18 September 2011

JADIKAN MOTIVASI UNTUK BERJAYA : JOM PERGI KE ANGKASA LEPAS BERSAMA SIR RICHARD BRANSON

Oleh Johardy Ibrahim


Banyak  telah ditulis mengenai Sir Richard Branson sebagai seorang ahli perniagaan yang luar biasa. Malah kisahnya pernah disiarkan dalam ruangan ini pada Januari 2010. Kita tahu dia bermula dalam sektor penerbitan sebelum melangkah ke industri hiburan dan kemudian menjadi sebutan ramai dengan konsep penerbangan murah menerusi syarikat Virgin Airlines. Branson diiktiraf sebagai lelaki kelima terkaya di United Kingdom dan yang ke-254 di dunia menurut senarai bilionair majalah Forbes 2011, yang menganggarkan kekayaan bersih beliau sebanyak AS$4.2 bilion (RM126 bilion). Branson memiliki pendekatan tersendiri dalam mengendalikan konglomerat miliknya, The Virgin Group yang mengandungi 400 syarikat dalam semua bidang. Dengan kekayaan sebegitu besar, saya tertanya-tanya juga kenapa bilionair yang berasal dari London ini tidak membeli kelab bolasepak yang menjadi seakan trend perniagaan hari ini. Mungkin ‘Richard Branson Malaysia’, Tan Sri Tony Fernandes boleh mengajak sahabatnya itu turut sama berkecimpung menjadi pemilik kelab bolasepak Liga Perdana Inggeris sepertinya yang memiliki Queens Park Rangers. Tidak pernah percaya kepada kaedah tradisional, Branson tahu bagaimana hendak ‘menggoncang’ keinginan orang ramai untuk membaca mengenai cerita terbarunya.

Satu kisah yang tidak terduga baru-baru ini apabila kediamannya yang dianggar bernilai AS$70 juta (RM210 juta) terbakar pada bulan lalu setelah dipanah petir. Lebih mengharukan, beliau ketika itu menjadi tuan rumah kepada beberapa rakan selebriti seperti Kate Winslet. Namun begitu, ia tidak menyamai ‘kehangatan’ kesan daripada ulasannya mengenai hal ehwal dalaman Malaysia, baru-baru ini. Mujurlah ramai yang memilih untuk tidak mengambil hati terhadap ulasan berbaur politik yang menyentak perasaan sebilangan pihak. Kelmarin, Branson muncul lagi dalam berita. Kali ini, ia lebih menyeronokkan. Ia berkaitan projek meganya untuk menyediakan penerbangan komersial pertama seumpamanya ke angkasa lepas dan membina lapangan angkasa di gurun Mojave di New Mexico. Branson mengumumkan sasaran syarikatnya iaitu Virgin Galactic untuk melakukan penerbangan sulung dalam tempoh 12 bulan akan datang. Tapak yang dipanggil Spaceport America seluas 720 hektar di Las Cruces, New Mexico adalah pangkalan bagi Virgin Galactic yang merupakan usaha niaga paling besar pernah diceburi oleh Branson. Pangkalan itu sudah siap dilengkapi landasan sepanjang hampir 3.3 kilometer, hangar terminal dengan seni bina futuristik dan sebuah Pusat Operasi Angkasa Lepas berbentuk kubah atau dari udara seperti ikan pari.

Kerja pembinaan dijangka selesai menjelang akhir tahun ini, memberi tempoh yang cukup selesa untuk penerbangan sulung Virgin Galactic yang dijangka berlepas pada 2013. Selain membawa penumpang komersial, Virgin Galactic juga merancang untuk melancarkan satelit dengan kos yang jauh lebih rendah berbanding NASA atau mana-mana negara, serta menawarkan penerbangan berkelajuan tinggi dari satu benua ke satu benua. Bunyi macam cerita Star Wars atau Star Trek? Mungkin. Tetapi di tangan Branson, impian atau fiksyen seumpamanya kini perlahan-lahan menghampiri realiti. Beliau bercerita mengenai usaha untuk membawa penumpang dari Los Angeles ke London dalam masa sejam penerbangan. Mustahil? Sekarang memang mustahil. Mungkin 20 tahun lagi teknologi seumpamanya akan wujud dan bolehlah pesawat berat serta perlahan diganti dengan yang lebih pantas. Mungkin ketika itu, pesawat yang banyak berjasa kepada negara seperti Hercules C-130 sudah boleh disimpan di muzium dan saya boleh ketawa mengingatkan perjalanan dramatik tiga hari tiga malam dalam Hercules dari Kuala Lumpur ke Kaherah awal tahun ini. Kerana ketika itu kelak (masa hadapan), teknologi penerbangan sudah maju.

Tetapi seandainya kita masih juga menggunakan Hercules ketika itu kelak, seseorang kena memberi penjelasan di Parlimen. Daripada satu aspek, seandainya ia hanya impian kosong Branson, tidak akan ada sesiapa yang menghiraukan projek itu. Sebaliknya, Virgin dilaporkan telah menjual kira-kira 430 tiket bagi penerbangan ke angkasa lepas pada harga AS$200,000 (RM600,000) untuk satu tiket dengan jualan setakat ini berjumlah AS$86 juta (RM258 juta). Menggunakan pesawat kembar tiga yang mempunyai saiz menyamai sebuah jet perniagaan (20 meter panjang) mampu memuatkan enam penumpang dan dua juruterbang. Pada penerbangan itu nanti, SpaceShipTwo akan diangkut oleh pesawat ibu, WhiteKnightTwo sehingga ketinggian 16,000 meter sebelum roket SpaceShipTwo meneruskan penerbangan sub-orbital. Penerbangan sub-orbital adalah penerbangan melebihi paras ketinggian 100 km atau dikenali sebagai garisan Karman iaitu sempadan antara ruang udara bumi dengan angkasa lepas. Sebaik memasuki ruang angkasa, ekor berkembar SpaceShipTwo akan dilipat ke atas bagi menambah tempoh waktu di angkasa sebelum menjunam ke bumi seperti bulu tangkis. Branson pernah menyebut bahawa beliau berhasrat membina hotel di angkasa lepas.

Mungkin juga inilah fokus Branson pada masa ini. Meneroka angkasa lepas. Memiliki kelab bolasepak bukan menjadi minatnya. Branson adalah antara bilionair yang kini berusaha mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh NASA, yang menamatkan program kapal angkasanya yang berusia 30 tahun pada Julai lalu, seiring dengan tamatnya misi terakhir kapal Atlantis ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS). Usaha sedemikian sebenarnya menerima dorongan daripada NASA yang menyalurkan dana sebanyak AS$270 juta (RM810 juta) kepada empat syarikat iaitu Boeing, SpaceX, Sierra Nevada dan Blue Origin bagi mendorong usaha mereka untuk menjadi yang pertama dalam era baru penerokaan angkasa lepas. Alangkah bagusnya usaha meneroka angkasa lepas turut menjadi fokus kepada Malaysia. Kita sudah mempunyai angkasawan sendiri Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Al-Masrie dan bakal angkasawan, Mejar Dr. Faiz Khaleed. Maaf jika saya kurang peka, apakah perkembangan terkini program angkasawan negara kita? Apakah setelah berjaya menghantar Dr. Sheikh Muszaphar ke ISS maka tercapai sudah matlamat kita?

SUMBER
MINGGUAN MALAYSIA
18 SEPTEMBER 2011

17 September 2011

ISU POLITIK : KEPUTUSAN KERAJAAN MEMANSUHKAN AKTA KESELAMATAN DALAM NEGERI (ISA) ADALAH UNTUK KEBAIKAN RAKYAT

Oleh Fauziah Arof


Dalam  suasana menghirup udara 48 tahun usia Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin mengumumkan beberapa perkara penting iaitu dua pemansuhan akta - Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Buang Negeri 1959 yang akan digantikan dengan dua undang-undang baru yang lebih sesuai dan mengikut peredaran masa. Sementara, tiga lagi akta akan dibuat kajian semula secara komprehensif yang membabitkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Kediaman Terhad 1933 dan Seksyen 27 dalam Akta Polis 1967 dengan mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tentang kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan. Pengumuman di luar jangkaan ini membangkitkan pelbagai reaksi daripada banyak pihak yang menganggap angin pembaharuan yang ingin dilaksanakan ini sebagai drastik, berani dan tidak kurang juga menyifatkan ia sebagai radikal. Apa pun reaksi yang diberikan pelbagai pihak, sudah tentu Perdana Menteri telah membuat kajian mengenai perkara ini sedalam-dalamnya dengan memberi keutamaan terhadap kepentingan, kehendak dan keselesaan rakyat selain mengambil kira relevannya undang-undang tersebut pada masa kini.

Semasa dalam ucapannya sulungnya ketika mula-mula mengambil alih jawatan Perdana Menteri, beliau berjanji akan mengkaji akta ISA secara komprehensif dan jelas sudah, beliau telah menunaikan janji tersebut Najib juga sebelum ini pernah berkata, bahawa kerajaan tidak boleh lagi mengambil pendekatan ‘tahu segala-galanya’. Justeru, kerajaan memerlukan pandangan rakyat dalam membuat sesuatu keputusan. Dalam ISA, misalnya kajian terperinci mengenai pemansuhannya telah dilakukan selama dua tahun dengan mengkaji semua aspek, ia bukanlah satu keputusan yang dibuat secara drastik atau tergesa-gesa dan tidak juga tunduk kepada tuntutan pembangkang. Jadi tidak perlulah pembangkang mendabik dada dengan pemansuhan ini, dengan menyifatkannya sebagai satu kejayaan besar kepada mereka sehingga akhirnya kerajaan Barisan Nasional (BN) terpaksa akur dengan desakan mereka dan mendakwa itulah dia hasil daripada protes di jalanan. Perlu ditegaskan, kerajaan hanya melakukannya untuk rakyat. Apa yang dirasakan baik dan betul untuk rakyat dan negara, maka perkara baik dan betul itulah yang akan dilaksanakannya. Maka pemansuhan ISA ini perlu dilihat sebagai kejayaan rakyat keseluruhannya.

Bukan kejayaan pembangkang, yang tetap menganggap apa sahaja yang datang daripada kerajaan itu salah dan tidak betul, walaupun mereka dan keluarganya turut menikmati faedahnya. Dan kepada rakyat atau mana-mana pihak yang gusar dengan langkah ini, tidak perlu panik dengan pemansuhan ISA dan Akta Buang Negeri ini. Pemansuhan ini bukan bermakna kerajaan telah meletakkan aspek ketenteraman awam dan keselamatan negara di tahap yang paling rendah. Ini kerana dua undang-undang baru yang lebih sesuai dan berkesan akan digubal untuk mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah bagi memelihara ketenteraman dan keselamatan awam di bawah Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan. Kita belum tahu dan melihat, apa yang terkandung dalam undang-undang baru ini. Jadi tidak perlulah kita membuat spekulasi-spekulasi yang bukan-bukan mengenai kelonggaran kerajaan dalam aspek keselamatan negara ini. Sudah tentu penambahbaikan akan dibuat supaya undang-undang mengenainya menjadi lebih baik, tegas dan berkesan daripada ISA dan pada masa sama mengambil kira dan memelihara hak asasi manusia.

Dan bagi pihak pembangkang, buatlah apa sahaja pun, semuanya pasti tidak betul. Jadi tidak hairanlah nanti, setelah kedua-dua undang-undang ini digubal, pembangkang akan tetap membuat bising dan tidak mustahil memuja pula ISA yang telah dimansuhkan. Selain itu, bukti kerajaan tidak berkompromi dalam aspek keselamatan juga jelas dilihat apabila Perdana Menteri mengumumkan kerajaan akan mengkaji semula Seksyen 27 Akta Polis 1967 mengenai kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan. Kebenaran berhimpun akan diberikan selaras dengan kaedah-kaedah yang akan ditetapkan tetapi pada masa sama mengambil kira norma-norma antarabangsa. Kita berharap dalam perkara ini, kerajaan bertindak lebih tegas terhadap penganjur dan peserta demonstrasi jalanan. Pihak yang mencetuskan kekacauan dan menganggu urusan harian orang ramai ini, harus diberi pengajaran melalui peruntukan undang-undang yang lebih tegas, bukan dilepaskan begitu sahaja. Kesimpulannya, dalam menyambut Hari Malaysia, kerajaan telah melaksanakan beberapa inisiatif awal dalam transformasi politik. Diharap inisiatif yang berpandangan jauh ini akan memberi manfaat kepada rakyat dalam jangka masa yang lama juga.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
17 SEPTEMPER 2011



ISU KENEGARAAN : EMPAT ELEMEN JADIKAN PENGGABUNGAN SEMANJUNG MALAYSIA, SABAH, DAN SARAWAK BEGITU UNIK



Penggabungan Tanah Melayu dengan Sabah dan Sarawak di bawah nama Malaysia bukan sekadar memberi impak dalam pembentukan sebuah negara baru, tetapi sebenarnya memberi lebih banyak faedah kepada rakyat yang kini mampu hidup dalam kepelbagaian budaya dan masyarakat penuh keunikan. Pengarah Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Shamsul Amri, berkata ada empat elemen utama yang dilihat menjadikan pembentukan Malaysia begitu istimewa iaitu berlakunya pinjam-meminjam budaya yang membolehkan masyarakat berkongsi keunikan budaya daripada pelbagai etnik lain. “Paling unik dalam penggabungan ini ialah kemampuan masyarakat di negara ini menerima budaya dan cara hidup kumpulan etnik lain yang sekali gus membolehkan sebarang kemelut dan masalah sesama kaum mampu diselesaikan dalam rundingan. Uniknya Malaysia, rakyat boleh bersantai di kedai mamak luahkan rasa tidak puas hati terhadap pemimpin dan sebagainya, kemudian balik begitu saja. Tidak pula sampai berlaku sesuatu yang lebih buruk. Rakyat kita juga sudah mula bijak dan pandai membuat pilihan. - Profesor Datuk Dr Shamsul Amri, Pengarah Institut Kajian Etnik, UKM “Paling tidak pun, sekadar bertikam lidah, menggunakan media untuk meluahkan rasa tidak puas hati, tetapi tidak sampai berparang dan berperang.

“Konsep penerimaan ini bukan senang diperoleh semua negara, apatah lagi dalam Malaysia yang mempunyai puluhan etnik berbeza agama dan bahasa. Lebih unik lagi ialah berlakunya asimilasi yang jelas dapat dilihat di Sabah dan Sarawak.  “Di sana, tidak ada masalah dalam satu keluarga ada orang Islam dan Kristian. Mereka boleh hidup sebumbung dan bebas mengamalkan kepercayaan beragama masing-masing. “Keunikan itu mustahil dapat kita lihat jika bukan kerana pembentukan Malaysia”.  Keempat ialah berlakunya percantuman etnik. Kahwin campur sesama etnik lain mewujudkan pelbagai keturunan yang lebih unik menjadikan negara ini begitu istimewa.  Hubungan sosial yang amat kuat ini berlaku sejak Malaysia ditubuhkan dan inilah tiang seri yang merungkaikan keutuhan negara ini. “Di Sabah dan Sarawak banyak berlaku asimilasi, manakala di Semenanjung pula berlaku banyak penerimaan.  “Orang Melayu, menerima cara hidup orang India dan Cina, begitu jugalah sebaliknya. Kepelbagaian masyarakat ini sebenarnya sudah ada sebelum merdeka, tetapi dengan pembentukan Malaysia, ia lebih dipelbagaikan,” katanya. Beliau juga mengajak masyarakat menyorot kebanyakan peristiwa bersejarah seperti kemerdekaan dan pembentukan Malaysia yang semuanya berlaku secara aman menerusi perbincangan.

Cara penggabungan atas dasar perundingan menjadi dasar perbezaan dan kepelbagaian dalam negara ditangani secara aman. Kepelbagaian sosial dalam negara ini yang berlaku secara aman membolehkan apa saja pertentangan dan perbalahan diselesaikan di meja rundingan.  Bagi Shamsul, suara yang lantang mempertikaikan itu ini perlu diteruskan kerana itulah kekuatan Malaysia, tidak menyimpan dalam hati yang mungkin boleh buruk akibatnya jika meletus satu hari nanti. “Bertikam lidah adalah perkara biasa. Yang penting tidak berlaku keganasan. Melepaskan perasaan dan menyuarakan pendapat mewakili etnik masing-masing juga adalah perkara biasa yang menunjukkan sebenarnya rakyat kita cukup matang, tidak mahukan keganasan apatah lagi kita pernah berdepan dengan peristiwa 13 Mei 1969. “Uniknya Malaysia, rakyat boleh bersantai di kedai mamak luahkan rasa tidak puas hati terhadap pemimpin dan sebagainya, kemudian balik begitu saja. “Tidak pula sampai berlaku sesuatu yang lebih buruk. Rakyat kita juga sudah mula bijak dan pandai membuat pilihan,” katanya.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
17 OGOS 2011



16 September 2011

ISU KENEGARAAN : INISIATIF AWAL TRANSFORMASI POLITIK

Ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak
Sempena Hari Malaysia ke-48 dan Hari Kemerdekaan Malaysia Ke-54


Bismillahirahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam sejahtera dan Salam Hari Malaysia.

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian.

Alhamdulillah dengan limpah izin dan kurnia-Nya jua, kita dapat menyambut ulang tahun penubuhan Malaysia bagi kali ke-48 sebagai warga sebuah negara yang merdeka, berdaulat, demokratik, aman dan makmur. Sesungguhnya kisah perjalanan Malaysia penuh warna-warni. Bermula daripada sebuah negara pertanian berpendapatan rendah semasa penubuhannya, hari ini, hasil mahsul perancangan penuh sistematik dan pelaksanaan begitu mapan, kita telah berjaya muncul sebagai negara perindustrian moden yang berpendapatan sederhana tinggi. Bertolak dari situ, sekalipun kejayaan yang telah dicapai bersifat monumental dan amat signifikan, ia bukanlah alasan yang membenarkan kita untuk berhenti berusaha, berasa puas hati, berasa selesa, apatah lagi mengambil sikap bersimpuh sambil berpeluk tubuh. Apa yang sewajarnya dilakukan demi survival serta kesejahteraan rakyat terus meningkat lagi terjamin dalam dunia yang amat kompetitif dewasa ini, marilah kita melipatgandakan usaha bagi menambahbaik daya saing nasional melalui penggunaaan kreativiti, inovasi dan menjulat usaha penciptaan kekayaan baru berasaskan sifat keusahawanan mandiri.

Semua matlamat ini tidak mungkin akan tercapai tanpa wujudnya perpaduan nasional, keamanan, kestabilan dan keharmonian. Membelek helaian-helaian tawarikh, apabila negara mencapai kemerdekaan 54 tahun lalu sehingga Malaysia dibentuk enam tahun kemudiannya, bersama-sama Sabah dan Sarawak, banyak pihak ketika itu, sama ada pemerhati asing, mahupun warga tempatan berasa ragu-ragu serta waham mempersoalkan tentang, sebuah negara baru yang negeri-negerinya terpisah dek Laut Cina Selatan, sedang diancam pula pemberontakan komunis, dengan separuh penduduknya hidup di bawah paras kemiskinan, ditambah oleh faktor kemajmukan demografik yang luar biasa kompleksitinya, mungkinkah mampu untuk kekal utuh sebagai sebuah negara bangsa apatah lagi untuk berjaya? Ternyata, pencapaian Malaysia selama ini, bertatih dan berjalan jatuh untuk mengecap nikmat kejayaan diiringi sebuah takdir yang penuh cabaran. Jika disisir sejarahnya, semacam satu keajaiban diawal usia setahun jagung meraih kemerdekaan, hakikat yang tersebut tadi ditambah berat pula dengan penerimaan sistem dan falsafah pentadbiran negara berasaskan Demokrasi Berparlimen, Raja Berperlembagaan serta Persekutuan, telah diterima amal secara tuntas oleh kita begitu awal ketika mana proses pembudayaan masih lagi tidak matang.

Jelas sekali, sebelum merdeka, warga tiga belas buah negeri yang bersatu membentuk Malaysia tidak pernah berpeluang untuk memilih kerajaan yang akan memerintah sekalipun corak pentadbirannya. Kewujudan mereka hanyalah sebagai rakyat negeri-negeri naungan atau tanah jajahan yang diberi keistimewaan politik terhad mengikut budi bicara kuasa pemerintah. Pastinya, ini, bukanlah hak politik tulen yang terbit daripada kewarganegaraan sebuah negara merdeka serta berdaulat. Menyingkap fakta, sebelum merdeka, pemilihan politik pertama yang berlangsung di mana rakyat telah diberi peluang secara terhad untuk memilih wakil mereka adalah semasa pemilihan beberapa Majlis Perbandaran pada tahun 1952 dan seterusnya pemilihan sebahagian Anggota Majlis Perundangan Persekutuan pada tahun 1955. Sebaliknya, hanya tahun-tahun selepas merdeka bermula 1959, rakyat mula diberi hak dan tanggungjawab sepenuhnya untuk memilih semua ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri sebagai hak budi bicara mutlak dalam menentukan parti manakah bagi membentuk kerajaan.

Sememangnya kita perlu bersyukur kerana dari masa hingga masa, walau apa pun rintangan menjelma, sama ada bersifat dalaman mahupun luaran yang telah mengancam demokrasi dan kebebasan individu seperti pemberontakan komunis, konfrontasi menentang penubuhan Malaysia, rusuhan kaum, kemelesetan ekonomi, ekstremisme agama mahupun cauvinisme perkauman, Alhamdulillah, setiap satunya telah berjaya ditangani dan dihadapi menggunakan kerangka tindakan berhemah, demokratik berasaskan prinsip keluhuran Perlembagaan serta kedaulatan undang-undang. Barang harus diingat jua, sepanjang tempoh tersebut tidak pernah terlintas di benak pihak kerajaan walau sedetik pun untuk menukar sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan sedia ada dengan sebarang sistem anti-demokratik, waima betapa getir cabaran yang dihadapi. Seperti terakam pada susur galur negara, disebabkan tragedi 13 Mei, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bertindak atas nasihat YAB Perdana Menteri ketika itu menurut peruntukan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, telah mengisytiharkan darurat. Salah satu kesan pengisytiharan darurat 1969 tersebut adalah proses pilihan raya yang belum selesai di Sabah dan Sarawak telah digantung.

Peristiwa selanjutnya yang berlaku adalah pemilihan Dewan Rakyat telah disempurnakan dalam tempoh lebih kurang dua puluh bulan kemudian dan sistem Demokrasi Berparlimen dipulih kembali apabila keamanan negara telah stabil seperti sediakala. Kendatipun begitu, Allahyarham Tun Abdul Razak selaku Timbalan Perdana Menteri pada masa tersebut merangkap Menteri Pertahanan yang telah diamanahkan mengetuai Majlis Gerakan Negara atau MAGERAN, dengan memiliki kuasa mutlak eksekutif dan perundangan, tidak pernah menyimpan hasrat untuk mengekalkan kuasa-kuasa tersebut lebih lama daripada apa yang perlu. Sudah terang lagi bersuluh, Allahyarham Tun bersama rakan-rakan ketika itu amat menyedari bahawa kuasa luar biasa tanpa sempadan yang tergenggam di tangan mereka tersebut tidak boleh sekali-kali dijadikan suatu kelaziman demi masa depan negara tercinta. Sebaliknya, mereka faham kuasa total itu sekadar suatu amanah untuk mengekang dan mengawal tragedi serta kegoncangan yang berlaku. Sebetulnya lagi, sebagai sebuah negara demokrasi berparlimen, kuasa untuk menentukan parti politik mana yang akan membentuk kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan mahupun di peringkat negeri terletak secara mutlak tanpa kekecualian di tangan rakyat.

Setelah lebih lima dekad kemerdekaan negara dan hampir lima dasawarsa pembentukan Malaysia, kita dapati bahawa, pengalaman, kematangan serta kebijaksanaan rakyat negara ini dalam memilih kerajaan demi menentukan hala tuju masa depan yang mereka dambakan tidak boleh dinafikan oleh sesiapa pun jua. Bahkan, saya sering mengutarakan bahawa era kerajaan mengetahui segala-galanya dan memiliki monopoli terhadap kebijaksanaan sudah melewati tempohnya. Revolusi dalam bidang teknologi maklumat, kemajuan komunikasi dan kecanggihan pengangkutan telah membuka persaingan serta perbandingan secara meluas lagi dinamik dalam pasaran idea. Kontemporari ini, taraf serta akses rakyat kepada semua peringkat pendidikan semakin meluas seiring dengan korpus pengetahuan yang dimiliki. Di samping itu, pertumbuhan ekonomi yang mapan, pengurangan kadar kemiskinan dan inisiatif kejuruteraan sosial serta keberkesanannya, telah berjaya meningkatkan taraf hidup serta mewujudkan kelas menengah yang besar. Mutakhir pula, keutamaan kehendak dan keperluan rakyat Malaysia telah mengalami perubahan yang besar berbanding empat atau lima dekad yang lalu.

Melangkah lebih jauh, mentadbir negara yang terzahir dari saat kemerdekaan dikudratkan oleh kehendak rakyat, kerajaan kini akan terus komited menjunjung sistem Demokrasi Berparlimen, Raja Berperlembagaan, kedaulatan undang-undang, falsafah persekutuan serta prinsip imbang dan periksa di antara ketiga-tiga cabang kerajaan. Sebagai yang ramai maklum bahawa, kecuali darurat akibat konfrontasi tahun 1964, yang telah dibatalkan secara tersirat, kesemua proklamasi darurat lain yang telah diisytiharkan sebelum ini, masih dianggap berkuat kuasa sehingga hari ini. Justeru, menginsafi bahawa realiti negara Malaysia telah berubah, merasai denyut nadi, resah gelisah dan aspirasi rakyat yang mahukan Malaysia menjadi lebih terbuka lagi dinamik demokrasinya, di mana, pendapat, idea dan kebimbangan massa lebih diberi perhatian, agar dapatlah kita berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan sistem demokrasi lain di dunia yang berasaskan falsafah universal daripada rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat, maka, kerajaan kini, di bawah Fasal 3 Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, akan membentangkan kepada kedua-dua Majlis Parlimen dengan usul agar ketiga-tiga proklamasi darurat yang telah diisytihar dulu, supaya ditamatkan kuat kuasanya.

Pada hemahnya, sudah tiba waktu rakyat Malaysia menuju masa depan dengan paradigma seterusnya yang berasaskan harapan baru dan bukannya terbelenggu oleh nostalgia kekangan sejarah lampau. Dalam menyusun atur peradaban bernegara bagi menghadapi keadaan luar biasa yang mengancam keselamatan tanah air dan kesejahteraan rakyat, tidak dapat tidak, menuntut kepada langkah-langkah khas yang kadang kala, bersifat di luar norma demokratik. Umpamanya, tindakan tahanan pencegahan. Sesungguhnya, kebijaksanaan menangani keganasan memerlukan kita mencegah perlakuan itu, sebelum kehilangan nyawa mereka yang tidak berdosa, harta benda atau menatijahkan apa-apa kecederaan. Ini merupakan satu kebenaran yang bersifat global dan diterima ramai. Dari perspektif undang-undang Islam pula, ia terangkum jelas dalam Maqasid Syariah yang berobjektif melindungi lima perkara utama yakni; pertama: agama, kedua: nyawa, ketiga: akal, keempat: keturunan dan maruah serta kelima: harta benda. Bahkan prinsip Usul Fiqah banyak membicarakan tentang perlunya disekat lebih awal sesuatu kemungkaran itu, sebelum ia berlaku.

Manakala satu prinsip menyatakan bahawa, keputusan pemerintah adalah satu amanah yang perlu dibuat bagi pihak yang diperintah atas kepentingan maslahah ramai. Ini bukanlah ehwal yang pelik, tidak lazim atau asing. Terbukti, negara-negara demokrasi yang maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom juga telah menggubal rangka perundangan khas bagi menangani ancaman pengganas pasca tragedi 11 September. Pucuk pangkalnya, perseimbangan serta perimbangan yang harus ada bagi sebuah demokrasi moden adalah, di antara keselamatan nasional dan kebebasan individu. Itulah tugas dan tanggungjawab sebuah kerajaan yang matlamat tertingginya, menjunjung kebajikan serta kesejahteraan rakyat untuk mencari keseimbangan yang betul ini. Misalnya, kebebasan bersuara yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan tidak sesekali bermaksud sebagai kewenangan hak kepada mana-mana pihak untuk membuat fitnah dan menghasut api kebencian. Sebagai contoh mudah yang lain, kerajaan turut bertanggungjawab untuk menghalang jeritan palsu tentang bom dalam sebuah stadium yang penuh sesak. Ini kerana, kebebasan luar kawal sebegitu, akan hanya menimbulkan panik yang boleh membawa kepada kecederaan dan kehilangan nyawa.

Seperti mana yang saya janjikan dalam ucapan sulung saya semasa mula-mula mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada 3 April 2009, bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (yakni ISA) akan dikaji secara komprehensif. Sehubungan dengan itu, suka saya mengumumkan pada malam yang bersejarah ini, bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (yakni ISA) akan dimansuhkan terus. Untuk mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah bagi memelihara ketenteraman dan keselamatan awam, dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal di bawah semangat serta payung Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan. Pokoknya, akta-akta ini nanti bermatlamat untuk memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara. Di atas segalanya, kerajaan akan tetap memastikan hak asasi mereka yang terbabit terpelihara. Apa-apa undang-undang yang diperbuat akan mengambil kira hak dan kebebasan asasi berlandaskan Perlembagaan Persekutuan. Undang-undang baru ini akan memperuntukkan tempoh tahanan oleh polis yang secara substansialnya lebih pendek daripada apa yang ada sekarang dan apa-apa tahanan lanjut hanya boleh dibuat dengan perintah mahkamah kecuali undang-undang berkaitan keganasan, masih dikekalkan bawah kuasa Menteri.

Di sudut lain, kerajaan juga memberi komitmen bahawa mana-mana individu tidak akan ditahan semata-mata hanya kerana ideologi politik. Umumnya pula, kuasa untuk melanjutkan penahanan akan beralih daripada badan eksekutif kepada badan kehakiman kecualilah undang-undang berkaitan keganasan itu tadi. Dalam konteks ini juga, selain memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960, kerajaan juga akan memansuhkan Akta Buang Negeri 1959 di samping mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa. Sehubungan dengan itu lagi, kita tidak akan teragak-agak untuk meminda atau memansuhkan undang-undang yang tidak lagi relevan. Kajian semula komprehensif ini akan melibatkan Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 di mana prinsip pembaharuan tahunan akan dihapuskan dan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan. Kerajaan juga akan mengkaji semula seksyen 27 Akta Polis 1967 dengan mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tentang kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan.

Namun, kebenaran berhimpun diberi selaras dengan kaedah-kaedah yang akan ditetapkan kelak di samping mengambil kira norma-norma di peringkat antarabangsa. Sebagai sebuah negara, Malaysia dan seluruh warganya kini berada di persimpangan jalan. Pilihan yang kita putuskan hari ini akan menentukan nasib serta mencorakkan rupa bentuk Malaysia pada masa hadapan, tanah air yang akan kita wariskan kepada anak-anak kita dan generasi mendatang. Persoalannya, mampukah kita melampaui dan mencabar wasangka lazim bahawa rakyat Malaysia daripada latar belakang yang majmuk, status sosio-ekonomi berbeza dan fahaman politik pelbagai, secara iradat manusiawinya, tiba kepada konsensus untuk tidak tunduk menyerah kepada sekam kebencian dan kecurigaan yang pastinya mengheret kita ke lembah kehinaan. Sebaliknya, ayuhlah kita bersama mendaya sebuah masa depan yang sarat dengan harapan dan kemuliaan. Yakinlah bahawa, ia satu kekuatan bukan satu kelemahan untuk kita meletakkan kepercayaan kepada kebijaksanaan rakyat Malaysia membuat pilihan dalam mencorakkan hala tuju masa depan mereka sendiri.

Jika kita menganggap ia satu kesilapan maka, apakah maknanya pencapaian kita hari ini, apakah gunanya kita merancang pembangunan negara dengan begitu tersusun semenjak merdeka, apakah gunanya kita membelanjakan sebahagian besar khazanah negara setiap tahun untuk memberikan akses pendidikan berkualiti kepada semua rakyat, membebaskan warga daripada cengkaman kemiskinan, membina infrastruktur fizikal serta teknologi komunikasi maklumat yang berkelas dunia? Jawapannya sangat jelas yakni, langkah-langkah yang saya umumkan sebentar tadi tidak lain tidak bukan adalah inisiatif awal transformasi politik secara tertib lagi berhemah. Ia berdiri sebagai pelengkap amat penting serta perlu kepada insiatif-inisiatif transformasi bidang ekonomi dan penyampaian awam yang pihak kerajaan telah rangka dan laksanakan semenjak lebih dua tahun kebelakangan dalam usaha menuju sebuah negara moden dan progresif. Pastinya, masa bukan terlalu awal mahupun terlalu lewat, akan tetapi inilah kala paling sesuai serta waktu paling tepat untuk perhitungan-perhitungan besar sedemikian diambil dan dilancarkan. Kita maklum, walaupun bagi pendapat sesetengah pihak ia penuh berisiko, kita akan melakukannya demi survival, setelah lebih lima puluh tahun negara merdeka, dan hampir lima dekad Malaysia terbentuk.


Lantaran kita di ambang pedati yang sedang berpacu deras untuk sampai ke destinasi sebagai sebuah negara maju sepenuhnya. Akhir kalam, saya ingin tegaskan bahawa tanpa syak dan tanpa ragu-ragu lagi, Malaysia yang kita impikan bersama dan sedang kita cipta ini adalah Malaysia yang mengamalkan demokrasi berfungsi dan inklusif di mana keamanan dan ketenteraman awam dipelihara selaras dengan roh ketertinggian Perlembagaan, kedaulatan undang-undang, penghormatan kepada hak asasi manusia dan hak-hak individu.

Demi Malaysia, 
bertawakallah semua 
dan kepada Tuhan kita berserah.

Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
16 SEPTEMBER 2011

ISU KENEGARAAN : HARI MALAYSIA MILIK SEMUA

Oleh FAUZIAH AROF


Pada  hari ini, seluruh pelosok rakyat negara ini tidak mengira kaum, peringkat umur, pekerjaan, kaya atau miskin dan juga fahaman politiknya, kesemuanya tidak terkecuali menyambut Hari Malaysia. Hari Malaysia yang disambut pada 16 September setiap tahun adalah hari yang menjadi milik semua. Tidak seorang pun di antara kita, perlu berasa diketepikan, sangsi atau terpinggir dalam menyambut hari yang amat bermakna dan bersejarah kepada negara ini. Dan ia juga bukan hanya untuk dikenang dan diraikan oleh generasi terdahulu. Generasi muda, tidak kira apa jua kecenderungan serta minatnya, perlu dibawa bersama dalam arus menghayati erti Hari Malaysia kerana kesannya yang bukan sedikit terhadap pembangunan negara dari dulu sehingga kini. Justeru, pengetahuan terhadap sejarah adalah kata kuncinya. Orang cerdik pandai sering berkata, sejarah merupakan guru terbaik untuk mendidik manusia menjadikan sesuatu yang lalu sebagai teladan atau sempadan. Sejarah adalah kebijaksanaan silam yang boleh dimanfaatkan untuk membina masa depan. Tokoh sejarah, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim berkata, pengetahuan dan pemahaman dalam sejarah negara adalah amat penting kerana ia adalah akar tunjang sesuatu bangsa.

Kerana itu, katanya, pengetahuan tentang sejarah negara ini adalah kunci kepada perpaduan dan persefahaman antara kaum. Sebab itu, sejarah perlu dijadikan bahan rujukan dalam apa jua isu berbangkit mengenai ' negara bangsa' ini. Pun begitu, katanya, apa yang berlaku kini adalah cabaran dalam menegak dan memperkasa sejarah negara, bukan sahaja terhadap golongan muda tetapi golongan terdahulu. Jelas Kay Kim, terdapat generasi terdahulu yang buta sejarah, tetapi pada masa sama berkecenderungan untuk campur tangan dalam mempertikaikan sejarah sekali gus mengelirukan ramai pihak. "Mereka ini yang tidak memahami sejarah, cuma mendengar dan mengutip sejarah negara dari sana sini tanpa melihat kepada tafsiran dalam undang-undang dan Perlembagaan negara. "Dan mereka juga menyalah tafsir kenyataan-kenyataan mengenai sejarah negara yang kebanyakannya menggunakan bahasa yang teknikal,'' katanya kepada Utusan Malaysia. Dalam pada itu, katanya, terdapatnya fakta-fakta yang salah mengenai sejarah negara di dalam Internet yang dirujuk oleh generasi muda atau pihak yang mempunyai kepentingan untuk memanipulasikan ia.

Dan perkara ini memburukkan lagi keadaan. Justeru, dalam menangani isu kecetekan ilmu sejarah ini, jelas Kay Kim, pelajaran sejarah perlu diperkasakan dari peringkat sekolah rendah dengan melatih guru-guru sejarah yang benar-benar mahir mengajar mata pelajaran itu. Hari Malaysia disambut bagi memperingati penubuhan Persekutuan Malaysia pada tarikh 16 September 1963 yang menandakan penyertaan bersama Malaya, Borneo Utara (Sabah), Sarawak dan Singapura bagi membentuk Malaysia. Persekutuan Malaysia dirasmikan penubuhannya serta diisytiharkan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia ketika itu. Perisytiharan dibuat di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur yang disaksikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu, Gabenor-Gabenor Pulau Pinang, Melaka, Sarawak dan Sabah serta 30,000 rakyat berbilang kaum. Bagaimanapun, penubuhan Persekutuan Malaysia ditentang hebat oleh Indonesia dan Filipina. Indonesia tidak senang dengan penubuhan Persekutuan Malaysia lantas, melancarkan konfrontasi ketenteraan di bawah slogan "Ganyang Malaysia" yang berlanjutan sehingga 1966. Filipina pula menuntut haknya ke atas Sabah atas hujahan perjanjian yang dimeterai antara Kesultanan Sulu dengan pihak British.

Brunei yang turut termasuk dalam rancangan penubuhan Persekutuan Malaysia membatalkan penyertaannya setelah berdepan dengan pemberontakan besar-besaran di Brunei pada penghujung 1962. Bagaimanapun, akhirnya pada 9 Julai 1963, Perjanjian penubuhan Persekutuan Malaysia dimeterai di London hanya setelah Laporan Suruhanjaya Cobbold yang dikeluarkan menyatakan, lebih 80 peratus rakyat Sarawak dan Sabah bersetuju dengan cadangan kemerdekaan melalui penggabungan bersama Persekutuan Tanah Melayu. Tarikh perasmian pengisytiharan Persekutuan Malaysia telah ditangguhkan daripada 1 Jun 1963 kepada 31 Ogos 1963 kerana menunggu Laporan Suruhanjaya Cobbold. Namun tarikh itu pula ditangguhkan setelah Indonesia dan Filipina memperhebatkan tentangan mereka terhadap penubuhan Persekutuan Malaysia. Dan akhirnya 16 September 1963 menjadi hari secara rasminya Persekutuan Malaysia ditubuhkan. Sebelum ini, Hari Malaysia merupakan cuti am di Sabah sempena hari keputeraan Yang Di-Pertua Negeri. Ia bukan merupakan cuti am di Sarawak dan Semenanjung Malaysia. Bagaimanapun mulai 2010, Hari Malaysia juga diisytiharkan cuti am di semua negeri di Malaysia.

Dan yang menjadikan sambutan Hari Malaysia pada tahun ini lebih menarik dan bermakna adalah kerana acara sambutannya diadakan serentak dengan Hari Kemerdekaan Ke-54 negara. Dalam usia 48 tahun Malaysia dibentuk, proses pembinaan negara Malaysia secara keseluruhannya mengambil masa yang panjang dan sudah tentunya tempoh itu dilalui dengan pelbagai dugaan, cabaran dan kesulitan oleh pemimpin dan generasi terdahulu. Justeru, adalah merugikan jika segala kesukaran dan kepayahan itu disia-siakan oleh pihak-pihak yang mempunyai kepentingan tertentu dan bertelagah dalam segala isu yang akhirnya meruntuhkan penyatuan Malaysia ini. Dan perlu diakui, kekuatan Malaysia bukan sahaja terletak pada pembangunan di negeri-negeri Semenanjung sahaja, tetapi juga di Sabah dan Sarawak yang menjana ekonomi Malaysia keseluruhannya.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
16 SEPTEMBER 2011

15 September 2011

ISU EKONOMI : ADAKAH BENAR KEDAI RAKYAT 1MALAYSIA "BUNUH" KEDAI RUNCIT?

Oleh ZULKIFLI JALIL


Sebuah lagi Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dibuka di tingkat bawah atau Aras G di bangunan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Presint 2, Putrajaya. Tiga kali Syabas! diucapkan kepada kementerian yang terajui Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu. Kedai berkenaan adalah yang keempat dibuka selepas projek perintis model KR1M di Stesen LRT Kelana Jaya pada 22 Jun lalu, diikuti Bandar Tun Razak (21 Ogos) dan Pantai Dalam (26 Ogos). Kita semua yang tinggal di ibu kota atau Lembah Klang maklum bahawa di lokasi- lokasi berkenaanlah, kemiskinan bandar seringkali menjadi warna-warna hitam di ibu kota. Kehidupan menghimpit dengan kadar gaji yang rendah acap kali membataskan perbelanjaan menyara hidup terutama di kalangan golongan berpendapatan rendah. Malah, bukan golongan itu sahaja, mereka di peringkat pertengahan pun serupa nasibnya. Cuma baru kedai keempat dibuka, sudah timbul pula bunyi bising mempersoalkan KR1M ini. Ia dipertikaikan Isnin lalu oleh Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif The Liong Group, Tan Sri William Cheng. Dakwanya, langkah itu sedikit sebanyak menjejaskan operasi peniaga-peniaga runcit kecil di bawah naungan Gabungan Dewan Perniagaan Perindustrian Cina (ACCIM).

Malah, seperti kenyataan Cheng yang ibarat ‘besi waja’, beliau dengan lantang pula menggesa kerajaan untuk berlaku adil dengan membekalkan produk harga patut yang sama kepada 30,000 kedai runcit sedia ada. Hakikatnya, ada kekeliruan dan salah faham yang perlu diperjelaskan dalam isu pewujudan KR1M. KR1M sebenarnya menjadi medium kepada kerajaan untuk mengawal harga barang dan mengurangkan monopoli sesetengah barang keperluan yang telah lama didominasi oleh pengilang-pengilang multinasional. Atas sebab itu, syarikat multinasional tersebut tidak akan sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan tanpa sebab munasabah. KR1M diinspirasikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Ia atas keprihatinan beliau terhadap golongan penduduk berpendapatan rendah di kawasan bandar. Idea itu juga selari dengan slogan ‘Rakyat Didahulukan’ yang telah diperkenalkan oleh beliau sendiri. Projek KR1M dipantau dan diuruskan oleh KPDNKK. Kementerian ini juga bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan lain dan pihak berkuasa untuk menyediakan lokasi kepada KR1M. Bercakap kepada Utusan Malaysia di pejabatnya semalam, Ismail Sabri menolak sama sekali tanggapan kononnya KR1M akan ‘membunuh’ kedai-kedai runcit.

Katanya, lokasi menempatkan kedai yang beroperasi menggunakan format pasar mini dengan menyediakan pelbagai barang keperluan pada harga rendah itu dipilih tidak terlalu hampir dengan kedai runcit. Kedai-kedai runcit yang lain pun pada masa sama boleh menjual barangan keluaran KR1M seperti beras, minyak masak, susu tepung dan lampin yang dipak menggunakan logo 1Malaysia. “Tak perlu bersaing sebab mereka (kedai runcit) boleh jual produk mereka sendiri, jadi kalau kata boleh ‘membunuh’ kedai runcit sedia ada, ia tidak benar sama sekali. “Lagipun tidak semua orang mahu beli produk tak berjenama,” kata beliau. Ada dua cara untuk membuka KR1M. Pertama, KR1M yang dibuka oleh kerajaan dan dimiliki kerajaan tetapi diselenggarakan oleh Syarikat Mydin Mohamed Holdings Bhd. (MYDIN). Jenama 1Malaysia yang tersarung pada produk itu pula berdaftar di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM). Cara kedua pula ialah produk-produk KR1M itu dibekalkan ke kedai-kedai, contohnya kedai di bawah flat kos rendah di Seremban dan WAKAF Mart yang beroperasi di Senawang. Ia juga akan dibekalkan ke 226 kedai D‘Mart Felda, 150 agro bazar dan juga 500 kedai TUKAR (projek transformasi kedai runcit). Ertinya ada dua konsep untuk mendapatkan barangan KR1M ini.

Dalam aspek ini, untuk memastikan projek KR1M berjaya dan memberi faedah kepada rakyat, tiga projek fasa telah digariskan untuk digerakkan. Fasa pertama melibatkan perluasan sehingga 84 kedai, Fasa Kedua berkaitan pemborongan dan pengedaran barangan/produk 1Malaysia dan Fasa Kedua melibatkan pengenalan ‘KR1M KedaiBergerak’. Dalam menjayakan hasrat untuk sampai kepada seluruh rakyat, perancangan 84 KR1M bermula Julai 2011 hingga Disember 2012. Antara yang bakal dibuka dan kini dalam perbincangan ialah di Pasar Besar Cheras (dianggarkan keluasan 5,000 kaki persegi). Dalam memastikan seluruh rakyat mendapat manfaat daripada program ini, seluruh pasar raya MYDIN akan melaksanakan konsep borong dan edar terhadap barang/produk terpilih 1Malaysia. Kedai TUKAR dan kedai pertama WAKAF Mart yang beroperasi di Senawang, Negeri Sembilan juga akan memasarkan produk 1Malaysia. Sehingga sekarang, sejumlah 17 kedai telah menjual produk 1Malaysia di premis-premis mereka. Idea untuk ‘KR1M Kedai Bergerak’ pula adalah untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat di kawasan kampung/pedalaman yang tidak dapat berhubung/mencapai ke KR1M.

Konsep di sebalik ini ialah “Jika anda tidak dapat pergi ke KR1M, KR1M akan datang kepada anda.” Dalam aspek ini, kementerian akan menggunakan bas sebagai kenderaan ‘KR1M Kedai Bergerak’ sambil dibantu 2 unit 3 tan lori trak sebagai pusat penyimpanan kepada bas itu. Bas tersebut akan diubah suai dan ditukarkan kepada ‘KR1M Kedai Bergerak’. ‘KR1M Kedai Bergerak’ akan dibawa ke tempat tertentu untuk berkhidmat kepada rakyat (konsep sama dengan mamak roti atas motosikal). Selain itu, KR1M juga akan digunakan sebagai projek tanggungjawab sosial korporat (CSR), selain daripada menunggu barang keperluan untuk sampai kepada mangsa banjir. Sebagai contoh, KR1M kedai bergerak juga dapat digunakan dan boleh dibawa ke sana untuk membantu mangsa- mangsa terbabit sementara menunggu bantuan tiba. Mengenai perkembangan projek perintis model KR1M di Stesen LRT Kelana Jaya, Ismail Sabri berkata, ia amat memberangsangkan dengan hasil jualan harian mencapai RM12,000 sehari. “Memang kos terutamanya melibatkan harga barangan ada peningkatan, kerajaan tak nafikan tapi di bandar lebih tinggi sebab di bandar, penduduknya terlibat dengan kos bayaran sewa rumah.

“Sebab itulah tumpuan awal pewujudan KR1M ini kita berikan kepada bandar besar sebelum ke bandar atau pekan kecil.” Yang pasti pembukaan KR1M di KPDNKK semalam akan memberi manfaat kepada para penjawat awam yang merupakan warga terbesar menghuni Pusat Pentadbiran Persekutuan tersebut. Dijangkakan sejumlah 21 lagi KR1M bakal dibuka sebelum akhir tahun ini. Difahamkan, KPDNKK akan mendapatkan lokasi itu sebelum akhir September ini dan akan memulakan pengubahsuaian sebelum memperluaskannya ke bandar-bandar kecil dengan harga barangan yang ditawarkan di KR1M ini 30 peratus lebih murah daripada harga biasa. “Kita pastikan juga produk-produk ini dihasilkan oleh usahawan-usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan. Ini salah satu projek yang bukan saja mengurangkan bebanan rakyat tetapi dapat membantu IKS-IKS bumiputera untuk bekalkan produk KR1M,” kata Ismail Sabri. KPDNKK diyakini akan sentiasa memantau kualiti produk KR1M dengan sentiasa bekerjasama dengan MYDIN. Sebab itu MYDIN sahaja dilantik sebagai pengedar. Selain kualiti produk, yang lebih penting lagi untuk mengekang unsur mengaut keuntungan sewenang-wenangnya oleh orang tengah.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
15 SEPTEMBER 2011