05 November 2011

ISU IPT : MEMBUDAYAKAN PENYELIDIKAN UNIVERSITI

Oleh Zaleha Kamaruddin
bhnews@bharian.com.my


THE GREAT BLUE HOLE OF BELIZE


Kemampuan merealisasikan gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020 mengikut acuan sendiri amat bergantung kepada sistem pendidikan negara. Menyedari hakikat ini, pelbagai usaha untuk melahirkan modal insan minda kelas pertama sudah menjadi agenda utama Kementerian Pengajian Tinggi dalam merangka Pelan Induk Pembangunan Pendidikan untuk melahirkan masyarakat berilmu dan berkeperibadian tinggi. Sehubungan itu, tenaga akademik atau pensyarah di universiti diamanahkan melahirkan masyarakat berpengetahuan dan berilmu. Pelbagai ilmu pengetahuan disediakan itu perlu juga diseimbang dan disepadukan dengan aspek kerohanian, emosi dan jasmani. Antara langkah kerajaan ialah melaksanakan transformasi sistem penyelidikan dan pendidikan negara. Ini termasuk mewujudkan Majlis Profesor dan Anugerah Profesor Ulung kepada tokoh akademik yang cemerlang dalam bidang masing-masing.

Usaha terbaru ialah pengumuman Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengenai penerbitan buku atau bahan akademik dalam bahasa Melayu yang akan dijadikan sebagai antara kriteria kenaikan pangkat ahli akademik di institusi pengajian tinggi (IPT). Pada 2007, kerajaan berbelanja lebih RM6 bilion untuk pengurusan IPTA. Jumlah ini meningkat dari tahun ke tahun dengan penambahan pelajar dan menaik taraf lima IPTA sedia ada iaitu Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Sains Malaysia dan Universiti Teknologi Malaysia kepada universiti penyelidikan. Di samping itu, hubungan rapat antara universiti dengan industri dan kerjasama antarabangsa melalui program pertukaran ahli akademik perlu ditingkatkan. Selain program pembangunan profesionalisme, aspek budaya kerja dan kepemimpinan perlu diinstitusikan bagi memastikan kecemerlangan IPT. Bagi maksud ini, beberapa penganugerahan dan pengiktirafan serta insentif lain diberikan kepada semua ahli akademik yang berjaya menghasilkan ciptaan dan inovasi mereka.

Menurut laporan Prof Dr Muhamad Rasat Muhamad dari Institut Pengurusan Penyelidikan dan Perundingan, Universiti Malaya, lazimnya peranan utama sesebuah universiti adalah bagi menjana dan menyebarkan ilmu dan bagi menghasilkan ilmuwan. Peranan pertama berkait rapat dengan aktiviti penyelidikan manakala peranan kedua pula berkait rapat dengan pengajaran dan pembelajaran. Oleh itu, pengajaran dan penyelidikan bolehlah dianggap sebagai aktiviti teras dalam sesebuah universiti. Beliau berkata, kejayaan universiti biasanya diukur menerusi kejayaan ahli akademik dan penyelidiknya membuat penemuan baru atau penyelesaian masalah melalui penyelidikan serta memperkayakan harta intelek universiti bagi kegunaan masyarakat. Pengalaman mengumpul stok ilmu ini dan penggunaannya pula akan dikongsi dengan penuntut universiti melalui proses pengajaran bagi menghasilkan graduan berilmu dengan kemahiran tinggi dalam bidang masing-masing. Proses ini dan penyertaan dalam aktiviti lain di universiti menyediakan graduannya untuk menjadi pemimpin dan ahli teknokrat di dalam masyarakat.

Peranan penyelidikan menjadi penting sehingga setiap universiti sentiasa menjadikan penyelidikan sebagai agenda utama dalam pelan strategik dan tindakan universiti berkenaan. Universiti seumpama ini mempunyai tradisi dan budaya tersendiri kerana fokus mereka adalah penjanaan ilmu. Sebarang pelantikan dan kenaikan pangkat kakitangan akademiknya mengutamakan keupayaan dan kemampuan menjalankan penyelidikan. Kecemerlangan akademiknya diukur menerusi penulisan ilmiah dalam jurnal terkemuka dan penghasilan harta intelek dalam bentuk paten dan bilangan graduan ijazah tinggi yang dihasilkan setiap tahun. Tumpuan diberi kepada program ijazah tinggi, di samping program ijazah pertama bagi menghasilkan pakar pada peringkat sarjana dan doktor falsafah. Dalam konteks Malaysia universiti seumpama ini mendapat dana penyelidikan yang lebih untuk tujuan penyelidikan. Dr Muhamad Rasat berkata, universiti perlu mewujudkan persekitaran kondusif kepada program penyelidikannya yang turut mempengaruhi proses pembelajaran. Antara insfrastruktur dimaksudkan, termasuk perpustakaan dan makmal dilengkapi kemudahan canggih, rangkaian komputer dan kemudahan teknologi maklumat berkesan serta unit penerbitan.

Usaha negara ke arah perindustrian memerlukan kepakaran tinggi dalam sektor awam dan swasta. Permintaan ini boleh diatasi dengan pengwujudan program pengajian ijazah tinggi di universiti tempatan dalam bidang keutamaan yang penting kepada pembangunan negara. Malah program ini dapat menarik pelajar dari luar negara mengikuti pengajian dan menjalankan penyelidikan di negara ini. Proses pengantarabangsaan ini adalah penting khususnya dalam konteks globalisasi yang berlaku sekarang. Kemakmuran Malaysia yang mempunyai rakyat berbilang kaum juga sangat bergantung kepada hubungan antara kaum. Penuntut universiti juga terdiri daripada berbilang kaum dan pelajar luar negara. Pergaulan dan pembabitan mereka yang mempunyai pelbagai latar belakang dan budaya dalam pelbagai aktiviti kampus adalah pengalaman sangat berharga kepada penuntut. Ia adalah proses pembelajaran tidak formal, tetapi penting bagi mencapai matlamat sosial negara dan kesejahteraan masyarakat sejagat. Bagi universiti di dunia Islam setakat ini belum ada usaha gigih membudayakan penyelidikan. Di dunia Barat, pendekatan umum untuk peningkatan kapasiti menubuh kumpulan penyelidikan pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa dilakukan dengan rancak. Namun, di negara Islam universiti mereka masih belum mengembangkan rangkaian akademik yang baik dan berkesan. Mereka masih terkapai-kapai mencari hala tuju tepat dan wajar. Antara alasan diberi ialah dana antarabangsa yang besar diperlukan, terutama untuk jangka masa panjang.

Penulis ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

SUMBER
BERITA HARIAN
5 NOVEMBER 2011


Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...