HELL'S DOOR TURKMENISTAN
Ketika kontroversi isu Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) hangat dibincangkan, pihak yang mahu opsyen mengekalkan PPSMI mengetengahkan beberapa hujah bagi menguatkan pendirian mereka. Antaranya ialah bahasa Inggeris adalah bahasa antarabangsa dan jika bahasa itu diabai di sekolah, anak akan ketinggalan dalam arus kemajuan. Kita bersetuju bahawa hujah ini mempunyai merit. Tiada siapa boleh menafikan bahasa Inggeris berkembang pesat dan menjadi lingua franca atau bahasa perantaraan dalam kalangan masyarakat di seluruh dunia. Malah jika kita menjelajah ke mana-mana negara sekali pun, kita tidak akan sesat jika boleh bertutur dalam bahasa Inggeris. Kebanyakan majikan, terutama syarikat pelbagai nasional, mahupun syarikat tempatan yang menceburi pasaran antarabangsa mahukan kakitangan masing-masing fasih bertutur dalam bahasa terbabit. Pengajian pada peringkat universiti dalam apa-apa bidang sekali pun memerlukan penguasaan dalam bahasa Inggeris.
Di atas kesedaran ini, Kementerian Pelajaran menerusi Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) turut memberi tumpuan kepada usaha menambah baik penguasaan bahasa antarabangsa itu dalam kalangan pelajar, baik pada peringkat rendah mahupun menengah. Malah seperti ditegaskan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran pada sidang medianya semalam, pemansuhan PPSMI tidak bermakna kerajaan mengabaikan kepentingan penguasaan bahasa Inggeris. Pelbagai inisiatif baru yang lebih efektif akan dilaksanakan agar penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid dipertingkatkan lagi. Sebenarnya, jika pihak yang memperjuangkan PPSMI bersikap jujur, mereka harus akui hakikat bahawa sejak dilaksanakan pada 2003, PPSMI tidak langsung memberi kesan terhadap peningkatan penguasaan bahasa Inggeris.
Sebaliknya, kebanyakan pelajar tidak pula dapat menguasai ilmu Matematik dan Sains dengan baik dan terus ketinggalan. Menyedari kelemahan ini dan demi kepentingan masa depan anak, kerajaan terpaksa bertindak mengatasi masalah ini dengan memansuhkan PPSMI dan memperkenalkan MBMMBI. Namun langkah ini yang sudah bermula tahun ini pada peringkat Tahun Satu di sekolah rendah, dilakukan secara berhemah dengan terus memberi pilihan kepada pelajar yang sudah melalui PPSMI menghabiskan pelajaran mereka dalam bahasa Inggeris hingga di Tingkatan Lima. Kita yakin kaedah ‘soft-landing’ ini tidak akan mengakibatkan kecelaruan dalam sistem pembelajaran dan tidak akan menyulitkan mana-mana pelajar. Sikap kerajaan dalam menangani isu ini, walaupun tegas terbukti mengambil kepentingan semua pihak dan berikutan itu harus menutupkan debat mengenai PPSMI ini.
SUMBER
BERITA HARIAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan