12 Oktober 2011

ISU FILEM : PENONTON MESTI FAHAM KATEGORI DAN RATING FILEM BARAT

Oleh Razak Ghows
bhnews@bharian.com.my


Baru-baru ini ada pembaca menghantar e-mel dan menyatakan rasa terkejut apabila mendapati filem 'Bridesmaid' yang ditontonnya mengandungi terlalu banyak adegan tidak senonoh dan dialog lucah sehingga menyebabkan penonton rasa malu. Nasibnya agak baik kerana tidak ada anggota keluarga lain bersamanya ketika itu, kalau tidak sudah tentu malu rasanya membawa keluarga menonton filem terbabit. Penonton perlu melakukan tapisan sendiri filem mana yang sesuai ditonton kerana kategori filem mencerminkan kandungannya yang sebenar. - Raja Azahar Raja Abdul Manap, Pengerusi LPFM Lalu timbul persoalan, apakah kita kini lebih liberal dalam penapisan filem dari Barat? Sejak bila Lembaga Penapis Filem Malaysia (LPFM) bersikap lebih liberal? Kalau benarlah andaian berkenaan, maknanya mulai sekarang kita kena lebih berhati-hati apabila membawa keluarga bersama menonton filem. Kalau ada filem yang dikategorikan untuk penonton 18 tahun ke atas, eloklah kita fikir dua kali sebelum pergi menonton. 


Pengerusi LPFM, Datuk Raja Azahar Raja Abdul Manap menjelaskan sememangnya sejak Mac tahun lalu, ada kelonggaran pada garis panduan lembaga bagi membolehkan penerbit filem menggunakan kreativiti. “Bagaimanapun, adegan seks tidak dibenarkan,” katanya. Ada tiga kategori rating iaitu U untuk umum, PG13 untuk tontonan semua termasuk kanak-kanak dengan bimbingan ibu bapa dan 18 untuk dewasa. Dari segi dasar, katanya, ia tidak berubah dan pihak lembaga melihat aspek keselamatan dan ketenteraman awam, agama, tata susila dan budaya ketika menapis filem, tidak kira dari luar atau dalam negara. Justeru, beliau mengingatkan penonton supaya jangan membawa anak atau keluarga untuk menonton filem dalam kategori 18 tahun kerana ia boleh menimbulkan ketidakselesaan berikutan ada adegan atau dialog tidak senonoh dalam filem terbabit. “Penonton perlu melakukan tapisan sendiri filem mana yang sesuai ditonton kerana kategori filem itu mencerminkan kandungannya yang sebenar,” kata Raja Azahar. Beliau menegaskan, filem dalam kategori 18 bukan pornografi tetapi mengakui ada kelonggaran dalam penapisannya. 


Adegan ciuman dibenarkan jika ia tidak ke arah porno tetapi kalau nampak berahi ia dipotong. “Kita cari jalan tengah dalam membuat penapisan. Sejak tiga tahun lalu memang ada kelonggaran. Tetapi ada perbezaan antara pawagam dan televisyen, yang mana peraturan untuk televisyen lebih ketat,” katanya. Beliau berkata, sebarang adegan di katil dan yang menunjukkan tubuh wanita dengan jelas tetap dipotong tidak kira di pawagam mahupun televisyen. Beliau mengakui filem ‘Bridesmaid’ yang ditayangkan di pawagam baru-baru ini sememangnya mengandungi dialog berunsur lucah dan tidak senonoh. Di Amerika Syarikat ia dikategorikan sebagai ‘R’ atau ‘Restricted’ oleh Motion Picture Association of America (MPAA) kerana mengandungi lakonan hubungan seks di antara pelakon wanita dan lelaki. Di Malaysia, laporan yang diterima daripada ahli lembaga ialah ada adegan bercumbu keterlaluan dan hubungan seks yang jelas dalam filem ‘Bridesmaid’ justeru, perlakuan jijik dan tidak senonoh itu dipotong. 


Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya tidak boleh memotong semua adegan kerana kalau dipotong, perjalanan filem itu akan terjejas. “Kita hendak pembaca memberi pandangan agar LPF boleh mengkaji pendirian kami. Kami sudah berjumpa dengan penggiat seni terdiri daripada pengarah dan penerbit filem. “Selepas ini kami akan menemui pengedar dan pengimport filem luar dalam siri perbincangan meja bulat,” kata Naib Pengerusi LPFM, Datuk Md Nor Hashim. Katanya, jumlah filem yang tidak lepas untuk tontonan terutama untuk televisyen memang banyak. Filem yang dibawa masuk dari negara lain ditonton terlebih dulu oleh tiga ahli lembaga, yang diberi kuasa menggunakan budi bicara mereka. Katanya, jika ahli lembaga berpendapat ada unsur yang memerlukan perhatian Pengerusi, ia akan dibawa ke perhatiannya untuk mendapatkan keputusan. Filem yang mengandungi banyak adegan ganas atau unsur seks diberikan rating TUT atau Tolak Untuk Tonton.  “Selain filem berunsur seks, banyak juga filem dari India diharamkan kerana mempunyai adegan ganas keterlaluan,” katanya. Begitu juga, kata Md Nor, filem yang berunsur lesbian atau homoseksual tidak dibenarkan langsung tetapi diluluskan sekiranya pihak lembaga mendapati ia mengandungi unsur pengajaran.

Berhubung cerita hantu dan tahyul berikutan teguran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini, beliau berkata sekiranya ada pandangan bahawa kandungannya berunsur kurafat, pihak lembaga akan akur dengan pendapat yang diberikan. Katanya, sebenarnya Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) adalah agensi yang bertanggungjawab untuk filem tempatan.  Namun, LPFM memaklumkan penerbit supaya berunding dengan mereka atau Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) terlebih dulu sebelum membuat filem hantu kerana bimbang ia bercanggah dengan akidah. Md Nor berkata LPF sedang membuat kajian untuk menetapkan dasar mengenai cerita hantu. “Jika ada halangan, apa pula bentuk yang membolehkan penerbitnya mengeluarkan filem berkenaan,” katanya.

SUMBER
BERITA HARIAN
12 OKTOBER 2011


ISU EKONOMI : MEMBENTUK TERAS RANTAIAN EKONOMI BERPENDAPATAN TINGGI

Oleh ROHAMI SHAFIE
Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan,
Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia


HOTEL BURJ AL ARAB DI DUBAI

Dua hari sebelum pembentangan Bajet 2012 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, seluruh dunia dikejutkan dengan kematian ikon inovasi terkenal Steve Jobs. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa beliau mungkin paling layak diberikan gelaran Bapa Inovasi Teknologi Moden yang telah menjadikan teknologi sebagai satu fenomena bagi penduduk dunia. Kematian beliau "diratapi" oleh peminat-peminat teknologi terkini. Beliau pencetus dan peledak produk-produk hebat seperti iPhone, iPad, dan Mac. Menerusi produk-produk terkini, beliau telah menjadi usahawan dalam kelasnya yang tersendiri. Mampukah negara kita melahirkan seseorang yang begitu hebat seperti beliau? Senario semasa dan masa hadapan memerlukan warga Malaysia yang kreatif dan berinovasi. Melalui kreativiti dan inovasi, produk-produk terbaru yang memudahkan manusia bakal dicipta. Dengan kreativiti dan inovasi jugalah sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besar perkara akan mendatangkan manfaat kepada manusia. 


Justeru itu, apabila inovasi dan kreativiti dimasukkan sebagai antara komponen utama Bajet 2012, ia perlu direbut oleh semua pihak terutamanya generasi muda. Tertarik dengan fokus kedua, Bajet 2012 ini yang menekankan aspek kreativiti dan inovasi, mungkin ada yang berpendapat ia khas untuk golongan yang menguasai teknologi terkini. Pendapat ini tidak benar dan perlu diperbetulkan. Umpamanya, seseorang yang mempunyai idea untuk mengurangkan kos elektrik yang amat tinggi yang terpaksa ditanggung oleh syarikat beliau bekerja juga merupakan seorang yang berinovasi meskipun idea beliau tidak melibatkan teknologi terkini. Yang penting idea bernas beliau dapat dilaksanakan dengan baik. Sesuatu idea yang kreatif dan inovasi hanya tinggal idea semata-mata jika tidak dilaksanakan. Untuk berjaya, seseorang itu bukan sahaja wajib mempunyai idea yang mencurah-curah tetapi juga berani untuk membawa idea-idea tersebut di hadapan orang ramai. Idea-idea yang segar, kreatif dan inovasi apabila diketengahkan mampu menjadi fenomena di seluruh dunia. Ini yang berlaku pada idea "Facebook" yang diketengahkan pada tahun 2004.


Dalam tempoh tidak sampai beberapa tahun sahaja ia telah menjadi satu fenomena di seluruh dunia. Pemiliknya kini mempunyai kekayaan berbilion ringgit Malaysia. Inilah antara contoh bagaimana kreativiti dan inovasi membentuk teras utama rantaian nilai ekonomi berpendapatan tinggi. Apabila kedua-dua ini dapat diterapkan dalam budaya rakyat Malaysia, tidak mustahil lebih banyak lagi produk komersial yang mempunyai nilai tambah yang tinggi bakal dihasilkan. Selalunya, inovasi bermula dalam bentuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) tetapi cukupkah hanya sekadar kita bersandarkan pada R&D di universiti-universiti tempatan tanpa adanya sokongan oleh semua pihak terutamanya pihak korporat yang merupakan jurujual dan pemasar bagi produk-produk R&D? Maka, apabila lebih daripada 300 harta intelek dalam bentuk produk dan teknologi baru daripada universiti ditawarkan kepada sektor korporat, ia seharusnya dipasarkan sebaik mungkin kerana nilai Pendapatan Kasar Nasional (GNI) cukup lumayan iaitu dianggarkan sebanyak RM30 bilion sehingga tahun 2020. 


Dengan kata mudah, sokongan kerajaan semata-mata tidak mampu mengubah mentaliti dan membentuk budaya inovasi di kalangan rakyat Malaysia. Peranan sektor korporat juga amat penting sebagai pemangkin budaya inovasi di kalangan rakyat Malaysia. Bagaimanapun, kerajaan juga berperanan sebagai perintis budaya inovasi di kalangan rakyat Malaysia. Oleh itu, sebagai permulaan, tahun 2012 diumumkan sebagai Gerakan Inovasi Nasional, dan ini merupakan satu langkah awal yang mampu merealisasikan inovasi sebagai budaya dalam kehidupan rakyat Malaysia.Dengan berbekalkan peruntukan RM100 juta, pelbagai program inovasi akan dilaksanakan di peringkat sekolah, universiti dan kawasan luar bandar. Hasil penciptaan rakyat boleh diperagakan melalui program Jejak Inovasi. Tidak ketinggalan, produk-produk inovasi terbaik yang direka cipta oleh pelajar dan belia bakal mendapat pengiktirafan melalui Anugerah Cipta 1Malaysia (CIPTA). Tidak terkecuali, syarikat modal teroka, MyCreative Venture Capital dengan modal permulaan RM200 juta ditubuhkan bagi menggalakkan generasi muda terlibat dalam bidang industri kreatif. 


Semuanya ini bagi mencerna kreativiti dan mencetus inovasi di kalangan generasi muda. Tidak cukup dengan itu, World Innovation Forum dan Asia Business Angel Forum akan dianjurkan pada tahun 2012 bagi memberi ruang yang lebih luas di kalangan pemain produk inovasi dengan cara bersemuka sesama sendiri, seterusnya mencari jalan bagaimana untuk memartabatkan sesuatu produk inovasi dari peringkat awal sehinggalah peringkat pemasaran. Menyentuh tentang pemasaran, sering kali kita dengar produk-produk R&D tidak mempunyai daya maju komersial dan akhirnya disimpan begitu sahaja. Dengan adanya Market Validation Fund dan dana permulaan sebanyak RM30 juta, produk-produk inovasi dan R&D akan melalui fasa market validation bagi menentukan daya maju komersial. Diharapkan nanti, dengan tertubuhnya Market Validation Fund, lebih banyak lagi produk inovasi ditentukan daya maju komersial agar dapat membentuk satu rantaian nilai ekonomi berpendapatan tinggi untuk manfaat rakyat dan negara.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
12 OKTOBER 2011





ISU POLITIK : INTEGRITI POLITIK DI MATA PELAJAR INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI

Oleh NURUL ANUAR KARI


SIGIRIYA DI SRI LANKA

Sektor  politik dikenal pasti sebagai salah satu sektor berperanan penting dalam usaha pembudayaan integriti di kalangan anggota masyarakat di negara ini. Ini kerana setiap pertuturan dan tindakan ahli-ahli politik sering menjadi perhatian seterusnya meninggalkan pengaruh besar terhadap masyarakat dan negara. Untuk itu, sesuai dengan slogan 'Membudayakan Integriti Masyarakat Malaysia', Institut Integriti Malaysia (IIM) akan menganjurkan Pertandingan Menulis Esei Integriti Politik Peringkat Institusi Pengajian Tinggi. IIM yang ditubuhkan kerajaan sebagai agensi penyelaras dan pemantau pelaksanaan Pelan Integriti Nasional (PIN), akan membuka penyertaan pertandingan ini kepada para pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta serta institut perguruan. Pengarah Sektor Politik IIM, Mohd. Ismail Abd. Jalil berharap pertandingan menulis esei ini akan mempromosikan budaya berintegriti dan pengamalan nilai-nilai murni dalam sistem politik negara. "Ia juga secara tidak langsung akan menggalakkan kajian, penyelidikan dan perbincangan dalam kalangan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) mahasiswa dan mahasiswi khususnya dan masyarakat amnya tentang kepentingan integriti dalam kehidupan. "Di samping itu juga, pertandingan ini akan memberi peluang kepada para mahasiswa untuk mengasah bakat mereka dalam penulisan kreatif dan deskriptif," katanya. Beliau menjelaskan, penyertaan dibuka kepada semua pelajar terutamanya warga pemimpin MPP bagi mencari 10 esei terbaik bersesuaian dengan tema integriti politik.

"Kita menjangkakan antara 600 hingga 800 penyertaan sepanjang tarikh pertandingan mulai 15 Oktober ini dan berakhir 1 Disember 2011. "Panel lima orang hakim akan menilai 10 esei terbaik untuk melihat idea pelajar terutamanya pemimpin pelajar dalam perwakilan MPP tentang integriti politik," katanya. Tambah Mohd. Ismail, setiap penyertaan akan disaring terlebih dahulu oleh pihak urus setia pertandingan dengan memberi fokus kepada pematuhan setiap esei terhadap syarat-syarat pertandingan. "Penghakiman di peringkat akhir pula akan memberi fokus kepada penerangan terhadap isi dan contoh-contoh yang diberikan, bahasa, nahu, gaya dan teknik penulisan serta kesantunan berbahasa. "Lima panel hakim di peringkat akhir akan terdiri daripada warga IIM, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan seorang wakil media massa tempatan," jelasnya. Sebagai tarikan tambahan, beliau memaklumkan tiga hadiah utama telah disediakan dengan tujuh lagi hadiah saguhati untuk 10 esei terbaik, di samping penulisan berkenaan mungkin diterbitkan melalui akhbar atau medium lain yang akan ditentukan IIM kelak. "Kesemua 10 esei terbaik akan menerima sijil berbingkai dan buku terbitan IIM berserta hadiah wang tunai. "Pemenang utama akan menerima RM2,500, kedua RM1,500, ketiga RM1,000 dan RM500 untuk setiap tujuh pemenang saguhati. Tempat pertama hingga ketiga juga akan menerima sebuah piala," ujarnya.

Tegas Mohd. Ismail, agenda integriti negara yang dikoordinasikan oleh IIM merupakan agenda penting dalam usaha kerajaan untuk mencapai matlamatnya seperti yang digariskan dalam Wawasan 2020. "Pelbagai usaha telah dilakukan sama ada secara sendiri mahupun secara kerjasama pintar dengan pelbagai agensi dan institusi awam mahupun swasta untuk menjayakan agenda ini. "Dalam menyebar luas mesej integriti kepada seluruh masyarakat Malaysia, pelbagai pendekatan telah digunakan dan pertandingan ini merupakan salah satu usaha IIM untuk mendidik masyarakat tentang integriti dan fokus kepada agenda integriti politik negara," ujarnya. Beliau berpendapat, penulisan berkualiti dalam pertandingan ini hasil kajian dan penyelidikan penulis tentang integriti politik, secara tidak langsung dapat mendidik masyarakat untuk mengangkat pemimpin-pemimpin yang berintegriti tinggi sebagai pemimpin negara kelak. Menurutnya lagi, pertandingan ini diharap akan dapat membuahkan hasil seperti yang dirancang dan akan meningkatkan lagi penulisan-penulisan berkaitan integriti politik dalam negara. "Ini secara langsung akan mendidik masyarakat tentang peranan dan tanggungjawab yang mereka perlu mainkan dalam memantapkan integriti politik negara. "Semoga program ini dapat memberi kesedaran, pemahaman dan seterusnya pengalaman integriti di kalangan masyarakat Malaysia," tegasnya.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
12 OKTOBER 2011


11 Oktober 2011

ISU UMUM : SETIAP ORANG ADA KLON


Fenomena  pelanduk dua serupa atau individu memiliki wajah yang hampir sama sering menarik perhatian orang ramai. Dalam kebudayaan Barat, mereka yang mempunyai wajah hampir seiras atau disebut ‘klon’ selalunya dikaitkan dengan personaliti hiburan, ahli politik atau kerabat diraja. Bahkan ramai individu berwajah seiras dibayar untuk menjadi tetamu dalam majlis awam, menghadiri temu bual televisyen atau berlakon filem kerana wajah mereka seiras personaliti hiburan atau orang kenamaan. Wajah mereka yang hampir seiras dengan individu terkenal ini boleh dilihat dalam banyak laman Internet termasuk gambar yang disediakan agensi fotografi profesional. Mereka yang seiras wajah pelakon popular ini sering menjadi watak utama dalam filem-filem Barat sehingga kini. Bekas Presiden Iraq, Saddam Hussein pula didakwa mengupah beberapa klonnya sebagai taktik politik semasa pemerintahannya. Menurut program televisyen CBS, 60 Minutes pada Januari 2008, Saddam Hussein menafikan kepada penyiasat tentera Amerika Syarikat (AS) yang dia mengupah kumpulan ‘klon’ tersebut. Semenjak tahun 2011, seorang lelaki mirip wajah jurulatih England, Sven Goran-Eriksson bernama Derek William telah diupah oleh pasukan bola sepak negara itu untuk menggantikan Eriksson dalam jemputan rasmi dan perlawanan persahabatan.

Seperti di Malaysia, sesetengah masyarakat Barat percaya terdapat tujuh individu berwajah serupa di dunia ini. Sebenarnya, kisah wajah klon ini turut melibatkan orang kenamaan di negara ini termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi serta penyanyi popular Mawi dan Datuk Siti Nurhaliza. Beberapa tahun lalu, seorang ahli perniagaan dari Pulau Pinang, Lee Peng Hock, 60, mencuri tumpuan kerana wajahnya mirip Abdullah. Menurut Peng Hock, beliau tiba-tiba menjadi popular sehinggakan ada saja orang memanggilnya Pak Lah ke mana saja beliau pergi. Pada Januari 2007, orang ramai digemparkan dengan kemunculan klon mirip juara Akademi Fantasia 3 (AF3), Mawi iaitu Saifulruddin Mohd. Idaham, 21, dari Cheras, Kuala Lumpur. Saifulruddin yang merupakan seorang tukang masak di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pernah diserbu orang ramai yang menyangka dia ialah penyanyi bergelar Raja SMS itu. Suatu ketika, Siti Nurhaliza juga tidak boleh lari daripada fenomena itu. Dia turut mempunyai kembar iaitu penyanyi seberang, Rossa dan pelakon Yuni Yunos. Baru-baru ini, wajah aktor yang terkenal dengan watak puntianak, Nicolas Cage didapati hampir sama dengan seorang individu berasal dari Bristol, Tennessee, AS, pada tahun 1870-an yang mirip beliau.

Wajah pelakon Paul Newman juga dikatakan mirip wajah seorang individu pada tahun 1860-an termasuk pelakon Matthew McConaughey. Realitinya, jika wajah anda mirip ikon popular mungkin anda boleh menumpang tuah populariti mereka. Namun, jika wajah anda mirip pengganas, penjenayah mahupun perogol bersiri, mungkin bala pula yang datang. Pengarah Institut Perubatan Molekul, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. A. Rahman A. Jamal memberitahu, tidak mustahil setiap individu di dunia ini mempunyai wajah yang hampir serupa. Katanya, walaupun kini bumi dihuni tujuh bilion manusia yang terdiri daripada pelbagai kaum, mereka berasal daripada Nabi Adam dan isterinya Hawa. “Sebenarnya, semua manusia berasal daripada Adam dan Hawa. Jika diteliti susur galur dan keturunan, wajah seiras sememangnya boleh berlaku. “Namun, kita sukar mengenal pasti keturunan terdahulu kerana proses kejadian manusia berlaku jutaan tahun lalu,” katanya kepada Jurnal. Ujarnya lagi, wajah klon kebanyakannya berlaku pada manusia yang mempunyai susur galur keturunan dan bangsa yang sama. Beliau memberikan contoh wajah Nicolas Cage yang sama seperti gambar foto seorang lelaki dari tahun 1860-an. “Mereka mungkin berasal daripada bangsa dan keturunan yang sama. Kebiasaannya wajah orang Inggeris hampir sama dengan individu berketurunan Inggeris juga. “Mustahil individu berbangsa Melayu wajahnya seperti orang Inggeris kecuali ada sejarah perkahwinan campur atau migrasi,” katanya. Ujarnya lagi, terdapat sifat dalam baka atau gen yang tidak diwarisi oleh anak seseorang tetapi mungkin akan diturunkan pada cucu-cicit kelak.

Contohnya, kata beliau, seorang anak mungkin mempunyai lesung pipit tetapi bapa, nenek serta moyangnya tidak memiliki ciri fizikal sedemikian. Namun, ciri tersebut dimiliki sama ada daripada keluarga pihak suami mahupun isteri yang mempunyai ciri berkenaan. “Terdapat juga orang Melayu yang bermata biru sedangkan semua ahli keluarganya tiada. Mungkin dahulu keluarganya mempunyai mata berwarna biru. Tetapi ia jarang berlaku,” katanya. Rahman turut menjelaskan, faktor perpisahan keluarga juga boleh menjelaskan isu ini seperti pasangan kembar seiras dipisahkan tetapi setelah berpuluh tahun, mereka berjumpa kembali. Beliau turut memberikan pandangan mengenai pendapat yang mengatakan terdapat tujuh individu berwajah serupa di dunia. “Pendapat ini mungkin benar kerana manusia berasal daripada Adam dan Hawa selain daripada susur galur keturunan. “Tetapi setakat ini tiada kajian spesifik yang dilakukan oleh saintis berhubung perkara ini kerana tiada keperluan setakat ini,” katanya yang juga merupakan pengkaji di Institut Genom Malaysia (IGM). Jelasnya, faktor kemajuan dalam sains dan teknologi turut dapat memberi kesimpulan pada perkara ini yang mana individu yang mempunyai wajah hampir sama boleh melakukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) selain ukuran saiz mata, telinga, hidung dan mulut. Ujarnya, setiap pemeriksaan tersebut dapat membuktikan perbezaan ukuran wajah. “Teknologi kini juga boleh melakukan perkara itu seperti pertindihan imej wajah seseorang membuatkan ia hampir serupa. “Selain rekaan imej, solekan dan dunia fotografi terbukti boleh merealisasi perkara itu namun saya berpendapat walaupun kembar seiras sendiri terdapat perbezaannya,” katanya.

SUMBER
HARIAN KOSMO
10 OKTOBER 2011



SIAPAKAH KLON ANDA?
DIMANAKAH DIA?
ADAKAH DIA SEPERTI ANDA?
ADAKAH ANDA SEPERTI DIA?
CARILAH DIA ...

ISU ANTARABANGSA : NEGARA TAIWAN MERAIKAN ANGKA 10 OKTOBER, TANDA 100 TAHUN MERDEKA

Oleh Fauziah Arof


SUASANA PASAR MALAM 
DI TAIWAN

Tanggal 10 haribulan 10 (Oktober) atau disebut ‘Double Ten Day’ oleh rakyat Taiwan adalah hari yang amat bermakna dan bersejarah bagi negara berkenaan. Semalam lebih 23 juta rakyat negara yang juga disebut sebagai Republic of China (ROC) itu merayakan hari kebangsaan mereka. Setiap tahun, pemerintah Taiwan mengadakan sambutan hari kemerdekaan mereka secara besar-besaran. Dan tahun ini sambutannya adalah yang terbesar kerana negara itu kini sudah menginjak ke usia 100 tahun merdeka. Dua hari sebelum hari kemerdekaan, beberapa pembesar dari negara luar yang mempunyai hubungan diplomatik dengan negara itu tiba di bandar raya Taipei untuk menghadiri sambutan hari berkenaan. Terdapat 23 buah negara, kebanyakannya negara membangun di Afrika dan Amerika Selatan mempunyai hubungan diplomatik dengan Taiwan. Justeru, antara yang terawal tiba ialah Presiden Burkina Faso, Blaise Compaore, Presiden Guatemala, Alvaro Colom Caballeros, Presiden Nauru, Marcus Stephen dan Presiden Republik Palau, Marcus Stephen. Televisyen tempatan Taiwan turut memainkan pelbagai rancangan mengenai kemerdekaan negara itu, siang malam sebagai menyemarakkan lagi sambutan 10 haribulan berkembar itu.

Dengan semangat patriotik yang kuat, dianggarkan 20,000 ekspatriat Taiwan yang berada di luar negara turut pulang yang mana kepulangan mereka dan kedatangan ramai pelancong asing untuk menyaksikan sambutan berkenaan secara tidak langsung dijangka memberi suntikan kira-kira NT$900 juta (AS29 juta) kepada ekonomi negara itu. Cuaca agak baik semalam dengan suhu sekitar 24 hingga 27 darjah celsius melancarkan lagi sambutan perarakan hari kebangsaan itu. Taipei sejak kebelakangan ini sentiasa mendung dan mengalami hujan terutamanya pada awal pagi dan petang, sehingga pihak pemerintah bercadang membatalkan acara perarakan tersebut, sekiranya hujan lebat. Walaupun beberapa jalan utama terpaksa ditutup untuk perarakan itu, dan kawalan pihak berkuasa yang ketat, rakyat Taiwan tetap berpusu-pusu ingin meraikan ulangtahun kemerdekaan negara itu untuk menyaksikan perarakan. Sebelum itu, Presiden Taiwan, Ma Ying-jeou, isteri dan Timbalan Presidennya bersalaman dengan setiap 500 jemputan khas dan media asing di pejabatnya yang dijemput mewakili beberapa negara di seluruh dunia. Ying-jeou dalam ucapan di hadapan kira-kira 80,000 rakyat yang menyaksikan perarakan yang penuh warna-warni itu di tengah-tengah bandar raya Taipei berkata, walaupun negara itu kecil dan mempunyai sumber semula jadi yang terhad, Taiwan telah menunjukkan keupayaannya apabila menerajui beberapa bidang terutamanya dalam produk-produk berteknologi tinggi seperti komputer dan telefon pintar.

Bagaimanapun, tegas beliau, tekanan daripada persaingan global pada dekad akan datang merupakan tempoh yang kritikal bagi negara itu dan menyarankan rakyatnya agar terus mengekalkan kecemerlangan dan pada masa sama membangunkan pelbagai inovasi. Presiden itu turut menyentuh mengenai usaha-usaha meningkatkan lagi kekuatan sistem pertahanan negara tersebut. Katanya, dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, Taiwan telah melangkah ke hadapan dengan peningkatan skil ketenteraan dan juga mengeluarkan senjata sendiri. ‘‘Kita juga telah membuat beberapa siri pembelian senjata pertahanan yang lebih canggih. Pada masa depan Taiwan akan meneruskan usaha untuk meningkatkan kemampuan kita dalam memenuhi keperluan pertahanan negara,” katanya. Acara sambutan kemerdekaan ini diadakan di tiga kawasan iaitu di Taipei, di Taichung di Wilayah Taiwan Tengah dan Kaohsiung di bahagian Selatan Taiwan. Hari kemerdekaan Taiwan yang disambut setiap 10 Oktober adalah untuk memperingati kebangkitan Wuchang yang diketuai pengikut-pengikut Dr. Sun Yat-sen untuk menggulingkan Dinasti Ching yang korup dan boros pada Oktober 1911. Kebangkitan ini adalah permulaan kepada revolusi 1911 yang membawa kepada kewujudan ROC pada 1 Januari 1912. Pada 1895, Taiwan, termasuk Pulau Penghu, menjadi tanah jajahan Jepun iaitu sebuah konsesi Empayar Qing selepas kekalahan dalam Perang Sino-Jepun Pertama (First Sino-Japanese War). Berikutan kekalahan Jepun dalam Perang Dunia II pada 1945, Tentera Bersekutu memerintah tentera Jepun menyerahkan Taiwan kepada ROC dan ROC menjadi pemerintah mutlak Taiwan sejak itu.

Pada 1949, sewaktu dikalahkan oleh Parti Komunis China dalam Perang Saudara China, pemerintah Kuomintang (KMT) di Republik China berundur dari tanah besar China dan memindahkan kerajaannya ke Taipei iaitu bandar raya Taiwan yang terbesar. Walaupun demikian, ia masih menuntut kedaulatan seluruhi China dan Mongolia. Di tanah besar, pihak Komunis mengasaskan Republik Rakyat China (People‘s Republic of China) (PRC) dan mengganggapkan diri sebagai wakil tunggal bagi China, termasuk Taiwan, serta mewajahkan kerajaan ROC di Taiwan sebagai sebuah entiti yang tidak sah. Dalam pada itu Taiwan telah pun berubah menjadi sebuah ekonomi perindustrian utama yang telah diisytiharkan sebagai salah satu daripada Harimau-harimau Asia Timur. Sementara itu, reformasi politik yang bermula pada akhir 1970-an dan menerusi sehingga awal 1990-an melonggarkan politik ROC daripada sebuah negeri satu parti yang autoritarian kepada sebuah demokrasi pelbagai parti. Pada tahun 2000, kuasa monopoli KMT terputus apabila Parti Demokratik Progresif (DPP) memenangi jawatan Presiden ROC. Kebanyakan penduduk Taiwan yang dilahirkan selepas akhir 1950-an boleh bertutur dalam bahasa Mandarin yang menjadi bahasa perantaraan di sekolah selama lebih daripada empat dekad. Sebahagian besar daripada penduduknya juga boleh bertutur dalam bahasa Taiwan, sejenis kelainan Min-nan. Orang Hakka mempunyai loghat yang berbeza. Antara tahun 1900 dan 1945, bahasa Jepun adalah bahasa perantaraan di sekolah, dan ramai orang Taiwan yang dididik pada masa itu boleh bertutur dengan fasih dalam bahasa Jepun.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
11 OKTOBER 2011


10 Oktober 2011

ISU SOSIAL : SERAMAI 6000 ORANG PELAJAR KETAGIH FACEBOOK


MASJID DJENNE DI MALI

Kira-kira 60,000 pelajar berusia antara 12 hingga 18 tahun di negara ini dikesan menghabiskan sekurang-kurangnya empat jam sehari melayari internet terutama laman sosial Facebook (FB). Ketagihan terhadap internet terutama FB itu menyebabkan pelajar terbabit kerap menipu, mencuri, antisosial dan berubah menjadi seorang yang pemarah sekiranya keinginan mereka tidak dapat dipenuhi. Sekiranya ketagihan laman sosial itu tidak diatasi, ia akan menyebabkan pelbagai impak negatif termasuk gejala ponteng sekolah dan perbuatan jenayah serta antisosial. Mohd Fadzil Che Din, Pengarah Institut Sosial Malaysia Selain itu, golongan itu dikatakan mudah menghidapi penyakit seperti pening, masalah penglihatan dan sakit perut berikutan tindakan mereka mengurangkan masa tidur dan rehat yang mencukupi. Pengarah Institut Sosial Malaysia (ISM), Prof Madya Dr Mohd Fadzil Che Din, berkata ketagihan remaja melayari laman web itu semakin serius sehingga sanggup bertindak ganas sekiranya dihalang menggunakan kemudahan online. Remaja yang ketagih internet itu sanggup ponteng sekolah sekiranya di rumah mereka tiada komputer. Jika duit poket tidak cukup, mereka sanggup mencuri, asalkan dapat mengunjungi siber kafe. Mohd Fadzil berkata, melayari internet kini menjadi sebahagian kehidupan harian mereka dan sering berasakan seolah-olah hidup sunyi jika tidak berinteraksi dengan rakan FB.

Mereka berasa lebih selesa dan selamat untuk berkomunikasi melalui internet sekali gus membantutkan perkembangan interaksi terus sesama manusia. Beliau turut tidak menafikan golongan ketagih laman web itu seperti ketagihan dadah yang sukar untuk diubati kerana ia satu cara membantunya bersosial. Katanya, terdapat juga kes sesetengah golongan muda yang lebih rela berhenti kerja daripada mengurangkan masa mereka dengan melayari laman sosial itu sekiranya diberi pilihan. Sekiranya ketagihan laman sosial itu tidak diatasi, ia akan menyebabkan pelbagai impak negatif termasuk gejala ponteng sekolah dan perbuatan jenayah serta antisosial. Pakar Perunding Kanan Psikiatri dan Psikoterapi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Azhar Zain, berkata ketagihan melayari laman sosial boleh menyebabkan keletihan fizikal dan mental yang melampau. Beliau berkata, ia turut mengganggu jam biologi pelajar sehingga menyebabkan hormon terganggu, sistem ketahanan badan kurang selain memberi kesan kepada mental. Apabila masa yang sepatutnya untuk rehat digunakan melayari internet, ia menyebabkan pelajar itu letih fizikal dan mental sekali gus tumpuan belajar berkurangan. Pensyarah Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Mariani Md Nor, berkata tumpuan terlalu lama terhadap internet akan menyebabkan pelajar lebih suka menyendiri. Beliau berkata, mereka juga bersifat individualistik selain mudah terdorong untuk melayari laman lucah kerana bahan itu mudah didapati dan boleh dimuat turun dengan hanya menggunakan telefon bimbit.

SUMBER
BERITA HARIAN
10 OKTOBER 2011


ISU BAHASA : BAHASA IBUNDA WADAH TERBAIK PENDIDIKAN

Oleh Muhamad Razak Idris


THE KENNEDY SPACE CENTRE, 
AMERIKA SYARIKAT

Ada satu berita gembira dan penting dibawa Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketika berkunjung dan bertemu dengan warga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 23 September lalu, terutama untuk seluruh pencinta dan pejuang bahasa kebangsaan. Muhyiddin membuat penegasan yang jelas mengenai sikap dan pendirian peribadi dan kementerian pimpinannya terhadap agenda memperkasa kedudukan bahasa Melayu sebagai landasan pembangunan bangsa. Organisasi antarabangsa seperti UNESCO sendiri yang terbabit dalam penyeliaan aspek kebahasaan dan kebudayaan dunia memperakui, iaitu bahasa ibunda adalah bahasa terbaik untuk murid mengikuti pembelajaran, terutama pada peringkat awal persekolahan Saya berpendapat sikap dan pendirian ini harus dipertegaskan semula oleh beliau bagi menjawab beberapa kritikan dan desakan sesetengah pihak yang tidak berpuas hati dengan langkah pihak kerajaan memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang dilaksanakan pada 2002.  Menurut Muhyiddin, keputusan memansuhkan dasar itu dilakukan atas dua tujuan, iaitu pertama bagi memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan kedua bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dapat dijalankan dengan lebih berkesan.

Sebenarnya, dua asas tujuan ini adalah sejajar dengan hujah yang digunakan pejuang bahasa kebangsaan ketika mereka bangun mendesak pemansuhan dasar PPSMI bila ia mula diperkenalkan. Pejuang bahasa mengkritik dasar ini kerana sudah membayangkan kesan dan akibatnya ini terlalu besar terhadap proses pembinaan negara bangsa. Pengenalan dasar PPSMI dilihat dari sudut psikologi sudah merendahkan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Ia juga jelas menunjukkan sikap ketidakyakinan bangsa sendiri terhadap keupayaan bahasanya, sedang keupayaan dan kemampuan bahasa Melayu dalam mengungkapkan konsep dan pemikiran tinggi terbukti sekiranya kita merujuk teks klasik. Sejarah pertumbuhan bahasa Melayu juga bersikap dinamik dan terbuka untuk menerima apa juga sumber bahasa lain sekiranya diperlukan bagi menjelaskan konsep tertentu yang belum wujud dalam ruang kebahasaannya seperti bahasa Melayu menerima istilah daripada bahasa Arab dan Inggeris pada hari ini. Oleh itu, hujah yang mengatakan bahawa bahasa Melayu tidak memiliki keupayaan untuk mempercepatkan proses penguasaan ilmu dalam bidang Sains dan Matematik ialah sesuatu yang tidak boleh diterima. Dengan sikap dinamik dan keterbukaannya, bahasa Melayu memiliki kesediaan budaya yang mencukupi untuk menerima cabaran kebahasaan bagi mendepani tuntutan ilmu baru yang pelbagai.

Adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai umat Melayu untuk membangunkan istilah baru yang sesuai dan wajar dari apa juga sumber bahasa yang dikenal pasti bagi memastikan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu terus setanding dan meyakinkan.  Sebenarnya, landasan pemikiran ini bukanlah suatu yang asing dalam konteks perjuangan bahasa Melayu. Ia sudah disepakati sekian lama dan usaha memartabat dan mengkayakan istilah baru dalam bahasa Melayu sudah dilakukan dengan bersungguh dan rancak oleh ahli bahasa.  Menurut sumber Dewan Bahasa dan Pustaka, sehingga kini sudah ada sebanyak 114, 698 istilah baru dalam bidang Sains dan Matematik sudah dibina sejak 1960. Dengan sejumlah istilah ini, bahasa Melayu sebenarnya bersedia dan berupaya sebagai bahasa ilmu dalam bidang Sains dan Matematik.  Berkaitan dengan perkara ini juga, kita semua harus sedar, iaitu pengenalan dasar PPSMI sebenarnya menjadikan pelajar pencapaian pelajar dalam menguasai bidang Sains dan Matematik bertambah mundur.  Kajian saintifik membuktikan perkara ini dan bukti ini sekali lagi menolak hujah sesetengah pihak yang mengatakan penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran dua subjek itu akan membuatkan seseorang pelajar bertambah cepat penguasaan ilmunya. Hal ini dapat dilihat di dalam kajian Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS). Ia mendedahkan, iaitu skor purata pencapaian pelajar Malaysia menurun secara signifikan dalam bidang Sains dan Matematik pada 2003 berbanding 2007.

Skor subjek Matematik menurun 34 mata daripada 508 kepada 474, manakala skor subjek Sains menurun 40 mata daripada 510 kepada 471. Penurunan skor ini menunjukkan pelajar tidak berkemampuan memahami ilmu Sains dan Matematik yang diajar menerusi bahasa asing. Hakikatnya, kita tidak perlu menunggu tempoh begitu lama bagi mendapatkan bukti ini. Sudah banyak kajian dilakukan ahli bahasa mengenai bagaimana peranan bahasa ibunda dalam mempercepatkan proses pemahaman sesuatu konsep tinggi seperti ilmu Sains dan Matematik. Malah, organisasi antarabangsa seperti UNESCO sendiri yang terbabit dalam penyeliaan aspek kebahasaan dan kebudayaan dunia memperakui, iaitu bahasa ibunda adalah bahasa terbaik untuk murid mengikuti pembelajaran, terutama pada peringkat awal persekolahan. Namun, kerana ‘kedegilan’ sikap sesetengah pihak, sejumlah pelajar harus menanggung kemunduran ilmu dalam dua bidang ilmu Sains dan Matematik semata-mata bagi memberi masa kepada satu eksperimen bahasa yang sememangnya diketahui bakal menemui kegagalan. Kita amat berharap agar dengan penegasan sikap dan pendirian Muhyiddin ini, polemik penggunaan bahasa Inggeris bagi pengajaran Sains dan Matematik dapat dihentikan dengan segera. Desakan untuk pihak kerajaan mengkaji semula pemansuhan PPSMI tidak wajar diteruskan lagi. Pada kita, tuntutan pihak yang pro bahasa Inggeris bagi pengajaran dua subjek itu boleh dianggap tidak memahami realiti. Perjuangan mereka hanya bagi memenuhi sekelompok masyarakat minoriti.

Penulis ialah bekas Presiden ABIM yang kini pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, UKM

SUMBER
BERITA HARIAN
10 OKTOBER 2011


ISU SOSIAL : MEMAKMURKAN LUAR BANDAR

Oleh ROHAMI SHAFIE
Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan,
Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia.


ISTANA MUSIM SEJUK 
ERMITAGE, RUSSIA

Fokus ketiga Bajet 2012 tertumpu pada program transformasi luar bandar yang mana ia selari dengan Dasar Transformasi Nasional (DTN). Pastinya yang akan menerima manfaatnya ialah masyarakat luar bandar. Ketika negara bergerak menuju ke arah negara maju dalam tempoh tidak sampai 9 tahun akan datang, masyarakat luar bandar tidak boleh sesekali dipinggirkan. Masih ramai penduduk Malaysia dikategorikan sebagai masyarakat luar bandar. Lihatlah di negeri-negeri seperti Kedah, Perlis, Perak, Johor, Kelantan, Terengganu, Pahang, hatta Sarawak dan Sabah terdapat ramai rakyat Malaysia yang boleh dikategorikan sebagai masyarakat luar bandar. Mereka ini perlu dibantu secara berterusan sehingga mereka boleh berdikari. Mungkin ada yang berpendapat ia seolah-olah memberi tongkat kepada mereka. Pandangan sebegini tidak mengambil kira betapa masyarakat luar bandar masih jauh ketinggalan berbanding penduduk bandar. Mereka masih daif dari segi menikmati kemudahan yang terbaik. Meminggirkan mereka akan menyebabkan jurang kemudahan di antara penduduk bandar dan luar bandar akan semakin besar dan seterusnya meningkatkan lagi jurang pendapatan di antara golongan kaya dan golongan miskin tegar. Peluang pekerjaan yang lebih meluas perlu disediakan kepada mereka bagi meningkatkan pendapatan isi rumah masyarakat luar bandar. Umum mengetahui apabila disebut sahaja masyarakat luar bandar, apa yang terlintas di fikiran bagi setiap daripada kita ialah sektor pertanian.

Maka, melalui Bajet 2012, kerajaan akan melaksanakan Dasar Agro Makanan Negara 2011-2020 dan mewujudkan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) yang berfungsi sebagai pusat integrasi perkhidmatan bagi sektor pertanian. Bahkan RTC juga bertindak untuk sektor-sektor yang penting seperti perbankan dan insurans, khidmat nasihat perniagaaan, latihan dan kemahiran dan klinik serta ruang niaga. Di samping itu, Program Lonjakan Mega Luar Bandar seluas 6,500 hektar di 11 kawasan Projek Agropolitan seluruh negara yang merangkumi tanaman komoditi, penanaman kontan dan ternakan ikan sangkar dengan melibatkan peruntukan sebanyak RM110 juta akan dilaksanakan. Program tanaman getah serta kelapa sawit juga bakal dilaksanakan untuk 20,000 pekebun kecil. Sebanyak RM5 bilion akan disediakan untuk memperkukuhkan pembangunan infrastruktur asas luar bandar merangkumi Program Jalan Luar Bandar dan Projek Perhubungan Desa untuk 1.76 juta penduduk bandar (RM1.8 bilion), RM2.1 bilion bagi memperluaskan liputan bekalan air bersih yang melibatkan 200,000 rumah serta RM1.1 bilion untuk menyalurkan tenaga elektrik khususnya di Sabah dan Sarawak. Penyediaan bekalan air bersih di Sarawak juga melibatkan projek retikulasi dan kaedah tadahan hujan yang memberi faedah hampir 100 penduduk. Projek bekalan air bersih juga diperluaskan untuk kawasan-kawasan Felda di Pahang, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang melibatkan peruntukan sebanyak RM400 juta.

Pengangkutan awam luar bandar juga menjadi salah satu agenda utama dalam menjayakan transformasi luar bandar. Sebanyak RM28 juta sebagai pinjaman diperuntukkan bagi pengusaha bas berhenti-henti, bas mini dan bas sekolah bagi meningkatkan kualiti pengangkutan awam di luar bandar. Selain itu, Bajet 2012 tetap memberi perhatian pada masyarakat Orang Asli. Mereka bakal menerima habuan sebanyak RM90 juta dalam bentuk kemudahan asas yang lebih baik serta program penjanaan pendapatan. Selain kemudahan asas yang lebih baik, sektor pendidikan dan perumahan juga diberi keutamaan. Sebagai contoh, bagi tahun 2012, pendidikan rendah dan menengah di sekolah-sekolah kerajaan disediakan secara percuma, manakala bantuan persekolahan sebanyak RM100 untuk pelajar Tahun 1 sehingga Tingkatan 5 serta baucar buku sebanyak RM200 untuk pelajar universiti akan meringankan beban ibu bapa yang dikategorikan sebagai masyarakat luar bandar. Langkah ini membantu anak-anak mereka bagi mendapatkan pendidikan terbaik dan memperoleh kerjaya yang bagus seterusnya membantu mereka keluar daripada kepompong kemiskinan. Inilah dikatakan sebagai tongkat yang tidak boleh sesekali dihapuskan untuk membantu masyarakat luar bandar agar berjaya di kemudian hari.

Kemudahan-kemudahan pendidikan yang lebih baik secara percuma perlu juga seiring dengan suasana pembelajaran yang kondusif di rumah bagi membolehkan para pelajar luar bandar menelaah pelajaran dengan lebih baik. Justeru, Bajet 2012 akan meneruskan Program Perumahan Rakyat (PPR) di seluruh negara melibatkan 15,000 unit rumah dan Program Perumahan Mesra Rakyat oleh Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB) yang mana sebanyak RM20,000 ditanggung oleh kerajaan. Sebahagian besar projek-projek perumahan ini bakal dinikmati oleh masyarakat luar bandar yang berpendapatan rendah. Segala perancangan yang disediakan untuk masyarakat luar bandar dalam Bajet 2012 bertujuan untuk membantu memakmurkan mereka seiring dengan perkembangan ekonomi negara. Sungguh pun begitu, usaha-usaha kerajaan tidak akan berjaya jika tiadanya anjakan paradigma di kalangan masyarakat luar bandar bahawa dalam dunia serba moden yang menitikberatkan daya saing dan ilmu pengetahuan, mereka juga tidak boleh sesekali mengharapkan tongkat buat selama-lamanya. Mereka juga perlu berubah dengan pantas seiring dengan peredaran semasa.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
10 OKTOBER 2011