selepas kelahiran pertama. Bagi anak-anak yang lahir di luar negara dan tidak mendapat kerakyatan China tidak diambil kira. Justeru, warganegara China yang balik dari luar negara dibenarkan untuk memiliki anak kedua. Menariknya, dasar perancang keluarga ini disusuli kempen meluas di media massa dengan slogan bermaksud; ''Dengan dua orang anak, anda hanya akan mampu membeli televisyen berukuran 14 inci tetapi dengan satu anak, anda akan mampu memiliki televisyen 21 inci." Saya tertarik dengan cerita salah seorang teman yang memberitahu, saudaranya yang merupakan pasangan yang menjadi mangsa gempa bumi di Chengdu, Wilayah Sichuan, barat daya China pada tahun 2008 dikecualikan dari polisi itu.
Menurutnya, Jawatankuasa Kependudukan dan Perancangan Keluarga wilayah itu memberi kelonggaran kepada pasangan yang anak mereka terbunuh, cedera parah atau hilang upaya dalam gempa bumi itu untuk mendapatkan seorang anak lagi. Umumnya, rakyat China melihat polisi satu anak ini telah memberi manfaat dari segi ekonomi dan meningkatkan kesihatan serta kebajikan wanita dan kanak-kanak. Bahkan, sebahagian besarnya bersetuju dengan polisi ini memandangkan bandar-bandar di China semakin hari semakin sesak dengan pertambahan penduduk. Selain itu, masalah kesempitan hidup dan kos sara hidup yang tinggi khususnya untuk membesarkan anak-anak menjadikan sebahagian besar rakyat China beranggapan polisi ini masih relevan. Namun pada masa sama, ada segelintir pihak berpendapat, polisi 'satu anak menjamin kanak-kanak akan lebih dijaga dan dididik' sebenarnya memberi tekanan kepada sistem negara jika ia tidak diubah. Ini kerana sebahagian besar penduduk China yang semakin tua akan memberi tekanan kepada sistem negara yang masih belum sempurna.
Polisi tersebut yang memperuntukkan denda yang tinggi bagi sesiapa sahaja yang mempunyai anak lebih daripada seorang, turut menimbulkan kebimbangan tentang perbezaan nisbah antara golongan lelaki dan perempuan muda. Terdapat kebimbangan mengenai ketidakseimbangan demografi dan jantina dan kesan-kesan psikologi bagi generasi kanak-kanak khususnya kanak-kanak lelaki yang dianggap sebagai 'maharaja kecil' dalam sesebuah keluarga. Ada juga pandangan yang mengatakan bahawa polisi ini bertentangan dengan dasar Presiden Mao Zedong kerana presiden pertama Republik Rakyat China itu pernah menyebut; "Dalam semua benda di dunia, manusia adalah paling utama. Lebih besar penduduk, bermakna lebih banyak tenaga kerja."
Sila berikan komen anda. Terima kasih.
SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
21 DISEMBER 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan