14 Oktober 2011

ISU ANTARABANGSA : ISU HAK ASASI HELAH ZIONIS CATUR DUNIA

Oleh Imlan Adabi
imlanadabi@bharian.com.my


HOTEL COKLAT, 
BOURNEMOUTH, ENGLAND

Banyak yang menimbulkan isu Yahudi tanpa memahami keadaan sebenar. Lebih malang, apabila dipolitikkan kononnya sesuatu pihak dianggap ‘sahabat’ Yahudi dan pihak lain pula pejuang Islam.  Ada pihak yang kononnya menentang kezaliman Yahudi, tetapi mempunyai kenalan akrab sebagai penasihat ekonomi dan siasah mereka. Mereka menggunakan wang daripada sumber misteri untuk kegiatan hak asasi. Sama ada ahli politik, persatuan sosial, mahupun pemimpin pelajar, isu Yahudi pernah menghangatkan suasana. Gerakan pelajar pada 1974 dikaitkan perjuangan menentang kapitalis pro-Yahudi yang didakwa melemahkan pemikiran generasi muda. Keadaan memuncak apabila Ayatollah Khomeini berjaya menjatuhkan Shah Iran pada 1979. Ada di kalangan kita yang mendewakan rejim Syiah pejuang sejati kerana menghalang kebangkitan kuasa tunggal Amerika Syarikat pasca Perang Dingin.  Ketika itu ada ahli politik sanggup menuduh pihak lain sebagai ejen ‘asing’ tanpa membezakan makna sebenar Yahudi dan Zionis. Isu kafir mengkafir dan ‘amanat’ seorang ulama yang menuduh pihak lain tidak Islamik kedengaran.  Yahudi berasal perkataan ‘ibri’, ‘abra’, ‘ibrani’ yang bermaksud potong jalan/berpindah. 


Mereka keturunan Sam (Semitik) bin Nuh. Bermula dengan Nabi Ibrahim yang dianggap bapa kepada nabi lain termasuk Nabi Ismail, Nabi Ishak, Nabi Isa dan Nabi Yaakub. Bukan semua Bani Israel berfahaman Yahudi kerana ada yang beragama Islam dan Kristian. Munculnya warga Hungary berbangsa Yahudi, Theoder Herzl’s menimbulkan kemelut sehingga kini. Dia menyarankan bangsa Israel berkumpul dan membentuk Israel raya. Dari sini lahirnya gerakan Zionis yang dipelopori Moses Hess untuk mengukuhkan negara Israel di Asia Barat. Hari ini polemik Yahudi dan helah mereka mencatur dunia sudah begitu banyak diperkatakan. Di sebalik sikap jelek yang merobekkan sejarah bangsa Arab dan Islam, Yahudi mempunyai kualiti sebagai kaum yang tekun, pintar dan kreatif. Kerajinan dan kepintaran mereka perlu dikaji, sementara kejahatan dan kerakusan dihindari. Tiga saintis Zionis baru diumumkan menerima Hadiah Nobel Perubatan 2011 iaitu Bruce Beutler, Jules Hoffmann dan Ralph Steinman kerana kepakaran bidang saraf dan organ. Kehadiran mereka tentu melengkap senarai Yahudi yang menjadi pencetus dunia baru. Majalah Time menyenaraikan Albert Einstein sebagai saintis Manusia Abad Ini. 


Sigmund Freud yang memperkenalkan teori id, ego dan super-ego juga Yahudi. Begitu juga Karl Marx, Paul Samuelson dan Milton Friedman. Sejarah perubatan membariskan jasa mereka. Benjamin Rubin memperkenalkan jarum suntikan pelalian, Johas Salk (vaksin polio), Gertrude Elion (ubat leukemia) dan Baruch Blumberg (vaksin Hepatitis B) Dalam tempoh 106 tahun, hampir 200 Yahudi menang Hadiah Nobel berbanding tiga dimenangi umat Islam. Bangsa Yahudi berjumlah 14 juta, sedangkan umat Islam 1.4 bilion. Bayangkan jurang pemikiran mereka dengan kita!  Amerika Syarikat sebagai kuasa utama dunia kerap dinaungi ahli siasah Yahudi. Henry Kissinger, Harold Brown, Robert Rubin, Madeleine Albright dan penasihat Bekas Naib Presiden Al Gore (1993-2001), Michael Chertoff juga Yahudi. Bekas Presiden George W Bush juga dikaitkan keturunan Yahudi. Tidak hairanlah dia melancarkan kempen memerangi keganasan di Iraq dan Afghanistan semata-mata untuk menjaga kepentingan Zionis di seluruh dunia. Ketika kita bercakap isu hak asasi dan makna kebebasan, jangan terperangkap helah untuk menghalalkan cara!

SUMBER
BERITA HARIAN
14 OKTOBER 2011


ISU BAHASA : WAJIB GUNA BAHASA MELAYU


BAALBEK DI LEBANON

Mulai tahun 2012, tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana agensi kerajaan, perbankan dan syarikat yang enggan menggunakan bahasa Melayu (BM) dalam semua urusan berkaitan, tertakluk di bawah tetapan Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan (JPBK). Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Termuzi Abdul Aziz, berkata langkah itu diambil bagi memastikan semua pihak bersatu dan bekerjasama dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu yang juga bahasa rasmi, sekali gus penggunaannya meluas di seluruh negara. JPBK atau jawatankuasa induk ini dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mempunyai enam jawatankuasa kecil di bawahnya bertujuan melaksana, memantau dan memastikan bahasa Melayu digunakan sewajarnya. Sebagai contoh, Jawatankuasa Penggunaan Bahasa Kebangsaan di Sektor Kewangan (JPBK-SK) akan memastikan bank di negara ini menggunakan BM dalam semua aktivitinya termasuk dalam borang perjanjian selain bahasa Inggeris. 

Mereka boleh buat dwibahasa, yang penting BM ada. Kalau mereka tidak mahu mematuhi arahan ini yang juga arahan Bank Negara (selaku badan yang mengawal), ia akan di bawa ke jawatankuasa induk untuk perbincangan selanjutnya, sebelum tindakan wajar diambil, katanya yang ditemui selepas Majlis Penghargaan Bulan Bahasa Kebangsaan 2010 pada 13 Oktober 2011. Ditanya bentuk tindakan dikenakan, Termuzi berkata, ketika ini belum ada peruntukan dalam JPBK bagi membolehkan institusi perbankan didenda jika enggan patuh arahan berkenaan, justeru pihaknya memikirkan tindakan lain yang lebih wajar untuk menggantikannya sekali gus bertindak sebagai peringatan. Bagaimanapun, di pihak berkuasa tempatan (PBT) kita mempunyai peruntukan tertentu untuk mendenda jika gagal meletakkan nama jalan, perumahan dan iklan dalam bahasa Melayu, malah, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah melaksanakan ini sejak awal tahun dengan pengiklan wajib mendapat kelulusan DBP untuk iklan yang memaparkan 2/3 keterangan dalam BM. Sekiranya tidak, lesen iklan takkan diberi.

SUMBER
BERITA HARIAN
13 OKTOBER 2011


PANDANGAN CIKGU ZUL

Saya mendoakan semoga semua yang diperkatakan ini akan menjadi kenyataan. Jangan hanya pandai bersilat di media, nampak gah apabila mengeluarkan kenyataan tetapi apabila tiba di peringkat pelaksanaan, realiti tidak seindah yang diungkapkan di hadapan wartawan. Bahasa Melayu masih juga layu walaupun bilangan penuturnya semakin bertambah. Golongan cendikiawan pula lebih ghairah bercakap "sekerat belut, sekerat ular" tanpa rasa bersalah. Pelbagai pihak tampil ke hadapan, menyuarakan bermacam-macam pendapat untuk memartabatkan dan mendaulatkan bahasa Melayu ke tahap yang paling tinggi, tetapi semua impian tersebut terkulai layu menyembah bumi. Nasib Bahasa Melayu bagaikan “Pi Mai Pi Mai Tang Tu” jugalah. Setelah 54 tahun merdeka, kita masih juga gagal meletakkan martabat Bahasa Melayu di singahsana kedaulatan yang dikagumi, dihormati, dan disegani oleh masyarakat seantero dunia. 

ISU EKONOMI : MANIFESTASI FALSAFAH BAJET, MENGIMARAH RAKYAT DAN NEGARA

Oleh NADZIR AWANG AHMAD
Pensyarah Kanan Fakulti Perakaunan,
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis


KEINDAHAN DASAR LAUT DI 
PULAU BIDONG, TERENGGANU

Pembentangan Bajet 2012 yang telah disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Menteri Kewangan pada 7 Oktober lepas merupakan bajet yang praktikal, realistik dan mampu dilaksanakan oleh kerajaan. Ini adalah usaha berterusan Kerajaan Pusat bagi memastikan dasar fiskal negara beransur-ansur kukuh dan pada masa yang sama memastikan momentum pertumbuhan domestik berkembang kukuh. Bajet 2012 yang bertemakan "Dasar Transformasi Nasional: Bajet Bela Rakyat, Mensejahtera Negara" memberi penekanan kepada lima fokus utama iaitu meligat pelaburan, mengungguli modal insan, mencerna kreativiti dan mencetus inovasi, program transformasi luar bandar, memperkejap perkhidmatan awam dan meredakan inflasi dan mengimarah kehidupan rakyat. Kelima-lima fokus itu merupakan manifestasi kepada falsafah pentadbiran negara pada hari ini yang berlandaskan prinsip Gagasan 1 Malaysia; Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan kerana keseluruhan intipati bajet menjurus kepada kesejahteraan rakyat di samping memacu momentum ekonomi negara. Bajet 2012 merupakan Rolling Plan Kedua (RP-Kedua) di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) untuk memacu negara menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. 


Pelaksanaan pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dengan tujuh Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Program Transformasi Ekonomi (ETP) dengan 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA), Model Baru Ekonomi dengan lapan SRI dan terkini, Program Transformasi Politik bakal merubah negara ini ke arah sebuah negara yang moden, progresif dengan sistem demokrasi yang berfungsi sepenuhnya. Bajet kali ini bolehlah disifatkan sebagai bajet rakyat atau mesra rakyat kerana banyak insentif telah diberikan oleh kerajaan kepada rakyat. Antaranya, pemansuhan bayaran RM24.50 bagi sekolah rendah dan RM33.50 bagi sekolah menengah untuk bayaran kokurikulum, kertas ujian dalaman, Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia dan Insurans Takaful yang melibatkan peruntukan sebanyak RM150 juta. Pemansuhan bayaran itu merupakan usaha murni kerajaan untuk memastikan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan dinikmati oleh semua rakyat di negara ini. 


Keprihatinan kerajaan untuk meringankan kos golongan berpendapatan sederhana terbukti dengan mencadangkan pemberian tunai secara one-off dengan memberi bantuan sebanyak RM500 kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah, bantuan persekolahan RM100 diberi kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah dari Tahun Satu hingga Tingkatan Lima di seluruh negara, pemberian baucar buku bernilai RM200 kepada semua pelajar warganegara Malaysia di institusi pengajian tinggi awam dan swasta tempatan, matrikulasi serta pelajar tingkatan enam di seluruh negara. Prinsip "Rakyat didahulukan " kerajaan terserlah dalam bajet kali ini dengan pemberian berterusan subsidi bahan makanan asas seperti beras, gula, minyak masak dan tepung gandum yang menelan belanja RM3.2 bilion serta subsidi produk petroleum sebanyak RM17 bilion serta subsidi bil elektrik berjumlah RM20 sebulan dan ke bawah dengan peruntukan sebanyak RM150 juta. RM1.2 bilion pula untuk program Kebajikan Rakyat 1Malaysia atau KAR1SMA dengan memberi bantuan kepada warga emas miskin sebanyak RM300 sebulan; bantuan kanak-kanak miskin RM100 sebulan, dengan had maksimum RM450 sebulan serta bantuan dan elaun kepada Orang Kurang Upaya (OKU) antara RM150 hingga RM300 sebulan. 


Tidak ketinggalan, golongan pekerja sektor awam turut mendapat perhatian dan faedah daripada bajet kali ini dengan menikmati kenaikan gaji tahunan bagi tempoh yang lama melalui pembentukan gaji sebaris dengan mewujudkan lebih banyak mata gaji dengan pengenalan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam atau SBPA yang akan menggantikan Sistem Saraan Malaysia atau SSM. Malah kenaikan Gaji Tahunan ditingkatkan antara RM80 hingga RM320 mengikut gred mulai tahun 2012 serta kenaikan gaji, di antara 7 hingga 13 peratus bagi yang memilih opsyen SBPA. Golongan pesara juga turut mendapat limpahan keperihatinan kerajaan dengan pelaksanaan SBPA dengan menerima kenaikan tahunan pencen pesara sebanyak dua peratus setahun mulai tahun 2013 tanpa perlu menunggu sebarang semakan sistem saraan atau pelarasan gaji. Tidak ketinggalan, golongan pekerja swasta dan mereka yang bekerja sendiri mempunyai simpanan mencukupi semasa bersara akan menikmati pelepasan cukai baru sehingga RM3,000 ke atas caruman dalam Skim Persaraan Swasta dan anuiti insurans selama 10 tahun, potongan cukai ke atas caruman majikan bagi pekerja dalam Skim Persaraan Swasta; dan pengecualian cukai ke atas pendapatan dana Skim Persaraan Swasta. 


Secara umumnya, Bajet 2012 ini merupakan landasan ke arah negara maju berpendapatan tinggi tanpa mengabaikan kebajikan semua golongan rakyat. Tidak dapat dinafikan Bajet 2012 ini merupakan bajet rakyat dan pada masa yang sama mendokong aspirasi kerajaan di dalam transformasi ekonomi negara. Semua pihak harus bersama-sama mendokong dan menjayakan hasrat murni kerajaan ini.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
14 OKTOBER 2011


13 Oktober 2011

ISU PENDIDIKAN : GRADUAN SENJA, SEMAKIN TUA SEMAKIN DAHAGAKAN ILMU


KOTA LARANGAN DI CHINA

Jarang ada warga emas ingin melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi kerana kekangan usia dan kudrat namun ada yang sanggup berdepan cabaran dunia pengajian sekali lagi biarpun sudah berdekad meninggalkan alam persekolahan. Bagi mereka, umur hanya angka dan tidak melambangkan semangat perjuangan menuntut ilmu biarpun masyarakat melihatnya dari sudut berbeza. Timbul persoalan mengapa golongan ini masih mahu belajar biarpun sudah berusia? Mengapakah sanggup berkorban dan meninggalkan waktu bersama keluarga semata-mata mahu memperoleh ijazah yang tidak mampu lagi menjamin pekerjaan? Apakah matlamat yang dicari golongan ini? Ab Hamid Yunos, 74, yang baru menerima Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, baru-baru ini, berkata semangat cintakan ilmu menjadi titik tolak dia melanjutkan pelajaran. Meskipun meninggalkan alam persekolahan sejak 1954, hasratnya tidak pernah padam dan peluang itu tiba selepas bersara. “Sejak kecil, saya suka belajar namun keadaan hidup yang sukar, terpaksa diketepikan sementara. 


Bagaimanapun tidak bermakna saya melupakan biarpun usia menginjak senja. “Selepas bersara peluang itu tiba dan tiada istilah terlambat jika ingin menuntut ilmu. Saya teruja dan tidak sabar memulakan pengajian biarpun terpaksa menunggu begitu lama. “Saya puas menyempurnakan impian sebelum menutup mata. Kejayaan menggenggam segulung ijazah ini, membalas segala penat lelah dan penantian selama ini,” katanya. Berasal dari Melaka, dia mengakui pengalaman pertama bergelar pelajar semula sangat manis biarpun terpaksa berhempas pulas dari bawah dan bersaing dengan mereka lebih muda. Beliau memulakan pengajiannya selepas bersara dalam dunia ketenteraan di sekolah pondok di Kelantan selama lima tahun sebelum mengambil keputusan melanjutkan pengajian peringkat sijil dalam bidang hadis dan sunnah di kampus Nilam Puri, Universiti Malaya (UM). Kemudian ke peringkat diploma dalam bidang sama sebelum ditawarkan tempat di USM. Antara cabaran paling sukar apabila terpaksa menyesuaikan diri dengan peralihan penggunaan bahasa Melayu lama kepada moden.


“Sebagai orang lama yang bersekolah pada zaman sebelum merdeka, banyak perbezaan dari segi lenggok dan penggunaan bahasa. Penggunaannya kini cukup ‘warna-warni’ dan ‘advance.’ “Peringkat permulaan sukar namun sokongan rakan dan pensyarah, banyak membantu selain saya menganggapnya cabaran belajar di alaf baru. “Selepas lama meninggalkan alam persekolahan, janggal belajar semula. Namun jika ada disiplin dan kemahuan segalanya boleh diatasi,” katanya. Biarpun memperoleh keistimewaan dan kelonggaran, dia tidak menggunakannya bagi kepentingan diri sendiri. “Apa yang diberikan bukan alasan menggunakannya sesuka hati. Perhubungan dijalin atas landasan saling menghormati dan membantu.  “Biarpun ada jarak usia antara rakan sekuliah dan pensyarah, saya tetap profesional serta tahu meletakkan batas tertentu dalam pergaulan. Saya menghormati pensyarah kerana ilmu dan mereka juga menghormati saya kerana usia dan pengalaman,” katanya. Beliau mengakui sebagai bekas tentera, hidupnya penuh disiplin dan tugasan perlu dilakukan dengan sempurna. “Malangnya bukan semua boleh mengikut rentak itu, saya mesti ‘bertolak-ansur. 


Golongan muda hari ini banyak kerenahnya dan memerlukan pendekatan boleh diterima kelompok mereka,” katanya yang mengakui banyak ‘benda’ berubah terutama penggunaan teknologi moden. Dari sudut lain pula menganggap pelajar hari ini tidak pandai memanfaatkan peluang dengan baik selain gemar melakukan tugasan di saat akhir. “Perubahan zaman dan penggunaan teknologi seperti Internet memudahkan proses pembelajaran namun turut menyumbang kepada penurunan tahap disiplin. “Ada pelajar hanya belajar sambil lewa dan kurang memanfaatkan peluang selain gemar membuat tugasan atau ulang kaji di saat akhir. “Gaya hidup seperti itu tidak sihat. Untuk berjaya, perlukan disiplin serta percaturan hidup yang teratur,” katanya yang mengikuti pengkhususan sejarah.  Beliau memperoleh gred purata kumulatif (CGPA) 2.5. Keinginan yang meluap-luap menjadikan bapa kepada dua orang cahaya mata ini bersedia memulakan kembali perjuangannya di menara gading dengan mengikuti program peringkat sarjana pula.


“Selagi ada hayat, saya akan terus belajar biarpun semakin sukar. Ini adalah perjuangan dan jika saya boleh melakukannya, kenapa tidak orang lain lebih muda?,” katanya. Rakannya, Musa Jaafar, 79, berkata keputusan kembali belajar didorong cita-citanya yang tidak kesampaian untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi sebaik menamatkan pengajian sekolah Inggeris pada 1955. Menurutnya, pada waktu itu, dia perlu memberi laluan kepada alam pekerjaan kerana keputusan peperiksaan Cambridge (setara Sijil Pelajaran Malaysia kini) kurang memberangsangkan. “Saya mempunyai cita-cita tinggi memasuki institusi pengajian tinggi namun disebabkan dapat gred tiga, terpaksa melupakan impian itu. “Keinginan untuk terus belajar tidak pernah luput, tetapi keadaan memaksa melupakannya seketika dan memberi fokus pada pekerjaan. “Peluang itu diperoleh selepas bersara manakala keluarga juga tiada halangan.  Akhirnya pada usia senja, saya menggenggam segulung ijazah,” katanya. Berasal dari Kota Kuala Muda, Kedah, bekas pengurus Felda ini cukup bertuah kerana memperoleh sokongan padu keluarga apatah lagi semua sembilan anaknya berpendidikan tinggi.

Mengambil jurusan sains sosial dengan pengkhususan sains politik, dia menganggap cabaran paling sukar dihadapi apabila terpaksa berulang alik antara Sungai Petani, Kedah ke USM bagi menghadiri kuliah. “Itulah kesukarannya kerana terpaksa memandu sendiri ke kampus. Sebagai orang tua kadang kala ada masalah kesihatan. Namun, itu bukan alasan tidak hadir ke kuliah, malah terasa rugi jika ponteng. “Pada waktu ini, saya boleh memberikan tumpuan sepenuhnya pada pelajaran tanpa perlu memikirkan soal tanggungjawab. Disebabkan usia, ramai pensyarah sudi membantu. “Ia meningkatkan penguasaan terhadap subjek sukar, tetapi saya juga terpaksa menggandakan usaha membuat ulang kaji dengan belajar pada waktu malam selama empat hingga enam jam. “Ini pengalaman manis kerana saya mengulang semula saat-saat belajar seperti waktu kecil dulu. Bezanya sekarang ia lebih mudah kerana dipacu penggunaan teknologi seperti komputer,” katanya yang berhasrat menyambung pengajian peringkat ijazah sarjana jika keadaan kesihatan mengizinkan.

SUMBER
HARIAN METRO
10 OKTOBER 2011


ISU EKONOMI : LUMRAH KENAIKAN HARGA BARANG MENDAHULUI BAJET

Oleh Aznan Anuan


EL TAJIN DI MEXICO

Orang sebelah utara terutama di Kedah sudah merungut tentang kenaikan harga barang. Wah! peniaga di utara awal-awal menangguk di air keruh. Bajet 2012 baru peringkat cadangan, sekarang baru dibahaskan. Jadi, peruntukan yang dibentangkan itu pun belum diluluskan oleh Dewan Rakyat. Kita di Lembah Klang pun terkejut melihat kenaikan harga barangan. Kalau pada Ahad lalu kita ke pasar membeli ayam, jangan terkejut harganya melambung kira-kira RM9 sekilogram. Harga ayam, bawang dan cili yang merupakan barang harga kawalan selalunya menjadi penanda aras sama ada harga barangan pengguna naik atau turun. Sebenarnya, baru dua hari pembentangan Bajet 2012 oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat lalu yang memberi harapan dan senyuman kepada semua peringkat masyarakat, tiba-tiba dikecewakan dengan fenomena yang kerap berulang saban tahun. Kalau kenaikan harga barangan selalu membayangi sedikit pendapatan yang diperolehi pihak penjawat awam dan pengurangan kos sara hidup kepada kumpulan rakyat yang lain, maka tiada makna kenaikan gaji dan lain-lain dicadangkan oleh kerajaan untuk melonjakkan rakyat menikmati pendapat tinggi. Sebab, harga barangan sudah ‘menelan’ pendapatan mereka.

Adalah lumrah, kenaikan harga barang bukan berlaku selepas pembentangan bajet sahaja, ia boleh berlaku tak tentu masa. Malah barang yang dikatakan dikawal itu pun selalu mengalami kenaikan. Kita percaya, pihak berkuasa sudah tahu di mana punca kenaikan itu. Janganlah memberi kenyataan bahawa harga barangan keperluan terkawal. Kenyataan berbunyi, kalau naik pun sebab faktor munasabah – faktor negara pembekal alami musibah alam, kos minyak dan sebagainya. Itu alasan pihak berkuasa, tetapi rakyat sebagai pengguna bukan mahu mendengar alasan. Tetapi mereka mahu tindakan diambil – kalau tidak ke atas pemborong, pengedar, peruncit yang degil dan tamak, sekurang-kurangnya ada usaha pantas untuk menurunkan harga barangan terbabit. Sudah kerap kita melihat pemimpin dan pegawai penguat kuasa membuat operasi di pasar-pasar raya besar. Selepas itu membuat kenyataan tidak berlaku kenaikan harga barangan yang ketara. Memanglah di pasar raya kecil dan besar, harga barangannya boleh dikatakan berpatutan. Cuba pihak berkuasa berkenaan membuat tinjauan harga barangan di kedai-kedai kawasan pinggir bandar dan luar bandar. Sekarang suasana sudah terbalik, ada harga sayur dan ikan di luar bandar lebih mahal daripada yang dinikmati oleh penduduk bandar.

Kadang-kadang saya simpati akan nasib peniaga kedai runcit di bandar dan pinggir bandar yang terpaksa bersaing dengan pasar-pasar raya. Tambahan pula mereka terpaksa mengambil barang daripada pemborong pada harga yang tinggi. Kecualilah pasar raya yang sudah ada perjanjian dengan pemborong yang menetap harga yang mereka terima mengikut kontrak. Kasihan juga kepada pengguna dan peruncit yang tersepit akibat tindakan mengambil kesempatan oleh kumpulan pemborong dan pengedar barangan keperluan. Kalau cadangan memboikot kedai yang menjual harga tinggi dijalankan di seluruh negara, kesannya akan menutup rezeki dan pendapatan peniaga runcit terbabit sedangkan puncanya bukan salah mereka. Oleh itu, pihak berkuasa usah memberi bermacam alasan dan cadangan. Kita minta minit-minit mesyuarat berupa cadangan dan pelan tindakan menangani fenomena kenaikan harga barangan yang disimpan di dalam komputer atau dalam fail-fail supaya dibuka semula. Kaji yang mana baik untuk dilaksanakan dan ambil tindakan segera. Pengguna sudah letih memberi pelbagai cadangan, sekarang mereka mahu tindakan susulan yang segera.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
13 OKTOBER 2011


12 Oktober 2011

ISU FILEM : PENONTON MESTI FAHAM KATEGORI DAN RATING FILEM BARAT

Oleh Razak Ghows
bhnews@bharian.com.my


Baru-baru ini ada pembaca menghantar e-mel dan menyatakan rasa terkejut apabila mendapati filem 'Bridesmaid' yang ditontonnya mengandungi terlalu banyak adegan tidak senonoh dan dialog lucah sehingga menyebabkan penonton rasa malu. Nasibnya agak baik kerana tidak ada anggota keluarga lain bersamanya ketika itu, kalau tidak sudah tentu malu rasanya membawa keluarga menonton filem terbabit. Penonton perlu melakukan tapisan sendiri filem mana yang sesuai ditonton kerana kategori filem mencerminkan kandungannya yang sebenar. - Raja Azahar Raja Abdul Manap, Pengerusi LPFM Lalu timbul persoalan, apakah kita kini lebih liberal dalam penapisan filem dari Barat? Sejak bila Lembaga Penapis Filem Malaysia (LPFM) bersikap lebih liberal? Kalau benarlah andaian berkenaan, maknanya mulai sekarang kita kena lebih berhati-hati apabila membawa keluarga bersama menonton filem. Kalau ada filem yang dikategorikan untuk penonton 18 tahun ke atas, eloklah kita fikir dua kali sebelum pergi menonton. 


Pengerusi LPFM, Datuk Raja Azahar Raja Abdul Manap menjelaskan sememangnya sejak Mac tahun lalu, ada kelonggaran pada garis panduan lembaga bagi membolehkan penerbit filem menggunakan kreativiti. “Bagaimanapun, adegan seks tidak dibenarkan,” katanya. Ada tiga kategori rating iaitu U untuk umum, PG13 untuk tontonan semua termasuk kanak-kanak dengan bimbingan ibu bapa dan 18 untuk dewasa. Dari segi dasar, katanya, ia tidak berubah dan pihak lembaga melihat aspek keselamatan dan ketenteraman awam, agama, tata susila dan budaya ketika menapis filem, tidak kira dari luar atau dalam negara. Justeru, beliau mengingatkan penonton supaya jangan membawa anak atau keluarga untuk menonton filem dalam kategori 18 tahun kerana ia boleh menimbulkan ketidakselesaan berikutan ada adegan atau dialog tidak senonoh dalam filem terbabit. “Penonton perlu melakukan tapisan sendiri filem mana yang sesuai ditonton kerana kategori filem itu mencerminkan kandungannya yang sebenar,” kata Raja Azahar. Beliau menegaskan, filem dalam kategori 18 bukan pornografi tetapi mengakui ada kelonggaran dalam penapisannya. 


Adegan ciuman dibenarkan jika ia tidak ke arah porno tetapi kalau nampak berahi ia dipotong. “Kita cari jalan tengah dalam membuat penapisan. Sejak tiga tahun lalu memang ada kelonggaran. Tetapi ada perbezaan antara pawagam dan televisyen, yang mana peraturan untuk televisyen lebih ketat,” katanya. Beliau berkata, sebarang adegan di katil dan yang menunjukkan tubuh wanita dengan jelas tetap dipotong tidak kira di pawagam mahupun televisyen. Beliau mengakui filem ‘Bridesmaid’ yang ditayangkan di pawagam baru-baru ini sememangnya mengandungi dialog berunsur lucah dan tidak senonoh. Di Amerika Syarikat ia dikategorikan sebagai ‘R’ atau ‘Restricted’ oleh Motion Picture Association of America (MPAA) kerana mengandungi lakonan hubungan seks di antara pelakon wanita dan lelaki. Di Malaysia, laporan yang diterima daripada ahli lembaga ialah ada adegan bercumbu keterlaluan dan hubungan seks yang jelas dalam filem ‘Bridesmaid’ justeru, perlakuan jijik dan tidak senonoh itu dipotong. 


Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya tidak boleh memotong semua adegan kerana kalau dipotong, perjalanan filem itu akan terjejas. “Kita hendak pembaca memberi pandangan agar LPF boleh mengkaji pendirian kami. Kami sudah berjumpa dengan penggiat seni terdiri daripada pengarah dan penerbit filem. “Selepas ini kami akan menemui pengedar dan pengimport filem luar dalam siri perbincangan meja bulat,” kata Naib Pengerusi LPFM, Datuk Md Nor Hashim. Katanya, jumlah filem yang tidak lepas untuk tontonan terutama untuk televisyen memang banyak. Filem yang dibawa masuk dari negara lain ditonton terlebih dulu oleh tiga ahli lembaga, yang diberi kuasa menggunakan budi bicara mereka. Katanya, jika ahli lembaga berpendapat ada unsur yang memerlukan perhatian Pengerusi, ia akan dibawa ke perhatiannya untuk mendapatkan keputusan. Filem yang mengandungi banyak adegan ganas atau unsur seks diberikan rating TUT atau Tolak Untuk Tonton.  “Selain filem berunsur seks, banyak juga filem dari India diharamkan kerana mempunyai adegan ganas keterlaluan,” katanya. Begitu juga, kata Md Nor, filem yang berunsur lesbian atau homoseksual tidak dibenarkan langsung tetapi diluluskan sekiranya pihak lembaga mendapati ia mengandungi unsur pengajaran.

Berhubung cerita hantu dan tahyul berikutan teguran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini, beliau berkata sekiranya ada pandangan bahawa kandungannya berunsur kurafat, pihak lembaga akan akur dengan pendapat yang diberikan. Katanya, sebenarnya Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) adalah agensi yang bertanggungjawab untuk filem tempatan.  Namun, LPFM memaklumkan penerbit supaya berunding dengan mereka atau Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) terlebih dulu sebelum membuat filem hantu kerana bimbang ia bercanggah dengan akidah. Md Nor berkata LPF sedang membuat kajian untuk menetapkan dasar mengenai cerita hantu. “Jika ada halangan, apa pula bentuk yang membolehkan penerbitnya mengeluarkan filem berkenaan,” katanya.

SUMBER
BERITA HARIAN
12 OKTOBER 2011


ISU EKONOMI : MEMBENTUK TERAS RANTAIAN EKONOMI BERPENDAPATAN TINGGI

Oleh ROHAMI SHAFIE
Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan,
Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia


HOTEL BURJ AL ARAB DI DUBAI

Dua hari sebelum pembentangan Bajet 2012 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, seluruh dunia dikejutkan dengan kematian ikon inovasi terkenal Steve Jobs. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa beliau mungkin paling layak diberikan gelaran Bapa Inovasi Teknologi Moden yang telah menjadikan teknologi sebagai satu fenomena bagi penduduk dunia. Kematian beliau "diratapi" oleh peminat-peminat teknologi terkini. Beliau pencetus dan peledak produk-produk hebat seperti iPhone, iPad, dan Mac. Menerusi produk-produk terkini, beliau telah menjadi usahawan dalam kelasnya yang tersendiri. Mampukah negara kita melahirkan seseorang yang begitu hebat seperti beliau? Senario semasa dan masa hadapan memerlukan warga Malaysia yang kreatif dan berinovasi. Melalui kreativiti dan inovasi, produk-produk terbaru yang memudahkan manusia bakal dicipta. Dengan kreativiti dan inovasi jugalah sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besar perkara akan mendatangkan manfaat kepada manusia. 


Justeru itu, apabila inovasi dan kreativiti dimasukkan sebagai antara komponen utama Bajet 2012, ia perlu direbut oleh semua pihak terutamanya generasi muda. Tertarik dengan fokus kedua, Bajet 2012 ini yang menekankan aspek kreativiti dan inovasi, mungkin ada yang berpendapat ia khas untuk golongan yang menguasai teknologi terkini. Pendapat ini tidak benar dan perlu diperbetulkan. Umpamanya, seseorang yang mempunyai idea untuk mengurangkan kos elektrik yang amat tinggi yang terpaksa ditanggung oleh syarikat beliau bekerja juga merupakan seorang yang berinovasi meskipun idea beliau tidak melibatkan teknologi terkini. Yang penting idea bernas beliau dapat dilaksanakan dengan baik. Sesuatu idea yang kreatif dan inovasi hanya tinggal idea semata-mata jika tidak dilaksanakan. Untuk berjaya, seseorang itu bukan sahaja wajib mempunyai idea yang mencurah-curah tetapi juga berani untuk membawa idea-idea tersebut di hadapan orang ramai. Idea-idea yang segar, kreatif dan inovasi apabila diketengahkan mampu menjadi fenomena di seluruh dunia. Ini yang berlaku pada idea "Facebook" yang diketengahkan pada tahun 2004.


Dalam tempoh tidak sampai beberapa tahun sahaja ia telah menjadi satu fenomena di seluruh dunia. Pemiliknya kini mempunyai kekayaan berbilion ringgit Malaysia. Inilah antara contoh bagaimana kreativiti dan inovasi membentuk teras utama rantaian nilai ekonomi berpendapatan tinggi. Apabila kedua-dua ini dapat diterapkan dalam budaya rakyat Malaysia, tidak mustahil lebih banyak lagi produk komersial yang mempunyai nilai tambah yang tinggi bakal dihasilkan. Selalunya, inovasi bermula dalam bentuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) tetapi cukupkah hanya sekadar kita bersandarkan pada R&D di universiti-universiti tempatan tanpa adanya sokongan oleh semua pihak terutamanya pihak korporat yang merupakan jurujual dan pemasar bagi produk-produk R&D? Maka, apabila lebih daripada 300 harta intelek dalam bentuk produk dan teknologi baru daripada universiti ditawarkan kepada sektor korporat, ia seharusnya dipasarkan sebaik mungkin kerana nilai Pendapatan Kasar Nasional (GNI) cukup lumayan iaitu dianggarkan sebanyak RM30 bilion sehingga tahun 2020. 


Dengan kata mudah, sokongan kerajaan semata-mata tidak mampu mengubah mentaliti dan membentuk budaya inovasi di kalangan rakyat Malaysia. Peranan sektor korporat juga amat penting sebagai pemangkin budaya inovasi di kalangan rakyat Malaysia. Bagaimanapun, kerajaan juga berperanan sebagai perintis budaya inovasi di kalangan rakyat Malaysia. Oleh itu, sebagai permulaan, tahun 2012 diumumkan sebagai Gerakan Inovasi Nasional, dan ini merupakan satu langkah awal yang mampu merealisasikan inovasi sebagai budaya dalam kehidupan rakyat Malaysia.Dengan berbekalkan peruntukan RM100 juta, pelbagai program inovasi akan dilaksanakan di peringkat sekolah, universiti dan kawasan luar bandar. Hasil penciptaan rakyat boleh diperagakan melalui program Jejak Inovasi. Tidak ketinggalan, produk-produk inovasi terbaik yang direka cipta oleh pelajar dan belia bakal mendapat pengiktirafan melalui Anugerah Cipta 1Malaysia (CIPTA). Tidak terkecuali, syarikat modal teroka, MyCreative Venture Capital dengan modal permulaan RM200 juta ditubuhkan bagi menggalakkan generasi muda terlibat dalam bidang industri kreatif. 


Semuanya ini bagi mencerna kreativiti dan mencetus inovasi di kalangan generasi muda. Tidak cukup dengan itu, World Innovation Forum dan Asia Business Angel Forum akan dianjurkan pada tahun 2012 bagi memberi ruang yang lebih luas di kalangan pemain produk inovasi dengan cara bersemuka sesama sendiri, seterusnya mencari jalan bagaimana untuk memartabatkan sesuatu produk inovasi dari peringkat awal sehinggalah peringkat pemasaran. Menyentuh tentang pemasaran, sering kali kita dengar produk-produk R&D tidak mempunyai daya maju komersial dan akhirnya disimpan begitu sahaja. Dengan adanya Market Validation Fund dan dana permulaan sebanyak RM30 juta, produk-produk inovasi dan R&D akan melalui fasa market validation bagi menentukan daya maju komersial. Diharapkan nanti, dengan tertubuhnya Market Validation Fund, lebih banyak lagi produk inovasi ditentukan daya maju komersial agar dapat membentuk satu rantaian nilai ekonomi berpendapatan tinggi untuk manfaat rakyat dan negara.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
12 OKTOBER 2011





ISU POLITIK : INTEGRITI POLITIK DI MATA PELAJAR INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI

Oleh NURUL ANUAR KARI


SIGIRIYA DI SRI LANKA

Sektor  politik dikenal pasti sebagai salah satu sektor berperanan penting dalam usaha pembudayaan integriti di kalangan anggota masyarakat di negara ini. Ini kerana setiap pertuturan dan tindakan ahli-ahli politik sering menjadi perhatian seterusnya meninggalkan pengaruh besar terhadap masyarakat dan negara. Untuk itu, sesuai dengan slogan 'Membudayakan Integriti Masyarakat Malaysia', Institut Integriti Malaysia (IIM) akan menganjurkan Pertandingan Menulis Esei Integriti Politik Peringkat Institusi Pengajian Tinggi. IIM yang ditubuhkan kerajaan sebagai agensi penyelaras dan pemantau pelaksanaan Pelan Integriti Nasional (PIN), akan membuka penyertaan pertandingan ini kepada para pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta serta institut perguruan. Pengarah Sektor Politik IIM, Mohd. Ismail Abd. Jalil berharap pertandingan menulis esei ini akan mempromosikan budaya berintegriti dan pengamalan nilai-nilai murni dalam sistem politik negara. "Ia juga secara tidak langsung akan menggalakkan kajian, penyelidikan dan perbincangan dalam kalangan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) mahasiswa dan mahasiswi khususnya dan masyarakat amnya tentang kepentingan integriti dalam kehidupan. "Di samping itu juga, pertandingan ini akan memberi peluang kepada para mahasiswa untuk mengasah bakat mereka dalam penulisan kreatif dan deskriptif," katanya. Beliau menjelaskan, penyertaan dibuka kepada semua pelajar terutamanya warga pemimpin MPP bagi mencari 10 esei terbaik bersesuaian dengan tema integriti politik.

"Kita menjangkakan antara 600 hingga 800 penyertaan sepanjang tarikh pertandingan mulai 15 Oktober ini dan berakhir 1 Disember 2011. "Panel lima orang hakim akan menilai 10 esei terbaik untuk melihat idea pelajar terutamanya pemimpin pelajar dalam perwakilan MPP tentang integriti politik," katanya. Tambah Mohd. Ismail, setiap penyertaan akan disaring terlebih dahulu oleh pihak urus setia pertandingan dengan memberi fokus kepada pematuhan setiap esei terhadap syarat-syarat pertandingan. "Penghakiman di peringkat akhir pula akan memberi fokus kepada penerangan terhadap isi dan contoh-contoh yang diberikan, bahasa, nahu, gaya dan teknik penulisan serta kesantunan berbahasa. "Lima panel hakim di peringkat akhir akan terdiri daripada warga IIM, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan seorang wakil media massa tempatan," jelasnya. Sebagai tarikan tambahan, beliau memaklumkan tiga hadiah utama telah disediakan dengan tujuh lagi hadiah saguhati untuk 10 esei terbaik, di samping penulisan berkenaan mungkin diterbitkan melalui akhbar atau medium lain yang akan ditentukan IIM kelak. "Kesemua 10 esei terbaik akan menerima sijil berbingkai dan buku terbitan IIM berserta hadiah wang tunai. "Pemenang utama akan menerima RM2,500, kedua RM1,500, ketiga RM1,000 dan RM500 untuk setiap tujuh pemenang saguhati. Tempat pertama hingga ketiga juga akan menerima sebuah piala," ujarnya.

Tegas Mohd. Ismail, agenda integriti negara yang dikoordinasikan oleh IIM merupakan agenda penting dalam usaha kerajaan untuk mencapai matlamatnya seperti yang digariskan dalam Wawasan 2020. "Pelbagai usaha telah dilakukan sama ada secara sendiri mahupun secara kerjasama pintar dengan pelbagai agensi dan institusi awam mahupun swasta untuk menjayakan agenda ini. "Dalam menyebar luas mesej integriti kepada seluruh masyarakat Malaysia, pelbagai pendekatan telah digunakan dan pertandingan ini merupakan salah satu usaha IIM untuk mendidik masyarakat tentang integriti dan fokus kepada agenda integriti politik negara," ujarnya. Beliau berpendapat, penulisan berkualiti dalam pertandingan ini hasil kajian dan penyelidikan penulis tentang integriti politik, secara tidak langsung dapat mendidik masyarakat untuk mengangkat pemimpin-pemimpin yang berintegriti tinggi sebagai pemimpin negara kelak. Menurutnya lagi, pertandingan ini diharap akan dapat membuahkan hasil seperti yang dirancang dan akan meningkatkan lagi penulisan-penulisan berkaitan integriti politik dalam negara. "Ini secara langsung akan mendidik masyarakat tentang peranan dan tanggungjawab yang mereka perlu mainkan dalam memantapkan integriti politik negara. "Semoga program ini dapat memberi kesedaran, pemahaman dan seterusnya pengalaman integriti di kalangan masyarakat Malaysia," tegasnya.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
12 OKTOBER 2011