Oleh Akmal Saufi Mohamed Khaled
akmalsaufi@gmail.com
GALERI UFFIZI DI FLORENCE, ITALI
Perubahan corak pemikiran hari ini menjadikan masyarakat berbincang dan berdebat mengenai isu berkaitan undang-undang, isu semasa serta apa saja yang boleh dilihat dengan mata kasar. Penafian hak itu akan hanya menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan rakyat, merencatkan pembangunan intelek serta mencabar kebebasan bersuara seperti dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan. Kebebasan ini jika digunakan secara optimum akan memberi impak besar sekiranya masyarakat bijak dalam memperkasakan minda dengan berani mengkritik dengan kritikan bernas dan berkualiti. Bagaimanapun, perkara ini tidak semudah dijangka. Matlamat ini terlalu sukar direalisasi sekiranya ia disalah tafsir. Selepas isu penggantungan Profesor Dr Abdul Aziz Bari oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), kini kita menghadapi satu lagi babak sukar dalam dunia akademik. Mahkamah Rayuan baru-baru ini mengisytiharkan mahasiswa dibenarkan untuk terbabit dengan mana-mana parti politik, walaupun Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) melarang sama sekali.
Bukankah ini satu berita baik buat mahasiswa? Dengan keputusan mahkamah ini, mahasiswa kini diberi peluang menyokong serta berkempen mana-mana parti politik mengikut kehendak masing-masing. Tetapi perlu diingat, perkara ini harus diteliti dan dianalisis terlebih dulu. Apakah tafsiran terhadap pendapat dunia akademik dalam hal ini pelajarnya masih berkecuali jika mereka sendiri mempunyai kecenderungan terhadap mana-mana parti politik? Bukankah ini menjadikan pandangan mereka berat sebelah? Adalah menjadi kerja gila jika matlamat pihak universiti serta kerajaan bukan untuk mempertingkatkan tahap pemikiran mahasiswa dan masyarakat secara amnya Adalah menjadi kerja gila jika matlamat pihak universiti serta kerajaan bukan untuk mempertingkatkan tahap pemikiran mahasiswa dan masyarakat secara amnya. Inilah sebab utama mengapa mahasiswa menuntut di universiti, iaitu dengan mempertingkatkan tahap pemikiran dan belajar untuk membuat keputusan termaklum. Atas alasan itu, pihak universiti seharusnya sentiasa menawarkan mahasiswa peluang menjelajahi ilmu agar mahasiswa tidak mudah diperkotak-katik pengaruh luar.
Beberapa tahun kebelakangan ini, perdebatan dan perbincangan mengenai isu banyak dijalankan institusi pengajian tinggi sering mendapat sambutan. Sebagai contoh di UIAM sendiri, perbincangan mengenai pembentangan Bajet 2012 berjaya diadakan tanpa perlu pelajar bersama dengan parti politik. Dunia akademik mampu menajamkan pemikiran mereka. Kita sedia maklum, isu yang dibangkitkan parti politik mempunyai objektif meraih sokongan politik. Sedangkan, perbincangan sebegitu rupa yang diadakan di universiti berfungsi untuk berdiskusi bagi mencari jalan penyelesaian terbaik secara ilmiah. Perbincangan di universiti bukanlah hanya retorik atau mahu memenangi perdebatan semata-mata.Mari pula kita fikirkan bagaimana jika kerajaan membenarkan penyertaan mahasiswa secara langsung dalam arena politik? Apakah batasannya? Apakah kesan terhadap integriti dan sifat berkecuali universiti? Bagaimanakah cara bagi sesebuah institusi itu mempertahankan imejnya? Kita sedia maklum bahawa sesebuah institusi pendidikan itu sewajarnya bersifat berkecuali tetapi kritikal dalam memberikan pandangan.
Namun sekiranya ada ahlinya yang cenderung ke arah sesebuah parti politik dan pandangan berkepentingan politik, bukankah ini memperlihatkan seolah-olah pandangan itu mewakili keseluruhan institusi berkenaan? Ini yang kita tidak mahu. Hal ini boleh digambarkan seperti yang terjadi dalam isu Dr Abdul Aziz, yang mana pihak universiti menjalankan siasatan mengenai kenyataan serta kritikan terbuka beliau terhadap Sultan Selangor. Adakah pandangan ini mewakili pihak universiti atau pandangan peribadi beliau? Situasi ini membuktikan bahawa suatu garis panduan bersesuaian adalah suatu keperluan. Ia harus diperhalusi dalam memahami tatacara bersesuaian bagi ahli sesebuah institusi, terutama mahasiswa. Garis panduan ini berfungsi sebagai batu asas dalam memberi pendapat dan kritikan terhadap perkara yang berkaitan dengan isu politik, agar kritikan dan pandangan itu tidak melangkaui garisan pemisah antara pandangan akademik dengan pandangan yang cenderung terhadap parti politik semata-mata. Berdasarkan keputusan Mahkamah Rayuan baru-baru ini juga menyebabkan mahasiswa yang sebelum ini pendiriannya tidak kelihatan lebih menonjol.
Secara am mereka boleh dibahagikan kepada; kumpulan yang menyokong mahasiswa berpolitik, mahasiswa yang mahu mempertahankan kredibiliti dunia akademik dan mahasiswa atas pagar. Di celah kelompok mahasiswa ini juga wujud kelompok yang penuh dengan kecelaruan. Golongan ini memekik dan terlolong mengatakan bahawa parti politik dan fahamannya tidak patut menjejakkan kaki ke dunia akademik, tetapi pada masa sama, mereka jugalah golongan mahasiswa yang mahu membuka laluan mahasiswa aktif berpolitik. Jelas pendirian mereka ini ibarat lalang yang mudah ditiup ke sana ke mari. Inilah satu-satunya spesies lalang yang pergi kelas. Hujahan mengatakan mahasiswa kurang peka terhadap isu politik dilihat menjadi sebab kepada pertikaian semasa. Bagaimanapun, membenarkan mahasiswa menyertai atau menyokong parti politik bukanlah bermaksud kepekaan mahasiswa terhadap politik juga bertambah. Peningkatan tahap kepekaan isu politik semasa bergantung kepada minat, persekitaran serta pemikiran individu itu dalam membantu dan berbakti kepada negara.
Penulis ialah Pelajar Tahun Akhir Jurusan Undang-Undang, Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
SUMBER
BERITA HARIAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan