Oleh MARHAINI KAMARUDDIN
KOMPLEKS MEDAN
IKAN BAKAR KUALA PERLIS
Kejadian murid perempuan pengsan dihempap tiang bendera baru-baru ini membuatkan ramai ibu bapa sesak nafas memikirkan keselamatan anak mereka di dalam kawasan sekolah. Tidak ada siapa pun mahu kejadian seumpama itu berlaku. Tidak dapat dibayangkan, anak yang dihantar ke sekolah dalam keadaan sihat wal afiat, pulang dengan kepala atau kaki tangan berbalut. Walaupun ia kes terpencil, ia sebenarnya bukan isu kecil dan remeh yang boleh dipandang ringan. Kita bersyukur kerana murid itu sekadar cedera tetapi perlu diingat bahawa kemalangan seumpamanya pernah meragut beberapa nyawa murid. Terbaru bulan lepas, melibatkan seorang murid tahun lima yang maut setelah cedera parah di kepala akibat dihempap tiang gol ketika bermain bola sepak di Sekolah Kebangsaan Kampung Jawa 1, Klang. Sekolah tidak lagi menjadi kawasan selamat untuk kanak-kanak belajar menuntut ilmu. Di mana silapnya?
Sebenarnya dalam apa jua keadaan, isu keselamatan memerlukan pemantauan secara konsisten. Begitu juga dalam hal yang membabitkan peralatan digunakan di sekolah. Pihak sekolah perlu lebih prihatin kerana di dalam pagar sekolah, mereka yang bertanggungjawab terhadap keselamatan pelajar! Di sini, pihak pentadbir sekolah bertanggungjawab memeriksa keadaan semua peralatan di dalam kawasan mereka baik tiang bendera, tiang gol mahupun kerusi meja agar sentiasa dalam keadaan baik dan tidak memudaratkan penggunanya - iaitu murid dan guru. Kita sedar ada sekolah yang masih bertahan dengan kelengkapan dan peralatan yang digunakan sejak ia dibuka mungkin 10 atau 20 tahun lalu kerana tiada peruntukan kewangan untuk menggantikannya. Namun ia bukan alasan untuk mengabaikan tahap keselamatan di kawasan sekolah. Justeru sebarang kerosakan patut dicatat, disenaraikan dan diambil tindakan untuk memperbaikinya.
Jika tiada bajet, lebih baik peralatan itu dibuang atau diletakkan di tempat selamat yang tidak akan mendatangkan risiko kemalangan. Perdana Menteri ketika membentangkan Bajet 2012 telah mengumumkan Dana Khas RM1 Bilion untuk Pembinaan, Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah - di sini pihak sekolah perlu bertindak proaktif dengan menyenaraikan peralatan yang memerlukan peruntukan dana berkenaan. Namun permohonan peruntukan itu pula biarlah berpada- pada. Yang paling utama adalah tahap keselamatan. Jangan kerana terlalu menumpukan kepada aspek keceriaan dan kecantikan sekolah, lebih banyak peruntukan kewangan dihabiskan ke arah itu sehingga mengabaikan faktor keselamatan.
SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan