Oleh ZULKIFLI JALIL
Sebuah lagi Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dibuka di tingkat bawah atau Aras G di bangunan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Presint 2, Putrajaya. Tiga kali Syabas! diucapkan kepada kementerian yang terajui Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu. Kedai berkenaan adalah yang keempat dibuka selepas projek perintis model KR1M di Stesen LRT Kelana Jaya pada 22 Jun lalu, diikuti Bandar Tun Razak (21 Ogos) dan Pantai Dalam (26 Ogos). Kita semua yang tinggal di ibu kota atau Lembah Klang maklum bahawa di lokasi- lokasi berkenaanlah, kemiskinan bandar seringkali menjadi warna-warna hitam di ibu kota. Kehidupan menghimpit dengan kadar gaji yang rendah acap kali membataskan perbelanjaan menyara hidup terutama di kalangan golongan berpendapatan rendah. Malah, bukan golongan itu sahaja, mereka di peringkat pertengahan pun serupa nasibnya. Cuma baru kedai keempat dibuka, sudah timbul pula bunyi bising mempersoalkan KR1M ini. Ia dipertikaikan Isnin lalu oleh Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif The Liong Group, Tan Sri William Cheng. Dakwanya, langkah itu sedikit sebanyak menjejaskan operasi peniaga-peniaga runcit kecil di bawah naungan Gabungan Dewan Perniagaan Perindustrian Cina (ACCIM).
Malah, seperti kenyataan Cheng yang ibarat ‘besi waja’, beliau dengan lantang pula menggesa kerajaan untuk berlaku adil dengan membekalkan produk harga patut yang sama kepada 30,000 kedai runcit sedia ada. Hakikatnya, ada kekeliruan dan salah faham yang perlu diperjelaskan dalam isu pewujudan KR1M. KR1M sebenarnya menjadi medium kepada kerajaan untuk mengawal harga barang dan mengurangkan monopoli sesetengah barang keperluan yang telah lama didominasi oleh pengilang-pengilang multinasional. Atas sebab itu, syarikat multinasional tersebut tidak akan sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan tanpa sebab munasabah. KR1M diinspirasikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Ia atas keprihatinan beliau terhadap golongan penduduk berpendapatan rendah di kawasan bandar. Idea itu juga selari dengan slogan ‘Rakyat Didahulukan’ yang telah diperkenalkan oleh beliau sendiri. Projek KR1M dipantau dan diuruskan oleh KPDNKK. Kementerian ini juga bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan lain dan pihak berkuasa untuk menyediakan lokasi kepada KR1M. Bercakap kepada Utusan Malaysia di pejabatnya semalam, Ismail Sabri menolak sama sekali tanggapan kononnya KR1M akan ‘membunuh’ kedai-kedai runcit.
Katanya, lokasi menempatkan kedai yang beroperasi menggunakan format pasar mini dengan menyediakan pelbagai barang keperluan pada harga rendah itu dipilih tidak terlalu hampir dengan kedai runcit. Kedai-kedai runcit yang lain pun pada masa sama boleh menjual barangan keluaran KR1M seperti beras, minyak masak, susu tepung dan lampin yang dipak menggunakan logo 1Malaysia. “Tak perlu bersaing sebab mereka (kedai runcit) boleh jual produk mereka sendiri, jadi kalau kata boleh ‘membunuh’ kedai runcit sedia ada, ia tidak benar sama sekali. “Lagipun tidak semua orang mahu beli produk tak berjenama,” kata beliau. Ada dua cara untuk membuka KR1M. Pertama, KR1M yang dibuka oleh kerajaan dan dimiliki kerajaan tetapi diselenggarakan oleh Syarikat Mydin Mohamed Holdings Bhd. (MYDIN). Jenama 1Malaysia yang tersarung pada produk itu pula berdaftar di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM). Cara kedua pula ialah produk-produk KR1M itu dibekalkan ke kedai-kedai, contohnya kedai di bawah flat kos rendah di Seremban dan WAKAF Mart yang beroperasi di Senawang. Ia juga akan dibekalkan ke 226 kedai D‘Mart Felda, 150 agro bazar dan juga 500 kedai TUKAR (projek transformasi kedai runcit). Ertinya ada dua konsep untuk mendapatkan barangan KR1M ini.
Dalam aspek ini, untuk memastikan projek KR1M berjaya dan memberi faedah kepada rakyat, tiga projek fasa telah digariskan untuk digerakkan. Fasa pertama melibatkan perluasan sehingga 84 kedai, Fasa Kedua berkaitan pemborongan dan pengedaran barangan/produk 1Malaysia dan Fasa Kedua melibatkan pengenalan ‘KR1M KedaiBergerak’. Dalam menjayakan hasrat untuk sampai kepada seluruh rakyat, perancangan 84 KR1M bermula Julai 2011 hingga Disember 2012. Antara yang bakal dibuka dan kini dalam perbincangan ialah di Pasar Besar Cheras (dianggarkan keluasan 5,000 kaki persegi). Dalam memastikan seluruh rakyat mendapat manfaat daripada program ini, seluruh pasar raya MYDIN akan melaksanakan konsep borong dan edar terhadap barang/produk terpilih 1Malaysia. Kedai TUKAR dan kedai pertama WAKAF Mart yang beroperasi di Senawang, Negeri Sembilan juga akan memasarkan produk 1Malaysia. Sehingga sekarang, sejumlah 17 kedai telah menjual produk 1Malaysia di premis-premis mereka. Idea untuk ‘KR1M Kedai Bergerak’ pula adalah untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat di kawasan kampung/pedalaman yang tidak dapat berhubung/mencapai ke KR1M.
Konsep di sebalik ini ialah “Jika anda tidak dapat pergi ke KR1M, KR1M akan datang kepada anda.” Dalam aspek ini, kementerian akan menggunakan bas sebagai kenderaan ‘KR1M Kedai Bergerak’ sambil dibantu 2 unit 3 tan lori trak sebagai pusat penyimpanan kepada bas itu. Bas tersebut akan diubah suai dan ditukarkan kepada ‘KR1M Kedai Bergerak’. ‘KR1M Kedai Bergerak’ akan dibawa ke tempat tertentu untuk berkhidmat kepada rakyat (konsep sama dengan mamak roti atas motosikal). Selain itu, KR1M juga akan digunakan sebagai projek tanggungjawab sosial korporat (CSR), selain daripada menunggu barang keperluan untuk sampai kepada mangsa banjir. Sebagai contoh, KR1M kedai bergerak juga dapat digunakan dan boleh dibawa ke sana untuk membantu mangsa- mangsa terbabit sementara menunggu bantuan tiba. Mengenai perkembangan projek perintis model KR1M di Stesen LRT Kelana Jaya, Ismail Sabri berkata, ia amat memberangsangkan dengan hasil jualan harian mencapai RM12,000 sehari. “Memang kos terutamanya melibatkan harga barangan ada peningkatan, kerajaan tak nafikan tapi di bandar lebih tinggi sebab di bandar, penduduknya terlibat dengan kos bayaran sewa rumah.
“Sebab itulah tumpuan awal pewujudan KR1M ini kita berikan kepada bandar besar sebelum ke bandar atau pekan kecil.” Yang pasti pembukaan KR1M di KPDNKK semalam akan memberi manfaat kepada para penjawat awam yang merupakan warga terbesar menghuni Pusat Pentadbiran Persekutuan tersebut. Dijangkakan sejumlah 21 lagi KR1M bakal dibuka sebelum akhir tahun ini. Difahamkan, KPDNKK akan mendapatkan lokasi itu sebelum akhir September ini dan akan memulakan pengubahsuaian sebelum memperluaskannya ke bandar-bandar kecil dengan harga barangan yang ditawarkan di KR1M ini 30 peratus lebih murah daripada harga biasa. “Kita pastikan juga produk-produk ini dihasilkan oleh usahawan-usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan. Ini salah satu projek yang bukan saja mengurangkan bebanan rakyat tetapi dapat membantu IKS-IKS bumiputera untuk bekalkan produk KR1M,” kata Ismail Sabri. KPDNKK diyakini akan sentiasa memantau kualiti produk KR1M dengan sentiasa bekerjasama dengan MYDIN. Sebab itu MYDIN sahaja dilantik sebagai pengedar. Selain kualiti produk, yang lebih penting lagi untuk mengekang unsur mengaut keuntungan sewenang-wenangnya oleh orang tengah.
SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan