12 Disember 2011

ISU UMUM : KELANGSUNGAN KEDAULATAN NEGARA

DATUK SERI DR. RAIS YATIM
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.


Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin menerima cenderahati daripada pihak kerajaan yang disampaikan oleh Najib Tun Razak di Istana Negara, Jalan Duta, Sabtu lalu. Turut kelihatan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah.

Menjelang detik-detik tengah hari 12 Disember 2011 (hari ini) akan berakhirlah tempoh perkhidmatan dan pemerintahan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-13, Al-Watiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah. Pada tanggal itu tamatlah tempoh pemerintahan baginda selaku Raja Berperlembagaan yang dilunaskan melalui kuatkuasa Perlembagaan Persekutuan. Perkara 32(3) Perlembagaan Persekutuan menetapkan "Yang di-Pertuan Agong hendaklah dipilih oleh Majlis Raja-Raja selama tempoh jawatan lima (5) tahun…" kecuali baginda meletakkan jawatan pada bila-bila masa dalam tempoh tersebut. Baginda dan Seri Paduka Baginda Permaisuri Agong akan bersama dalam suatu majlis perpisahan khas jam 8.30 pagi 12 Disember yang penuh adat-istiadat di pekarangan Parlimen dengan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri-Menteri Kabinet, para pegawai tinggi dan pembesar-pembesar tempatan dan wakil-wakil luar negara sebelum berlepas ke Kompleks Bunga Raya KLIA untuk bersama-sama melibatkan diri di majlis akhiran yang diberi nama Lambaian Kasih.

Majlis di KLIA ini adalah seperti yang pernah dianjurkan oleh Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Warisan (KEKKWA) lima tahun lalu. Acara kali ini, seperti yang dahulu, disulami acara-acara padat dengan intisari budaya dan ciri-ciri kebesaran Diraja Melayu lama. Sepanjang dua bulan lalu pelbagai kegiatan dan acara diadakan bagi menandakan tamat tempoh perkhidmatan dan pemerintahan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Utama Bagi Persekutuan. Lawatan-lawatan rasmi, acara-acara kebajikan, konsert Diraja, Jamuan Negara dan lain-lain program Diraja mendahului acara-acara akhiran 12 Disember 2011. Sebelum jam 12 tengah hari 12 Disember, Yang di-Pertuan Agong Ke-13 dengan diiringi pelbagai kumpulan termasuk seorang Menteri Kabinet dan seorang pegawai tinggi perkhidmatan awam akan menaiki pesawat khas mengiringi rombongan pulang Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah menuju ke Kuala Terengganu. Keesokannya, tanggal 13 Disember 2011 dari Alor Setar pesawat penerbangan khas akan membawa Yang di-Pertuan Agong Ke-14 Al-Sultan Al-Mu'tasimu Billah Muhibuddin Tuanku Al-Haj Abdul Halim Mu'azam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah (Sultan Kedah) ke kompleks Bunga Raya, KLIA dan seterusnya akan menyempurnakan acara istiadat angkat sumpah jawatan sebagai Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong Ke-14 di Istana Negara yang baru di Jalan Duta.

Bagi Tuanku Abdul Halim, ini adalah kali kedua baginda naik takhta bersemayam sebagai Yang di-Pertuan Agong bagi Persekutuan Malaysia. Kali pertama baginda bersemayam sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-5 ialah bagi tempoh 21 September 1970 hingga 20 September 1975. Mungkin ramai yang masih ingat, Perdana Menteri Malaysia Pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj meletakkan jawatan pada 21 September 1970, iaitu pada tarikh yang sama Tuanku Abdul Halim naik takhta selaku Yang di-Pertuan Agong Ke-5. Ramai pihak yang mengakui bahawa persamaan tarikh sedemikian adalah atas permintaan Tunku sendiri, lebih-lebih lagi mengambil kira sentimen beliau mendapati anak buahnya sendiri dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong selain perkembangan politik dan isu-isu kenegaraan pada masa itu susulan peristiwa-peristiwa selepas 13 Mei 1969. Bak kata pepatah, sekali air bah sekali pantai berubah. Cuma dalam konteks kenegaraan, perubahan itu hanya pada "pasir di pantai", bukan pada pantai itu sendiri. Berlakunya perubahan hanyalah pada individu Diraja yang bersemayam sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-14.

Semua kuasa eksekutif, legislatif dan kehakiman yang ada pada Yang di-Pertuan Agong itu adalah berlandaskan Perlembagaan Persekutuan yang berkuat kuasa semenjak 1957, yakni semenjak Merdeka lagi. Pada 1963, manakala Malaysia tertubuh kuasa-kuasa Yang di-Pertuan Agong itu tetap berterusan dengan beberapa ubah suai yang dipadankan dengan perkembangan semasa, termasuk peristiwa-peristiwa pra-1993 apabila beberapa artikel Perlembagaan Persekutuan dipinda. Salah satu daripada pindaan utama yang dikuatkuasakan 1993-1994 ialah seseorang Yang di-Pertuan Agong boleh disabitkan di muka pengadilan Mahkamah Khas [Per. 181(2)] jika melakukan sesuatu kesalahan jenayah atau sivil dengan syarat Peguam Negara membenarkannya. Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja Berperlembagaan memikul tanggungjawab yang berat dan luas serta mempunyai implikasi mendalam sama ada terhadap rakyat atau kerajaan yang ditadbir atas nama Seri Paduka Baginda selaku Ketua Utama Negara yang menduduki tangga teratas dalam hierarki pemerintahan negara. Per. 32(2) memperuntukkan bahawa isteri Yang di-Pertuan Agong, Seri Paduka Raja Permaisuri Agong menduduki tempat kedua selepas Yang di-Pertuan Agong. Baginda Raja Permaisuri Agong dan mana-mana Sultan yang bersemayam juga menerima beberapa lindungan kekebalan perundangan walaupun tidak seperti dahulunya.

Harus diimbasi, pra-1993 pihak-pihak Diraja beroleh perlindungan kekebalan undang-undang daripada mana-mana pendakwaan atau tuntutan sivil. Timbalan Yang di-Pertuan Agong yang dilantik oleh Majlis Raja-Raja mengikut kehendak Per. 33 bolehlah menjalankan tugas-tugas Yang di-Pertuan Agong pada mana-mana tempoh yang diperlukan mengikut kehendak peruntukan tersebut dengan syarat apa-apa tugas wakilan Yang di-Pertuan Agong, seperti sakit, tidak upaya, tidak ada dalam Persekutuan yang tidak kurang daripada 15 hari atau lantaran apa-apa sebab lain. Yang di-Pertuan Agong yang menjalankan tugas rasminya melalui fungsi dan kuasa eksekutif, legislatif dan kehakiman hendaklah menjalankannya melalui nasihat yang diberikan Kabinet atau Jemaah Menteri yang Baginda lantik termasuk lantikan Perdana Menteri di bawah Per 43. Walaupun baginda hendaklah mentadbir mengikut nasihat seperti yang disyaratkan Per. 40, baginda adalah berkuasa penuh di bawah Per 40(2) dalam memperkenankan atau sebaliknya berkaitan membubarkan Parlimen untuk tujuan Pilihan Raya Umum. Baginda adalah Ketua Tertinggi Angkatan Tentera Persekutuan (Per. 41) sementara berkuasa (melalui nasihat Kabinet) bertindak sesuatu untuk Perkhidmatan Awam (Per. 132(2).

Kuasa mengampunkan sesuatu kesalahan jenayah atau melegakan hukuman bagi kesalahan-kesalahan yang berlaku di Wilayah Persekutuan juga adalah kuasa tersedia pada Yang di-Pertuan Agong. Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa perundangan atau kuasa legislatif Persekutuan. Parlimen Malaysia, misalnya, adalah atas nama Yang di-Pertuan Agong, Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Tanpa Yang di-Pertuan Agong Dewan-Dewan Perundangan tersebut tidak cukup syarat fungsi dan kuasanya. Semua Akta yang diluluskan Parlimen hendaklah mendapatkan tandatangan kelulusan baginda walaupun di bawah Per 66 ada beberapa syarat tempoh yang harus dipatuhi baginda sekiranya tidak bersetuju dengan sesuatu Rang Undang-Undang itu dijadikan undang-undang penuh. Sementara anggota Dewan Rakyat dipilih terus oleh rakyat, baginda (atas nasihat) boleh melantik 40 anggota Dewan Negara (Per. 45). Di bawah Per. 55 Yang di-Pertuan Agong tidak boleh membenarkan Parlimen tidak bersidang bagi tempoh enam bulan dari tarikh persidangan terakhir. Jika dalam tempoh itu Parlimen gagal bersidang, baginda boleh membubarkan Parlimen dan mengarahkan pilihan raya umum diadakan.

Di bawah artikel yang sama, kuasa mutlakbaginda sebagai ketua agama Islam juga tersedia. Per. 60 membenarkan Yang di-Pertuan Agong bertitah kepada majlis Parlimen atas apa-apa perkara kenegaraan yang wajar. Dari segi Kehakiman atau Judisiari pula, Yang di-Pertuan Agong adalah kuasa lantikan hakim-hakim mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan menurut aturan yang berkuat kuasa dan dikemas kini. Seperti mana dimaklum, para Hakim Negara adalah dilantik oleh baginda setelah mendapatkan nasihat Perdana Menteri dan berunding dengan Majlis Raja-Raja. Kuasa-kuasa Yang di-Pertuan Agong di bawah pelbagai undang-undang lain juga merupakan sebahagian daripada urusan rasmi baginda sekalipun pada masa ini banyak aspek dan tugasan eksekutif itu telah diseragamkan dengan kuasa-kuasa eksekutif, legislatif dan kehakiman yang lain. Jarang diketahui, kuasa Yang di-Pertuan Agong di bawah Per. 153 dalam menjaga dan memelihara keistimewaan orang Melayu dan bumiputera di Sabah dan Sarawak, terdapat jaminan bahawa baginda tidak boleh mengetepikan hak-hak komuniti lain seperti terkandung di dalam ayat "dan kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain".

Ayat ini sering ditinggalkan dalam hujah dan ucapan mengenai kuasa kerajaan dan Diraja dalam menjaga dan memelihara hak-hak rakyatnya. Aspek ini wajar diserlahkan supaya kritikan melulu tidak berterusan seolah-olah kerajaan 'tak ambil pusing' tentang kepentingan kaum-kaum di tanah air kita. Memang diakui, institusi Yang di-Pertuan Agong dan sebahagian besar tugas dan fungsi ini adalah sekitar 54 tahun, yakni seusia negara kita yang merdeka. Namun di sebalik usia yang boleh dianggap 'muda' itu terkandung kelangsungan satu institusi Diraja yang amat lama. Sejak zaman Demang Lebar Daun dalam Sejarah Melayu hinggalah ke tamadun kesultanan negeri-negeri Melayu dan Melaka seterusnya dari sana sampailah ke hari ini - Raja dalam sejarah dan tamadun orang Melayu sudah sedarah sedaging lalu menjadi integral dan sebati. Faksi masyarakat yang memandang sepi terhadap institusi Raja, walaupun kecil, harus menerima hakikat bahawa institusi itu jika baik fungsi dan perimbangannya akan membentuk tamadun yang positif. Masyarakat Cina dan India serta lain-lain mungkin telah meninggalkan tamadun beraja mereka masing-masing atas cetusan sejarah dan mobilisasi kemanusiaan mereka.

Namun di Malaysia institusi Raja Berperlembagaan ini seperti mana halnya dengan orang Inggeris, Jepun, Sweden dan Denmark dengan institusi Raja mereka, sudah menjadi kekal dan diterima rakyat. Sistem Raja Berperlembagaan mungkin ada pengkritiknya masing-masing. Tetapi bagi kita di Malaysia, walaupun dikenal sebagai negara yang paling ramai mempunyai Raja sebagai pucuk kenegaraan, telah membuktikan bahawa sistem demokrasi Malaysia telah menghasilkan suatu cara hidup kepelbagaian yang munasabah dan saling berimbangan. Yang di-Pertuan Agong adalah simbol kedaulatan negara dan rakyat Malaysia. Baginda adalah unsur atau elemen perimbangan kenegaraan dan pentadbiran yang telah menghasilkan Malaysia tercinta. Mengadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan: Menjunjung Kasih Tuanku kerana berjaya menjadi Payung Negara berjasa yang akan meneruskan persemayaman di Terengganu. Mengadap Almu'tasimu Billahi Muhibuddin Sultan Abdul Halim Dirgahayu Tuanku, Rakyat menyambut dengan penuh gembira pelantikan Tuanku Kali ke-2 sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang ke-14. Hidup 1Malaysia !

Rotan saga banyak di hulu
Diikat raga di bawah persada
Walau apa pun akan berlaku
Rakyat dan Raja berpisah tiada


SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
12 DISEMBER 2011

ISU UMUM : OMBAK RINDU, HAK CIPTA DAN MEMBELA KEPENTINGAN PENGKARYA

Oleh ZULKIFLI JALIL


Kontroversi yang dicetuskan oleh penulis novel Fauziah Ashari mengenai terma perjanjian penerbitan novelnya berikutan penangan 'boom' filem Ombak Rindu, maka judul novelnya seharusnya 'membuka mata' artis mengenai pentingnya Akta Hak Cipta ditelek dan difahami sebaik-baiknya. Bukannya perkara itu baru tetapi sudah terpampang di depan mata. Fauziah dikatakan menyalahkan pihak penerbit, Alaf 21, kerana berpendapat perjanjian atau kontrak yang ditandatangani 'memakan diri' penulis atau berat sebelah. Tetapi di pihak Alaf 21, mereka ada jawapannya yang mengikut saluran undang-undang, sebagai penerbit, mereka memiliki hak untuk menguruskan naskhah novel sekiranya ia mahu diadaptasi ke pementasan teater, filem dan sebagainya. Realitinya pindaan Akta Hak Cipta 1987 yang dibentangkan di Parlimen baru-baru ini dan bakal dikuatkuasakan sebelum Jun tahun depan bagi membela nasib penggiat seni tanah air mempunyai pelbagai manfaat dan larangan boleh atau tidak boleh yang perlu dipatuhi.

Pindaan akta ini adalah satu penyelesaian dalam menangani isu dan masalah pembuktian yang sering dihadapi oleh pemilik karya hak cipta. Sijil pendaftaran hak cipta yang dikeluarkan oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) boleh dijadikan bukti pemilikan 'prima facie' seseorang pemilik karya hak cipta dan boleh dikemukakan di mahkamah. Bagaimanapun, sekiranya dicabar di atas isu pemilikan dan keaslian, pihak yang terkhilaf boleh mencabar kesahihan tersebut mengikut proses perundangan. Pewujudan sistem pendaftaran hak cipta ini juga mewujudkan satu pangkalan data karya-karya hak cipta yang telah didaftarkan di negara ini. Lebih menarik lagi, pindaan akta baru ini bukan hanya melibatkan penyanyi sahaja. Ia termasuk mereka yang terlibat dalam industri kreatif seperti pelakon, pelukis, penulis novel dan tidak kira kartun atau pencanting batik. Terdapat lima fokus utama dan yang pertama adalah berkaitan pembayaran royalti. Ia berkaitan undang-undang yang akan membenarkan pengutip royalti atau badan-badan perlesenan mengutip royalti dengan berlesen.

Sebelum ini tidak ada peraturan tentang perkara ini dan para pengutip ini tidak perlu berdaftar. Sesiapa sahaja boleh menubuhkan sebuah syarikat dan mengutip royalti. Dan kini melalui undang-undang baru ini, mereka perlu berdaftar dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan ia akan mengeluarkan lesen untuk mereka. Namun, jika mereka tidak berbuat demikian maka hukumannya maksimum denda RM500,000. Sebelum ini mereka ini boleh mengutip royalti tetapi pihak artis sendiri tidak tahu apa-apa kerana tidak ada pelantikan secara sah antara artis dan pihak pengutip. Ini membolehkan kedua-dua pihak terikat dengan terma dan syarat tertentu. Memang sebelum ini pihak kerajaan tidak boleh mencampuri isu-isu pertelingkahan berkaitan pembayaran royalti. Rintihan dan rungutan pihak karyawan tidak boleh diselesaikan secara statutori dan usaha kerajaan untuk membantu pihak karyawan hanya lebih kepada bentuk perundingan. Artis tidak tahu berapa banyak yang mereka perlu dapat, berapa banyak jumlah kutipan yang telah dibuat serta berapa jumlah yang patut diterima sama ada lima peratus, dua peratus dan sebagainya.

Mereka hanya menerima jumlah tunai mengikut berapa banyak yang diberi oleh pihak pengutip. Dengan pelaksanaan undang-undang ini akan mewujudkan satu jumlah atau harga tetap yang perlu diterima oleh artis. Menerusi pindaan akta ini juga, kementerian akan mengaktifkan semula Tribunal Hak Cipta. Memang ketika ini sudah ada tribunal tetapi agak susah untuk dibicarakan. Masalahnya, artis tidak tahu berapa jumlah sepatutnya yang perlu dibayar. Tribunal ini sudah wujud sejak 2003 tapi tidak ada kes yang dibicarakan seolah-olah ia tidak berfungsi. Kini ia akan diaktifkan semula dan akan berlaku lantikan baru ahli panel supaya semua isu yang berkaitan artis akan dibicarakan terus di tribunal. Pindaan baru turut dibuat untuk memperluaskan bidangkuasa Tribunal Hak Cipta termasuk menerima permohonan aduan dari pelaku. Dengan filem Ombak Rindu dikatakan boleh mencecah sehingga kutipan RM14 juta, maka tidak hairanlah sesiapa yang ada kaitan dengan penghasilannya bisa 'mendengus'. Namun, 'dengusan' tidak akan bermakna apa-apa tanpa memahami prosedur hak cipta.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
12 DISEMBER 2011


11 Disember 2011

ISU UMUM : LIMA PEMANGKIN PERTAHANAN NEGARA

Oleh Azmi hassan


Bukan  menjadi rahsia lagi Singapura memperuntukkan perbelanjaan perolehan aset pertahanan yang amat besar walaupun berada dalam rantau yang agak stabil dan jarang melalui konflik ketenteraan yang ekstrem. Pulau tersebut yang hanya sebesar Perlis dan mempunyai penduduk seramai 5.2 juta dijangka akan membelanjakan hampir RM71.3 bilion untuk membeli pesawat peronda, helikopter dan peralatan tentera lain menjelang 2015. Begitu juga dengan bajet pertahanan tahunan Singapura jauh di hadapan dengan menyediakan peruntukan lebih dari RM30 bilion setiap tahun berbanding dengan Malaysia hanya RM2 bilion, satu perbezaan yang begitu ketara. Peruntukan tahunan pertahanan Singapura yang berada dalam lingkungan 5 hingga 6 peratus Keluaran Dalam Kasar Negara (KDNK) adalah antara yang sepuluh tertinggi di dunia. Tetapi jika dikaitkan dengan per kapita pula, maka peruntukan tersebut adalah kedua tertinggi di dunia iaitu hanya di belakang Israel. Begitu juga jika dikaitkan dengan jumlah jet pejuang F-15 dengan nisbah keluasan negara, Singapura dalam kes ini berada jauh di hadapan di ikuti oleh Israel dan negara-negara lain yang mempunyai F-15.

Hakikatnya adalah segala apa jua yang berkaitan dengan pertahanan Singapura, statistik dan fakta menggambarkan sesuatu yang ekstrem. Tetapi anehnya rakyat mereka menerima hakikat tersebut sebagai keperluan untuk melangsungkan kemajuan negara mereka. Tetapi begitu ironis sekali kerana sebilangan rakyat Malaysia tidak mempunyai persepsi pertahanan yang selari seperti mana yang dimiliki oleh rakyat Singapura. Sesetengah pihak di Malaysia begitu gemar mencampur-adukan isu pertahanan dengan politik sehinggakan mengaburi fakta semata-mata kepentingan agenda politik masing-masing. Pihak pembangkang terutama sekali DAP sering mempertikaikan keupayaan aset pertahanan terbaru kapal selam negara iaitu KD Tun Razak dan KD Tunku Abdul Rahman. Begitu juga dengan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa (LIMA) yang dilangsungkan setiap dua tahun di Pulau Langkawi bagaikan dijadikan kambing hitam dan sumber untuk mengkritik kerajaan sebagai satu usaha yang membazir dan tidak memberi faedah kepada negara dan rakyat. Secara tersuratnya sememangnya LIMA boleh ditafsirkan sebagai pertunjukan aset pertahanan terkini dan termaju kerana itu adalah sebahagian dari objektif yang telah ditentukan. Tetapi apa yang lebih penting adalah habuan tersirat yang disumbangkan oleh LIMA tetapi sering diketepikan oleh pihak yang mengkritik.

DIUNGKITKAN

Menarik jika diungkitkan titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika baginda melakukan lawatan kerja ke LIMA beberapa hari lepas. Baginda bertitah supaya industri pertahanan negara perlu lebih peka kepada perubahan landskap keselamatan supaya ia sentiasa ke hadapan dan kekal bersaing dalam dunia yang semakin mencabar. "Sebagai tambahan terhadap aspek keselamatan, ia mempengaruhi permintaan sistem pertahanan dan kelengkapan lebih canggih dan berteknologi tinggi," tambah baginda. Pandangan Raja Muda Perlis adalah selari dengan pengasas LIMA iaitu bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menegaskan sejak pameran tersebut mula dianjurkan pada tahun 1991, ia telah berjaya mengembangkan sektor industri pertahanan tempatan khususnya yang berkaitan dengan aeroangkasa. Industri aeroangkasa negara bagaikan tidak wujud terutama sekali pada tahun 1970 dan 1980-an dan tidak begitu banyak menyumbang kepada KDNK. Bukan itu sahaja, LIMA telah dipergunakan sebaik-baiknya oleh industri aeroangkasa tempatan untuk melangsungkan kerjasama pintar dengan syarikat aeroangkasa yang lebih maju.

Industri aeroangkasa negara telah menyumbang RM12.7 bilion atau 3.6 peratus KDNK pada tahun 2002 dan dijangkakan meningkat sehingga 8 peratus menjelang tahun 2015. Malaysia sudah tentu tidak mahu ketinggalan dalam industri aeroangkasa walaupun penuh dengan cabaran tetapi memberikan pulangan yang lumayan sekali. Tetapi apa yang penting ialah industri ini dilihat bukan sahaja sebagai pemacu ekonomi sesebuah negara tetapi juga dianggap sebagai faktor penting penentuan sistem pertahanan dan kedaulatan sesebuah negara. Pada ketika ini industri aeroangkasa negara diwakili oleh hampir 200 syarikat yang dianggap sebagai bilangan yang besar bagi sebuah negara yang kecil. Antara pemain utama industri aeroangkasa negara ialah Composite Technology Research Malaysia (CTRM), Airod Sdn. Bhd, Astronautic Technology Sdn. Bhd. (ATSB) dan Zetro Aerospace yang masing-masing mempunyai kekuatan dalam bidang tertentu. Singapura sebaliknya tidak mempunyai industri aeroangkasa yang kuat seperti Malaysia tetapi kelemahan tersebut ditimbal balas dengan bajet pertahanan yang lumayan.

Umpamanya sistem pertahanan peluru berpandu Iron Dome yang dibangunkan oleh Rafael Advanced Defense System Israel adalah dipercayai dibiayai sebahagiannya oleh Singapura. Israel menghebohkan bahawa Iron Dome dibentuk untuk mempertahankan dari serangan roket Qassam and Katyusha yang berpunca dari Genting Gaza. Tetapi jika benar Singapura telah membiayai Iron Dome maka spesifikasi peluru berpandu tersebut sudah pasti mengikut kehendak republik tersebut. Sebaliknya Malaysia tidak boleh mengharapkan pengamalan strategi seperti Singapura untuk membangunkan sistem pertahanan kerana tidak mempunyai peruntukan pertahanan yang lumayan. Tidak ada cara lain selain dari mengharapkan industri pertahanan tempatan yang berkait rapat dengan bidang aeroangkasa untuk memastikan kedaulatan negara tidak diceroboh. Satu perkara yang menarik ialah Singapura telah meletakkan asas kemakmuran industri pertahanan mereka sebagai salah satu faktor utama doktrin pertahanan yang mementingkan konsep cegah rintang sebagai asas kekuatan mereka. Malah tidak keterlaluan jika diandaikan kemakmuran industri pertahanan adalah lebih penting berbanding strategi diplomasi sebagai penentu kedaulatan Singapura.

LIMA sepatutnya digunakan sebaik-baik sebagai landasan untuk melonjakkan industri pertahanan negara kerana keunikannya yang merangkumi sistem pertahanan laut, udara dan juga darat yang mampu menarik perhatian dunia. Mahu tidak mahu rakyat Malaysia perlu menerima hakikat bahawa kedaulatan negara berkait rapat dengan sistem pertahanan negara. Pilihan Malaysia agak terhad kerana tidak mampu membuat perolehan aset pertahanan mengikut kemahuan. Negara perlu bergantung kepada kekuatan industri pertahanan tempatan terutama sekali bidang aeroangkasa. Landasan LIMA adalah pemangkin terbaik dan paling optimum untuk merealisasikan hasrat tersebut. Sudah tiba masanya rakyat membuat anjakan dan perubahan daripada sikap pasif dan negatif kepada sikap lebih prihatin terhadap hal ehwal yang berkait rapat dengan isu pertahanan negara. Tidak salah untuk mempersoalkan strategi dan jumlah peruntukan pertahanan negara tetapi jangan sampai ke tahap memperlekehkan atau mempersenda apa yang dimiliki.

SUMBER
MINGGUAN MALAYSIA
11 DISEMBER 2011



ISU UMUM : KEMALANGAN TERMAHAL DI DUNIA

Oleh Hafizahril Hamid


Pada Ahad lepas berlaku satu kemalangan yang dikhabarkan sebagai kemalangan termahal di dunia. Ini kerana ia melibatkan 14 buah kenderaan dan lapan darinya adalah terdiri daripada kereta Ferrari, sebuah Lamborghini, dua buah Mercedes keluaran terbaru, sebuah kereta Nissan GTR dan Toyota Prius hibrid. Kejadian berlaku di wilayah Shimonoseki, di tenggara Jepun. Berdasarkan harga semua kenderaan mewah yang terlibat dianggarkan ia berjumlah 300 juta Yen (RM12.07 juta). Menurut pihak berkuasa, kenderaan mewah yang terlibat sedang dipandu laju melebihi 160 kilometer sejam, dua kali ganda had laju yang dibenarkan di lebuh raya Chugoku. “Keadaan ketika itu yang dilaporkan hujan gerimis telah mengakibatkan permukaan jalan agak licin tetapi kenderaan mewah tersebut yang sedang berkonvoi tidak mengendahkan keadaan tersebut dan saling memecut antara satu sama lain,” kata seorang saksi yang berjaya mengelak daripada terlibat dalam kemalangan itu. Akibatnya seorang pemandu Ferrari telah hilang kawalan dan memasuki lorong sebelah sebelum berpusing-pusing dan merempuh pembahagi jalan.


Kesemua pemandu ini merupakan ahli sebuah kelab pengumpul kenderaan mewah tetapi malangnya pemilik kereta Honda Prius Hibrid itu berada di tempat yang salah pada waktu tidak sesuai. Sepuluh orang lelaki dan seorang perempuan telah dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan namun tiada di antara mereka yang cedera serius. Kesemua ahli kelab ini dalam perjalanan dari bandar Kyushu ke Hiroshima sambil memandu laju dan akhirnya terlibat dalam kemalangan yang dilaporkan polis sebagai ‘satu perkumpulan anggota yang huru-hara’. Bagaimana empat anggota kelab kereta mewah itu berjaya mengelak dari kemalangan ini. Mereka dapat mengelak rempuhan serta merempuh kereta yang terlibat walaupun ketika itu sedang memandu laju. Bagaimanapun pemandu kereta yang hilang kawalan dan menjadi punca kemalangan dikenalpasti sebagai seorang ahli perniagaan dari Fukuoka berusia 60 tahun. Lelaki ini jika didapati bersalah mungkin dipenjarakan selama tiga bulan dan denda. Berikut dinyatakan antara kemalangan melibatkan kereta paling mahal yang pernah berlaku sebelum ini.

SUMBER
MINGGUAN MALAYSIA
11 DISEMBER 2011

10 Disember 2011

ISU EKONOMI : DILEMA MENGIMBANGI KEWANGAN AWAM

DATO’ SALLEH MAJID
Bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur
(kini Bursa Malaysia)


Semua orang tahu walau gendang perang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13) telah dibunyikan, salah satu faktor yang bakal menentukan tarikh pilihan raya ialah keadaan ekonomi semasa. Ekonomi memainkan peranan penting kerana kalau pilihan raya diadakan semasa suasana ekonomi negara tidak begitu baik, tentulah parti yang memerintah akan menerima padahnya kerana pihak pembangkang akan ‘pulon’ menggunakan ekonomi sebagai sasaran ceramah dan kutukan. Persoalannya dengan semua orang menganggap PRU 13 semakin dekat, apakah semua orang telah melihat keadaan ekonomi semasa? Kita tidak boleh bercakap tentang Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah kerana mereka masih lagi bergelut menyelesaikan masalah ekonomi masing-masing. Bank-bank di Eropah memerlukan 114 bilion euro untuk memperkukuhkan bank-bank mereka. Timbul kebimbangan yang syarikat penarafan Standard & Poors akan menaraf semula kesemua 27 negara Kesatuan Eropah dan mata wang Euro diambang kehancuran.

Kalau itu berlaku, kita tidak boleh lari daripada serpihan yang bakal bertaburan nanti. Minggu ini sekali lagi Bank Negara Eropah (ECB) dipandang sebagai bakal melakukan sesuatu yang bakal menyelamatkan mata wang Euro. Pendirian berbeza Jerman dan Perancis tentang bagaimana krisis euro ini wajar ditangani juga membuatkan penyelesaian bertambah susah. China juga mengalami penurunan pertumbuhan yang rendah sejak dua tahun lepas. Kebimbangan inflasi dan pertumbuhan menjadi kebimbangan utama kerajaan China dan belum ada ketentuan yang kecairan akan dilepaskan ke dalam sistem kewangan kerana inflasi. Inflasi boleh menimbulkan ketegangan sosial sekiranya tidak dikawal. Ini bermakna import daripada negara tersebut juga akan berkurangan seperti jua negara-negara Eropah dan Amerika. Keadaan di India, suatu lagi kuasa besar ekonomi yang dunia meletakkan harapan, agak terbantut dalam usaha reformasi mereka dengan penolakan membenarkan peruncit besar seperti Wal Mart untuk memulakan operasi di negara tersebut. Pihak pembangkang bimbang ini akan membunuh peruncit kecil di India.

Tinggallah kita dengan perkiraan kita sendiri. Semua orang tahu keadaan sesuatu masa itu adalah ramalan. Ia bergantung atas apakah faktor yang digunakan untuk membuat ramalan. Misalnya defisit negara yang pada masa ini di paras 5.4 peratus (%) sama dengan Vietnam, Kemboja dan Laos. Jauh berbeza dengan negara ASEAN yang lain seperti Thailand dan Singapura, masing-masing diparas 2% dan 1%. Ramai penganalisis luar memberi tumpuan kepada subsidi yang tinggi yang diberikan. Di sini timbul masalah pemerintah. Dipotong subsidi sebelum pilihan raya memang na‘as (bala). Tak dipotong orang akan melihat kita tidak tahu mengurus kewangan awam kita. Pelabur asing akan mengambil kira defisit negara ini tidak boleh lari. Kemudian lonjakan kita ke arah kegiatan ekonomi nilai tinggi tidak berjalan dengan kadar yang dikehendaki dan ini juga menggugat kemasukan pelabur asing. Kekurangan tenaga mahir yang mampu mengendalikan kegiatan ekonomi nilai tinggi seperti peralatan perkilangan dan perkhidmatan di negara kita masih lagi di putaran perlahan.

Selain daripada subsidi yang perlu dipotong, harga minyak dan komoditi juga menjadi perkiraan orang ekonomi. Minyak sekarang tidak berketentuan berada di lingkaran AS$86 setong dan ini akan mengakibatkan pendapatan Petronas dan seterusnya bahagian kerajaan. Dasar Petronas yang berubah juga bakal sedikit sebanyak mengugat pendapatan keseluruhannya. Mungkin harga kelapa sawit memberikan sedikit sebanyak kestabilan kepada kita asalkan tidak ada pengurangan import daripada pengimport utama India dan China. Isu cukai barangan dan perkhidmaan (GST) nampaknya senyap saja kerana semasa pilihan raya kalau diperkenalkan mungkin menimbulkan reaksi yang negatif di kalangan masyarakat. Banyak pertaruhan diletakkan di atas program transformasi ekonomi yang diumumkan kemajuannya dari semasa ke semasa. Walau apa pun usaha-usaha ini mengambil masa dan mungkin tidak sempat untuk gendang pilihan raya yang sudah dipalu. Ramai yang meramal pertumbuhan kita tidak akan sampai 5% tahun ini dengan keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu sedangkan kita perlu sekurang-kurangnya 6% setahun sehingga 2020 untuk mencapai hasrat kita. Sama-samalah kita tengok. Dalam masa terdekat ini diadakan pilihan raya memang cari na‘as.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
10 DISEMBER 2011


ISU KENEGARAAN : KESINAMBUNGAN CABARAN SERI PADUKA BAGINDA


Tuanku Mizan Zainal Abidin bertitah pada Majlis Santapan Malam Menjunjung Kasih sempena tamat tempoh pemerintahan Seri Paduka Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-13 di Pusat Dagangan Dunia Putra baru-baru ini. Turut berangkat Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah (dua, kanan). Turut sama Najib Tun Abdul Razak (kiri) dan i Rosmah Mansor (kanan). - bernama

Kedudukan Tuanku Mizan Zainal Abidin sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 Malaysia nyata telah dibebani dengan banyak cabaran. Ditabalkan pada 13 Disember 2006, Seri Paduka menjadi Ketua Negara paling muda dibebani pergolakan politik dalam negara yang dilihat semakin membawa perpecahan orang Melayu dan umat Islam. Walaupun pergolakan turut ditanggung baginda Sultan-Sultan di peringkat negeri-negeri yang berdepan dengan kebiadapan sesetengah pihak semata-mata demi menguasai bumi Malaysia, beban berat turut ditanggung Tuanku Mizan di peringkat persekutuan. Sungguhpun golongan yang biadap berpolitik semakin menghampiri tahap durhaka di Perak dan Selangor serta mengundang kemurkaan Sultan di negeri-negeri lain, Yang di-Pertuan Agong ke-13 pula terpaksa berdepan dengan agenda lebih besar pihak tertentu yang mahu mencabar keluhuran Perlembagaan Negara. Ini terutamanya berkaitan kedudukan agama Islam, Raja-Raja Melayu, hak istimewa orang Melayu dan bumiputera sehingga kepada bahasa kebangsaan.

Melalui titah akhir Seri Paduka pada 6 Disember lalu, Tuanku Mizan bertitah mengharapkan Parlimen mampu mempertahankan keluhuran Perlembagaan Persekutuan terutama asas-asas utama tersebut di samping kewajipan ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara mendahulukan dan menjadi suara rakyat jelata. Bagi pakar sejarah, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam, tugas utama Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah sebagai pendamai dan pengaman dalam meredakan situasi yang tegang. "Rakyat melihat kepada baginda Sultan-Sultan terutama sekali kepada Seri Paduka sebagai pengaman, lebih-lebih lagi sejak Pilihan Raya Umum 2008. "Cabaran utama Tuanku Mizan melibatkan cubaan pihak tertentu mempersoalkan ketetapan Perlembagaan di samping ada yang mula berani membuat kenyataan tentang institusi Raja-Raja," katanya. Beliau turut membangkitkan cabaran lain yang melibatkan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), cubaan menghasut rakyat tidak percaya kepada polis dan tindakan biadab ketika krisis di Perak sebelum ini turut terpalit kepada kedudukan Seri Paduka ke-13.

Namun, beliau menganggap Tuanku Mizan sebagai seorang pemerhati yang bijak dengan menyampaikan nasihat serta peringatan kepada parti politik, kerajaan dan rakyat tanpa mencampuri urusan pentadbiran harian. "Seri Paduka telah beberapa kali menyampaikan titah nasihat tentang mengelakkan sikap ekstremis (pelampau), menjaga kedudukan Islam dan mengambil pendekatan sederhana. "Melalui titah di Majlis Santapan Menjunjung Kasih sempena tamat tempoh pemerintahan Seri Paduka beberapa hari lalu, dapat dilihat sehingga ke akhir pemerintahan, Tuanku Mizan tetap cuba menjadi pendamai," ujarnya. Ramlah menegaskan, Yang di-Pertuan Agong sebenarnya mempunyai kuasa besar dalam Perlembagaan Negara dan mempunyai cukup kuasa untuk menangani sebarang ancaman termasuk seperti peritiwa seumpama tragedi 31 Mei 1969. "Kedudukan Seri Paduka tidak tercabar dan jika perlu mampu mengawal keadaan dalam negara bersama semua pihak berkuasa sedia ada. "Sultan-Sultan dan Yang di-Pertuan Agong tidak mencampuri urusan politik serta bersikap neutral, dan ini nyata dalam kedudukan Tuanku Mizan yang tenang dan berhemah ketika bertutur, menjadi contoh yang baik kepada semua," jelasnya.

Beliau juga berharap teguran berulang kali Tuanku Mizan dan Sultan-Sultan tentang menjaga perpaduan, keharmonian, keselamatan negara, hubungan antara kaum, adab sopan dan tata susila diterima dan dipatuhi semua pihak. Tokoh sejarah, Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim pula berpendapat kedudukan dan peranan Yang di-Pertuan Agong yang telah ditetapkan dalam Perlembagaan tidak akan menghadapi masalah selagi tiada ahli politik yang 'nakal'. "Dari semasa ke semasa, Seri Paduka akan dikehendaki membuat keputusan bila timbul masalah yang tidak boleh dikendalikan rakyat. "Yang di-Pertuan Agong dan Sultan merupakan suatu institusi positif untuk negara kita yang kompleks ini kerana Seri Paduka serta Tuanku Sultan sahaja tidak terlibat dengan politik negara dan tidak berat sebelah," tegasnya. Tambahnya, di zaman moden yang mementingkan undang-undang kini, sistem demokrasi berparlimen memberikan kuasa kepada rakyat untuk menentukan semuanya dan ahli politik mahupun Ahli Parlimen perlu patuh kepada rakyat.  "Kita tidak tahu siapa akan menang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) atau jika ada pihak yang mahu atau akan cuba pinda Perlembagaan Negara. "Kandungan Perlembagaan Negara sedia ada sudah cukup baik dan terjaga untuk semua.

Rakyatlah sebenarnya yang bertanggungjawab dalam menjamin keluhuran Perlembagaan," katanya. Kay Kim menegaskan, setakat ini belum ada cabaran politik yang terlalu meruncing ke atas kedudukan Yang di-Pertuan Agong tetapi bukan mudah untuk Seri Paduka mahupun Tuanku Sultan-Sultan untuk campur tangan dalam urusan harian negara. "Namun, sudah menjadi tanggungjawab Seri Paduka untuk cuba menyelesaikan masalah yang timbul tanpa bersikap berat sebelah," jelasnya. Tuanku Mizan bakal menyerahkan tanggungjawab menyambung perjuangan kepada Timbalan Seri Paduka, Sultan Kedah pada 13 Disember ini selaku Yang di-Pertuan Agong ke-14. Kedudukan Tuanku Abdul Halim sebagai Seri Paduka ke-14 mungkin berhadapan dengan cabaran paling getir dalam sejarah negara selepas selesainya PRU-13 kelak.  Dengan persaingan sengit antara dua pihak politik, pengalaman Tuanku Abdul Halim selaku pendamai setelah dua kali ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong mungkin menjadi titik penentu kepada penyatuan rakyat dan kelangsungan Malaysia sebagai negara berdaulat kelak. Semoga segala usaha dan beban yang terpaksa dipikul Tuanku Mizan dan Tuanku Abdul Halim membawa negara ke arah masa depan yang lebih baik demi agama, bangsa dan negara untuk generasi pelapis kelak. Daulat Tuanku.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
10 DISEMBER 2011



1. Puteri Tengku Nadhirah Zaharah (lahir 18 Disember, 1996)
2. Putera Tengku Muhammad Ismail (lahir 1 Mac, 1998)
3. Putera Tengku Muhammad Mua’az (lahir 22 Disember, 2000)
4. Puteri Tengku Fatimatuz Zahra’ (lahir 19 April, 2002)

09 Disember 2011

ISU PENYAKIT : PENJAGAAN KESIHATAN MENTAL PESAKIT AIDS

Penulis ialah Felo Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)


Sudah  hampir 30 tahun penyakit AIDS dan jangkitan HIV bertapak di negara ini dan masyarakat kita sudah amat maklum dan mengetahui apakah sebenarnya jangkitan ini, bagaimana ia boleh tersebar dan kesan tragis yang bakal dibawa dengan penyakit ini. Bagaimanapun hakikatnya, jangkitan HIV masih lagi meningkat, walaupun rawatan yang ada dapat mengurangkan kesan buruk komplikasi HIV/AIDS, namun masyarakat belum boleh merasa selesa dengan perkara ini. Masih banyak perlu dilakukan dalam mempertingkatkan aspek pencegahan penularan dan jangkitan virus ini kepada orang lain. Malah, dari segi rawatan dan penjagaan kesihatan penyakit ini, aspek utama pemulihan belum menyeluruh, kerana ia masih tertumpu di peringkat pemulihan aspek biologi dan fizikal sahaja. Sedangkan sebagai seorang individu, pesakit menyedari bahawa wujud keperluan mengisi segala ruang kekosongan demi pemulihan diri secara total, meliputi aspek mental, emosi, sosial, ekonomi dan spiritual.

Tetapi perkara inilah yang sering tidak menjadi keutamaan dalam aspek pemulihan. Apabila wujudnya keperluan seperti ini, menunjukkan proses pemulihan tidak wajar tertumpu di satu-satu aspek diri individu pesakit, pada peringkat tertentu kehidupan mereka atau melibatkan sesebuah agensi masyarakat sahaja. Ia mungkin akan menjadi tanggungjawab pelbagai peringkat dan agensi lain, malah akan menjadi tanggungjawab seluruh anggota masyarakat. Kemungkinan besar inilah trennya. Persoalannya, adakah masyarakat kita sudah terbuka fikirannya dan bersedia menyambut dan menerima kewujudan pesakit HIV/AIDS di dalam lingkungan kehidupan mereka, atau sebahagian dari anggota masyarakat mereka? Sudah pasti akan timbul pelbagai persoalan dan jawapan, namun perlu diingat, setiap individu yang ada sekarang ini berisiko tinggi terdedah kepada jangkitan HIV yang biasanya atau secara sinonimnya akan berakhir dengan penyakit AIDS. Kajian epidemiologi mendapati jangkitan HIV/AIDS kini turut menjangkiti golongan tidak berisiko tinggi terlibat dengan gaya hidup dan tingkahlaku negatif dan berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan.

Ia turut menjangkiti suri rumah sepenuh masa, kanak-kanak yang tidak bersalah, yang masih lagi di peringkat awal persekolahan seperti di tadika dan taska. Apakah masyarakat masih lagi tergamak untuk memandang serong kepada golongan seperti ini? Adakah masyarakat masih lagi takut, gentar atau malu untuk berdepan dengan mereka? Inilah di antara beberapa stigma yang masih wujud dan melanda pemikiran anggota masyarakat dalam menghadapi isu ini yang sewajarnya diperbaiki. Menghapuskan stigma seperti ini juga merupakan antara objektif mengapa diadakan sambutan Hari Aids Sedunia pada setiap 1 Disember setiap tahun, di samping memperjuangkan hak pesakit untuk mendapatkan rawatan terbaik secara penuh adil serta dapat memperingati insan tersayang yang telah pergi dahulu buat selama-lamanya akibat penyakit ini. Sementara tema pada peringkat Pertubuhan Bangsa Bersatu atau UNAIDS bagi tahun ini pula menyasarkan matlamat tidak akan ada lagi jangkitan baru HIV di dalam masyarakat, tiada lagi kematian akibat AIDS dan tidak wujud lagi diskriminasi terhadap pesakit HIV/AIDS dan keluarga mereka.

Jika ditinjau dari aspek pemulihan pula, rawatan dan penjagaan kesihatan pesakit bagi pemulihan yang menyeluruh masih jauh untuk dicapai. Kita membicarakan model pemulihan dan rawatan yang menyeluruh bagi segenap aspek dan kejadian individu sebagai seorang insan kamil. Tidak dinafikan, penjagaan kesihatan moden dan ubatan menunjukkan pencapaian cemerlang dalam meningkatkan tahap kesihatan dan memanjangkan jangka hayat mereka. Tetapi pemulihan sebagai satu proses tidak wajar terhenti apabila mereka keluar dari wad- wad hospital atau klinik. Tambahan pula, aspek penjagaan dan pemulihan masalah kesihatan mental yang pada hakikatnya perlu turut diberi keutamaan, tetapi seringkali terabai berbanding pemulihan fizikal. Sememangnya sudah banyak kajian dilakukan di banyak negara maju yang mendapati pesakit HIV/AIDS berdepan dengan pelbagai masalah berkaitan kesihatan mental dan pelbagai penyakit neuropsikiatri lain walaupun rawatan diterima berjaya meningkatkan tahap penyembuhan dan memperbaiki kesihatan fizikal mereka.

Namun kualiti kehidupan mereka sebagai seorang individu menurun kerana masalah mental yang tidak dirawat itu. Sudah pasti seseorang yang ditimpa jangkitan dan penyakit ini akan berasa gundah, sedih, kecewa, rasa bersalah, keliru, takut, risau dan bimbang terhadap penyakit dan tahap kesihatan serta masa depan diri dan keluarga mereka. Bukan setakat itu, jangkitan yang dialami pula akan mendedahkan mereka kepada risiko jangkitan terhadap otak dan sistem saraf dan ia akan mengakibatkan gangguan neuropsikiatri lain. Sebahagian besar penghidap dan pesakit HIV/ AIDS akan mengalami kerosakan fungsi kognitif otak mereka yang boleh membawa kepada masalah dementia, ada juga yang mula menghidapi gangguan psikotik yang tidak pernah dialami sebelum mengalami jangkitan ini, dan selebihnya pula mengalami gangguan mood dan efek seperti kemurungan dan kebimbangan serta mania depresif dan sebagainya. Hasil kajian juga mendapati masalah kesihatan mental mereka menjejaskan proses pemulihan kesihatan fizikal mereka, di samping meningkatkan risiko jangkitan kepada orang lain pula.

Malah, kerosakan fungsi kognitif otak yang dialami didapati meningkatkan pula risiko mortaliti di kalangan pesakit seperti ini. Bagi memastikan masalah kesihatan mental ini tidak berlaku, rawatan awal penting kerana ia dapat menghalang penyakit dari menjadi lebih kronik atau serius dan akhirnya sukar untuk dirawat. Tetapi adakah semua pesakit memiliki peluang dan hak yang sama untuk menerima rawatan dan ubatan yang sama? Adakah mereka mempunyai kekuatan tubuh badan dan mental yang sama untuk menghadapi situasi seperti ini? Hakikatnya, ujian tapisan bagi menentukan status kesihatan mental di kalangan mereka pula bukannya menjadi amalan ujian rutin dalam menentukan kaedah rawatan terbaik kepada pesakit seperti mereka. Menjadi tugas dan tanggungjawab siapakah ini untuk memastikan bahawa mereka turut menerima bentuk rawatan dan pemulihan gangguan mental dan emosi yang dialami akibat dari jangkitan ini? Namun program rawatan yang terbaik tetap perlu diaturkan dan diteruskan untuk mereka.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
9 DISEMBER 2011