Oleh Azmi hassan
Bukan menjadi rahsia lagi Singapura memperuntukkan perbelanjaan perolehan aset pertahanan yang amat besar walaupun berada dalam rantau yang agak stabil dan jarang melalui konflik ketenteraan yang ekstrem. Pulau tersebut yang hanya sebesar Perlis dan mempunyai penduduk seramai 5.2 juta dijangka akan membelanjakan hampir RM71.3 bilion untuk membeli pesawat peronda, helikopter dan peralatan tentera lain menjelang 2015. Begitu juga dengan bajet pertahanan tahunan Singapura jauh di hadapan dengan menyediakan peruntukan lebih dari RM30 bilion setiap tahun berbanding dengan Malaysia hanya RM2 bilion, satu perbezaan yang begitu ketara. Peruntukan tahunan pertahanan Singapura yang berada dalam lingkungan 5 hingga 6 peratus Keluaran Dalam Kasar Negara (KDNK) adalah antara yang sepuluh tertinggi di dunia. Tetapi jika dikaitkan dengan per kapita pula, maka peruntukan tersebut adalah kedua tertinggi di dunia iaitu hanya di belakang Israel. Begitu juga jika dikaitkan dengan jumlah jet pejuang F-15 dengan nisbah keluasan negara, Singapura dalam kes ini berada jauh di hadapan di ikuti oleh Israel dan negara-negara lain yang mempunyai F-15.
Hakikatnya adalah segala apa jua yang berkaitan dengan pertahanan Singapura, statistik dan fakta menggambarkan sesuatu yang ekstrem. Tetapi anehnya rakyat mereka menerima hakikat tersebut sebagai keperluan untuk melangsungkan kemajuan negara mereka. Tetapi begitu ironis sekali kerana sebilangan rakyat Malaysia tidak mempunyai persepsi pertahanan yang selari seperti mana yang dimiliki oleh rakyat Singapura. Sesetengah pihak di Malaysia begitu gemar mencampur-adukan isu pertahanan dengan politik sehinggakan mengaburi fakta semata-mata kepentingan agenda politik masing-masing. Pihak pembangkang terutama sekali DAP sering mempertikaikan keupayaan aset pertahanan terbaru kapal selam negara iaitu KD Tun Razak dan KD Tunku Abdul Rahman. Begitu juga dengan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa (LIMA) yang dilangsungkan setiap dua tahun di Pulau Langkawi bagaikan dijadikan kambing hitam dan sumber untuk mengkritik kerajaan sebagai satu usaha yang membazir dan tidak memberi faedah kepada negara dan rakyat. Secara tersuratnya sememangnya LIMA boleh ditafsirkan sebagai pertunjukan aset pertahanan terkini dan termaju kerana itu adalah sebahagian dari objektif yang telah ditentukan. Tetapi apa yang lebih penting adalah habuan tersirat yang disumbangkan oleh LIMA tetapi sering diketepikan oleh pihak yang mengkritik.
DIUNGKITKAN
Menarik jika diungkitkan titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika baginda melakukan lawatan kerja ke LIMA beberapa hari lepas. Baginda bertitah supaya industri pertahanan negara perlu lebih peka kepada perubahan landskap keselamatan supaya ia sentiasa ke hadapan dan kekal bersaing dalam dunia yang semakin mencabar. "Sebagai tambahan terhadap aspek keselamatan, ia mempengaruhi permintaan sistem pertahanan dan kelengkapan lebih canggih dan berteknologi tinggi," tambah baginda. Pandangan Raja Muda Perlis adalah selari dengan pengasas LIMA iaitu bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menegaskan sejak pameran tersebut mula dianjurkan pada tahun 1991, ia telah berjaya mengembangkan sektor industri pertahanan tempatan khususnya yang berkaitan dengan aeroangkasa. Industri aeroangkasa negara bagaikan tidak wujud terutama sekali pada tahun 1970 dan 1980-an dan tidak begitu banyak menyumbang kepada KDNK. Bukan itu sahaja, LIMA telah dipergunakan sebaik-baiknya oleh industri aeroangkasa tempatan untuk melangsungkan kerjasama pintar dengan syarikat aeroangkasa yang lebih maju.
Industri aeroangkasa negara telah menyumbang RM12.7 bilion atau 3.6 peratus KDNK pada tahun 2002 dan dijangkakan meningkat sehingga 8 peratus menjelang tahun 2015. Malaysia sudah tentu tidak mahu ketinggalan dalam industri aeroangkasa walaupun penuh dengan cabaran tetapi memberikan pulangan yang lumayan sekali. Tetapi apa yang penting ialah industri ini dilihat bukan sahaja sebagai pemacu ekonomi sesebuah negara tetapi juga dianggap sebagai faktor penting penentuan sistem pertahanan dan kedaulatan sesebuah negara. Pada ketika ini industri aeroangkasa negara diwakili oleh hampir 200 syarikat yang dianggap sebagai bilangan yang besar bagi sebuah negara yang kecil. Antara pemain utama industri aeroangkasa negara ialah Composite Technology Research Malaysia (CTRM), Airod Sdn. Bhd, Astronautic Technology Sdn. Bhd. (ATSB) dan Zetro Aerospace yang masing-masing mempunyai kekuatan dalam bidang tertentu. Singapura sebaliknya tidak mempunyai industri aeroangkasa yang kuat seperti Malaysia tetapi kelemahan tersebut ditimbal balas dengan bajet pertahanan yang lumayan.
Umpamanya sistem pertahanan peluru berpandu Iron Dome yang dibangunkan oleh Rafael Advanced Defense System Israel adalah dipercayai dibiayai sebahagiannya oleh Singapura. Israel menghebohkan bahawa Iron Dome dibentuk untuk mempertahankan dari serangan roket Qassam and Katyusha yang berpunca dari Genting Gaza. Tetapi jika benar Singapura telah membiayai Iron Dome maka spesifikasi peluru berpandu tersebut sudah pasti mengikut kehendak republik tersebut. Sebaliknya Malaysia tidak boleh mengharapkan pengamalan strategi seperti Singapura untuk membangunkan sistem pertahanan kerana tidak mempunyai peruntukan pertahanan yang lumayan. Tidak ada cara lain selain dari mengharapkan industri pertahanan tempatan yang berkait rapat dengan bidang aeroangkasa untuk memastikan kedaulatan negara tidak diceroboh. Satu perkara yang menarik ialah Singapura telah meletakkan asas kemakmuran industri pertahanan mereka sebagai salah satu faktor utama doktrin pertahanan yang mementingkan konsep cegah rintang sebagai asas kekuatan mereka. Malah tidak keterlaluan jika diandaikan kemakmuran industri pertahanan adalah lebih penting berbanding strategi diplomasi sebagai penentu kedaulatan Singapura.
LIMA sepatutnya digunakan sebaik-baik sebagai landasan untuk melonjakkan industri pertahanan negara kerana keunikannya yang merangkumi sistem pertahanan laut, udara dan juga darat yang mampu menarik perhatian dunia. Mahu tidak mahu rakyat Malaysia perlu menerima hakikat bahawa kedaulatan negara berkait rapat dengan sistem pertahanan negara. Pilihan Malaysia agak terhad kerana tidak mampu membuat perolehan aset pertahanan mengikut kemahuan. Negara perlu bergantung kepada kekuatan industri pertahanan tempatan terutama sekali bidang aeroangkasa. Landasan LIMA adalah pemangkin terbaik dan paling optimum untuk merealisasikan hasrat tersebut. Sudah tiba masanya rakyat membuat anjakan dan perubahan daripada sikap pasif dan negatif kepada sikap lebih prihatin terhadap hal ehwal yang berkait rapat dengan isu pertahanan negara. Tidak salah untuk mempersoalkan strategi dan jumlah peruntukan pertahanan negara tetapi jangan sampai ke tahap memperlekehkan atau mempersenda apa yang dimiliki.
SUMBER
MINGGUAN MALAYSIA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan