Bertembung dengan jiran tetangga yang pulang dari kerja di dalam lif dengan pakaian kemas - berkot dan bertali leher bagi lelaki atau bertumit tinggi dengan fesyen mengikut perkembangan semasa bagi wanita merupakan hal yang biasa bagi saya. Setiap kali bersua, mereka tidak pernah berat mulut menyapa; “Ni hao!" sambil saya turut menjawab “Ni hao!' juga. Bagi masyarakat di China, sapaan “Ni hao!" itu adalah interaksi sosial yang baik untuk menyuburkan hubungan sesama manusia tanpa mengira warna kulit dan asal usul. Sejak menetap di Beijing, saya semakin biasa menggunakan “Ni hao!" sebagai interaksi atau untuk memulakan hubungan manusia yang sihat ke arah integrasi. Pun begitu, yang agak ‘luar biasa’ bagi saya ialah ketika pertama kali melihat jiran lelaki sebelah rumah yang berpakaian kemas mengepit seikat sayur daun bawang di celah ketiak sambil tangan kanan erat menggenggam dua biji keledek. Selang beberapa hari kemudian, saya terserempak dengan seorang lagi tetangga lelaki dalam keadaan yang sama - mengepit seikat sayur sawi di celah ketiak sambil tangan penuh menggenggam beberapa biji bawang besar.
Awalnya, saya menyangkakan mungkin ada saudara-mara atau kenalan mereka yang memberikan sayur-sayuran itu dan kebetulan mereka dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerja. Tetapi selepas beberapa minggu, barulah saya menyedari bukan setakat jiran lelaki tetapi jiran wanita yang berpakaian cantik, remaja dan budak sekolah turut melakukan ‘ritual’ yang serupa - mengepit sayur kubis sambil menggenggam halia, mengepit botol kicap sambil tangan penuh dengan buah tomato atau mengepit kotak tisu, ‘‘Saya terlupa membawa beg hijau (Green Bag) ke pasar raya sewaktu pulang dari kerja tadi,” jelas Xiao Bai, salah seorang jiran ketika ditanya kenapa barang itu tidak disumbat ke dalam beg plastik sahaja. Dalam erti kata lain, sebahagian besar masyarakat China ini sudah semakin peka terhadap keadaan alam sekeliling yang semakin merosot dan bagi mereka perlu ada satu pendekatan serius - tidak menggunakan beg plastik. ‘‘Penggunaan beg plastik bukan masalah utama pencemaran tetapi kaedah pelupusannya memberi impak besar kepada alam sekitar,” akuinya ketika kami berbual. Xiao Bai menjelaskan, kesedaran rakyat China mengenai bahan plastik memerlukan 100 hingga 500 tahun untuk lupus jika ditanam dan jika dibakar memberikan impak lebih besar kepada alam sekitar termasuk manusia semakin menebal.
Kerajaan China melancarkan tindakan ‘keras’ mengharamkan pengeluaran beg plastik ultra nipis dan melarang pasar raya serta kedai memberi beg plastik secara percuma kepada pelanggan sejak 1 Jun 2008. Portal web rasmi Kerajaan Pusat China melaporkan, China menggunakan terlalu banyak beg plastik sebelum ini dan gagal melupuskan bahan itu dengan betul. Fenomena itu menyebabkan pencemaran serius ekoran penggunaan berlebihan dan proses kitar semula yang tidak mencukupi. Dianggarkan, China menggunakan sehingga 3 bilion beg plastik sehari dan sejumlah 5 juta metrik tan minyak mentah diperlukan setiap tahun untuk menghasilkan beg plastik sebanyak itu. Justeru, kerajaan China sedar ia suatu pembaziran kepada tenaga serta sumber dan larangan yang mula dikuatkuasakan sejak lebih tiga tahun itu sebagai usaha berkesan China untuk mengurangkan pembaziran. Langkah ini jelas membawa China selaras dengan trend antarabangsa untuk mengurangkan penggunaan beg plastik seperti Ireland misalnya, yang mula mengenakan cukai ke atas beg plastik pada 2002 dan kini sudah berjaya mengurangkan 90% penggunaan beg plastik di negara mereka.
Ini jugalah sebenarnya yang dihasratkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang giat melaksanakan Kempen Kurangkan Penggunaan Beg Plastik di Malaysia sejak 1 Januari 2010. Bezanya, kempen Hari Tanpa Beg Plastik yang dilancarkan di Malaysia hanya seminggu sekali - pada setiap Sabtu pengguna tidak dibekalkan dengan beg plastik secara percuma . Seperti kata Ismail Sabri, kempen Hari Tanpa Beg Plastik itu dijalankan secara berperingkat di mana peringkat pertama ini adalah lebih kepada memberi kesedaran kepada pengguna tentang kesan penggunaan beg plastik kepada alam sekitar sekiranya dibuang merata-rata. Ada pihak yang berpendapat supaya pengguna tidak perlu diberi pilihan untuk menggunakan beg plastik namun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) cuba menggunakan pendekatan yang tidak terlalu drastik supaya pengguna tidak terkejut dengan perubahan yang dibuat. Sebaliknya kempen yang dibuat oleh KPDNKK itu adalah lebih bersifat kesedaran dan mendidik pengguna. Namun persoalannya berapa lama masa yang perlu diambil untuk ‘menginsafkan’ pengguna?
RUHAIDINI ABD KADIR
menulis dari Beijing Language and Culture University.
SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
28 SEPTEMBER 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan