16 Oktober 2011

ISU ANTARABANGSA : KISAH DI SEBALIK PRESTIJ NOBEL


SUASANA DI MAJLIS 
PENANUGERAHAN HADIAH NOBEL

Setiap tahun dunia akan menantikan siapakah yang bakal terpilih menerima anugerah Hadiah Nobel yang diiktiraf sebagai anugerah paling berprestij dalam bidangnya. Anugerah tersebut yang merangkumi enam kategori iaitu keamanan, kimia, fizik, kesusasteraan, ekonomi dan perubatan sememangnya wajar dalam usaha mengiktiraf pengorbanan dan titik peluh mereka yang telah melakukan jasa kepada manusia sejagat. Namun di sebalik mesej dan pengiktirafan, ia juga tidak dapat lari dari kontroversi terutama melibatkan Hadiah Nobel Keamanan. Hadiah Nobel telah dimulakan sejak tahun 1901 berdasarkan wasiat pencipta dan ahli kimia terkemuka Sweden, Alfred Nobel. Beliau yang dilahirkan pada 21 Oktober 1833 dan meninggal dunia pada 10 Disember 1896, juga seorang ahli perniagaan, hidup kaya raya kerana kebijaksanaannya selain memegang hak cipta terhadap 355 paten ciptaannya. Namun ciptaannya yang paling diingati sehingga kini adalah bom dinamit berkuasa tinggi yang membuatkan beliau digelar sebagai Merchant of Death (ahli perniagaan maut) oleh akhbar-akhbar di Barat pada zamannya. Berikutan satu kesilapan laporan kematiannya oleh sebuah akhbar Perancis dengan tajuk "Ahli perniagaan maut akhirnya meninggal dunia" walhal yang mati adalah abangnya Ludvig, telah membuatkan Nobel menulis semula wasiatnya. Beliau bertindak menukar wasiat sebelum kematiannya sebagai satu usaha menebus kesilapannya mencipta dinamit yang telah disalahguna untuk tujuan peperangan.

BIAYA


PEMENANG HADIAH NOBEL 2011

TAWAKKUL KARMAN, ELLEN JOHNSON SIRLEAF, 
LEYAH GBOWEE 

Oleh itu Nobel mewasiatkan 94 peratus dari hartanya yang berjumlah 31 juta kronors bersamaan dengan AS$ 186 juta (RM595 juta) nilai sekarang untuk membiayai lima kategori Hadiah Nobel. Hadiah Nobel ekonomi hanya diperkenalkan pada tahun 1969. Malangnya Nobel tidak sempat untuk menyaksikan penubuhan majlis Hadiah Nobel apabila meninggal dunia setahun kemudian. Mereka yang bertanggungjawab terhadap wasiat Nobel, Ragnar Sohlman dan Rudolf Lilljequist berjaya menubuhkan Yayasan Nobel pada 1897.

PENGURUSAN

Tidak berapa lama kemudian kedua-dua mereka melantik Norwegian Nobel Committee, yang dilihat tindakan pelik kerana ia bukan melibatkan jawatankuasa dari Sweden tetapi Norway yang bertanggungjawab menobatkan siapa pemenang Hadiah Nobel Keamanan. Namun pemilihan ini dilakukan berdasarkan amanah wasiat Nobel. Setiap anugerah Nobel juga mempunyai pengurusannya sendiri. Sebagai contoh, Royal Swedish Academy of Sciences bertanggungjawab dalam pemilihan penerima Hadiah Nobel dalam fizik, kimia dan ekonomi. Ahli jawatankuasa Nobel di Karolinska Institutet pula bertanggungjawab memilih pemenang Hadiah Nobel dalam bidang perubatan manakala Swedish Academy pula mencari penerima Hadiah Nobel dalam kesusasteraan. Setiap pemenang menerima hadiah pingat emas, segulung diploma dan wang tunai berdasarkan keuntungan yang diperoleh Yayasan Nobel setiap tahun.

PEMENANG

Bagi tahun ini pemenang menerima wang tunai sebanyak AS$1.45 juta (RM4.49 juta). Berdasarkan syarat, pemenang mestilah terdiri daripada mereka yang masih hidup dan tidak boleh dikongsi melebihi dari tiga orang. Untuk pemenang kali ini, buat pertama kali dalam sejarah tiga wanita iaitu Ellen Johnson Sirleaf, Leymah Gbowee dan Tawakkul Karman terpilih sebagai penerima Hadiah Nobel Keamanan, atas semangat dan usaha tanpa keganasan dalam memperjuangkan keselamatan dan hak wanita dalam kehidupan dan pekerjaan. Sirleaf merupakan Presiden Liberia yang juga wanita pertama di Afrika dilantik menjawat jawatan tersebut. Manakala Gbowee pula merupakan aktivis keamanan yang bertanggungjawab menganjurkan gerakan keamanan bagi menamatkan perang saudara di Liberia pada 2003. Bagi Tawakkul pula, beliau digelar sebagai 'Ibu Revolusi' oleh rakyat Yemen. Beliau yang juga seorang wartawan dan kemudian ahli politik, dikenali dengan semangat tinggi dalam memperjuangkan kebebasan bersuara dan media. Namanya semakin dikenali di peringkat antarabangsa berikutan gelombang kebangkitan rakyat yang melanda negara itu awal tahun ini.

KONTROVERSI

Walaupun niat pengajuran Hadiah Nobel ini adalah untuk mengiktiraf ciptaan, penemuan, jasa dan sumbangan seseorang terhadap kehidupan manusia sejagat, namun ia tetap tidak dapat lari daripada kritikan dan kontroversi. Kebiasaannya akan berlaku kritikan hebat berikutan pemilihan pemenang kategori Hadiah Nobel kerana ada yang beranggapan terdapat mereka yang lebih hebat berbanding pemenang yang dipilih. Selain itu kritikan juga dilemparkan kerana kebanyakan penerima hadiah tersebut mempunyai kaitan dan kepentingan politik selain ia terlalu tertumpu kepada mereka yang berasal dari Barat. Bagaimanapun sebelum pergi lebih jauh, kontroversi juga terpalit kepada organisasi yang bertanggungjawab dalam Hadiah Nobel iaitu Yayasan Nobel.

JEJAS IMEJ

Selain bertanggungjawab di' belakang tabir' memilih siapa yang layak menerima anugerah berprestij ini, Yayasan Nobel sebenarnya terpalit dengan pelbagai kontroversi yang mungkin boleh menjejaskan kredibilitinya. Antara isu yang paling menjejaskan imej yayasan tersebut adalah, ia dikatakan mengaut keuntungan lumayan walaupun hanya berurusan sebagai badan yang bertanggungjawab menguruskan harta dan wasiat Nobel. Namun kini ia bertindak lebih sebagai badan pelaburan walaupun dikatakan untuk menjana dana bagi tujuan majlis penganugerahan, hadiah pemenang dan aktiviti pengurusan. Lebih mengejutkan yayasan ini mendapat pelepasan cukai dari kerajaan Sweden sejak 1946 dan Amerika Syarikat (AS) sejak 1953 Berlandaskan keistimewaan yang diberi, yayasan ini menjadi sebuah pertubuhan yang sangat menguntungkan dan pada tahun 2009 dianggarkan jumlah kewangan yayasan tersebut meningkat kepada AS$560 juta (RM1.73 bilion).

GANDHI

Salah satu peristiwa yang menjadi kekesalan kepada dunia mahupun pihak ahli jawatankuasa Hadiah Nobel adalah meminggirkan pejuang kemerdekaan India, Mahatma Gandhi sebagai salah seorang pemenang hadiah berprestij itu. Gandhi pernah dicalonkan untuk menerima Hadiah Nobel Keamanan sebanyak lima kali iaitu pada 1937,1938,1939,1947 dan 1948. Namun paling menyedihkan pada tahun 1948 yang juga merupakan tahun dimana Gandhi dibunuh, malangnya pihak jawatankuasa Hadiah Nobel enggan memberikan hadiah tersebut kepada mana-mana calon yang terpilih atas alasan tiada yang layak. Kekesalan ini kemudiannya dinyatakan oleh Setiausaha Ahli Jawatankuasa , Norwegian Nobel Committee, Geir Lundestad pada 2006. "Gandhi mungkin boleh menerima hakikat tidak menerima Hadiah Nobel tetapi pihak kami tidak mungkin boleh menerima kesilapan yang telah dilakukan,"ujar Lundestad. Beberapa orang lagi turut dikaitkan dengan kesilapan sebegini antaranya Presiden terakhir Czechoslovakia, Václav Havel, pejuang kemerdekaan Palestin, Sari Nusseibeh dan bekas Presiden Filipina, Corazon Aquino.

SUMBER
MINGGUAN MALAYSIA
16 OKTOBER 2011

15 Oktober 2011

MOTIVASI BERSAMA CIKGU ZUL : TUJUH PERANCANGAN PENTING PADA SAAT-SAAT TERAKHIR INI


Dalam beberapa minggu lagi, tibalah saat yang dinanti-nanti oleh semua pelajar STPM Tahun 2011. Perjuangan akan dimulakan dengan Pengajian Am Kertas 2 pada 21 November 2011 dan seterusnya Bahasa Malaysia Kertas 2 pada 23 November 2011. Sudahkah anda semua bersedia? Yakinkah anda untuk menghadapinya? Inilah perjuangan terakhir yang harus ditempuhi, dan perjuangan ini merupakan tiket untuk menempah kemasukan ke universiti pada tahun depan. Untuk itu anda semua mesti mendapat CGPA sekurang-kurangnya 2.00. Akan tetapi, anda harus mendapatkan CGPA lebih daripada 2.00 bagi memastikan impian anda selama ini menjadi realiti pada tahun 2012.

Anak-anakku yang tersayang,

Perancangan di saat akhir amatlah penting untuk menghadapi peperiksaan penting ini. Perancangan pertama ialah perancangan masa. Masa akan berlalu dan terus berlalu tanpa disedari. Jika anda semua tidak menggunakan masa yang ada dengan bijak sudah pasti masa yang pergi tidak terisi dengan sempurna. Pada setiap hari, anda mesti membuat ulangkaji sekurang-kurangnya 3 jam selepas tamat sesi persekolahan. Cikgu Zul cadangkan anda gunakan masa 4 jam untuk mengulangkaji pelajaran. Satu jam untuk satu subjek. Boleh tak? Jika anda bersikap positif untuk mencapai cita-cita, anda pasti boleh melakukannya. Seterusnya, perancangan kedua adalah dari segi persediaan nota-nota yang lengkap dan kemas kini untuk semua subjek. Pada masa ini, janganlah bergelut dengan buku-buku rujukan yang tebal-tebal yang boleh meningkatkan darjah tekanan anda. Cukuplah sekadar membaca dan mengingat nota-nota yang diberikan oleh guru-guru tersayang. Cikgu Zul percaya guru-guru telah memberikan yang terbaik untuk anda. Bedasarkan pengalaman mengajar dan mendidik pelajar-pelajar Tingkatan Enam, Cikgu Zul memang kagum dengan kesungguhan dan kegigihan pelajar perempuan menyediakan nota yang lengkap dan kemas kini. Dalam pada itu, pelajar-pelajar lelaki biasanya bersikap sebaliknya. Oleh sebab itu, Cikgu Zul mencadangkan pelajar-pelajar perempuan (SMK Sacred Heart) tolonglah beri kebenaran kepada pelajar-pelajar lelaki untuk membuat salinan fotostat nota-nota anda. Anda kena ingat, bilangan pelajar lelaki di IPT semakin menyusut. Bantulah mereka menjadi rajin dan prihatin dengan masa depan sendiri.

Perancangan ketiga, jangan sesekali libatkan diri anda dengan pelbagai masalah seperti percintaan, pergaduhan, dan sebagainya yang boleh menyebabkan tumpuan terhadap pelajaran terganggu. Jika ada masalah, ambillah tindakan dengan segera untuk mengatasinya. Minta bantuan guru, keluarga, dan rakan-rakan jika perlu tanpa rasa malu dan segan. Cikgu Zul yakin mereka akan memberikan bantuan kepada anda kerana mereka menyayangi anda dan mahu anda berjaya. Perancangan keempat ialah melakukan perbincangan dengan guru-guru subjek dan rakan-rakan yang dipercayai. Pada saat-saat akhir ini, belajar secara perbincangan dalam kumpulan banyak membantu anda untuk memahami sesuatu konsep dengan mudah. Cuba bayangkan, jika anda mempunyai kumpulan belajar seramai 10 orang yang saling membantu antara satu sama lain. Apabila keputusan STPM diumumkan pada tahun depan, anda dan rakan-rakan anda semuanya mendapat keputusan cemerlang 4A! Sudah tentu, anda senyum sampai ke telinga. Kejayaan itu akan menjadi lebih indah jika dinikmati secara beramai-ramai. Yang paling penting, apabila berbincang kita harus bersifat terbuka, sanggup menerima komen dan teguran serta tidak terlalu bermegah-megah jika anda tahu sesuatu kerana sikap sebegitu boleh menyebabkan rakan-rakan anda bosan bersama anda.

Perancangan kelima, jagalah kesihatan anda. Kesihatan amat penting pada saat-saat sebegini. Jika anda tidak sihat anda pasti tidak dapat melakukan ulangkaji dengan tenang. Kesihatan merupakan kunci utama kepada kejayaan setiap insan. Jagalah pemakanan dan bersenamlah selalu secara teratur. Keenam, mintalah restu daripada ibu bapa dan guru. Mereka merupakan insan yang paling dekat dengan anda. Jadikan mereka sebagai pembakar semangat anda untuk berjaya. Jangan lupakan jasa mereka kerana tanpa mereka disisi anda anda tidak akan membesar dan menjadi dewasa dengan sesempurna sekarang. Segala usaha dan impian yang ingin digapai pasti akan menjadi lebih mudah, jika kita sentiasa mendampingi mereka. Perancangan terakhir, jangan sesekali lupa kepada tanggungjawab anda kepada Tuhan. Setelah bersusah payah berusaha anda kenalah berdoa kepada Allah supaya segala yang dipelajari mudah diingati. Percayalah, Tuhan sentiasa memberkati usaha orang yang sentiasa berusaha untuk mendapatkan kejayaan. Sesungguhnya, Tuhan itu maha berkuasa dalam menentukan segala-galanya. Jangan sesekali jauhkan diri anda dengan Tuhan. Walau apapun agama dan kepercayaan anda, sentiasalah mendekatkan diri dengan-Nya kerana restu-Nya paling bermakna untuk anda.

"Rahsia kejayaan hidup adalah 
persediaan manusia untuk menyambut kesempatan yang menjelma."

CIKGU ZULKARNAIN FARIHIN
SMK SACRED HEART
15 OKTOBER 2011

ISU BAHASA : PENGGUNAAN BAHASA MELAYU KENA BETUL, JANGAN DIBIARKAN SAMPAI 'TUNGGANG-LANGGANG'


PULAU BORACAY DI FILIPINA

Sewajarnya Kerajaan mewajibkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam semua urusan rasmi dan pentadbiran awam, sama ada ketika mengadakan mesyuarat dan perbincangan, dalam surat-menyurat atau seminar. Arahan terbaru kerajaan itu yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika melancarkan sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan peringkat Kebangsaan 2011 kelmarin, adalah sebahagian daripada usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Untuk tujuan mewajibkan penggunaan bahasa Melayu itu, satu Pekeliling Perkhidmatan Berkaitan Panduan Penggunaan Bahasa Kebangsaan Dalam Perkhidmatan Awam akan dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam tempoh terdekat ini. Selama ini pun jabatan kerajaan sememangnya menggunakan bahasa kebangsaan dalam semua urusan rasmi, termasuk surat-menyurat dan mesyuarat. Justeru, arahan itu bolehlah dianggap sebagai satu peringatan kepada pegawai awam agar mempertingkatkan penguasaan bahasa Melayu selaras dengan sistem ejaan dan sebutan baku bahasa Melayu. Kita akui ketika ini masih ada kekurangan dan kelemahan oleh sesetengah pihak dalam menguasai bahasa Melayu ketika melaksanakan urusan rasmi kerajaan, antaranya masih ada lagi ejaan salah atau pihak yang menulis surat tidak memahami penggunaan nahu yang tepat atau istilah tertentu dengan betul.

Sejajar dengan saranan Muhyiddin itu, adalah wajar semua kakitangan kerajaan termasuk pegawai tertinggi di kementerian atau jabatan mengikuti semula kursus kemahiran bahasa bagi membolehkan mereka menyampaikan maklumat, sama ada dengan secara lisan atau bertulis menggunakan bahasa kebangsaan dengan lancar dan berkesan. Serentak itu, sangatlah diharapkan pemimpin tertinggi kerajaan akan menggunakan bahasa kebangsaan ketika berucap dalam sesuatu majlis rasmi, mengendalikan sidang media atau ketika ditemubual. Kita juga berharap syarikat berkaitan kerajaan (GLC) turut menyokong agenda nasional itu dengan menggunakan bahasa kebangsaan dalam bidang perbankan, kewangan, perdagangan, perniagaan, pembuatan dan perkhidmatan lain. Dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan itu, sektor swasta hendaklah digalakkan mengutamakan bahasa Melayu dalam urusan seharian mereka. Kita berharap pihak berkuasa tempatan, termasuk Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak lagi berkrompomi dan bersikap tegas dalam menguatkuasakan peraturan penggunaan bahasa kebangsaan pada papan tanda syarikat atau premis perniagaan di seluruh negara.

SUMBER
BERITA HARIAN
15 OKTOBER 2011



ISU NEGARA SERANTAU : DEMONSTRASI : CABARAN BESAR YANG MENGUJI KEAKRABAN INDONESIA DAN MALAYSIA


PANTAI SARDINIA DI ITALI

Apa lagi salah Malaysia sehingga ada pihak berkepentingan di negara jiran kita, Indonesia memilih untuk mengecam, menghina dan memperlekehkan kedaulatan kita? Tidakkah terdetik perasaan di dalam hati mereka rasa malu atau bersalah dengan berteriak, menjerit serta berdemonstrasi di jalanan dengan mendakwa satu demi satu kesilapan yang tidak dilakukan oleh Malaysia? Ada benarnya, tidak semua di kalangan lebih 230 juta rakyat Indonesia yang memiliki sentimen kurang senang dengan tetangga paling akrab dengan mereka. Jumlah yang tidak senang dengan kejayaan Malaysia mungkin terlalu kecil jumlah peratusannya jika dibandingkan dengan populasi republik itu. Sudah lama kita bersaudara. Bahkan, ramai di kalangan rakyat Indonesia berkahwin dengan rakyat Malaysia. Begitu juga sebaliknya. Hubungan ekonomi dan politik antara dua negara itu juga terlalu kukuh. Indonesia adalah teman paling dekat dengan Malaysia. Itu realitinya. Dalam pada itu, yang kurang senang dengan hubungan luar biasa ini tentunya emosi mereka dijentik dengan provokasi pihak ketiga. Entah apa yang mencetuskan rasa cemburu yang tidak berkesudahan itu. Tetapi, apakah itu menghalalkan mereka untuk terus mengambil tindakan kurang manis dengan mencetuskan suasana kurang elok di kalangan rakyatnya?

Kita sendiri selama ini mengaku bersaudara. Rakyat Indonesia dan Malaysia berbangga dengan perkongsian budaya serumpun. Adat hidup berjiran, kecil hati dan salah faham sering terjadi. Dalam konteks ini, kita sedia maklum kalau ada sekalipun perselisihan pendapat, bukankah lebih manis salah faham itu diselesaikan secara diplomasi di meja rundingan? Lagi pun hubungan kerajaan kedua-dua negara sangat akrab dan utuh yang seharusnya tidak dicemari dengan anasir-anasir jahat. Bukankah, jalan perdamaian sentiasa terbuka seperti mana yang telah diamalkan sejak sekian lama oleh kerajaan kedua-dua negara? Kerana marah, mereka memilih melontar batu dan melemparkan kayu ke arah bangunan Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia. Tidak cukup itu, imej Malaysia dicemari dengan bahasa-bahasa kesat yang dilemparkan oleh penunjuk perasaan. Itukah nilai peradaban bangsa Timur yang selama ini kita bangga-banggakan? Wahai jiranku Indonesia. Tiada siapa yang memperoleh keuntungan daripada demonstrasi jalanan sehingga wilayah kedaulatan kami dicemari dengan tindakan tunjuk perasaan. Lihat saja contoh terbaru demonstrasi yang anda lakukan di Kedutaan Besar Malaysia di Jalan Rasuna Said, Jakarta pada hari Rabu dan Khamis lalu.

Dua kumpulan pertubuhan bukan kerajaan, Forum Betawi Rempug (FBR) dan Laskar Merah Putih (LMP) mendabik dada berteriak di bawah terik matahari semata-mata kerana mahu memburukkan Malaysia. Anda berkumpul di situ meluahkan kemarahan kononnya kami (Malaysia) mengambil tanah seluas lebih 1,000 hektar secara haram di Kalimantan Barat. Seperti yang kita sedia maklum, dakwaan ini dibuat oleh Naib Ketua Komisi 1, Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), T.B. Hasanuddin kononnya, Indonesia kehilangan 1,400 hektar di Camar Bulan serta 800 meter garis pantai di Tanjung Datu. Rakyat Malaysia terkejut dengan dakwaan itu. Begitu juga dengan pemerintah kami yang tertanya-tanya apa motif pendakwaan berkenaan dibuat terhadap kami yang tidak tahu apa-apa mengenai hal itu. Mujur ada beberapa menteri kabinet Indonesia yang segera tampil menyangkal dakwaan tidak berasas itu. Menteri Koordinasi Politik, Undang-Undang dan Hubungan Keselamatan, Djoko Suyanto bersama-sama dengan Menteri Luar, Marty Natalegawa, Menteri Dalam Negeri, Gamawan Fauzi dan Menteri Pertahanan, Purnomo Yusgiantoro tampil mempertahankan Malaysia "Tidak timbul sebarang pertikaian sempadan antara Indonesia dan Malaysia kerana kedua-dua negara merujuk pada perjanjian persefahaman yang dibuat semasa era pemerintahan Belanda dan British pada tahun 1891, 1915 dan 1928," jelas Marty Natalegawa menemplak dakwaan tidak berasas itu.

Tidakkah itu sudah cukup menterjemahkan bahawa dakwaan terbaru yang mereka lemparkan kepada Malaysia tidak benar? Kepada mereka yang bijaksana tentunya dapat merumuskan bahawa dakwaan sedemikian hanya akan membuatkan si penuduh itu saling tidak ubah seperti menepuk air dalam dulang, terpercik kena muka sendiri. Percayalah, seandainya berlaku perubahan sempadan tanpa sengaja atau dibuat oleh individu-individu tertentu, ia boleh ditangani secara diplomasi. Bukankah, Malaysia dan Indonesia memiliki pasukan peninjau yang sedia bekerjasama turun ke kawasan berkenaan untuk menetapkan batu perbatasan itu? Sesungguhnya, seluruh rakyat Indonesia khususnya dan Malaysia umumnya yang waras akal fikiran mereka tidak akan memilih pertengkaran di jalanan untuk menyelesaikan masalah. Hanya mereka yang dangkal dan mahu melihat persengketaan sahaja yang rela berbuat demikian. Sesebuah negara akan lemah jika bangsanya memilih untuk bersengketa. Kemajuan juga akan mudah terbantut jika sebarang keputusan dibuat bersandarkan pada emosi bukan berteraskan pertimbangan yang rasional. Justeru, hal inilah yang sering menjadi ujian dan cabaran buat Indonesia dan Malaysia. Selama berdekad-dekad kemesraan dan keakraban dua sahabat terjalin. Tentunya amat rugi jika nilai persahabatan yang murni itu dicemari dengan insiden demonstrasi serta tuduhan palsu.

Apa lagi salah Malaysia?
Cukup-cukuplah salah 
faham dibawa ke jalanan.


SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
15 OKTOBER 2011

14 Oktober 2011

ISU EKONOMI : KEGIATAN KOPERASI MENYERLAH


PARLIMEN BUDAPEST DI HUNGARY

Budaya keusahawanan menerusi gerakan koperasi di negara ini walaupun masih perlahan, semakin mendapat sambutan masyarakat termasuk di kalangan Bumiputera. Ini dibuktikan menerusi koperasi berdaftar direkodkan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) mencecah hampir 8,800 sehingga Oktober tahun ini dengan hampir lapan juta ahli. Sehingga bulan ini saja, lebih 1,000 koperasi baru ditubuhkan. Ia menunjukkan tahap kepercayaan masyarakat terhadap peranan koperasi sebagai entiti menjana pendapatan melalui perniagaan semakin meningkat. Daripada jumlah itu pula, kira-kira 80 peratus koperasi berupaya mencatat keuntungan tahunan kurangnya lebih RM200,000 menerusi perniagaan yang diceburi. Pencapaian itu dianggap membanggakan SKM selaku badan bertanggungjawab memantau, menyelia dan mengurus perkara berkaitan gerakan koperasi negara. Sasaran SKM dalam Dasar Koperasi Negara (DKN) untuk mewujudkan 10,000 koperasi menjelang 2015. Ia berbeza dalam tempoh tiga tahun lalu apabila SKM mendapati kira-kira 80 peratus koperasi di seluruh negara tidak aktif. Ketika itu, kebanyakan koperasi dilaporkan mencatat urus niaga kurang daripada RM200,000 setahun dan sekitar 700 daripada lebih 5,000 koperasi yang benar-benar aktif dan membawa keuntungan dalam operasi perniagaan.  Perkara itu diakui Pengerusi Portfolio Koperasi Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Datuk Seri Mustapa Kamal Maulut.

Beliau berkata, DPMM mendapati sebahagian besar koperasi yang ditubuhkan ketika itu sekadar mempunyai nama tetapi tiada aktiviti perniagaan. Apa yang menyedihkan DPMM, katanya, kira-kira 95 peratus koperasi berkenaan adalah milik Bumiputera. “Ini petunjuk ekonomi Bumiputera masih lemah,” kata beliau. Namun, senario itu kini berubah kata Pengerusi SKM, Datuk Md Yusof Samsudin. Beliau menganggap dakwaan kononnya ketika ini kira-kira 80 peratus koperasi tidak aktif dalam perniagaan adalah tidak benar sama sekali. Katanya, lebih 80 peratus koperasi yang wujud ketika ini mencatat keuntungan dalam perniagaan. Mengikut rekod SKM, sejak tiga tahun kebelakangan ini kadar pulangan yang dicatatkan koperasi pada 2010 secara keseluruhannya mencecah RM9.5 bilion. Sehubungan itu katanya, SKM mahu memastikan koperasi negara mampu memperoleh kadar pulangan sehingga RM10 bilion setahun dicapai menjelang 2013. “Berdasarkan perkembangan semasa dan komitmen berterusan SKM, kita percaya berupaya mencapainya sebelum 2013. Ia menandakan kejayaan SKM untuk menyedarkan masyarakat supaya meningkatkan budaya koperasi bagi mencapai sasaran DKN,” katanya. Sejak SKM diwujudkan pada 1 Januari 2008, peranannya melakukan transformasi koperasi menjadi entiti kompetitif dalam pelbagai sektor ekonomi dan melahirkan modal insan berbudaya keusahawanan semakin terserlah.

Ia juga petunjuk kejayaan SKM yang baru tiga tahun ditubuhkan bagi memartabat dan meningkatkan gerakan koperasi negara.  Md Yusof mengakui, daripada lebih 8,000 koperasi ketika ini, enam peratus atau hampir 400 koperasi saja yang dianggap tidak aktif.  Berdasarkan statistik SKM hanya 48 koperasi dibatalkan sehingga 31 Disember 2010 tetapi 8,146 koperasi baru didaftarkan sepanjang tahun lalu. Mengulas kewujudan koperasi tidak aktif atau tidur, Md Yusof berkata, SKM mempunyai kaedah memulihkan semula koperasi terbabit. Namun, bukan semua koperasi yang tidak aktif itu tidak mempunyai aktiviti perniagaan. Sebaliknya, koperasi terbabit berkemungkinan hanya tidak aktif dari segi pengurusan dan audit kewangan.  “Ada koperasi yang perniagaan mereka masih berjalan dan mencatat keuntungan tetapi hanya tidak mempunyai urus tadbir yang baik,” katanya.  SKM tidak mudah membatalkan pendaftaran sesuatu koperasi yang dikatakan tidak aktif, sebaliknya beberapa langkah diambil untuk memastikannya terus hidup termasuk memulihkannya. Katanya, SKM akan berusaha untuk memastikan setiap koperasi mempunyai program urus tadbir berkesan seperti mengadakan mesyuarat tahunan selain melakukan audit akaun setiap tahun.  Mengikut maklumat diperoleh SKM, ada koperasi yang aktif dalam perniagaan mengalami konflik dalaman menyebabkan urus tadbir kucar kacir sehingga akaun kewangan tidak terurus.

SUMBER
BERITA HARIAN
14 OKTOBER 2011


ISU ANTARABANGSA : ISU HAK ASASI HELAH ZIONIS CATUR DUNIA

Oleh Imlan Adabi
imlanadabi@bharian.com.my


HOTEL COKLAT, 
BOURNEMOUTH, ENGLAND

Banyak yang menimbulkan isu Yahudi tanpa memahami keadaan sebenar. Lebih malang, apabila dipolitikkan kononnya sesuatu pihak dianggap ‘sahabat’ Yahudi dan pihak lain pula pejuang Islam.  Ada pihak yang kononnya menentang kezaliman Yahudi, tetapi mempunyai kenalan akrab sebagai penasihat ekonomi dan siasah mereka. Mereka menggunakan wang daripada sumber misteri untuk kegiatan hak asasi. Sama ada ahli politik, persatuan sosial, mahupun pemimpin pelajar, isu Yahudi pernah menghangatkan suasana. Gerakan pelajar pada 1974 dikaitkan perjuangan menentang kapitalis pro-Yahudi yang didakwa melemahkan pemikiran generasi muda. Keadaan memuncak apabila Ayatollah Khomeini berjaya menjatuhkan Shah Iran pada 1979. Ada di kalangan kita yang mendewakan rejim Syiah pejuang sejati kerana menghalang kebangkitan kuasa tunggal Amerika Syarikat pasca Perang Dingin.  Ketika itu ada ahli politik sanggup menuduh pihak lain sebagai ejen ‘asing’ tanpa membezakan makna sebenar Yahudi dan Zionis. Isu kafir mengkafir dan ‘amanat’ seorang ulama yang menuduh pihak lain tidak Islamik kedengaran.  Yahudi berasal perkataan ‘ibri’, ‘abra’, ‘ibrani’ yang bermaksud potong jalan/berpindah. 


Mereka keturunan Sam (Semitik) bin Nuh. Bermula dengan Nabi Ibrahim yang dianggap bapa kepada nabi lain termasuk Nabi Ismail, Nabi Ishak, Nabi Isa dan Nabi Yaakub. Bukan semua Bani Israel berfahaman Yahudi kerana ada yang beragama Islam dan Kristian. Munculnya warga Hungary berbangsa Yahudi, Theoder Herzl’s menimbulkan kemelut sehingga kini. Dia menyarankan bangsa Israel berkumpul dan membentuk Israel raya. Dari sini lahirnya gerakan Zionis yang dipelopori Moses Hess untuk mengukuhkan negara Israel di Asia Barat. Hari ini polemik Yahudi dan helah mereka mencatur dunia sudah begitu banyak diperkatakan. Di sebalik sikap jelek yang merobekkan sejarah bangsa Arab dan Islam, Yahudi mempunyai kualiti sebagai kaum yang tekun, pintar dan kreatif. Kerajinan dan kepintaran mereka perlu dikaji, sementara kejahatan dan kerakusan dihindari. Tiga saintis Zionis baru diumumkan menerima Hadiah Nobel Perubatan 2011 iaitu Bruce Beutler, Jules Hoffmann dan Ralph Steinman kerana kepakaran bidang saraf dan organ. Kehadiran mereka tentu melengkap senarai Yahudi yang menjadi pencetus dunia baru. Majalah Time menyenaraikan Albert Einstein sebagai saintis Manusia Abad Ini. 


Sigmund Freud yang memperkenalkan teori id, ego dan super-ego juga Yahudi. Begitu juga Karl Marx, Paul Samuelson dan Milton Friedman. Sejarah perubatan membariskan jasa mereka. Benjamin Rubin memperkenalkan jarum suntikan pelalian, Johas Salk (vaksin polio), Gertrude Elion (ubat leukemia) dan Baruch Blumberg (vaksin Hepatitis B) Dalam tempoh 106 tahun, hampir 200 Yahudi menang Hadiah Nobel berbanding tiga dimenangi umat Islam. Bangsa Yahudi berjumlah 14 juta, sedangkan umat Islam 1.4 bilion. Bayangkan jurang pemikiran mereka dengan kita!  Amerika Syarikat sebagai kuasa utama dunia kerap dinaungi ahli siasah Yahudi. Henry Kissinger, Harold Brown, Robert Rubin, Madeleine Albright dan penasihat Bekas Naib Presiden Al Gore (1993-2001), Michael Chertoff juga Yahudi. Bekas Presiden George W Bush juga dikaitkan keturunan Yahudi. Tidak hairanlah dia melancarkan kempen memerangi keganasan di Iraq dan Afghanistan semata-mata untuk menjaga kepentingan Zionis di seluruh dunia. Ketika kita bercakap isu hak asasi dan makna kebebasan, jangan terperangkap helah untuk menghalalkan cara!

SUMBER
BERITA HARIAN
14 OKTOBER 2011


ISU BAHASA : WAJIB GUNA BAHASA MELAYU


BAALBEK DI LEBANON

Mulai tahun 2012, tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana agensi kerajaan, perbankan dan syarikat yang enggan menggunakan bahasa Melayu (BM) dalam semua urusan berkaitan, tertakluk di bawah tetapan Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan (JPBK). Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Termuzi Abdul Aziz, berkata langkah itu diambil bagi memastikan semua pihak bersatu dan bekerjasama dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu yang juga bahasa rasmi, sekali gus penggunaannya meluas di seluruh negara. JPBK atau jawatankuasa induk ini dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mempunyai enam jawatankuasa kecil di bawahnya bertujuan melaksana, memantau dan memastikan bahasa Melayu digunakan sewajarnya. Sebagai contoh, Jawatankuasa Penggunaan Bahasa Kebangsaan di Sektor Kewangan (JPBK-SK) akan memastikan bank di negara ini menggunakan BM dalam semua aktivitinya termasuk dalam borang perjanjian selain bahasa Inggeris. 

Mereka boleh buat dwibahasa, yang penting BM ada. Kalau mereka tidak mahu mematuhi arahan ini yang juga arahan Bank Negara (selaku badan yang mengawal), ia akan di bawa ke jawatankuasa induk untuk perbincangan selanjutnya, sebelum tindakan wajar diambil, katanya yang ditemui selepas Majlis Penghargaan Bulan Bahasa Kebangsaan 2010 pada 13 Oktober 2011. Ditanya bentuk tindakan dikenakan, Termuzi berkata, ketika ini belum ada peruntukan dalam JPBK bagi membolehkan institusi perbankan didenda jika enggan patuh arahan berkenaan, justeru pihaknya memikirkan tindakan lain yang lebih wajar untuk menggantikannya sekali gus bertindak sebagai peringatan. Bagaimanapun, di pihak berkuasa tempatan (PBT) kita mempunyai peruntukan tertentu untuk mendenda jika gagal meletakkan nama jalan, perumahan dan iklan dalam bahasa Melayu, malah, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah melaksanakan ini sejak awal tahun dengan pengiklan wajib mendapat kelulusan DBP untuk iklan yang memaparkan 2/3 keterangan dalam BM. Sekiranya tidak, lesen iklan takkan diberi.

SUMBER
BERITA HARIAN
13 OKTOBER 2011


PANDANGAN CIKGU ZUL

Saya mendoakan semoga semua yang diperkatakan ini akan menjadi kenyataan. Jangan hanya pandai bersilat di media, nampak gah apabila mengeluarkan kenyataan tetapi apabila tiba di peringkat pelaksanaan, realiti tidak seindah yang diungkapkan di hadapan wartawan. Bahasa Melayu masih juga layu walaupun bilangan penuturnya semakin bertambah. Golongan cendikiawan pula lebih ghairah bercakap "sekerat belut, sekerat ular" tanpa rasa bersalah. Pelbagai pihak tampil ke hadapan, menyuarakan bermacam-macam pendapat untuk memartabatkan dan mendaulatkan bahasa Melayu ke tahap yang paling tinggi, tetapi semua impian tersebut terkulai layu menyembah bumi. Nasib Bahasa Melayu bagaikan “Pi Mai Pi Mai Tang Tu” jugalah. Setelah 54 tahun merdeka, kita masih juga gagal meletakkan martabat Bahasa Melayu di singahsana kedaulatan yang dikagumi, dihormati, dan disegani oleh masyarakat seantero dunia. 

ISU EKONOMI : MANIFESTASI FALSAFAH BAJET, MENGIMARAH RAKYAT DAN NEGARA

Oleh NADZIR AWANG AHMAD
Pensyarah Kanan Fakulti Perakaunan,
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis


KEINDAHAN DASAR LAUT DI 
PULAU BIDONG, TERENGGANU

Pembentangan Bajet 2012 yang telah disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Menteri Kewangan pada 7 Oktober lepas merupakan bajet yang praktikal, realistik dan mampu dilaksanakan oleh kerajaan. Ini adalah usaha berterusan Kerajaan Pusat bagi memastikan dasar fiskal negara beransur-ansur kukuh dan pada masa yang sama memastikan momentum pertumbuhan domestik berkembang kukuh. Bajet 2012 yang bertemakan "Dasar Transformasi Nasional: Bajet Bela Rakyat, Mensejahtera Negara" memberi penekanan kepada lima fokus utama iaitu meligat pelaburan, mengungguli modal insan, mencerna kreativiti dan mencetus inovasi, program transformasi luar bandar, memperkejap perkhidmatan awam dan meredakan inflasi dan mengimarah kehidupan rakyat. Kelima-lima fokus itu merupakan manifestasi kepada falsafah pentadbiran negara pada hari ini yang berlandaskan prinsip Gagasan 1 Malaysia; Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan kerana keseluruhan intipati bajet menjurus kepada kesejahteraan rakyat di samping memacu momentum ekonomi negara. Bajet 2012 merupakan Rolling Plan Kedua (RP-Kedua) di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) untuk memacu negara menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. 


Pelaksanaan pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dengan tujuh Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Program Transformasi Ekonomi (ETP) dengan 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA), Model Baru Ekonomi dengan lapan SRI dan terkini, Program Transformasi Politik bakal merubah negara ini ke arah sebuah negara yang moden, progresif dengan sistem demokrasi yang berfungsi sepenuhnya. Bajet kali ini bolehlah disifatkan sebagai bajet rakyat atau mesra rakyat kerana banyak insentif telah diberikan oleh kerajaan kepada rakyat. Antaranya, pemansuhan bayaran RM24.50 bagi sekolah rendah dan RM33.50 bagi sekolah menengah untuk bayaran kokurikulum, kertas ujian dalaman, Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia dan Insurans Takaful yang melibatkan peruntukan sebanyak RM150 juta. Pemansuhan bayaran itu merupakan usaha murni kerajaan untuk memastikan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan dinikmati oleh semua rakyat di negara ini. 


Keprihatinan kerajaan untuk meringankan kos golongan berpendapatan sederhana terbukti dengan mencadangkan pemberian tunai secara one-off dengan memberi bantuan sebanyak RM500 kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah, bantuan persekolahan RM100 diberi kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah dari Tahun Satu hingga Tingkatan Lima di seluruh negara, pemberian baucar buku bernilai RM200 kepada semua pelajar warganegara Malaysia di institusi pengajian tinggi awam dan swasta tempatan, matrikulasi serta pelajar tingkatan enam di seluruh negara. Prinsip "Rakyat didahulukan " kerajaan terserlah dalam bajet kali ini dengan pemberian berterusan subsidi bahan makanan asas seperti beras, gula, minyak masak dan tepung gandum yang menelan belanja RM3.2 bilion serta subsidi produk petroleum sebanyak RM17 bilion serta subsidi bil elektrik berjumlah RM20 sebulan dan ke bawah dengan peruntukan sebanyak RM150 juta. RM1.2 bilion pula untuk program Kebajikan Rakyat 1Malaysia atau KAR1SMA dengan memberi bantuan kepada warga emas miskin sebanyak RM300 sebulan; bantuan kanak-kanak miskin RM100 sebulan, dengan had maksimum RM450 sebulan serta bantuan dan elaun kepada Orang Kurang Upaya (OKU) antara RM150 hingga RM300 sebulan. 


Tidak ketinggalan, golongan pekerja sektor awam turut mendapat perhatian dan faedah daripada bajet kali ini dengan menikmati kenaikan gaji tahunan bagi tempoh yang lama melalui pembentukan gaji sebaris dengan mewujudkan lebih banyak mata gaji dengan pengenalan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam atau SBPA yang akan menggantikan Sistem Saraan Malaysia atau SSM. Malah kenaikan Gaji Tahunan ditingkatkan antara RM80 hingga RM320 mengikut gred mulai tahun 2012 serta kenaikan gaji, di antara 7 hingga 13 peratus bagi yang memilih opsyen SBPA. Golongan pesara juga turut mendapat limpahan keperihatinan kerajaan dengan pelaksanaan SBPA dengan menerima kenaikan tahunan pencen pesara sebanyak dua peratus setahun mulai tahun 2013 tanpa perlu menunggu sebarang semakan sistem saraan atau pelarasan gaji. Tidak ketinggalan, golongan pekerja swasta dan mereka yang bekerja sendiri mempunyai simpanan mencukupi semasa bersara akan menikmati pelepasan cukai baru sehingga RM3,000 ke atas caruman dalam Skim Persaraan Swasta dan anuiti insurans selama 10 tahun, potongan cukai ke atas caruman majikan bagi pekerja dalam Skim Persaraan Swasta; dan pengecualian cukai ke atas pendapatan dana Skim Persaraan Swasta. 


Secara umumnya, Bajet 2012 ini merupakan landasan ke arah negara maju berpendapatan tinggi tanpa mengabaikan kebajikan semua golongan rakyat. Tidak dapat dinafikan Bajet 2012 ini merupakan bajet rakyat dan pada masa yang sama mendokong aspirasi kerajaan di dalam transformasi ekonomi negara. Semua pihak harus bersama-sama mendokong dan menjayakan hasrat murni kerajaan ini.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
14 OKTOBER 2011


13 Oktober 2011

ISU PENDIDIKAN : GRADUAN SENJA, SEMAKIN TUA SEMAKIN DAHAGAKAN ILMU


KOTA LARANGAN DI CHINA

Jarang ada warga emas ingin melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi kerana kekangan usia dan kudrat namun ada yang sanggup berdepan cabaran dunia pengajian sekali lagi biarpun sudah berdekad meninggalkan alam persekolahan. Bagi mereka, umur hanya angka dan tidak melambangkan semangat perjuangan menuntut ilmu biarpun masyarakat melihatnya dari sudut berbeza. Timbul persoalan mengapa golongan ini masih mahu belajar biarpun sudah berusia? Mengapakah sanggup berkorban dan meninggalkan waktu bersama keluarga semata-mata mahu memperoleh ijazah yang tidak mampu lagi menjamin pekerjaan? Apakah matlamat yang dicari golongan ini? Ab Hamid Yunos, 74, yang baru menerima Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, baru-baru ini, berkata semangat cintakan ilmu menjadi titik tolak dia melanjutkan pelajaran. Meskipun meninggalkan alam persekolahan sejak 1954, hasratnya tidak pernah padam dan peluang itu tiba selepas bersara. “Sejak kecil, saya suka belajar namun keadaan hidup yang sukar, terpaksa diketepikan sementara. 


Bagaimanapun tidak bermakna saya melupakan biarpun usia menginjak senja. “Selepas bersara peluang itu tiba dan tiada istilah terlambat jika ingin menuntut ilmu. Saya teruja dan tidak sabar memulakan pengajian biarpun terpaksa menunggu begitu lama. “Saya puas menyempurnakan impian sebelum menutup mata. Kejayaan menggenggam segulung ijazah ini, membalas segala penat lelah dan penantian selama ini,” katanya. Berasal dari Melaka, dia mengakui pengalaman pertama bergelar pelajar semula sangat manis biarpun terpaksa berhempas pulas dari bawah dan bersaing dengan mereka lebih muda. Beliau memulakan pengajiannya selepas bersara dalam dunia ketenteraan di sekolah pondok di Kelantan selama lima tahun sebelum mengambil keputusan melanjutkan pengajian peringkat sijil dalam bidang hadis dan sunnah di kampus Nilam Puri, Universiti Malaya (UM). Kemudian ke peringkat diploma dalam bidang sama sebelum ditawarkan tempat di USM. Antara cabaran paling sukar apabila terpaksa menyesuaikan diri dengan peralihan penggunaan bahasa Melayu lama kepada moden.


“Sebagai orang lama yang bersekolah pada zaman sebelum merdeka, banyak perbezaan dari segi lenggok dan penggunaan bahasa. Penggunaannya kini cukup ‘warna-warni’ dan ‘advance.’ “Peringkat permulaan sukar namun sokongan rakan dan pensyarah, banyak membantu selain saya menganggapnya cabaran belajar di alaf baru. “Selepas lama meninggalkan alam persekolahan, janggal belajar semula. Namun jika ada disiplin dan kemahuan segalanya boleh diatasi,” katanya. Biarpun memperoleh keistimewaan dan kelonggaran, dia tidak menggunakannya bagi kepentingan diri sendiri. “Apa yang diberikan bukan alasan menggunakannya sesuka hati. Perhubungan dijalin atas landasan saling menghormati dan membantu.  “Biarpun ada jarak usia antara rakan sekuliah dan pensyarah, saya tetap profesional serta tahu meletakkan batas tertentu dalam pergaulan. Saya menghormati pensyarah kerana ilmu dan mereka juga menghormati saya kerana usia dan pengalaman,” katanya. Beliau mengakui sebagai bekas tentera, hidupnya penuh disiplin dan tugasan perlu dilakukan dengan sempurna. “Malangnya bukan semua boleh mengikut rentak itu, saya mesti ‘bertolak-ansur. 


Golongan muda hari ini banyak kerenahnya dan memerlukan pendekatan boleh diterima kelompok mereka,” katanya yang mengakui banyak ‘benda’ berubah terutama penggunaan teknologi moden. Dari sudut lain pula menganggap pelajar hari ini tidak pandai memanfaatkan peluang dengan baik selain gemar melakukan tugasan di saat akhir. “Perubahan zaman dan penggunaan teknologi seperti Internet memudahkan proses pembelajaran namun turut menyumbang kepada penurunan tahap disiplin. “Ada pelajar hanya belajar sambil lewa dan kurang memanfaatkan peluang selain gemar membuat tugasan atau ulang kaji di saat akhir. “Gaya hidup seperti itu tidak sihat. Untuk berjaya, perlukan disiplin serta percaturan hidup yang teratur,” katanya yang mengikuti pengkhususan sejarah.  Beliau memperoleh gred purata kumulatif (CGPA) 2.5. Keinginan yang meluap-luap menjadikan bapa kepada dua orang cahaya mata ini bersedia memulakan kembali perjuangannya di menara gading dengan mengikuti program peringkat sarjana pula.


“Selagi ada hayat, saya akan terus belajar biarpun semakin sukar. Ini adalah perjuangan dan jika saya boleh melakukannya, kenapa tidak orang lain lebih muda?,” katanya. Rakannya, Musa Jaafar, 79, berkata keputusan kembali belajar didorong cita-citanya yang tidak kesampaian untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi sebaik menamatkan pengajian sekolah Inggeris pada 1955. Menurutnya, pada waktu itu, dia perlu memberi laluan kepada alam pekerjaan kerana keputusan peperiksaan Cambridge (setara Sijil Pelajaran Malaysia kini) kurang memberangsangkan. “Saya mempunyai cita-cita tinggi memasuki institusi pengajian tinggi namun disebabkan dapat gred tiga, terpaksa melupakan impian itu. “Keinginan untuk terus belajar tidak pernah luput, tetapi keadaan memaksa melupakannya seketika dan memberi fokus pada pekerjaan. “Peluang itu diperoleh selepas bersara manakala keluarga juga tiada halangan.  Akhirnya pada usia senja, saya menggenggam segulung ijazah,” katanya. Berasal dari Kota Kuala Muda, Kedah, bekas pengurus Felda ini cukup bertuah kerana memperoleh sokongan padu keluarga apatah lagi semua sembilan anaknya berpendidikan tinggi.

Mengambil jurusan sains sosial dengan pengkhususan sains politik, dia menganggap cabaran paling sukar dihadapi apabila terpaksa berulang alik antara Sungai Petani, Kedah ke USM bagi menghadiri kuliah. “Itulah kesukarannya kerana terpaksa memandu sendiri ke kampus. Sebagai orang tua kadang kala ada masalah kesihatan. Namun, itu bukan alasan tidak hadir ke kuliah, malah terasa rugi jika ponteng. “Pada waktu ini, saya boleh memberikan tumpuan sepenuhnya pada pelajaran tanpa perlu memikirkan soal tanggungjawab. Disebabkan usia, ramai pensyarah sudi membantu. “Ia meningkatkan penguasaan terhadap subjek sukar, tetapi saya juga terpaksa menggandakan usaha membuat ulang kaji dengan belajar pada waktu malam selama empat hingga enam jam. “Ini pengalaman manis kerana saya mengulang semula saat-saat belajar seperti waktu kecil dulu. Bezanya sekarang ia lebih mudah kerana dipacu penggunaan teknologi seperti komputer,” katanya yang berhasrat menyambung pengajian peringkat ijazah sarjana jika keadaan kesihatan mengizinkan.

SUMBER
HARIAN METRO
10 OKTOBER 2011


ISU EKONOMI : LUMRAH KENAIKAN HARGA BARANG MENDAHULUI BAJET

Oleh Aznan Anuan


EL TAJIN DI MEXICO

Orang sebelah utara terutama di Kedah sudah merungut tentang kenaikan harga barang. Wah! peniaga di utara awal-awal menangguk di air keruh. Bajet 2012 baru peringkat cadangan, sekarang baru dibahaskan. Jadi, peruntukan yang dibentangkan itu pun belum diluluskan oleh Dewan Rakyat. Kita di Lembah Klang pun terkejut melihat kenaikan harga barangan. Kalau pada Ahad lalu kita ke pasar membeli ayam, jangan terkejut harganya melambung kira-kira RM9 sekilogram. Harga ayam, bawang dan cili yang merupakan barang harga kawalan selalunya menjadi penanda aras sama ada harga barangan pengguna naik atau turun. Sebenarnya, baru dua hari pembentangan Bajet 2012 oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat lalu yang memberi harapan dan senyuman kepada semua peringkat masyarakat, tiba-tiba dikecewakan dengan fenomena yang kerap berulang saban tahun. Kalau kenaikan harga barangan selalu membayangi sedikit pendapatan yang diperolehi pihak penjawat awam dan pengurangan kos sara hidup kepada kumpulan rakyat yang lain, maka tiada makna kenaikan gaji dan lain-lain dicadangkan oleh kerajaan untuk melonjakkan rakyat menikmati pendapat tinggi. Sebab, harga barangan sudah ‘menelan’ pendapatan mereka.

Adalah lumrah, kenaikan harga barang bukan berlaku selepas pembentangan bajet sahaja, ia boleh berlaku tak tentu masa. Malah barang yang dikatakan dikawal itu pun selalu mengalami kenaikan. Kita percaya, pihak berkuasa sudah tahu di mana punca kenaikan itu. Janganlah memberi kenyataan bahawa harga barangan keperluan terkawal. Kenyataan berbunyi, kalau naik pun sebab faktor munasabah – faktor negara pembekal alami musibah alam, kos minyak dan sebagainya. Itu alasan pihak berkuasa, tetapi rakyat sebagai pengguna bukan mahu mendengar alasan. Tetapi mereka mahu tindakan diambil – kalau tidak ke atas pemborong, pengedar, peruncit yang degil dan tamak, sekurang-kurangnya ada usaha pantas untuk menurunkan harga barangan terbabit. Sudah kerap kita melihat pemimpin dan pegawai penguat kuasa membuat operasi di pasar-pasar raya besar. Selepas itu membuat kenyataan tidak berlaku kenaikan harga barangan yang ketara. Memanglah di pasar raya kecil dan besar, harga barangannya boleh dikatakan berpatutan. Cuba pihak berkuasa berkenaan membuat tinjauan harga barangan di kedai-kedai kawasan pinggir bandar dan luar bandar. Sekarang suasana sudah terbalik, ada harga sayur dan ikan di luar bandar lebih mahal daripada yang dinikmati oleh penduduk bandar.

Kadang-kadang saya simpati akan nasib peniaga kedai runcit di bandar dan pinggir bandar yang terpaksa bersaing dengan pasar-pasar raya. Tambahan pula mereka terpaksa mengambil barang daripada pemborong pada harga yang tinggi. Kecualilah pasar raya yang sudah ada perjanjian dengan pemborong yang menetap harga yang mereka terima mengikut kontrak. Kasihan juga kepada pengguna dan peruncit yang tersepit akibat tindakan mengambil kesempatan oleh kumpulan pemborong dan pengedar barangan keperluan. Kalau cadangan memboikot kedai yang menjual harga tinggi dijalankan di seluruh negara, kesannya akan menutup rezeki dan pendapatan peniaga runcit terbabit sedangkan puncanya bukan salah mereka. Oleh itu, pihak berkuasa usah memberi bermacam alasan dan cadangan. Kita minta minit-minit mesyuarat berupa cadangan dan pelan tindakan menangani fenomena kenaikan harga barangan yang disimpan di dalam komputer atau dalam fail-fail supaya dibuka semula. Kaji yang mana baik untuk dilaksanakan dan ambil tindakan segera. Pengguna sudah letih memberi pelbagai cadangan, sekarang mereka mahu tindakan susulan yang segera.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
13 OKTOBER 2011