JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



02 November 2011

ISU KESIHATAN : BACA LABEL MAKANAN BENTUK HIDUP SIHAT

Oleh Liow Tiong Lai
bhnews@bharian.com.my


Pepatah mengatakan jika anda berikan seekor ikan kepada seseorang, anda memberi makanan kepadanya untuk sehari. Bagaimanapun, jika anda mengajar dia memancing ini bererti anda memberi makan kepadanya untuk sepanjang hayat. Saya berpendapat pendekatan sama perlu digunakan dalam soal pemakanan manakala usaha berterusan dilakukan untuk menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya pemakanan sihat. Jika anda mendidik sikap membaca label makanan dalam kalangan masyarakat, menggalakkan mereka memilih makanan sihat ketika membeli dan membantu mereka merancang menu untuk seminggu, anda sebenarnya membekalkan kemahiran sepanjang hayat supaya mereka dapat membuat keputusan bijak dan sihat mengenai gaya pemakanan. Mempelajari amalan pemakanan sihat sebenarnya berpunca daripada membuat keputusan penting. Contohnya, adakah anda membuat pilihan mengenai jenis makanan dan sebanyak mana anda mahu makan?

Pun begitu, kebanyakan keputusan ini bukan dibuat pada waktu hendak makan, sebaliknya lama sebelum anda duduk di meja makan, iaitu bermula sejak anda menyediakan senarai membeli-belah sehinggalah ke saat anda berada di pasar raya, kedai runcit atau pasar, dan pulang ke rumah untuk memasak (atau dimasak oleh pembantu rumah). Inisiatif The Healthy Eating Through Healthy Shopping (Amalan Pemakanan Sihat Melalui Gaya Beli-Belah Sihat) di pasar raya yang dilancarkan pada Oktober 2011, adalah cara terbaik untuk membantu rakyat pada peringkat penting ini dalam proses membuat keputusan. Dalam kempen berinovatif ini yang dijangka dilancarkan berperingkat di pasar raya tempatan seperti Giant, Jaya Jusco dan Mydin di seluruh Malaysia, pakar pemakanan dijadualkan membimbing orang ramai membuat pilihan jenis makanan yang lebih sihat di seksyen makanan terpilih pasar raya dan memberi nasihat kepada mereka menerusi pengalaman yang dipanggil lawatan pasar raya.

Ketika lawatan ini pakar pemakanan yang bertugas akan membantu membawa sekumpulan pembeli yang terpilih ke lima seksyen makanan iaitu beras, buah-buahan dan sayur, ikan, susu dan minyak. Lima seksyen ini mewakili lima kumpulan makanan dalam Piramid Makanan Malaysia. Ketika dibawa melawat pada pelancaran kempen itu, pakar pemakanan yang bertugas menjelaskan kepada saya dengan teliti mengenai keperluan nutrisi berasaskan Piramid Makanan Malaysia, ukuran hidangan, pertukaran makanan dan bagaimana untuk membuat pilihan lebih sihat di antara semua makanan yang ada di seksyen makanan yang terpilih itu. Mereka juga menunjukkan kepada saya bagaimana untuk membaca label pada bungkusan makanan dan membandingkan nilai khasiat pelbagai produk berbeza yang ada di situ. Walaupun saya adalah pakar nutrisi terlatih, saya dapati tip itu menjadi peringatan yang amat berguna – apatah lagi bagi pembeli biasa. Minda kita tidak sentiasa fokus apabila membeli barang runcit.

Biasanya ada banyak faktor yang membuat kita lupa mengenai ‘prinsip pemakanan sihat’ kita, seperti apabila anak mendesak kita supaya membelikan barang itu atau ini untuk mereka, terkeliru dengan pelbagai jenis barang yang ada di pasaran atau rasa tertekan kerana tergesa-gesa kesibukan. Dengan adanya pakar pemakanan di sisi apabila kita membeli-belah ia akan membantu kita supaya jangan tergesa-gesa dan berfikir terlebih dulu, bukan sekadar mencampakkan barang dalam bakul atau troli. Malah adalah lebih baik jika anda membuat senarai berasaskan perancangan menu anda untuk seminggu sebelum anda keluar rumah. Apabila setiap hidangan makan dirancang, ia membolehkan anda menentukan jenis juadah lebih sihat untuk dimasak, apakah jenis bahan yang anda perlukan, malah membantu anda menjimatkan masa dan kos bila pergi membeli-belah. Saya perhatikan ramai orang yang pergi membeli-belah tanpa senarai barang runcit, justeru, mereka terdorong mengikut perasaan. Mereka memilih barang sesuka hati atau kerana tertarik dengan pembungkusan yang cantik berwarna-warni.

Golongan ini biasanya membeli produk yang tidak diperlukan, pada masa sama mencari barangan jualan murah yang mungkin mempunyai nilai nutrisi lebih rendah. Apabila tabiat membuat perancangan, menyediakan senarai membeli-belah dan membuat pilihan rasional di pasar raya sudah menjadi kebiasaan, anda akan dapati ia menjadi suatu rutin dan lama-kelamaan suatu amalan sepanjang hayat. Dengan mendedahkan anak kita kepada proses dan bahan makanan yang mereka makan, kita boleh salurkan pengetahuan kepada mereka supaya mereka lebih faham, bukan sekadar memberitahu mereka apa yang boleh dibuat dan apa yang tidak boleh dilakukan. Apa yang kita pelajari di pasar raya hanyalah permulaan, tetapi ia langkah penting untuk mencapai matlamat lebih besar, iaitu gaya hidup sihat.  Kita boleh aplikasikan prinsip ini dalam pelbagai aspek kehidupan kita bila kita sentiasa perlu membuat keputusan yang akan membawa perbezaan besar terhadap kesihatan kita.

Penulis ialah Menteri Kesihatan (www.liowtionglai.com/blog) atau Twitter (@liowtionglai)

SUMBER
BERITA HARIAN
2 NOVEMBER 2011


Tiada ulasan: