28 September 2011

ISU ALAM SEKITAR : "PERANG" PENGGUNAAN BEG PLASTIK


Bertembung dengan jiran tetangga yang pulang dari kerja di dalam lif dengan pakaian kemas - berkot dan bertali leher bagi lelaki atau bertumit tinggi dengan fesyen mengikut perkembangan semasa bagi wanita merupakan hal yang biasa bagi saya. Setiap kali bersua, mereka tidak pernah berat mulut menyapa; “Ni hao!" sambil saya turut menjawab “Ni hao!' juga. Bagi masyarakat di China, sapaan “Ni hao!" itu adalah interaksi sosial yang baik untuk menyuburkan hubungan sesama manusia tanpa mengira warna kulit dan asal usul. Sejak menetap di Beijing, saya semakin biasa menggunakan “Ni hao!" sebagai interaksi atau untuk memulakan hubungan manusia yang sihat ke arah integrasi. Pun begitu, yang agak ‘luar biasa’ bagi saya ialah ketika pertama kali melihat jiran lelaki sebelah rumah yang berpakaian kemas mengepit seikat sayur daun bawang di celah ketiak sambil tangan kanan erat menggenggam dua biji keledek. Selang beberapa hari kemudian, saya terserempak dengan seorang lagi tetangga lelaki dalam keadaan yang sama - mengepit seikat sayur sawi di celah ketiak sambil tangan penuh menggenggam beberapa biji bawang besar.

Awalnya, saya menyangkakan mungkin ada saudara-mara atau kenalan mereka yang memberikan sayur-sayuran itu dan kebetulan mereka dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerja. Tetapi selepas beberapa minggu, barulah saya menyedari bukan setakat jiran lelaki tetapi jiran wanita yang berpakaian cantik, remaja dan budak sekolah turut melakukan ‘ritual’ yang serupa - mengepit sayur kubis sambil menggenggam halia, mengepit botol kicap sambil tangan penuh dengan buah tomato atau mengepit kotak tisu, ‘‘Saya terlupa membawa beg hijau (Green Bag) ke pasar raya sewaktu pulang dari kerja tadi,” jelas Xiao Bai, salah seorang jiran ketika ditanya kenapa barang itu tidak disumbat ke dalam beg plastik sahaja. Dalam erti kata lain, sebahagian besar masyarakat China ini sudah semakin peka terhadap keadaan alam sekeliling yang semakin merosot dan bagi mereka perlu ada satu pendekatan serius - tidak menggunakan beg plastik. ‘‘Penggunaan beg plastik bukan masalah utama pencemaran tetapi kaedah pelupusannya memberi impak besar kepada alam sekitar,” akuinya ketika kami berbual. Xiao Bai menjelaskan, kesedaran rakyat China mengenai bahan plastik memerlukan 100 hingga 500 tahun untuk lupus jika ditanam dan jika dibakar memberikan impak lebih besar kepada alam sekitar termasuk manusia semakin menebal.

Kerajaan China melancarkan tindakan ‘keras’ mengharamkan pengeluaran beg plastik ultra nipis dan melarang pasar raya serta kedai memberi beg plastik secara percuma kepada pelanggan sejak 1 Jun 2008. Portal web rasmi Kerajaan Pusat China melaporkan, China menggunakan terlalu banyak beg plastik sebelum ini dan gagal melupuskan bahan itu dengan betul. Fenomena itu menyebabkan pencemaran serius ekoran penggunaan berlebihan dan proses kitar semula yang tidak mencukupi. Dianggarkan, China menggunakan sehingga 3 bilion beg plastik sehari dan sejumlah 5 juta metrik tan minyak mentah diperlukan setiap tahun untuk menghasilkan beg plastik sebanyak itu. Justeru, kerajaan China sedar ia suatu pembaziran kepada tenaga serta sumber dan larangan yang mula dikuatkuasakan sejak lebih tiga tahun itu sebagai usaha berkesan China untuk mengurangkan pembaziran. Langkah ini jelas membawa China selaras dengan trend antarabangsa untuk mengurangkan penggunaan beg plastik seperti Ireland misalnya, yang mula mengenakan cukai ke atas beg plastik pada 2002 dan kini sudah berjaya mengurangkan 90% penggunaan beg plastik di negara mereka.

Ini jugalah sebenarnya yang dihasratkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang giat melaksanakan Kempen Kurangkan Penggunaan Beg Plastik di Malaysia sejak 1 Januari 2010. Bezanya, kempen Hari Tanpa Beg Plastik yang dilancarkan di Malaysia hanya seminggu sekali - pada setiap Sabtu pengguna tidak dibekalkan dengan beg plastik secara percuma . Seperti kata Ismail Sabri, kempen Hari Tanpa Beg Plastik itu dijalankan secara berperingkat di mana peringkat pertama ini adalah lebih kepada memberi kesedaran kepada pengguna tentang kesan penggunaan beg plastik kepada alam sekitar sekiranya dibuang merata-rata. Ada pihak yang berpendapat supaya pengguna tidak perlu diberi pilihan untuk menggunakan beg plastik namun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) cuba menggunakan pendekatan yang tidak terlalu drastik supaya pengguna tidak terkejut dengan perubahan yang dibuat. Sebaliknya kempen yang dibuat oleh KPDNKK itu adalah lebih bersifat kesedaran dan mendidik pengguna. Namun persoalannya berapa lama masa yang perlu diambil untuk ‘menginsafkan’ pengguna?


Tidak seperti di China dengan kepadatan penduduk lebih 1.3 bilion orang, setakat ini, kempen Hari Tanpa Beg Plastik di Malaysia belum disambut ‘sepenuhnya’ oleh rakyat termasuk pihak-pihak lain seperti NGO dan pihak industri. Melihat sikap warga China yang peka tentang hal ini, sudah tiba masanya masyarakat Malaysia berubah kerana untuk mencapai status negara maju menjelang 2020, perubahan ini penting demi kesejahteraan alam sekitar. Meminjam kata-kata Kong Fu Tze, ahli fikir yang juga merupakan ahli falsafah sosial termasyhur di China; ‘‘ Yi Shen Zuo Ze : Teladan yang baik harus bermula dari diri kita sendiri.”

RUHAIDINI ABD KADIR
menulis dari Beijing Language and Culture University.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
28 SEPTEMBER 2011

27 September 2011

ISU PENDIDIKAN : TAK GELAP MASA DEPAN

Oleh Ruhaiza Rusmin dan Mohd Rifaat Abd Hamid

rencana@hmetro.com.my



Ketika ini, mahasiswa baru yang berjaya ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sudah memulakan pengajian dan mula menyesuaikan diri dengan kehidupan sebenar di menara gading. Bagaimana pula nasib pelajar mereka yang gagal memperoleh peluang itu? Lantaran mempunyai cita-cita dan impian serupa tapi gagal meneruskan perjuangan kerana keputusan kurang memberangsangkan atau tidak menepati syarat ditetapkan. Usaha dalam apa jua kejayaan, mestilah bermula dengan kesedaran, justeru tidak bermakna memasuki menara gading, masa depan sudah terjamin kerana persaingan globalisasi kini semakin hebat. Sekali gus terpaksa berputih mata melihat kejayaan rakan lain ke menara gading selain dibelenggu tanggapan masa depan mereka sudah berakhir.  Benarkah masa depan mereka sudah kecundang sebaik kerana gagal ke IPTA atau masih adakah lagi peluang bagi mengubah nasib? Benarkah mereka yang gagal memasuki IPTA dilabelkan golongan kelas kedua? Pengarah Pusat Kaunseling dan Kerjaya, Jabatan Hal Ehwal Pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Salleh Ahmad Fadzillah, berkata tiada istilah gelap masa depan atau kelas kedua kepada golongan terbabit jika semangat pelajar berkenaan masih berkobar-kobar untuk menuntut ilmu.

Menurutnya, hanya yang mudah berputus asa, tidak berfikiran terbuka dan tidak mahu mengubah nasib berhak mendapat label berkenaan biarpun sedar peluang mengubahnya kepada kejayaan tetap ada. “Mengandaikan masa depan sudah punah hanya kerana tidak dapat memasuki IPTA atau bersama rakan lain di menara gading adalah andaian salah. Setiap orang ada peluang untuk berjaya jika mahu asalkan tidak terus berpeluk tubuh. “Malangnya, ramai yang kecundang dengan emosi, dibelenggu perasaan putus asa, kecewa selain terus meratapi kegagalan. Jika mereka bangkit, sudah pasti boleh berjaya sekali gus keluar daripada kekecewaan. “Jika orang yang pernah gagal berjaya melakukannya ia bukan sesuatu yang mustahil selain itu buktikan, golongan ini bukan kelas kedua,” katanya. Daripada 64,703 calon yang memohon hanya 41,267 berjaya memperoleh tempat dan ini bermakna pelajar yang gagal perlu mencari alternatif melanjutkan pelajaran. Meskipun sudah ada 20 IPTA namun jumlah itu masih tidak mampu menampung kemasukan saban tahun biar pun pada masa sama menggunakan sistem meritokrasi menggantikan kuota.

Menerusi sistem meritokrasi, hanya pelajar yang terbaik serta menepati syarat ditawarkan mengikuti pengajian iaitu mengguna pakai 90 peratus markah akademik dan 10 peratus markah kokurikulum untuk menentukan nilai merit seseorang calon. Lantas menimbulkan polemik di kalangan masyarakat mengenai nasib mereka yang masih mencari tempat untuk melanjutkan pengajian selain tidak mampu untuk belajar di institusi swasta. Beliau berkata, mereka yang gagal tidak boleh mencipta alasan atau mempunyai pandangan skeptikal mengenai institusi selain hanya memilih IPTA sebagai sandaran masa depan. “Itu perlu diperbetulkan kerana bukan hanya IPTA pilihan untuk berjaya.  “Banyak lagi institusi lain disediakan bagi menampung pertambahan golongan pelajar selepas tamat peperiksaan utama. “Jangan terlalu taksub atau memilih sebaliknya perlu bijak merancang masa depan. Kejayaan bukan hanya bersandarkan sekeping ijazah atau IPTA  tetapi keinginan sendiri untuk berjaya. “Bagaimanapun, itulah sikap sebahagian besar pelajar hingga akhirnya rugi kerana banyak memberi alasan menyebabkan peluang di depan mata terbuang atau dikaut orang lain,” katanya mengakui kebanyakannya juga dihantui tanggapan institusi pendidikan lain selain IPTA tidak mampu melahirkan golongan
berjaya.

Beliau berkata itulah kesilapan terbesar kerana mensia-siakan masa depan hanya kerana terpengaruh tanggapan salah. Sama ada IPTA, institusi tempatan ataupun pilihan lain, jika mampu membawa perubahan yang baik ia sesuatu yang sangat berguna. “Zaman ini semuanya mempunyai peluang sama rata. membezakannya adalah kerja keras dan kehendak serta tidak bermakna apabila memasuki IPT, seseorang itu berjaya sebagai manusia. “Ada yang kecundang kerana tidak beringat. Pilihan terletak di tangan masing-masing kerana diri sendiri bakal menentukannya, bukan orang lain,” katanya. Antara pilihan untuk melanjutkan pengajian beliau mencadangkan Institut Kemahiran Mara, Institut Latihan Perindustrian, Maktab Perguruan, Kolej Bersekutu dan Komuniti selain memasuki alam pekerjaan. “Bagi memilih alam kerjaya, itu bukanlah penamat kerana boleh belajar sambil bekerja. Sistem pendidikan masa kini sangat mudah dan terbuka, justeru tidak perlu susah hati. “Melanjutkan pelajaran ke institusi swasta juga tidak menjatuhkan standard malah ada di antaranya lebih ke hadapan berbanding IPTA. Jika kewangan menjadi masalahnya, banyak badan boleh membantu, antaranya Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Justeru, di manakah alasan relevan, tidak berjaya ke universiti bererti sudah gelap masa depan? Kegagalan sebenar hanya akan berlaku jika kita asyik berpeluk tubuh dan bertindak menyalahkan diri sendiri,” katanya.  Pada masa sama, beliau berharap pelajar yang berjaya memasuki IPTA supaya menggunakan peluang diberikan dengan baik untuk menggenggam ijazah. “Mereka sudah terpilih dan perlu bijak menetapkan matlamat. Jadikan kegagalan rakan lain memasuki IPTA sebagai iktibar selain perlu beringat berada di menara gading bukan jaminan berjaya pada masa depan. “Persaingan globalisasi hari ini amat sengit. Tanpa mengira latar belakang, hanya mereka yang berusaha keras saja berjaya, justeru jangan rendah diri andai kata tidak mendapat tempat. “Kejayaan ada di mana-mana asalkan ada usaha dan kehendak, semua halangan boleh diharungi serta menjadi penawar kegagalan, “katanya.

SUMBER
HARIAN METRO
27 SEPTEMBER 2011

26 September 2011

ISU UMUM : MEWUJUDKAN AKTA POLIS YANG LEBIH RELEVAN

Oleh SUFFIAN ABU BAKAR


Pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 yang diumumkan Perdana Menteri sehari sebelum kita menyambut Hari Malaysia Ke-48 baru-baru ini boleh dikatakan akan menjadi sejarah dan pasti diingat oleh seluruh rakyat di negara ini. Tujuan kerajaan mengambil keputusan sedemikian bukannya setelah didesak mana-mana pihak sebaliknya ia untuk meneruskan kesinambungan memelihara keamanan dan kesejahteraan hidup rakyat. Menariknya, selain memansuhkan ISA, Datuk Seri Najib Tun Razak turut mengumumkan pemansuhan Akta Buang Negeri 1959 dan berjanji akan mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa. Antara yang akan dilihat semula termasuk mengkaji semula Seksyen 27 Akta Polis 1967. Mungkin sebagai rakyat biasa, ramai tidak faham apa yang terkandung di dalam seksyen itu. Penjelasan ringkas di sini adalah kajian yang akan dibuat kelak akan mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan, Seksyen 27 Akta Polis 1967 secara jelas memperuntukkan empat perkara iaitu pertama: Mana-mana pihak yang hendak mengadakan perhimpunan atau ceramah umum hendaklah mempunyai kelulusan daripada pegawai polis daerah berkenaan.

Kedua, sebelum mengadakan perhimpunan sama ada di dalam premis atau di luar premis, kebenaran polis hendaklah diperoleh demi kepentingan ketenteraman awam dan keselamatan rakyat.Ketiga, ketua polis daerah boleh menimbang sesuatu permohonan (permit perhimpunan dan ceramah umum) itu tetapi ini bukan bermakna kumpulan atau mana-mana pihak boleh dengan sendiri mengadakan ceramah umum dan yang keempat, kelulusan permohonan permit juga tertakluk kepada budibicara polis dan perhimpunan biasa di dalam bangunan kebiasaannya dibenarkan. Inilah yang akan dikaji oleh kerajaan dan keputusan ini turut disambut baik oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar. Bagi Ismail, akta baru yang akan diperkenalkan kelak, tetap akan menjamin keselamatan masyarakat dan pada masa sama, polis dapat melaksanakan tanggungjawabnya demi memastikan keamanan dapat diwujudkan. Kita semua belum tahu lagi bagaimana bentuk undang-undang baru yang akan menggantikan Seksyen 27 tersebut. Justeru, satu forum akan diadakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Jabatan Peguam Negara dalam tempoh terdekat untuk membincangkan segala bentuk tindakan dan perubahan yang bakal dilaksanakan kelak.

Kesediaan Perdana Menteri untuk melakukan kajian semula terhadap undang-undang dan akta ini bukanlah janji politik, sebaliknya ia pernah disuarakan oleh beliau sebelum ini. Sebagai rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai latar belakang kaum, kita sepatutnya berterima kasih dengan perubahan yang dilakukan kerajaan ini kerana segala apa yang diumumkan ini sebenarnya adalah transformasi politik negara yang sudah mengecap kemerdekaan selama 54 tahun. Dalam tempoh yang panjang itu, pastinya ada sebahagian kecil undang-undang atau akta sejak berpuluh-puluh tahun lalu yang tidak lagi relevan dan perlu dikaji semula keberkesanannya. Akta baru itu juga perlu disesuaikan dengan kewujudan masyarakat Malaysia yang semakin meningkat bilangannya, selain 'cabaran' yang diwujudkan oleh mereka. Dan kita juga mengharapkan, perubahan Seksyen 27, Akta Polis itu nanti tidak membebankan kedua-dua pihak iaitu orang ramai dan kerajaan. Masyarakat perlu diberi keadilan dan hak mereka tetapi keadilan yang diberikan itu janganlah disalahgunakan untuk tujuan tidak baik dan boleh mengancam keselamatan negara. Dan diharapkan pindaan itu nanti akan memudahkan PDRM untuk melaksanakan tugas mereka mengawal keamanan di negara ini.

Polis harus diberi kuasa (mengikut Perlembagaan 10) untuk mengawal ketenteraman awam negara. Biarlah apa-apa sekatan boleh dikenakan kepada hak untuk mewujudkan perkumpulan atau hak bersuara sekiranya ia penting daripada segi ketenteraman dan keselamatan dalam negeri. Akta Polis tergolong kepada kebenaran yang diberi di bawah perlembagaan itu dan adalah tidak wajar atau tidak tepat dikatakan ini menghalang hak asasi manusia. Pun begitu, dalam apa jua perubahan dan situasinya, sudah pasti masih ada pihak yang akan menangguk di air keruh berhubung isu kajian semula seksyen ini. Dengan kata lain, dipinda pun salah, apatah lagi apabila ia tidak dipinda. Justeru, apa yang perlu dilakukan oleh kerajaan adalah memastikan kedua-dua pihak, baik masyarakat mahupun kerajaan tidak terbeban dengan pindaan ini. Dan pada masa sama, pihak pembangkang tidak dapat mencari kelemahan kepada pindaan tersebut. Walau apa pun, apa yang dilakukan Perdana Menteri ini sebenarnya memberi nafas baru kepada istilah demokrasi untuk terus subur di negara ini, bukannya berasaskan agenda politik dan masyarakat seharusnya pembaharuan yang akan dilaksanakan ini. Bagi PDRM pula, kita yakin mereka akan terus melaksanakan tugas menjaga ketenteraman awam walau apa jua bentuk cabaran dihadapi. Diharapkan pindaan undang-undang ini memberi mereka semangat baru untuk terus berbakti kepada negara.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
26 SEPTEMBER 2011

25 September 2011

ISU UMUM : MENGAPA NAMANYA BUKAN NEGERI-NEGERI BERSATU AMERIKA SYARIKAT?

Untung Sabut Timbul


Mengapakah kita panggil United States of America (USA) sebagai Amerika Syarikat (AS) dan bukannya Negeri-negeri Bersatu Amerika (NBA)? Ada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri dalam catatan di Facebooknya mempersendakan penggunaan nama Amerika Syarikat dalam Bahasa Malaysia yang dianggapnya salah dari segi bahasa, yang biginya patut disebut sebagai Syarikat Amerika. Syarikat Amerika bermaksud lain daripada Amerika Syarikat. Syarikat Amerika bermakna syarikat-syarikat perniagaan yang berpangkalan di Amerika Syarikat sedangkan Amerika Syarikat ialah nama negara berkenaan. Nama Amerika Syarikat dalam Bahasa Malaysia adalah betul bukan saja kerana ia adalah nama yang sudah sebati digunakan oleh penutur bahasa Melayu tetapi ia mempunyai latar belakang yang tepat dan tidak ada silapnya. Walaupun ia kelihatan ganjil berbanding dengan nama-nama negara yang lain apabila digunakan dalam Bahasa Malaysia. Hakikatnya, nama-nama negara di dunia dalam Bahasa Malaysia mempunyai latar belakangnya tersendiri dan masing-masing kemudian kekal menjadi perkataan yang baku untuk digunakan. Amerika Syarikat sememangnya bermaksud ‘Amerika yang bersatu’, atau ‘Amerika yang bersekutu’. Atau lebih tepat lagi ‘negeri-negeri Amerika yang bersatu atau bersekutu’.

Sememangnya ‘united’ dalam United States of America bermaksud bersatu seperti mana ‘bersatu’ dalam United Nations Organisation (UNO), dalam Bahasa Malaysianya ialah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Kini orang lebih biasa menyebut United Nations (UN) secara pendek. Tetapi ‘united’ itu juga boleh bermaksud ‘bersekutu’. Ini kerana Amerika Syarikat sememangnya sebuah negara persekutuan, seperti juga Malaysia. Bagaimanapun, dalam bahasa Inggeris, persekutuan disebut sebagai federation. Federation of Malaya, umpamanya diterjemahkan menjadi Persekutuan Tanah Melayu. Maka ‘united’ dalam United States of America itu boleh juga disebut sebagai Persekutuan Negeri-negeri Amerika atau Persekutuan Amerika saja. Tetapi mengapakah dalam Bahasa Malaysia disebut Amerika Syarikat? Dari manakah datangnya perkataan syarikat yang kini merujuk kepada syarikat perniagaan, dan merupakan terjemahan kepada perkataan company dalam Bahasa Malaysia? Tambahan pula, Amerika Syarikat adalah satu-satunya negara di dunia yang ada perkataan syarikat sedangkan banyak lagi negara lain di dunia yang ada perkataan ‘united’.

Umpamanya United Arab Emirates menjadi Emiriah Arab Bersatu, tidak pula Emiriah Arab Syarikat. Dalam hal ini, perlu diingat bahawa bahasa berkembang menurut zaman. Maka begitu juga istilah dan perkataan yang digunakan untuk menamakan negara. Nama Amerika Syarikat mula muncul ketika bahasa Melayu yang digunakan di negara ini belum berkembang dan dibakukan. Bahasa Melayu di Tanah Melayu belum menjadi bahasa moden. Tulisan bahasa Melayu adalah dalam bentuk jawi. Maka nama-nama negara dalam bahasa Inggeris akan dicetak rumi menurut perkataan asalnya. Maka pada awalnya, United States of America akan dicetak seperti asalnya juga kerana tidak ada terjemahan ke dalam bahasa Melayu. Tentu pada detik-detik awal kemodenan ini, yang sekitar awal abad ke-20, istilah-istilah bahasa Melayu baru mengikut perkembangan bahasa di Indonesia. Tetapi ketika itu Indonesia sendiri tidak wujud lagi, yang ada hanyalah Hindia Timur Belanda. Indonesia belum merdeka. Cumanya pada 28 Oktober 1928, Sumpah Pemuda dilaungkan dengan komitmen bahawa bangsa-bangsa Hindia Timur Belanda mengisytiharkan diri mereka memiliki satu negara iaitu Indonesia, satu bangsa iaitu bangsa Indonesia dan satu bahasa iaitu bahasa Indonesia.

Maka Bahasa Indonesia itu berteraskan bahasa Melayu, dan sejak itu mereka berusaha mengembangkan bahasa itu dan mencipta istilah-istilah baru termasuklah nama-nama negara. Sebelum itu di Indonesia, pada tahun 1912, telah ditubuhkan Sarekat Dagang Islam yang kemudian dikenali sebagai Sarekat Islam (SI) saja. Ia dikenali sebagai pertubuhan politik pertama di Indonesia dan kemudian memperjuangkan kemerdekaan untuknya. Perkataan ‘sarekat’ itu berasal daripada bahasa Arab, bermakna pakatan atau persekutuan. Iaitu daripada banyak, menjadi satu. Perkataan-perkataan Arab seperti syirik, musyarakah dan masyarakat berkaitan dengan syarikat. Di Indonesia, perkataan ini dieja dengan sarekat atau serikat. Tetapi dalam tulisan jawi termasuk yang digunakan di Tanah Melayu, ia menjadi syarikat. Maka asalnya ia bermaksud persatuan, pertubuhan atau apa saja pakatan dan kerjasama. Tidak semestinya syarikat perniagaan. Maka untuk syarikat perniagaan disebut sarekat dagang seperti mana nama asal Sarekat Dagang Islam itu. Maka apabila berdepan dengan nama United States of America, maka adalah tidak menghairankan, mereka menterjemahkannya sebagai Amerika Serikat, di mana istilah ini terus digunakan di Indonesia.

Bagi PBB pula, mereka menggunakan istilah Perserikatan Bangsa-bangsa. Maka pada awal lagi, di Tanah Melayu, istilah Amerika Serikat itu juga diguna pakai, tetapi ditulis dalam tulisan jawi. Apabila Tanah Melayu mula menggunakan tulisan rumi, maka ia menjadi Amerika Syarikat. Justeru istilah ini telah dibakukan dan terus digunakan sekarang. Tetapi terhadap PBB, bahasa Melayu tidak mengikut jejak Indonesia. Maka UMNO tidaklah menjadi Persyarikatan Kebangsaan Melayu, sebaliknya disebut sebagai Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu. Maka selepas daripada itu, apabila ada ‘united’ disebutlah sebagai bersatu. Umpamanya United Arab Republic (UAR) menjadi Republik Arab Bersatu. Tetapi ada negara yang tidak diterjemahkan. Umpamanya United Kingdom. Begitu juga dengan Great Britain. Nama penuh negara itu ialah United Kingdom of Great Britain and Northern Ireland. Tetapi dalam Bahasa Malaysia, ia disebut United Kingdom saja. Kalau diterjemahkan secara tepat, maka ia menjadi Negara Beraja Britain Raya dan Ireland Utara. Tetapi dalam Bahasa Malaysia. Ia kekal dengan istilah asal. Cuma perkataan ‘north’ pada Ireland diterjemahkan menjadi utara.

Perlu disebut perbezaan antara United Kingdom dan Great Britain. UK merujuk gabungan Great Britain dan Ireland Utara. Sementara Great Britain terdiri daripada England, Scotland dan Wales. Tetapi dalam Bahasa Indonesia, nama United Kingdom penuh itu diterjemahkan menjadi Perserikatan Kerajaan Britania Raya dan Irlandia Utara. Tetapi mereka menyebut Kerajaan Serikat ataupun Britania Raya. Sekali lagi perkataan serikat timbul. Istilah kerajaan dalam Bahasa Malaysia dengan Bahasa Indonesia berbeza. Kerajaan adalah terjemahan daripada government. Tetapi dalam bahasa Indonesia, kerajaan bermaksud kingdom. Government diterjemahkan sebagai pemerintah. Semua bahasa mempunyai perkataan masing-masing dan termasuklah nama-nama negara. Dalam Bahasa Malaysia secara turun temurun, United States of America telah pun disebut sebagai Amerika Syarikat. Hormatilah bahasa kebangsaan kita.

SUMBER
MINGGUAN MALAYSIA
25 SEPTEMBER 2011

24 September 2011

HASIL KARYAKU : IZINKAN KUPERGI



Assalamualaikum Tuan
Kumohon perpindahan itu
Jangan sesekali disalah mengerti
Bukan kerana hati berasa benci
Bukan kerana kasih sudah bertepi
Bukan kerana jiwa sering dilukai
Jauh sekali tidak mengenang budi
Kerana aku tahu
Disini aku mula bertapak
Diasah dan diasuh
Dididik dan diperkasa
Sehingga menjadi permata
Bersinar bercahaya

Kumohon tuan luluskan permohonanku
Usah ditangguh kerana aku perlu
Walaupun tiada yang meluka
Walaupun tiada yang mendusta
Tiada sesiapa juga mengecewa
Pengalaman disini amat berharga
Disinilah aku cipta sejarah
Merangkul pelbagai anugerah
Sehingga dikenali
Sampai diketahui
Seperti hari ini

Kumohon tuan jangan hamparkan alasan
Kononnya yang patah tak akan tumbuh
Yang hilang tak akan berganti
Lebih sedekat mencurah khidmat
Banyak amanah dan tanggungjawab
Terpikul dibeban yang tidak pernah terbeban
Sehingga tak sedar usia menanjak zaman
16 tahun lantaimu kupiijak
Bagiku begitu bermakna
Amat berharga
Emas permata bukan nilainya

Tuan, terimalah hakikat
Pertemuan perpisahan
Permulaan pengakhiran
Awal akan berakhir
Mula akan berpenghujung
Cukuplah sampai disini
Kita seganding seiring
Sebelum hati menjadi tawar
Sebelum suka beralih benci
Baik kutamatkan perkenalan ini
Untuk menuju ke destinasi baru

NUKILAN
Zulkarnain Farihin
10.01 pm, Sabtu
24 September 2011

ISU KENEGARAAN : UNDANG-UNDANG MAMPU IMBANGI HAK INDIVIDU DAN KETENTERAMAN AWAM

Oleh Shamrahayu A Aziz
bhnews@bharian.com.my

Undang-undang tidak boleh 
terlalu longgar atau terlalu ketat


Masih  belum terlambat agaknya untuk saya mengucapkan selamat menyambut Hari Malaysia kepada semua pembaca. Perutusan Perdana Menteri mengenai aspirasi kerajaan berkaitan sistem demokrasi menjadikan sambutan Hari Malaysia pada tahun ini amat berbeza sekali daripada sambutan lalu. Saya lihat perutusan Perdana Menteri ini bukan semata-mata transformasi politik, tetapi ia adalah transformasi undang-undang dan sistem perundangan negara. Oleh itu, perutusan itu tidak harus dilihat menerusi perspektif politik semata-mata. Suka saya sebutkan bahawa walaupun Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA) tidak secara automatik termansuh dengan ucapan itu, pengumuman itu menggembirakan banyak pihak kerana ia menunjukkan kesediaan kerajaan menguruskan perkara sensitif seperti ISA secara terbuka. Apapun, saya tidak mahu mengulas mengenai strategi atau keuntungan politik yang mungkin diperoleh kerajaan. Saya melihat perutusan itu daripada kaca mata rakyat yang sentiasa mahukan kesejahteraan dan kemakmuran negara serta pandangan ahli akademik undang-undang. Perutusan berkenaan memberi kesan mendasar kepada undang-undang yang sedia ada atau undang-undang yang akan digubal. Ia juga boleh dianggap sebagai membina falsafah dan perspektif mengenai kuasa atau bidang kuasa badan kehakiman serta sistem dan amalan kepolisan di negara ini.

Undang-undang, seperti yang kita maklum, berperanan mengawal tingkah laku manusia bagi membina kehidupan sejahtera. Oleh itu, dalam menggubal undang-undang, kita harus mengambil kira keberkesanannya dalam memberi perlindungan bukan saja kepada individu tertentu, tetapi juga masyarakat dan negara keseluruhannya. Saya tertarik dengan perutusan Perdana Menteri yang menyebut: “Dalam menyusun atur peradaban bernegara bagi menghadapi keadaan luar biasa yang mengancam keselamatan tanah air dan kesejahteraan rakyat, tidak dapat tidak, menuntut kepada langkah khas yang kadang kala bersifat di luar norma demokratik. Umpamanya, tindakan tahanan pencegahan.” Amat benar, undang-undang harus membina keseimbangan antara hak atau kebebasan individu dan ketenteraman awam. Sekiranya undang-undang membenarkan kebebasan individu tanpa kawalan yang mengorbankan nilai, budaya dan ketenteraman, sudah tentunya kita tidak akan dapat hidup aman dan sejahtera. Namun, sekiranya sekatan terlalu lebar, ia juga akan menafikan hak rakyat dan akan melahirkan rasa tidak puas hati yang mendorong kepada kerosakan. Dalam keadaan ini, titik pertemuan antara kedua-dua ini, ketenteraman awam dan kebebasan perlu dicari.

Di samping memerlukan undang-undang yang baik, kita memerlukan kematangan rakyat. Rakyat harus memainkan peranan dan menjalankan tanggungjawab untuk memastikan ketenteraman negara sentiasa terjaga. Dalam hal berkaitan, undang-undang untuk mengekang kegiatan subversif dan perbuatan yang boleh memudaratkan ketenteraman awam sentiasa diperlukan oleh setiap negara. Banyak negara di dunia yang mahukan undang-undang berkaitan diperkenalkan atau diperketatkan. Kita belum pasti mengenai bentuk dan perincian undang-undang yang bakal digubal, tetapi apa yang disuarakan Perdana Menteri ialah undang-undang itu kelak akan berada di bawah prinsip yang termaktub dalam Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan, iaitu mengekang aktiviti subversif dan tindakan yang memudaratkan ketenteraman awam. Mungkin elok untuk setiap kita meneroka dan memahami Perkara 149 secara menyeluruh. Sekiranya berkesempatan, saya akan cuba berkongsi dengan pembaca pada minggu akan datang. Berbalik kepada hal ini, selain daripada undang-undang yang baik, kita juga memerlukan mahkamah yang mempunyai kuasa perundangan luas dan bebas. Perdana Menteri melahirkan komitmen untuk menyerahkan kuasa menentukan tempoh tahanan bagi tahanan tanpa bicara yang ketika ini berada dalam badan eksekutif, kepada badan kehakiman.

Selain daripada apa yang disebut Perdana Menteri itu, badan kehakiman juga perlu diiktiraf kuasa yang luas untuk membuat semakan semula ke atas semua kuasa budi bicara pihak eksekutif. Selain itu, dalam aspek undang-undang berkaitan subversif, kuasa lembaga penasihat di bawah Perkara 151 Perlembagaan Persekutuan juga perlu dikaji semula. Ia akan menjadikan proses semak dan imbang dijalankan lembaga penasihat menjadi lebih berkesan. Berkenaan sistem dan amalan kepolisan, perutusan Perdana Menteri memberi kesan yang agak mendasar kepada kuasa polis. Janji kerajaan untuk menilai semula seksyen 27 Akta Polis dan juga kesan kepada penarikan balik keadaan darurat adalah dua perkara yang memberi implikasi besar ke atas kuasa polis. Sebagai sebuah badan penguat kuasa undang-undang utama negara, saya percaya polis mengutamakan keamanan negara dan menjalankan kuasa berdasarkan undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen. Namun dengan keadaan undang-undang yang semakin longgar, mungkin agak sukar untuk pihak polis menjalankan keutamaan dalam tugasan mereka. Sehubungan itu, kerajaan harus memandang serius perkara berkaitan keanggotaan, pentadbiran, kebajikan dan profesionalisme pasukan berkenaan supaya polis juga akan melalui proses transformasi seiring dengan transformasi undang-undang yang akan kita alami.

Penulis ialah Profesor Madya Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

SUMBER
BERITA HARIAN
24 SEPTEMBER 2011

ISU ANTARABANGSA : DERITA AKANKAH BERAKHIR? DUNIA TENTUKAN NASIB PALESTIN

Oleh Syed Azwan Syed Ali
syedazwan@bharian.com.my


Tanggal 23 September ini bakal menjadi tarikh keramat bagi 193 negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menentukan kedudukan Palestin yang bergolak sejak lebih 60 tahun lalu selepas Britain yang memerintahnya sejak 1920, menyerahkan mandat di wilayah itu kepada PBB pada 1947. Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, dijangka membentangkan permohonan rasmi Palestin untuk menjadi anggota penuh di PBB selepas rundingan damai yang ditaja sekutu kuat Israel, Amerika Syarikat (AS) bagi menyelesaikan konflik Israel-Palestin gagal mencapai kata putus. Palestin tidak lagi yakin dengan rundingan damai untuk menubuhkan ‘dua negara’ ketika penempatan haram terus dibina rejim Tel Aviv di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur selain Gaza kekal sebagai ‘penjara kemanusiaan terbesar di dunia’ dek kepungan darat dan laut rejim zionis Israel. Tindakan memohon keanggotaan penuh di PBB itu adalah cubaan nekad Palestin selepas Abbas yang mengetuai Pihak Berkuasa Palestin (PA) di Ramallah bersedia berdamai dengan Hamas yang menguasai Gaza sejak 2007 bagi penubuhan Kerajaan Perpaduan untuk membolehkan Palestin diiktiraf sebagai negara berdaulat dan merdeka berdasarkan kepada sempadan 1967.  

PA bercadang meminta Perhimpunan Agung PBB (UNGA) mengiktiraf negara Palestin berdasarkan sempadan sebelum perang pada 1967 apabila Israel menawan Tebing Barat, Gaza dan Baitulmaqdis Timur. AS sejak awal lagi memberi amaran menggunakan kuasa vetonya untuk menolak permohonan Palestin pada Majlis Keselamatan PBB selain Washington turut mengancam akan menarik balik dana tahunan AS$600 juta (RM1.8 bilion) kepada PA jika Abbas meneruskan hasratnya itu.  Tel Aviv pula menyifatkan tindakan Palestin sebagai langkah ‘memencilkan’ negara Yahudi itu dan mengeluarkan amaran untuk membatalkan semua perjanjian termasuk Perjanjian Damai Oslo 1993 yang menyaksikan kelahiran PA selaku pentadbir wilayah di Palestin dengan kuasa terhad. Penganalisis politik antarabangsa menyifatkan tindakan Palestin untuk mengemukakan permohonan menjadi negara anggota PBB, perlu dilihat sebagai pelengkap kepada usaha menamatkan konflik Israel-Palestin dan bukan alternatif kepada rundingan damai tajaan AS yang sehingga hari gagal membuahkan impak positif.  Melalui permohonan itu, dua kemungkinan bakal berlaku iaitu PBB menerima Palestin sebagai negara anggota penuh atau sekurang-kurangnya mengangkat status Palestin daripada ‘entiti bukan negara’ yang menjadi pemerhati di badan dunia itu kepada ‘negara bukan anggota’.  “

Kedua-dua keputusan ini akan memberi impak besar kepada Palestin,” kata Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Prof Dr Mohamed Mustafa Ishak merujuk status baru Palestin di PBB pasca UNGA ke-66 yang bermula 13 September lalu. Sejak 22 November 1974, Palestin menerusi Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) mempunyai kedudukan pemerhati dengan status entiti bukan negara di PBB serta mempunyai wakil tetap di badan dunia itu yang membolehkannya bersuara tetapi tidak boleh mengundi di PBB. Untuk menjadi anggota penuh dengan kuasa mengundi di PBB, negara memerlukan kelulusan Majlis Keselamatan PBB dianggotai lima kuasa besar selaku anggota tetap majlis keselamatan iaitu AS, Britain, China, Perancis dan Russia.  Sebaliknya, Palestin memerlukan sokongan dua pertiga daripada 193 negara anggota PBB dalam UNGA bagi membolehkannya mendapat status negara bukan anggota, antara lain membolehkannya mengakses kepada badan dunia seperti Mahkamah Jenayah Antara Antarabangsa (ICJ) bagi menyaman Israel kerana menjajah wilayahnya berdasarkan garis sempadan sebelum perang enam hari antara Israel dan negara Arab pada Jun 1967.

PBB sebelum ini meluluskan Resolusi 242 pada November 1967 yang memutuskan Israel berundur semula ke sempadan sebelum 1967 dan mengembalikan sebahagian daripada wilayah ditawannya, namun Tel Aviv dilihat menggunakan wilayah didudukinya sebagai bahan tawar menawar untuk mencipta rundingan damai palsu menerusi apa disebut sebagai pertukaran wilayah.  Mustafa meramalkan Palestin tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan sokongan 128 negara anggota PBB, terutama dari sebahagian besar negara Asia, negara anggota Pergerakan Negara Berkecuali (NAM), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Liga Arab, Afrika dan Amerika Selatan termasuk Brazil dan Argentina menyatakan sokongan kepada Palestin bagi menyelesaikan konflik di Asia Barat.  “UNGA akan mendedahkan sentimen dunia kepada Palestin. Jika Palestin berjaya mendapatkan sokongan di UNGA, AS akan berdepan dilema. Memang benar AS boleh menggunakan vetonya di Majlis Keselamatan tetapi ini bermakna AS akan mengundi menentang suara dunia. Ini mendedahkan tembelang negara kuasa besar itu.  “Amerika dilihat tidak jujur dalam menyelesaikan konflik di Palestin dan Asia Barat.

Amerika akan dilihat tidak lebih dari sekadar boneka dan proksi Israel,” kata profesor sains politik itu meramalkan China dan Russia berkemungkinan mengambil pendirian berkecuali atau menyokong hasrat Palestin di PBB. Ketika ini, sentimen masyarakat dunia dilihat memihak kepada Palestin selepas tinjauan mendapati ramai penduduk Eropah iaitu Britain, Perancis dan Jerman mahu kerajaan mereka menyokong pembentukan negara Palestin dalam undian di PBB, demikian menurut akhbar Britain, The Guardian, minggu lalu. Berdasarkan tinjauan pertubuhan bukan kerajaan itu, 59 peratus responden di Britain menyokong pembentukan negara Palestin, 69 peratus di Perancis dan 71 peratus di Jerman, berbeza dengan pendirian AS, Israel dan Kesatuan Eropah (EU) yang melihat hasrat Palestin itu menjejaskan rundingan damai. Palestin dijangka tidak berdepan masalah mendapatkan sokongan negara Arab selepas Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan mengeluarkan kenyataan tegas di ibu pejabat Liga Arab di Mesir minggu lalu bahawa pengiktirafan negara merdeka Palestin adalah kewajipan negara Arab dan bukan pilihan.

Erdogan berkata, sudah tiba masanya bendera Palestin berkibar di PBB selain menyifatkan perjuangan Palestin adalah perjuangan menjaga maruah negara Arab – sentimen bertitik tolak daripada serangan ke atas kapal flotila ke Gaza, Mavi Marmara, Mei tahun lalu yang menyaksikan sembilan aktivis Turki ditembak mati komando Israel. Namun, pensyarah sains politik dan hubungan antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohd Kamarulnizam Abdullah, berkata Palestin berdepan laluan sukar jika gagal mendapat pengiktirafan AS kerana dalam sistem antarabangsa, sesebuah negara memerlukan pengiktirafan negara kuasa besar.  “Persoalan utama sekarang adakah Palestin diiktiraf sebagai sebuah negara oleh kuasa besar. Palestin memenuhi semua kriteria sebagai negara iaitu mempunyai wilayah, kedaulatan, rakyat dan kerajaan, tetapi ia tiada elemen yang terpenting iaitu pengiktirafan. Dalam konteks sistem antarabangsa, perkara itu (pengiktirafan) adalah daripada Majlis Keselamatan.  “Palestin akan mengalami nasib seperti Taiwan yang tidak menerima pengiktirafan China. Taiwan ada hubungan diplomatik dengan negara lain tetapi ia terus menghadapi masalah kerana tidak diiktiraf kuasa besar, namun dari satu sudut hasrat Palestin di PBB, adalah langkah positif,” kata Kamarulnizam. Apa yang pasti, rundingan Israel-Palestin perlu diteruskan jika dunia mahu keamanan mutlak bertapak di wilayah yang terletak di antara Laut Mediterranean dan Sungai Jordan itu dengan 23 September ini menjadi titik mula baru untuk menyelesaikan isu yang dianggap ‘duri dalam daging’ konflik di Asia Barat.

SUMBER
BERITA HARIAN
20 SEPTEMBER 2011


ISU ALAM SEKITAR : PEMULIHARAAN BERASASKAN RINGGIT MALAYSIA? BETULKE?

Oleh Mohd. Hazli Hassan


Kali ini ingin saya bercerita mengenai dua orang sahabat saya yang menjalankan program pemuliharaan marin tanpa mendapat bantuan dan promosi besar-besaran. Program yang dijalankan atas daya usaha sendiri itu sebenarnya bukan bermula semalam atau tahun lepas, ia dilakukan sejak tahun 2000 lagi. Lebih mengagumkan, usaha yang dijalankan mereka, biarpun kecil, berjaya menunjukkan keputusan yang agak baik dan sehingga kini usaha-usaha itu diteruskan. Saya mengutarakan perkara ini kerana sejak akhir-akhir ini banyak persatuan ditubuhkan untuk menjalankan usaha pemuliharaan alam sekitar dan alam marin. Seperti dua sahabat saya itu, saya juga menyanjung usaha murni yang dijalankan persatuan-persatuan ini. Bukan apa, jika tidak kerana mereka, tidak ramai yang tahu mengenai program pemuliharaan yang dilakukan. Namun dalam ‘kemeriahan’ program pemuliharaan di samping mendapat publisiti besar-besaran, saya terfikir apa akan terjadi jika mereka tidak diberi dana oleh mereka yang mempunyai kepentingan. Sebagai contoh jika ia dijalankan di satu-satu negeri, pastinya kerajaan negeri akan membiayai kos program pemuliharaan itu. Saya cuba membayangkan jika kerajaan negeri tidak membiayai program berkenaan, adakah persatuan-persatuan berkenaan akan meneruskan ‘niat’ mereka sama seperti dua sahabat saya?

Bukan menidakkan kos yang bakal dihadapi, namun saya melihat ada sesetengah persatuan pemuliharaan tidak lagi berpegang kepada prinsip non profit organisation. Malah, ada yang mengenakan yuran yang agak tinggi kepada peserta yang ingin menyertai program pemuliharaan yang dianjurkan mereka. Sudahlah mendapat pembiayaan daripada kerajaan negeri mahupun agensi kerajaan berkaitan, tapi turut mengenakan caj yang yang tidak setimpal kepada peserta. Dan saya turut mendengar ada kerajaan negeri dan juga agensi kerajaan memberikan pembiayaan yang ‘agak besar’ kepada persatuan ini untuk menjalankan aktiviti pemuliharaan yang dilihat tidak berapa menjadi. Dalam publisiti di dada akhbar, mereka dilihat bersungguh-sungguh mengatakan itu dan ini untuk mempertahankan alam sekitar daripada dicemari atau diganggu. Namun, adakah kata-kata itu sama akan diungkapkan jika tidak mendapat pembiayaan atau tiada publisiti yang diberi macam dua orang sahabat saya? Bukan menidakkan usaha yang dijalankan oleh mereka, namun mungkin segelintir daripada persatuan ini mempunyai agenda tersendiri atau cuba mencari keuntungan daripada ‘kelalaian’ kerajaan negeri atau agensi kerajaan. Jika ini berterusan, nampak gaya, pembiayaan yang sepatutnya boleh diagih-agihkan kepada mereka yang menjalankan aktiviti sama bakal didominasi oleh segelintir persatuan sahaja.

(Jom sertai FB Impak Alam di www.facebook.com/impakalam)

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
24 SEPTEMBER 2011