Penggabungan Tanah Melayu dengan Sabah dan Sarawak di bawah nama Malaysia bukan sekadar memberi impak dalam pembentukan sebuah negara baru, tetapi sebenarnya memberi lebih banyak faedah kepada rakyat yang kini mampu hidup dalam kepelbagaian budaya dan masyarakat penuh keunikan. Pengarah Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Shamsul Amri, berkata ada empat elemen utama yang dilihat menjadikan pembentukan Malaysia begitu istimewa iaitu berlakunya pinjam-meminjam budaya yang membolehkan masyarakat berkongsi keunikan budaya daripada pelbagai etnik lain. “Paling unik dalam penggabungan ini ialah kemampuan masyarakat di negara ini menerima budaya dan cara hidup kumpulan etnik lain yang sekali gus membolehkan sebarang kemelut dan masalah sesama kaum mampu diselesaikan dalam rundingan. Uniknya Malaysia, rakyat boleh bersantai di kedai mamak luahkan rasa tidak puas hati terhadap pemimpin dan sebagainya, kemudian balik begitu saja. Tidak pula sampai berlaku sesuatu yang lebih buruk. Rakyat kita juga sudah mula bijak dan pandai membuat pilihan. - Profesor Datuk Dr Shamsul Amri, Pengarah Institut Kajian Etnik, UKM “Paling tidak pun, sekadar bertikam lidah, menggunakan media untuk meluahkan rasa tidak puas hati, tetapi tidak sampai berparang dan berperang.
“Konsep penerimaan ini bukan senang diperoleh semua negara, apatah lagi dalam Malaysia yang mempunyai puluhan etnik berbeza agama dan bahasa. Lebih unik lagi ialah berlakunya asimilasi yang jelas dapat dilihat di Sabah dan Sarawak. “Di sana, tidak ada masalah dalam satu keluarga ada orang Islam dan Kristian. Mereka boleh hidup sebumbung dan bebas mengamalkan kepercayaan beragama masing-masing. “Keunikan itu mustahil dapat kita lihat jika bukan kerana pembentukan Malaysia”. Keempat ialah berlakunya percantuman etnik. Kahwin campur sesama etnik lain mewujudkan pelbagai keturunan yang lebih unik menjadikan negara ini begitu istimewa. Hubungan sosial yang amat kuat ini berlaku sejak Malaysia ditubuhkan dan inilah tiang seri yang merungkaikan keutuhan negara ini. “Di Sabah dan Sarawak banyak berlaku asimilasi, manakala di Semenanjung pula berlaku banyak penerimaan. “Orang Melayu, menerima cara hidup orang India dan Cina, begitu jugalah sebaliknya. Kepelbagaian masyarakat ini sebenarnya sudah ada sebelum merdeka, tetapi dengan pembentukan Malaysia, ia lebih dipelbagaikan,” katanya. Beliau juga mengajak masyarakat menyorot kebanyakan peristiwa bersejarah seperti kemerdekaan dan pembentukan Malaysia yang semuanya berlaku secara aman menerusi perbincangan.
Cara penggabungan atas dasar perundingan menjadi dasar perbezaan dan kepelbagaian dalam negara ditangani secara aman. Kepelbagaian sosial dalam negara ini yang berlaku secara aman membolehkan apa saja pertentangan dan perbalahan diselesaikan di meja rundingan. Bagi Shamsul, suara yang lantang mempertikaikan itu ini perlu diteruskan kerana itulah kekuatan Malaysia, tidak menyimpan dalam hati yang mungkin boleh buruk akibatnya jika meletus satu hari nanti. “Bertikam lidah adalah perkara biasa. Yang penting tidak berlaku keganasan. Melepaskan perasaan dan menyuarakan pendapat mewakili etnik masing-masing juga adalah perkara biasa yang menunjukkan sebenarnya rakyat kita cukup matang, tidak mahukan keganasan apatah lagi kita pernah berdepan dengan peristiwa 13 Mei 1969. “Uniknya Malaysia, rakyat boleh bersantai di kedai mamak luahkan rasa tidak puas hati terhadap pemimpin dan sebagainya, kemudian balik begitu saja. “Tidak pula sampai berlaku sesuatu yang lebih buruk. Rakyat kita juga sudah mula bijak dan pandai membuat pilihan,” katanya.
SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan