Oleh Muhamad Razak Idris
THE KENNEDY SPACE CENTRE,
AMERIKA SYARIKAT
Ada satu berita gembira dan penting dibawa Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketika berkunjung dan bertemu dengan warga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 23 September lalu, terutama untuk seluruh pencinta dan pejuang bahasa kebangsaan. Muhyiddin membuat penegasan yang jelas mengenai sikap dan pendirian peribadi dan kementerian pimpinannya terhadap agenda memperkasa kedudukan bahasa Melayu sebagai landasan pembangunan bangsa. Organisasi antarabangsa seperti UNESCO sendiri yang terbabit dalam penyeliaan aspek kebahasaan dan kebudayaan dunia memperakui, iaitu bahasa ibunda adalah bahasa terbaik untuk murid mengikuti pembelajaran, terutama pada peringkat awal persekolahan Saya berpendapat sikap dan pendirian ini harus dipertegaskan semula oleh beliau bagi menjawab beberapa kritikan dan desakan sesetengah pihak yang tidak berpuas hati dengan langkah pihak kerajaan memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang dilaksanakan pada 2002. Menurut Muhyiddin, keputusan memansuhkan dasar itu dilakukan atas dua tujuan, iaitu pertama bagi memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan kedua bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dapat dijalankan dengan lebih berkesan.
Sebenarnya, dua asas tujuan ini adalah sejajar dengan hujah yang digunakan pejuang bahasa kebangsaan ketika mereka bangun mendesak pemansuhan dasar PPSMI bila ia mula diperkenalkan. Pejuang bahasa mengkritik dasar ini kerana sudah membayangkan kesan dan akibatnya ini terlalu besar terhadap proses pembinaan negara bangsa. Pengenalan dasar PPSMI dilihat dari sudut psikologi sudah merendahkan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Ia juga jelas menunjukkan sikap ketidakyakinan bangsa sendiri terhadap keupayaan bahasanya, sedang keupayaan dan kemampuan bahasa Melayu dalam mengungkapkan konsep dan pemikiran tinggi terbukti sekiranya kita merujuk teks klasik. Sejarah pertumbuhan bahasa Melayu juga bersikap dinamik dan terbuka untuk menerima apa juga sumber bahasa lain sekiranya diperlukan bagi menjelaskan konsep tertentu yang belum wujud dalam ruang kebahasaannya seperti bahasa Melayu menerima istilah daripada bahasa Arab dan Inggeris pada hari ini. Oleh itu, hujah yang mengatakan bahawa bahasa Melayu tidak memiliki keupayaan untuk mempercepatkan proses penguasaan ilmu dalam bidang Sains dan Matematik ialah sesuatu yang tidak boleh diterima. Dengan sikap dinamik dan keterbukaannya, bahasa Melayu memiliki kesediaan budaya yang mencukupi untuk menerima cabaran kebahasaan bagi mendepani tuntutan ilmu baru yang pelbagai.
Adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai umat Melayu untuk membangunkan istilah baru yang sesuai dan wajar dari apa juga sumber bahasa yang dikenal pasti bagi memastikan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu terus setanding dan meyakinkan. Sebenarnya, landasan pemikiran ini bukanlah suatu yang asing dalam konteks perjuangan bahasa Melayu. Ia sudah disepakati sekian lama dan usaha memartabat dan mengkayakan istilah baru dalam bahasa Melayu sudah dilakukan dengan bersungguh dan rancak oleh ahli bahasa. Menurut sumber Dewan Bahasa dan Pustaka, sehingga kini sudah ada sebanyak 114, 698 istilah baru dalam bidang Sains dan Matematik sudah dibina sejak 1960. Dengan sejumlah istilah ini, bahasa Melayu sebenarnya bersedia dan berupaya sebagai bahasa ilmu dalam bidang Sains dan Matematik. Berkaitan dengan perkara ini juga, kita semua harus sedar, iaitu pengenalan dasar PPSMI sebenarnya menjadikan pelajar pencapaian pelajar dalam menguasai bidang Sains dan Matematik bertambah mundur. Kajian saintifik membuktikan perkara ini dan bukti ini sekali lagi menolak hujah sesetengah pihak yang mengatakan penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran dua subjek itu akan membuatkan seseorang pelajar bertambah cepat penguasaan ilmunya. Hal ini dapat dilihat di dalam kajian Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS). Ia mendedahkan, iaitu skor purata pencapaian pelajar Malaysia menurun secara signifikan dalam bidang Sains dan Matematik pada 2003 berbanding 2007.
Skor subjek Matematik menurun 34 mata daripada 508 kepada 474, manakala skor subjek Sains menurun 40 mata daripada 510 kepada 471. Penurunan skor ini menunjukkan pelajar tidak berkemampuan memahami ilmu Sains dan Matematik yang diajar menerusi bahasa asing. Hakikatnya, kita tidak perlu menunggu tempoh begitu lama bagi mendapatkan bukti ini. Sudah banyak kajian dilakukan ahli bahasa mengenai bagaimana peranan bahasa ibunda dalam mempercepatkan proses pemahaman sesuatu konsep tinggi seperti ilmu Sains dan Matematik. Malah, organisasi antarabangsa seperti UNESCO sendiri yang terbabit dalam penyeliaan aspek kebahasaan dan kebudayaan dunia memperakui, iaitu bahasa ibunda adalah bahasa terbaik untuk murid mengikuti pembelajaran, terutama pada peringkat awal persekolahan. Namun, kerana ‘kedegilan’ sikap sesetengah pihak, sejumlah pelajar harus menanggung kemunduran ilmu dalam dua bidang ilmu Sains dan Matematik semata-mata bagi memberi masa kepada satu eksperimen bahasa yang sememangnya diketahui bakal menemui kegagalan. Kita amat berharap agar dengan penegasan sikap dan pendirian Muhyiddin ini, polemik penggunaan bahasa Inggeris bagi pengajaran Sains dan Matematik dapat dihentikan dengan segera. Desakan untuk pihak kerajaan mengkaji semula pemansuhan PPSMI tidak wajar diteruskan lagi. Pada kita, tuntutan pihak yang pro bahasa Inggeris bagi pengajaran dua subjek itu boleh dianggap tidak memahami realiti. Perjuangan mereka hanya bagi memenuhi sekelompok masyarakat minoriti.
Penulis ialah bekas Presiden ABIM yang kini pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, UKM
SUMBER
BERITA HARIAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan