12 November 2011

ISU PENDIDIKAN : GURU KERJA 9 JAM MULAI TAHUN 2012?

Oleh JAMLIAH ABDULLAH


Kira-kira 5,000 guru dari hampir 104 buah sekolah di seluruh negara akan menjadi perintis kepada sistem waktu bekerja sembilan jam mulai Januari tahun 2012, kata Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP). Presidennya, Hashim Adnan berkata, pihaknya difahamkan sistem waktu bekerja baharu itu akan dilaksanakan di empat buah negeri iaitu Pahang, Melaka, Johor dan Sarawak dengan tempoh percubaan selama enam bulan sebelum diperhalusi oleh Kementerian Pelajaran. Katanya, pihak NUTP bagaimanapun berpendapat waktu bekerja tersebut tidak sesuai diamalkan di sekolah. Jelas beliau, pihaknya menerima maklum balas daripada guru terlibat yang bimbang dan tertekan ekoran perubahan waktu kerja baharu itu. NUTP berpendapat sistem bekerja sembilan jam seperti penjawat awam lain di pejabat tidak boleh diguna pakai dalam pendidikan sekolah.

Selain bertugas sebagai pendidik, guru juga dibebani dengan tugas perkeranian termasuk mengisi data dan sebagainya. Malah, ada masanya guru terpaksa bertugas Sabtu dan Ahad untuk aktiviti badan beruniform, sukan dan kelas tambahan. Menjelaskan lebih lanjut, kata Hashim, tempoh percubaan waktu berkerja sembilan jam sehari di sekolah terpilih itu akan dilaksanakan dua sesi iaitu 7.30 pagi hingga 4.30 petang dan 1.30 petang hingga 6.30 petang selama enam bulan. Kesatuan dimaklumkan bahawa para guru di sekolah terlibat sudah diberikan taklimat berhubung perkara ini. Walaupun ia tempoh percubaan sebelum diperhalusi pelaksanaannya oleh Kementerian Pelajaran, ramai guru sudah merasa tertekan dan kita bimbang perkara ini akan menganggu tugas mereka di sekolah. Sehubungan itu, kata Hashim, NUTP menggesa kerajaan supaya mengkaji semula perkara tersebut.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
12 NOVEMBER 2011

PANDANGAN PERIBADI CIKGU ZUL

Hanya guru yang memahami susah payah dan suka duka kehidupan seorang guru. Walau bagaimanapun, pihak yang mencadangkan usul ini harus memahami persekitaran kerja golongan guru berbanding dengan mereka yang berada dalam bidang bukan guru. Sekolah memanglah tempat yang indah yang dibina untuk menjana modal  insan yang bakal menjadi peneraju negara pada masa hadapan. Jika rakan-rakan di jabatan lain, enak bekerja dalam pejabat yang berhawa dingin, guru pula terpaksa berpeluh-peluh mengajar di dalam kelas yang panas dan merimaskan. Bayangkanlah, suasana dalam kelas sewaktu pukul 1.00 hingga pukul 3.00 petang. Dalam pada itu, guru pula terpaksa turun pada hari Sabtu dan Ahad untuk melakukan kerja-kerja lain yang diarahkan di sekolah dan pelbagai aktiviti kokurikulum. Sebenarnya, pada masa sekarang pun guru terpaksa menyiapkan pelbagai jenis tugas selepas waktu persekolahan. Selepas habis waktu mengajar pada pukul 1.00 petang, guru pula terpaksa mengajar kelas tambahan sehingga pukul 4.30 petang atas arahan pihak sekolah. Pada sebelah malam pula, hampir 90% guru menghabiskan masa untuk menyemak kerja-kerja pelajar sehingga anak dan isteri mengeluh kerana ayah tersayang asyik sibuk dengan kerja sendiri.

Orang yang tidak pernah menjadi guru dan bukan guru sentiasa menafikan fakta bahawa guru merupakan insan yang paling sibuk. Tugas membentuk insan hingga menjadi intelektual, berakal, dan berkeperibadian mulia bukannya semudah yang dipandang dan sesenang yang dilihat. Benarlah kata pepatah, kacang begitu mudah lupakan kulit kerana golongan cerdik pandai yang dilahirkan, ditempa, dan dibentuk oleh gurulah yang meyelar gurunya sendiri lantaran sikap iri hati dan dengki yang tiada penghujung. Mereka terlupa sewaktu mereka bersekolah guru mengajar kelas tambahan siang dan malam, bersengkang mata menyemak dan menanda kertas peperiksaan, mengutip yuran, menanda buku kedatangan, memeriksa dan menjaga sewaktu mereka makan dan perhimpunan, mengajar mereka berkawat kaki pada hari Sabtu, dan beribu-ribu lagi tugas yang terpaksa dilakukan demi memastikan mereka menjadi juara dan berjaya. Apabila melihat perhatian kerajaan lebih tertumpu kepada golongan guru, mereka mulalah bersuara, mengungkit dan membangkit serta mempersoalkan cara guru bekerja tanpa terlebih dahulu menganalisis dan menyelidik. Jika ingin tahu resam hidup seorang guru, jadilah guru atau bertemu jodoh dengan guru. Jangan hanya menuduh melulu bahawa tugas guru ini terlalu senang.

ISU EKONOMI : MENERUSKAN MOMENTUM ETP

Oleh NURUL ANUAR KARI


PULAU KOH LARN, PATTAYA, THAILAND

Pengumuman sembilan projek baru di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) bernilai RM2.5 bilion termasuk 12,027 peluang pekerjaan baru di pelbagai sektor oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin membuktikan inisiatif transformasi itu semakin berjaya. Ditambah dengan empat projek yang diumumkan sebelum ini, 13 projek tersebut berjaya membawa masuk pelaburan bernilai RM5.85 bilion ke Malaysia. Dengan perangkaan akan menjana RM8.68 bilion pendapatan negara kasar (GNI), perkembangan terbaru ETP itu juga bakal mewujudkan 16,092 peluang pekerjaan baru menjelang 2020. Perdana Menteri juga mengumumkan tiga syarikat baru turut serta dalam pelaburan ETP negara iaitu IBM Corp., Toshiba dan Akamai Technologies. IBM akan melabur sebanyak RM1 bilion bagi membangunkan pusat penyampaian global yang baru di Cyberjaya, Toshiba melabur RM268 juta bagi ibu pejabat operasi serantau dan Akamai Technologies akan bekerjasama dengan Telekom Malaysia bagi projek Netstorage bernilai RM390,000.

Projek-projek baru itu juga akan melibatkan sektor penjagaan kesihatan, perindustrian kimia-oleo, kandungan dan infrastruktur komunikasi, pertanian serta pembangunan teknologi sementara empat projek yang diumumkan sebelum ini melibatkan sektor minyak dan gas, kelapa sawit serta aero angkasa telah memasuki peringkat pelaksanaan. Najib menjelaskan, sesetengah projek permulaan (EPP) mempunyai lebih daripada satu projek dengan keseluruhan 97 projek sedang dalam pelbagai peringkat pelaksanaan di bawah ETP. Pengumuman inisiatif terbaru di bawah ETP itu juga telah beberapa kali dibuat dengan setiap satu membawa perkembangan positif pelaburan, sumbangan GNI dan peluang pekerjaan baharu yang semakin meningkat sejak program transformasi tersebut mula diumumkan. Sejak mula diperkenalkan pada Oktober 2010, ETP merekodkan sejumlah RM177.1 bilion nilai pelaburan dengan unjuran RM237.23 bilion pulangan GNI serta 389,263 peluang pekerjaan baru seterusnya menyangkal pendapat golongan tertentu bahawa inisiatif kerajaan itu tidak realistik dan mustahil untuk dicapai.

Semua ini merupakan perkembangan positif bagi mencapai sasaran mengubah Malaysia menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 dengan 97 projek dalam fasa pelaksanaan melibatkan pelaburan bernilai RM10 bilion telah dilaksanakan setakat ini. Jumlah pelaburan itu merangkumi 64 peratus daripada sasaran pelaburan berjumlah RM15 bilion untuk tahun ini. Perdana Menteri juga gembira dengan perkembangan positif selepas hanya 12 bulan pelancaran ETP di samping peningkatan keyakinan sektor swasta terhadap ekonomi negara yang semakin meningkat hasil tumpuan kerajaan kepada 12 bidang pertumbuhan utama. Pelaburan sektor swasta pada separuh pertama 2011 dilaporkan meningkat sebanyak 23.4 peratus kepada RM51.2 bilion dan mengatasi pelaburan awam bagi tempoh yang sama. Bagi pemerhati veteran hal ehwal ekonomi negara, Profesor Dr. Amir Baharuddin, inisiatif kerajaan melalui ETP sewajarnya disokong kerana nyata sekali semuanya demi kebaikan rakyat dan negara.

Walaupun kerajaan telah berjaya membawa masuk pelaburan besar dan peluang pekerjaan yang banyak, beliau menegaskan aspek persediaan menghadapi pelbagai kemungkinan tidak boleh diabaikan terutamanya jika boleh menjejaskan hasil dan pelaksanaan ETP. "Lihat sahaja banjir di Thailand dan tsunami di Jepun. Kesannya telah 'melimpah' ke dalam ekonomi Malaysia. "Kini harga emas terus naik serta masalah dihadapi matawang Euro dan Dollar Amerika juga mungkin memberi kesan negatif kepada perancangan ekonomi kita," ujarnya. Beliau juga mengingatkan pihak yang terlibat dalam menasihatkan Perdana Menteri menyampaikan maklumat sebenar tanpa sebarang agenda agar keputusan kerajaan adalah yang terbaik untuk rakyat dan negara. "Ekonomi kita terbuka kepada perubahan luar, lebih daripada ekonomi Jepun dan kerana itu kerajaan perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan. "Gunakan pengalaman untuk menyesuaikan perancangan dan tindakan dengan keadaan semasa dan sudah pasti objektif ETP mampu dicapai dengan jayanya kelak," katanya. Oleh itu, Amir menyarankan beberapa siri perancangan jangka pendek disediakan bagi menghadapi kebarangkalian perubahan peringkat global yang kini dilihat tidak stabil dan boleh memberi kesan negatif kepada ETP.

"Adakah kita sudah bersedia untuk menghadapi pelbagai kebarangkalian yang berlaku di seluruh dunia? "Pelaksanaan perancangan perlu disesuaikan dengan keadaan semasa dunia dan dalam perancangan jangka panjang sebegini kita perlu sentiasa bersedia," tegasnya. Beliau juga berharap semua pihak mengambil kira apa yang difikirkan rakyat di peringkat akar umbi dan persoalan yang timbul di minda mereka. "Siapa yang mendapat habuannya? Macam mana orang kecil mendapat manfaatnya? Bagaimana kesannya ke atas hutang negara? "Apa jaminan perancangan tersebut tidak merosakkan ekonomi negara? Ini antara apa yang rakyat fikirkan bila menyebut tentang ekonomi negara, ekonomi rakyat jelata," katanya. Sesungguhnya kerajaan terbukti mampu mencapai sasaran membawa masuk pelaburan dari dalam dan luar negara demi mengejar ekonomi negara maju menjelang 2020. Namun, usaha untuk menjaga pelaburan dan peluang pekerjaan yang berjaya diperolehi kerajaan itu adalah lebih sukar terutama sekali jika berlaku perubahan mendadak di peringkat global. Justeru, momentum dalam pelaksanaan ETP perlu dijaga rapi bukan sahaja dari sudut perolehan malahan dari sudut persediaan negara menghadapi sebarang kemungkinan dan pelaksanaan mengikut kesesuaian keadaan semasa.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
12 NOVEMBER 2011


ISU EKONOMI : APABILA HANYA BERSANDARKAN PADA MAKLUMAT BASI ...

Oleh Saranan Salleh


PANTAI SANTUBONG, SARAWAK

Hari ini Bank Dunia menerbitkan Laporan Pantauan Ekonomi untuk November 2011 yang menyentuh tentang kunci kepada kejayaan ekonomi Malaysia adalah keterangkuman (inclusiveness). Tidak ada perkara-perkara baru yang dibentangkan dalam laporan itu. Misalnya untuk memperbaiki kemiskinan dan ketidaksamaan, kita kena mengamalkan dasar-dasar yang memperbaiki modal insan. Ini termasuklah memberi peluang dengan menggalakkan penghijrahan pekerja ke tempat-tempat yang wujudnya peluang pekerjaan dan memberikan kelonggaran perkara berkaitan buruh, menggalakkan pendidikan di kawasan-kawasan yang kurang diberikan perhatian dan memperbaiki sistem latihan vokasional dan memperkukuhkan pembangunan kemahiran yang dipandukan oleh industri dan majikan. Langkah seterusnya disebut adalah memperkukuhkan program keselamatan sosial supaya sampai kepada yang memerlukan. Tidak ada apa yang baru hendak diketengahkan dan di kalangan perkara yang telah dibangkitkan, langkah-langkah sedang diambil untuk melaksanakannya. Bukan boleh dipetik untuk jadi begitu sahaja.

Memang tidak hairan kalau badan-badan seperti Bank Dunia ini gemar menerbitkan laporan-laporan yang sedikit sebanyak menanam bibit-bibit keraguan atas apa jua usaha yang ingin kita lakukan. Laporan mereka selalunya disokong dengan butir-butir yang seolah-olah meneropong setiap helai dan lapisan dalam fabrik ekonomi kita. Di sinilah pihak penggubal dan pelaksana dasar-dasar kita tidak wajar tergugat dengan usaha mereka yang mungkin mempersoalkan satu persatu daripada usaha-usaha yang ingin kita lakukan. Kita semua tahu tentang pelbagai program transformasi kerajaan yang sedang dirancang dan dilaksanakan serta kejayaan yang telah tercapai dan apa yang baik kita lakukan. Badan-badan dunia memang cepat mencari kelemahan-kelemahan untuk dihebahkan. Mereka yang kurang memberikan perhatian teliti tentang apa yang berlaku boleh menghindarkan diri daripada melabur di negara kita ini malahan sektor swasta kita sendiri kalau bergantung kepada laporan-laporan yang melemahkan juga akan terpengaruh.

Kita wajar mempunyai suatu jabatan perhubungan awam (public relation) yang mampu menangkis laporan-laporan yang hanya untuk menimbulkan keraguan, misalnya walaupun kita mencapai 7.4 peratus (%) tetapi itu bersandarkan kepada asas yang lebih rendah dan sebagainya. Jabatan ini wajar bersifat antarabangsa supaya mengumpul maklumat tentang negara kita dan bertindak menangkis perkara yang negatif secepat mungkin. Kita juga wajar memantau ahli politik kita yang gemar menabur fitnah tentang negara kita supaya dapat menangkis fitnah mereka secepat mungkin. Kita mesti sedar tujuan pembangkang adalah menimbulkan keraguan atas setiap usaha yang dilakukan oleh kerajaan, semuanya tak ada yang baik kerana moto mereka pecah dan perintah dan segala institusi yang boleh ditimbulkan keraguan wajar diberikan tentangan. Lihat saja apa yang berlaku sekarang. Justeru jabatan atau badan ini wajar bertindak seperti satu badan perisik supaya pihak tertentu tidak menggunakan maklumat yang sudah basi.

DATO’ SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia).

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
12 NOVEMBER 2011



11 November 2011

ISU BAHASA : SEKTOR KEWANGAN WAJAR MARTABAT BAHASA MELAYU

Oleh Nazura Ngah


BUKIT BENDERA, PULAU PINANG

Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa sektor kewangan dan insurans mematuhi pekeliling mengenai penggunaan bahasa kebangsaan dalam bidang kewangan bagi memartabatkan penggunaan bahasa Melayu.  Timbalan Perdana Menteri, berkata sejak 1997 kerajaan melalui Bank Negara Malaysia (BNM) mengeluarkan beberapa surat pekeliling meliputi semua urusan surat menyurat dan dokumen, selain dokumen komprehensif seperti kontrak, perjanjian dan polisi insurans atau sijil takaful perlu disediakan dalam satu bahasa. Sehubungan itu, katanya, BNM diharap meningkatkan penguatkuasaan terhadap pekeliling berkenaan. Beliau juga menyarankan BNM serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melakukan pengauditan bahasa ke atas institusi kewangan termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) melalui penarafan bintang.  “Pengauditan ini perlu dilakukan ke atas tahap dan mutu penggunaan bahasa Melayu dalam semua urusan institusi dan syarikat. Penarafan ini akan menjadi kayu ukur kepada pencapaian institusi kewangan dari segi penggunaan bahasa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada majlis perasmian Simposium Penggunaan Bahasa Kebangsaan Sektor Kewangan dan Insurans di Auditorium Sasana Kijang, BNM. Muhyiddin juga berharap Kementerian Kewangan menyesuaikan pemakaian pekeliling perkhidmatan ‘Panduan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam’ yang dikeluarkan 28 Oktober lalu kepada sektor kewangan termasuk GLC.  Selaras dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI), katanya, kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan dipengerusikan oleh beliau pada 30 November tahun lalu.  Katanya, Jawatankuasa Kecil Kewangan dan Insurans dipengerusikan Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan dianggotai beberapa bank, pertubuhan bukan kerajaan, tokoh bahasa dan DBP diharap berperanan merancang program kebahasaan dan memantau penggunaan bahasa dalam sektor kewangan.  “Saya menggesa institusi kewangan supaya melaksanakan tanggungjawab sosial korporat terhadap bahasa kebangsaan. Saya tidak nampak penggunaan bahasa kebangsaan dalam sektor kewangan akan mendatangkan masalah besar,” katanya.

SUMBER
BERITA HARIAN
11 NOVEMBER 2011


ISU NUKLEAR : MEMBETULKAN MAKLUMAT "MENYESATKAN"

Oleh
Prof Dr. Ismail Bahari
Pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia
Penyelidik bidang keselamatan sinaran dan keselamatan industri lebih 30 tahun.


KAWASAN PROJEK LYNAS 
DI KUANTAN, PAHANG

Terlalu banyak maklumat salah yang boleh 'menyesatkan' pembaca yang saya dapati pada temu bual dengan seorang yang dikatakan sebagai 'pakar nuklear', seperti mana dilaporkan dalam akhbar terbitan parti pembangkang baru-baru ini. Bukan tujuan untuk memperkecil-kecilkan kepakaran 'pakar nuklear' yang ditemu bual itu, tetapi untuk membetulkan daripada sudut fakta ilmiah semata-mata.

* Panel penasihat Agensi Tenaga dan Atom Antarabangsa (IAEA) yang membuat penyelidikan dan keputusan bagi projek Lynas Advanced Manufacturing Plant (LAMP) di Gebeng, Kuantan telah menyembunyikan maklumat tentang wujudnya bahan-bahan uranium dan thorium dalam projek tersebut.

Untuk penjelasan, panel IAEA ini adalah panel pakar yang dipertanggungjawabkan untuk menaksir kesan dan risiko radiologi akibat pelaksanaan projek Lynas ini. Bermakna, mereka dipanggil untuk memberi pandangan bebas terhadap isu radionuklid semula jadi bahan-bahan uranium dan thorium. Ini telah disebut dengan jelas dalam laporan panel pakar IAEA itu sendiri, agak pelik jika hal ini tidak disedari sekiranya laporan ini benar-benar dibaca dan difahami oleh 'pakar nuklear' berkenaan.

* Kadar bahan radioaktif dalam nadir bumi adalah rendah tetapi jumlah yang dibawa masuk besar.

Istilah tepat sepatutnya ialah kepekatan aktiviti bukan kadar bahan radioaktif. Jika kepekatan aktiviti radionuklid adalah rendah seperti diakui oleh 'pakar nuklear' itu sendiri, maka dosnya sudah pasti rendah. Aras dos rendah kepada pekerja Lynas dan orang ramai sekitar kilang Lynas telah dilaporkan dalam Penaksiran Impak Radiologi (RIA) yang dibentangkan kepada pihak Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB). Perlu ditekankan bahawa operasi Lynas tidak memekatkan kepekatan aktiviti thorium. Kepekatan aktiviti thorium dalam pekatan lantinid adalah sama dengan kepekatan aktiviti residu (iaitu sekitar 6 Bq g-1)

* Bahan buangan mengandungi uranium dan thorium dicampak ke dalam kawasan pembuangan seluas 48 hektar, kemudian menjadi pekatan yang menghasilkan gas radon selain habuk-habuk thorium dan uranium.

Sedangkan, 'bahan buangan' tidak dicampakkan ke dalam kawasan pembuangan sewenang-wenangnya. Sebaliknya, disimpan sementara dalam sel yang direka dan dibina khas, selaras dengan piawaian antarabangsa yang diiktiraf selamat. Kaedah kejuruteraan yang digunakan ini serta sifat fiziko-kimia uranium dan thorium itu sendiri akan memastikan tidak berlaku penyebaran gas radon/thoron serta habuk mengandungi uranium dan thorium yang memudaratkan manusia. Perlu ditekankan bahawa RIA ke atas projek ini mendapati potensi penyebaran gas thoron adalah sangat kecil dan sukar diukur. Perlu ditekankan juga persekitaran semula jadi sendiri mempunyai uranium dan thorium yang masing-masing membebaskan gas radon dan thoron.

* Betapa bahan uranium yang terdapat dalam projek Lynas ini adalah sama dengan yang digunakan dalam loji nuklear Fukushima di Jepun.

Sedangkan, ini adalah maklumat yang sangat tidak lengkap, menyesatkan malahan berbahaya. Memang U-238 terkandung dalam bahan proses Lynas adalah sama jenisnya dengan yang digunakan dalam reaktor nuklear di Fukushima tetapi kepekatan yang terdapat pada kedua-duanya adalah berbeza ' ibarat langit dan bumi'. Uranium semula jadi (seperti yag digunakan oleh Lynas) terdiri daripada 0.7 peratus (%) U-235 dan 99.3% U-238. U-235 adalah bahan belahan dalam bahan api nuklear yang sangat penting untuk memulakan tindak balas nuklear. Dalam bahan api nuklear kepekatan U-235 diperkaya menjadi 5%. Dalam reaktor nuklear Fukushima yang menggunakan bahan api MOX atau campuran bahan belahan oksida, U-235 tidak digunakan dalam bahan api nuklear tetapi digantikan dengan Plutonium-239 (radionuklid ini tidak terdapat secara semula jadi dalam alam sekitar dan tidak ada dalam bahan pekatan yang digunakan Lynas). Sepekara lagi, uranium bukan hanya ada dalam bahan api nuklear dan pekatan lanthanid Lynas (28 ppm) sahaja tetapi wujud dalam baja (boleh mencapai 400 ppm) dan arang batu (> 100 ppm). Secara anologi, 'pakar nuklear' berkenaan seolah-olah menyatakan bahawa tanah di Pahang atau keseluruhan Malaysia mempunyai persamaan dengan reaktor nuklear di Fukushima hanya kerana ia mempunyai bahan uranium yang sama.

* Bahan buangan Lynas boleh mencemarkan air dan alam sekitar.

Sedangkan, hasil kajian RIA mendapati bahan buangan Lynas tidak mencemarkan air dalam alam sekitar. Sama seperti kilang-kilang lain di Kawasan Perindustrian Gebeng, setiap pelepasan kilang ke persekitaran hendaklah mematuhi syarat-syarat ketat yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar (DOE) dan AELB.

* Gas radon akan terbebas ke udara. Partikel alfa yang dihidu juga boleh merosakkan sel tubuh dan kromosom manusia.

Sedangkan, maklumat ini tidak lengkap dan sekali lagi menyesatkan. Memang benar gas radon dihasilkan tetapi 'pakar nuklear' tersebut tidak pula menyatakan bahawa gas radon daripada thorium (lebih tepat disebut thoron) mempunyai jangka hayat yang sangat pendek, cuma 56 saat. Ini bermakna dalam masa 56 saat gas thoron terbentuk dan dibebaskan ke udara, ia akan segera menyepai menjadi radionuklid pepejal yang jatuh ke bumi serta tidak membahayakan. Dengan kepekatan aktiviti yang kecil, kemungkinan thoron dihidu dan memudaratkan adalah sangat tipis. Pakar Nuklear ini lupa atau sengaja lupa menyatakan bahawa risiko dikawal dengan Had Dos. Selagi Had Dos tidak dilampaui, risikonya boleh diterima. Had Dos ini digunakan kerana kita perlu ingat bahawa kita sentiasa terdedah kepada uranium dan thorium semula jadi. Selagi ada uranium dan thorium, selagi itu kita terdedah kepada radon, thoron dan zarah alfa. Pendek kata kita tidak boleh kata kita tidak hendak didedahkan kepada radon, thoron atau zarah alfa atau sinaran sebab kesemua ini berada di mana-mana sahaja di muka bumi ini. Sebaliknya, berdasarkan kepekatan aktiviti Th-232 yang ada dalam bahan mentah dan residu pemprosesan Lynas, serta sifat fizik gas thoron itu sendiri telah ditentukan secara saintifik tidak mampu mencemarkan alam sekitar sehingga ke tahap dikatakan berbahaya kepada manusia yang menghidunya.

* Pelan pelupusan sisa adalah tidak lengkap.

Sedangkan, sebagai ' pakar nuklear', beliau tentu tahu bahawa pelan pelupusan sisa bukan setakat melupus sisa dengan menanam, tetapi turut merangkumi penggunaan semula sisa tersebut dengan selamat. Dengan cara ini, isu pelupusan kekal mungkin tidak diperlukan. Jika perlu dilupuskan, Lynas pula sudah mereka bentuk dan membina tapak pelupusan sementara yang mematuhi segala syarat dan kriteria pembinaan tapak pelupusan kekal (sungguhpun bukan matlamatnya untuk menjadikan tapak tersebut sebagai tapak pelupusan sisa kekal).

* "Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu menolak industri ini kerana tidak ada level radiasi yang selamat".

Sebagai seorang pendidik dan penyelidik bidang keselamatan sinaran dan keselamatan industri selama lebih 30 tahun (dan masih berkhidmat dengan selamat), saya amat terkejut dengan kesimpulan yang dibuat oleh 'pakar nuklear' itu. Sama ada disedari atau tidak, beliau sebenarnya menyatakan bahawa kita boleh hidup dalam dunia yang bebas daripada dedahan sinaran atau radiasi. Bukan pakar nuklear pun tahu, ini tidak benar sama sekali. Sama ada kita hendak atau tidak, kita sentiasa terdedah kepada sinaran dari bumi dan matahari. Malah terdapat beberapa tempat di negara kita yang mempunyai aras sinaran semula jadi yang lebih tinggi daripada aras purata tanah- tanih Malaysia. Sila rujuk hasil kajian aras sinaran di kawasan lombong bijih timah di Perak, Selangor dan Pantai Pasir Hitam di Langkawi. Begitu juga, cuba lihat di Ramsar, Iran; Kerala, India; Grand Junction, Colorado, Amerika Syarikat dan tempat-tempat lain yang disahkan mempunyai aras sinaran semula jadi yang jauh lebih tinggi daripada apa yang bakal dibebaskan oleh Lynas.

Persoalannya, adakah penduduk di tempat-tempat tersebut semua cacat dan terencat? Malah, kajian ke atas penduduk di Ramsar, Iran mendapati penduduk di sana mempunyai jangka hayat yang lebih panjang daripada rakyat Iran di tempat-tempat lain. Rujuklah dokumen ilmiah sebelum membuat pernyataan tidak tepat, salah dan mampu menyesatkan. 'Pakar nuklear' tersebut pernah belajar dan memperolehi ijazah pertama dalam bidang Kejuruteraan Nuklear dan Fizik di Amerika Syarikat. Tidakkah beliau terdedah kepada sinaran semasa pengajiannya? Tentulah ada. Maka, adakah beliau atau keluarga beliau mengalami apa-apa kecacatan akibat dedahan sinaran tidak kira rendah mana pun tahapnya? Pakar Nuklear sepatutnya mendidik masyarakat tentang fakta sebenar sinaran dan kesannya, dan tidak menyesatkan masyarakat dengan maklumat yang tidak lengkap dan salah.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
11 NOVEMBER 2011


ISU ALAM SEKITAR : MENGEKANG JENAYAH ALAM SEKITAR

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik, Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)


KAWASAN BUKIT BINTANG, 
KUALA LUMPUR

Cadangan kerajaan untuk meminda Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang akan dibawa ke Parlimen pada Mac 2012 jelas membuktikan kesungguhan dan keprihatinan kerajaan dalam mengekang jenayah alam sekitar di negara kita. Di bawah cadangan pindaan ini, kerajaan akan menaikkan penalti terhadap pelanggaran Seksyen 2 akta tersebut iaitu daripada RM100,000 kepada RM500,000. Melihat kepada jumlah kenaikan yang agak besar ini, ia dilihat sangat wajar memandangkan kesalahan-kesalahan yang terkandung di bawah seksyen berkenaan adalah melibatkan isu-isu yang begitu serius. Antara kesalahan yang digariskan di bawah seksyen tersebut adalah seperti pelupusan sisa toksik, pencemaran air dan sungai, pembakaran terbuka, pengeluaran asap berlebihan, tumpahan minyak di laut dan juga pembukaan tanah secara haram. Cadangan kenaikan penalti sebanyak lima kali ganda ini adalah bertujuan untuk mencegah sebarang bentuk kemusnahan yang berpunca daripada pencemaran alam.

Penalti yang lebih berat kepada pesalah baik kepada individu mahupun syarikat antara lain adalah bagi memperkukuh dan memantapkan lagi aspek penguatkuasaan terhadap masalah pencemaran di negara ini. Menurut Datuk Seri Douglas Uggah Embas yang juga merangkap Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, di bawah pindaan ini kelak, ia akan memberi kuasa kepada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling untuk memberhentikan mana-mana projek yang melanggar peraturan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA). Namun persoalannya, sejauh manakah kenaikan penalti ini mampu mengekang jenayah alam sekitar? Adakah penalti yang dikenakan terhadap individu yang terlibat benar- benar berkesan dan mampu memberi pengajaran kepada mereka? Jika diimbas kembali kepada kes-kes tangkapan yang lepas, kerapkali juga dilaporkan bahawa segelintir pelaku jenayah alam sekitar yang ditangkap adalah melibatkan mereka yang pernah diisabitkan terhadap kesalahan yang sama secara berulang kali.

Ini memberi gambaran yang jelas kepada kita bahawa kadar penalti yang dikenakan sedikit pun tidak menggentarkan mereka. Malah, jauh sekali terkesan dan memberi pengajaran kepada mereka untuk tidak mengulangi kesalahan yang sama. Hukuman penjara dilihat mempunyai potensi yang besar dari segi keberkesanan memandangkan individu yang terlibat melalui sendiri tempoh hukuman akibat daripada kesalahan yang dilakukan. Ia amat berbeza dengan hukuman berbentuk penalti (pesalah hanya perlu membayar jumlah penalti yang dikenakan tanpa melalui sendiri hukuman terhadap kesalahan yang dilakukan). Dengan hukuman penjara yang dilalui, ia pasti sedikit sebanyak meninggalkan kesan yang mendalam di dalam jiwa mereka yang sekali gus mampu memberi pengajaran kepada individu yang terlibat agar tidak mengulangi kesalahan yang sama. Selain itu, mengenakan hukuman kepada individu atau pihak yang terlibat agar menanggung semua kos untuk memulihkan alam sekitar yang terjejas akibat jenayah alam sekitar yang dilakukan juga boleh dipertimbangkan.

Ini memandangkan kos untuk sesuatu proses pemulihan adalah jauh lebih tinggi jika dibandingkan dengan jumlah penalti yang dikenakan untuk setiap kesalahan. Dengan hukuman seumpama ini, ia setidak-tidaknya akan membuka mata para pelaku jenayah alam sekitar agar menyedari bahawa bukan mudah untuk memulihkan sesuatu kerosakan terhadap alam sekitar. Jika sebelum ini mereka hanya menutup mata dan dikaburi keuntungan wang ringgit semata-mata tanpa memikirkan betapa peritnya pihak kerajaan dan badan-badan yang terlibat untuk memulihkan segala kepincangan ke atas alam sekitar ekoran kerakusan sikap mereka. Mungkin dengan cara ini, mereka akan mula membuka mata dan memikirkan betapa begitu banyak kos yang telah dibazirkan untuk tujuan pemuliharaan alam sekitar yang telah dimusnahkan oleh mereka. Sedangkan, alangkah bagusnya jika peruntukan untuk tujuan berkenaan dapat digunakan untuk tujuan-tujuan lain yang lebih bermanfaat.

Bagaimanapun, dengan pelaksanaan hukuman seumpama itu semata-mata ia dilihat masih diragui mampu menghentikan sepenuhnya jenayah terhadap alam sekitar. Malah, ia masih belum lengkap dan sempurna jika hanya hukuman berbentuk fizikal dan material semata-mata diaplikasikan. Sebaliknya, ia perlu dilengkapkan dan disusuli dengan program penyempurnaan akhlak terhadap mereka yang disabitkan dengan jenayah alam sekitar. Ini penting kerana dengan penekanan terhadap kesempurnaan akhlak manusia, ia bukan sahaja mampu mengekang perlakuan buruk manusia terhadap alam sekitar semata- mata, tetapi juga dapat melahirkan insan yang berkeperibadian unggul dalam semua aspek kehidupan. Ia amat bertepatan dengan pandangan Islam terhadap alam sekitar itu sendiri, yakni ia adalah berasaskan kepada ajaran tauhid atau kefahaman kesatuan yang menggabungkan antara manusia, alam dan juga Pencipta (Allah SWT). Dalam konteks ini, Islam menjadikan akhlak sebagai teras utama hubungan antara manusia, alam dan Tuhan. Malah, sebarang permasalahan alam sekitar seperti pencemaran alam dan seumpamanya adalah berpunca daripada kepincangan dan juga ketidaksempurnaan akhlak manusia terhadap diri mereka sendiri, alam sekitar dan juga Allah SWT.

Sedangkan secara jelas konsep manusia sebagai khalifah menunjukkan bahawa alam sekitar dan segala kekayaan di dalamnya adalah milik mutlak Allah SWT. Hal ini telah dinyatakan dengan jelas di dalam firman Allah SWT (Surah al-Maidah, ayat 120) yang bermaksud: "Allah jualah yang menguasai alam langit dan bumi serta segala yang ada padanya; dan Dialah jua Yang Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu". Oleh yang demikian, manusia perlu melaksanakan misi dan amanah pemuliharaan alam sekitar dengan sebaik-baiknya agar kelestariannya terus dapat dipertahankan. Justeru, penekanan terhadap aspek akhlak dan kerohanian dalam usaha menambahbaik dan memastikan keberkesanan sesuatu hukuman terhadap pelaku jenayah alam sekitar juga tidak seharusnya diabaikan. Malah, kajian dan penelitian secara mendalam terhadap hukuman yang sewajarnya dikenakan terhadap penjenayah alam sekitar yang disusuli dengan penekanan terhadap aspek akhlak akan memantapkan lagi penguatkuasaan bagi membendung jenayah alam sekitar.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
11 NOVEMBER 2011


10 November 2011

ISU UMUM : RAKYAT MALAYSIA HARUS BERASA MALU, KATA TUN DR MAHATHIR


Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata rakyat Malaysia harus meniru sifat malu orang Jepun yang berjaya memartabatkan bangsa itu sebagai antara tamadun yang paling berjaya dalam dunia moden. Katanya, adanya sifat itu telah membentuk orang Jepun mengadaptasi budaya kerja yang tinggi di mana kegagalan langsung tidak boleh diterima hingga membuatkan mereka berasa malu.  Perasaan malu ini cukup kuat sehinggakan dia sanggup bunuh diri selepas kalah perang di mana ratusan ribu tenteranya bunuh diri kerana gagal mempertahankan empayar mereka (semasa perang dunia kedua), katanya ketika menjawab soalan editor Bernama, Mahrus Ibrahim yang bertanya tentang tamadun dunia moden yang berjaya semasa sesi soal jawab selepas menyampaikan Syarahan Perdana Budaya. Orang Jepun apabila diberi tugas akan cuba buat sebaik mungkin kerana kalau buruk, mereka akan berasa malu. Perasaan malu perlu ada dalam masyarakat kita juga, kalau kita tidak capai kejayaan 100 peratus, kita sepatutnya berasa malu. Beliau berkata, pada hari ini pertembungan tamadun antara Barat dan Timur sedang berlaku dan Malaysia sedang membentuk tamadunnya sendiri tetapi dengan tidak meninggalkan nilai-nilai mulia dalam diri seseorang individu serta masyarakat. 


Dr Mahathir berkata masyarakat Barat mungkin melihat masyarakat Timur sebagai kurang bertamadun seperti di Malaysia contohnya masih mengenakan hukuman gantung sampai mati ke atas pembunuh dan pengedar dadah. Sebaliknya, kata beliau, bangsa yang menganggap diri mereka bertamadun juga melakukan pembunuhan beramai-ramai iaitu dengan melancarkan perang. Walaupun tamadun mereka tinggi tetapi mereka tidak segan-segan melancarkan peperangan, bagi mereka dalam peperangan kita boleh bunuh kerana ia tidak menjadi jenayah. Bagi kita pula, membunuh seorang pembunuh adalah satu cara untuk mencegah supaya pembunuhan tidak meluas dalam masyarakat kita. Dr Mahathir juga berkata, Malaysia mempunyai potensi yang besar untuk maju kerana keunikan budayanya.

Katanya bangsa bertamadun ialah bangsa yang mampu mengawal diri daripada nafsu untuk melakukan sesuatu yang salah seperti menolak rasuah. Jika masyarakat mula menganggap rasuah sebagai perkara biasa, percayalah kita (Malaysia) tidak akan maju. Dr Mahathir berkata rasuah besar padahnya hingga menyebabkan kos meningkat dan boleh membawa bencana misalnya bangunan yang dibina boleh runtuh kerana menggunakan bahan mutu rendah kerana perbuatan rasuah. Jika amalan rasuah menjadi budaya di kalangan kakitangan kerajaan dan kemudian menular di kalangan orang politik, negara ini akan musnah jika pemimpin dipilih melalui amalan rasuah. Kerajaan yang mengamalkan rasuah tidak mungkin dapat memajukan negara ini," katanya. Beliau juga memberitahu, asas kepada demokrasi ialah memberi peluang kepada rakyat untuk memilih kerajaan tetapi barat telah menokok tambah perkara ini dengan mewujudkan kebebasan bersuara. Malaysia tidak mampu mengikut acuan kebebasan bersuara ala Barat kerana wujudnya kepelbagaian kaum di negara ini dan tidak mustahil kebebasan bersuara ini akan disalah guna sehingga menimbulkan kekacauan. 


Alasan kebebasan bersuara, satu hari kalau tidak dibendung, kita akan hidup dalam negara yang tegang suasana politiknya, kata Dr Mahathir.  Umpamanya demonstrasi, ini kononnya adalah hak kebebasan bersuara, memang ada hak untuk demonstrasi tetapi kalau sudah dibuat besar-besaran, ini akan mengganggu pihak lain umpamanya peniaga.  Katanya, adakah kerajaan akan menjadi lebih adil apabila memberi kebebasan kepada orang yang mahu membangkitkan kebencian atau pun kebebasan kepada peniaga yang mahu mencari makan.

SUMBER
BERITA HARIAN
10 NOVEMBER 2011


ISU EKONOMI : MKM PENERAJU TRANSFORMASI MODAL INSAN KOPERASI


GUNUNG BRINCHANG, 
CAMERON HIGHLANDS

Gerakan koperasi telah bermula sejak sebelum merdeka. Sesuai dengan kepentingannya, ia kini diiktiraf sebagai antara penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Sebab itu kerajaan menyasarkan koperasi dapat menyumbang lima peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2013 dan 10 peratus pada 2020. Tetapi untuk mencapai hasrat itu gerakan koperasi memerlukan modal insan yang berkualiti supaya urus tadbirnya berjalan lancar dan mengikut lunas-lunas yang telah ditetapkan. Tentunya ramai yang tidak sedar bahawa peranan untuk memastikan koperasi di tadbir oleh insan-insan yang berkualiti dan berpengetahuan terletak pada bahu Maktab Koperasi Malaysia (MKM). Kewujudan MKM juga bukan baru. Pada mulanya ia dikenali sebagai Maktab Kerjasama Malaysia yang dirasmikan oleh Penasihat Hal Ehwal Koperasi kepada Setiausaha Tanah Jajahan, B.J. Surridge pada 13 November 1956. Ketika itu ia terletak di tapak seluas kira-kira 2.5 hektar di Seksyen 7, Jalan Templer, Petaling Jaya.

Ia ditadbir oleh Lembaga Jemaah Penasihat yang dilantik oleh gerakan koperasi di Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura. Mereka dipertanggungjawabkan merangka dan menggubal perlembagaan dengan Datuk Abdul Majid Mohamed dilantik sebagai Pengetua Maktab yang pertama. Pada tahun pertama beroperasi, hanya tiga kursus diadakan iaitu Kursus Pegawai Koperasi, Kursus Penyelia Koperasi dan Kursus Pemimpin Koperasi Luar Bandar. Peserta kursus tersebut yang aktif dilantik oleh Jabatan Pembangunan Koperasi (JPK) sebagai Pegawai Koperasi Kehormat untuk membantu Pegawai Koperasi mengendalikan koperasi di luar bandar. Bermula tahun 1958, beberapa kursus baru ditambah seperti kursus untuk pemimpin Melayu, kursus untuk pekerja koperasi pengguna dan kursus untuk koperasi Cina. Kursus khas untuk wanita juga diadakan kerana mereka adalah tonggak ekonomi rumah tangga. Selain itu, turut diperkenalkan kursus untuk jawatankuasa koperasi dalam bandar, koperasi nelayan, koperasi kredit, koperasi pengguna dan kursus khas untuk koperasi kaum ibu serta kursus khas untuk kumpulan pertama 18 orang guru bagi membantu penubuhan koperasi di sekolah-sekolah.

Pada tahun 1968 Rang Undang-Undang Maktab Kerjasama (Perbadanan) 1968 digubal dan diluluskan oleh Parlimen pada 11 September tahun yang sama bertujuan membangun dan menggalakkan latihan dan pendidikan koperasi. Dalam membantu Kerajaan menjayakan matlamat Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussain, pada tahun 1970 MKM telah melaksanakan pembaharuan dengan memperketat syarat kemasukan peserta. Antaranya permohonan perlu dibuat sendiri oleh koperasi, peserta disyaratkan boleh membaca dan menulis selain diwajibkan menduduki peperiksaan di penghujung kursus. MKM juga melebarkan sayapnya ke Sabah dan Sarawak dengan pembukaan cawangan di Kota Kinabalu pada tahun 1997 dan diikuti dengan Cawangan Sarawak di bandar Kuching pada tahun 1998. Cawangan MKM turut dibuka di Bera dan di Johor Bahru pada tahun 2009 serta Alor Setar pada 2010. Selain itu maktab turut mengorak langkah menerbitkan majalah berkala seperti Dimensi KOOP dan Info MKM.

Keluaran pertama Malaysian Journal of Co-operative Management diterbitkan pada tahun 2005 manakala buku Gerakan Koperasi di Malaysia pula pada tahun 2008. Dari segi perjawatan, bermula pada tahun 2009, MKM mempunyai 204 orang tenaga kerja iaitu 170 orang di Semenanjung, 17 orang di Sabah dan 17 orang di Sarawak. Penambahan kakitangan dari semasa ke semasa dapat meningkatkan kualiti kerja dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada para koperator dan peserta-peserta kursus di MKM. Pada tahun 2010, MKM telah melaksanakan 463 kursus membabitkan 22,242 peserta. Bermula pada April 2009, MKM diletakkan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang telah menyasarkan gerakan koperasi dapat menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Bagi membolehkan MKM memainkan peranan yang lebih dinamik, Parlimen telah meluluskan Akta Perbadanan Maktab Kerjasama Malaysia (Pindaan) 2011 dan diwartakan perlaksanaannya mulai 1 September 2011. Akta ini merupakan proses transformasi dan penjenamaan semula Maktab Kerjasama Malaysia kepada Maktab Koperasi Malaysia selain untuk memperkasa dan memperluaskan peranan MKM kepada gerakan koperasi.

Pindaan Akta ini juga mengubah gelaran nama jawatan Pengarah MKM kepada Ketua Pengarah MKM dengan Idris Ismail sebagai Ketua Pengarah pertama bertanggungjawab mentransformasikan MKM sebagai pusat latihan koperasi bertaraf dunia. Sepanjang 55 tahun penubuhannya, MKM komited membangunkan modal insan gerakan koperasi. Ribuan telah dilatih bagi membangun dan memacu koperasi dalam menyumbang peningkatan ekonomi. Matlamatnya supaya koperasi dapat membantu rakyat ke arah berpendapatan tinggi melalui peningkatan aktiviti perniagaan koperasi serta menjadikan sektor koperasi sebagai salah satu penjana ekonomi negara. Ia selari dengan pertambahan jumlah koperasi di negara ini yang hanya beberapa buah sahaja di awal negara mencapai kemerdekaan kepada lebih 8,000 ketika ini. Dalam menjangkau usia setengah abad, MKM berbangga dengan graduan kelahirannya terus mendapat tempat di semua sektor pekerjaan khususnya di bidang koperasi dan peserta kursus jangka pendek yang telah dilatih oleh MKM terus memberi sumbangan positif kepada gerakan koperasi di negara ini.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
10 NOVEMBER 2011


ISU SOSIAL : INTEGRITI DAN GENERASI MUDA

PROFESOR MADYA DR. SIVAMURUGAN PANDIAN
Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan
Universiti Sains Malaysia


PANTAI CHERATING, PAHANG

Sambutan Hari Integriti Nasional 2011 yang diamanahkan kepada Institut Integriti Malaysia (IIM) adalah bertemakan Agenda Integriti Nasional: Peranan Generasi Muda. Dalam persekitaran politik, ekonomi dan sosial tanah air kini; isu integriti merupakan antara elemen utama yang sering menjadi tumpuan oleh kesemua lapisan anggota masyarakat termasuk kepimpinan kerajaan, Datuk Seri Najib Tun Razak. Beliau pernah menyatakan bahawa untuk memulihkan keyakinan ke atas kerajaan; sikap telus, bercakap benar dan keterbukaan menjadi agenda beliau. Ini kerana banyak kepimpinan mahupun empayar besar dunia dirobek oleh isu integriti yang tidak kukuh bukan sahaja antara penggubal, pelaksana dan kumpulan sasar sesuatu dasar tetapi lebih daripada itu, ia ketara dalam kalangan pemimpin dan rakyat terutamanya generasi muda yang seolah-olah mewujudkan satu lompong besar atau jurang komunikasi sesama mereka mengenai peri pentingnya isu ini. Tanpa ada integriti, tidak akan berlaku sebarang transformasi nasional termasuk ke atas Pelan Transformasi Kerajaan (PTK), Pelan Transformasi Ekonomi (PTE), Model Ekonomi Baru (MEB), Rancangan Malaysia Ke-10 (RM Ke-10) dan Bajet 2012 yang turut mempengaruhi kependudukan dan hubungan antara etnik di negara ini.

Titik keseimbangan 'masa depan bersama' bergantung kepada kekuatan setiap individu termasuk 'generasi muda'. Sudah pasti, generasi muda dalam konteks hari ini menjadi 'ejen transformasi' yang akan memain peranan serta mempunyai fungsi tertentu dalam memberi maksud dan makna kepada integriti. Ia adalah tanggungjawab bersama. Generasi muda mahu difahami dan sudah pasti yang mudah memahami mereka adalah pemimpin muda sendiri. Generasi muda menjadi benteng kekuatan negara dan harus terus diiktiraf, dihormati dan diberikan penghargaan sewajarnya atas kedudukan tersebut kerana tanpa sumbangan mereka, negara ini tidak akan kemana-mana. Integriti generasi muda perlu diperhebatkan secara pembudayaan berterusan. Integriti berpaksikan kepada nilai murni seperti jujur, benar, amanah, adil, kebertanggungjawaban, telus, cekap dan bijaksana. Ia bermula dalam diri setiap individu yang subur dalam hati, minda dan emosi yang memberi roh dan jasadnya kepada karakter.

Melihat kepada kepentingan integriti, Pelan Integriti Nasional (PIN) dilaksana pada tahun 2004 dan pendefinisian integriti individu dirujuk kepada - 'keselarasan antara apa yang dikata dan dikota, antara tindakan dengan prinsip moral, etika dan undang-undang, kepentingan diri dan umum'. Isunya adalah sikap dan mindset generasi muda; sejauh manakah mereka merungkai, meneliti dan menggarap nilai integriti sebagai sebahagian amalan kehidupan? Adakah proses modenisasi, industrilisasi dan pertumbuhan dan pembangunan negara seiring dengan nilai integriti generasi hari ini? Sebagai ejen transformasi yang menyumbang kepada perkembangan negara bangsa, adakah generasi hari ini proaktif sebagai penyuntik, penjana ataupun pemangkin kepada pembudayaan integriti? Isunya juga tertumpu kepada faktor dalaman dan luaran; bagaimanakah nilai kendiri dipertingkatkan dalam mencari keselarasan dengan faktor luaran yang semakin mendesak terutama keinginan bersifat materialistik dan dunia individualistik?

Bagaimana pula peluang yang diberikan kepada generasi ini; adakah memadai untuk mereka memperlihatkan elemen kreatif, inovatif dan melahirkan nilai kualiti yang tinggi untuk menyalurkan maklumat integriti kepada umum dengan pendekatan sendiri? Sejauh manakah generasi muda dibenar untuk terbabit dalam 'pengisian' ke atas isu integriti walhal sering dipertanggungjawabkan dengan kepincangan struktur sosial termasuk isu mat rempit, bohsia, hamil luar nikah, seks bebas, keruntuhan akhlak, penagihan dadah, jenayah remaja, pembunuhan, kecurian, gangsterisme. Cabaran besar hari ini adalah untuk meningkatkan kesedaran, kefahaman dan penghayatan integriti dalam diri generasi muda ini melalui aktiviti, program serta diri masing-masing. Pembudayaan integriti memerlukan komitmen dan tanggungjawab besar dari segala lapisan masyarakat. Begitu juga untuk menangani persepsi ke atas generasi muda yang dilabel sebagai bersikap kompetitif dalam era individualistik dan materialistik. Hari ini stereotaip 5C sudah berubah menjadi 5B dalam kalangan generasi muda.

Jika dahulu mereka dikaitkan dengan generasi Cash, Car, Credit Card, Condominium dan ahli Country Club; hari ini ia berubah kepada Billions, Bunglow, Benz, Brain dan Body. Saya khuatir cabaran akan datang akan berpusat kepada pertembungan isu kelas; kemelut inter-etnik yang cuba ditangani kerajaan akan menjadi pertembungan inter dan intra kelas yang akhirnya membawa kepada gejala sosial kerana sukar berhadapan dengan persaingan mempertingkatkan gaya dan kualiti kehidupan semasa. Pengumuman Laporan Audit Negara baru-baru ini menunjukkan bagaimana usaha berterusan merendahkan nilai integriti, misalnya nilai teropong Bushnell Binocular yang harga asal adalah RM2,827 boleh berubah kepada 56,350; peningkatan 1,893%. Generasi muda memerhati tingkah laku seperti ini dan jika golongan lain tidak mengamalkan integriti sebenar, wajarkah generasi ini dikatakan memiliki motivasi rendah ke atas integriti, termasuk integriti politik dalam kalangan pembesar politik negara?

Sebagai ejen transformasi negara, maka penguasaan dan pemahaman ke atas isu integriti sangat penting. Perlu ada kesedaran dan kefahaman yang tinggi dalam kalangan generasi muda. Dalam mahu keperluan dan kemahuan dipenuhi, mereka juga perlu mengubah mindset atau pemikiran agar seiring dengan norma pembangunan pendidikan negara. Cabaran ke atas persaingan kelas perlu diteliti secara menyeluruh terutama jurang antara etnik; jurang dalam etnik; jurang bandar dan luar bandar yang turut menyumbang kepada darjah dalam dan luaran integriti seseorang. Di peringkat sistem penyampaian dan tadbir-urus, perlu ada rombakan cara kerja. Kod etika dan amalan baik perlu diusahakan secara terancang; diperkuatkan dengan latihan dan didikan berterusan yang boleh diterjemah dalam bentuk praktis dan amalan. Pemantauan berterusan akan membolehkan jati diri diawasi dan sentiasa diperiksa diri sendiri agar tidak bertindak di luar kawalan. Yang penting, generasi muda harus disediakan saluran untuk dilibat sama dalam proses penjanaan nilai integriti, barangkali ada elemen konsultansi yang boleh diperkasa agar ia dimanfaat untuk meneruskan benteng kesinambungan kepimpinan kepada golongan yang berwibawa dan mampu melahirkan legitimasi politik.

Transformasi integriti dalam kalangan generasi muda akan berlaku dengan lebih besar jika ada mindset positif dan perkongsian ilmu mengenainya dengan pelbagai kumpulan dan ejen sosialisasi lain seperti keluarga, media, guru, rakan sebaya, pemimpin dan diri sendiri mengambil iktibar untuk mengetahuinya. Sumbangan dalam menyulam kegemilangan ketamadunan negara bangsa dari generasi muda tidak boleh dinafikan. Mereka sebenarnya boleh menentukan jatuh bangun sesebuah negara bangsa. Segala inisiatif dan intensif kerajaan hanya akan berjaya sepenuhnya dengan kehadiran golongan muda untuk turut memikul beban tersebut untuk memastikan output dan outcome yang positif dalam komitmen bersifat resiprokal kerana kerajaan tidak boleh keseorangan untuk merealisasikan kesemua gagasan besar di bawah kepimpinan hari ini untuk kepentingan generasi muda sebenarnya. Golongan muda adalah tulang belakang negara ini yang harus diiktiraf, diberikan penghormatan dan penghargaan sewajarnya agar dapat memobilisasi rasa tanggungjawab holistik untuk memperkasakan agenda integriti demi mempertahankan kehidupan berukun dan kesejahteraan yang perlu diwarisi dari generasi ke generasi.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
10 NOVEMBER 2011