07 November 2011

ISU IPT : BENARKAH MAHASISWA BERPOLITIK BUKAN JAMINAN KEPEKAAN POLITIK

Oleh Akmal Saufi Mohamed Khaled
akmalsaufi@gmail.com


GALERI UFFIZI DI FLORENCE, ITALI  


Perubahan corak pemikiran hari ini menjadikan masyarakat berbincang dan berdebat mengenai isu berkaitan undang-undang, isu semasa serta apa saja yang boleh dilihat dengan mata kasar. Penafian hak itu akan hanya menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan rakyat, merencatkan pembangunan intelek serta mencabar kebebasan bersuara seperti dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan. Kebebasan ini jika digunakan secara optimum akan memberi impak besar sekiranya masyarakat bijak dalam memperkasakan minda dengan berani mengkritik dengan kritikan bernas dan berkualiti. Bagaimanapun, perkara ini tidak semudah dijangka. Matlamat ini terlalu sukar direalisasi sekiranya ia disalah tafsir. Selepas isu penggantungan Profesor Dr Abdul Aziz Bari oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), kini kita menghadapi satu lagi babak sukar dalam dunia akademik. Mahkamah Rayuan baru-baru ini mengisytiharkan mahasiswa dibenarkan untuk terbabit dengan mana-mana parti politik, walaupun Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) melarang sama sekali.

Bukankah ini satu berita baik buat mahasiswa? Dengan keputusan mahkamah ini, mahasiswa kini diberi peluang menyokong serta berkempen mana-mana parti politik mengikut kehendak masing-masing. Tetapi perlu diingat, perkara ini harus diteliti dan dianalisis terlebih dulu. Apakah tafsiran terhadap pendapat dunia akademik dalam hal ini pelajarnya masih berkecuali jika mereka sendiri mempunyai kecenderungan terhadap mana-mana parti politik? Bukankah ini menjadikan pandangan mereka berat sebelah? Adalah menjadi kerja gila jika matlamat pihak universiti serta kerajaan bukan untuk mempertingkatkan tahap pemikiran mahasiswa dan masyarakat secara amnya Adalah menjadi kerja gila jika matlamat pihak universiti serta kerajaan bukan untuk mempertingkatkan tahap pemikiran mahasiswa dan masyarakat secara amnya. Inilah sebab utama mengapa mahasiswa menuntut di universiti, iaitu dengan mempertingkatkan tahap pemikiran dan belajar untuk membuat keputusan termaklum. Atas alasan itu, pihak universiti seharusnya sentiasa menawarkan mahasiswa peluang menjelajahi ilmu agar mahasiswa tidak mudah diperkotak-katik pengaruh luar.

Beberapa tahun kebelakangan ini, perdebatan dan perbincangan mengenai isu banyak dijalankan institusi pengajian tinggi sering mendapat sambutan. Sebagai contoh di UIAM sendiri, perbincangan mengenai pembentangan Bajet 2012 berjaya diadakan tanpa perlu pelajar bersama dengan parti politik. Dunia akademik mampu menajamkan pemikiran mereka. Kita sedia maklum, isu yang dibangkitkan parti politik mempunyai objektif meraih sokongan politik. Sedangkan, perbincangan sebegitu rupa yang diadakan di universiti berfungsi untuk berdiskusi bagi mencari jalan penyelesaian terbaik secara ilmiah. Perbincangan di universiti bukanlah hanya retorik atau mahu memenangi perdebatan semata-mata.Mari pula kita fikirkan bagaimana jika kerajaan membenarkan penyertaan mahasiswa secara langsung dalam arena politik? Apakah batasannya? Apakah kesan terhadap integriti dan sifat berkecuali universiti? Bagaimanakah cara bagi sesebuah institusi itu mempertahankan imejnya? Kita sedia maklum bahawa sesebuah institusi pendidikan itu sewajarnya bersifat berkecuali tetapi kritikal dalam memberikan pandangan.

Namun sekiranya ada ahlinya yang cenderung ke arah sesebuah parti politik dan pandangan berkepentingan politik, bukankah ini memperlihatkan seolah-olah pandangan itu mewakili keseluruhan institusi berkenaan? Ini yang kita tidak mahu. Hal ini boleh digambarkan seperti yang terjadi dalam isu Dr Abdul Aziz, yang mana pihak universiti menjalankan siasatan mengenai kenyataan serta kritikan terbuka beliau terhadap Sultan Selangor. Adakah pandangan ini mewakili pihak universiti atau pandangan peribadi beliau? Situasi ini membuktikan bahawa suatu garis panduan bersesuaian adalah suatu keperluan. Ia harus diperhalusi dalam memahami tatacara bersesuaian bagi ahli sesebuah institusi, terutama mahasiswa. Garis panduan ini berfungsi sebagai batu asas dalam memberi pendapat dan kritikan terhadap perkara yang berkaitan dengan isu politik, agar kritikan dan pandangan itu tidak melangkaui garisan pemisah antara pandangan akademik dengan pandangan yang cenderung terhadap parti politik semata-mata. Berdasarkan keputusan Mahkamah Rayuan baru-baru ini juga menyebabkan mahasiswa yang sebelum ini pendiriannya tidak kelihatan lebih menonjol.

Secara am mereka boleh dibahagikan kepada; kumpulan yang menyokong mahasiswa berpolitik, mahasiswa yang mahu mempertahankan kredibiliti dunia akademik dan mahasiswa atas pagar. Di celah kelompok mahasiswa ini juga wujud kelompok yang penuh dengan kecelaruan. Golongan ini memekik dan terlolong mengatakan bahawa parti politik dan fahamannya tidak patut menjejakkan kaki ke dunia akademik, tetapi pada masa sama, mereka jugalah golongan mahasiswa yang mahu membuka laluan mahasiswa aktif berpolitik. Jelas pendirian mereka ini ibarat lalang yang mudah ditiup ke sana ke mari. Inilah satu-satunya spesies lalang yang pergi kelas. Hujahan mengatakan mahasiswa kurang peka terhadap isu politik dilihat menjadi sebab kepada pertikaian semasa. Bagaimanapun, membenarkan mahasiswa menyertai atau menyokong parti politik bukanlah bermaksud kepekaan mahasiswa terhadap politik juga bertambah. Peningkatan tahap kepekaan isu politik semasa bergantung kepada minat, persekitaran serta pemikiran individu itu dalam membantu dan berbakti kepada negara.

Penulis ialah Pelajar Tahun Akhir Jurusan Undang-Undang, Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

SUMBER
BERITA HARIAN
7 NOVEMBER 2011


ISU BAHASA : BAHASA MELAYU TERBUKTI BOLEH MENJADI BAHASA ILMU

Oleh
PROF. DATUK DR. HASHIM YAACOB
Bekas Naib Canselor Universiti Malaya


FALLINGWATER HOUSE - 
FRANK LLOYD WRIGHT'S (1937)

Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana yakin untuk memartabatkan bahasa Malaysia, di samping memperkasakan bahasa Inggeris. Beliau mahukan supaya bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu. Saya yakin bahawa bahasa Melayu boleh dijadikan bahasa ilmu dan bahasa antarabangsa kerana bahasa itu mempunyai gedung kata yang luas dan dituturkan oleh sebahagian besar penduduk Asia Tenggara. Pernyataan ini boleh dibuat berlandaskan hujah bahawa bahasa Melayu telah berkembang dengan pesatnya sejak zaman kegemilangan Melaka dan sebelumnya. Bahasa Melayu pada masa itu banyak digunakan bukan hanya oleh keturunan Melayu tetapi juga orang asing yang datang berurusan di negara-negara Melayu. Sekiranya pernyataan berkenaan hendak mendapat kepercayaan orang ramai apatah lagi kepercayaan orang asing maka kita hendaklah menunjukkan bukti nyata bagi menyokong bahawa bahasa ini benar-benar mampu berbuat demikian.

Bukti-buktinya memang ada di dalam banyak bidang tetapi kita jarang menelitinya sehinggakan kita sendiri tidak menyedarinya. Sewaktu saya menjadi Dekan Fakulti Pergigian Universiti Malaya (UM) pada 1997, saya dan kakitangan fakulti itu membuktikan bahawa bahasa Melayu memang boleh menjadi bahasa ilmu yang diakui oleh masyarakat antarabangsa. Kami berjaya memartabatkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu apabila kami dianugerahkan pengiktirafan oleh United Kingdom (UK) kepada ijazah Sarjana Muda Pembedahan Pergigian (SMPP) yang kami hasilkan daripada Fakulti Pergigian UM. Fakulti pergigian ditubuhkan pada 1972 dan mula mengeluarkan doktor-doktor pergigian pada 1976 sehinggalah sekarang. Kursus ijazah SMPP ini memakan masa selama lima tahun iaitu tempoh yang sama panjangnya dengan ijazah yang serupa daripada universiti-universiti di negara Barat. Bezanya hanya dari segi bahasa pengantara pengajaran dan pembelajaran dalam kursusnya sahaja.

Kursus ijazah SMPP dari Fakulti Pergigian UM diajar sepenuhnya dalam bahasa Melayu, manakala kursus ijazah yang sama dari UK diajar dalam bahasa Inggeris. Ijazah-ijazah pergigian dari Perancis, Jerman, Netherland, Sepanyol, Itali dan lain-lainnya di negara-negara Barat diajar dalam bahasa negara masing-masing. UK mengiktiraf ijazah-ijazah di negara-negara Barat ini walaupun diajar dalam bahasa bukan Inggeris. UK dan dunia menganggap bahawa bahasa-bahasa Barat itu adalah bahasa ilmu. Apabila UK memberikan pengiktirafannya kepada ijazah SMPP dari UM pada 1997, pihak berkuasa negara itu yang bertanggungjawab dalam pemberian pengiktirafan itu telah membuat kenyataan mengenai nilai taraf kursus ijazah SMPP keluaran UM sebagai mencapai satu tahap kecemerlangan setanding dengan yang terbaik di dunia. Pengiktirafan ini juga bermakna pemegang ijazah SMPP dari UM diiktiraf oleh UK untuk bekerja di negara berkenaan.

Pengiktirafan tersebut dibuat atas sebab-sebab bahawa kursus ijazah SMPP keluaran UM itu dijalankan dengan cemerlang mengikut piawaian yang ditentukan oleh UK sendiri, termasuklah kewujudan infrastruktur dan kelengkapan moden, struktur kurikulum pengajaran yang mantap, kewibawaan kakitangan akademik dan professional, penyelidikan penerbitan yang dihasilkan, dan tatacara pengajaran yang dijalankan dalam bahasa Melayu. Pihak pemeriksa UK sedia maklum bahawa kursus ijazah SMPP dari UM ini dijalankan sepenuhnya dalam bahasa Melayu. Mereka mengakui bahawa kursus ijazah SMPP itu dapat dijalankan dengan sempurna walaupun melalui penggunaan bahasa Melayu. Mereka mengakui bahawa sudah terdapat cukup istilah dalam bahasa Melayu dalam bidang kedoktoran pergigian dan juga perbendaharaan kata am yang luas.

Pengiktirafan kepada ijazah SMPP dari UM yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar sepenuhnya membawa makna bahawa bahasa Melayu sudahpun menjadi bahasa ilmu dalam bidang kedoktoran pergigian, sehingga membolehkannya mencapai tahap kecemerlangan dunia yang diakui oleh UK. Kalau bahasa Melayu sudah terbukti sekurang-kurangnya boleh menjadi bahasa ilmu dalam bidang kedoktoran pergigian, maka kita boleh bina keyakinan bahawa bahasa ini boleh juga menjadi bahasa ilmu di dalam bidang-bidang lain. Kita hanya perlu menggunakan bahasa ini dengan lebih luas dan membina istilah serta perbendaharaan kata yang bersangkutan dengan bidang-bidang ilmu yang hendak kita terokai. Sekiranya ini kita lakukan, tentunya kita akan berjaya dan bahasa Melayu akan terbukti sepenuhnya untuk menjadi bahasa ilmu.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
7 NOVEMBER 2011


ISU SOSIAL : PETUNJUK USAHA PERANGI JENAYAH

Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my


GUNUNG KILIMANJORO

Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Mengurangkan Jenayah di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) merupakan antara bidang keberhasilan yang menjadi tumpuan utama rakyat Malaysia yang bimbang dengan kadar jenayah di sekeliling mereka. Walaupun sebahagian besar rakyat negara ini mengakui Malaysia adalah antara tempat paling selamat untuk membina keluarga dan kerjaya, peningkatan kadar jenayah terutamanya jenayah keganasan dan kebanjiran warga asing tetap menimbulkan kegusaran anggota masyarakat. Menurut kenyataan terkini KDN, Indeks Keamanan Global (GPI) oleh Institut Ekonomi dan Keamanan di Sydney dan New York menunjukkan Malaysia kini berada pada prestasi membanggakan untuk berada di tangga ke-19 antara 153 negara paling selamat tahun ini berbanding tangga ke-22 tahun lalu dan ke-26 pada 2009. GPI dinilai dari segi kebolehpercayaan terhadap perkhidmatan polis, kesan jenayah terancang terhadap perniagaan, kesan jenayah dan keganasan terhadap perniagaan.

Projek Keadilan Sejagat (WJP) pula melaporkan bahawa Malaysia merupakan negara paling selamat di kalangan 19 negara berpendapatan pertengahan serta di kedudukan ke 12 negara paling selamat di dunia mengatasi Amerika Syarikat dan Britain. Sementara itu, kaji selidik Indeks Kebimbangan Jenayah (Fear of Crime Index) melaporkan berlaku penurunan sebanyak 9.6 peratus dari segi perasaan takut terhadap jenayah, daripada 58.5 peratus pada Disember 2009 kepada 48.9 peratus pada Mei tahun ini. Pada masa sama, kaji selidik yang dijalankan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menunjukkan bahawa kebimbangan orang ramai terhadap jenayah berkurangan sebanyak 12 peratus iaitu daripada 33 peratus pada tahun lalu kepada 21 peratus pada tahun ini. Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) pula melaporkan berlaku penurunan 9.4 peratus terhadap tuntutan kes berkaitan kenderaan antara tahun 2010 berbanding 2009.

Secara keseluruhannya, kadar indeks jenayah antara Januari hingga September tahun ini mencatatkan penurunan sebanyak 9.8 peratus, daripada 132,355 kes antara Januari hingga September 2010 berbanding 119,376 kes dalam tempoh sama tahun ini. Kadar jenayah jalanan pula mencatatkan penurunan sebanyak 40.6 peratus, dengan 29,596 kes jenayah jalanan dicatatkan antara Januari hingga September 2010 berbanding 17,591 kes dalam tempoh sama tahun ini. Ini hasil usaha gigih dan kesepaduan daripada semua pihak terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA), agensi-agensi lain di bawah kementerian, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), syarikat milik kerajaan (GLC), pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan anggota masyarakat setempat. Antara pendekatan bersama yang dilaksanakan termasuk meningkatkan kehadiran polis di kawasan-kawasan 'panas'; meningkatkan penyertaan anggota dan pegawai polis dalam aktiviti rondaan serta melatih ahli-ahli Rela dan anggota JPAM sebagai Sukarelawan Simpanan Polis (SSP) untuk ditugaskan bersama pihak polis di kawasan panas.

Selain itu, bilangan balai polis bergerak dan motosikal polis di kawasan panas turut ditambah; memperbanyakkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan panas serta memperhebatkan penyertaan dan penglibatan anggota masyarakat dalam aktiviti mencegah jenayah melalui RakanCop, Kepolisan Komuniti, Skim Rondaan Sukarela (SRS), Program Bandar Selamat dan sebagainya. NKRA ini juga bukan hanya melibatkan usaha pencegahan dan penguatkuasaan semata-mata malahan merangkumi usaha memperkukuh sistem keadilan dan kehakiman. Ini termasuk yang melibatkan elemen pendakwaan (mahkamah malam dan J-Code untuk jenayah jalanan); hukuman di peringkat mahkamah dijalankan dengan pantas serta usaha menjayakan inisiatif pemulihan dalam penjara. Untuk 2012, sejumlah RM11.311 bilion diperuntukkan kerajaan kepada KDN untuk pembangunan dan pengurusan di samping peruntukan khas berjumlah RM200 juta untuk PDRM bagi penyediaan kelengkapan dan peralatan yang lebih moden.

Sebanyak RM249.85 juta juga disediakan untuk pembangunan bandar selamat, pengasingan laluan pejalan kaki dan laluan bermotor, sistem penggera, cermin keselamatan, pembersihan semak samun dan Sistem Maklumat Geografi (GIS) untuk pemetaan berasaskan kejadian jenayah. Selain itu, sebanyak RM7.56 juta lagi diperuntukkan oleh kerajaan bagi memperkasakan operasi Unit Khas Bergerak (UKB) di bawah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi menangani masalah pemprosesan pendaftaran dan permohonan penduduk khususnya dari kawasan pedalaman dan pesisir pantai sekali gus memudahkan penduduk pedalaman mendapatkan dokumen pengenalan diri. Dengan segala usaha, inisiatif dan pendekatan yang dilakukan KDN dan pihak-pihak yang berkenaan ini, diharapkan NKRA Mengurangkan Jenayah mampu mencapai sasaran penurunan indeks jenayah sehingga lima peratus dan jenayah jalanan sehingga 20 peratus menjelang penghujung tahun ini. Lebih penting lagi, usaha tersebut diharap dapat memastikan rakyat di negara ini sentiasa berasa dan berada dalam keadaan selamat dan tenteram dalam menjalani kehidupan harian mereka.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
7 NOVEMBER 2011


06 November 2011

ISU SOSIAL : KISAH ORANG KAYA JADI ORANG MISKIN DI GREECE


Selepas 18 tahun memperhambakan diri memasak moussaka dan kambing panggang di sebuah restoran di sekitar Greece, Petros Papadopoulos menyediakan pula makan tengah hari untuk 50 orang di tempat yang tidak pernah dibayangkan selama ini. Ia merupakan kawasan kediaman golongan gelandangan di Athens. Chef bersuara lembut yang mengaku tidak memberikan nama sebenar kerana khuatir jika rakan dan sanak-saudara akan mengetahui keadaannya itu, baru sahaja membeli sebuah rumah flat dan berhasrat untuk membina keluarga selepas impiannya dimusnahkan oleh krisis ekonomi yang melanda Greece. Pada tahun 2010, dia kehilangan kerja berikutan kemelesetan ekonomi terburuk di Greece sejak sedekad lalu dan ribuan rakyatnya hilang pekerjaan. Malah, lebih teruk apabila dia tidak lagi mampu menguruskan hartanya hingga menyebabkannya kehilangan kediaman dan dipaksa merayau-rayau di jalanan. “Saya rasa seperti hidup dalam filem. Hidup saya berubah 180 darjah. Saya gagal.

Hidup di jalanan tidak tertanggung,” kata Papadopoulos, sambil menggayakan tangannya untuk mengingati kembali bagaimana dia bersusah-payah mencari tempat tidur di dalam bangunan yang ditinggalkan. Pihak berwajib memberitahu, jumlah orang gelandangan di Greece semakin meningkat iaitu antara 20 hingga 25 peratus dalam setahun dua ini. Ia merupakan satu peningkatan yang mendadak di negara tersebut apabila orang dewasa yang sering menetap bersama keluarga dan wang pencen biasanya digunakan untuk menampung kehidupan. Statistik menunjukkan kebanyakan negara Eropah menjunam kerana kemelesetan ekonomi dan langkah penjimatan yang diamalkan kerajaan, selari dengan peningkatan penganggur, kekurangan rumah mampu milik dan pemotongan faedah sosial memaksa ramai orang melangkaui jangkaan dan memberi kesan kepada individu yang merasakan mereka kebal.

GELANDANGAN

Papadopoulos, 40, tidak percaya dengan apa yang dialaminya. Dia seorang seorang chef yang berjaya dan dikenali terpaksa mencari tempat tidur sebelum dia menemui katil di sebuah rumah perlindungan. Dua adiknya yang merupakan ahli keluarga terdekat turut menjadi mangsa kemelesetan ekonomi hingga tidak berdaya untuk membantunya lagi. “Saya tidak pernah menjangkakan semua ini berlaku pada saya. Saya kemudian sedar betapa hidup ini seumpama roda. Ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Kita semua ada potensi untuk menjadi orang gelandangan,” tegas Papadopoulos. Berbanding dengan klise yang sering mengaitkan orang gelandangan dibelenggu masalah mental dan dadah, Papadopolulos adalah sebahagian daripada generasi baru Greece. Dia tergolong dalam kalangan mereka yang menjadi mangsa kepada pemotongan faedah untuk menangani krisis hutang negara. “Populasi orang gelandangan telah berubah,” kata Aris Violantzis, seorang ahli psikologi Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di Klimaka.  “Ia biasanya melibatkan orang pertengahan umur dalam tahun-tahun produktif yang memikirkan bahawa segala-galanya akan berjalan lancar dan mereka membuat perkara yang betul.

Sebaliknya, apa yang berlaku membuatkan mereka rasa tertipu.” Di kawasan penempatan gelandangan Klimaka, lebih kurang 50 orang kebanyakannya lelaki kelihatan berbual, bermain backgammon atau menonton televisyen sementara menanti masa untuk makan pasta dan daging yang dimasak oleh Papadopoulos dihidangkan di atas pinggan plastik. Golongan pertama yang akan ditemui jika memasuki kawasan itu ialah mereka yang sebelum ini bekerja dalam sektor pembinaan. Lambros, seorang pembancuh simen tidak akan memberitahu sanak-saudara yang dia terpaksa tidur di dalam kereta selama tiga bulan selepas dipecat Krismas tahun lalu, sebelum menemui tempat berteduh di kawasan perlindungan itu. “Saya tidak mahu mereka mengetahuinya. Saya rasa teruk, begitu juga mereka,” tutur lelaki berusia 55 tahun itu dengan linangan air mata. Kemiskinan telah meningkat secara mendadak di jalanan bandar Athens yang mempunyai populasi penduduk seramai empat juta orang. Orang ramai bersesak-sesak di dalam beg-beg tidur di lorong sunyi dan mereka dilihat mencari-cari sisa makanan, besi buruk atau kaca di dalam tong-tong sampah untuk dijual.

ZON KELABU

Klimaka menganggarkan populasi yang tinggal di jalanan di Greece telah meningkat kepada 25 peratus iaitu 17,000-20,000 sejak dua tahun lalu. Dengan jumlah penganggur di Greek yang kini mencecah 16 peratus, generasi gelandangan baru ini datang dari segenap lapisan masyarakat. “Keluarga dan masyarakat kini sedang menderita. Saya tidak pernah melihat situasi sebegini sebelum ini. Ia seperti hidup seseorang itu ditentukan oleh dirinya sendiri,” ujar Violantzis. Di seberang laut Ionian di Itali, yang memperkenalkan penjimatan untuk mengatasi krisis fiskal, pekerja kebajikan menceritakan kisah yang sama untuk golongan gelandangan dan memberitahu perpaduan keluarga di sana menjadi tegang. “Lebih ramai orang di dalam zon kelabu yang tidak hidup dalam kemiskinan melampau tetapi tidak mempunyai wang yang cukup daripada gaji bulanan seperti keluarga ibu tunggal dan orang-orang tua,” kata Francesca Zuccari dari badan kebajikan Sant Egidio.

Kumpulan pembasmi kemiskinan yang paling aktif di dalam negara, badan Katholik Caritas melaporkan terdapat kenaikan sebanyak 25 peratus bagi orang yang datang meminta bantuan daripada mereka antara tahun 2009 dan 2010. Keadaan itu juga membuatkan ramai yang bercerai dan menjadi duda. “Ramai orang berpisah dan krisis ekonomi telah mengurangkan pendapatan, meningkatkan penganggur dan memburukkan situasi perumahan,” kata jurucakap Caritas, Renato Molinaro. Golongan lemah seperti pendatang asing dan remaja akan menerima risiko yang teruk di sekitar Eropah, kata NGO persekutuan Eropah yang berkhidmat untuk golongan gelandangan, Feantsa. “Semakin ramai orang yang menyangka terlepas daripada musibah gelandangan kini berada di sini,” ungkap Karolina Krzystek, pegawai polisi Feantsa. Kebanyakan mereka menumpang tidur di rumah rakan yang terdiri daripada flat yang penuh sesak.

KRISIS HUTANG

Di Sepanyol yang memiliki jumlah penganggur paling tinggi dalam Kesatuan Eropah (EU) iaitu lebih 21 peratus dan bertindih dengan ukuran ketat untuk mengelakkan mata wang euro menjunam, bilangan orang gelandangan yang pergi ke pusat perlindungan meningkat kepada 15.7 peratus dari 2008 ke 2010, demikian menurut data rasmi. Bagaimanpun, isu itu tidak hanya terhenti di negara-negara yang mengalami krisis hutang mata wang euro. Jumlah keluarga bergelandangan di Britain, salah satu negara yang bukan di dalam zon euro, meningkat daripada 10 kepada 44 peratus kepada 44,160 isi rumah tahun lalu. Ia merupakan peningkatan pertama sejak 2004. Isu terbesar di Britain, yang memulakan penjimatan tahun lalu adalah kekurangan rumah mampu milik, kata jurucakap wanita badan perlindungan kebajikan golongan gelandangan. “Makin ramai yang tidak mampu memiliki rumah dan sewa semakin meningkat. Pemotongan manfaat rumah telah membuatkan ramai yang hidup dalam keadaan susah yang melampau,” ujarnya lagi.

Kekurangan rumah yang kronik dan peningkatan pengangguran yang tinggi juga menyumbang kepada masalah itu di Perancis yang disenaraikan oleh Pertubuhan bagi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan sebagai negara kebajikan paling pemurah di dunia. Pengurus Yayasan Abbe Pierre dan seksyen sosial Palang Merah Perancis, dua organisasi yang menguruskan hal orang gelandangan di negara berkenaan memberitahu, jumlah gelandangan telah meningkat dari 130,000 ke 150,000 pada awal tahun 2011, iaitu lebih 100,000 dari tahun 2008. Sukarelawan palang merah, Didier Piard memberitahu ia suatu peningkatan mendadak sejak tahun 2007 dalam tiga kategori iaitu kejatuhan remaja ketika waktu sukar sebaik meninggalkan rumah, orang pencen yang kekurangan kuasa beli dan pencari suaka politik. “Kebanyakan mereka tidak berada dalam radar kami sebelum ini, yang bekerja berterusan sepanjang hidup mereka. Bagi golongan pencen, tiba-tiba mereka mendapati mereka hidup dalam jumlah yang kecil, tidak berupaya untuk menampung hidup dengan kadar sewa bil-bil dan makanan yang tinggi,” tegasnya.

SUMBER
HARIAN KOSMO


ISU SOSIAL : 7 BILION BUKAN SEKADAR ANGKA

Oleh SYALMIZI HAMID dan KUMARA SABAPATTY


Di mana-mana bahagian dunia pada minggu ini, kelahiran bayi dianggap sesuatu yang sangat istimewa kerana mereka merupakan penduduk ke-7 bilion bumi. Bilangan penduduk bumi mencecah angka tujuh bilion Isnin lalu, cuma 12 tahun selepas ia mencapai enam bilion. Peralihan angka satu bilion itu hakikatnya memberi cabaran yang besar untuk tahun-tahun akan datang. Bagaimanapun, sesetengah orang bertanya sebesar mana angka tujuh bilion itu? Individu seperti genius matematik, Adi Putra Abdul Ghani, mungkin menyukai permainan angka itu. Sekali pandang, ia tidak jauh berbeza daripada enam bilion. Kalau ditulis dalam nombor, ada sembilan nombor sifar dalam 6,000,000,000, sama seperti sembilan nombor itu dalam 7,000,000,000. Tetapi jika anda mengira semua nombor yang ada di antara enam bilion dan tujuh bilion, ia akan mengambil masa selama 30 tahun untuk diselesaikan. Ya, tiga dekad. Bilakah kali terakhir anda menggunakan angka tujuh bilion dalam kehidupan seharian? Pernahkah anda makan tujuh bilion sesuatu atau memiliki tujuh bilion benda?

Pada awal tahun ini, cuma ada 140 orang di dunia yang mempunyai kekayaan bernilai kira-kira AS$7 bilion (RM21 bilion), menurut majalah Forbes. “Nombor itu berada di luar pemikiran harian kita,” kata profesor madya matematik di Universiti Villanova, Pennsylvania, Amerika Syarikat (AS), Klaus Volpert. “Kita mengira hingga angka 10 menggunakan jari tangan dan itulah skala kita. Malah untuk mengira hingga sejuta pun bukanlah satu kebiasaan. Angka yang besar itu membuatkan kita keliru,” tambah beliau. Ada banyak cara untuk kita membayangkan angka tujuh bilion. Tujuh bilion saat yang lalu ialah tahun 1789. Di Amerika Syarikat, ia merupakan tahun George Washington menjadi Presiden pertama negara itu. Jika anda membuat tujuh bilion langkah di sepanjang garisan Khatulistiwa, iaitu kira-kira setengah meter bagi setiap langkah, anda boleh berjalan mengelilingi bumi sebanyak 106 kali. Katakanlah purata ketinggian manusia ialah 1.6 meter. Jika anda menyusun mereka secara menegak, ia akan mencecah kira-kira 1 per 14 jarak matahari atau 27 kali jarak di antara bumi dengan bulan, kata Volpert.

MAKANAN

Krisis air di India, negara kedua penduduk paling ramai di dunia, boleh bertukar menjadi krisis kemanusiaan. Tujuh bilion semut, purata tiga miligram seekor pula boleh menjadi seberat 23,000 kilogram. “Minda kita cuma menerawang apabila memikirkan betapa besarnya tujuh bilion,” kata Volpert. Beliau berkata, perasaan yang sama akan hadir apabila kita cuba membayangkan ukuran yang sangat kecil atau sesuatu yang berada di luar angkasa. “Setiap kali kita mendongak ke langit dan melihat bintang, kita akan terpegun dengan skalanya yang besar dan menakjubkan,” ujarnya. Bumi belum sampai ke angka satu bilion penghuni sehingga tahun 1800, menurut Biro Referen Populasi AS, dan mencecah dua bilion pada tahun 1930. Tetapi dengan kemajuan perubatan moden, ia hanya mengambil masa selama 30 tahun untuk mencatat tiga bilion, 14 tahun untuk empat bilion, 13 tahun untuk menjadi lima bilion dan 12 tahun untuk mencapai enam dan tujuh bilion. Pertambahan sisa pepejal seiring dengan peningkatan bilangan penduduk. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan populasi dunia akan bertambah kepada 9.3 bilion menjelang tahun 2050.

Pertambahan itu menimbulkan kebimbangan tentang banyak perkara daripada makanan hinggalah ruang untuk tempat tinggal. Pakar-pakar di National Geographic berkata, tujuh bilion manusia muat untuk bandar Los Angeles di AS yang seluas 800 kilometer persegi – jika kita berdiri dari bahu ke bahu. Mujurlah bumi mempunyai keluasan 149 juta kilometer persegi. Pertambahan penduduk bermakna lebih banyak proses perbandaran berlaku. Pada tahun 1950, kira-kira 730 juta orang penghuni dunia adalah penduduk bandar. Ada hampir 3.5 bilion penghuni bandar pada tahun 2009 dan dijangka 6.3 bilion manusia tinggal di bandar-bandar pada 40 tahun akan datang. PBB juga menganggarkan pertambahan sebanyak 70 peratus terhadap keperluan makanan untuk sembilan bilion orang pada tahun 2050. Kegunaan air juga dijangka meningkat dua kali ganda. Malangnya, lebih satu bilion manusia sekarang tidak mendapat bekalan air minuman. Dijangkan bilangan lelaki dan wanita adalah sama. Namun, jangka hayat khususnya di negara maju akan bertambah. Menurut Biro Perangkaan AS, sekarang terdapat hampir 390,000 orang yang berumur 100 tahun atau lebih, hampir 13 juta berumur lebih 90 tahun dan 1.5 bilion melebihi usia 50 tahun.

SUMBER
HARIAN KOSMO


05 November 2011

ISU BAHASA : KETEGASAN MANSUH PPSMI DEMI KEPENTINGAN MASA DEPAN PELAJAR


HELL'S DOOR TURKMENISTAN

Ketika kontroversi isu Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) hangat dibincangkan, pihak yang mahu opsyen mengekalkan PPSMI mengetengahkan beberapa hujah bagi menguatkan pendirian mereka. Antaranya ialah bahasa Inggeris adalah bahasa antarabangsa dan jika bahasa itu diabai di sekolah, anak akan ketinggalan dalam arus kemajuan. Kita bersetuju bahawa hujah ini mempunyai merit. Tiada siapa boleh menafikan bahasa Inggeris berkembang pesat dan menjadi lingua franca atau bahasa perantaraan dalam kalangan masyarakat di seluruh dunia. Malah jika kita menjelajah ke mana-mana negara sekali pun, kita tidak akan sesat jika boleh bertutur dalam bahasa Inggeris. Kebanyakan majikan, terutama syarikat pelbagai nasional, mahupun syarikat tempatan yang menceburi pasaran antarabangsa mahukan kakitangan masing-masing fasih bertutur dalam bahasa terbabit. Pengajian pada peringkat universiti dalam apa-apa bidang sekali pun memerlukan penguasaan dalam bahasa Inggeris.

Di atas kesedaran ini, Kementerian Pelajaran menerusi Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) turut memberi tumpuan kepada usaha menambah baik penguasaan bahasa antarabangsa itu dalam kalangan pelajar, baik pada peringkat rendah mahupun menengah. Malah seperti ditegaskan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran pada sidang medianya semalam, pemansuhan PPSMI tidak bermakna kerajaan mengabaikan kepentingan penguasaan bahasa Inggeris. Pelbagai inisiatif baru yang lebih efektif akan dilaksanakan agar penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid dipertingkatkan lagi. Sebenarnya, jika pihak yang memperjuangkan PPSMI bersikap jujur, mereka harus akui hakikat bahawa sejak dilaksanakan pada 2003, PPSMI tidak langsung memberi kesan terhadap peningkatan penguasaan bahasa Inggeris.

Sebaliknya, kebanyakan pelajar tidak pula dapat menguasai ilmu Matematik dan Sains dengan baik dan terus ketinggalan. Menyedari kelemahan ini dan demi kepentingan masa depan anak, kerajaan terpaksa bertindak mengatasi masalah ini dengan memansuhkan PPSMI dan memperkenalkan MBMMBI. Namun langkah ini yang sudah bermula tahun ini pada peringkat Tahun Satu di sekolah rendah, dilakukan secara berhemah dengan terus memberi pilihan kepada pelajar yang sudah melalui PPSMI menghabiskan pelajaran mereka dalam bahasa Inggeris hingga di Tingkatan Lima. Kita yakin kaedah ‘soft-landing’ ini tidak akan mengakibatkan kecelaruan dalam sistem pembelajaran dan tidak akan menyulitkan mana-mana pelajar. Sikap kerajaan dalam menangani isu ini, walaupun tegas terbukti mengambil kepentingan semua pihak dan berikutan itu harus menutupkan debat mengenai PPSMI ini.

SUMBER
BERITA HARIAN
5 NOVEMBER 2011


ISU IPT : MEMBUDAYAKAN PENYELIDIKAN UNIVERSITI

Oleh Zaleha Kamaruddin
bhnews@bharian.com.my


THE GREAT BLUE HOLE OF BELIZE


Kemampuan merealisasikan gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020 mengikut acuan sendiri amat bergantung kepada sistem pendidikan negara. Menyedari hakikat ini, pelbagai usaha untuk melahirkan modal insan minda kelas pertama sudah menjadi agenda utama Kementerian Pengajian Tinggi dalam merangka Pelan Induk Pembangunan Pendidikan untuk melahirkan masyarakat berilmu dan berkeperibadian tinggi. Sehubungan itu, tenaga akademik atau pensyarah di universiti diamanahkan melahirkan masyarakat berpengetahuan dan berilmu. Pelbagai ilmu pengetahuan disediakan itu perlu juga diseimbang dan disepadukan dengan aspek kerohanian, emosi dan jasmani. Antara langkah kerajaan ialah melaksanakan transformasi sistem penyelidikan dan pendidikan negara. Ini termasuk mewujudkan Majlis Profesor dan Anugerah Profesor Ulung kepada tokoh akademik yang cemerlang dalam bidang masing-masing.

Usaha terbaru ialah pengumuman Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengenai penerbitan buku atau bahan akademik dalam bahasa Melayu yang akan dijadikan sebagai antara kriteria kenaikan pangkat ahli akademik di institusi pengajian tinggi (IPT). Pada 2007, kerajaan berbelanja lebih RM6 bilion untuk pengurusan IPTA. Jumlah ini meningkat dari tahun ke tahun dengan penambahan pelajar dan menaik taraf lima IPTA sedia ada iaitu Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Sains Malaysia dan Universiti Teknologi Malaysia kepada universiti penyelidikan. Di samping itu, hubungan rapat antara universiti dengan industri dan kerjasama antarabangsa melalui program pertukaran ahli akademik perlu ditingkatkan. Selain program pembangunan profesionalisme, aspek budaya kerja dan kepemimpinan perlu diinstitusikan bagi memastikan kecemerlangan IPT. Bagi maksud ini, beberapa penganugerahan dan pengiktirafan serta insentif lain diberikan kepada semua ahli akademik yang berjaya menghasilkan ciptaan dan inovasi mereka.

Menurut laporan Prof Dr Muhamad Rasat Muhamad dari Institut Pengurusan Penyelidikan dan Perundingan, Universiti Malaya, lazimnya peranan utama sesebuah universiti adalah bagi menjana dan menyebarkan ilmu dan bagi menghasilkan ilmuwan. Peranan pertama berkait rapat dengan aktiviti penyelidikan manakala peranan kedua pula berkait rapat dengan pengajaran dan pembelajaran. Oleh itu, pengajaran dan penyelidikan bolehlah dianggap sebagai aktiviti teras dalam sesebuah universiti. Beliau berkata, kejayaan universiti biasanya diukur menerusi kejayaan ahli akademik dan penyelidiknya membuat penemuan baru atau penyelesaian masalah melalui penyelidikan serta memperkayakan harta intelek universiti bagi kegunaan masyarakat. Pengalaman mengumpul stok ilmu ini dan penggunaannya pula akan dikongsi dengan penuntut universiti melalui proses pengajaran bagi menghasilkan graduan berilmu dengan kemahiran tinggi dalam bidang masing-masing. Proses ini dan penyertaan dalam aktiviti lain di universiti menyediakan graduannya untuk menjadi pemimpin dan ahli teknokrat di dalam masyarakat.

Peranan penyelidikan menjadi penting sehingga setiap universiti sentiasa menjadikan penyelidikan sebagai agenda utama dalam pelan strategik dan tindakan universiti berkenaan. Universiti seumpama ini mempunyai tradisi dan budaya tersendiri kerana fokus mereka adalah penjanaan ilmu. Sebarang pelantikan dan kenaikan pangkat kakitangan akademiknya mengutamakan keupayaan dan kemampuan menjalankan penyelidikan. Kecemerlangan akademiknya diukur menerusi penulisan ilmiah dalam jurnal terkemuka dan penghasilan harta intelek dalam bentuk paten dan bilangan graduan ijazah tinggi yang dihasilkan setiap tahun. Tumpuan diberi kepada program ijazah tinggi, di samping program ijazah pertama bagi menghasilkan pakar pada peringkat sarjana dan doktor falsafah. Dalam konteks Malaysia universiti seumpama ini mendapat dana penyelidikan yang lebih untuk tujuan penyelidikan. Dr Muhamad Rasat berkata, universiti perlu mewujudkan persekitaran kondusif kepada program penyelidikannya yang turut mempengaruhi proses pembelajaran. Antara insfrastruktur dimaksudkan, termasuk perpustakaan dan makmal dilengkapi kemudahan canggih, rangkaian komputer dan kemudahan teknologi maklumat berkesan serta unit penerbitan.

Usaha negara ke arah perindustrian memerlukan kepakaran tinggi dalam sektor awam dan swasta. Permintaan ini boleh diatasi dengan pengwujudan program pengajian ijazah tinggi di universiti tempatan dalam bidang keutamaan yang penting kepada pembangunan negara. Malah program ini dapat menarik pelajar dari luar negara mengikuti pengajian dan menjalankan penyelidikan di negara ini. Proses pengantarabangsaan ini adalah penting khususnya dalam konteks globalisasi yang berlaku sekarang. Kemakmuran Malaysia yang mempunyai rakyat berbilang kaum juga sangat bergantung kepada hubungan antara kaum. Penuntut universiti juga terdiri daripada berbilang kaum dan pelajar luar negara. Pergaulan dan pembabitan mereka yang mempunyai pelbagai latar belakang dan budaya dalam pelbagai aktiviti kampus adalah pengalaman sangat berharga kepada penuntut. Ia adalah proses pembelajaran tidak formal, tetapi penting bagi mencapai matlamat sosial negara dan kesejahteraan masyarakat sejagat. Bagi universiti di dunia Islam setakat ini belum ada usaha gigih membudayakan penyelidikan. Di dunia Barat, pendekatan umum untuk peningkatan kapasiti menubuh kumpulan penyelidikan pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa dilakukan dengan rancak. Namun, di negara Islam universiti mereka masih belum mengembangkan rangkaian akademik yang baik dan berkesan. Mereka masih terkapai-kapai mencari hala tuju tepat dan wajar. Antara alasan diberi ialah dana antarabangsa yang besar diperlukan, terutama untuk jangka masa panjang.

Penulis ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

SUMBER
BERITA HARIAN
5 NOVEMBER 2011