03 November 2011

ISU IPT : LIHAT SUDUT POSITIF AUKU

Oleh MOHD. MAHYUDDIN MOHD. SAIFUDDIN
PENULIS ialah pelajar Universiti Malaya


TAMAN BURUNG KUALA LUMPUR

Negara dikejutkan dengan keputusan Mahkamah Rayuan baru-baru ini yang memutuskan bahawa Seksyen 15 dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 adalah bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Malaysia. Keputusan pihak hakim secara majoriti 2-1 telah memihak kepada rayuan empat orang bekas pelajar dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang mendakwa hak kebebasan berpolitik dan bersuara adalah kebebasan rakyat Malaysia. Keputusan bersejarah itu sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini. Ada yang melihat dan bersuara bahawa Seksyen 15 AUKU adalah suatu seksyen yang begitu menekan dan mengongkong para pelajar di IPT untuk terlibat dalam politik di luar kampus. Ya, mungkin ada kebenarannya di situ. Tetapi adakah ramai yang cuba menyingkap kenapa AUKU menghalang para pelajar di IPT untuk terlibat dalam politik kepartian di luar kampus? Adakah ramai yang mengetahui bahawa para pelajar ini sebenarnya boleh menyertai ceramah-ceramah dan aktiviti-aktiviti ilmuwan yang dianjurkan oleh mana-mana parti politik sebagai suatu usaha untuk meningkatkan pengetahuan dan keilmuan mereka?

Mereka hanya tidak dibenarkan untuk menunjuk simpati dan memegang sebarang jawatan dalam mana-mana parti politik. Antara sebab mungkin mengapa Seksyen 15 dan keseluruhan AUKU itu dibentuk khusus kepada para pelajar IPT dan kakitangannya di kampus adalah untuk membela dan menjaga nasib para warga kampus terutama pelajar. Sebagai contoh mudah, sekiranya pelajar diberi kebebasan menyertai parti politik secara langsung, dan mereka terlibat dalam mana-mana tindakan disiplin parti yang memerlukan denda wang ringgit, maka siapa yang harus membela mereka sedangkan pelajar ini masih belum mempunyai pendapatan sendiri? Malah kebanyakan daripada mereka pula hanya bergantung kepada pinjaman PTPTN untuk belajar di IPT untuk tempoh masa tiga hingga lima tahun. AUKU juga berperanan sebagai suatu 'punca kuasa' untuk menggalakkan para pelajar bergiat aktif dalam kampus berbanding sibuk aktif dengan aktiviti-aktiviti parti politik di luar. Sekiranya para pelajar ini diberi peluang untuk menyertai politik kepartian, maka sudah pasti masa, wang dan tenaganya akan terpaksa dihabiskan untuk parti politik yang disertainya di luar kampus.

Kesibukan menyertai dan memegang jawatan dalam parti politik ini akhirnya menyebabkan masa belajar mereka akan digunakan untuk kepentingan parti, duit kocek yang ada dalam simpanan juga terpaksa dibelanjakan untuk survival politiknya dalam parti dan pastinya tenaga serta keringat harus dibahagikan antara tumpuan untuk belajar, komitmen dalam kampus dan penglibatan dengan parti politik. Seksyen 15 AUKU juga berperanan secara halus untuk membantu dan memastikan para pelajar agar lebih peka dan memberi tumpuan terhadap pengajaran dan pembelajarannya di IPT. Sekiranya para pelajar ini asyik sibuk siang dan malam dengan aktiviti parti politik tidak kira dari pihak kerajaan mahupun pembangkang, maka ruang waktu yang ada pada dirinya semakin terhad. Ini tidak mustahil akan menyebabkan para pelajar itu ponteng kelas dan tidak menyiapkan tugasan yang diberikan oleh pensyarah. Ditambah dengan tekanan yang dihadapi dalam organisasi parti politik, maka pelajar tersebut sudah pasti akan hilang tumpuannya terhadap pengajian.

Akhir sekali yang menjadi mangsa dalam perkara ini ialah pelajar itu sendiri, mana mungkin kepimpinan parti politik itu akan membantu pelajar untuk lulus cemerlang dalam pelajarannya. Kita tidak bercakap lagi soal perpecahan di dalam kampus sekiranya para pelajar dan kakitangan IPT diberi kebebasan untuk menyertai secara aktif mana-mana parti politik. Cuba bayangkan sekiranya setiap pentadbiran, dan ahli akademik dibolehkan bergiat aktif dalam parti politik, sudah pasti mereka akan mengambil peluang yang ada untuk menguatkan parti dan pengaruhnya. Sekiranya seorang pensyarah itu seorang ketua bahagian atau ranting sebuah parti, adakah beliau tidak mempunyai perasaan was-was dan dendam terhadap pelajarnya yang mempunyai jawatan yang sama tetapi dari parti lawan? Siapa yang boleh beri jaminan bahawa pensyarah itu tidak akan menggunakan kuasa dan kedudukan yang beliau ada untuk menggagalkan atau memberi tekanan terhadap pelajarnya yang 'setaraf' dengannya dalam dunia politik kepartian?

Adakah seorang Naib Canselor mampu duduk selesa sekiranya Timbalan Naib Canselor dan pegawai di bawahnya ialah seorang ketua parti lawan? Itu tidak termasuk lagi pengetua kolej-kolej kediaman, dekan-dekan fakulti dan pengarah-pengarah pusat, institut dan jabatan. Pendek kata yang boleh ditekankan di sini adalah AUKU itu sudah pasti ada cacat celanya kerana ia merupakan sebuah akta atau undang-undang yang diciptakan oleh manusia, tetapi tujuan dan keseluruhannya adalah untuk kebaikan warga di IPT juga. Janganlah kerana seekor nyamuk yang dimarahi tetapi seluruh kelambu dibakarnya. Para pelajar dan warga IPT akan mengalami pelbagai kesulitan sekiranya AUKU ini terus dibakulsampahkan begitu sahaja. Oleh itu, pihak pemerintah perlu meneliti dengan mendalam sebelum mengambil sebarang keputusan. Pihak pembangkang pula perlu matang dalam memberi hujah agar negara dan masa depan rakyat tidak akan dijual kepada pihak lain.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
3 NOVEMBER 2011


02 November 2011

ISU PENDIDIKAN : JANGAN ABAI TAHAP KESELAMATAN DI SEKOLAH

Oleh MARHAINI KAMARUDDIN


KOMPLEKS MEDAN 
IKAN BAKAR KUALA PERLIS

Kejadian murid perempuan pengsan dihempap tiang bendera baru-baru ini membuatkan ramai ibu bapa sesak nafas memikirkan keselamatan anak mereka di dalam kawasan sekolah. Tidak ada siapa pun mahu kejadian seumpama itu berlaku. Tidak dapat dibayangkan, anak yang dihantar ke sekolah dalam keadaan sihat wal afiat, pulang dengan kepala atau kaki tangan berbalut. Walaupun ia kes terpencil, ia sebenarnya bukan isu kecil dan remeh yang boleh dipandang ringan. Kita bersyukur kerana murid itu sekadar cedera tetapi perlu diingat bahawa kemalangan seumpamanya pernah meragut beberapa nyawa murid. Terbaru bulan lepas, melibatkan seorang murid tahun lima yang maut setelah cedera parah di kepala akibat dihempap tiang gol ketika bermain bola sepak di Sekolah Kebangsaan Kampung Jawa 1, Klang. Sekolah tidak lagi menjadi kawasan selamat untuk kanak-kanak belajar menuntut ilmu. Di mana silapnya?

Sebenarnya dalam apa jua keadaan, isu keselamatan memerlukan pemantauan secara konsisten. Begitu juga dalam hal yang membabitkan peralatan digunakan di sekolah. Pihak sekolah perlu lebih prihatin kerana di dalam pagar sekolah, mereka yang bertanggungjawab terhadap keselamatan pelajar! Di sini, pihak pentadbir sekolah bertanggungjawab memeriksa keadaan semua peralatan di dalam kawasan mereka baik tiang bendera, tiang gol mahupun kerusi meja agar sentiasa dalam keadaan baik dan tidak memudaratkan penggunanya - iaitu murid dan guru. Kita sedar ada sekolah yang masih bertahan dengan kelengkapan dan peralatan yang digunakan sejak ia dibuka mungkin 10 atau 20 tahun lalu kerana tiada peruntukan kewangan untuk menggantikannya. Namun ia bukan alasan untuk mengabaikan tahap keselamatan di kawasan sekolah. Justeru sebarang kerosakan patut dicatat, disenaraikan dan diambil tindakan untuk memperbaikinya.

Jika tiada bajet, lebih baik peralatan itu dibuang atau diletakkan di tempat selamat yang tidak akan mendatangkan risiko kemalangan. Perdana Menteri ketika membentangkan Bajet 2012 telah mengumumkan Dana Khas RM1 Bilion untuk Pembinaan, Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah - di sini pihak sekolah perlu bertindak proaktif dengan menyenaraikan peralatan yang memerlukan peruntukan dana berkenaan. Namun permohonan peruntukan itu pula biarlah berpada- pada. Yang paling utama adalah tahap keselamatan. Jangan kerana terlalu menumpukan kepada aspek keceriaan dan kecantikan sekolah, lebih banyak peruntukan kewangan dihabiskan ke arah itu sehingga mengabaikan faktor keselamatan.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
2 NOVEMBER 2011


ISU IPT : AUKU LINDUNGI PELAJAR DARIPADA KESAN NEGATIF POLITIK LUAR

Oleh Mohd Mahyuddin Mohd Saifuddin
bhnews@bharian.com.my


PULAU JERJAK, PULAU PINANG

Kita dikejutkan dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan bahawa Seksyen 15 dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 adalah bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Malaysia (unconstitutional). Keputusan hakim secara majoriti 2-1 telah memihak kepada rayuan empat bekas pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang mendakwa hak kebebasan berpolitik dan bersuara adalah kebebasaran rakyat Malaysia. Keputusan bersejarah itu sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini. Ada yang melihat dan bersuara bahawa Seksyen 15 AUKU adalah suatu seksyen yang begitu menekan dan mengongkong pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) untuk terbabit dalam politik di luar kampus. Ia mungkin ada kebenarannya. Tetapi adakah ramai yang cuba menyingkap kenapa AUKU menghalang pelajar di IPT untuk terbabit dalam politik kepartian di luar kampus? Adakah ramai yang mengetahui bahawa pelajar ini sebenarnya boleh menyertai ceramah dan aktiviti ilmuwan yang dianjurkan mana-mana parti politik sebagai usaha meningkatkan pengetahuan dan keilmuan mereka?

Mereka hanya tidak dibenarkan untuk menunjuk simpati dan memegang sebarang jawatan dalam mana-mana parti politik. Antara sebab mungkin kenapa Seksyen 15 dan keseluruhan AUKU itu dibentuk khusus kepada pelajar IPT dan kakitangannya di kampus adalah bagi tujuan membela dan menjaga nasib warga kampus terutama pelajar. Sebagai contoh mudah, sekiranya pelajar diberi kebebasan menyertai parti politik secara langsung dan mereka terbabit dalam mana-mana tindakan disiplin parti yang memerlukan denda berupa wang ringgit, maka siapa yang harus membela mereka sedangkan pelajar ini masih belum mempunyai pendapatan sendiri? Malah kebanyakan mereka pula hanya bergantung kepada pinjaman PTPTN untuk belajar di IPT untuk tempoh masa tiga hingga lima tahun. AUKU juga berperanan sebagai ‘punca kuasa’ menggalakkan pelajar bergiat aktif dalam kampus berbanding sibuk aktif dengan aktiviti parti politik di luar. Sekiranya pelajar diberi peluang menyertai politik kepartian, maka sudah pasti masa, wang dan tenaganya akan terpaksa dihabiskan untuk parti politik yang disertainya di luar kampus.  

Kesibukan menyertai dan memegang jawatan dalam parti politik ini akhirnya menyebabkan masa belajar mereka akan digunakan untuk kepentingan parti, duit kocek yang ada dalam simpanan juga terpaksa dibelanjakan untuk survival politiknya dalam parti. Seksyen 15 AUKU juga berperanan secara halus untuk membantu dan memastikan pelajar agar lebih peka dan memberi tumpuan terhadap pembelajaran di kampus. Sekiranya mereka asyik sibuk siang dan malam dengan aktiviti parti politik tidak kira daripada pihak kerajaan mahupun pembangkang, maka ruang waktu yang ada pada semakin terhad. Ini tidak mustahil akan menyebabkan pelajar ponteng kelas dan tidak menyiapkan tugasan yang diberikan pensyarah. Akhirnya yang menjadi mangsa dalam perkara ini adalah pelajar itu sendiri, mana mungkin kepemimpinan parti politik itu akan membantu pelajar untuk lulus dengan cemerlang dalam pelajarannya. Kita tidak bercakap lagi soal perpecahan di dalam kampus sekiranya pelajar dan kakitangan IPT diberi kebebasan menyertai secara aktif mana-mana parti politik.

Cuba bayangkan sekiranya setiap pentadbiran dan ahli akademik dibolehkan bergiat aktif dalam parti politik, sudah pasti mereka akan mengambil peluang untuk menguatkan parti dan pengaruhnya. Sekiranya seorang pensyarah itu seorang Ketua Bahagian sebuah parti, adakah beliau tidak mempunyai perasaan was-was dan dendam terhadap pelajarnya yang mempunyai jawatan yang sama tetapi dalam parti lawan? Siapa yang boleh beri jaminan bahawa pensyarah itu tidak akan menggunakan kedudukannya untuk menggagalkan atau memberi tekanan terhadap pelajarnya yang ‘setaraf’ dengannya dalam dunia politik kepartian?  Tidak dinafikan AUKU ada kekurangannya kerana ia adalah akta atau undang-undang yang diciptakan manusia, tetapi tujuan dan matlamat keseluruhannya adalah demi kebaikan warga IPT.

SUMBER
BERITA HARIAN
2 NOVEMBER 2011


ISU PENDIDIKAN : TIGA KOMPONEN BINA ASAS FUNDAMENTAL UNIVERSITI

Oleh Shamsul Amri Baharuddin
bhnews@bharian.com.my


TAMAN LAGENDA, LANGKAWI, KEDAH

Ilmu pengetahuan untuk sekian lama dinilai dan diukur dengan penanda aras yang idealistik kerana ia dikaitkan dengan pencapaian intelek tertinggi. Istilah menara gading, melukiskan idealisme ini yang tersimpul dalam kewujudan sesebuah universiti. Justeru, universiti adalah simbol, sekali gus abstrak dan nyata, idealisme yang bernilai sangat tinggi dan tiada tolok bandingnya. Dengan gelombang besar perubahan yang menghempas dan merubah landskap pantai kehidupan manusia sejagat sejak Revolusi Industri di Eropah pada abad ke-8, kedudukan ilmu pengetahuan dalam masyarakat pun sudah berubah. Bak kata pepatah, sekali air bah, sekali pasir berubah. Ilmu pengetahuan kini adalah komoditi yang boleh didagang, dijual beli dan dipasarkan, seperti sepasang kasut, sekotak rokok atau sebungkus serunding. Proses menghasilkan sesuatu komoditi, penentuan harganya dan pemasarannya ditentukan suatu kerangka piawaian global. Misalnya, setiap bahan makanan yang dijual mesti ditentukan tarikh luputnya untuk melindungi pengguna daripada mudarat memakan makanan yang sudah lama tersimpan.

Ilmu pengetahuan dalam konteks semasa, biar di universiti sekali pun, telah dikenakan kawalan kualiti, seperti komoditi lain di pasaran untuk memastikan pelajar atau pelanggan memperoleh komoditi berkualiti dan dipertanggungjawab kelayakan yang diperoleh. Dalam kata lain, integriti produk atau komoditi yang didagangkan, termasuk ilmu pengetahuan mestilah terjamin. Maka ciri fundamental sesuatu produk itu adalah integriti. Wujudnya badan seperti SIRIM Malaysia adalah semata-mata untuk tujuan ini bagi produk pengguna, mekanikal dan sistem/proses pengurusan. Di universiti pula, integriti akademik adalah ‘tiang seri’ fundamentalnya. Dulu diwujudkan Lembaga Akreditasi Negara (LAN) pada 2005 untuk tujuan itu. Kemudian ditubuhkan pula Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), pada 2007 untuk menilai kualiti program dan kursus yang ditawarkan bukan saja dengan skop lebih luas tetapi lebih mendalam dan rapi. Namun badan seperti ini hanya mampu menilai integriti akademik dalam pengertian khusus berkait dengan produk pengajian, iaitu kursus dan program pengajian.

Sedangkan skop kefahaman dan tindakan berkaitan integriti akademik adalah jauh lebih luas skopnya dan bukan terfokus terhadap produk pengajian semata-mata. Integriti akademik mempunyai tiga komponen utama. Komponen pertama ialah integriti individu seseorang tenaga akademik yang dinilai dari segi moral, etika, etiket dan pegangan pribadinya: amanah, jujur, ikhlas, berkata benar, sedia bekerjasama, telus dan tunduk mengikut resmi padi. Daripada pengucapannya sehinggalah kepada cara dia menulis nota kaki dalam kertas kerjanya, nilai ini terbuhul jelas.  Dia tidak berpegang pada prinsip the end justifies the means, maknanya untuk mencapai matlamatnya dia sedia berbuat apa saja asalkan matlamat itu tercapai, termasuk memplagiat dan salah laku akademik. Ini mesti dihindari. Komponen kedua ialah integriti sistem, yang bermaksud bahawa sesebuah universiti adalah suatu sistem yang mengandungi pelbagai bahagian yang saling bergantungan dalam satu keseluruhan.  

Seseorang ahli akademik mesti tahu keseluruhan sistem ini: bahagian tadbir urus akademik dan pengurusan sumber manusia, sistem dan peraturan kewangan, pekeliling pengurusan dan kewangan, perpustakaan, stor simpan kertas dan bahagian pengangkutan. Kalau dia seorang ahli akademik yang tinggi integriti individunya tetapi malap kefahamannya mengenai perjalanan sistem universiti, beliau tidak akan dapat berfungsi sepenuhnya dengan berkesan. Malah dia akan sering marah, salahkan sistem dan tidak pernah melihat diri mereka dalam cermin bahawa mereka sendiri yang hodoh dan bermasalah. Komponen ketiga ialah integriti produk akademik yang dihasilkannya, seperti setakat mana tulisannya yang berasaskan penyelidikan serius telah diterima dan diiktiraf oleh jurnal berwasit (ISI atau SCOPUS). Maka kalau dia mempunyai integriti individu dan sama-sama pula mendukung integriti sistem, tentu pada akhirnya integriti produk akademik yang tinggi akan dihasilkan oleh pensyarah berkenaan.

Kalau kita teliti dalam sistem ranking universiti dunia, yang bermotivasikan falsafah pemasaran, yang dipentingkan adalah integriti produk terakhir atau outcome. Integriti produk hanyalah satu daripada tiga komponen dalam integriti akademik. Ukurannya ialah jurnal berwasit yang bertaraf ISIS dan/atau SCOPUS. Tanpa integriti individu dan kefahaman mengenai integriti sistem sesebuah universiti, besar kemungkinan seseorang ahli akademik yang didorong semata-mata menghasilkan artikel dalam jurnal berwasit lagi berimpak tinggi bersedia membuat apa saja, termasuk menipu atau ditipu, untuk mendapatkan artikelnya diterbit dalam jurnal berwasit bertaraf ISI/SCOPUS. Dalam kata lain, ciri fundamental sesebuah universiti terletak kepada kekuatan, kadar kukuh rapuhnya integriti akademiknya, yang mengandungi tiga komponen utama tadi. Menguasai hanya satu daripadanya tidak cukup membina asas fundamental sesebuah universiti. Apa yang kita dengar dan saksikan akhir-akhir ini ialah fokus berlebihan diberikan kepada integriti produk, tidak integriti individu dan integriti sistem oleh beberapa universiti penyelidikan tempatan untuk memanjat tangga ranking global. Tidaklah menghairankan kalau ada universiti tempatan yang tidak mahu membabitkan diri dalam sistem ranking dunia kerana masing-masing berasakan ciri fundamentalnya, iaitu integriti akademiknya masih belum kukuh.

Penulis ialah Profesor Ulung dan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA), UKM, merangkap Timbalan Pengerusi, Majlis Profesor Negara

SUMBER
BERITA HARIAN
2 NOVEMBER 2011


ISU KESIHATAN : BACA LABEL MAKANAN BENTUK HIDUP SIHAT

Oleh Liow Tiong Lai
bhnews@bharian.com.my


Pepatah mengatakan jika anda berikan seekor ikan kepada seseorang, anda memberi makanan kepadanya untuk sehari. Bagaimanapun, jika anda mengajar dia memancing ini bererti anda memberi makan kepadanya untuk sepanjang hayat. Saya berpendapat pendekatan sama perlu digunakan dalam soal pemakanan manakala usaha berterusan dilakukan untuk menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya pemakanan sihat. Jika anda mendidik sikap membaca label makanan dalam kalangan masyarakat, menggalakkan mereka memilih makanan sihat ketika membeli dan membantu mereka merancang menu untuk seminggu, anda sebenarnya membekalkan kemahiran sepanjang hayat supaya mereka dapat membuat keputusan bijak dan sihat mengenai gaya pemakanan. Mempelajari amalan pemakanan sihat sebenarnya berpunca daripada membuat keputusan penting. Contohnya, adakah anda membuat pilihan mengenai jenis makanan dan sebanyak mana anda mahu makan?

Pun begitu, kebanyakan keputusan ini bukan dibuat pada waktu hendak makan, sebaliknya lama sebelum anda duduk di meja makan, iaitu bermula sejak anda menyediakan senarai membeli-belah sehinggalah ke saat anda berada di pasar raya, kedai runcit atau pasar, dan pulang ke rumah untuk memasak (atau dimasak oleh pembantu rumah). Inisiatif The Healthy Eating Through Healthy Shopping (Amalan Pemakanan Sihat Melalui Gaya Beli-Belah Sihat) di pasar raya yang dilancarkan pada Oktober 2011, adalah cara terbaik untuk membantu rakyat pada peringkat penting ini dalam proses membuat keputusan. Dalam kempen berinovatif ini yang dijangka dilancarkan berperingkat di pasar raya tempatan seperti Giant, Jaya Jusco dan Mydin di seluruh Malaysia, pakar pemakanan dijadualkan membimbing orang ramai membuat pilihan jenis makanan yang lebih sihat di seksyen makanan terpilih pasar raya dan memberi nasihat kepada mereka menerusi pengalaman yang dipanggil lawatan pasar raya.

Ketika lawatan ini pakar pemakanan yang bertugas akan membantu membawa sekumpulan pembeli yang terpilih ke lima seksyen makanan iaitu beras, buah-buahan dan sayur, ikan, susu dan minyak. Lima seksyen ini mewakili lima kumpulan makanan dalam Piramid Makanan Malaysia. Ketika dibawa melawat pada pelancaran kempen itu, pakar pemakanan yang bertugas menjelaskan kepada saya dengan teliti mengenai keperluan nutrisi berasaskan Piramid Makanan Malaysia, ukuran hidangan, pertukaran makanan dan bagaimana untuk membuat pilihan lebih sihat di antara semua makanan yang ada di seksyen makanan yang terpilih itu. Mereka juga menunjukkan kepada saya bagaimana untuk membaca label pada bungkusan makanan dan membandingkan nilai khasiat pelbagai produk berbeza yang ada di situ. Walaupun saya adalah pakar nutrisi terlatih, saya dapati tip itu menjadi peringatan yang amat berguna – apatah lagi bagi pembeli biasa. Minda kita tidak sentiasa fokus apabila membeli barang runcit.

Biasanya ada banyak faktor yang membuat kita lupa mengenai ‘prinsip pemakanan sihat’ kita, seperti apabila anak mendesak kita supaya membelikan barang itu atau ini untuk mereka, terkeliru dengan pelbagai jenis barang yang ada di pasaran atau rasa tertekan kerana tergesa-gesa kesibukan. Dengan adanya pakar pemakanan di sisi apabila kita membeli-belah ia akan membantu kita supaya jangan tergesa-gesa dan berfikir terlebih dulu, bukan sekadar mencampakkan barang dalam bakul atau troli. Malah adalah lebih baik jika anda membuat senarai berasaskan perancangan menu anda untuk seminggu sebelum anda keluar rumah. Apabila setiap hidangan makan dirancang, ia membolehkan anda menentukan jenis juadah lebih sihat untuk dimasak, apakah jenis bahan yang anda perlukan, malah membantu anda menjimatkan masa dan kos bila pergi membeli-belah. Saya perhatikan ramai orang yang pergi membeli-belah tanpa senarai barang runcit, justeru, mereka terdorong mengikut perasaan. Mereka memilih barang sesuka hati atau kerana tertarik dengan pembungkusan yang cantik berwarna-warni.

Golongan ini biasanya membeli produk yang tidak diperlukan, pada masa sama mencari barangan jualan murah yang mungkin mempunyai nilai nutrisi lebih rendah. Apabila tabiat membuat perancangan, menyediakan senarai membeli-belah dan membuat pilihan rasional di pasar raya sudah menjadi kebiasaan, anda akan dapati ia menjadi suatu rutin dan lama-kelamaan suatu amalan sepanjang hayat. Dengan mendedahkan anak kita kepada proses dan bahan makanan yang mereka makan, kita boleh salurkan pengetahuan kepada mereka supaya mereka lebih faham, bukan sekadar memberitahu mereka apa yang boleh dibuat dan apa yang tidak boleh dilakukan. Apa yang kita pelajari di pasar raya hanyalah permulaan, tetapi ia langkah penting untuk mencapai matlamat lebih besar, iaitu gaya hidup sihat.  Kita boleh aplikasikan prinsip ini dalam pelbagai aspek kehidupan kita bila kita sentiasa perlu membuat keputusan yang akan membawa perbezaan besar terhadap kesihatan kita.

Penulis ialah Menteri Kesihatan (www.liowtionglai.com/blog) atau Twitter (@liowtionglai)

SUMBER
BERITA HARIAN
2 NOVEMBER 2011


01 November 2011

ISU UMUM : HARGA SEBUAH PEMERINTAHAN - CARA ORANG ARAB MEMBAYAR JASA PEMIMPIN

Oleh Mustafa Kamal Basri


PANTAI BATU BURUK, TERENGGANU

Hari  ini genap 12 hari bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi mati ditembak oleh rakyatnya yang menawannya di Sirte, bandar kelahirannya selepas berlaku satu pertempuran pada awal subuh 20 Oktober lalu. Dalam pertempuran itu, anaknya Mutassim dan bekas Menteri Pertahanan Libya, Abu Bakr Younis turut terbunuh selepas konvoi mereka diserang tentera udara Pertubuhan Pakatan Atlantik Utara (NATO). Gaddafi merupakan pemimpin Arab kedua, selepas Presiden Iraq, Saddam Hussein, mati secara tragis dan penuh kontroversi di alaf baru ini demi mempertahankan pemerintahannya. Namun, antara Saddam dan Gaddafi, kedua-dua pemimpin Arab itu mempunyai banyak persamaan, Saddam memerintah Iraq begitu lama iaitu selama 24 tahun, Gaddafi pula memerintah Libya selama 42 tahun. Mungkin ramai yang tidak menyedari Saddam digantung pada 30 Disember 2006, yang jatuh pada hari Aidil Adha ketika umat Islam sedang meraikan sambutan korban. Begitulah cara bangsa Arab melayan pemimpin mereka.

Segala budi dan jasa Saddam tidak dihargai oleh rakyatnya dan begitu juga jasa Gaddafi memerintah Libya selama 42 tahun langsung tidak dikenang, jauh sekali untuk dihargai, sebaliknya jenazahnya diaibkan. Jika bekas Presiden Iraq itu mati di tali gantung setelah rakyatnya sendiri menghukumnya setelah didapati bersalah melakukan jenayah kemanusiaan, begitu juga dengan Gaddafi, mati ditangan rakyatnya sendiri. Bezanya, Saddam tidak dibunuh oleh tentera Amerika Syarikat (AS) yang menahannya ketika dia ditemui bersembunyi di dalam bilik bawah tanah di ad-Dawr dekat Tikrit, bandar kelahiran Saddam dan pemimpin Iraq itu diberi peluang untuk membela diri dalam satu proses perbicaraan di mahkamah. Sedangkan Gaddafi tidak diberi peluang langsung untuk membela diri dan dibicarakan, sebaliknya mati dibunuh oleh rakyatnya sendiri yang bangkit memberontak. Jika bekas pemimpin Iraq itu digambarkan sebagai seorang yang berani ketika menghadapi saat kematiannya di tali gantung, Gaddafi pula melalui detik yang sebaliknya apabila dia dilaporkan merayu kepada tentera pemberontak yang menawannya supaya dia tidak dibunuh.

Mereka ini dilaporkan adalah anak-anak muda yang lahir ketika zaman pemerintahannya dan baru kenal dunia. Sekurang-kurangnya, Saddam lebih bernasib baik apabila jenazahnya dikebumikan dekat kubur kaum keluarganya di tempat kelahirannya di Al-Awja, dekat Tikrit, walaupun mayatnya tidak pernah ditunjukkan selepas menjalani hukuman gantung berbanding Gaddafi, apabila jenazahnya dihina dan diaibkan oleh rakyatnya dengan jenazahnya dipamerkan kepada orang ramai di sebuah pasar raya di bandar Misrata. Jika Saddam dimalukan apabila video yang merakamkan saat-saat dia digantung yang diambil menggunakan telefon bimbit oleh orang yang menghadiri hukuman gantung itu dan disebarkan di Internet, begitu juga dengan Gaddafi, video dia dikasari selepas ditawan dan video merakamkan mayatnya diaibkan yang diambil menggunakan telefon bimbit turut tersebar di Internet.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
1 NOVEMBER 2011


ISU BAHASA : MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU DI IPT

PROF. DATUK DR. SIDEK BABA
Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.


TAMAN MADU LEBAH @ HONEY BEE FARM
CAMERON HIGHLAND

Pengumuman yang dibuat oleh Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pengajian Tinggi untuk memperkukuhkan lagi Bahasa Melayu baru-baru ini dalam konteks pembelajaran, pengajaran, penyelidikan dan penerbitan adalah suatu langkah bijaksana dan berpandangan jauh. Di samping itu fokus kepada penerbitan karya, dan memperkukuhkan lagi jurnal tempatan berbahasa Melayu berkualiti sehingga diindekskan dalam Scopus dan ISI dan meningkatkan pengiktirafan akademia Bahasa Melayu dalam pelbagai disiplin ilmu dan meningkatkan pengantarabangsaan Bahasa Melayu adalah suatu strategi yang wajar. Strategi ini lebih menarik lagi apabila sasaran 30 peratus pengajaran dan pembelajaran dalam Bahasa Melayu adalah bagi gugusan sains dan 70 peratus bagi gugusan sains sosial dan kemanusiaan. Strategi memartabat dan memperkasa Bahasa Melayu memang sekian lama dinantikan oleh pencinta Bahasa Melayu di Malaysia.

Pengumuman itu membayangkan suatu tekad politik yang tinggi untuk memperbetulkan keadaan yang semakin tidak seimbang hingga menyebabkan berlakunya hilang fokus walaupun maksud Akta Pendidikan 1996 menegaskan kepentingan memartabat Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa pengajian, pembelajaran dan bahasa penyelidikan, nyata dan jelas diperuntukkan. Penegasan tentang memperkukuh aplikasi Bahasa Melayu seharusnya disambut oleh kepimpinan Institut Pengajian Tinggi (IPT) dengan dada lapang bahawa harus ada tekad yang tinggi dan terancang untuk mengembalikan kedudukan bahasa Melayu sebagai media pengajaran dan pembelajaran sebagai alat bahasa ilmu dan pengantarabangsaan. Telah sekian lama IPT utama di Malaysia menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam semua disiplin ilmu. Ternyata kualiti graduannya tidak kurang daya saingnya dengan pihak lain. Dan dalam masa sama, memperkasa Bahasa Inggeris perlu dijadikan suatu perancangan lebih rapi dan bersungguh-sungguh supaya penguasaan bahasa itu di tahap pengajian tinggi akan lebih terserlah.

Strategi Menteri Pengajian Tinggi ini adalah seiring dengan usaha Kementerian Pelajaran Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkasa Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang dijadikan dasar baru menggantikan PPSMI yang ternyata jangka panjangnya merugikan aplikasi Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan di Malaysia. Dengan adanya strategi baru ini proses kesinambungan memartabat bahasa Melayu menjadi lebih natural dan harmoni, bermula di peringkat rendah, menengah hingga ke tahap pengajian tinggi. Ia menjadi dasar berbahasa di IPT lebih fokus dan jelas. Pelaksanaan dasar Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan di Malaysia adalah selari dengan Artikel 152 dan pancaran dari Akta Pendidikan 1996. Ia bukan tidak mempunyai wibawa undang-undang dan dasar. Telah sekian lama ia berjalan dan strategi memartabat dan memperkasa sejak dari sekolah rendah hingga ke IPT adalah sesuatu yang sah dan tidak menyimpang. Bagi rakyat Malaysia keyakinan terhadap kemampuan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa pengantar dalam sistem pentadbiran dan pendidikan tidak harus menjadi keraguan.

Negara-negara maju seperti Jepun dan Korea dan negara yang sedang maju seperti China menggunakan bahasa negara masing-masing dalam sistem pendidikan mereka. Selain ia suatu penegasan terhadap jatidiri sesuatu bangsa, bahasa menjadi alat perpaduan dan pengembangan ilmu kerana realiti masyarakat majmuk memerlukan suatu bahasa yang berdaya maju dan terbina dengan etosnya sendiri supaya kemerdekaan yang ada memberi makna yang cukup tersendiri. Memberi fokus kepada pemerkasaan Bahasa Inggeris di segenap peringkat sistem pendidikan dan mula berjinak dengan penguasaan Bahasa Cina, Jepun, Korea dan Arab adalah sesuatu yang wajar supaya kebangkitan umat Timur dan Arab pada masa depan dapat dimanfaatkan secara bijaksana. Kekuatan sesuatu bahasa bergantung kepada kekuatan ilmu yang mampu diolah dan dicetuskan hasil daripada kajian dan penyelidikan yang berterusan. Semakin banyak karya dan kajian original dihasilkan semakin banyak bahan rujukan yang bersifat tempatan dan mampu diangkat ke tahap antarabangsa. Usaha penterjemahan yang serius dan terancang pula memberi ruang ilmuwan Malaysia memanfaatkan kajian berbanding dari budaya dan tamadun lain.

Ia memperkayakan lagi khazanah ilmu dari sumber orang lain dan menyumbang terhadap kemajuan manusia. Tidak timbul mitos mengatakan menggunakan Bahasa Melayu di IPT boleh menyebabkan berlaku kemunduran dalam cara berfikir dan menguasai ilmu-ilmu terkini. Lulusan IPT tempatan yang cemerlang tidak menghadapi masalah yang serius untuk belajar di Amerika Syarikat, Jerman, Jepun malah China pada masa akan datang kerana kecekapan berbahasa di kalangan ilmuwan yang berbakat boleh diatasi dengan tekad belajar yang tinggi. Malah menjadi suatu pandangan yang meleset sekiranya ada orang berpendapat bahawa kemampuan bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu masih ditahap yang tidak tinggi. Tinggi atau rendahnya status bahasa dan kaitan dengan ilmu bergantung kepada tekad berbahasa dan mengaplikasikan bahasa yang tinggi supaya kebakuan bahasa Melayu tidak saja pada sebutan, peristilahan makna tetapi terkandung maksud ilmu dan falsafah yang tinggi dan mampu mencetuskan kebijaksanaan. Bangsa yang berjiwa merdeka adalah bangsa yang memandang tinggi faktor jatidiri bangsanya. Bahasa yang diucap dan diungkapkan berkait rapat dengan faktor sejarah, budaya dan nilai bangsa itu sendiri yang membolehkan jatidiri terbina.

Jatidiri ini harus dinamik dalam perspektif pentingnya manfaat berbanding dari tamadun dan silang-budaya pihak lain yang berdayamaju. Oleh itu, membangunkan Bahasa Melayu sebagai bahasa bermaruah memerlukan kreativiti pengajaran dan pembelajaran yang berkesan menggunakan kurikulum atau susunan ilmu yang integratif supaya ilmu yang dikembangkan bertatahkan etika dan nilai. Ia menuntut landasan falsafah dikembangkan bagi setiap disiplin ilmu yang diajarkan di IPT supaya akhirnya tidak saja sumber ilmu mampu dijana dengan baik tetapi ilmu itu memberi makna kepada diri dan kehidupan. Amat baik sekali Bahasa Melayu dijadikan salah satu bahasa antarabangsa yang dihormati. Telah sekian lama Bahasa Melayu menjadi bahasa lingua-franca dan diucapkan oleh penduduk yang berbagai kaum di Malaysia. Kini ribuan pelajar antarabangsa yang sedang belajar di IPTA dan adalah sesuatu yang wajar Bahasa Melayu Komunikatif diajar kepada mereka. Akan ada di kalangan mereka yang ingin mendalami aplikasi Bahasa Melayu dan kelompok ini apabila kembali ke negara masing-masing boleh memperkenalkan bahasa Melayu ke negara masing-masing kerana sebahagian dari mereka adalah pengawai pendidikan, ahli akademik yang boleh menjadikan bahasa Melayu berstatus antarabangsa.

Lebih-lebih lagi sekiranya penggunaan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan di Malaysia berkait rapat dengan kemajuan dan kemodenan yang berlaku. Sekiranya status bahasa Melayu terangkat sebagai bahasa ilmu, bahasa sains dan teknologi juga bahasa penyelidikan dengan sendirinya fokus untuk menguasai Bahasa Melayu akan menjadi lebih tinggi kerana menguasai Bahasa Melayu adalah menguasai ilmu-ilmu. Cabaran ini hanya akan dapat dileraikan sekiranya ada suasana kondusif di IPT menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengajaran dan pembelajaran, bahasa pengkaryaan, penterjemahan dan penyelidikan dan adanya pengiktirafan terhadap ilmuwan dan karyawan yang memberi rangsangan supaya tradisi intelektual berkembang dan tamadun baru bakal lahir. Malaysia menyasarkan 2020 sebagai sebuah negara maju sepenuhnya tetapi dalam acuan kita sendiri. Pengukuhan Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan kita adalah pendekatan mengukuhkan acuan kita sendiri. Acuan ini bakal mengangkat martabat ilmu dari susuk budaya dan etos tempatan dan dalam masa sama meraikan faedah berbanding daripada tamadun orang lain.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
1 NOVEMBER 2011


ISU UMUM : PLURALISME HARUS DIBATASI DALAM PERSPEKTIF FAKTA SEJARAH

Oleh Mohd Feroz Abu Bakar
feroz@bharian.com.my


PORING HOT SPRING, SABAH

Malaysia sebagai negara yang mempunyai penduduk pelbagai etnik atau keturunan dan agama menjadi contoh sebagai negara yang berjaya mewujudkan keamanan. Walaupun pernah berlaku beberapa pergeseran kaum hingga membawa kepada pertumpahan darah, tragedi itu sangat jarang berlaku dan disifatkan sebagai ‘tersedu’ (hiccups). Jika tiada keamanan untuk tempoh yang panjang di negara ini, tidak mungkin pakar dalam bidang sains sosial dari negara lain memilih Malaysia sebagai contoh negara pelbagai bangsa yang boleh menerima kehadiran keturunan lain dalam kejiranan mereka. Keamanan yang tercapai itu bukannya berlaku secara semula jadi tetapi hasil daripada formula luar biasa perkongsian kuasa, iaitu perundingan parti politik mewakili kaum.  Kematangan pemimpin sebelum kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu menubuhkan Perikatan yang menggabungkan UMNO, MCA dan MIC membuka jalan kepada kewujudan negara baru yang unik.  Perikatan kemudian diperbesarkan sebagai Barisan Nasional (BN) pada 1974 bagi merangkumkan parti politik Sabah dan Sarawak selepas penubuhan Malaysia pada 1963.

Profesor Ulung, Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin, berkata idea dan konsep asal ‘perikatan’ dianjurkan oleh Jawatankuasa Hubungan Masyarakat atau Communities Liasion Committee (CLC) yang ditubuhkan pada 1949, selepas Perjanjian Persekutuan 1948 dimeterai. Shamsul yang juga Pengarah Pengasas, Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), menyatakan bahawa negara baru itu mengandungi etnik Cina dan India yang majoritinya diimport sebagai pekerja untuk sektor swasta yang dikuasai oleh pemodal asing. Beliau berkata, penduduk etnik Cina dan India serta buruh kontrak dari Indonesia kemudian diterima oleh orang Melayu dan Raja-Raja Melayu sebagai sebahagian daripada penduduk yang mempunyai hak kerakyatan yang sama seperti penduduk asal.  “Memang sentiasa berlaku pergeseran pendapat antara kaum berasaskan kepentingan kaum masing-masing membabitkan aspek bahasa, pendidikan dan sebagainya. Jika dulu orang bercakap di kedai kopi tetapi sekarang media online menjadi tempat mereka meluahkan rasa tidak puas hati.

Tetapi perselisihan pendapat, polemik dan perdebatan ini tidak berlarutan hingga kepada pertumpahan darah kerana semua etnik faham pentingnya keamanan negara,” katanya pada Syarahan Kepemimpinan Profesor Ulung bertajuk ‘Kesepaduan dalam Kepelbagaian’ di ibu negara, baru-baru ini.  Shamsul Amri yang juga Felo Utama Institut Kajian Oksidental UKM, berkata masih ada slogan seperti ‘Satu Bahasa, Satu Bangsa, Satu Negara’ yang mengandaikan Malaysia mempunyai satu negara bangsa pada masa depan (seperti Indonesia).  Namun, katanya, semua pihak perlu sedar bahawa negara ini mempunyai pelbagai bangsa yang bertutur pelbagai bahasa tetapi mereka boleh hidup bersama secara aman dan harmoni.  “Di Malaysia kita berbeza. Formula perkongsian kuasa yang tidak boleh ditiru oleh negara lain. Di tempat lain mereka berperang kerana merebut kuasa. Di Malaysia memang susah untuk berkongsi kuasa tetapi kita menjadi matang dan terus bergerak ke depan. Kita ada pengalaman yang unik,” katanya.  Walaupun diakui fakta kepelbagaian dalam negara Malaysia, anggota masyarakat mesti memahami bahawa sejarah negara ini berasaskan kedudukan kerajaan etnik Melayu dan kedaulatan Islam sebagai cara hidup yang terunggul di Tanah Melayu sebelum kedatangan kolonialisme Barat dan realiti sejarah ini sudah dimuktamadkan sebelum kemerdekaan.

Jika semua pihak mengakui negara ini mempunyai kepelbagaian agama, ras dan etnik, pada masa yang sama mesti ada kesedaran dalam kalangan semua kaum bahawa negara Malaysia mesti disatukan atas beberapa persetujuan pokok.  Antara persefahaman asas itu ialah bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Islam sebagai agama Persekutuan, kedudukan dan kuasa Raja-Raja Melayu serta keistimewaan kaum Melayu dan Bumiputera. Dalam reaksinya kepada syarahan Shamsul, Profesor Ulung Tan Sri Dr Kamal Hassan, berkata kedudukan agama Islam dengan ciri-cirinya, status Raja-Raja Melayu dan hak istimewa Bumiputera mestilah dipertahan semua penduduk negara ini, bukan digugat secara terus-menerus. Katanya, semua prinsip itu janganlah dipertikai lagi atas alasan yang diimport dari dunia sekularisme, liberalisme, pluralisme, post-moderniti atau fundamentalisme agama. Beliau berkata, kumpulan tertentu yang berpegang kepada faham pluralisme perlu sedar batasan yang sudah wujud agar perkara yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan seperti bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan Islam sebagai agama rasmi tidak terus disalah-tafsir.

Mohd Kamal yang juga Profesor Ulung di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), berkata kepelbagaian dan pluralisme di Malaysia harus dibatasi dan difahami dalam perspektif fakta sejarah, keutamaan dalam membangun kesatuan negara dan kemantapan struktur sosiobudaya. Ini disebabkan, ketika dilahirkan pada 1963, Malaysia negara baru itu berlandaskan struktur sosiobudaya dan identiti Persekutuan Tanah Melayu. “Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu pasti terjejas jika dibiarkan bahasa etnik berkembang subur dengan autonomi hingga menjadi bahasa yang bersaing dengan bahasa kebangsaan dalam realiti seharian. “Lama kelamaan, perkembangan ini akan menggugat ketunggalan bahasa kebangsaan. Kita tidak mahu akhirnya bahasa etnik atau bahasa Inggeris mengecilkan kepentingan dan kedudukan bahasa kebangsaan sebagai alat pemersatuan dan satu daripada bahasa ilmu di Asia,” katanya.  Beliau memberi contoh Indonesia yang juga mempunyai pelbagai etnik atau ras, agama dan bahasa tetapi berjaya menjadikan bahasa Indonesia pengikat semua kumpulan etnik.

SUMBER
BERITA HARIAN
31 OKTOBER 2011