Tuanku Mizan Zainal Abidin bertitah pada Majlis Santapan Malam Menjunjung Kasih sempena tamat tempoh pemerintahan Seri Paduka Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-13 di Pusat Dagangan Dunia Putra baru-baru ini. Turut berangkat Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah (dua, kanan). Turut sama Najib Tun Abdul Razak (kiri) dan i Rosmah Mansor (kanan). - bernama
Kedudukan Tuanku Mizan Zainal Abidin sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 Malaysia nyata telah dibebani dengan banyak cabaran. Ditabalkan pada 13 Disember 2006, Seri Paduka menjadi Ketua Negara paling muda dibebani pergolakan politik dalam negara yang dilihat semakin membawa perpecahan orang Melayu dan umat Islam. Walaupun pergolakan turut ditanggung baginda Sultan-Sultan di peringkat negeri-negeri yang berdepan dengan kebiadapan sesetengah pihak semata-mata demi menguasai bumi Malaysia, beban berat turut ditanggung Tuanku Mizan di peringkat persekutuan. Sungguhpun golongan yang biadap berpolitik semakin menghampiri tahap durhaka di Perak dan Selangor serta mengundang kemurkaan Sultan di negeri-negeri lain, Yang di-Pertuan Agong ke-13 pula terpaksa berdepan dengan agenda lebih besar pihak tertentu yang mahu mencabar keluhuran Perlembagaan Negara. Ini terutamanya berkaitan kedudukan agama Islam, Raja-Raja Melayu, hak istimewa orang Melayu dan bumiputera sehingga kepada bahasa kebangsaan.
Melalui titah akhir Seri Paduka pada 6 Disember lalu, Tuanku Mizan bertitah mengharapkan Parlimen mampu mempertahankan keluhuran Perlembagaan Persekutuan terutama asas-asas utama tersebut di samping kewajipan ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara mendahulukan dan menjadi suara rakyat jelata. Bagi pakar sejarah, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam, tugas utama Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah sebagai pendamai dan pengaman dalam meredakan situasi yang tegang. "Rakyat melihat kepada baginda Sultan-Sultan terutama sekali kepada Seri Paduka sebagai pengaman, lebih-lebih lagi sejak Pilihan Raya Umum 2008. "Cabaran utama Tuanku Mizan melibatkan cubaan pihak tertentu mempersoalkan ketetapan Perlembagaan di samping ada yang mula berani membuat kenyataan tentang institusi Raja-Raja," katanya. Beliau turut membangkitkan cabaran lain yang melibatkan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), cubaan menghasut rakyat tidak percaya kepada polis dan tindakan biadab ketika krisis di Perak sebelum ini turut terpalit kepada kedudukan Seri Paduka ke-13.
Namun, beliau menganggap Tuanku Mizan sebagai seorang pemerhati yang bijak dengan menyampaikan nasihat serta peringatan kepada parti politik, kerajaan dan rakyat tanpa mencampuri urusan pentadbiran harian. "Seri Paduka telah beberapa kali menyampaikan titah nasihat tentang mengelakkan sikap ekstremis (pelampau), menjaga kedudukan Islam dan mengambil pendekatan sederhana. "Melalui titah di Majlis Santapan Menjunjung Kasih sempena tamat tempoh pemerintahan Seri Paduka beberapa hari lalu, dapat dilihat sehingga ke akhir pemerintahan, Tuanku Mizan tetap cuba menjadi pendamai," ujarnya. Ramlah menegaskan, Yang di-Pertuan Agong sebenarnya mempunyai kuasa besar dalam Perlembagaan Negara dan mempunyai cukup kuasa untuk menangani sebarang ancaman termasuk seperti peritiwa seumpama tragedi 31 Mei 1969. "Kedudukan Seri Paduka tidak tercabar dan jika perlu mampu mengawal keadaan dalam negara bersama semua pihak berkuasa sedia ada. "Sultan-Sultan dan Yang di-Pertuan Agong tidak mencampuri urusan politik serta bersikap neutral, dan ini nyata dalam kedudukan Tuanku Mizan yang tenang dan berhemah ketika bertutur, menjadi contoh yang baik kepada semua," jelasnya.
Beliau juga berharap teguran berulang kali Tuanku Mizan dan Sultan-Sultan tentang menjaga perpaduan, keharmonian, keselamatan negara, hubungan antara kaum, adab sopan dan tata susila diterima dan dipatuhi semua pihak. Tokoh sejarah, Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim pula berpendapat kedudukan dan peranan Yang di-Pertuan Agong yang telah ditetapkan dalam Perlembagaan tidak akan menghadapi masalah selagi tiada ahli politik yang 'nakal'. "Dari semasa ke semasa, Seri Paduka akan dikehendaki membuat keputusan bila timbul masalah yang tidak boleh dikendalikan rakyat. "Yang di-Pertuan Agong dan Sultan merupakan suatu institusi positif untuk negara kita yang kompleks ini kerana Seri Paduka serta Tuanku Sultan sahaja tidak terlibat dengan politik negara dan tidak berat sebelah," tegasnya. Tambahnya, di zaman moden yang mementingkan undang-undang kini, sistem demokrasi berparlimen memberikan kuasa kepada rakyat untuk menentukan semuanya dan ahli politik mahupun Ahli Parlimen perlu patuh kepada rakyat. "Kita tidak tahu siapa akan menang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) atau jika ada pihak yang mahu atau akan cuba pinda Perlembagaan Negara. "Kandungan Perlembagaan Negara sedia ada sudah cukup baik dan terjaga untuk semua.
Rakyatlah sebenarnya yang bertanggungjawab dalam menjamin keluhuran Perlembagaan," katanya. Kay Kim menegaskan, setakat ini belum ada cabaran politik yang terlalu meruncing ke atas kedudukan Yang di-Pertuan Agong tetapi bukan mudah untuk Seri Paduka mahupun Tuanku Sultan-Sultan untuk campur tangan dalam urusan harian negara. "Namun, sudah menjadi tanggungjawab Seri Paduka untuk cuba menyelesaikan masalah yang timbul tanpa bersikap berat sebelah," jelasnya. Tuanku Mizan bakal menyerahkan tanggungjawab menyambung perjuangan kepada Timbalan Seri Paduka, Sultan Kedah pada 13 Disember ini selaku Yang di-Pertuan Agong ke-14. Kedudukan Tuanku Abdul Halim sebagai Seri Paduka ke-14 mungkin berhadapan dengan cabaran paling getir dalam sejarah negara selepas selesainya PRU-13 kelak. Dengan persaingan sengit antara dua pihak politik, pengalaman Tuanku Abdul Halim selaku pendamai setelah dua kali ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong mungkin menjadi titik penentu kepada penyatuan rakyat dan kelangsungan Malaysia sebagai negara berdaulat kelak. Semoga segala usaha dan beban yang terpaksa dipikul Tuanku Mizan dan Tuanku Abdul Halim membawa negara ke arah masa depan yang lebih baik demi agama, bangsa dan negara untuk generasi pelapis kelak. Daulat Tuanku.
SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan