JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



09 Disember 2011

ISU PENYAKIT : PENJAGAAN KESIHATAN MENTAL PESAKIT AIDS

Penulis ialah Felo Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)


Sudah  hampir 30 tahun penyakit AIDS dan jangkitan HIV bertapak di negara ini dan masyarakat kita sudah amat maklum dan mengetahui apakah sebenarnya jangkitan ini, bagaimana ia boleh tersebar dan kesan tragis yang bakal dibawa dengan penyakit ini. Bagaimanapun hakikatnya, jangkitan HIV masih lagi meningkat, walaupun rawatan yang ada dapat mengurangkan kesan buruk komplikasi HIV/AIDS, namun masyarakat belum boleh merasa selesa dengan perkara ini. Masih banyak perlu dilakukan dalam mempertingkatkan aspek pencegahan penularan dan jangkitan virus ini kepada orang lain. Malah, dari segi rawatan dan penjagaan kesihatan penyakit ini, aspek utama pemulihan belum menyeluruh, kerana ia masih tertumpu di peringkat pemulihan aspek biologi dan fizikal sahaja. Sedangkan sebagai seorang individu, pesakit menyedari bahawa wujud keperluan mengisi segala ruang kekosongan demi pemulihan diri secara total, meliputi aspek mental, emosi, sosial, ekonomi dan spiritual.

Tetapi perkara inilah yang sering tidak menjadi keutamaan dalam aspek pemulihan. Apabila wujudnya keperluan seperti ini, menunjukkan proses pemulihan tidak wajar tertumpu di satu-satu aspek diri individu pesakit, pada peringkat tertentu kehidupan mereka atau melibatkan sesebuah agensi masyarakat sahaja. Ia mungkin akan menjadi tanggungjawab pelbagai peringkat dan agensi lain, malah akan menjadi tanggungjawab seluruh anggota masyarakat. Kemungkinan besar inilah trennya. Persoalannya, adakah masyarakat kita sudah terbuka fikirannya dan bersedia menyambut dan menerima kewujudan pesakit HIV/AIDS di dalam lingkungan kehidupan mereka, atau sebahagian dari anggota masyarakat mereka? Sudah pasti akan timbul pelbagai persoalan dan jawapan, namun perlu diingat, setiap individu yang ada sekarang ini berisiko tinggi terdedah kepada jangkitan HIV yang biasanya atau secara sinonimnya akan berakhir dengan penyakit AIDS. Kajian epidemiologi mendapati jangkitan HIV/AIDS kini turut menjangkiti golongan tidak berisiko tinggi terlibat dengan gaya hidup dan tingkahlaku negatif dan berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan.

Ia turut menjangkiti suri rumah sepenuh masa, kanak-kanak yang tidak bersalah, yang masih lagi di peringkat awal persekolahan seperti di tadika dan taska. Apakah masyarakat masih lagi tergamak untuk memandang serong kepada golongan seperti ini? Adakah masyarakat masih lagi takut, gentar atau malu untuk berdepan dengan mereka? Inilah di antara beberapa stigma yang masih wujud dan melanda pemikiran anggota masyarakat dalam menghadapi isu ini yang sewajarnya diperbaiki. Menghapuskan stigma seperti ini juga merupakan antara objektif mengapa diadakan sambutan Hari Aids Sedunia pada setiap 1 Disember setiap tahun, di samping memperjuangkan hak pesakit untuk mendapatkan rawatan terbaik secara penuh adil serta dapat memperingati insan tersayang yang telah pergi dahulu buat selama-lamanya akibat penyakit ini. Sementara tema pada peringkat Pertubuhan Bangsa Bersatu atau UNAIDS bagi tahun ini pula menyasarkan matlamat tidak akan ada lagi jangkitan baru HIV di dalam masyarakat, tiada lagi kematian akibat AIDS dan tidak wujud lagi diskriminasi terhadap pesakit HIV/AIDS dan keluarga mereka.

Jika ditinjau dari aspek pemulihan pula, rawatan dan penjagaan kesihatan pesakit bagi pemulihan yang menyeluruh masih jauh untuk dicapai. Kita membicarakan model pemulihan dan rawatan yang menyeluruh bagi segenap aspek dan kejadian individu sebagai seorang insan kamil. Tidak dinafikan, penjagaan kesihatan moden dan ubatan menunjukkan pencapaian cemerlang dalam meningkatkan tahap kesihatan dan memanjangkan jangka hayat mereka. Tetapi pemulihan sebagai satu proses tidak wajar terhenti apabila mereka keluar dari wad- wad hospital atau klinik. Tambahan pula, aspek penjagaan dan pemulihan masalah kesihatan mental yang pada hakikatnya perlu turut diberi keutamaan, tetapi seringkali terabai berbanding pemulihan fizikal. Sememangnya sudah banyak kajian dilakukan di banyak negara maju yang mendapati pesakit HIV/AIDS berdepan dengan pelbagai masalah berkaitan kesihatan mental dan pelbagai penyakit neuropsikiatri lain walaupun rawatan diterima berjaya meningkatkan tahap penyembuhan dan memperbaiki kesihatan fizikal mereka.

Namun kualiti kehidupan mereka sebagai seorang individu menurun kerana masalah mental yang tidak dirawat itu. Sudah pasti seseorang yang ditimpa jangkitan dan penyakit ini akan berasa gundah, sedih, kecewa, rasa bersalah, keliru, takut, risau dan bimbang terhadap penyakit dan tahap kesihatan serta masa depan diri dan keluarga mereka. Bukan setakat itu, jangkitan yang dialami pula akan mendedahkan mereka kepada risiko jangkitan terhadap otak dan sistem saraf dan ia akan mengakibatkan gangguan neuropsikiatri lain. Sebahagian besar penghidap dan pesakit HIV/ AIDS akan mengalami kerosakan fungsi kognitif otak mereka yang boleh membawa kepada masalah dementia, ada juga yang mula menghidapi gangguan psikotik yang tidak pernah dialami sebelum mengalami jangkitan ini, dan selebihnya pula mengalami gangguan mood dan efek seperti kemurungan dan kebimbangan serta mania depresif dan sebagainya. Hasil kajian juga mendapati masalah kesihatan mental mereka menjejaskan proses pemulihan kesihatan fizikal mereka, di samping meningkatkan risiko jangkitan kepada orang lain pula.

Malah, kerosakan fungsi kognitif otak yang dialami didapati meningkatkan pula risiko mortaliti di kalangan pesakit seperti ini. Bagi memastikan masalah kesihatan mental ini tidak berlaku, rawatan awal penting kerana ia dapat menghalang penyakit dari menjadi lebih kronik atau serius dan akhirnya sukar untuk dirawat. Tetapi adakah semua pesakit memiliki peluang dan hak yang sama untuk menerima rawatan dan ubatan yang sama? Adakah mereka mempunyai kekuatan tubuh badan dan mental yang sama untuk menghadapi situasi seperti ini? Hakikatnya, ujian tapisan bagi menentukan status kesihatan mental di kalangan mereka pula bukannya menjadi amalan ujian rutin dalam menentukan kaedah rawatan terbaik kepada pesakit seperti mereka. Menjadi tugas dan tanggungjawab siapakah ini untuk memastikan bahawa mereka turut menerima bentuk rawatan dan pemulihan gangguan mental dan emosi yang dialami akibat dari jangkitan ini? Namun program rawatan yang terbaik tetap perlu diaturkan dan diteruskan untuk mereka.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
9 DISEMBER 2011


Tiada ulasan: